BAB 09 : MEMESATKAN PERDANGANGAN PENGEDARAN
I : PENDAHULUAN
9.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), sektor perdagangan
pengedaran di Malaysia mengalami penuh cabaran. Walaupun berlaku
kelembapan ekonomi pada awal tempoh Rancangan, sektor ini masih
mencapai pertumbuhan positif hasil daripada peningkatan dalam
penggunaan swasta disebabkan pendapatan bolehguna yang lebih tinggi dan
pertumbuhan perbelanjaan secara kredit. Peningkatan pembandaran,
perubahan pola demografi dan peningkatan kemewahan penduduk turut
menyumbang kepada peluasan dan kemunculan perkembangan baru dalam
kaedah pengedaran. Lebih banyak usaha diambil bagi mengukuhkan dasar
dan rangka kerja perundangan yang bersesuaian bagi mewujudkan sektor
perdagangan domestik yang cekap dan dinamik.
9.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), perkembangan
ekonomi secara mampan, pendapatan yang lebih tinggi serta peluang
keusahawanan baru akan menyumbang kepada perkembangan sektor
perdagangan pengedaran yang lebih pesat. Saiz penduduk, proses
pembandaran, perubahan gaya hidup dan corak penggunaan dijangka memberi
kesan terhadap peningkatan arus perubahan struktur dalam aktiviti
borong dan runcit domestik. Di samping dapat menjana peluang pelaburan
dan guna tenaga yang banyak dalam pelbagai sektor, perdagangan
pengedaran akan menyediakan rangkaian dalaman dan antara sektor yang
lebih luas. Sejajar dengan perkembangan baru, perniagaan tradisional
dan kecil akan digalakkan menaik taraf dan menerima pakai amalan
perniagaan moden bagi mempercepatkan integrasi perniagaan dengan sistem
perdagangan pengedaran yang berubah. Langkah akan terus diambil bagi
memastikan sektor perdagangan pengedaran berkembang secara cekap dan
berdaya saing sejajar dengan prinsip persaingan dan perdagangan adil.
II : KEMAJUAN 2001-2005
9.03
Sektor perdagangan pengedaran yang merangkumi perdagangan borong dan
runcit mencatat pertumbuhan pada kadar tahunan purata 4.3 peratus
walaupun ekonomi mengalami kelembapan dan kedudukan luaran yang lemah
dalam tempoh separuh pertama Rancangan. Sumbangan sektor perdagangan
pengedaran kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) meningkat daripada
RM26.8 bilion pada tahun 2000 kepada RM33.1 bilion menjelang akhir
tahun 2005. Guna tenaga dalam sektor perdagangan pengedaran berkembang
pada kadar purata 3.7 peratus setahun daripada 1.1 juta pekerjaan pada
tahun 2000 kepada 1.3 juta pada tahun 2005. Perkembangan sektor
perdagangan pengedaran antara lain disumbang oleh dasar fiskal dan
kewangan Kerajaan yang menyokong pertumbuhan sektor ini.
Perkembangan dalam Perdagangan Pengedaran
9.04
Sektor perdagangan pengedaran mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata
dalam jumlah jualan sebanyak 5.2 peratus daripada RM159.6 bilion pada
tahun 2000 kepada RM205.6 bilion pada tahun 2005. Perniagaan borong
menyumbang sebahagian besar daripada jumlah jualan, iaitu 70.2 peratus
pada tahun 2005. Peningkatan dalam ketibaan pelancong turut
menggalakkan perdagangan pengedaran hasil peningkatan dalam jumlah
perbelanjaan membelibelah pelancong pada kadar purata 13.3 peratus
setahun daripada RM4.0 bilion pada tahun 2000 kepada RM7.4 bilion pada
tahun 2005.
9.05
Perdagangan pengedaran yang cergas, antara lain, digambarkan oleh
perubahan dalam struktur sektor ini seperti yang terbukti dalam
peningkatan bilangan kompleks membeli-belah, hypermarket, kedai
serbaneka, pasaraya dan kedai khusus serta pengenalan konsep baru
peruncitan. Sejajar dengan perubahan dalam konsep peruncitan dan
pemasaran hasil daripada perubahan demografi, gaya hidup dan
persekitaran yang berdaya saing, aktiviti membelibelah, liburan,
hiburan dan kebudayaan semakin kerap diadakan secara bersepadu di bawah
bumbung yang sama atau di lokasi yang strategik. Peningkatan ketara
pembeli tempatan serta pelancong turut meningkatkan permintaan bagi
ruang runcit. Jumlah kompleks membeli-belah meningkat daripada 392 pada
tahun 2000 kepada 550 pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual
9-1. Bilangan unit kedai yang merupakan ciri penting di kebanyakan
kawasan perumahan serta bandar baru dan sedia ada, meningkat pada kadar
purata 4.2 peratus setahun.
9.06
Bilangan hypermarket yang semakin bertambah terutamanya di bandaraya
dan bandar besar mencerminkan perubahan gaya hidup dan citarasa pembeli
untuk menikmati kemudahan, keselesaan, kepelbagaian produk dan masa
operasi yang panjang yang disediakan oleh pusat membeli-belah setempat.
Kemunculan hypermarket yang mempunyai fungsi perniagaan borong dan
runcit telah mewujudkan aktiviti dan perkhidmatan baru. Hypermarket
menyumbang kepada peningkatan rangkaian perniagaan antara dan dalam
sektor serta memperkenalkan pengurusan rangkaian pembekalan yang lebih
komprehensif dan inovatif yang mencantumkan aspek rangkaian
antarabangsa, penyumberan luar dan penjenamaan. Hasilnya, lebih banyak
saluran diwujudkan bagi peruncit tempatan membangun dan memodenkan
perniagaan mereka.
Jadual 9-1 : Petunjuk Prestasi Terpilih 2000-2005
9.07
Bagi memanfaatkan rangkaian luas hypermarket asing, langkah telah
diambil bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada
pengeluar dan pembekalkecil tempatan. Sehubungan ini, program khusus
telah dilaksanakan oleh agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA)
serta usaha sama koperasi dengan hypermarket untuk memasarkan hasil
pertanian, kraf tangan dan produk enterpris kecil dan sederhana (EKS).
Inisiatif lain termasuk promosi dan pemasaran produk tempatan ke luar
negara melalui hypermarket yang mempunyai rangkaian global bagi
meningkatkan bahagian pasaran dan meluaskan eksport.
9.08
Kaedah lain yang popular bagi perniagaan runcit terutamanya untuk
produk pertanian adalah pasar basah, pasar malam dan pasar tani. Pasar
tradisional ini terus menjadi tumpuan penduduk setempat dan memberi
peluang bekerja sendiri dan menjana pendapatan kepada peniaga dan
pengusaha kecil.
Francais
9.09
Penekanan yang lebih diberi kepada usaha mempromosi industri francais
memandangkan industri ini memberi peluang kepada usahawan untuk
melibatkan diri dalam perniagaan yang tersusun dan berdaya maju dengan
risiko yang rendah dan kemungkinan yang lebih besar untuk berjaya.
Jenama, prosedur pengoperasian standard, latihan sistematik dan
sokongan daripada francaisor adalah antara faktor kritikal yang
menyumbang kepada peluasan perniagaan francais terutamanya dalam
industri makanan, kosmetik dan segmen barangan pengguna. Walaupun
industri francais telah mewujudkan banyak perniagaan baru dan yang
sedia ada bagi produk dan perkhidmatan tempatan namun masih terdapat
banyak peluang yang masih belum diceburi. Dalam tempoh Rancangan,
bilangan francaisor meningkat daripada 90 pada tahun 2000 kepada 204
pada tahun 2005 dan 49 daripadanya merupakan francaisor Bumiputera.
9.10
Bagi mengukuhkan penyelarasan dalam pengurusan pembangunan francais
serta meningkatkan penyertaan, khususnya usahawan Bumiputera,
Perbadanan Nasional Berhad (PNS) diberi mandat menjadi agensi tunggal
untuk melaksanakan Program Pembangunan Francais (FDP) pada bulan Jun
2004. Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh FDP adalah pembangunan
produk, skim pelaburan dan pembiayaan francais, pendidikan dan latihan,
promosi dan pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan bagi
membangunkan sistem francais tempatan.
Jualan Langsung
9.11
Aktiviti jualan langsung terus mencatat peningkatan nilai jualan
daripada RM4.5 bilion pada tahun 2000 kepada RM5.3 bilion pada tahun
2005. Jumlah lesen jualan langsung berkurang dengan ketara daripada 712
pada tahun 2000 kepada 385 pada tahun 2001 akibat daripada amalan
pengesahan status yang ketat serta tindakan terhadap pengendali skim
cepat kaya. Bermula pada tahun 2002, perkembangan industri ini adalah
hasil daripada langkah yang diambil bagi menggalakkan jualan langsung
yang teratur serta peningkatan keyakinan terhadap Peraturan Jualan
Langsung (Skim dan Kawalan) 2001 bagi mencegah amalan perdagangan tidak
beretika. Bagi meningkatkan lagi peluang perniagaan, syarikat jualan
langsung tempatan juga memasuki pasaran luar negara seperti Brunei
Darussalam, Indonesia, Thailand dan Timur Tengah dengan mengeksport
produk herba, kraf tangan, kosmetik, makanan dan kasut.
e-Dagang
9.12
Penjualan barangan dan perkhidmatan melalui Internet atau e-dagang
berkembang pada kadar tahunan purata 81.8 peratus daripada RM11.1
bilion pada tahun 2003 kepada RM36.7 bilion pada tahun 2005.
Perkembangan ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan transaksi
elektronik dalam pasaran perniagaan ke perniagaan (B2B) daripada RM7.7
bilion kepada RM29.3 bilion selaras dengan pertambahan keyakinan
terhadap perdagangan melalui Internet. Dalam tempoh yang sama,
perbelanjaan e-dagang bagi transaksi perniagaan ke pengguna (B2C)
meningkat daripada RM3.4 bilion kepada RM7.4 bilion kerana lebih banyak
syarikat dan perniagaan telah menawarkan perkhidmatan mereka melalui
transaksi dalam talian.
Penyertaan Bumiputera
9.13
Dalam tempoh Rancangan, langkah yang diambil bagi meningkatkan
penyertaan usahawan Bumiputera dalam perdagangan pengedaran ditumpukan
kepada beberapa aspek, iaitu pembangunan perniagaan, pembiayaan,
latihan keusahawanan, pemasaran dan promosi serta pemberian bantuan
untuk memiliki premis perniagaan di lokasi yang strategik. Perbadanan
Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah memperluaskan Projek Usahawan
Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) bagi membangunkan
sekumpulan EKS Bumiputera yang berdaya maju dalam sektor peruncitan.
Pengukuhan Rantaian dengan Sektor Lain
9.14
Dalam tempoh Rancangan, pembangunan dalam sektor pengangkutan dan
komunikasi,pertanian, pembuatan dan pelancongan mengukuhkan rantaian
dengan sektor perdagangan pengedaran. Pengukuhan ini menyumbang kepada
peningkatan aktiviti disepanjang rantaian bekalan serta pertambahan
saiz dan peluasan skop jualan langsung produk tempatan melalui
pembuatan dan perladangan secara kontrak menyumbang kepada pengurangan
ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan serta menjana
pengeluaran dan pengedaran barangan dan perkhidmatan pada tahap yang
lebih tinggi. Promosi pelancongan meningkatkan lagi pembangunan dalam
aktiviti peruncitan khususnya dalam penyediaan pelbagai jenis produk
yang mengutamakan kualiti, fesyen dan penjenamaan. Rantaian dengan
sektor pertanian diperkukuhkan, antara lain, menerusi pelaksanaan
sebahagian daripada Projek Terminal Makanan Nasional (TEMAN) yang
merangkumi kemudahan rantaian daripada pengeluaran kepada pengedaran
dan pemasaran.
Penggalakan Persaingan Sihat
9.15
Bagi memastikan pembangunan sektor perdagangan pengedaran teratur dan
cekap terutamanya dalam konteks persekitaran globalisasi dan
liberalisasi yang semakin meningkat, Dasar Amalan Perdagangan Adil
dilaksanakan dalam tempoh Rancangan. Rangka kerja kawal selia dan
institusi yang masih di peringkat awal pembentukan akan memberi
persekitaran yang lebih kondusif bagi persaingan sihat dan menyumbang
kepada pencegahan tingkah laku dan
amalan anti persaingan serta penyalahgunaan kuasa pasaran.
9.16
Peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan hak harta intelek
(IPR) dikaji semula supaya selaras dengan Perjanjian Trade-Related
Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPs) bagi melindungi
kepentingan pengeluar serta menggalakkan inovasi dan pemindahan
teknologi. Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ditubuhkan pada
tahun 2003 bagi memperkukuhkan sistem pendaftaran, pengurusan dan
perlindungan IPR serta meningkatkan kesedaran orang awam mengenai
pemilikan dan kepentingan komersil harta intelek. MyIPO memberi tumpuan
kepada pembangunan bina upaya memandangkan terdapat kekurangan
kakitangan mahir seperti pemeriksa paten, peguam harta intelek dan
penilai teknologi bagi memudahkan pembangunan IPR dan pembentukan
pangkalan data bagi rujukan dan semakan orang awam.
9.17
Berhubung dengan hak cipta, pelbagai langkah telah diambil, termasuk
pembentukan Pasukan Petugas Khas Membanteras Cetak Rompak bagi
memerangi cetak rompak dan pindaan terhadap Akta Hakcipta 1987 bagi
penguatkuasaan secara lebih berkesan. Pasukan Petugas Khas Membanteras
Barang-barang Tiruan juga ditubuh bagi memastikan perlindungan yang
sewajarnya terhadap pemilik hak cipta. Suruhanjaya Syarikat Malaysia
ditubuh bagi menyatukan tugas dan tanggungjawab Pendaftar Perniagaan
dan Pendaftar Syarikat serta memastikan pembangunan sektor korporat dan
perniagaan yang teratur.
Pendidikan dan Perlindungan Pengguna
9.18
Memandangkan peningkatan tahap kecanggihan penyelewengan dan
pelanggaran peraturan perdagangan serta pengaliran masuk produk yang
tidak selamat, tumpuan yang lebih diberi kepada pendidikan dan
perlindungan pengguna. Dasar Pengguna Nasional dilancarkan pada tahun
2002 bagi mengupayakan pengguna supaya lebih sedar mengenai hak dan
kepentingan mereka serta mempromosi kepenggunaan di kalangan
masyarakat. Beberapa program berstruktur bagi pendidikan dan kesedaran
pengguna dilaksanakan di peringkat sekolah dan komuniti. Tribunal
Tuntutan Pengguna Malaysia menyediakan saluran alternatif kepada
pengguna untuk memperjuangkan hak mereka dan membuat tuntutan terhadap
pembekal yang mengedar barangan yang rosak dan perkhidmatan yang tidak
memuaskan.
III : PROSPEK 2006-2010
9.19
Dalam tempoh RMKe-9, sektor perdagangan pengedaran dijangka berkembang
pada kadar purata 6.8 peratus setahun berdasarkan prospek pertumbuhan
ekonomi, guna tenaga dan pendapatan bolehguna serta saling melengkapi
dengan sektor lain. Ekoran daripada perubahan sosial, pembandaran dan
gaya hidup penduduk, sektor perdagangan pengedaran akan terus mengalami
perubahan struktur yang memberi impak kepada pembangunan sektor ini
pada masa hadapan terutamanya perniagaan tradisional. Perubahan
struktur sektor ini dijangka berlaku dalam pelbagai bentuk daripada
integrasi dan pengukuhan perniagaan bagi meraih ekonomi bidangan,
memperluas rangkaian di sepanjang rantaian nilai yang lebih tinggi
kepada mempromosi konsep baru dalam aktiviti borong dan runcit.
9.20
Menyedari perlunya pembangunan dan pemantauan yang teratur dalam sektor
perdagangan pengedaran domestik, usaha akan diambil untuk memperkemas
garis panduan dan rangka kerja kawal selia. Perkongsian dan kerjasama
strategik serta jaringan perniagaan akan digalakkan bagi meningkatkan
usaha ke arah menembusi pasaran global. Selaras dengan perubahan pola
penggunaan dan gelagat pengguna, sektor perdagangan pengedaran perlu
segera mengubah serta mengguna pakai strategi dan konsep peruncitan
baru dan yang dibuat penambahbaikan bagi memenuhi perubahan keperluan
pengguna. Walaupun akan berlaku perubahan, usaha akan dipertingkatkan
bagi menentukan pembangunan yang lebih seimbang antara pemborong dan
peruncit berskala besar dengan perniagaan tradisional yang kecil.
Peraturan dan keperluan zon bagi perniagaan berskala besar akan terus
dikuatkuasakan.
9.21
Dengan jangkaan penstrukturan semula, persaingan dan pemodenan sektor
perdagangan pengedaran, teras strategik bagi RMKe-9 adalah seperti
berikut:
a) memantapkan rangka kerja kawal selia untuk menggalakkan pembangunan perdagangan pengedaran;
b) memperkukuhkan kaedah pengedaran bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing;
c) mempercepatkan pertumbuhan e-dagang bagi menyokong pemodenan dan pengembangan sektor;
d) memperluaskan skop dan meningkatkan skala penyertaan Bumiputera bagi menikmati faedah daripada pertumbuhan sektor; dan
e) meningkatkan kesedaran dan pendidikan pengguna.
Pemantapan Rangka Kerja Kawal Selia
9.22
Dalam tempoh RMKe-9, usaha akan dipergiat bagi meningkatkan daya saing
untuk mencapai pembangunan mampan dalam perdagangan pengedaran. Langkah
akan diperkukuh untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi
persaingan sihat dan amalan perdagangan adil, khususnya dalam konteks
peningkatan persaingan dan globalisasi. Antara langkah tersebut, Akta
Amalan Perdagangan Adil (FTPL) yang berasaskan Dasar Amalan Perdagangan
Adil akan digubal dan dilaksanakan secara berperingkat. Dari segi
sokongan institusi, penubuhan Pejabat Amalan Perdagangan Adil,
Suruhanjaya Amalan Perdagangan Adil serta Tribunal Rayuan Amalan
Perdagangan Adil akan ditubuhkan secara berperingkat. Jaringan
Persaingan Malaysia akan ditubuhkan bagi menyediakan saluran
perbincangan antara agensi awam dan sektor swasta dalam penggubalan
strategi di bawah FTPL.
Pengukuhan Perdagangan Pengedaran
9.23
Sektor perdagangan pengedaran menawarkan banyak peluang yang belum
diceburi dalam pelbagai pelaburan baru terutamanya bagi memenuhi
permintaan penduduk yang semakin bertambah dengan taraf hidup dan tahap
kemewahan yang meningkat. Dalam tempoh RMKe-9, lebih banyak pengedar
tempatan dan asing dijangka akan memperkenalkan pelbagai konsep borong
dan runcit. Perubahan struktur ini akan berlaku melalui penempatan
kedai runcit di lokasi yang lebih terancang yang diintegrasikan secara
strategik dengan pelbagai jenis aktiviti berkaitan seperti liburan,
hiburan, rekreasi dan membelibelah. Perubahan ini membuka peluang dan
sumber pertumbuhan baru dalam sektor perdagangan pengedaran.
9.24
Usaha akan diambil bagi mengukuhkan kapasiti dan keupayaan peruncit dan
pemborong tempatan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan kehendak
dan citarasa pengguna. Usaha yang lebih gigih akan diambil bagi
membangunkan jenama dan rantaian peruncit tempatan. Antara lain,
pangkalan data yang lebih komprehensif akan diwujudkan bagi memantau
dan menilai trend dan perubahan struktur yang akan berlaku dalam sektor
perdagangan pengedaran serta menilai keberkesanan program dan projek
yang dilaksanakan. Pangkalan data tersebut juga menyediakan maklumat
yang lebih tepat bagi penggubalan dasar serta mengenal pasti dan
mengkaji pendekatan baru yang lebih kondusif dalam konteks tempatan
sebelum diguna pakai.
9.25
Sebagai usaha meningkatkan kedinamikan sektor perdagangan pengedaran,
penekanan akan diberi kepada usaha mengenal pasti dan membangunkan
kaedah pengedaran yang inovatif serta memperkukuhkan kecekapan,
khususnya dalam rantaian bekalan. Langkah akan diambil bagi
meningkatkan penyertaan dalam rantaian bekalan domestik dan global
dengan penekanan terhadap pembangunan jenama, penandaarasan dengan
produk yang sama, peningkatan kualiti, pembungkusan dan penetapan harga
yang berdaya saing serta promosi dalam pelbagai pasaran. Dengan
persaingan yang semakin meningkat, penekanan yang lebih akan diberi
kepada usaha menggalakkan pakatan strategik antara pembekal dengan
pembeli termasuk hypermarket asing bagi mengembangkan kerjasama di
peringkat antarabangsa dan penglibatan dalam pasaran global. Program
latihan mengenai pengurusan perniagaan moden terutamanya bagi EKS akan
dipergiatkan lagi bagi membolehkan mereka menjalan dan melaksanakan
pendekatan baru dalam aktiviti borong dan runcit.
9.26
Penggunaan sistem pelekat pengenalpastian frekuensi radio (RFID) secara
berperingkat merupakan satu inovasi teknologi penting yang dijangka
menyumbang kepada pengurusan keseluruhan rantaian bekalan yang lebih
baik bagi memudahkan pengesanan terperinci kitar hayat dan pengesahan
ketulenan produk. Penggunaan RFID boleh meliputi pelbagai akitiviti
dalam keseluruhan proses pembuatan dan pengedaran yang mampu
menyediakan maklumat terperinci bagi meningkatkan kualiti, ketepatan
masa dan kecekapan, mempercepatkan penghantaran dan mengurangkan kos
keseluruhan.
9.27
Jualan Langsung. Akta Jualan Langsung 1993 akan dikaji semula bagi
menangani perubahan keperluan industri dan meningkatkan mekanisme kawal
selia. Syarikat jualan langsung akan digalakkan untuk membangun dan
mempromosikan produk melalui peningkatan kualiti secara berterusan,
pembungkusan yang inovatif, penjenamaan dan peningkatan eksport. Bagi
tujuan ini, program latihan untuk ahli jualan langsung akan diperkukuh
bagi meningkatkan kemahiran dalam pemasaran, komunikasi dan pengurusan
serta menerapkan etika perniagaan yang baik. Dalam RMKe-9, sebanyak 100
syarikat jualan langsung Bumiputera disasar untuk dibangunkan. Di
samping itu, syarikat jualan langsung tempatan akan digalak supaya
mengembangkan operasi ke luar negara terutamanya di rantau Asia
Pasifik.M
9.28
Francais. Dalam tempoh Rancangan, program pembangunan francais akan
diperkukuh bagi pemadanan francaisor dengan francaisi, pembangunan
produk dan latihan yang lebih berkesan. Bagi membolehkan penyertaan
lebih ramai usahawan, penekanan yang lebih akan diberi kepada usaha
mengenal pasti dan mempromosi francais yang memerlukan modal asas yang
rendah. Pendekatan baru akan dibentuk oleh PNS bagi mempromosi
pembangunan produk francais tempatan. Selain itu, skim pembiayaan sedia
ada akan dikaji semula dan prosedur dipermudah bagi mempertingkatkan
akses kepada dana. Di samping itu, koperasi akan digalak supaya
memanfaatkan jaringan luas dan bilangan ahli yang ramai bagi
membangunkan francais. Pangkalan data bersepadu bagi francais akan
dibangunkan bagi melaksanakan perancangan, pemantauan dan kerjasama
yang lebih baik di kalangan usahawan francais tempatan dan asing.
Francaisor tempatan yang lebih berjaya akan digalak supaya
mengembangkan operasi ke luar negara dan memperoleh peluang yang wujud
daripada peraturan serantau dan pelbagai hala seperti Kawasan
Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
9.29
Pengukuhan EKS dalam Perdagangan Pengedaran. Memandangkan lebih 85
peratus daripada EKS dalam negara terlibat dalam aktiviti perdagangan
pengedaran, usaha yang lebih gigih akan diambil bagi menggalakkan
pembangunan infrastruktur sokongan seperti kemudahan premis perniagaan
dan perkhidmatan berkaitan serta memperkukuhkan latihan pengurusan dan
teknikal. Kerajaan akan meneruskan kerjasama dengan pihak industri bagi
merangka langkah berkesan untuk mempertingkatkan rantaian antara firma
dan akses kepada pasaran termasuk penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan di sepanjang
rantaian bekalan yang lebih tinggi. Memandangkan perdagangan borong dan
runcit berskala besar akan berkembang pesat, tumpuan yang lebih akan
diberi kepada pembangunan perniagaan kecil. EKS akan dibantu bagi
mengedarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang inovatif serta
meningkatkan keupayaan supaya dapat beroperasi di kompleks
membeli-belah bertaraf tinggi yang strategik dan destinasi pelancongan
yang popular. EKS juga digalakkan untuk meningkatkan bahagian pasaran
domestik serta meneroka ke pasaran eksport. Perniagaan tradisional akan
digalakkan supaya menggunakan pengetahuan mengenai pasaran khusus bagi
memberi perkhidmatan kepada pasaran terpilih dan menawarkan
perkhidmatan mengikut kehendak pelanggan. Akses kepada maklumat dan
risikan pasaran akan dipertingkat bagi membantu kepelbagaian barangan
yang ditawarkan selaras dengan trend pengguna yang sentiasa berubah.
9.30
Bagi enterpris kecil tradisional, Kerajaan akan meningkatkan usaha
untuk menubuhkan lebih banyak lagi arked membeli-belah, pusat peniaga
kecil, medan selera serta pasar tani dan pasar malam di lokasi yang
strategik. Penekanan juga akan diberi bagi meningkatkan akses peniaga
kecil kepada kemudahan sokongan supaya dapat membantu membangunkan
perniagaan mereka dan menggalakkan bekerja sendiri.
9.31
Hak Harta Intelek. Langkah akan terus diambil dalam tempoh Rancangan
bagi memastikan pengurusan IPR dan sistem perlindungan yang cekap dan
berkesan untuk menyokong pembangunan perdagangan pengedaran dalam aspek
inovasi produk dan penjenamaan. MyIPO akan mempercepat proses
pendaftaran cap dagangan dan paten bagi melindungi kepentingan syarikat
tempatan dan asing supaya potensi faedah diperolehi sepenuhnya.
Sehubungan ini, keupayaan dan kepakaran MyIPO akan terus diperkembang
dan diperkukuhkan. Penekanan yang lebih akan diberi kepada meningkatkan
kesedaran mengenai IPR, kepentingan IPR sebagai sumber kekayaan dan
modal intelek serta faedah komersil daripada perlindungan IPR.
9.32
Bagi menerap amalan perniagaan beretika, menghapuskan amalan
perdagangan tidak sihat dan melindungi kepentingan pengguna, agensi
penguatkuasa akan diperkukuh dengan menambah pejabat cawangan,
kakitangan serta meningkatkan kemahiran operasi. Tumpuan yang lebih
akan diberi terhadap pencegahan ke atas kesalahan pemalsuan dan
pelanggaran hak cipta. Bagi mengatasi cabaran yang semakin meningkat
dalam aktiviti penguatkuasaan, keupayaan pengumpulan maklumat risikan
dan pengawasan, serta penyiasatan dan pendakwaan akan diperkukuhkan.
Pencepatan Penggunaan e-Dagang
9.33
Dalam tempoh RMKe-9, nilai transaksi e-dagang dijangka berkembang pada
kadar purata 27 peratus setahun bagi mencapai RM155 bilion pada
tahun2010. Bagi mengukuhkan rangka kerja perundangan dan meningkatkan
keyakinan awam terhadap transaksi e-dagang serta mengurangkan
penyelewengan dalam talian, Rang Undang-undang Transaksi Elektronik,
Rang Undang-undang Aktiviti Kerajaan Elektronik dan Rang Undang-undang
Perlindungan Maklumat Peribadi akan digubal. Sektor swasta perlu
memainkan peranan utama dalam mempercepatkan pertumbuhan e-dagang.
Selaras dengan objektif tersebut, inisiatif yang akan diterajui oleh
pemborong dan peruncit termasuk mendefinisi semula rantaian nilai dan
menstruktur semula fungsi dan proses dalaman bagi menyertai secara
berkesan dan menikmati faedah daripada e-dagang. Bagi mempertingkatkan
proses pemindahan maklumat dan transaksi maya di kalangan peniaga,
usaha akan diambil untuk menerima pakai standard global dalam mengenal
pasti item, kaedah pengumpulan data serta penghantaran dan penerimaan
mesej.
Peningkatan Penyertaan Bumiputera
9.34 Program POSPER akan dikembangkan untuk melahirkan sebanyak 1,250
usahawan baru. Sehubungan ini, PUNB akan bekerjasama dengan usahawan
utama di peringkat domestik dan global
bagi meluaskan operasi sedia ada serta membangunkan rantaian peruncitan
baru termasuk kedai konsep, pasar mini, dan kedai khusus. Skop dan
liputan PROSPER akan diperluas bagi merangkumi perniagaan borong.
Program ini menyediakan saluran tambahan bagi membantu peniaga kecil
dan kontraktor Bumiputera mendapat bekalan secara lebih cekap Tumpuan
yang lebih akan diberi kepada usaha untuk memperluaskan rangkaian sedia
ada di sepanjang rantaian bekalan bagi meraih faedah ekonomi bidangan,
meningkatkan keberkesanan, risikan pasaran dan kualiti serta
profesionalisme, kemahiran penyeliaan dan pengurusan kewangan.
9.35
Profesional Bumiputera juga akan digalak untuk melibatkan diri dalam
perniagaan runcit yang berasaskan profesion seperti klinik, farmasi dan
kedai optikal. PNS yang merupakan agensi utama bagi francais dijangka
membangunkan lebih daripada 50 produk dan perkhidmatan francais baru
tempatan serta memperoleh francais terpilih dari luar negara khusus
untuk disertai dan dimiliki oleh Bumiputera. Di samping itu, usaha akan
diambil untuk meningkatkan peranan koperasi dalam pembangunan sektor
perdagangan pengedaran. Sehubungan ini, koperasi akan digalak untuk
meluaskan skop operasi dan mempromosikan produk tempatan melalui
kerjasama strategik dengan pengedar yang terkemuka.
9.36
Dalam tempoh Rancangan, program latihan yang lebih khusus terutamanya
yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan borong dan runcit yang
moden akan dilaksana bagi membolehkan usahawan Bumiputera menghadapi
cabaran dalam sektor perdagangan pengedaran akibat persaingan yang kian
meningkat. Kursus sedia ada akan dipertingkat dan kursus baru
diperkenalkan di beberapa institusi pendidikan dan agensi kerajaan
seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Institut Keusahawanan Negara
(INSKEN). Usaha akan dipergiatkan bagi membantu usahawan Bumiputera
bergerak ke atas di rantaian nilai dan memasarkan produk runcit
bernilai tinggi yang memerlukan daya inovasi, kreativiti dan bakat.
Antara lain, industri seni dan kraf tangan perlu dipermoden dan
dipertingkatkan supaya meliputi penyelidikan dan aktiviti mereka bentuk
bagi mewujudkan permintaan baru dan memperluaskan pasaran di peringkat
domestik dan luar negara.
Peningkatan Kesedaran dan Perlindungan Pengguna
9.37
Bagi meningkatkan kesedaran dan perlindungan pengguna, program
pendidikan pengguna akan diperkembangkan kepada segmen pengguna yang
lebih luas termasuk pelajar sekolah melalui kempen dan bengkel.
Pendidikan etika perniagaan juga akan dipertingkatkan di sekolah dan
institusi pendidikan tinggi bagi menyemai etika dan sikap
bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan. Program Perkongsian
Pintar akan dimantapkan lagi bagi meningkatkan peranan badan bukan
kerajaan dan kumpulan sukarelawan untuk mendidik orang awam mengenai
isu berkaitan pengguna. Pemberian anugerah seperti Organisasi Pengguna
Terbaik, Kelab Pengguna Terbaik dan Tokoh Pengguna akan diteruskan bagi
mengiktiraf rakan kongsi dalam pendidikan dan perlindungan pengguna.
Akta Perlindungan Pengguna 1999 akan dikaji semula untuk meningkatkan
kebajikan pengguna. Skop Akta ini akan diperluaskan bagi merangkumi
bidang baru seperti e-dagang, kesihatan dan penilaian risiko produk dan
perkhidmatan termasuk organisma yang diubahsuai secara genetik.
Undangundang yang dikaji semula akan memastikan pengguna mempunyai
saluran yang mencukupi untuk membuat aduan dan membuat penyelesaian
yang lebih cepat pada kos yang berpatutan.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
9.38
Pembangunan menyeluruh sektor perdagangan pengedaran akan diterajui
oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menjadi agensi utama
bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ini serta
bekerjasama dengan PNS untuk meningkatkan pembangunan industri
francais. INSKEN akan menyediakan pelbagai kursus mengenai pembangunan
dan pengurusan perniagaan borong dan runcit yang moden kepada usahawan,
khususnya Bumiputera.
9.39
Peruntukan RMKe-9 bagi sektor perdagangan pengedaran adalah seperti
ditunjukkan dalam Jadual 9-2. Peruntukan ini bertujuan menyokong usaha
sektor swasta dalam penyediaan premis perniagaan, pembiayaan
pembangunan perniagaan runcit yang baru dan sedia ada serta latihan dan
khidmat perundingan.
Jadual 9-2 : Perbelanjaan & Peruntukan bagi Pembangunan Untuk Perdagangan Pengedaran 2001-2010
V : PENUTUP
9.40 Dalam tempoh RMKe-8, usaha merangsang permintaan domestik dan peluasan kaedah pengedaran yang baru telah menyokong pertumbuhan sektor perdagangan pengedaran. Strategi dalam RMKe-9 adalah untuk membangunkan sektor perdagangan pengedaran yang pesat dengan memberi tumpuan kepada pemodenan yang progresif, pelaksanaan pendekatan yang inovatif serta peningkatan kecekapan dan produktiviti keseluruhan terutamanya dalam konteks persekitaran yang lebih kompetitif dan global. Di samping memperkukuhkan peraturan sedia ada, dasar perdagangan adil dan rangka kerja perundangan yang komprehensif akan digubal untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi persaingan dalam pasaran, menggalakkan kemasukan dan penyertaan enterpris kecil serta mendorong amalan perniagaan yang baik dan meningkatkan kebajikan pengguna.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008