BAB 07 : MENCERGASKAN PERKHIDMATAN KEWANGAN
I : PENDAHULUAN
7.01
Menyusul tidak lama selepas krisis kewangan Asia, Rancangan Malaysia
Kelapan (RMKe-8) mencatat pencapaian membanggakan dari segi penyusunan
semula dan pengukuhan sistem kewangan tempatan. Penggabungan institusi
perbankan tempatan menyumbang kepada perkembangan kumpulan perbankan
tempatan yang kukuh, penyediaan pelbagai produk dan perkhidmatan
kewangan yang berdaya saing, inovatif dan sesuai dengan keperluan.
Pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP) dan Pelan Induk Pasaran
Modal (CMP) untuk tempoh 10 tahun secara berfasa telah memperkukuh daya
tahan serta daya saing sistem perbankan dan pasaran modal.
7.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), sektor
perkhidmatan kewangan akan terus memainkan peranan penting dalam memacu
pertumbuhan ekonomi sebagai satu sektor strategik dan penggembleng dana
bagi pelaburan. Sementara FSMP dan CMP akan menyedia rangka kerja bagi
liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan secara berperingkat, usaha
akan ditumpukan ke arah mengekal kestabilan sektor kewangan serta
meningkatkan keupayaan institusi kewangan untuk menghadapi persaingan
yang semakin meningkat dalam persekitaran operasi yang lebih global.
II : KEMAJUAN 2001-2005
7.03
Sektor perkhidmatan kewangan berkembang pada kadar purata 8.1 peratus
setahun dengan bahagian sektor ini kepada keluaran dalam negeri kasar
(KDNK) meningkat daripada 12.7 peratus pada tahun 2000 kepada 15.1
peratus pada tahun 2005. Guna tenaga dalam sektor ini meningkat pada
kadar tahunan purata 7.9 peratus, iaitu 6.8 peratus daripada jumlah
guna tenaga pada tahun 2005. Sejumlah 232,100 pekerjaan telah
diwujudkan dalam sektor ini bersamaan dengan 14.3 peratus daripada
jumlah pekerjaan bersih yang diwujudkan dalam tempoh Rancangan.
Sistem Kewangan
7.04
Jumlah dana yang ada dalam system kewangan merangkumi kedua-dua
institusi bank dan bukan bank berjumlah RM 1,908.5 billion pada tahun
2005 dengan sumbanagn terbesar adalah daripada sektor swasta , seperti
ditunjukkan dalam Jadual 7-1. Dari segi kegunaan , pinjaman dan
pendahuluan merupakan komponen terbesar diikuti oleh pegangan sekuriti
. Dalam tempoh Rancangan , usaha diambil bagi membangunkan pelbagai
infrastruktur kewangan dan mewujudkan instrument kewangan baru yang
boleh memenuhi keperluan pembiayaan pelbagai jenis perniagaan.
7.05
Pada tahun 2001 , FSMP dan CMP dilancarkan untuk mengariskan
pembangunan yang teratur bagi sector kewangan dan pasaran modal untuk
tempoh sepuluh tahun . Pelan ini bertujuan mengekalkan momentum
pertumbuhan dan kecekapan pengantara kewangan bagi memenuhi keperluan
ekonomi yang berkembang pesat. Fasa pertama FSMP bagi tempoh 2001 –
2003 menumpukan kepada usaha memperkukuh kebolehan dan keupayaan
insitusi kewangan tempatan. Fasa kedua yang bermula pada tahun 2004
menekankan kepada usaha menggalakkan lebih persaingan ke arah
meningkatkan lagi kecekapan sistem kewangan.
Jadual 7-1 : Sumber dan Kegunaan Dana Dalam Sistem Kewangan, 2000-2005
7.06
Meningkatkan Tadbir Urus Korporat. Inisiatif diambil bagi mempertingkat
lagi tadbir urus korporat sektor perkhidmatan kewangan. Inisiatif ini
termasuk semakan semula dan pengeluaran garis panduan yang menerangkan
prinsip umum, standard minimum dan keperluan khas bagi tadbir urus
korporat khususnya berkaitan dengan penambahbaikan penzahiran kewangan,
standard perakaunan dan kawalan dalaman yang turut membolehkan
penandaarasan dengan amalan terbaik antarabangsa. Bagi pasaran modal,
syarat penyenaraian telah dirombak semula, peruntukan berhubung dengan
pemberian maklumat diperkenal dan pelbagai sekatan atas pelanggaran
syarat dipertingkat.
7.07
Memperkukuh Rangka Kerja Kawal Selia. Rangka kerja kawal selia dan
pengawasan telah diperkukuh bagi memastikan kestabilan yang berterusan.
Dalam sektor perbankan dan insurans, amalan pengurusan risiko telah
dipertingkat dan peraturan berhemat dikaji semula bagi memastikan ianya
kekal berkesan di samping menggalakkan persaingan dan inovasi. Aktiviti
penyeliaan juga diperkukuh dengan memperkenal Rangka Kerja Tindakan
Penguatkuasaan Tak Formal bagi bank serta penerbitan rangka kerja
penyeliaan baru berasaskan risiko bagi bank-bank Islam. Akta
Penggubalan Pencegahan Wang Haram, 2001 menyediakan rangka kerja
komprehensif bagi mencegah, mengesan dan mendakwa pihak yang terlibat
dalam aktiviti pengubahan wang haram. Dalam pasaran modal, peralihan
daripada peraturan berasaskan merit kepada peraturan yang berasaskan
penzahiran serta pelaksanaan langkah preemtif pengawasan kewangan
syarikat awam tersenarai telah menyumbang kepada penambahbaikan
perlindungan pelabur dan kecekapan dalam perolehan dana.
7.08
Pendidikan dan Perlindungan Pengguna. Dalam tempoh Rancangan, usaha
diambil untuk memperkukuh perlindungan pengguna termasuk meningkatkan
keperluan penzahiran fi dan caj oleh institusi kewangan serta perubahan
terma dan syarat produk kewangan. Bagi sektor perbankan, Perbadanan
Insurans Deposit Malaysia ditubuhkan bagi menyediakan perlindungan
deposit nyata kepada penyimpan. Dalam industri insurans, garis panduan
mengenai peruntukan amalan nasihat yang teratur oleh perniagaan
insurans telah diperkenal.
Sistem Perbankan
7.09
Susunan institusi pada tahun 1998 bagi menyelesaikan kemunculan perkara
yang boleh menjejaskan sistem perbankan semasa krisis kewangan dapati
berkesan mengekalkan kestabilan sistem perbankan. Institusi utama ,
iaitu Pengurusan Nasional Berhad( Danaharta) , Jawatankuasa Penyusunan
Semula Hutang Korporat ( CDRC ) pada dasarnya mencapai objektif untuk
meletakkan sektor perbankan pada asas yang lebih kukuh . Dalam tempoh
RMKe-8, sistem perbankan kekal berdaya tahan dengan mencatatkan
peningkatan dalam
kualiti aset dan mengekalkan tahap
permodalan yang tinggi . Berikutan penggabungan dan penyeragaman,
bilangan institusi perbankan tempatan berkurang daripada 54 kepada 10
kumpulan perbankan. Dengan terlaksana sepenuhnya proses penggabungan,
kumpulan perbankan tempatan berupaya menumpu semula ke arah menambah
baik lagi produktiviti dan daya saing serta memperoleh manfaat daripada
ekonomi ikut bidangan.
7.10
Aset dan Liabiliti. Jumlah aset sistem perbankan berkembang pada kadar
tahunan purata 7.8 peratus kepada RM959.4 bilion pada akhir tahun 2005,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 7-2. Pinjaman dan pendahuluan
meningkat pada kadar tahunan purata 7.1 peratus. Dari segi liabiliti,
deposit bertambah pada kadar 8.1 peratus setahun dengan institusi
perniagaan dan perbadanan adalah penyumbang terbesar kepada deposit
baru. Nisbah pinjaman tak berbayar (NPL) bersih yang berasaskan
klasifikasi 6 bulan bertambah baik daripada 6.5 peratus pada akhir
tahun 2000 kepada 4.6 peratus pada akhir tahun 2005. Bagi klasifikasi 3
bulan, NPL juga bertambah baik daripada 9.9 peratus kepada 5.8 peratus.
Nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) meningkat daripada 12.5 peratus
kepada 13.1 peratus dalam tempoh yang sama.
7.11
Pinjaman oleh Bank. Sistem perbankan terus menjadi sumber pembiayaan
utama untuk ekonomi. Aktiviti pinjaman oleh bank adalah kukuh meliputi
pelbagai sektor ekonomi dan segmen pengguna. Pada akhir tahun 2005,
26.7 peratus daripada jumlah pinjaman disalurkan kepada pembelian harta
kediaman dan 6.6 peratus kepada kredit penggunaan. Pinjaman kepada
perniagaan berkembang secara sederhana kerana syarikat besar
mendapatkan sumber pembiayaan daripada pasaran bon. Enterpris kecil dan
sederhana (EKS) mendapat manfaat daripada perubahan strategi pinjaman
sektor perbankan. Berikutan itu, pinjaman terkumpul kepada EKS
berkembang pada kadar tahunan purata 6.4 peratus antara 2001 hingga
2005, iaitu 42.6 peratus daripada jumlah pinjaman kepada perniagaan.
Pinjaman kepada EKS meliputi pelbagai sektor dengan hampir dua pertiga
disalurkan kepada sektor perdagangan pengedaran, pembuatan dan
pembinaan.
7.12
Meningkatkan Kebolehan. Dalam tempoh Rancangan, pelbagai inisiatif
dilaksanakan bagi membina keupayaan dan kebolehan institusi perbankan
tempatan. Inisiatif ini termasuk usaha menanda aras institusi perbankan
seluruh negara yang membolehkan jualan silang produk dan perkhidmatan
serta membangunkan saluran penyampaian alternatif seperti perbankan
Internet. Usaha ini dilengkapi inisiatif untuk menggalakkan kecekapan,
inovasi dan kedinamikan sektor kewangan. Di samping itu, sektor
perbankan memula langkah persediaan bagi menerima pakai Persetujuan
Modal Basel Baru (Basel II) yang disasaruntuk dilaksanakan pada tahun ,
2008 bagi institusi yang menggunakan Kaedah Terpiawaindan tahun 2010
bagi yang mengguna pakai Kaedah Berdasarkan Penarafan Dalaman (IRB).
Sistem Kewangan Islam
7.13
Perbankan Islam. Aset industri perbankan Islam berkembang pada kadar
tahunan purata 18.9 peratus , seperti ditunjukkan dalam Jadual 7-3 .
Jumlah aset sektor perbankan Islam merupakan 11.3 peratus daripada
jumlah aset dalam sistem perbankan pada akhir tahun 2005 berbnading 6.9
peratus pada tahun 2000.Jumlah deposit daripada institusi perbankan
Islam meningkat lebih dua kali dalamtempoh yang sama , iaitu 11.7
peratus daripada jumlah deposit sektor perbnakan. Memandangkan
pembangunan pesat serta prestasi stabil sektor perbankan Islam,
liberalisasi sektor ini dipercepat dari tahun 2007 kepada tahun
Jadual 7-3 : Prestasi Sistem Perbankan Islam, 2000-2005
2004 dengan pemberian lesen perbankan
Islam baru kepada tiga institusi kewangan Islam luar negara yang
terkemuka. Pada akhir ahun 2005, tujuh kumpulan perbankan tempatan
diberi kelulusan untuk menubuhkan anak syarikat perbankan Islam di
bawah aktiviti perbankan perdagangan mereka. Bilangan bank yang
diisytihar sebagai bank Islam sepenuhnya bertambah daripada dua pada
tahun 2000 kepada enam pada tahun 2005. Berikutan penggabungan sistem
perbankan, jumlah institusi perbankan konvensional yang terlibat dalam
Skim Perbankan Islam (IBS) turut berkurang. Bilangan syarikat kewangan
yang terlibat dalam IBS telah berkurangan daripada 14 pada tahun 2000
kepada satu pada akhir tahun 2005. Dalam tempoh yang sama, bank
saudagar dalam IBS menumpukan semula operasi perniagaan mereka daripada
portfolio kewangan kepada aktiviti berasaskan fi. Langkah tersebut
tidak memerlukan lagi mereka menjalankan aktiviti perbankan Islam
secara khusus.
7.14
Takaful. Jumlah aset dalam dana takaful berkembang pada kadar tahunan
purata 25.0 peratus antara tahun 2001-2005. Sekuriti hutang swasta
Islam, akaun pelaburan dan pasaran wang Islam adalah penyumbang utama
aset dana takaful . Bahagian pasaran aset industri takaful meningkat
daripada 3.7 peratus pada akhir tahun 2000 kepada 6.7 peratus pada
akhir tahun 2005. Jumlah gabungan caruman pendapatan bersih industri
takaful berkembang pada kadar
tahunan purata 20.6 peratus dalam tempoh yang sama dan meningkatkan bahagian pasarannya
daripada 2.5 peratus pada tahun 2000 kepada 6.2 peratus pada tahun 2005. Untuk menambah baik
daya tahan kewangan dan meningkatkan keupayaan penajajaminan pengendali takaful , keperluan
modal berbayar minimum yang lebih tinggi , iaitu RM100 juta telah ditetapkan kepada pengendali
takaful mulai akhir bulan Disember 2004.
Institusi Kewangan Pembangunan
7.15 Institusi kewangan pembangunan (IKP)
terus menyediakan pembiayaan dalam aktiviti strategik yang telah
dikenal pasti termasuk pertanian, pembangunan infrastruktur, industri
berorientasikan eksport dan berteknologi tinggi serta kepada EKS dan
untuk pembangunan usahawan Bumiputera. Pembiayaan oleh IKP meningkat
daripada RM22.0 bilion pada akhir tahun 2000 kepada RM47.5 bilion pada
tahun 2005. Langkah diumumkan pada tahun 2005 bagi menyusun semula IKP
ke arah memberi tumpuan lebih kepada pembiayaan EKS, industri strategik
dan syarikat Malaysia yang menjalankan operasi di luar negara.
Sehubungan ini, Bank SME ditubuhkan bagi memberi tumpuan kepada
penyediaan kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat kepada EKS ke
arah meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran domestik dan
antarabangsa. Bank Pembangunan Malaysia Berhad pula menumpukan kepada
pembiayaan industri berintensifkan modal dan berteknologi tinggi,
maritim dan infrastruktur. Di samping itu, Bank Eksport-Import Malaysia
Berhad dan Insurans Kredit Eksport Malaysia Berhad telah digabungkan.
Industri Insurans
7.16
Industri insurans mengekalkan momentum pertumbuhan dalam tempoh
Rancangan. Jumlah pendapatan premium meningkat pada kadar 11.1 peratus
setahun kepada RM23.6 bilion dalam tempoh 2001-2005. Sebahagian besar
peningkatan ini adalah disebabkan oleh permintaan kukuh untuk produk
insurans berkaitan pelaburan dan produk insurans endowmen serta
kejayaan syarikat insurans tempatan menembusi bankasurans sebagai
saluran pengagihan alternatif. Dalam tempoh yang sama, jumlah aset
industri insurans berkembang pada kadar tahunan purata 13.8 peratus
kepada RM96.7 bilion pada akhir tahun 2005.Pruntukan aset dana insurans
kepada sekuriti korporat dan sekuriti hutang meningkat daripada 41.2
peratus pada tahun 2001 kepada 49.9 peratus pada tahun 2005.
Peningkatan ini menggalakkan kepelbagaian asas pelabur institusi untuk
pasaran modal. Kedudukan kewangan penanggung insurans diperkukuh
berikutan peningkatan dalam keperluan modal berkanun minimum daripada
RM50 juta kepada RM100 juta bermula pada tahun 2001. Keperluan modal
yang lebih tinggi juga menggalakkan penggabungan dalam industri
insurans dengan pelaksanaan 16 penggabungan yang melibatkan 29
penanggung insurans.
Pasaran Modal
7.17
Pelancaran CMP pada bulan Februari 2001 bertujuan mewujudkan sebuah
pasaran modal yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dan
menyediakan saluran berkesan bagi penggemblengan dan pengagihan dana
yang disokong oleh rangka kerja kawal selia yang dipermudah dan kukuh.
Dalam tempoh Rancangan, pelaksanaan CMP bertujuan memperkukuh keupayaan
tempatan, membangunkan sektor strategik dan baru tumbuh dalam pasaran
modal serta menggalakkan liberalisasi secara berperingkat. Pada akhir
tahun 2005, 65 peratus daripada perakuan CMP telah dilaksanakan. Rangka
kerja kawal selia yang mesra pasaran beserta infrastruktur pasaran yang
kukuh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat pasaran bon denominasi
Ringgit. Langkah ini menyumbang kepada sistem kewangan yang lebih
berdaya tahan dengan mengurangkan kebergantungan kepada sistem
perbankan sebagai penggembleng dana sebagaimana yang berlaku sebelum
krisis kewangan.
7.18
Aktiviti Perolehan Dana. Antara tahun 2001 dan 2005, dana yang
diperolehi dii pasaran modal berjumlah RM416.1 bilion, meningkat 89.0
peratus berbanding dengan tempoh 1996-2000. Sehingga akhir tahun 2005,
pasaran bon adalah 90.0 peratus daripada jumlah perolehan dana yang
dibantu oleh inisiatif untuk meningkatkan kecekapan dalam penerbitan
dan inovasi produk. Dana dagangan bursa yang pertama, iaitu Indeks Dana
Bon ASEAN telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada bulan Julai 2005..
7.19
Meningkatkan Kecekapan Institusi Pasaran. Bagi mempertingkat kedudukan
strategik dan kecairan pasaran modal serta memperluas akses kepada
pelaburan dan produk melalui pasaran tunggal, Bursa Opsyen dan Niaga
Hadapan Kewangan Kuala Lumpur Berhad (KLOFFE) dan Bursa Komoditi dan
Kewangan Malaysia (COMEX) telah digabung pada bulan Jun 2001. Langkah
ini disusuli dengan penggabungan Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut
Harga Automasi Malaysia Berhad (MESDAQ) dengan Bursa Saham Kuala Lumpur
(BSKL) pada bulan Mac 2002. Di samping itu, Bursa Malaysia yang sebelum
ini adalah BSKL demutualisasi pada tahun 2004 dan seterusnya
disenaraikan pada bulan Mac 2005. Sehubungan ini, Dana Pembangunan
Pasaran Modal telah diwujudkan bagi menggalakkan pertumbuhan dan
inovasi dalam pasaran modal.
7.20
Meningkatkan Kecairan dan Kecekapan Pasaran Saham. Kerajaan melaksana
beberapa inisiatif bagi meningkatkan kecairan pasaran saham. Pada tahun
2003, lot dagangan dikurangkan kepada 100 unit dan apungan bebas
ditingkatkan dengan mengurangkan moratorium terhadap pegangan saham
oleh penganjur Kerajaan juga melancarkan program transformasi 10 tahun
untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada tahun 2005 bagi menjadikan
GLCmenarik kepada pelabur, manakala Bajet 2006 memperkenal cukai dan
kawal selia yang dipermudah bagi menggalakkan penggabungan dan
pengambilalihan.
7.21
Membina Pengantara yang Berdaya Saing. Berikutan daripada penggabungan,
bilangan syarikat broker saham (SBC) milik tempatan berkurang daripada
60 kepada 32 pada akhir tahun 2005. Enam SBC muncul sebagai Broker
Universal. Pelonggaran peraturan dilaksanakan dengan membenarkan
pembukaan cawangan dan pengembangan skop aktiviti. Rangka kerja bagi
mempermudah pewujudan bank pelaburan juga telah diperkenal. Di samping
itu, lima broker saham global beroperasi di Malaysia.
7.22
Pasaran Modal Islam. Pasaran modal Islam Malaysia terus mencatat
pertumbuhan yang kukuh. Sehingga bulan Oktober 2005, sejumlah 857 atau
85 peratus daripada jumlah penyenaraian di Bursa Malaysia adalah
diluluskan mengikut prinsip Syariah. Suruhanjaya Sekuriti (SC)
mengeluarkan Garis Panduan Tawaran Sekuriti Berasaskan Prinsip Islam
dan memperluas proses kajian semula pematuhan Syariah terhadap sekuriti
peringkat pra-tawaran awam permulaan (IPO). Bagi meningkatkan profil
antarabangsa pasaran modal Islam Malaysia , Kerajaan melancarkan bon
Islam berdaulat yang pertama di dunia pada bulan Jun 2002.
7.23
Modal Teroka. Industri modal teroka terus berkembang dengan stabil pada
kadar tahunan 10.6 peratus dengan bilangan dana meningkat daripada 31
pada tahun 2001 kepada 48 pada tahun 2005, manakala syarikat pelabur
meningkat daripada 159 kepada 380 dalam tempoh yang sama. Kerajaan
adalah sumber terbesar dana modal teroka, diikuti oleh syarikat swasta.
Sebahagian besar pelaburan adalah dalam sektor teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) dan diikuti oleh sektor pembuatan dan bioteknologi.
7.24
Industri Pengurusan Pelaburan. Industri unit amanah berkembang pesat
dengan bilangan dana yang dilancarkan meningkat daripada 127 pada tahun
2000 kepada 340 pada akhir tahun 2005 dengan nilai aset bersih
berjumlah RM98.5 bilion. Dalam tempoh yang sama, bilangan dana unit
amanah berasaskan Syariah meningkat daripada 17 kepada 83 dengan nilai
aset bersih meningkat lima kali kepada RM8.5 bilion. Dana indeks
Syariah pertama perkenalkan pada bulan Januari 2002. Dana Amanah
Pelaburan Hartanah (REITs) dilancarkan pada tahun 2004. Dana dagangan
bursa dan dana pelaburan terbuka pula diperkenal pada bulan Jun 2005.
7.25
Kumpulan Wang Simpanan dan Pencen. Peranan kumpulan wang simpanan dan
pencen dalam penggemblengan simpanan jangka panjang meningkat dengan
ketara. Jumlah aset kumpulan wang ini berkembang pada kadar 34.3
peratus kepada RM291.3 bilion pada tahun 2004. Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) adalah 82.5 peratus daripada jumlah aset kumpulan wang
tersebut. Kepelbagaian peruntukan aset kumpulan wang simpanan ini juga
meningkat untuk memanfaatkan peningkatan peluang dalam pasaran modal
dengan 16.3 peratus pelaburan adalah berbentuk pinjaman dan 13.6
peratus dalam bentuk sekuriti hutang swasta.
7.26
Pasaran Derivatif. Pasaran derivatif menyediakan lebih banyak instrumen
lindung nilai bagi memenuhi keperluan pelabur yang semakin meningkat
dalam mengurus dan mempelbagai risiko kewangan. Selaras dengan
perkembangan pesat pasaran bon tempatan, Kontrak Niaga Hadapan Sekuriti
Kerajaan Malaysia (MGS) untuk tempoh 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun
diperkenalkan pada tahun 2002 dan 2003. Kontrak Niaga Hadapan Minyak
Isi Rong Kelapa Sawit (FPKO) dilancarkan pada tahun 2004. Pemilikan
ekuiti firma broker niaga hadapan diliberalisasi manakala broker niaga
hadapan dan pengurus dana niaga hadapan dibenarkan melabur dalam
pelbagai kontrak niaga hadapan dalam pasaran luar negara.
Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan
7.27
Usaha yang lebih diambil bagi mempromosi Labuan sebagai pusat kewangan
luar pesisir antarabangsa (IOFC). Dalam tempoh Rancangan, sebanyak
2,431 syarikat luar pesisir baru telah ditubuhkan di Labuan menjadikan
jumlah syarikat sebanyak 5,152 sejak Labuan diisytihar sebagai IOFC
pada bulan Oktober 1990. Syarikat luar pesisir yang didaftarkan di
Labuan berasal daripada 93 buah negara dengan 53 peratus dari rantau
Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pasifik, 16 peratus
Timur Jauh, 15 peratus rantau Amerika, 14 peratus Eropah dan 2 peratus
Timur Tengah. Perbankan dan kewangan Islam terus dibangunkan sebagai
segmen pasaran strategik terpilih bagi Labuan. Pada akhir tahun 2005,
enam buah bank Islam termasuk dua bank Islam asing telah ditubuhkan di
Labuan. Bagi pasaran modal Islam, enam instrumen Islam disenarai di
Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan (LFX) dengan permodalan pasaran
sejumlah US$2.1 bilion. Dalam bidang takaful, Labuan menawarkan takaful
am dan keluarga, takaful semula, pengurusan takaful dan perkhidmatan
penajajaminan.
Koperasi
7.28
Lebih daripada 60 peratus koperasi menumpu kepada penyediaan kredit
pengguna dan selebihnya adalah pinjaman kecil untuk aktiviti
pengangkutan, pembinaan dan perumahan. Saiz, keahlian dan aset koperasi
adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 7-4. Dasar Koperasi Negara
(NCP), 2002-2010, dilancarkan pada tahun 2002 bertujuan untuk
pembangunan semula koperasi secara teratur. Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (MCC) diluluskan untuk mengganti Jabatan Pembangunan Koperasi
mengawal selia dan mengawasi sektor koperasi dengan berkesan serta
merealisasikan potensi sektor ini.
Jadual 7-4 : Prestasi Koperasi, 2006-2010
III : PROSPEK 2006-2010
7.29
Dalam tempoh RMKe-9, sektor perkhidmatan kewangan dijangka berkembang
pada kadar tahunan purata 7.0 peratus dengan bahagian kepada KDNK
meningkat kepada 15.8 peratus pada tahun 2010. Guna tenaga sektor ini
dijangka berkembang pada kadar tahunan purata 2.5 peratus. FSMP dan CMP
akan terus menyediakan rangka kerja bagi pembangunan sektor
perkhidmatan kewangan.
7.30
Usaha juga akan diambil bagi melengkapkan modal insan sektor ini dengan
kemahiran dan kepakaran yang berkaitan serta menggalakkan budaya
pembelajaran berterusan. Dasar yang jelas tentang garis panduan dan
amalan berkaitan dengan pengurusan bakat akan diperkenal bagi
melahirkan pekerja profesional dan terlatih. Bagi memenuhi permintaan
yang semakin meningkat terhadap pakar kewangan Islam peringkat global,
Malaysia akan menubuhkan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam
(INCEIF) yang akan menjadi badan pensijilan profesional dan institusi
latihan bagi siswazah peringkat lepasan ijazah. Bagi memenuhi
permintaan kepada kepakaran khusus bidang pasaran modal, usaha yang
lebih akan ditumpu kepada menambah lebih ramai pakar dalam bidang ini,
mewujudkan pusat kecemerlangan intelektual dan mempercepat bina upaya.
Perhatian khusus akan diberi bagi meningkatkan penawaran peserta
Bumiputera mahir dalam pasaran modal.
7.31
Inisiatif bagi memperkasa pengguna melalui peruntukan tentang
penyediaan maklumat yang sesuai akan terus dipergiat supaya pengguna
bertanggungjawab terhadap keputusan kewangan mereka. Usaha untuk
meningkatkan kesedaran pengguna dan aktiviti kepenggunaan akan terus
dipertingkat melalui program pendidikan pengguna khusus serta
memperkukuh keseluruhan infrastruktur perlindungan pengguna. Di samping
itu, rangka kerja kawal selia akan terus diperkukuh bagi menyediakan
perlindungan pengguna yang lebih baik serta meningkatkan penyeliaan dan
pengawasan. Bagi industri takaful khususnya, pelindungan pengguna akan
diperkukuh dengan menubuhkan tabung skim jaminan takaful yang akan
menjadi perlindungan terakhir kepada pengguna sekiranya pengendali
takaful gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
7.32
Dalam RMKe-9, teras keseluruhan pembangunan sektor perkhidmatan
kewangan adalah untuk membangunkannya menjadi satu sektor yang lebih
kukuh untuk menyokong pembangunan sosio ekonomi dan mengambil peluang
daripada pertumbuhan dan kekayaan baru. Strategi utama adalah seperti
berikut:
a) membangunkan sektor perkhidmatan kewangan berdaya saing bertaraf antarabangsa melalui liberalisasi progresif;
b) menggalakkan institusi kewangan tempatan yang berdaya saing dan memupuk pengembangannya ke pasaran serantau;
c) menambah baik sistem penyampaian rangka kerja kawal selia dan meningkatkan penguatkuasaan;
d) membangunkan Malaysia
sebagai pusat antarabangsa bagi perbankan dan kewangan Islam serta
memulakan pengkhususan terpilih pasaran modal peringkat serantau dan
global;
e) menumpukan IKP ke arah pembangunan EKS yang berdaya saing dan berorientasi global;
f) mempromosi Labuan
sebagai sebuah Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC) yang
unik terutama bagi produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang
inovatif; dan
g) menggembleng sumber dan menambah baik kebolehan koperasi sebagai sumber pembiayaan alternatif.
Sistem Perbankan
7.33
RMKe-9 adalah seiring dengan pelaksanaan bahagian kedua fasa kedua dan
sepenuhnya fasa ketiga FSMP. Fasa ketiga bertujuan untuk meningkatkan
lagi integrasi sistem kewangan dalam negeri dengan persekitaran global.
Perakuan FSMP akan dilaksanakan secara sistematik, digerakkan oleh
keperluan untuk terus kekal praktikal dan dipandu oleh proses
perundingan. Rangka kerja kawalselia sedia ada akan dikaji semula
dengan objektif untuk mencapai keseimbangan antara menggalakkan inovasi
dengan pembangunan pasaran dan memastikan kestabilan kewangan melalui
keperluan berhemat. Bebanan kawal selia akan dikurangkan bagi
mewujudkan persaingan adil dalam sektor kewangan. Langkah liberalisasi
berperingkat, termasuk kemungkinan memperkenal persaingan baru dari
luar yang akan dilaksana secara teratur bagi memastikan pemanfaatan
yang maksimum di samping memelihara keseluruhan kestabilan kewangan.
7.34
Menambah Baik Kecekapan. Kumpulan perbankan tempatan akan digalakkan
menyediakan kaedah penyelesaian kewangan yang lengkap dan bersepadu
kepada pengguna dan mencapai kecekapan dari segi kos melalui
penyeragaman kumpulan. Penekanan akan diberi bagi meningkatkan peranan
syarikat kewangan induk melaksanakan strategi kumpulan yang
menggalakkan diversifikasi risiko dan pendapatan, mewujudkan sinergi
dan meningkatkan penjenamaan. Penggunaan ICT secara meluas juga akan
digalakkan bagi meningkatkan kebolehan pengurusan risiko, memperbaik
sistem penyampaian dan menyedia perkhidmatan tanpa gangguan dan
mengikut keperluan. Tekanan kompetitif akan mempercepat pemakaian
amalan terbaik dan standard antarabangsa ke arah memperkukuh tahap
profesionalisme serta menggalakkan institusi perbankan terus membezakan
mereka melalui penawaran produk dan perkhidmatan.
7.35
Memperluas ke Pasaran Serantau. Berikutan munculnya lebih banyak
peluang hasil daripada integrasi dan kerjasama ekonomi serantau,
institusi kewangan akan digalakkan untuk meningkatkan pedan kompetitif.
Peranan ini perlu bagi menyokong perdagangan dan pelaburan antara
serantau serta menyokong usahawan tempatan di luar negara. Bagi tujuan
ini, institusi perbankan perlu diperlengkap dengan sumber dan kepakaran
yang bersesuaiabersaing dengan berkesan.
7.36
Menambah Baik Akses EKS kepada Pembiayaan. Institusi perbankan akan
terus menjadi salah satu pembiaya utama kepada EKS dan dilengkapi oleh
Kerajaan dalam bentuk dana khas dan pakej pembiayaan. Skim pembiayaan
Kerajaan termasuk pembiayaan kepada enterpris mikro dan EKS yang
terlibat dalam sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian
terutama dalam bidang pertumbuhan yang sedang berkembang seperti
bioteknologi dan ICT. Peranan Bank SME yang baru ditubuhkan akan terus
ditingkatkan sebagai penggembleng dan penyedia sumber pembiayaan
alternatif serta mempermudah akses kepada perkhidmatan bukan kewangan
yang berkaitan. Antara lain, Bank SME akan menyediakan jaminan ke atas
pinjaman EKS yang diperoleh dari institusi perbankan lain serta
melicinkan pensekuritian pinjaman EKS bagi membolehkan mereka
memanfaatkan pasaran modal. Bagi menggalakkan penyertaan yang lebih
daripada EKS dalam pasaran eksport, peraturan pembiayaan perdagangan
baru akan diperkenal meliputi pembiayaan pra dan pasca penghantaran
barangan. Langkah juga akan diambil untuk menambah baik penyampaian
maklumat mengenai pelbagai skim pembiayaan serta perkhidmatan
perundingan dan sokongan nasihat.
7.37
Dana Modal Teroka bagi Pertanian. Dua dana modal teroka sektor
pertanian berjumlah RM150 juta setiap satu diwujudkan oleh Bank Negara
Malaysia (BNM) bagi menyokong objektif Kerajaan merealisasikan potensi
sektor pertanian sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi yang ketiga.
Tumpuan dana modal teroka ini adalah untuk mewujud dan membangunkan
secara bersepadu perniagaan berasaskan pertanian. Pelaburan disasarkan
kepada sektor perladangan bersepadu dan perikanan serta usaha sama
dalam bidang yang berkaitan dengan bioteknologi.
Sistem Kewangan Islam
7.38
Industri perbankan Islam akan terus berkembang seiring dengan perbankan
konvensional. Pada tahun 2010, industri perbankan Islam dijangka
menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan sektor perbankan dan
insurans. Bagi meningkatkan sistem kewangan Islam tempatan serta
mengintegrasikan lagi dengan infrastruktur kewangan antarabangsa,
inisiatif strategik akan terus diambil untuk memperkukuh kedudukan
Malaysia sebagai hab kewangan Islam global. Langkah ini dijangka
memperkukuh hubungan kewangan, perdagangan dan pelaburan serta rantaian
antara Malaysia dengan negara lain.
7.39
Membangunkan Hab Kewangan Islam Global. Memanfaatkan kekuatan dan
pengalaman Malaysia sejak dahulu , hab kewangan Islam global ini akan
menjadi platform bagi permulaan, penerbitan dan dagangan pasaran modal
Islam dan instrument perbendaharaan , pengurusan dan harta, pasaran
perkhidmatan kewangan Islam luar pesisir serta perniagaan takaful dan
takaful semula. Hab ini akan dilengkapi dengan penubuhan pusat
kecemerlangan pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan dalam
bidang perbankan dan kewangan Islam Malaysia juga akan mempunyai
institusi kewangan Islam. diambil termasuk memupuk institusi kewangan
Islam tempatan supaya menerokai pasaran luar negara, mempromosi jenama
Malaysia di peringkat global, mewujudkan sistem penyampaian yang cekap
dan berkesan, mengadakan pakatan strategik dengan pusat kewangan lain
serta mewujudkan dasar kewangan bagi sistem kewangan Islam. Usaha gigih
akan diarah kepada menyediakan peraturan dan kawal selia berhemat yang
perlu bagi melicinkan pembangunan sistem kewangan Islam yang kukuh dan
cekap.
7.40
Takaful. Industri takaful akan dibangunkan sebagai salah satu komponen
penting dalam sistem kewangan menjelang tahun 2010. Dalam tempoh
Rancangan , objektif utama ialah untuk membangun sebilangan pengendali
takaful yang kukuh dan bermodal tinggi serta menawarkan rangkaian
produk dan perkhidmatan takaful yang lengkap. Langkah akan diambil
untuk meningkatkan keupayaan pengendali takaful memanfaatkan ciri-ciri
unik takaful. Usaha ini termasuk memastikan terdapatnya individu dan
kumpulan pengurusan yang terlatih dan berkaliber tinggi dengan
kepakaran yang diperlukan dari segi pematuhan Syariah dan pembangunan
produk . Lesen takaful tambahan akan dikeluarkan kepada pihak yang
layak untuk lebih persaingan serta memperluas lagi perniagaan takaful
bagi membolehkan industri ini mencapai sasaran 20 peratus daripada
keseluruhan industri insurans.
7.41
Pengendali takaful Malaysia akan juga digalakkan untuk meningkatkan
penglibatan mereka di peringkat global melalui penyertaan ekuiti atau
kepakaran pengurusan dengan rakan asing dalam bidang ini. Dengan
penubuhan Persatuan Takaful Malaysia, usaha bagi meningkatkan
pengurusan pasaran industri takaful dan memperkukuh perlindungan
pengguna akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan cekap.
Saluran penyampaian alternatif seperti banktakaful,penasihat kewangan
dan Internet akan terus dibangunkan. Profesionalisme agensi pelaksana
akan dipertingkat bagi memastikan perkhidmatan pengguna sistem kewangan
Islam. Usaha gigih akan diarah kepada menyediakan peraturan yang lebih
baik.
7.42
Bagi melindungi kepentingan dan meningkatkan keyakinan orang awam
terhadap industri takaful, inisiatif berkaitan kawal selia dan
pengawasan akan bertumpu ke arah memperkukuh keteguhan kewangan dan
kemampanan industri ini. Kawal selia mengenai keperluan mampu bayar dan
kecukupan modal yang merupakan aspek enting kepada penyeliaan berhemat
akan diperkemas. Usaha kawal Selia dan penyeliaan masa depan akan juga
di tumpukan kearah memperkukuh amalan tadbir urus dan memupuk lebih
budaya pengurusan risiko dalam industri takaful. Peningkatan rangka
kerja perundangan khususnya yang berkaitan dengan pelindungan pengguna
akan dilaksanakan. Menyedari potensi takaful semula dalam memenuhi
keperluan pengendali takaful, penekanan akan diberikan ke arah
meningkatkan lagi industri ini. Usaha ini termasuk memperkukuh ASEAN
Re-takaful International Ltd. (ARIL) bagi meningkat keupayaan dan
kebolehan serta memperkemas kedudukannya sebagai pengendali takaful
semula yang penting di rantau ini.
Institusi Kewangan Pembangunan
7.43
IKP akan terus melengkapi institusi perbankan dalam penyediaan
pembiayaan Khususnya dalam sektor yang diberi keutamaan dan bidang
pertumbuhan baru .Bagi memastikan IKP mampu melaksanakan secara
berterusan mandat dengan lebih berkesan dan cekap, penyusunan semula
dan penyeragaman empat IKP yang dilaksanakan dalam tempoh RMKe-8 akan
disusuli dengan usaha meningkatkan modal asas , keupayaan pengurusan
dan tadbir urus korporat. IKP juga dijangka akan akan memainkan peranan
yang lebih besar dalam menyediakan perkhidmatan bukan kewangan termasuk
sebagai pusat rujukan dan data bagi maklumat tentang kredit serta
pembangunan sistem pemarkahan kredit bagi sektor sasar. Di samping
itu,susunan institusi beberapa IKP terpilih akan diperkukuh bagi
membolehkan penyediaan skim pembiayaan mikro secara berterusan berlandaskan amalan terbaik antarabangsa.
Industri Insurans
7.44
Industri insurans dijangka mempunyai peluang yang besar untuk
berkembang terutama hasil daripada perubahan demografi segi pertambahan
golongan meningkat usia beserta dengan peningkatan kekayaan dan
kesedaran yang semakin tinggi terhadap keperluan dan faedah insurans.
Oleh itu, industri ini perlu memperkemas kedudukan kewangan dan
reputasi bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap perkhidmatan
insurans. Usaha juga akan diteruskan untuk meningkatkan bina upaya
industri ini. Langkah ini meliputi pemantauan dan menggerakkan
inisiatif bagi pembangunan keupayaan modal insan untuk memastikan
standard industri terus dipertingkatkan selaras dengan peningkatan
harapan pengguna dan pasaran kewangan yang semakin canggih. Tumpuan
yang lebih juga akan diberikan bagi memperkukuh peranan disiplin
pasaran bagi mewujudkan suasana perkhidmatan pengguna yang ditambah
baik serta standard integriti dan profesionalisme yang tinggi. Keadaan
ini akan dapat dicapai melalui peningkatan dalam pendidikan dan
kesedaran pengguna, menggalakkan lebih lagi ketelusan dalam
pengendalian perniagaan insurans dan peningkatan tahap profesionalisme
yang berterusan.
7.45
Menambah Baik Pengurusan Risiko. Tumpuan yang berterusan akan diberikan
ke arah memperkukuh keupayaan pengurusan risiko kewangan di kalangan
penanggung insurans bagi menyokong pelaksanaan rangka kerja modal
berasaskan risiko. Usaha ini akan dilengkapi dengan pembangunan pasaran
modal secara berterusan yang akan memperkembang saluran pelaburan
penanggung insurans untuk menambah baik pengurusan aset liabiliti.
7.46
Liberalisasi. Langkah melonggarkan lagi kawal selia dan liberalisasi
akan terus diperkenalkan dalam tempoh Rancangan. Usaha ini termasuk
membenarkan penanggung insurans asing membuka pejabat cawangan,
pelonggaran kawal selia secara progresif berkaitan harga produk
insurans berkadar tarif, pengurusan pelaburan yang lebih anjal dan
permansuhan had perbelanjaan pengurusan. Selain itu, usaha ini juga
termasuk penambahbaikan berterusan standard penzahiran bagi
menggalakkan lagi disiplin pasaran dalam persekitaran yang lebih
longgar. Sejajar dengan usaha pelonggaran ini, rangka kerja berhemat
akan terus disesuaikan bagi mewujudkan amalan kewangan dan perniagaan
yang kukuh. Di samping itu, bagi menggalakkan lagi integrasi
antarabangsa, lesen baru akan dikeluarkan dan peluang yang lebih besar
akan disediakan kepada penanggung insurans yang mempunyai reputasi
antarabangsa untuk memiliki ekuiti atau mengadakan pakatan strategik
dengan penaggung insurans tempatan dalam sektor insurans dan insurans
semula.
Pasaran Modal
7.47
Dalam tempoh Rancangan, fasa ketiga CMP akan dilaksana dengan
menumpukan ke arah meningkatkan daya saing antarabangsa dan mengambil
faedah ke atas asas yang telah dibina semasa fasa pertama dan kedua
CMP. Inisiatif akan ditumpukan ke arah memperluas dan mendalamkan lagi
pasaran modal, mempromosikan profil pasaran modal Malaysia ke peringkat
serantau dan antarabangsa serta mengenal pasti peluang pertumbuhan
baru. Teras strategik umum bagi mencapai objektif ini ialah
meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran utama, memastikan
sumber pembiayaan yang mencukupi bagi membangunkan sumber pertumbuhan
baru, meningkatkan kecairan dan ketelusan dalam pasaran bon sekunder
dan menjadikan Malaysia sebagai suatu hab dunia untuk pasaran modal
Islam. Pada masa yang sama, tumpuan adalah juga ke arah meningkatkan
peranan industri pengurusan pelaburan dalam pengemblengan simpanan dan
mempercepat pembangunan pasaran derivatif serta meningkatkan penggunaan
teknologi dan jalinan antara segmen pasaran, meningkatkan sistem
penyampaian perkhidmatan kawal selia dan membangunkan modal insan bagi
membina sebuah pasaran bertaraf dunia.
7.48
Membangunkan Malaysia sebagai Pasaran Modal Utama. Bagi menjadikan
Malaysia sebagai sebuah pasaran utama, inisiatif akan diambil bagi
meningkatkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai satu destinasi bagi
penyenaraian, hab untuk pengantaraan serta hos kepada syarikat yang
berkualiti tinggi dan inovatif yang mempunyai tadbir urus korporat yang
baik. Sehubungan ini, langkah akan diperkenal untuk meningkatkan
kualiti rangka kerja pasaran bagi memastikan pasaran modal Malaysia
menarik kepada penerbit, pengantara dan pelabur. Usaha akan ditumpukan
ke arah membina syarikat Malaysia tersenarai yang berkualiti tinggi dan
berdaya saing yang mampu menarik lebih banyak pelabur tempatan dan
antarabangsa serta modal. Langkah ini akan diperlengkap dengan usaha
membawa GLC tersenarai ke tahap baru dari segi prestasi dan daya tahan.
7.49
Membiayai Sumber Pertumbuhan Baru. Usaha berterusan akan diambil untuk
mengukuhkan peranan pasaran modal dalam menyediakan akses pembiayaan
yang berpatutan dari segi kos termasuk kepada EKS. Sehubungan ini,
pasaran modal akan menjadi pelengkap berkesan kepada sumber pembiayaan
tradisional kepada EKS dengan memudahkan pengenalan instrumen
pembiayaan inovatif kepada enterpris dalam peringkat permulaan yang
berintensifkan pengetahuan dan inovasi. Dalam hal ini, cagaran tidak
nyata seperti idea, pengetahuan dan kepakaran dijadikan aset prinsipal
untuk mendapatkan dana daripada pasaran modal.
7.50
Meningkatkan Kecairan dan Ketelusan dalam Pasaran Bon Sekunder.
Inisiatif akan ditumpukan ke arah mendalam dan meluaskan lagi pasaran
bon sekunder dengan mengembangkan pilihan dan struktur produk terutama
bagi tujuan memanjangkan tempoh pegangan dan meluaskan spektrum risiko.
Di samping itu, inisiatif akan diambil untuk menambah baik kecairan
pasaran sekunder dengan meningkatkan infrastruktur dagangan, memperluas
akses pasaran dan meningkatkan bilangan dan perwakilan peserta dalam
pasaran bon. Selaras dengan ini, rangka kerja kawal selia termasuk
keperluan penzahiran maklumat akan dikaji semula. Usaha juga akan
diambil ke arah meliberalisasikan lagi rangka kerja kawal selia sedia
ada bagi mempertingkat inovasi produk. Sejajar dengan ini, inisiatif
akan dikenal pasti bagi mewujudkan spektrum yang lebih luas bagi aset
dan instrumen inovatif berstrukturkan prinsip Syariah dan konvensional.
Kerajaan juga akan menggalakkan integrasi pasaran bon Asia.
7.51
Menjadikan Malaysia sebagai Hab Global bagi Produk dan Perkhidmatan
Pasaran Modal Islam. Usaha akan dipergiat untuk meningkatkan kedudukan
Malaysia sebagai penyedia utama produk dan perkhidmatan pasaran modal
Islam dengan memperkukuhkan peranan institusi Islam dalam proses
pengantaraan tempatan terutama dari segi menggembleng simpanan dan
memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi. Penekanan yang lebih
akan diberikan bagi mempertingkat rantaian antara institusi tempatan
dengan pusat pasaran modal Islam lain ke arah membina jaringan pasaran
modal Islam global melalui perkongsian pengetahuan mengenai produk,
saluran pengagihan dan sumber lain. Promosi hubungan perdagangan yang
merentasi sempadan dan rantaian pelaburan dijangka akan memberikan
sumbangan yang ketara kepada perkembangan pasaran modal Islam Malaysia.
7.52
Meningkatkan Peranan Industri Pengurusan Pelaburan. Lebih inisiatif
akan dilaksanakan untuk mempercepat pertumbuhan dan pembangunan
industri pengurusan pelaburan serta untuk mengembangkan pilihan produk
yang berkesan dari segi kos bagi meningkatkan peranan industri dalam
menggembleng simpanan serta memenuhi pelbagai permintaan dari
penyimpan. Usaha ini akan diperlengkap dengan inisiatif bagi memastikan
kawal selia yang komprehensif untuk mengekalkan standard
profesionalisme serta tahap perlindungan pelabur dan tadbir urus
korporat yang tinggi. Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan
tahap kesedaran dan pengetahuan pelabur mengenai perancangan kewangan
dan pengurusan kekayaan serta kewujudan produk kewangan. Langkah juga
akan diambil untuk memperbaik penzahiran maklumat dan pengukuran
prestasi untuk membantu pelabur memahami risiko dan pulangan terhadap
pelaburan mereka.
7.53
Mempercepat Pembangunan Pasaran Derivatif. Pasaran derivatif akan terus
menjadi saluran pelaburan alternatif serta menyediakan kemudahan
lindung nilai yang berkesan dari segi kos dan pengurusan risiko.
Sehubungan ini, usaha akan dipergiat untuk meningkatkan inovasi produk
bagi menggalakkan pertumbuhan derivatif serta memperhalus dan meluaskan
liputan pasaran modal.Keutamaan akan diberikan ke arah membina
keupayaan institusi bagi melaksanakan inovasi produk dan rangka kerja
kawal selia akan diperkukuh untuk menyokong pembangunan instrumen
kewangan yang inovatif. Garis panduan akan disediakan untuk membenarkan
pengurus dana menggunakan derivatif dalam pengurusan portfolio.
Pelaksanaan pengantara dagangan tunggal yang baru untuk pasaran
derivatif juga akan membantu memperkenal produk baru, algoritma
dagangan dan mekanisme lelongan. Platform baru ini akan meningkatkan
dari segi kebolehan mengintegrasikan berbagai pelaksanaan pesanan di
kalangan segmen pasaran yang berbeza di satu platform sahaja. Usaha ini
akan meningkatkan dagangan pasaran melalui peningkatan penyertaan
pengantara dan pelabur. Langkah ini beserta dengan peningkatan
penglibatan pihak asing dalam pasaran modal Malaysia akan memberi impak
yang besar kepada kecairan dan kecergasan pasaran derivatif.
7.54
Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kawal Selia. Rangka kerja dan
proses kawal selia akan diselaras melalui penggabungan keperluan
perlesenan, manakala masa bagi proses kelulusan korporat dan kelulusan
lain akan dipendekkan. Usaha akan juga ditumpukan ke arah menyelaraskan
lagi kawal selia dengan tujuan meningkatkan kecekapan perniagaan dan
keberkesanan dari segi kos di samping memastikan satu rangka kerja yang
kukuh untuk penguatkuasaan tadbir urus korporat yang baik. Sehubungan
ini, pihak pengawal selia akan meningkatkan penyampaian perkhidmatan
kepada pihak awam dalam bentuk yang luas dan cekap. Inisiatif akan
diambil bagi memastikan penguatkuasaan adalah bertepatan masa dan
berkesan. Usaha akan ditumpukan ke arah memastikan liputan kawal selia
adalah cekap dan saksama dalam menangani isu perlindungan pelabur dan
integriti
7.55
Berikutan peningkatan kecanggihan pasaran modal Malaysia, mekanisme dan
keupayaan swadisiplin di kalangan syarikat tersenarai perlu
diperkukuhkan serta meningkatkan pergantungan kepada peraturan pasaran
bagi membolehkan pasaran lebih jitu, fleksibel dan bertepatan masa
dalam menjaga kepentingan pelabur dan orang awam. Untuk tujuan
swadisiplin, organisasi swakawal selia digalakkan memantau gelagat dan
etika perniagaan di kalangan peserta pasaran.
7.56
Peranan SC sebagai sebuah agensi pengawasan dan penguatkuasaan akan
dipertingkat. Usaha ini termasuk mengukuhkan keupayaan dan kebolehan
pengurusan risiko serta meningkatkan lagi pendekatan proaktif dan
preemtif bagi pengawasan dan penguatkuasaan. Langkah ini akan terus
membolehkan pengambilan faedah daripada kerjasama dengan pengawal selia
pasaran modal antarabangsa khususnya dalam mengenal pasti dan mendakwa
kesalahan sekuriti dan korporat yang merentasi sempadan.
7.57
Meningkatkan Penggunaan ICT antara Segmen Pasaran. Kebanyakan aspek
pembangunan pasaran modal akan terus didorong oleh kemajuan dalam
bidang maklumat dan teknologi, inisiatif teknologi yang diambil oleh
Bursa Malaysia dalam memperkenal platform dagangan bersepadu serta
sistem penjelasan dan penyelesaian akan diteruskan. Usaha ini akan
dilengkap dengan mewujudkan pemprosesan terus bertahap tinggi yang
menghubungkan sistem pembayaran tempatan dengan global . Pada peringkat
perniagaan , langkah melonggar kawal selia akan dilaksana untuk
mewujudkan persekitaran bagi memudahkan pengambilan faedah dari
teknologi untuk tujuan pelaksanaan pesanan, penyampaian perkhidmatan
dan maklumat kepada pelanggan.
Kumpulan Wang Simpanan dan Pencen
7.58
Berikutan perubahan sosial dan demografi seperti peningkatan jangka
hayat, penduduk meningkat usia dan perubahan keutamaan, strategi baru
akan dipertimbang untuk menyediakan penggantian pendapatan yang
mencukupi, memastikan kemampanan jangka panjang kumpulan wang ini,
memaksimumkan pulangan dan mengembangkan liputan serta melindungi
kepentingan pencarum. Sehubungan ini, pendekatan menyeluruh akan
diambil bagi meningkatkan keupayaan kumpulan wang ini membantu pesara
dalam memastikan mereka mempunyai jaminan kewangan yang mencukupi.
Kumpulan wang ini juga akan turut menjadi pengantara bagi menggembleng
simpanan dalam negeri dengan lebih berkesan untuk menggerakkan
pembangunan pasaran kewangan bagi menyokong pembangunan ekonomi.
Selaras dengan keseluruhan usaha untuk membangunkan sistem pencen
nasional dan menyediakan lebih persaingan dan kepelbagaian dalam
pengurusan institusi dana swasta, langkah akan diambil untuk
mempercepat pembangunan industri pencen swasta.
Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan
7.59
Bagi meningkatkan daya saing Labuan sebagai sebuah IOFC, aktiviti
promosi akan dipertingkat. Selaras dengan peningkatan permintaan global
terhadap perkhidmatan kewangan, penekanan akan diberikan untuk menarik
pelabur dan institusi dari Asia Pasifik, Timur Tengah dan Kesatuan
Eropah untuk menubuhkan cawangan di Labuan. Insentif yang lebih baik
akan dipertimbang untuk menggalakkan institusi antarabangsa menerbitkan
kertas kewangan serta melakukan penyenaraian dan perdagangan di LFX.
7.60
Kerajaan akan terus mengenal pasti pelbagai inisiatif strategik untuk
membangunkan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa
yang unik. Sehubungan dengan ini, bidang utama yang akan ditumpukan
termasuk membangunkan lagi perkhidmatan kewangan Islam dan konvensional
yang berkaitan dengan pasaran modal, pengurusan dana, pembiayaan
perdagangan serta takaful dan takaful semula dan wakaf tunai. Penekanan
yang lebih akan diberikan bagi mengukuhkan perundangan dan garis
panduan sedia ada, khusus yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan
Islam. Untuk melicinkan lagi perkembangan IOFC Labuan, rangka kerja
perundangan akan terus dipertingkat bagi memastikan kerelevanannya,
sejajar dengan keperluan global semasa dan mengukuhkan kuasa penyeliaan
Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) dan
mengekalkan reputasi dan daya saing Labuan sebagai sebuah IOFC
Koperasi
7.61
Bagi meningkatkan akses pembiayaan melalui koperasi, industri ini akan
diperkukuh dengan memberi keutamaan dalam meningkatkan keupayaan
kewangan dan kebolehan beroperasi. Bagi tujuan ini, MCC dijangka dapat
memainkan peranan penting dalam meneraju pelaksanaan NCP yang
menumpukan kepada pendekatan yang lebih menyeluruh dalam pembangunan
koperasi. Tumpuan adalah untuk memastikan kestabilan dan keteguhan
kewangan dan pengurusan koperasi. Usaha ini meliputi pendaftaran
mandatori, kawal selia dan penyeliaan semua koperasi termasuk koperasi
di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
7.62
Kementerian Kewangan, BNM dan SC akan terus menerajui perkembangan baru
dalam sektor perkhidmatan kewangan. Perbelanjaan dan peruntukan
pembangunan bagi menyokong sektor perkhidmatan kewangan dalam RMKe9,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 7-5. Tumpuan adalah untuk menyediakan
peruntukan yang mencukupi bagi pembangunan segmen utama dalam ekonomi
termasuk EKS dan bidang pertumbuhan baru seperti ICT dan bioteknologi.
Jadual 7-5 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Bagi Sektor Kewangan 2001-2010
V : PENUTUP
7.63 RMKe-8 mencatatkan penggabungan dan pengukuhan sektor perkhidmatan kewangan selepas krisis kewangan Asia berikutan daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh Danaharta, Danamodal dan CDRC. Berikutan penyeragaman, sistem perbankan menumpukan semula ke arah meningkatkan lagi produktiviti dan daya saing serta mendapatkan faedah daripada ekonomi ikut bidangan. Pasaran modal juga mencatat pembangunan pesat dan meningkatkan peranannya sebagai sumber pembiayaan alternatif. Teras pembangunan sektor perkhidmatan kewangan dalam RMKe-9 akan digerakkan ke arah mewujudkan sektor yang berdaya saing peringkat antarabangsa dan cekap di samping menggalakkan institusi kewangan tempatan mengembangkan aktiviti ke luar negara. Inisiatif utama termasuk menambah baik akses kepada pembiayaan bagi semua sektor terutama EKS, membangunkan modal insan yang perlu, menggalakkan lebih inovasi bagi produk dan perkhidmatan kewangan serta menyediakan rangka kerja kawal selia mesra pasaran dengan penguatkuasaan yang kukuh. Sistem kewangan Islam akan terus dibangunkan untuk memanfaatkan potensinya dan menjadi satu bidang pertumbuhan baru dengan mengambil faedah daripada kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan pesat membangun. Liberalisasi progresif akan terus diambil untuk memperoleh faedah maksimum kepada sektor dan ekonomi di samping memastikan kestabilan kewangan secara keseluruhan. Pelaksanaan sepenuhnya FSMP dan CMP pada akhir tempoh RMKe-9 akan menjadikan Malaysia sebagai satu pasaran kewangan maju yang baru muncul
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008