BAB 05 : MENGARUSPERDANAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI Pt 2

Pembangunan Tenaga kerja ICT

5.68 Memandangkan ICT semakin berkembang, permintaan terhadap pekerja ICT berkualiti tinggi, berkemahiran dan kreatif akan meningkat tinggi bagi mengupayakan penggunaan teknologi sedia ada dan membangunkan teknologi baru serta mengekalkan daya saing produk dan perkhidmatan ICT Malaysia di pasaran dunia. Jumlah tenaga kerja ICT dijangka meningkat pada kadar 10.4 peratus setahun daripada 183,204 orang pada tahun 2005 kepada 300,000 menjelang tahun 2010. Bagi memenuhi permintaan sumber tenaga ICT berkemahiran tinggi, program pembangunan berkaitan pendidikan, latihan dan kemahiran akan dipergiat. Usaha tersebut memerlukan latihan profesional dan teknikal secara formal di pelbagai peringkat serta latihan sambil bekerja bagi kemahiran tertentu terutamanya dalam industri dan perkhidmatan berkaitan ICT.

5.69 Program latihan dan pendidikan ICT akan dipergiat dan diperluaskan ke sekolah, prauniversiti dan IPT. Antara lain, pembangunan kemahiran teras dalam pelbagai bidang seperti pembangunan perisian dalam sains hayat dan aplikasi pengetahuan akan digalakkan. IPT tempatan akan diberi kelonggaran prakelulusan kurikulum sebanyak 10 peratus bagi membolehkan mereka membangunkan tajuk tertentu dalam kursus yang dijalankan dengan kerjasama industri dari masa ke semasa. Pakar daripada industri akan digalakkan untuk mengajar kursus tersebut dan insentif akan diberikan kepada industri yang menyokong inisiatif tersebut. Pengajian lepasan ijazah dan pengkhususan dalam bidang teras ICT seperti pembangunan perisian, semikonduktor dan reka bentuk cip, pembangunan kandungan digital, keselamatan maklumat dan bioinformatik akan digalakkan.

5.70 Dalam tempoh Rancangan, langkah meningkatkan keupayaan siswazah ICT mendapatkan pekerjaan akan terus dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan dan industri. Selain daripada program yang sedang dijalankan, Program Pembangunan Profesional MSC merupakan satu lagi inisiatif. Program tersebut akan dijalankan dengan kerjasama syarikat MSC bagi membangunkan pakar ICT berkemahiran tinggi dan tenaga kerja pengurusan berkaitan ICT yang sangat diperlukan termasuk mereka dalam bidang baru dan teknologi terkini. Institut Pembangunan ICT akan ditubuhkan bagi memadankan kemampuan institusi latihan dengan keperluan industri untuk membantu kebolehpasaran kemahiran yang diperolehi, terutamanya di kalangan siswazah ICT.

Mempercepatkan Pembudayaan e-Pembelajaran

5.71 Dengan meningkatnya pendigitalan ekonomi, pendidikan dan latihan berasaskan komputer dan web dijangka akan menjadi semakin meluas. Dalam hubungan ini, untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, program e-pembelajaran di dalam industri dan agensi kerajaan akan dipertingkat dalam tempoh Rancangan. Galakan inisiatif e-pembelajaran dalam proses pendidikan formal termasuk di sekolah, universiti dan institusi latihan lain akan terus diberi keutamaan bagi memenuhi pertambahan permintaan terhadap kandungan dan aplikasi e-pembelajaran. Inisiatif yang serupa dalam proses pendidikan tidak formal akan digalakkan bagi melengkapkan masyarakat luar bandar, warga emas dan orang kurang upaya dengan peralatan asas bagi meningkatkan penggunaan ICT dan memperbaiki taraf sosio ekonomi mereka.

5.72 Sektor swasta juga akan digalakkan untuk menyediakan persekitaran kondusif bagi e-pembelajaran memandangkan perubahan budaya kerja yang mendorong permintaan bagi aplikasi dan perkongsian pengetahuan di tempat kerja. Insentif baru dan ditambah baik akan diambil kira dalam usaha meningkatkan kemampuan dan keupayaan e-pembelajaran. Impak pembudayaan digital terhadap prestasi dan keupayaan tenaga kerja untuk berinovasi dan menyumbang kepada reka bentuk serta penggunaan aplikasi pengetahuan akan terus meningkatkan produktiviti dan daya saing. Bagi melaksanakan program e-latihan, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan akan menyediakan pelan terperinci yang merangkumi kandungan, standard, sistem dan proses akreditasi.

5.73 Rangka Tindakan Terperinci e-Pembelajaran Sektor Awam yang hampir siap akan menyediakan garis panduan, kaedah, standard dan sumber yang diperlukan secara terperinci bagi menggalakkan budaya e-pembelajaran di kalangan tenaga kerja kerajaan. Pelaksanan rangka tindakan terperinci tersebut merupakan keperluan penting bagi menyokong penggunaan ICT pada masa hadapan serta pengurusan pengetahuan di sektor awam.

Mempertingkat Keselamatan Maklumat

5.74 Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat untuk meningkatkan keselamatan maklumat bagi menjamin kerahsiaan, integriti dan ketersediaan sistem maklumat dalam talian. Sehubungan ini, Kajian Rangka Kerja Keselamatan Maklumat Kebangsaan yang dijalankan oleh Kerajaan akan menyediakan garis panduan yang menyeluruh mengenai pengurusan keselamatan maklumat, mekanisme untuk penyelarasan dan jaringan institusi serta strategi pembangunan modal intelek yang khusus. Garispanduan tersebut bertujuan meningkatkan integriti sistem dalam rangkaian, meningkatkan kepercayaan dan keyakinan dalam mekanisme dalam talian dan meningkatkan kualiti perkhidmatan menerusi pematuhan standard pengurusan keselamatan maklumat dan amalan terbaik. Aspek tersebut penting terutamanya kepada agensi yang menguruskan infrastruktur maklumat negara yang kritikal.

5.75 Menyedari kepentingan jaminan keselamatan aplikasi dan produk ICT, langkah akan diambil untuk menyediakan penilaian keselamatan berdasarkan standard dan pensijilan antarabangsa. Sehubungan ini, beberapa kemudahan makmal penilaian akan ditubuhkan untuk menjalankan penilaian risiko dan keselamatan produk tempatan bagi membantu menembusi pasaran dan mendapat penerimaan pengguna. Bagi mengurangkan lagi penyelewengan dan perlanggaran peraturan keselamatan dalam talian, struktur sokongan dan langkah peningkatan keupayaan di kalangan agensi yang berkaitan akan dipertingkat bagi memastikan undang-undang siber dan peraturan berkaitan yang sedia ada kekal sesuai dan boleh dikuatkuasakan.

5.76 Dalam tempoh RMKe-9, di samping menumpukan kepada peluasan pengkomputeran dalam talian di kalangan masyarakat umum, keutamaan akan terus diberikan kepada penggunaan ICT yang beretika. Kerajaan akan terus memperketatkan garis panduan mengenai tanggung jawab penggunaan Internet terutamanya di kalangan pengguna di rumah dan sekolah. NISER akan mempromosi program kesedaran bagi meningkatkan tahap kompetensi dalam pengkomputeran selamat, terutamanya mengenai langkah yang diperlukan bagi tindakan pembaikan segera. Usaha tersebut akan terus diperkukuhkan menerusi inisiatif oleh pembekal perkhidmatan Internet untuk menyediakan pilihan kemudahan menyaring maklumat kepada pelanggan Internet.

IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN

5.77 Dalam tempoh RMKe-9, pelbagai program pengkomputeran akan diterajui oleh kementerian dan jabatan yang berkenaan. Bagi program pembangunan infrastruktur BDD, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan terus menerajui pembangunan infrastruktur komunikasi serta menyokong dan menaik taraf telecentre dan SchoolNet dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pelajaran. Aplikasi Multimedia MSC akan diperluaskan oleh agensi pelaksana utama iaitu Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, bersama dengan MDC akan menerajui pembangunan dan promosi MSC, manakala MIMOS akan menerajui R&D dalam ICT.

5.78 Sejumlah RM12.9 bilion akan diperuntukkan kepada program dan projek berkaitan ICT, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-4. Sebahagian besar daripada peruntukan tersebut adalah untuk pengkomputeran kementerian dan agensi kerajaan serta inisiatif BDD terutamanya bagi membekal dan menyelenggara komputer dan akses kepada Internet. Dana khusus akan disediakan untuk menggalakkan pembangunan kandungan dan keusahawanan ICT.

Jadual 5-4 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Bagi Program Berkaitan ICT, 2001-2010

V : PENUTUP

5.79 Dalam tempoh RMKe-8, Malaysia telah berjaya mencapai kemajuan dalam meningkatkan kandungan maklumat dan pengetahuan dalam semua sektor ekonomi serta memastikan semua kumpulan masyarakat termasuk komuniti luar bandar mendapat manfaat daripada ICT. Dalam menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, Malaysia akan mengambil faedah daripada persekitaran rangkaian seiring dengan peluasan MSC yang seterusnya termasuk pembangunan bandar siber dan pusat siber yang dikenal pasti sesuai. Usaha tersebut bertujuan mengukuhkan lagi ICT sebagai sumber pertumbuhan baru dan penjanaan kekayaan dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab destinasi multimedia global yang berdaya saing khususnya SSO. Inisiatif seterusnya akan diambil untuk menarik pelaburan dalam bidang sedia ada dan dan baru termasuk penyediaan insentif yang ditambah baik, kajian semula undang-undang dan peraturan berkaitan pelaburan , dengan tujuan menyediakan pelaburan, dengan tujuan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan serta menyediakan sumber kewangan secukupnya.

5.80 Inisiatif strategic tersebut akan dilengkapi dengan usaha pembangunan sumber manusia, pembinaan kandungan tempatan, pengukuhan perlindungan IPR, meningkatkan keselamatan maklumat dan mengiatkan aktiviti yang diupayakan secara elektronik di kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, penyediaan infrastruktur, infostruktur dan persekitaran properniagaan yang diperlukan akan akan diperkukuhkan bagi menyediakan akses meluas kepada kemajuan ICT serta memberi lebih banyak peluang untuk menyertai ekonomi digital di peringkat global.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008