BAB 05 : MENGARUSPERDANAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
I : PENDAHULUAN
5.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), usaha gigih diambil
untuk menyediakan landasan yang lebih kukuh bagi membolehkan negara
beralih ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Menjurus kepada
matlamat ini, tumpuan diberikan kepada usaha menggalakkan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu strategik bagi menyokong
dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta
meningkatkan kualiti hidup penduduk. Pelaburan yang besar telah dibuat
untuk menyedia infrastruktur komunikasi bagi meningkatkan
kebolehcapaian serta menambah baik institusi dan persekitaran kawal
selia yang berkaitan. Penekanan yang lebih diberikan kepada usaha
meningkatkan tahap penggunaan ICT dalam pelbagai sektor ekonomi, antara
kawasan bandar dengan luar bandar serta di kalangan pelbagai lapisan
masyarakat.
5.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), perkembangan
persekitaran digital global dijangka memberikan kesan besar kepada
usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan
pengetahuan yang berdaya saing. Memandangkan ICT merupakan suatu
penentu utama dalam proses pembangunan bagi meningkatkan ekonomi dalam
rantaian nilai, usaha akan dipergiat untuk mengarusperdanakan akses
kepada perkhidmatan dan kemudahan ICT secara meluas serta menggalakkan
penerimaan dan penggunaan ICT yang lebih menyeluruh dalam semua aspek
kehidupan seharian. Persekitaran ini membolehkan rakyat Malaysia
mendapatkan akses dan menyertai peluang baru yang diwujudkan oleh
ekonomi berasaskan pengetahuan secara adil dan saksama. Langkah akan
diambil untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi ICT serta peluasan
infostruktur bagi meningkatkan sambungan jalur lebar untuk aplikasi
multimedia termaju, pembangunan kandungan tempatan, penggunaan meluas
e-dagang dan meningkatkan keselematan maklumat.
II : KEMAJUAN 2001-2005
5.03
Dalam tempoh RMKe-8, pelaburan oleh sektor awam dan swasta tertumpu
kepada pembinaan infrastruktur ICT utama. Usaha ini merupakan
sebahagian daripada langkah mewujudkan rangkaian kemudahan dan
perkhidmatan yang cekap dan pantas bagi menggalakkan penyebaran ICT
dalam ekonomi secara lebih meluas. Koridor Raya Multimedia (MSC) terus
menyediakan landasan dan persekitaran yang diperlukan untuk
meningkatkan lagi pembangunan industri ICT. Penggunaan ICT terus
dipertingkat menerusi penerimaan meluas ICT dalam perdagangan,
industri, pendidikan, kesihatan serta dalam semua aspek kehidupan.
Penaikan Taraf dan Peluasan Infrastruktur ICT
5.04
Dalam tempoh Rancangan, keutamaan diberikan kepada usaha peluasan
infrastruktur di kawasan luar bandar dan terpencil bagi meluaskan
kebolehcapaian infrastruktur komunikasi. Pelaburan tambahan disediakan
menerusi peruntukan Kerajaan dan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat
(USP) yang disumbangkan oleh pihak industri untuk meningkatkan akses
kepada infrastruktur ICT dari segi perkhidmatan telefoni asas, telefon
awam berbayar dan Internet terutamanya di kawasan luar liputan. Program
USP ini membolehkan sebahagian besar daerah serta sekolah, klinik dan
perpustakaan di luar bandar dilengkapkan dengan akses kepada talian
tetap, telefon awam berbayar dan Internet.
5.05
Dalam usaha mempercepatkan peluasan infrastruktur dan meningkatkan
kadar penembusan ICT kepada masyarakat awam termasuk di kawasan luar
bandar dan kawasan luar liputan, pihak industri memanfaatkan penggunaan
teknologi wayar dan wayarles bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar
ke seluruh negara. Usaha ini sebahagian daripada pelaksanaan
keseluruhan rangka kerja yang terkandung dalam Pelan Jalur Lebar
Kebangsaan (NBP) bagi menyokong pelaksanaan usaha peluasan jalur lebar
yang telah dirancang.
5.06
Peningkatan liberalisasi pasaran dalam industri telekomunikasi
menyebabkan penentuan harga perkhidmatan komunikasi lebih berdaya
saing. Peningkatan ini membawa kepada pertambahan langganan telefon
selular daripada 21.8 setiap 100 penduduk pada tahun 2000 kepada 74.1
pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-1. Kadar penembusan
yang meningkat secara sederhana bagi komputer dan Internet dial-up
telah didorong oleh pelbagai langkah galakan pemilikan komputer.
5.07
Bagi mewujudkan dasar dan persekitaran kawal selia yang kondusif dan
mampu memberikan respons kepada keseluruhan industri ICT, beberapa
undang-undang dan peraturan serta struktur tarif talian tetap dan jalur
lebar
Jadual 5-1 : Petunjuk ICT Terpilih, 2000-2010
dikaji semula dan dikemas
kini bagi memudahkan pelaksanaan program USP. Liberalisasi regim
pelesenan bagi pembekal perkhidmatan aplikasi (ASP) pada tahun2000
telah menggalakkan
persekitaran suar kawal
dan membatalkan had bilangan lesen ASP untuk perkhidmatan akses kepada
Internet dan Voice over Internet Protocol (VoIP).
5.08
Rangka Tindakan Terperinci Perkhidmatan Maklumat, Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MyICMS) yang disiapkan pada tahun 2005 menyediakan
garis panduan bagi pembangunan bersepadu dan tersusun untuk tiga sektor
utama industri ICT iaitu perkhidmatan telefoni selular, Internet dan
penyiaran. Penyediaan rangka tersebut bagi mengembangkan lagi
pembangunan perkhidmatan ICT yang inovatif, infrastruktur
telekomunikasi dan pelaburan dalam bidang pertumbuhan baru termasuk
pembangunan kandungan, alat penerima multimedia digital, telefon VoIP
serta komponen bercip dan peranti elektronik.
Penggunaan ICT
5.09
Menyedari kepentingan peranan ICT dalam meningkatkan produktiviti dan
daya saing, pelaburan dalam ICT meningkat pada kadar pertumbuhan purata
4.7 peratus setahun, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-2. Perbelanjaan
ICT dalam pelbagai sektor ekonomi menyumbang kepada pengembangan bagi
penambahbaikan sistem dan pemprosesan ICT secara menyeluruh serta
pembangunan lebih banyak aplikasi berasaskan web telah meningkatkan
produktiviti dan tahap kecekapan. Perkembangan ICT dalam sektor
Kerajaan sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pengkomputeran
dan pemasangan infrastruktur ICT di kalangan agensi. Pelan Strategik
ICT Sektor Awam dilancarkan pada tahun 2003 merangkumi beberapa
inisiatif strategik dan program perkongsian pintar bagi meningkatkan
hubungan antara agensi kerajaan, perniagaan dengan orang awam serta
pembangunan perisian sumber terbuka (OSS). Dari segi penggunaan ICT,
kadar penembusan komputer peribadi meningkat sekali ganda daripada 9.4
setiap 100 penduduk kepada 21.8 pada tahun 2005 manakala kadar
penembusan langganan Internet dial-up meningkat daripada 7.1 setiap 100
penduduk pada tahun 2000 kepada 13.9 pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 5-1.
Jadual 5-2 : Perbelanjaan ICT Mengikut Sektor, 2000-2005
Pembangunan Koridor Raya Multimedia
5.10
Penubuhan MSC pada tahun 1996 menyediakan landasan untuk membangunkan
kelompok syarikat ICT tempatan yang berdaya saing dan industri ICT yang
mampan. Pada akhir tahun 2005, sejumlah 1,421 syarikat telah dianugerah
status MSC dengan lebih daripada 50 peratus tertumpu kepada pembangunan
perisian untuk kegunaan umum syarikat dan penyimpanan data serta
pembangunan aplikasi khusus berteknologi tinggi dan e-dagang. Dalam
tempoh Rancangan, MSC memasuki fasa kedua pelaksanaannya merangkumi,
antara lain, penganugerahan status bandar siber MSC kepada Bayan Lepas
di Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah.
5.11
Sungguhpun MSC melepasi sasaran fasa pertama sebanyak 500 syarikat
berstatus MSC bagi tempoh 1996-2003, namun pembangunan kandungan serta
produk dan perkhidmatan terkini masih belum mencapai tahap yang
diharapkan. Sehubungan ini, selaras dengan peningkatan permintaan bagi
aktiviti perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar pesisir (SSO) di
seluruh dunia, usaha memasarkan dan mempromosi diambil bagi
meningkatkan daya saing MSC sebagai destinasi global SSO. Pada akhir
tahun 2005, lebih daripada 50 syarikat SSO ditubuhkan dan menyediakan
sebanyak 12,000 pekerjaan kemahiran tinggi.
Peluasan Aplikasi MSC
5.12
Komponen utama pembangunan MSC ialah pelaksanaan, penyepaduan dan
peningkatan beberapa aplikasi multimedia termasuk pembangunan aplikasi
Kerajaan Elektronik, Sekolah Bestari, Kad Pelbagai Guna Kerajaan dan
Telekesihatan serta Kelompok Penyelidikan dan Pembangunan
(R&D),e-Niaga dan Program Keteknousahawan bagi membentuk
persekitaran mutimedia.Aplikasi MSC tersebut yang menggunakan sistem
berasaskan komputer yang komprehensif menyediakan persekitaran
multimedia untuk mewujudkan peluang perniagaan yang inovatif bagi
penglibatan sektor swasta. Lebih daripada 300 syarikat terlibat dalam
pembangunan dan perluasan aplikasi multimedia tersebut.
5.13
Aplikasi MSC menarik minat ramai pelabur di peringkat domestik dan
antarabangsa. Penubuhan pejabat wakil niaga MSC di Jeddah, Arab Saudi
dan Dalian, Republik Rakyat China (China) menggalakkan perkongsian yang
bertujuan mewujudkan sejumlah aplikasi pendua MSC di luar negara. Bagi
membawa produk tersebut ke pasaran antarabangsa, penekanan diberikan
kepada pematuhan standard bagi memastikan aplikasi MSC saling boleh
kendali, mudah ubah suai dan boleh diperluaskan.
Penggalakan e-Dagang
5.14
Memandangkan e-dagang menyediakan peluang kepada perniagaan untuk
meningkatkan produktiviti dan daya saing, pembangunannya dipergiat lagi
menerusi penubuhan infrastruktur asas termasuk penyediaan dan
penggalakan pelbagai mekanisme transaksi elektronik. Penyertaan sektor
swasta terutamanya institusi kewangan dan persatuan industri penting
dalam penyediaan pertukaran kewangan bagi transaksi dalam talian untuk
peniaga dengan peniaga (B2B) dan peniaga dengan pengguna (B2C).
5.15
Beberapa pelan tindakan di bawah perkhidmatan perbankan Internet dan
Program e-Niaga MSC dilaksanakan secara perintis bagi menggalakkan lagi
komunikasi dan transaksi elektronik melalui transaksi perniagaan secara
dalam talian yang selamat bagi B2B dan B2C terutamanya di kalangan
enterpris kecil dan sederhana (EKS). Di samping itu, bagi menggalakkan
penggunaan e-dagang serta menangani masalah berkaitan dengan
perlindungan pengguna dan keselamatan maklumat, beberapa langkah
diambil untuk menggubal undangundang baru seperti Rang Undang-undang
Transaksi Elektronik, Rang Undangundang Aktiviti Kerajaan Elektronik
dan Rang Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi yang masih di
peringkat awal penyediaan.
Pengurangan Jurang Digital
5.16
Bagi memastikan setiap warga Malaysia berkongsi manfaat daripada
ekonomi berasaskan pengetahuan, beberapa usaha mengurangkan jurang
digital yang sedang dilaksanakan telah dipergiat lagi. Strategi
tersebut termasuk pelaksanaan pelan infrastruktur untuk akses
menyeluruh serta menyediakan perkhidmatan dan produk ICT yang mampu
beli. Bagi tujuan tersebut, beberapa inisiatif diambil termasuk
menubuhkan telecentre di kawasan luar liputan, semakan semula tarif
langganan telefon dan Internet serta menggalakkan pemilikan komputer
peribadi (PC). Di samping itu, bagi menggalakkan lagi penggunaan
perkhidmatan dan kemudahan ICT, usaha juga diambil untuk membangunkan
kandungan dan aplikasi dalam talian yang khusus.
5.17
Antara langkah yang diambil untuk merapatkan jurang digital di kalangan
komuniti luar bandar ialah penubuhan 217 telecentre di bawah program
USP dan program yang dibiayai oleh Kerajaan. Telecentre tersebut
terdiri daripada 42 Pusat Internet Desa, 39 Medan InfoDesa, 58 Pusat
Akses Komuniti dan 78 Kelas Literasi Komputer yang ditubuhkan bagi
meningkatkan pendidikan komputer dan mengupayakan komuniti luar bandar
mendapat akses dan menggunakan maklumat bagi meningkatkan taraf sosial
dan ekonomi mereka. Program khusus juga dilaksanakan bagi melengkapkan
orang kurang upaya, warga emas, pengusaha perusahaan mikro, ibu
tunggal, belia dan golongan miskin di bandar dengan penggunaan
perkhidmatan ICT. Dalam usaha meningkatkan lagi celik ICT di kalangan
isi rumah, projek Satu Rumah Satu PC dilancarkan pada tahun 2003.
5.18
Kajian Rangka Kerja Strategik Kebangsaan bagi merapatkan jurang digital
(BDD) dijalankan bagi menyediakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh
dan mantap. Rangka kerja tersebut menggunakan sistem maklumat geografi
(GIS) untuk memetakan taburan ICT di seluruh negara bersama pelbagai
parameter demografi dan geografi seperti kepadatan penduduk, gender dan
umur serta mengikut negeri, daerah dan mukim. Hasil penemuan awal
menunjukkan taburan Internet dan PC yang tidak sekata menandakan bahawa
kurang daripada satu peratus mukim mempunyai nilai purata indeks yang
tinggi dan keseluruhannya tertumpu di sekitar bandar utama. Ini
menunjukkan bahawa walaupun akses kepada perkhidmatan telefoni asas
secara relatifnya tinggi namun lebih daripada 90 peratus daripada 927
mukim masih berada di peringkat awal penggunaan Internet dan PC.
Kemahiran ICT
5.19
Dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan budaya kerja
berasaskan pengetahuan, pembangunan sumber manusia terus menjadi aspek
kritikal dalam strategi dan inisiatif ICT Malaysia. Bagi memenuhi
permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja ICT berkemahiran tinggi
seperti pereka dan juruanalisis sistem komputer, pengatur cara komputer
dan juruteknik sokongan komputer, sebanyak 48 institusi pendidikan
tinggi (IPT) berstatus MSC mengeluarkan sejumlah 31,000 siswazah ICT
dalam tempoh Rancangan. Pelbagai program dilaksanakan bagi menggalakkan
IPT serta institusi latihan lain bekerjasama dengan industri bagi
memastikan kesesuaian kemahiran yang diperoleh relevan dan boleh
dipasarkan.
5.20
Sungguhpun usaha gigih telah dijalankan, Penyiasatan Impak MSC 2005
menunjukkan masih terdapat kekurangan personel berkaitan ICT dalam
bidang khusus dan keadaan ini menunjukkan ketidaksepadanan antara
penawaran dengan permintaan bagi set kemahiran praktikal yang
diperlukan oleh industri. Antara lain, dua skim perintis, iaitu Program
Kemahiran Siswazah dan Program Internship MSC menyediakan latihan
kemahiran di peringkat tinggi dan latihan semula kepada lebih daripada
2,000 siswazah ICT yang baru.
5.21
Selain latihan khusus di institusi, industri juga menyediakan latihan
peningkatan secara berterusan yang menyumbang kepada peningkatan
pengetahuan ICT serta tahap kemahiran tenaga kerja. Dalam tempoh
Rancangan, sebanyak RM 176 juta dibelanjakan untuk latihan berkaitan
ICT di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) melibatkan
pembiayaan sebanyak 241, 359 tempat latihan di 227 pusat latihan di
seluruh negara .
Pemupukan Keupayaan Tempatan dalam Pembangunan Kandungan
5.22
Penggunaan teknologi digital bagi mencipta kandungan tempatan yang
pelbagai dan asli untuk pendidikan, hiburan, aktiviti perdagangan dan
perindustrian membolehkan pembangunan industri kandungan multimedia
diperluas di pasaran tempatan dan antarabangsa. Dalam usaha
mengurangkan jurang kemahiran dalam bidang pembangunan kandungan
kreatif, sektor awam dan swasta telah meningkatkan keupayaan latihan
ICT dalam bidang khusus seperti multimedia, animasi dan komputer grafik
serta pembangunan perisian interaktif. Insentif yang ditambah baik
seperti skim rebat yuran pelesenan diperkenalkan bagi menggalakkan
pembekal perkhidmatan aplikasi kandungan membangunkan dan memasarkan
kandungan tempatan serta meningkatkan kerjasama dengan pembekal
kandungan bertaraf dunia.
5.23
Agenda untuk membangunkan kelompok multimedia kreatif sebagai bidang
pertumbuhan baru masa depan diperkukuhkan dengan pelancaran Pusat
Pembangunan dan Aplikasi Kreatif (CADC) MSC. Selain bekerjasama dengan
syarikat tempatan, CADC juga menumpukan usaha kepada kerjasama
strategik dengan IPT bagi mengembangkan aktiviti R&D dalam
pembangunan kandungan yang nilai ditambah yang tinggi seperti
visualisasi, pengimejan grafik komputer dan reka bentuk pengeluaran.
e-Pembelajaran
5.24
Dalam tempoh Rancangan, peningkatan penggunaan Internet membawa kepada
pertumbuhan e-pembelajaran sebagai satu sumber yang berpotensi untuk
latihan dan pendidikan dalam talian. Selain inisiatif sekolah bestari,
banyak peluang untuk pendidikan maya disediakan oleh sebilangan IPT.
Selaras dengan peningkatan budaya perkongsian maklumat dalam talian,
MIMOS telah membangunkan Grid Malaysia untuk Pendidikan (MyGfL) sebagai
repositari dan direktori bagi perkongsian kandungan digital. Di samping
itu, beberapa projek komuniti e-pembelajaran dan sekolah bestari juga
telah dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC). Projek
tersebut merupakan inisiatif yang diterajui oleh sektor swasta bagi
menyediakan kemudahan infrastruktur asas ICT yang perlu, infostruktur
serta penajaan kemudahan dan latihan ICT di sekolah terpilih.
E-Pembelajaran di sekolah seterusnya juga dibantu menerusi penggunaan
perisian mata pelajaran sekolah bestari dan akses kepada Internet
menerusi SchoolNet.
5.25
Bagi memastikan inisiatif e-pembelajaran dibangunkan lebih selaras dan
mantap di sektor awam, Jawatankuasa Perundingan e-Pembelajaran
Kebangsaan (NeLCC) ditubuhkan bagi menyediakan hala tuju dan memantau
inisiatif penggubalan dan pelaksanaan strategi dan program. NeLCC
menyelia penyediaan rangka tindakan terperinci e – pembelajaran bagi
sektor awam untuk memastikan pembangunan dan penggunaan e- pembelajaran
yang teratur.
Keselamatan Maklumat
5.26
Dalam tempoh Rancangan , pelbagai langkah diambil untuk menangani
penyelewangan dan penyalahgunaan komputer berikutan aktiviti ekonomi
yang semakin bergantung kepada rangkaian aplikasi dan infrastruktur
komunikasi. Kerajaan mengambil inisiatif menyediakan Rangka Kerja
Keselamatan ICT Kebangsaan ( NISER ) menyediakan perkhidmatan dalam
bidang terpilih forensic komputer , program pembudayaan , penyelidikan
dasar , khidmat nasihat keselamatan dan penilaian perisian keselamatan
. Perkhidmatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia ( My
CERT ) menyediakan landasan bebas untuk pengguna Internet melapor dan
mendapatkan bantuan dalam menangani pencerobohan keselamatan ,
penyalahgunaan dan penyelewengan Internet.
Dana Pembangunan ICT
5.27
Dalam tempoh Rancangan , Kerajaan telah menyediakan sumber dana bagi
membantu syarikat untuk menggunakan ICT dalam proses perniagaan mereka
serta meneroka aktiviti pelaburan baru berkaitan ICT . Malaysia Debt
Ventures Berhad (MDV) menyediakan kemudahan kewangan yang inovatif
untuk sektor ICT dan sektor yang mempunyai pertumbuhan tinggi . Pada
akhir tahun 2005 , sejumlah RM 1.1 billion telah dikeluarkan kepada 76
syarikat . Malaysia Venture Capital Management Berhad ( MAVCAP ) pula
mengeluarkan sejumlah RM82.6 juta untuk pembiayaan kewangan peringkat
awal dan pembiayaan terus dalam bidang teknologi maklumat , elektronik,
telekomunikasi dan rangkaian . Tabung Pengkormesilan Penyelidikan dan
Pembangunan ( CRDF ) yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan
Teknologi Malaysia (MTDC) serta Perbadanan Pembangunan Industri Kecil
dan Sederhana (SMIDEC) melancarkan beberapa skim kewangan berkaitan ICT
untuk mempercepatkan penggunaan ICT terutamanya oleh EKS. Skim Geran
Aplikasi Penunjuk Cara ( DAGS ) menyediakan dana projek jangka pendek
yang disasarkan kepada penciptaan , pembangunan dan promosi aplikasi
baru ICT di kalangan pengguna tertentu terutamanya di peringkat
komuniti . Program DAGS menyalurkan sebanyak RM 79.7 juta melalui 51
projek sepanjang tempoh Rancangan. 2005, sejumlah RM1.1 bilion telah
dikeluarkan kepada 76 syarikat. Malaysia Venture Capital Management
Berhad (MAVCAP) pula mengeluarkan sejumlah RM82.6 juta untuk pembiayaan
kewangan peringkat awal dan pembiayaan terus dalam bidang teknologi
maklumat, elektronik,telekomunikasi dan rangkaian. Tabung
Pengkomersilan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) yang dikendalikan
oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) serta Perbadanan
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) melancarkan beberapa
skim kewangan berkaitan ICT untuk mempercepatkan penggunaan ICT
terutamanya oleh EKS. Skim Geran Aplikasi Penunjuk Cara (DAGS)
menyediakan dana projek pembangunan dan promosi aplikasi baru ICT di
kalangan pengguna tertentu terutamanya diperingkat komuniti. Program
DAGS menyalurkan sebanyak RM79.7 juta melalui 51 projek sepanjang
tempoh Rancangan.
Penggalakan R&D dalam ICT
5.28
Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 192 projek R&D berkaitan ICT
bernilai RM46 juta diluluskan di bawah Program Penumpuan Penyelidikan
dalam Bidang Keutamaan (IRPA). Projek berkenaan termasuk pemantauan
rangkaian, komunikasi wayarles, infrastuktur pengkomputeran grid, GIS
dan satelit, sensor
serta aplikasi untuk
bidang kesihatan, perniagaan, pertanian dan pendidikan yang dijalankan
oleh beberapa IPT dan institusi penyelidikan. Sebanyak 27 projek
berkaitan ICT berjumlah RM28 juta diluluskan di bawah Skim Geran
Penyelidikan dan Pembangunan Industri (IGS). Dalam bidang keselamatan
maklumat, pengkomputeran dan semikonduktor dan mikroelektronik, MIMOS
menjalankan 34 projek R&D berkaitan ICT dan 30 daripadanya
mempunyai nilai komersil yang berpotensi
III : PROSPEK 2006-2010
5.29
Dalam usaha memperkukuhkan asas bagi mencapai ekonomi berasaskan
pengetahuan, penggunaan ICT secara strategik akan menjadi semakin
penting. Sehubungan ini, Malaysia perlu memanfaatkan lagi penggunaan
ICT bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing serta memajukan
aktiviti ekonomi intensif pengetahuan dan mengandungi nilai ditambah
tinggi. Kerajaan akan meningkatkan keupayaan ICT bagi membolehkan akses
yang menyeluruh, membangunkan kompetensi teras, mengurangkan jurang
digital dan memperluas kegunaan transaksi eletronik sebagai sebahagian
daripada usaha memperkasa keupayaan rakyat untuk menyertai perkembangan
ekonomi digital. Pada masa yang sama, usaha ini akan membantu
memperkembangkan perkhidmatan dan industri berkaitan ICT. Sehubungan
ini, tumpuan pembangunan ICT dalam RMKe-9 akan merangkumi:
a) mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab ICT dan multimedia global;
b) meluaskan rangkaian komunikasi bagi memastikan akses kepada perkhidmatan dan maklumat yang lebih setara;
c) menggiatkan usaha merapatkan jurang digital;
d) membangunkan bandar siber sedia ada serta mempromosikan pusat siber yang baru dan aplikasi multimedia MSC;
e) merangsang sumber pertumbuhan baru dalam sektor ICT termasuk bioinformatik, gabungan bioteknologi dan ICT;
f) membangunkan tenaga kerja mahir dalam bidang ICT;
g) mempercepatkan pembudayaan e-pembelajaran; dan
h) mempertingkat keselamatan maklumat
Mengukuhkan Kedudukan Malaysia Sebagai Hab ICT Dan Multimedia Global
5.30
Dalam tempoh RMKe-9, Malaysia akan memanfaatkan daripada kemajuan yang
dicapai bagi merangsangkan pembangunan industri multimedia dan ICT.
Menyedari bertambahnya persaingan daripada hab ICT lain di seluruh
dunia, usaha akan dipergiat bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai
lokasi pilihan antarabangsa dalam pelaburan ICT dan peneraju dalam
pasaran produk ICT. Memandangkan persekitaran yang kondusif seperti
keandalan infrastruktur serta ketersediaan, kemampuan dan produktiviti
perkhidmatan adalah keperluan kritikal dalam menarik pelaburan daripada
syarikat utama, Malaysia perlu sentiasa memperbaharu tanda aras dalam
menilai daya saing dan tarikan pelaburan di peringkat antarabangsa.
Bagi tujuan ini, Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan M(NITC) akan
terus menjadi forum utama untuk membangunkan dasar dan strategi ICT
negara,U menyelaras inisiatif dan memantau perlaksanaannya.
5.31
Pelan Arah Tuju Strategik ICT Kebangsaan akan menyediakan rangka kerja
bagi membina keupayaan dan teknologi baru untuk meningkatkan capaian
dan menggalakkan pelaburan dalam industri berasaskan ICT dan intensif
pengetahuan . Kerajaan akan sentiasa mengkaji semula Bil Jaminan MSC
bagi memastikan kandungan dan keperluannya kekal berdaya saing dan
sesuai untuk pelaburan asing dan tempatan yang berkaitan ICT di
kalangan tenaga kerja Kerajaan secara berterusan . Pelan tersebut
merangkumi gerbang capaian sehenti untuk pelbagai aplikasi termasuk
aplikasi komunitti untuk perniagaan dan masyarakat, perkhidmatan di
peringkat dalaman yang menyeluruh bagi meneyapdukan sistem sokongan
pejabat.
5.32
Pelaksanaan Pelan Strategik ICT untuk Sektor Awam akan mengambil kira
keperluan meningkatkan tahap saling boleh kendali, garis panduan dan
standard yang seragam, perkongsian infrastruktur, serta peningkatan
kemahiran ICT di kalangan tenaga kerja Kerajaan secara berterusan.
Pelan tersebut merangkumi gerbang capaian sehenti untuk pelbagai
aplikasi termasuk aplikasi komuniti untuk perniagaan dan masyarakat,
perkhidmatan di peringkat dalaman dan antara agensi serta pangkalan
pengetahuan dan aplikasi perusahaan yang menyeluruh bagi menyepadukan
sistem sokongan pejabat.
5.33
Usaha akan dipergiat bagi menggalakkan institusi R&D tempatan dan
peserta industri mewujudkan perkongsian dengan institusi antarabangsa
dalam pembangunan teknologi rangkaian. Fasa kedua Rangkaian
Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREN) akan menghubungkan
institusi pendidikan tinggi swasta, institusi penyelidikan Kerajaan dan
makmal industri swasta bagi meningkatkan lagi jaringan dan kerjasama
dalam R&D di peringkat global. Bagi memudahkan komuniti penyelidik
tempatan mewujudkan hubungan dengan institusi penyelidikan bertaraf
dunia, MyREN akan dihubungkan dengan Rangkaian Penyelidikan
Antarabangsa melalui Trans-Eurasia Information Network 2 (TIEN2).
Peluasan Rangkaian Komunikasi Bagi Memastikan Capaian Maklumat Dan Perkhidmatan Yang Lebih Saksama
5.34
Infrastruktur ICT yang mencukupi dan andal serta berkeupayaan tinggi
bagi menyokong capaian dan penyampaian maklumat terus menjadi faktor
utama dalam menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan. Ketersediaan
rangkaian jalur lebar merupakan komponen kritikal yang diperlukan untuk
mencapai tahap penggunaan aplikasi multimedia dalam talian dan
berasaskan Internet yang lebih meluas. Pelaksanaan NBP akan
dipercepatkan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan perkembangan
pesat dan penggunaan perkhidmatan jalur lebar mencapai sasaran 13.0
peratus daripada jumlah penduduk pada tahun 2010, berbanding dengan 1.9
peratus pada masa ini.
5.35
Selain peningkatan akses kepada infrastruktur komunikasi, penggunaan
perkhidmatan jalur lebar yang lebih meluas akan digalakkan menerusi
penyediaan pakej yang inovatif dan tarif yang berdaya saing. Teknologi
last-mile inovatif yang dapat menyediakan sambungan alternatif untuk
kediaman dan perniagaan seperti jalur lebar wayarles dan jalur lebar
atas talian elektrik ke kawasan yang kekurangan talian telefon akan
dipertimbangkan. Di samping itu, langkah akan diambil bagi membolehkan
pembekal perkhidmatan mendapat akses kepada keupayaan infrastruktur di
stesen satelit dan pendaratan kabel serta menyediakan perkhidmatan
transit dan pemindahan antarabangsa kepada syarikat atau pihak ketiga.
Di samping itu, pembukaan ibu sawat pertukaran Internet di Malaysia
akan diperluas.
5.36
Langganan telefon selular dalam negara dijangka meningkat daripada 74.1
setiap 100 penduduk pada tahun 2005 kepada 85.0 pada tahun 2010 di mana
sebahagian besar disumbangkan oleh faktor kemampuan dan perubahan gaya
hidup. Bagi memperluas liputan komunikasi mudah alih dan saling boleh
kendali di peringkat nasional, rangkaian infrastruktur Generasi Ketiga
(3G) akan diperluas secara berperingkat dari segi ketersediaan
perkhidmatan, liputan dan aplikasi yang inovatif serta berkualiti. Di
samping itu, kerjasama di kalangan pembekal perkhidmatan mudah alih
dengan pembekal kandungan tempatan akan diperkukuhkan bagi memastikan
pengguna mendapat bekalan perkhidmatan Internet mudah alih yang lebih
meluas dan seterusnya meningkatkan lagi akses kepada perkhidmatan
berasaskan Internet seperti e-dagang.
5.37
Pelaksanaan MyICMS secara berperingkat akan meningkatkan lagi
pertumbuhan infrastruktur, produk dan perkhidmatan ICT merangkumi
perkhidmatan Internet, telefoni mudah alih dan penyiaran yang lebih
bersepadu. Bagi memastikan pelaburan infrastruktur komunikasi yang
optimum, pembekal perkhidmatan akan digalakkan untuk bergabung dan
berkongsi kemudahan komunikasi serta menyelaraskan pembangunan
kemudahan dan sistem saling boleh kendali yang seragam bagi menyediakan
perkhidmatan penyampaian yang lebih cekap serta akses kepada jalur
lebar yang mampu dilanggani. Bagi tujuan ini, sektor swasta akan
digalakkan untuk menyediakan infrastruktur bersepadu, di mana perlu,
bagi memastikan akses dan sambungan yang secukupnya.
5.38
Memandangkan bertambahnya permintaan untuk ruang alamat Internet,
Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan untuk menukar rangkaian
Internet Malaysia daripada teknologi Internet Protocol version 4 (IPv4)
kepada Internet Protocol version 6 (IPv6). Majlis Perundingan
Kebangsaan bagi IPv6 ditubuhkan untuk mengkaji implikasi penubuhan
rangkaian IPv6 dari segi dasar, persekitaran kawal selia, pelaburan,
tempoh masa, keperluan sumber manusia dan penyediaan infrastruktur.
Teknologi pengenalpastian frekuensi radio (RFID) juga akan digunakan
untuk mewujudkan rangkaian yang menyeluruh. Dalam persekitaran ini,
RFID menerusi fungsi pengesanan, pelabelan dan penjejakan akan diguna
bagi meningkatkan penggunaan maklumat dan seterusnya menjana aktiviti
dan perkhidmatan nilai ditambah baru dalam industri ICT.
Merapatkan Jurang Digital
5.39
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempersiap masyarakat umum
menghadapi cabaran dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, penekanan yang
lebih diberikan bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada
perkhidmatan dalam talian dan kemampuan memiliki PC. Kerajaan akan
terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dengan
menyedia, melaksana dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dalam
talian ke seluruh negara bagi membolehkan rakyat mendapatkan capaian
dan menggunakan pengetahuan berasaskan Internet dan sumber maklumat
sebagai sebahagian daripada kehidupan.
5.40
Selaras dengan jangkaan peningkatan permintaan bagi kegunaan aplikasi
rangkaian, bilangan PC yang dipasang dianggar meningkat daripada 21.8
setiap 100 penduduk kepada 40.0 menjelang akhir tempoh Rancangan.
Inisiatif Satu Rumah Satu PC akan dipergiat dengan memperluas skim
sedia ada seperti PC Gemilang 2 dan PC Mesti Beli yang disasarkan
kepada kumpulan pembeli kali pertama dan kumpulan berpendapatan rendah.
Bagi tujuan ini, faktor seperti kemampuan dan kemudahan sokongan
teknikal selepas jualan akan diambil kira bagi memastikan penggunaan
yang berterusan.
5.41
Rangka Kerja BDD Kebangsaan telah mengenal pasti lokasi serta kumpulan
sasar dan strategi bagi program BDD pada masa depan. Penemuan
berasaskan GIS akan memudahkan perancangan, pelaksanaan, pemantauan
program dan projek masa hadapan bagi menggalakkan akses menyeluruh
serta penggunaan ICT yang lebih intensif dan meluas untuk mewujudkan
nilai ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup. Bagi merealisasikan
sepenuhnya potensi ICT, tumpuan akan diberikan kepada usaha
meningkatkan celik komputer dan melengkapkan pengguna dengan
pengetahuan asas dan kemahiran telekerja, pendidikan jarak jauh serta
pengkomputeran dan komunikasi umum. Usaha tersebut bukan sahaja
memanfaatkan isirumah, keluarga dan peniaga tetapi juga orang kurang
upaya, orang miskin, wanita dan warga emas.
5.42
Merujuk kepada pembangunan telecentre, beberapa kaedah yang ditambah
baik akan dipertimbangkan bagi memastikan telecentre kekal mampan dan
mewujudkan nilai. Telecentre sedia ada akan dinaik taraf kepada Pusat
K-Komuniti yang menyediakan pelbagai maklumat sosial dan ekonomi kepada
komuniti. Telecentre akan dijadikan pusat sehenti yang merangkumi
capaian kepada aplikasi Kerajaan Elektronik, e-Pembelajaran dan sebagai
tempat pertukaran sumber maklumat. Bagi memenuhi keperluan daerah dan
mukim yang terpencil dan mempunyai penduduk yang sedikit, telecentre
bersaiz kecil akan diperkenalkan melalui program USP sumbangan
industri. Bagi memastikan bekalan elektrik yang andal dan mencukupi,
pelaksanaan program bekalan elektrik luar bandar, iaitu Akaun Amanah
Industri Bekalan Elektrik akan mensasarkan kawasan luar liputan yang
sama.
5.43
Penekanan akan diberikan bagi mengubah cara berfikir serta penglibatan
dan komitmen komuniti luar bandar terhadap penggunaan ICT menerusi
pemupukan kesedaran dan program memperkasa komuniti tersebut. Inisiatif
juga akan diambil bagi memastikan kandungan ICT terkini mencukupi dalam
Bahasa Melayu dan bahasa tempatan lain bagi membolehkan penggunaan
aplikasi ICT yang lebih meluas termasuk perkhidmatan e-dagang. Entiti
perniagaan, organisasi berasaskan komuniti termasuk organisasi yang
bukan bermotifkan keuntungan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan
digalakkan untuk bekerjasama dan membantu komuniti serta golongan sasar
memanfaatkan ICT bagi menjana nilai ekonomi dan meningkatkan taraf
hidup.
MSC Fasa II dan Perluasan Aplikasi Multimedia
5.44
MSC Fasa II akan dibangunkan berdasarkan keberkesanan pelaksanaan
semasa Fasa I. Dalam tempoh Rancangan, tumpuan akan diberikan kepada
pembangunan rangkaian koridor merangkumi bandar siber sedia ada serta
pusat siber baru yang akan dikenal pasti sesuai di Perak, Melaka, Johor
dan Sarawak. Pembangunan bandar siber yang dicadangkan dijangka membawa
masuk tambahan 250 syarikat multinasional (MNC) global. Bilangan
syarikat berstatus MSC dijangka meningkat daripada 1,421 pada tahun
2005 kepada 4,000 menjelang tahun 2010 mewujudkan 100,000 peluang
pekerjaan dan 1,400 harta intelek, seperti ditunjukkan dalam Jadual
5-3. Beberapa strategi baru akan dilaksanakan termasuk mengkaji semula
dan menambah baik Bil Jaminan MSC, menggalakkan R&D secara
usahasama antara entiti ICT tempatan dengan asing, meluaskan manfaat
MSC menerusi peluasan MSC ke seluruh negara serta menggalakkan
pengeluaran dan penggunaan perkhidmatan dan produk ICT yang direka
bentuk dan dikeluarkan oleh pengusaha tempatan. Usaha yang lebih giat
akan diambil bagi memastikan penyediaan perkhidmatan asas yang
mencukupi termasuk jalur lebar dan akses kepada Internet yang lebih
meluas serta kemudahan pengangkutan dan ameniti yang lebih baik.
Jadual 5-3 : Petunjuk Terpilih MSC, 2001-2010
5.45
Cyberjaya akan terus dibangunkan sebagai Hab ICT Nasional dengan
persekitaran properniagaan yang menggalakkan persaingan dan paduan
tenaga di kalangan industri dan perkhidmatan yang berkaitan. Pelbagai
perkhidmatan seperti pengangkutan dan kemudahan infrastruktur akan
terus dipertingkat untuk menjadikan Cyberjaya lebih selesa dan sesuai
untuk bekerja dan bersantai. Sehubungan ini, Cyberjaya akan menjadi
bandar raya jalur lebar wayarles bagi menyediakan landasan yang lebih
luas untuk tapak ujian aplikasi inovatif di kalangan pengguna dan
tenaga kerja ICT yang semakin bertambah.
5.46
Keupayaan dan kemampuan MDC akan dipertingkat untuk berfungsi sebagai
agensi penggalak pelaburan ICT setempat bagi menarik pelaburan baru
serta mengekalkan pelaburan tempatan dan asing yang sedia ada
terutamanya di bandar dan pusat siber. Sehubungan ini, program promosi
dan pemasaran strategik dengan kerjasama sektor swasta akan
dilaksanakan dengan gigih bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi
pelaburan ICT serantau yang dinamik dan berdaya saing. Dalam usaha
menembusi pasaran global, MDC antara lain akan berusaha mewujudkan
hubungan strategik dan usaha sama di kalangan syarikat peneraju
berstatus MSC antarabangsa dengan syarikat tempatan untuk terlibat
dalam SSO serta mewujudkan aktiviti baru yang menjana pertumbuhan.
5.47
Berasaskan pencapaian yang lalu, aplikasi MSC seterusnya akan diperluas
untuk merangsangkan lagi rancangan Kerajaan ke arah penggunaan ICT
sebagai landasan untuk mempromosi capaian kepada maklumat dan
perkhidmatan yang berkesan, mesra pengguna, dan bertepatan masa di
samping menyediakan peluang untuk aktiviti ekonomi bernilai ditambah
tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan. Sehubungan ini, agensi
peneraju akan menggiatkan usaha untuk mengembangkan aplikasi multimedia
dengan mengambil kira perubahan persekitaran perniagaan dan pekerjaan
serta meningkatkan pemantauan dan penilaian impak ke atas program dan
projek.
5.48
MDC juga akan digerakkan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan
konsultansi dan teknikal untuk memandu agensi peneraju mempercepatkan
pelaksanaan aplikasi multimedia MSC. Sehubungan ini, pusat aplikasi
baru akan ditubuhkan untuk menghasilkan teknologi baru dan sebagai
tapak ujian, mengikuti perkembangan teknologi dan membina kompetensi
teras. Bagi tujuan tersebut, MDC akan mengoptimumkan sumber yang ada
dan memanfaatkan kemudahan infrastruktur dan kepakaran sedia ada untuk
menghasilkan produk dan perkhidmatan baru daripada peluasan aplikasi
MSC di pasaran tempatan dan luar negara.
5.49
Bagi memastikan capaian lebih mudah dan pantas oleh komuniti luar
bandar khususnya kepada perkhidmatan Kerajaan, sistem penyampaian awam
akan ditingkatkan menerusi Program Kerajaan Elektronik yang menyediakan
aplikasi ICT yang bersepadu dan berkesan. Di bawah projek
e-Perkhidmatan, lebih banyak perkhidmatan Kerajaan akan diperkenalkan
yang boleh dicapai menerusi satu gerbang. Memandangkan peningkatan
permintaan terhadap perisian Kerajaan Elektronik di luar negara, usaha
akan ditumpukan kepada penyepaduan pelbagai aplikasi Kerajaan bagi
memastikan pematuhan kepada standard global berdasarkan penanda aras
antarabangsa.
5.50
Kad Pelbagai Guna Kerajaan (GMPC) akan terus dibangunkan sebagai
landasan umum yang mengandungi ciri-ciri tambahan untuk penggunaan
lebih selesa dan keselamatan maklumat lebih terjamin. Aplikasi baru
untuk GMPC akan dibangunkan bagi meningkatkan penggunaan MyKad dengan
tumpuan kepada penyepaduan dan penyeragaman aplikasi.
5.51
Dalam tempoh Rancangan, aplikasi Sekolah Bestari akan diperkukuhkan
bagi menyediakan liputan yang lebih komprehensif. Sehubungan ini,
pengagihan aplikasi sekolah bestari yang boleh dicapai melalui web akan
dipercepatkan. Usaha ini adalah untuk memastikan capaian kandungan dan
aplikasi terkini e-pembelajaran dalam talian oleh guru dan pelajar
secara berterusan. SchoolNet
akan menyediakan kaedah pengagihan yang meluas bagi perisian sekolah bestari yang mempunyai keberkesanan kos.
5.52
Telekesihatan akan terus memanfaatkan rangkaian komunikasi berkelajuan
tinggi dan wayarles yang menghubungkan pelbagai institusi perubatan
merentasi sempadan geografi dan spatial. Usaha ini adalah bagi
meningkatkan perkongsian maklumat kesihatan, mengoptimumkan sumber
kepakaran dan memudahkan pengurusan data. Institusi perubatan swasta
akan digalakkan untuk menyertai
dan bekerjasama dengan
hospital kerajaan dalam pelaksanaan perkhidmatan Pelan Kesihatan Hayat
(LHP) yang akan menyumbang kepada perancangan dan pelaksanaan kesihatan
kebangsaan yang lebih baik.
5.53
Di bawah Program Pembangunan Teknousahawan lebih banyak inkubator akan
dibina bagi membangunkan EKS ICT yang berdaya saing. Program tersebut
akan dilaksanakan dengan kerjasama MNC terpilih, syarikat berkaitan
kerajaan (GLC), ahli akademik dan institusi R&D. Bentuk bantuan
yang akan disediakan bukan sahaja merangkumi pemadanan dana, tetapi
termasuk juga penyediaan perkhidmatan mentor yang pelbagai dan
penilaian risiko teknologi. Bagi tujuan ini, pembiayaan pada peringkat
praawal, awal dan permulaan akan disediakan.
5.54
Dalam tempoh Rancangan, inisiatif Kelompok R&D akan memberi
penekanan kepada pembentukan komuniti penyelidikan inovatif dalam MSC.
MDC akan memainkan peranan utama dalam mengenal pasti dan menggalakkan
syarikat peneraju teknologi tempatan dan antarabangsa untuk menubuhkan
pusat penyelidikan bertaraf dunia dalam MSC dan bandar siber sedia ada
dan
pusat siber yang akan
ditentukan. Penekanan diberikan kepada usaha menggalakkan kerjasama
antara syarikat asing dengan tempatan, institusi penyelidikan dan
universiti bagi meningkatkan pengkomersilan hasil R&D dan penubuhan
syarikat baru.
Sumber Pertumbuhan Baru Dalam ICT
5.55
Penekanan ke atas pembangunan infrastruktur ICT serta penggunaan
aplikasi akan menyediakan peluang pekerjaan dan pelaburan yang luas
dalam sektor swasta. Di antara sumber pertumbuhan baru dalam segmen
utama sektor ICT ialah pembangunan kandungan digital, e-dagang, SSO dan
bioinformatik. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan bilangan syarikat
baru serta kepakaran yang mampu menghasilkan produk teknologi khusus
dalam bidang tertentu. Penekanan khusus akan diberikan kepada promosi
dan penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan.
Pembangunan Kandungan Digital
5.56
Industri kandungan digital yang merangkumi animasi komputer kreatif,
permainan digital, edutainment, aplikasi dan perkhidmatan mudah alih,
televisyen interaktif, arkib digital, penerbitan digital dan pelbagai
industri serta aplikasi multimedia akan terus digalak dan dibangunkan
sebagai sumber pertumbuhan baru. Bagi merangsangkan lagi industri
kandungan digital, aktiviti berkaitan ICT yang menumpukan kepada
inovasi teknologi dan kreativiti akan digalakkan menerusi pengenalan
insentif baru dan ditambah baik. Usaha ini bertujuan untuk menarik
pembangun kandungan antarabangsa bertaraf dunia, syarikat penyiaran
serta syarikat reka bentuk dan pengeluar global untuk beroperasi di
bandar siber sedia ada dan pusat siber baru yang berpotensi.
5.57
Memandangkan industri kandungan ICT merangkumi pelbagai disiplin
termasuk senibina, reka bentuk, muzik, pembuatan filem, penerbitan,
pengiklanan dan grafik, tumpuan akan diberikan ke arah memupuk
kreativiti sebagai sumber ekonomi serta penghubung antara usahawan,
teknologi dan inovasi. Sehubungan ini, tabung kandungan khas berjumlah
RM150 juta akan diwujudkan untuk membantu pembangunan kandungan digital
tempatan dalam meningkatkan komunikasi, maklumat, edutainment dan
perdagangan.
5.58
Kerajaan akan bekerjasama rapat dengan pihak industri berkaitan ICT
yang terlibat dalam mempromosi dan memupuk pembangun kandungan kreatif
bagi meningkatkan lagi keberkesanan program inkubator sedia ada.
Mekanisme sokongan yang ditambah baik akan diperkenalkan bagi
meningkatkan keupayaan dan kemampuan bagi perkhidmatan dan produk
multimedia inovatif serta teknologi aplikasi pengetahuan di pasaran
tempatan dan luar negara. Tumpuan juga akan diberikan untuk membina
kompetensi utama menerusi program akreditasi bersama pertubuhan
industri kandungan tempatan dan antarabangsa. Penetapan Zon Media
Digital di Cyberjaya sebagai sebuah hab pembangunan kandungan digital
dan Zon Kreatif di pusat siber baru dijangka akan menambah bilangan
pembekal kandungan digital secara berterusan. Zon tersebut akan
memanfaatkan infrastuktur sedia ada dan menghasilkan teknologi khusus
yang diperlukan
untuk pembangunan kandungan.
5.59
Gabungan penyiaran televisyen dan Internet akan menyediakan rangkaian
alternatif bagi penyampaian maklumat digital dan kandungan. Kehadiran
perkhidmatan televisyen digital (DTV) akan menjadi saluran alternatif
bagi mengembangkan penghasilan dan penyebaran nilai kandungan.
Perkhidmatan tersebut akan ditawarkan menerusi penghantaran terrestrial
yang dimulakan di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Penggunaan gabungan teknologi tersebut akan membolehkan perolehan dan
penyebaran maklumat interaktif yang lebih luas.
5.60
Dalam tempoh Rancangan, permintaan ke atas penggunaan pengkomputeran
mudah alih oleh warga kerja dijangka akan meningkat. Keadaan ini akan
meningkatkan permintaan aplikasi kandungan yang baru dan ditambah baik
oleh pengguna dan perniagaan, dan seterusnya menyediakan lebih banyak
peluang kepada pereka bentuk, jurutera dan pembangun kandungan.
5.61
Dalam usaha merangsang pertumbuhan industri kandungan tempatan,
peraturan yang berkaitan perlu mengambilkira keperluan kepada kandungan
tempatan secara berkesan, terutamanya dalam bidang penyiaran. Pelesenan
dan peraturan berkaitan penghasilan kandungan akan dikaji semula bagi
meningkatkan penyelarasan permohonan dan prosedur kelulusan di kalangan
agensi terlibat dan mengurangkan halangan bagi membangunkan kandungan
tempatan yang baru dan ditambah baik. Bantuan Kerajaan dalam bentuk
geran, rebat cukai dan kewangan akan dikenal pasti bagi membantu
pertumbuhan bakat tempatan dan perkembangan industri kreatif.
5.62
Pada masa yang sama, rangka kerja perundangan bagi hak harta
intelek(IPR) terutamanya paten, cap dagangan dan hak cipta produk dan
perkhidmatan berkaitan ICT akan disemak semula dengan bertujuan
memerangi cetak rompak dan menggalakkan inovasi di kalangan pencipta
kandungan yang berpotensi. Usaha juga akan diambil bagi memperkemas
pelbagai peraturan kandungan yang melibatkan pembangunan, promosi dan
kawal selia industri kandungan di kalangan kementerian dengan agensi.
E-Dagang
5.63
Tumpuan khusus akan terus diberikan kepada penyediaan dan penggalakan
penggunaan meluas e-dagang sebagai kaedah alternatif untuk menjalankan
perniagaan. Sementara pihak Kerajaan terus memainkan peranan sbagai
pemangkin dalam menggalakkan e-dagang, sektor swasta dan pertubuhan
industri khususnya digalakkan meneraju inisiatif tersebut. Usaha ini
akan memanfaatkan persekitaran rangkaian bagi mencapai maklumat
mengenai produk dan perkhidmatan dalam talian serta meningkatkan
keberkesanan dan kecekapan operasi di sepanjang rantaian bekalan
termasuk harga nyata semasa. Inisiatif tersebut dijangka akan
memudahkan e-dagang menjadi mod transaksi ekonomi utama dan pada masa
yang sama menjana peluang perniagaan baru dan inovatif.
5.64
Seperti yang dicadangkan dalam Fasa II Kajian Hala Tuju Strategik
e-Dagang Kebangsaan, tumpuan akan diberikan kepada penubuhan aplikasi
rangkaian dan e-dagang dikalangan B2B dan B2C yang lebih meluas.
Aplikasi tersebut akan menyokong pengurusan rantaian bekalan industri
dan rangkaian logistik di kalangan beberapa sektor terutamanya sektor
pertanian, pelancongan, pembinaan, perkhidmatan berkaitan pembuatan
(MRS), pembuatan dan peruncitan. Pelbagai program baru dan sedia ada
akan digalakkan untuk memanfaatkan persekitaran rangkaian bagi membantu
penyampaian terus serta akses kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.
Perkhidmatan Perkongsian dan Penyumberan Luar Pesisir
5.65
Dalam usaha mengekalkan pertumbuhan aktiviti SSO, pendekatan yang lebih
menyeluruh akan diambil bagi menggalakkan persekitaran properniagaan.
Usaha akan diambil berdasarkan kelebihan berbanding yang sedia ada
dengan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur serta
membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menarik perniagaan SSO ke
Malaysia. Pada masa yang sama, insentif pelaburan akan sentiasa dikaji
dengan objektif memastikan insentif fiskal sedia ada kekal relevan dan
berkesan. Penyediaan insentif khusus serta pembiayaan modal teroka
terutamanya untuk galakan R&D dan inovasi produk akan diberi
penekanan.
Bioinformatik
5.66
Dengan mengambil kira asas ICT negara yang kukuh, bioinformatik
merupakan satu bidang pertumbuhan baru berpotensi untuk dibangunkan.
Dasar Bioteknologi Kebangsaan memberikan penekanan terhadap pembangunan
bioinformatik yang merupakan gabungan bioteknologi dan ICT bagi
menyokong industri bioteknologi negara yang baru bermula. Pasaran
bioinformatik global dianggarkan bernilai US$1.4 bilion dan dijangka
berkembang pada kadar purata 15.8 peratus setahun dan mencapai US$3
bilion menjelang tahun 2010. Jangkaan ini menggambarkan potensi besar
untuk bioinformatik.
5.67
Inisiatif yang dicadangkan untuk kemajuan bioinformatik dan
pengkomputeran grid akan dilaksana dengan tujuan untuk menjalankan
penyelidikan bagi menyokong pembangunan proses dan produk bagi sektor
pertanian, kesihatan dan perindustrian. Di samping itu, pusat penanda
aras bioinformatik akan ditubuhkan bagi memudahkan penandaarasan
aplikasi bioinformatik selaras dengan amalan dan standard yang diterima
di peringkat antarabangsa. Usaha tersebut akan memanfaatkan kemudahan
R&D sedia ada termasuk rangkaian MyREN.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008