BAB 08 : MEREALISASIKAN PERKHIDMATAN PELANCONGAN
I : PENDAHULUAN
8.01
Industri pelancongan kekal kukuh walaupun mengalami pertumbuhan ekonomi
yang lembap dalam tempoh separuh pertama Rancangan Malaysia Kelapan
(RMKe-8). Industri ini terus menjadi sumber utama tukaran asing yang
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga serta
mengukuhkan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran. Daya tahan
industri ini adalah hasil daripada penglibatan aktif sektor awam dan
swasta dalam menggiatkan promosi dan pemasaran, mempelbagaikan pasaran
yang disasarkan serta meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan
pelancongan bagi menarik pelancong melawat Malaysia.
8.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), usaha bersepadu
akan dipacu ke arah merealisasikan potensi industri pelancongan bagi
meningkatkan sumbangannya kepada sektor perkhidmatan secara khusus dan
ekonomi secara keseluruhan. Tumpuan utama akan diberi bagi
mempertingkatkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan global
utama serta mempromosi pelancongan domestik. Memandangkan industri ini
menjana kesan penggandaan yang tinggi dalam pelbagai sektor, aktiviti
pelancongan akan menyediakan landasan yang lebih luas bagi rantaian
antara dan dalam sektor. Lebih banyak usaha bersepadu akan diambil
untuk menggembleng dan menyalur sumber bagi menaik taraf infrastruktur
dan kemudahan pelancongan serta membangunkan lebih banyak produk dan
perkhidmatan pelancongan yang inovatif. Keutamaan akan terus diberi
bagi mencapai pembangunan pelancongan yang mampan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
8.03
Dalam tempoh RMKe-8, industri pelancongan mencapai prestasi yang baik
seperti ditunjukkan dalam kadar pertumbuhan ketibaan pelancong dan
pendapatan pelancongan. Peratusan pendapatan pelancongan daripada
pendapatan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran meningkat
daripada 32.7 peratus pada tahun 2000 kepada 43.0 peratus pada tahun
2005. dengan mengambil kira jumlah kemasukan pelancong asing dan rakyat
tempatan yang kemelancong luar negeri, sumbangan bersih pelancongan
meningkat daripada RM18.1 bilion dalam tempoh yang sama. Pembangunan
pelancongan juga menyumbang secara positif kepada perkembangan aktiviti
dalam subsektor terutamanya industri hotel, kembara dan siar,
peruncitan dan restoran serta pengangkutan.
Ketibaan Pelancong
8.04
Dalam tempoh Rancangan, ketibaan pelancong meningkat pada kadar purata
10.0 peratus setahun, lebih tinggi daripada sasaran 6.9 peratus.
Pertumbuhan positif ini kekal sepanjang tempoh tersebut kecuali pada
tahun 2003 apabila bilangan ketibaan pelancong terjejas akibat daripada
wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) serta keadaan politik
dunia yang tidak menentu. Ketibaan pelancong meningkat semula dalam
tempoh separuh akhir Rancangan setelah keyakinan untuk melancong pulih
dan mencecah 16.4 juta pada tahun 2005. Peningkatan ini terutamanya
adalah hasil daripada pelancongan serantau, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 8-1. Pelancong dari Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara
(ASEAN) menyumbang lebih 70.0 peratus kepada jumlah ketibaan pelancong
dalam tempoh Rancangan.
Pendapatan Pelancongan dan Perbelanjaan Pelancong
8.05
Selaras dengan peningkatan ketibaan pelancong, pendapatan tukaran asing
meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan purata 12.4 peratus daripada
RM17.3 bilion pada tahun 2000 kepada RM31.0 bilion pada tahun 2005,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 8-1. Negara-negara ASEAN kekal sebagai
penyumbang utama pendapatan pelancongan sebanyak 68.7 peratus, diikuti
oleh Republik Rakyat China (China) 5.1 peratus, United Kingdom (UK) 2.5
peratus dan Australia 2.3 peratus. Dari segi corak perbelanjaan
pelancong, penginapan kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 33.1
peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancong, diikuti oleh
membeli-belah pada 24.0 peratus dan makanan dan minuman pada 17.4
peratus pada tahun 2005.
Pelancongan Domestik
8.06
Pelancongan domestik merupakan komponen penting bagi industri ini dalam
tempoh Rancangan. Bilangan perjalanan pelancongan domestik meningkat
30.1 peratus daripada 12.3 juta pada tahun 2000 kepada 16.0 juta pada
tahun 2005. Bilangan pelancong tempatan yang menginap di hotel
meningkat lebih sekali ganda daripada 13.6 juta pada tahun 2000 kepada
29.0 juta pada tahun 2005. Pertambahan ini selaras dengan peningkatan
pendapatan isi rumah dan kualiti hidup serta gaya hidup rakyat Malaysia
yang semkain kerap melancong. Faktor lain yang turut menyumbang kepada
pelancongan domestic adalah peningkatan bilangan retreat korporat ,
rekreasi keluarga dan kem belia yang diadakan di pelbagai destinasi
pelancongan di selruh negara.
Jadual 8-1 : Petunjuk Pelancongan Terpilih 2000-2010
8.07
Pengenalan penerbangan kos rendah (LCC) yang menawarkan perjalanan
udara yang lebih murah khususnya ke Sabah dan Sarawak terus menyumbang
kepada pertumbuhan kembara dan siar di kalangan pelancong. Pelaksanaan
lima hari bekerja dalam sektor awam mulai Julai 2005 turut meningkatkan
pelancongan domestik.
Penginapan Hotel
8.08
Pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan
domestik yang kukuh menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan
hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus
pada tahun 2005. Pada waktu puncak, kadar penginapan purata di
destinasi utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kota Kinabalu
dan Melaka melebihi 80 peratus. Kadar penginapan sepanjang tahun bagi
hotel di tempat peranginan Genting Highlands, Pahang melebihi 80
peratus manakala di Pulau Langkawi 60 peratus. Dalam tempoh Rancangan,
destinasi popular lain termasuk Johor Bahru di Johor dan Kuching di
Sarawak mempunyai kadar penginapan purata di antara 50 hingga 60
peratus.
Pelaburan
8.09
Potensi pertumbuhan industri pelancongan terus menarik sebahagian besar
pelaburan sektor swasta. Bilangan hotel bertambah sebanyak 51.2 peratus
dalam tempoh Rancangan daripada 1,492 pada tahun 2000 kepada 2,256 pada
tahun 2005 manakala penawaran bilik meningkat 37.3 peratus daripada
124,413 pada tahun 2000 kepada 170,873 pada tahun 2005. Agensi kembara
dan siar meningkat daripada 1,021 pada tahun 2000 kepada 2,383 pada
tahun 2005 yang sebahagian besarnya terletak di pintu masuk utama
seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Langkawi dan Pulau
Pinang. Jumlah lesen yang dikeluarkan kepada pemandu pelancong dan
pengusaha kereta sewa meningkat daripada 18,460 pada tahun 2000 kepada
20,610 pada tahun 2005.
8.10
Bagi mempercepat pelaburan sektor swasta dalam industri pelancongan,
dua tabung khas dilancarkan pada tahun 2001, iaitu Dana Infrastruktur
Pelancongan (TIF) dengan peruntukan sebanyak RM700 juta serta Tabung
Khas Pelancongan dan Infrastruktur (Tabung Khas) dengan peruntukan awal
sebanyak RM400 juta. Memandangkan permintaan dana yang tinggi, jumlah
setiap dana tersebut ditambah kepada RM1.2 bilion pada Julai 2005.
Projek utama di bawah tabung berkenaan termasuk pembangunan tempat
peranginan, pengubahsuaian dan baik pulih hotel serta penyediaan
infrastruktur dan perkhidmatan yang berkaitan. Pelaburan sektor awam
terutamanya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur asas serta
promosi dan pemasaran. Penambahbaikan kemudahan awam telah dilaksanakan
termasuk menaik taraf dan mengindahkan kawasan pelancongan terpilih
serta memulihara bangunan dan kawasan bersejarah.
Guna Tenaga dan Latihan
8.11
Dalam tempoh Rancangan, guna tenaga dalam industri pelancongan
meningkat pada kadar purata 2.9 peratus setahun daripada 390,600 pada
tahun 2000 kepada 451,000 pada tahun 2005. Guna tenaga langsung dalam
industri hotel meningkat sebanyak 1.6 peratus daripada 84,171 pada
tahun 2000 kepada 91,156 pada tahun 2005. Guna tenaga dalam agensi
kembara dan siar dianggarkan sebanyak 13,028 pada tahun 2005.
8.12
Inisiatif meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan termasuk
penyediaan latihan secara meluas melalui penyeliaan dan penyelarasan
Majlis Kebangsaan Pembangunan Sumber Manusia Dalam Bidang Pelancongan
(NTHRDC) dan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Dalam tempoh
Rancangan, MLVK membangunkan enam Standard Kebangsaan Kemahiran
Pekerjaan (NOSS) baru menjadikan jumlah keseluruhan 77 NOSS merangkumi
bidang perhotelan, kembara dan siar serta taman tema dan rekreasi.
Lebih daripada 2,500 program latihan berkaitan pelancongan dijalankan
dengan pembiayaan dari Tabung Pembangunan Tenaga Manusia (HRDF)
berjumlah RM29.2 juta dan menyediakan 113,139 tempat latihan.
Produk dan Perkhidmatan Pelancongan
8.13
Bagi meningkatkan keunikan tarikan terhadap produk dan perkhidmatan
pelancongan di Malaysia, Kerajaan terus mempromosi kelebihan
tradisional negara iaitu kebudayaan dan warisan semula jadi.
Penekanan bagi mempromosi budaya dan
warisan sejarah serta ekopelancongan dan agropelancongan telah
mempopularkan destinasi seperti Melaka, Pulau Pinang, pantai timur
Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Produk pelancongan lain
termasuk membelibelah, liburan, aktiviti sukan serta acara berkaitan
perniagaan khususnya segmen persidangan, insentif, konvensyen dan
pameran (MICE).
8.14
Ekopelancongan, Agropelancongan dan Program Inap Desa. Dalam tempoh
Rancangan, Kerajaan terus menggalakkan dan membangunkan
ekopelanconganseperti yang digariskan dalam Pelan Ekopelancongan
Kebangsaan yang mengenal pasti 48 kawasan utama. Malaysia mendapat
faedah dalam penyenaraian Gua Mulu dan Taman Kinabalu dalam Senarai
Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta kawasan alam semula jadi lain
seperti taman marin di Pulau Tioman dan Pulau Redang yang kaya dengan
pelbagai sumber semula jadi dipromosi sebagai daya tarikan pelancong.
Program Inap Desa telah meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar
dalam aktiviti berkaitan pelancongan serta memberi peluang kepada isi
rumah luar bandar untuk memperoleh pendapatan sampingan. Dalam tempoh
Rancangan, sebanyak 463 pengusaha inap desa telah dilatih dan diberikan
lesen menjadikan jumlah keseluruhan pengusaha 1,089 orang dari 79 buah
kampung.
8.15
Pelancongan Kebudayaan dan Warisan. Sebilangan projek telah
dilaksanakan sebagai usaha untuk memelihara tempat kebudayaan dan
warisan serta memenuhi minat khusus pelancong yang akan melawat. Lebih
daripada 60 monumen dan 25 tempat bersejarah telah dinaik taraf sebagai
tarikan pelancong. Pusat kebudayaan sedia ada dan baru menyediakan
saluran untuk mempamerkan seni dan kraf tradisional Malaysia termasuk
batik, pua kumbu dan songket.
8.16
Acara Bertema. Usaha yang lebih giat diambil untuk sebagai mempromosi
negara destinasi yang menganjurkan sambutan dan pesta secara berterusan
sepanjang tahun. Acara yang dijalankan termasuk Citrawarna, Pesta
Makanan dan Buah-buahan, Pesta Air Kebangsaan serta Persembahan Tahunan
Fesyen KL yang memperagakan tekstil Malaysia termasuk batik dan
songket. Memandangkan membeli-belah merupakan satu produk pelancongan
yang menarik dan berpotensi besar, Karnival Jualan Mega dipromosi
dengan lebih giat dan dilengkapkan dengan pelbagai acara untuk
menarik pelawat antarabangsa dan domestik.
8.17
Pasaran Persidangan, Insentif, Konvensyen dan Pameran adalah satu
sumber pertumbuhan penting bagi sektor pelancongan kerana berupaya
menarik ahli perniagaan yang mampu berbelanja besar. Dari segi bilangan
acara dan hasil, sumbangan ketara diperoleh daripada peserta tempatan
dan luar negara dalam segmen MICE adalah seperti ditunjukkan dalam
Jadual 8-2.
Jadual 8-2 : Persidangan, Insentif, Konvensyen & Pameran, 2001-2005
8.18
Pelancongan Sukan dan Rekreasi. Malaysia akan terus menjadi tuan rumah
bagi acara dunia tahunan seperti Petronas F1 Grand Prix, Raja Muda
International Regatta, Le Tour de Langkawi dan World Amateur Inter-Team
Golf Championship serta Putrajaya Boat Championship. Bagi membangunkan
potensi industri pelayaran dan pelayaran persiaran, 10 marina baru
dibina di lokasi strategik seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau
Pinang dan Pulau Tioman.
8.19
Menyedari potensi pelancongan pendidikan sebagai satu segmen pasaran
baru untuk meningkatkan pendapatan tukaran asing, langkah telah diambil
untuk mempromosi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan
serantau. Sehubungan ini, pendapatan tukaran asing dari pasaran baru
muncul meningkat daripada RM220 juta pada tahun 2000 kepada RM450 juta
pada tahun 2005. Sebagai usaha untuk menggalakkan pelancongan
pendidikan, lima Pusat Penggalakan Pendidikan Malaysia didirikan di
Beijing, Dubai, Ho Chi Minh City, Jakarta dan Jeddah untuk mempromosi
peluang pendidikan yang terdapat di Malaysia. Bagi pelancongan
kesihatan, aktiviti promosi dan pemasaran secara intensif diteruskan
untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi penting untuk perkhidmatan
penjagaan kesihatan berkualiti. Pendapatan tukaran asing daripada
pelancongan kesihatan dianggar mencapai RM925 juta pada tahun 2005.
8.20
Program Malaysia Rumah Keduaku yang diperkenalkan untuk menggalakkan
rakyat asing, pasangan dan tanggungan mereka memilih Malaysia sebagai
rumah kedua telah menarik seramai 7,308 peserta dalam tempoh Rancangan.
Program ini paling popular di kalangan warganegara China yang
merangkumi 24 peratus daripada jumlah peserta, diikuti oleh Bangladesh
15 peratus, Britain 8 peratus dan Singapura 6 peratus. Satu pusat
setempat ditubuhkan pada tahun 2005 untuk memudahkan dan mempercepat
kelulusan.
Strategi Pemasaran dan Promosi
8.21
Dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi pelancong yang penting di
rantau ini, Kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta dalam mempergiat
aktiviti promdan pemasaran Malaysia ia menggunakan sepenuhnya tema
Malaysia. Truly Asia yang diperkenalkan pada tahun 1999 yang kini
dikenali sebagai jenama Malaysia yang unik di arena antarabangsa.
Penekanan yang lebih besar diberi untuk menarik pelancong jarak dekat
dan pasaran serantau di ASEAN, China, India, Jepun dan Asia Barat.
Aktiviti mempromosi Malaysia turut dipergiat dalam usaha menarik
pelancong dari pasaran tradisional jarak jauh seperti Eropah dan
Amerika Syarikat.
8.22
Pembangunan e-pelancongan membolehkan maklumat mengenai produk dan
perkhidmatan pelancongan diperoleh dengan lebih cepat dan tepat. Bagi
meningkatkan kesedaran di kalangan pekerja barisan hadapan dalam
industri pelancongan dan yang berkaitan mengenai kepentingan industri
pelancongan, beberapa kempen seperti Think Tourism, Mesra Malaysia dan
Malaysia Welcomes the World dilancarkan. Usaha bersepadu turut diambil
untuk menguruskan maklumat berkenaan peristiwa yang boleh menjejaskan
pelancongan dan menyediakan maklumat terkini kepada individu yang
berpotensi menjadi pengembara bagi membolehkan mereka membuat keputusan
dalam merancang perjalanan.
Peningkatan Akses
8.23
Dalam tempoh Rancangan, usaha bersepadu dilaksana untuk meningkatkan
akses ke negara ini dan ke destinasi pelancongan dalam negara.
Sehubungan ini, Kerajaan terus memperluas dan menaik taraf
infrastruktur dan kemudahan komunikasi yang antara lain telah membantu
pertumbuhan sektor pelancongan. Pengangkutan darat, rel dan laut yang
lebih baik turut menyumbang kepada peningkatan pelancongan domestik
serta pelancong merentasi sempadan dari Singapura, Thailand, Brunei
Darussalam dan Kalimantan , Indonesia.
8.24
Dasar ruang udara terbuka dan liberal terus menggalakkan syarikat
penerbangan asing menambah perkhidmatan ke Malaysia dan seterusnya
menambahkan lagi pelancong ke negara ini. Peluang untuk mendapatkan hak
pendaratan baru dan tambahan telah diteroka bagi membolehkan
Penerbangan Malaysia (MAS) beroperasi lebih kerap dan meningkatkan
kapasiti penerbangan dari dan ke destinasi luar negara. Strategi lain
termasuk mempromosi lebih banyak penerbangan sewa khas dari luar
negara, mewujudkan kerjasama operasi dengan penerbangan lain,
memperkenalkan tambang istimewa dan meningkatkan kerjasama dengan
organisasi pelancongan ASEAN untuk menggalakkan lagi pelancongan antara
negara ASEAN.
8.25
Pakej penerbangan pelancongan mudah dan ringkas yang ditawarkan oleh
AirAsia bermula pada tahun 2002 memainkan peranan penting dalam pasaran
mempercepat pertumbuhan pelancongan tempatan di samping menembusi
serantau yang baru. Jumlah penumpang yang diterbangkan oleh AirAsia
telah meningkat daripada 277,000 pada tahun 2000 kepada 5.0 juta orang
pada tahun 2005. Penerbangan AirAsia meluaskan pasaran dalam rantau ini
melalui usaha sama dengan rakan kongsi luar negara yang membawa
pelancong asing darirantau berhampiran.
III : PROSPEK 2006-2010
8.26
Pertubuhan Pelancongan Sedunia menganggarkan ketibaan pelancong di
seluruh dunia mencecah 1.0 bilion menjelang 2010. Daripada jumlah
tersebut, 791 juta atau 80 peratus merupakan pelancong serantau
manakala bakinya pelancong jarak jauh. Rantau Asia Timur dan Pasifik
dijangka menerima 200 juta pelancong. Walaupun persaingan semakin
meningkat di kalangan negara untuk menarik pelancong, sektor
pelancongan di Malaysia dijangka menerima manfaat daripada pertumbuhan
pelancongan antarabangsa dalam tempoh RMKe-9. Ketibaan pelancong ke
Malaysia dijangka meningkat pada kadar purata Sehubungan ini,
pendapatan pelancongan dijangka meningkatpada kadar tahunan purata 13.9
peratus kepada RM59.4 bilion pada tahun 2010 dan dijangka memberi
sumbangan besar kepada jumlah pendapatan dalam akaun perkhidmatan
imbangan pembayaran.
8.27
Negara-negara ASEAN yang berdekatan terutamanya Singapura dan Thailand
akan terus menjadi penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke negara
ini. Malaysia akan menerima manfaat daripada perdagangan pelancongan
yang lebih giat antara negara ASEAN melalui usaha menggalakkan
kerjasama serantau dalam pertukaran budaya dan maklumat, pembangunan
pakej pelancongan bersama dengan harga yang menarik dan penyediaan
aturan perjalanan khas untuk pelancong dari ASEAN. Peningkatan usaha
pembangunan bersama di bawah Pertumbuhan Segi Tiga
Indonesia-Malaysia-Thailand dijangka meningkatkan aktiviti pelancongan
merentasi sempadan. Di samping itu, peningkatan kerjasama di bawah
Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei
Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan diteruskan bagi
menggalakkan aktiviti kembara dan siar di kalangan negara berkenaan.
8.28
Di luar ASEAN, China termasuk Taiwan dan Hong Kong SAR, diambil kira
sebagai satu kumpulan dijangka menjadi sebuah pasaran pelancong
terbesar diikuti oleh India dan Asia Barat. Penekanan akan diberi bagi
menarik minat pelancong yang berpotensi dari pasaran tradisional
seperti Eropah, UK, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat yang
ingin melancong ke Malaysia. Dengan pemilihan Kuala Lumpur sebagai
Pusat Pelancongan Komanwel bagi jangka masa tiga tahun, Malaysia akan
mengukuhkan kerjasama pelancongan dengan negara Komanwel dan Eropah.
8.29
Dalam RMKe-9, starategi akan ditumpukan untuk merealisasikan potensi
pelancongan sebagai sumber pertumbuhan penting dari segi pendapatan
tukaran wang asing , pembangunan keusahawanan dan pewujudan pekerjaan.
Usaha akan dipergiat bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai
destinasi pilihan pelancong global. Sehubunagn ini, teras starategik
adalah seperti berikut:
a) memastikan pembangunan pelancongan mampan;
b) meningkatkan pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan yang inovatif;
c) menggalakkan dan memudahkan pelancongan domestik;
d) menggiatkan aktiviti pemasaran dan promosi;
e) meningkatkan pembangunan sumber manusia; dan menjamin keselesaan, keselamatan dan kebajikan pelancong.
Pembangunan Pelancongan Mampan
8.30
Pendekatan yang lebih bersepadu dalam perancangan dan pelaksanaan
pelancongan akan dilaksana bagi memastikan pembangunan mampan industri
tersebut. Penekanan akan diberi bagi mengekalkan dan meningkatkan aset
semula jadi dan budaya sedia ada yang rentan kepada pencemaran alam
sekitar. Pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat digalakkan
supaya lebih aktif dalam penyediaan, pelaksanaan dan penyenggaraan
projek bagi memastikan kesan yang mempengaruhi persekitaran
diminimumkan.
8.31
Peranan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri akan diperkukuh bagi
meliputi pemantauan, pengawasan dan penilaian yang kerap terhadap hasil
projek. Pengukuhan ini adalah bagi memastikan, antara lain, penilaian
impak alam sekitar dan garis panduan berkaitan terus menjadi
pertimbangan yang penting apabila merangka dan melaksana projek dan
infrastruktur berkaitan. Di samping itu, pembekal produk dan
perkhidmatan pelancongan perlu memenuhi kriteria khusus dan garis
panduan ke atas had tampung kawasan pelancongan yang sensitif seperti
pulau, tanah tinggi dan kawasan persisiran pantai. Pelan pelaksanaan,
pengurusan dan penyenggaraan dalam program dan projek pelancongan
terutamanya pembinaan hotel dan rumah peranginan perlu mengambil kira,
antara lain,aspek penjimatan air dan elektrik serta pembuangan sisa
kumbahan.
Produk dan Perkhidmatan Pelancongan
8.32
Pembangunan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif akan digalakkan
bagi memenuhi minat dan cita rasa yang berlainan di kalangan pelancong
bagi meningkatkan ketibaan pelancong, memanjangkan tempoh penginapan
dan meningkatkan perbelanjaan pelancong tempatan dan luar negara. Di
samping itu, agensi kembara dan siar digalakkan untuk meningkatkan reka
bentuk, daya tarikan dan pemasaran pakej pelancongan dengan memberikan
perhatian terhadap minat tertentu, kualiti dan harga bagi memenuhi
kehendak pelancong yang pelbagai.
8.33
Ekopelancongan. Penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada
ekopelancongan melalui pemuliharaan tarikan semula jadi seperti pusat
perlindungan haiwan liar, taman negara, tanah tinggi dan pulau.
Pelbagai acara pengembaraan dan lawatan serta ekspedisi khas akan
disediakan supaya pelancong boleh menyertai pelbagai aktiviti berkaitan
alam semula jadi terutamanya di Taman Negara di Semenanjung Malaysia,
Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Bako di Sarawak. Bagi menarik
lebih ramai pelancong, aktiviti sukan lasak ekopelancongan akan
dianjurkan di tempat seperti di Pulau Papan, Wilayah Persekutuan
Labuan; Sungai Tembeling, Pahang; dan Pulau Pinang. Di samping itu,
kemudahan pelancongan seperti pusat maklumat dan penerangan serta
kemudahan awam akan disediakan dan dinaik taraf.
8.34
Agropelancongan dan Program Inap Desa. Lebih banyak aktiviti nilai
ditambah akan disediakan di bawah agropelancongan dan Program Inap Desa
seperti tinggal di dusun dan melawat taman pertanian serta pusat
penyelidikan. Tetamu akan digalakkan melawat tempat kraf tangan dan
menyertai aktiviti seperti membuat pasu, melukis batik, menganyam bakul
dan menenun songket.
8.35
Pelancongan Warisan. Pemuliharaan tempat bersejarah, bangunan dan bahan
artifak akan terus menjadi salah satu langkah bagi memelihara
peninggalan sejarah negara serta menambah bilangan tarikan pelancong.
Bagi melaksanakan strategi ini, beberapa tempat dan bangunan bersejarah
dikenal pasti untuk dipulihara dalam tempoh Rancangan. Tempat tersebut
termasuk Kota Kuala Muda di Kedah, Fort Alice di Sarawak dan kawasan
neolitik Bukit Tengkorak di Sabah. Laluan bersejarah turut dibangunkan
berdasarkan tema tertentu seperti warisan Baba Nyonya, era Portugis dan
Belanda di Melaka, kawasan tinggalan perang di Kota Bharu serta Bunga
Mas di Kedah dan Kelantan.
8.36
Bagi kebudayaan, hiburan dan seni, usaha promosi akan diberi tumpuan
kepada bidang seperti persembahan seni komersil dan bukan komersil,
muzium, galeri seni, pusat kraf tangan dan hiburan serta taman tema.
Tarikan kebudayaan akan terus dipromosi bagi mempamerkan kepelbagaian
etnik dan pesta budaya. Malaysia juga akan dipromosi sebagai pusat
tumpuan sajian memandangkan wujudnya kepelbagaian makanan daripada
penduduk negara ini yang berbilang etnik. Sehubungan ini, pakej sajian
yang inovatif berdasarkan keistimewaan masakan sesebuah negeri, daerah
dan komuniti akan disediakan bagi menarik minat pelancong supaya
menikmati hidangan tempatan.
8.37
Lokasi Pilihan Penggambaran. Usaha yang lebih giat akan diambil bagi
menjadikan Malaysia lokasi penggambaran yang digemari oleh penerbit
filem Adan syarikat media asing untuk menjalankan penggambaran filem,
iklan televisyen dan dokumentari. Langkah ini akan menyediakan saluran
tambahan untuk Malaysia mendapatkan publisiti di peringkat antarabangsa
dan pendedahan mengenai tempat percutian dan tarikan pelancong di
Malaysia.
8.38
Dalam tempoh Rancangan, pasaran MICE dijangka terus menjadi suatu
sumber pendapatan tukaran asing yang utama. MICE merupakan pasaran
berlaba tinggi yang berpotensi menarik ramai ahli perniagaan berkualiti
ke Malaysia. Langkah promosi akan dipertingkatkan untuk memasarkan
Malaysia sebagai sebuah lokasi yang ideal bagi aktiviti MICE
antarabangsa yang mempunyai ciri penting seperti kestabilan politik,
pakej yang berdaya saing, kebolehan pengurusan yang kukuh dan
perkhidmatan yang cemerlang. Dalam industri MICE yang kompetitif,
Kerajaan akan bekerja rapat dengan sektor swasta dalam proses bida
untuk menganjurkan persidangan utama, seminar dan pameran serta acara
sukan. Penekanan akan diberi kepada menambah dan menaik taraf kemudahan
berkaitan MICE yang perlu bagi menjadi tuan rumah persidangan dan
pameran di peringkat antarabangsa dan tempatan.
8.39
Acara Bertema. Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat bagi
menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah antarabangsa. Bagi
menggalakkan lagi aktiviti membeli-belah, usahawan akan digalak supaya
mendapatkan hak agensi dan pengedaran produk jenama tempatan dan luar
negara. Kraf tangan dan hasil seni Malaysia seperti batik, wau dan labu
sayong akan turut dipromosi sebagai produk pelancongan yang unik. Di
samping itu, persembahan muzik tempatan dan teater serta hiburan
kosmopolitan akan dianjurkan lebih kerap di Istana Budaya, Dewan
Filharmonik Petronas dan pusat budaya yang lain di seluruh negara.
8.40
Pelancongan Berasaskan Sukan dan Rekreasi. Dalam usaha mempromosi
Malaysia sebagai pusat pelancongan yang berasaskan sukan dan rekreasi
antarabangsa, acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Islamic
Solidarity Games, Royal Langkawi International Regatta dan Amazing Race
serta pertandingan golf antarabangsa akan terus dianjurkan. Usaha turut
diambil bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat sukan yang menarik yang
mampu menganjurkan pelbagai jenis sukan ekstrim seperti luncur angin,
berakit mengharungi jeram dan payung terjun serta program televisyen
berbentuk realiti. Sebagai usaha menyediakan pelbagai produk
pelancongan, industri pelayaran dan pelayaran persiaran akan terus
digalakkan. Putrajaya akan terus dipopularkan sebagai pusat sukan yang
menganjurkan acara kayak, bot dan basikal air.
8.41
Promosi pelancongan pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi
membangunkan Malaysia sebagai destinasi pilihan oleh pelajar
antarabangsa. Pendapatan tukaran asing dari sumber pertumbuhan yang
berpotensi ini dianggar sebanyak RM900 juta menjelang tahun 2010.
Sehubungan ini, jumlah Pusat Penggalakan Pendidikan Malaysia di bandar
terpilih di seluruh dunia akan ditingkatkan. Usaha mempromosi
pelancongan kesihatan akan dipergiat bagi menempatkan Malaysia sebagai
pusat pelancongan kesihatan yang baru di dunia. Sehubungan ini, sektor
swasta akan digalakkan menyertai pelbagai pameran perdagangan dan ekspo
bagi mempamerkan perkhidmatan kesihatan Malaysia dalam rawatan
perubatan tradisional dan moden. Menjelang tahun 2010, pelancongan
kesihatan dijangka menghasilkan pendapatan berjumlah RM2.0 bilion.
8.42
Program Malaysia Rumah Keduaku akan dipromosi secara intensif bagi
memupuk minat di kalangan peserta yang berpotensi. Sehubungan ini,
kerjasama antara agensi akan dipertingkatkan bagi menjamin kelancaran
pelaksanaan program.
Pelancongan Domestik
8.43
Pelancongan domestik akan terus diutamakan dan dimajukan supaya
menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan. Program untuk
mempromosi kembara dan siar domestik akan menumpukan kepada usaha
memupuk budaya merancang percutian di kalangan masyarakat Malaysia dan
menggalakkan rakyat tempatan menjelajah ke pelbagai tempat pelancongan
yang menarik dalam negara. Sehubungan ini, pelbagai pameran, pesta dan
acara khusus akan dianjur bagi mempromosi pakej pelancongan dengan
harga berpatutan dan meningkatkan kesedaran jenama pelancongan domestik
sepanjang tahun. Pakej pelancongan Cuti-cuti Malaysia, program
pelancongan pelajar dan bas rombongan bagi kumpulan pelancong yang
khusus akan terus dipromosi secara giat bagi meningkatkan kembara dan
siar domestik.
8.44
Bagi meningkatkan kembara dan siar domestik, sektor swasta akan
digalakkan menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih baik serta
pelbagai penginapan daripada yang termahal kepada kadar mampu sewa bagi
memenuhi keperluan kumpulan sasar yang berbeza. Di samping itu,
penambahan kapasiti terminal LCC dan laluan yang berdaya saing dijangka
memudahkan lagi perjalanan domestik. Agensi pelancongan Kerajaan
Persekutuan dan negeri akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam
menganjurkan kempen pemasaran melalui pameran di setiap negeri bagi
mempromosi pelancongan domestik di negeri berkenaan.
Pemasaran dan Promosi
8.45
Tujuan utama pemasaran dan promosi adalah untuk menaikkan imej Malaysia
di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan. Usaha
pemasaran dan promosi akan dipertingkatkan bagi mengekalkan daya saing
dan tarikan produk dan perkhidmatan pelancongan. Tema Malaysia Truly
Asia akan terus dimanfaatkan bagi mengukuhkan tema tersebut sebagai
imej yang unik dan dikenali oleh pelancong antarabangsa. Sehubungan
ini, aktiviti pemasaran dan promosi berbilang serampang terutamanya
bagi Tahun Melawat Malaysia 2007 (VMY 2007) akan dilaksanakan secara
agresif melalui penglibatan aktif dalam ekspo perdagangan, pameran dan
misi jualan. Aktiviti tersebut bertujuan mengekalkan kehadiran
pelancong dari pasaran jarak dekat, meningkatkan pelancong dari pasaran
jarak sederhana yang berkembang pesat dan menggiatkan semula pasaran
tradisional jarak jauh. VMY 2007 juga turut dijadikan faktor bagi
menambahkan jumlah kehadiran pelancong dan kedatangan semula pelancong
serta menarik minat pelancong agar berbelanja besar dan tinggal lebih
lama di Malaysia. Perancangan dan pelaksanaan aktiviti promosi VMY2007
akan dilaksanakan sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia
ke-50.
8.46
Sebagai usaha promosi dan pemasaran VMY 2007, aktiviti promosi dan
publisiti yang lebih giat akan dianjurkan di peringkat domestik dan
antarabangsa. Pelbagai langkah akan diambil bagi memudahkan prosedur
imigresen di pintu masuk ke Malaysia. Usaha juga akan dilaksanakan bagi
membentuk dan memasarkan pakej pelancongan istimewa bagi memenuhi
keperluan pelancong dari pelbagai destinasi. Laman web sedia ada akan
dinaik taraf menjadi portal pelancongan di bawah Kementerian
Pelancongan untuk mempercepatkan transaksi dalam talian bagi perniagaan
ke perniagaan serta perniagaan ke pengguna. Pembekal perkhidmatan
digalakkan menggunakan portal tersebut bagi pengiklanan produk dan
perkhidmatan serta menguruskan aktiviti jualan. Portal ini akan
membekalkan maklumat mengenai, antara lain, penginapan, pengangkutan,
tempat menarik dan acara kebudayaan. Di samping itu, urusan pakej
kembara dan siar yang lengkap serta pembayaran dalam talian boleh
dilakukan. Portal ini juga akan memudahkan pengumpulan data dan kajian
terhadap minat dan pilihan pelanggan bagi meningkatkan perancangan dan
mereka bentuk semula produk dan memperkemas perkhidmatan.
Pelaburan
8.47
Pembangunan yang dijangka dalam industri pelancongan memerlukan
penambahan kemudahan dan infrastruktur berkaitan pelancongan. Sektor
awam akan melengkapkan usaha sektor swasta dengan menyediakan
peruntukan sebanyak RM1.0 bilion bagi tujuan menaik taraf dan
menyenggara kemudahan sedia ada seperti taman awam, laluan pejalan kaki
dan basikal, kawasan rehat dan rawat serta kemudahan asas yang lain.
Infrastruktur yang lebih baik akan dibina termasuk pembangunan pusat
maklumat pelancongan serta akses yang lebih baik melalui jalan raya,
rel, jeti dan jambatan ke destinasi pelancongan yang popular.
8.48
Dalam usaha meneruskan promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan di
rantau ini, sektor swasta digalakkan membangunkan produk dan
perkhidmatan pelancongan yang inovatif untuk memenuhi permintaan
pasaran yang berbeza serta membangunkan pasaran terpilih yang
berpotensi. Bagi tujuan ini, peruntukan insentif akan dipertimbangkan
untuk pembangunan produk khusus seperti ekopelancongan, produk
kebudayaan dan MICE. Penekanan diberikan dalam mempakej semula tarikan
sedia ada serta membangunkan produk kembara dan siar yang baru.
Aktiviti pemasaran dan promosi akan diselaraskan dengan segmen pasaran
utama bagi meningkatkan pelancongan dari luar negara serta pelancongan
domestik.
8.49
Industri pelancongan menawarkan skop yang luas bagi daya cipta dan
inovasi serta pembangunan usahawan dengan pelbagai peluang pelaburan
termasuk pembinaan hotel dan rumah peranginan serta penyediaan pelbagai
perkhidmatan dan tarikan pelancong. Peluang tersebut dijangka menarik
minat penyertaan Bumiputera dalam aktiviti komersil dan perniagaan
berkaitan pelancongan. Enterpris kecil dan sederhana (EKS) digalakkan
menyertai pembangunan perniagaan sedia ada dan baru seperti penyediaan
makanan, perkhidmatan rekreasi dan pembangunan produk kraf tangan. Dari
segi pembiayaan, dana TIF dan Tabung Khas akan ditambah bagi
menyediakan sumber pembiayaan alternatif kepada pelabur yang
berpotensi. Pakej pelaburan khusus akan dibangunkan bagi meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam pasaran pelancongan yang sedang berkembang
dan menubuhkan operasi pelancongan di pasaran baru dan baru muncul
seperti di Asia Barat, China dan India.
Pembangunan Sumber Manusia
8.50
Bagi memenuhi permintaan sumber manusia yang terlatih dan berpengalaman
dalam bidang pengurusan, penyeliaan dan teknikal terutamanya bagi
subsektor hotel dan pelancongan, penyediaan program latihan yang
berkaitan akan diutamakan. NTHRDC bersama MLVK dan Kementerian
Pengajian Tinggi serta Lembaga Akreditasi Pelancongan akan menyelaras
latihan teknikal dan vokasional serta pengurusan dan penyeliaan.
Sehubungan ini, kerjasama sektor awam dan sektor swasta akan digalakkan
bagi memastikan output selaras dengan keperluan industri pelancongan
yang semakin canggih. NOSS sedia ada akan dikaji semula dari semasa ke
semasa oleh MLVK bagi memastikan kesesuaian standard kemahiran bagi
memenuhi permintaan industri pelancongan. Pelajar sekolah akan
diberikan pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam industri
pelancongan manakala institusi pendidikan tinggi digalakkan menawarkan
pelbagai jenis kursus berkaitan pelancongan. Pemandu pelancong akan
terus dilatih manakala yang baru akan menjalani latihan secara intensif
bagi memastikan perkhidmatan berkualiti diberikan. Pemandu pelancong
juga digalakkan mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab,
Jepun, Jerman dan Sepanyol.
Pakatan Strategik dan Perkongsian Pintar
8.51
Bagi meningkatkan lagi promosi sektor pelancongan, Kerajaan akan terus
membantu memupuk pakatan strategik global dan serantau dan perkongsian
pintar antara Kerajaan, organisasi pelancongan dan sektor swasta.
Perkongsian ini akan mewujudkan nama baik bagi Malaysia dan
meningkatkan lagi kerjasama di kalangan negara lain dan seterusnya
menggalakkan pelancongan antara 217 negara melalui aktiviti mesyuarat
dan persidangan. Pembekal perkhidmatan kembara dan siar, pembekal
perkhidmatan pengangkutan, organisasi MICE, pengusaha hotel dan
operator di destinasi pelancongan digalakkan bekerjasama antara mereka
supaya dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelancong. Di
samping itu, dengan peningkatan liberalisasi dalam perkhidmatan
pelancongan di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN Mengenai
Perkhidmatan, usaha giat akan dijalankan untuk mempromosi Malaysia
sebagai destinasi utama dan destinasi persinggahan di kalangan negara
ASEAN serta rantau Asia Pasifik.
Peningkatan Akses
8.52
Dalam tempoh Rancangan, pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi
meningkatkan akses ke negara ini dan dalam negara. Sehubungan ini,
perkhidmatan di pintu masuk, rangkaian pengangkutan antara bandar dan
tempat peranginan serta akses kepada perkhidmatan komunikasi
terutamanya kemudahan Internet akan dipertingkatkan. Infrastruktur dan
kemudahan pengangkutan udara, darat dan laut akan dinaik taraf bagi
membantu pertumbuhan industri pelancongan. Penambahbaikan termasuk
memperkenalkan permohonan visa dalam talian dan penyediaan permit masuk
berbilang akan terus dilaksanakan bagi membantu kelancaran perjalanan.
8.53
Kekerapan dan kapasiti penerbangan antara Malaysia dengan pasaran
tertentu akan ditambah bagi memudahkan pelancong dari luar negara
melawat Malaysia. Langkah lain termasuk berkongsi kod operasi dengan
syarikat penerbangan lain serta menggalakkan lagi syarikat penerbangan
asing beroperasi di negara ini. Liberalisasi perkhidmatan penerbangan
di rantau ASEAN pada tahun 2008 akan mempertingkatkan akses ke bandar
negara ASEAN dan seterusnya mempromosi pelancongan serantau. Lapangan
Terbang Kota Kinabalu akan diperbesar bagi pembangunan hab LCC yang
kedua di Malaysia selepas KLIA.
Penyelidikan dan Perancangan
8.54
Usaha bagi memastikan pembangunan pelancongan yang mampan termasuk
menggunakan pendekatan yang lebih bersepadu dalam perancangan dan
pelaksanaan projek. Usaha ini memerlukan penyelidikan dan penilaian
impak yang berterusan ke atas program dan projek berkaitan pelancongan.
Penyelidikan dan risikan pemasaran dengan kerjasama pihak swasta akan
terus dijalankan untuk menganalisis profil pelancong dan trend
pelancongan global dan domestik. Di samping itu, Akaun Satelit
Pelancongan (TSA) akan dibangunkan sepenuhnya. Mekanisme TSA boleh,
antara lain, mengira sumbangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan
ekonomi, pelaburan dan pendapatan negara bagi membantu penggubalan
dasar serta pengubahsuaian strategi dan program bagi industri
pelancongan.
Keselamatan
8.55
Memandangkan keselesaan dan keselamatan merupakan faktor penting dalam
industri kembara dan siar, usaha yang lebih giat akan diambil bagi
memastikan Malaysia sebuah negara yang menyenangkan dan selamat untuk
dilawati. Pasukan polis pelancong akan diperkukuh untuk meningkatkan
keselamatan pelancong. Pada masa yang sama, negara akan menggunakan
sepenuhnya kestabilan politik dan suasana harmoni antara etnik untuk
meningkatkan imej negara sebagai destinasi mesra pelancong.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
8.56
Kementerian Pelancongan akan terus menerajui pembangunan industri
pelancongan melalui pemasaran dan promosi pelbagai produk dan
perkhidmatan pelancongan yang terdapat di negara ini. Usaha ini akan
disokong oleh agensi pelaksana yang lain termasuk Lembaga Penggalakan
Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), kerajaan negeri dan pihak
berkuasa tempatan. Dari segi peningkatan akses, Kementerian
Pengangkutan akan membantu pertumbuhan industri pelancongan dengan
memastikan sistem pengangkutan dan infrastruktur yang lebih cekap.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen akan membantu
perjalanan ke dan dari pintu masuk di seluruh negara.
8.57
Peruntukan pembangunan bagi industri pelancongan di bawah RMKe-9
berjumlah RM1.8 bilion, seperti ditunjukkan dalam Jadual 8-3. Kerajaan
akan memberikan tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang mencukupi.
Sebahagian besar daripada peruntukan ini bertujuan menaik taraf dan
menyenggara kemudahan berkaitan pelancongan.
Jadual 8-3 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Pelancongan, 2001-2010
V : PENUTUP
8.58
Dalam tempoh RMKe-8, industri pelancongan telah mengalami pembangunan
yang menggalakkan dan menyumbang kepada pendapatan tukaran asing yang
tinggi serta menjana perniagaan baru dan peluang pekerjaan. Dalam
tempoh RMKe-9, industri pelancongan akan terus menjadi sumber
pertumbuhan baru yang utama dan pemacu kepada pembangunan sektor
perkhidmatan. Bagi mempercepat momentum industri pelancongan mencapai
potensi maksimum, Malaysia akan meningkatkan kedudukannya sebagai
destinasi pelancongan antarabangsa serta mempromosi industri kembara
dan siar domestik. Keutamaan akan diberikan bagi meningkatkan akses
melalui pengangkutan udara dan darat yang lebih cekap termasuk
perjalanan yang lancar menerusi permohonan visa dalam talian dan permit
masuk berbilang. Penyertaan sektor swasta dalam pembangunan produk dan
perkhidmatan yang inovatif akan dipertingkatkan melalui insentif yang
lebih baik dan dana yang mencukupi. Inisiatif khas Tahun Melawat
Malaysia 2007 akan menyediakan peluang yang banyak untuk pelaburan,
keusahawanan dan pekerjaan.
8.59
Pembangunan pelancongan mampan akan diberikan keutamaan memandangkan
pemuliharaan dan perlindungan habitat semula jadi dan alam sekitar
menjadi semakin penting terutamanya dalam konteks pelancongan berhemah.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri serta
sektor awam dengan sektor swasta akan terus diperkukuh dalam
penggubalan dan pelaksanaan strategi dan program pelancongan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008