BAB 04 : MEMPERGIAT SEKTOR PEMBUATAN DAN PERKHIDMATAN BERKAITAN Pt 2
EKS yang Didorong oleh Inovasi
4.65
Tumpuan strategi adalah untuk mewujudkan EKS yang berprestasi tinggi
dan berdaya tahan serta dilengkapi keupayaan teknikal dan inovasi yang
kukuh di samping mempunyai kemahiran pengurusan dan perniagaan bagi
mengambil peluang daripada pewujudan pekerjaan baru dan peningkatan
akses kepada pasaran. Strategi ini bertujuan untuk memperkukuh
kemampuan dan keupayaan EKS tempatan dalam menghasilkan produk dan
perkhidmatan yang berinovasi dan berkualiti pada kos yang berdaya saing
dan disepadukan ke dalam rantaian bekalan antarabangsa.
4.66
Rangkaian di kalangan dan antara firma dengan EKS serta dengan syarikat
besar tempatan termasuk GLC dan syarikat asing akan diperkukuh lagi
bagi membolehkan EKS lebih berdaya saing, berinovasi dan menjadi
pembekal secara berterusan dalam jaringan penyumberan luar global dan
seterusnya membantu mereka menceburi pasaran eksport yang baru.
Sehubungan ini, program sedia ada akan dipergiat dan program baru akan
dimulakan bagi membangunkan lagi kemahiran profesional dan pengurusan
tertinggi di kalangan EKS. Langkah tersebut bertujuan
mengantarabangsakan operasi dan perniagaan yang seterusnya akan
menambah nilai produk dan perkhidmatan serta menjana peluang pasaran
baru kepada EKS.
4.67
Satu lagi strategi adalah menyediakan landasan bagi perusahaan baru
mula dan inkubator yang akan mewujudkan sekumpulan usahawan baru
didorong oleh inovasi yang berupaya mencambah perniagaan dan
perkhidmatan baru. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan akan menggalak
penubuhan inkubator teknologi bertujuan memupuk firma dan usahawan baru
serta meningkatkan keupayaan inovasi dan perkhidmatan berkaitan.
4.68
Usaha akan diambil untuk membantu EKS membangunkan lagi kemahiran
teknikal terutamanya dalam menjana inovasi dan melahirkan nilai ekonomi
daripada aplikasi pengetahuan. Perbadanan Pembangunan Industri Kecil
dan Sederhana (SMIDEC) bersama-sama agensi lain dan sektor swasta akan
mengkaji semula program latihan dan perantisan yang sedang dilaksanakan
dan merangka program baru untuk merangkumi rancangan dan strategi
pengurusan pengetahuan serta aplikasi dan amalan berasaskan pengetahuan
di kalangan EKS.
4.69
Program keusahawanan yang sedang dilaksanakan termasuk khidmat nasihat
dan bimbingan akan diperluas bagi melengkapkan EKS dengan kaedah dan
amalan pengurusan dan perniagaan baru dan yang ditambah baik dalam
aspek pengeluaran, peningkatan kualiti, pemasaran dan pengedaran bagi
meningkatkan tahap produktiviti, kecekapan dan keuntungan. Skim baru
termasuk peningkatan automasi, bimbingan perniagaan serta penyediaan
kemahiran teknikal untuk membantu EKS membangun, mengkomersil dan
memasarkan idea inovatif juga akan dilaksanakan.
4.70
Inisiatif pembiayaan akan ditambah bagi menyokong pembangunan EKS. Bagi
melengkapkan usaha bank perdagangan serta institusi kewangan
pembangunan, Bank SME akan merangka pendekatan baru dan menyediakan
pakej bantuan yang lebih bersepadu kepada EKS meliputi bantuan
kewangan, termasuk pembiayaan berasaskan aliran tunai dan perkhidmatan
sokongan perniagaan yang berkaitan. Di samping itu, modal teroka yang
ditambah akan disediakan bagi membiayai syarikat teknologi yang baru
mula terutamanya bagi menggalakkan pengkomersilan penemuan penyelidikan
yang berpotensi dan percambahan produk dan perkhidmatan berinovasi.
4.71
Dari segi penyelarasan institusi, Majlis Pembangunan EKS Kebangsaan
menyediakan rangka kerja strategik bagi usaha pembangunan EKS yang
lebih bertumpu dan selaras di kalangan pelbagai agensi. Penekanan akan
diselarikan ke arah memperkukuh infrastruktur kewangan dan bukan
kewangan yang diperlukan termasuk peningkatan kemahiran serta akses
kepada pembiayaan.
4.72
Kerajaan akan terus menyediakan tapak perindustrian pada kadar yang
lebih berdaya saing kepada EKS. Dalam tempoh RMKe-9, sejumlah RM927.5
juta akan disediakan sebagai pinjaman mudah kepada perbadanan kemajuan
ekonomi negeri dan lembaga kemajuan wilayah untuk membangunkan tapak
perindustrian dan taman EKS khas termasuk pusat pertanian dan pusat
halal. Di samping itu, peruntukan sejumlah RM833 juta akan disediakan
bagi membina premis perniagaan dan penyediaan ruang pejabat di lokasi
yang strategik.
4.73
Pembangunan industri luar bandar akan terus menjadi wahana penting ke
arah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk luar bandar.
Tumpuan akan diberi untuk menyediakan program yang mempunyai asas yang
lebih luas dengan penekanan kepada penambahan peluang pekerjaan serta
peningkatan penggunaan infrastruktur sedia ada dan baru. Usaha akan
diambil bagi meningkatkan lagi penyediaan infrastruktur dan kemudahan
asas. Langkah juga akan ditujukan ke arah penyediaan program
pembangunan yang lebih bersepadu bagi usahawan yang berpotensi termasuk
pemasaran dan pengedaran serta peningkatan keupayaan pengurusan
perniagaan.
Penggalakan Pelaburan Seberang Sempadan
4.74
Dengan meningkatnya globalisasi dan hubungan serantau, lebih ramai
usahawan Malaysia melabur di seberang laut seperti di China, India,
Timur Tengah dan beberapa negara Afrika serta negara ASEAN. Aliran
bersih pelaburan langsung Malaysia di luar negara meningkat daripada
RM7.7 bilion pada tahun 2000 kepada RM11.4 bilion pada tahun 2005
terutama dalam sektor perladangan, minyak dan gas, telekomunikasi,
pembinaan dan MRS. Antara faktor yang mendorong pelaburan ke luar
negara termasuk peningkatan persaingan domestik, kematangan pasaran
tempatan dan peluang pertumbuhan yang lebih tinggi di luar negara.
4.75
Dalam tempoh RMKe-9, lebih banyak syarikat Malaysia dijangka
memanfaatkan peluang pelaburan yang wujud hasil daripada perjanjian
serantau dan pelbagai perjanjian perdagangan dua hala FTA serta arah
aliran global penyumberan luar. Kerajaan akan terus menggalak dan
menyokong pelaburan Malaysia ke luar negara yang akan memanfaatkan
ekonomi negara. Usaha ini termasuk mendapat akses kepada pasaran baru
dan yang lebih besar, mengekalkan bahagian pasaran, memperoleh input
bahan mentah dan komponen untuk pertumbuhan industri tempatan serta
mempelbagai aktiviti ke dalam perniagaan bukan tradisional. Berdasarkan
peningkatan trend pelaburan seberang sempadan oleh rakyat Malaysia,
sokongan institusi yang kuat amat penting untuk menyokong aliran keluar
pelaburan negara yang akan memarakkan lagi pertumbuhan ekonomi. Dalam
hubungan ini, Bahagian Pelaburan Seberang Sempadan di MIDA akan
diperluas untuk meneraju penggalakan dan penyelarasan pelaburan
seberang sempadan dalam sektor pembuatan dan MRS.
Pembangunan Sumber Manusia Mahir
4.76
Dalam tempoh Rancangan, guna tenaga dalam sektor pembuatan disasar
berkembang pada kadar purata 2.8 peratus setahun, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 4-5. Produktiviti tenaga kerja yang diukur berdasarkan
nilai ditambah setiap pekerja dijangka meningkat pada kadar purata 3.8
peratus setahun yang sebahagian besarnya hasil daripada penggunaan
meluas teknologi yang berintensif pengetahuan dan penjimatan buruh
serta program penambahbaikan kualiti. Guna tenaga dalam industri
berasaskan sumber dijangka berkembang pada kadar purata 3.7 peratus
setahun dan mewujudkan 279,700 pekerjaan baru. Pertumbuhan ini termasuk
peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam industri kimia, pemprosesan
makanan serta keluaran getah. Sebahagian besar daripada guna tenaga
yang diwujudkan dalam industri pemprosesan makanan adalah berikutan
penekanan baru terhadap sektor pertanian dan industri berasaskan
pertanian serta syarikat sampingan yang dijangka dicetuskan oleh
bioteknologi pertanian. Industri pemprosesan getah dan keluaran getah
dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar utama pasaran
global untuk keluaran lateks berserta peningkatan bahagiannya dalam
pasaran barangan getah untuk kegunaan industri dijangka mencatat guna
tenaga pada kadar 3.3 peratus setahun.
Jadual 4-5 : Guna Tenaga Dalam Sektor Pembuatan Mengikut Industri, 2000-2010
4.77
Guna tenaga dalam industri bukan berasaskan sumber diunjur berkembang
pada kadar purata 2.0 peratus setahun dan mewujudkan 170,000 pekerjaan
baru. Industri bukan berasaskan sumber yang diramal mencatat pewujudan
guna tenaga bersih adalah industri logam asas dan keluaran logam,
peralatan pengangkutan, keluaran E&E dan M&K. Permintaan
terhadap jurutera pengeluaran, jurutera acuan dan bingkai, ahli kaji
logam serta sumber manusia teknikal yang mahir dalam teknologi robotik
dan alat pengesan, bahan termaju, nanoteknologi dan mekatronik dijangka
meningkat.
4.78
Kemasukan ke dalam bidang perindustrian baru dan baru muncul memerlukan
peningkatan dalam set kemahiran dan kepakaran teknikal yang sedia ada.
Latihan berkualiti akan diberi penekanan di pelbagai institusi
pengajian dan pusat pembangunan kemahiran bagi memastikan pengetahuan,
kemahiran dan kepakaran kekal relevan untuk memenuhi keperluan pasaran
bagi menghadapi persekitaran persaingan yang semakin sengit. Antara
lain, program pembangunan sumber manusia dalam bidang sains dan
teknologi akan disasar ke arah membangunkan kumpulan teras ahli sains
penyelidik dan jurutera penyelidik bagi memenuhi keperluan pembangunan
perindustrian, khususnya dalam bidang teknologi utama.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
4.79
Dari segi institusi pelaksana untuk pembangunan sektor perindustrian,
MITI akan terus menjadi agensi peneraju utama memacu pengembangan
aktiviti pembuatan dan perkhidmatan berkaitan. Usaha ini akan disokong
oleh kementerian dan agensi utama yang lain, termasuk Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi, MIDA, MATRADE dan SMIDEC. Semua agensi tersebut akan menerajui
program khusus seperti mempergiat penyertaan Bumiputera dalam
perdagangan dan perindustrian, mempercepat pembangunan industri baru
dalam bidang bioteknologi dan ICT, menyelaras dan mempromosi aktiviti
pelaburan dan pemasaran serta membangunkan EKS yang didorong oleh
inovasi.
4.80
Peruntukan pembangunan untuk menyokong sektor pembuatan dan
perkhidmatan berkaitan dalam tempoh RMKe-9 adalah seperti ditunjukkan
dalam Jadual 4-6. Tumpuan adalah untuk mempercepat pembangunan teknologi
Jadual 4-6 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan bagi Sektor Pembuatan & Perkhidmatan Berkaitan, 2001-2010
perindustrian, menaik
taraf infrastruktur perindustrian dan menggalak pembangunan kemahiran
lanjutan. Program sokongan bagi memperkukuh EKS khususnya, termasuk
latihan teknikal dan perantisan, pemasaran dan promosi serta penyediaan
khidmat bimbingan seperti pembangunan perniagaan dan perundingan.
V : PENUTUP
4.81 RMKe-8 telah menyediakan asas yang kukuh bagi sektor pembuatan untuk terus menyumbang kepada industri yang mempunyai nilai ditambah tinggi dan berasaskan pengetahuan serta menggalak pertumbuhan ekonomi. Bagi merangsang transformasi yang sedang berlaku dalam sektor pembuatan dengan lebih rancak serta mengekalkan daya saingnya, RMKe-9 akan menyediakan satu persekitaran yang bertenaga dan membantu FDI dan pelaburan tempatan untuk menggerakkan sektor pembuatan ke atas dan disepanjang rantaian nilai. Cabaran seterusnya adalah untuk mengukuh dan membangunkan kelompok industri baru dan yang baru muncul serta menjana lebih banyak peluang pelaburan, pendapatan dan pekerjaan. Bagi memperluas dan mendalamkan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pada masa akan datang, Kerajaan akan terus membantu sektor swasta dengan menyediakan pelbagai khidmat sokongan termasuk penyediaan pembiayaan dan insentif khusus. Usaha ini bertujuan meningkatkan kapasiti R&D, kompetensi teras teknikal dan pengurusan serta pembangunan IP untuk pengembangan produk bernilai tinggi dan jenama yang mempunyai potensi eksport. Teras penting dalam program perindustrian adalah pembangunan sektor EKS yang berdaya saing, inovatif dan kukuh dari segi teknologi. Turut penting adalah bagi firma tempatan untuk beroperasi dalam struktur global dan serantau untuk membangunkan integrasi ekonomi dan perkongsian strategik dengan perniagaan antarabangsa serta mengekalkan pertumbuhan dan daya saing sektor perindustrian.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008