BAB 04 : MEMPERGIAT SEKTOR PEMBUATAN DAN PERKHIDMATAN BERKAITAN
I : PENDAHULUAN
4.01
Transformasi sektor pembuatan dan pengekalan daya saingnya terus
menjadi antara faktor utama yang menentukan kepesatan aktiviti ekonomi
negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), sektor
pembuatan terus memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan
pengeluaran, eksport dan pewujudan pekerjaan sungguhpun ekonomi dunia
mengalami kelembapan pada awal tempoh Rancangan dan meningkatnya
persaingan di peringkat antarabangsa. Penambahbaikan dasar dan
inisiatif yang berterusan telah memperkukuh lagi sektor tersebut bagi
menghadapi persaingan dan integrasi yang lebih hebat dalam ekonomi
dunia. Inisiatif tersebut telah menyumbang ke arah penyediaan
persekitaran pelaburan yang lebih kondusif kepada pelaburan asing dan
tempatan termasuk enterpris kecil dan sederhana (EKS).
4.02
Bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), matlamat utama
adalah untuk mempertingkatkan sektor pembuatan ke arah aktiviti yang
mempunyai nilai ditambah lebih tinggi dan meningkatkan keupayaan dalam
penyediaan perkhidmatan berkaitan pembuatan untuk menghadapi
persekitaran global yang lebih mencabar dan berdaya saing. Tumpuan akan
diberikan terhadap pembentukan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan
sokongan terutamanya EKS menjadi entiti yang berintensif pengetahuan
dan boleh mencipta nilai yang kukuh. Usaha mempromosi strategi yang
didorong oleh teknologi dan inovasi akan diberi lebih keutamaan.
Penekanan yang lebih akan diberi untuk menggalakkan pelaburan dalam
bidang pertumbuhan baru serta meningkatkan keupayaan dan kemampuan
inovasi untuk memperkukuh produktiviti dan daya saing. Tidak kurang
penting juga ialah usaha menggalakkan integrasi perindustrian dan
kerjasama yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa yang akan
digalakkan untuk menikmati manfaat daripada pengagihan pengeluaran dan
rangkaian perkhidmatan dunia yang semakin meningkat.
II : KEMAJUAN 2001-2005
Prestasi Mengikut Industri
4.03
Sektor pembuatan mencatat pertumbuhan pada kadar purata 4.1 peratus
setahun dalam tempoh RMKe-8. Prestasi tersebut dicapai walaupun sektor
pembuatan mengalami penguncupan sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2001
dan kemerosotan industri elektrik dan elektronik (E&E). Sektor
pembuatan menyumbang sebanyak 31.4 peratus kepada keluaran dalam negeri
kasar (KDNK), 80.5 peratus kepada jumlah eksport dan 28.7 peratus
kepada jumlah guna tenaga pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 4-1.
Jadual 4-1 : Petunjuk Utama Sektor Pembuatan, 2000-2010
4.04
Industri berasaskan sumber mencatat pertumbuhan pada kadar purata 5.0
peratus setahun berbanding industri bukan berasaskan sumber pada kadar
3.3 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-2. Penyumbang kepada
pertumbuhan industri berasaskan sumber adalah daripada pemprosesan
getah dan keluaran getah iaitu pada kadar purata 9.7 peratus setahun,
diikuti oleh industri kimia termasuk baja dan keluaran plastik pada
kadar 8.3 peratus dan minyak dan lemak sayuran dan haiwan pada kadar
7.6 peratus. Penyumbang utama kepada pertumbuhan industri bukan
berasaskan sumber pula adalah sektor kecil kelengkapan pengangkutan
yang berkembang pada kadar 7.5 peratus setahun diikuti oleh keluaran
logam pada kadar 7.1 peratus.
4.05
Dari segi sumbangan kepada jumlah nilai ditambah sektor pembuatan,
industri bukan berasaskan sumber mengekalkan bahagian yang lebih besar
sebanyak 54.2 peratus, dengan industri elektronik menyumbang sebanyak
28.0 peratus. Walaupun mengalami pertumbuhan negatif pada kadar 24.8
peratus pada tahun 2001, namun industri elektronik mencatat pertumbuhan
pada kadar purata 3.0 peratus setahun dalam tempoh Rancangan.
Pencapaian tersebut terutamanya adalah berikutan permintaan yang
berterusan terhadap barangan semikonduktor dan komponen elektrik yang
lain khususnya daripada Amerika Syarikat (AS) dan negara Asia Pasifik.
Jadual 4-2 : Nilai Ditambah Sektor Pembuatan, 2000-2010
4.06
Perubahan struktur dalam industri E&E menunjukkan aliran
memberangsangkan ke arah projek yang mempunyai nilai ditambah dan
berteknologi tinggi serta menggunakan tenaga kerja yang berkemahiran
tinggi. Nisbah pelaburan modal bagi setiap pekerja meningkat daripada
RM235,989 pada tahun 2001 kepada RM291,519 pada tahun 2005, manakala
nisbah pengurusan, teknikal dan penyeliaan meningkat daripada 20.2
peratus kepada 25.3 peratus dalam tempoh yang sama.
4.07
Subsektor kecil kelengkapan pengangkutan, dengan sebahagian besar
pertumbuhan dijana daripada industri automotif meningkatkan
sumbangannya kepada jumlah nilai ditambah sektor pembuatan daripada
11.0 peratus pada tahun 2000 kepada 12.9 peratus pada tahun 2005.
Jumlah kapasiti pengeluaran bagi pemasangan kenderaan bermotor
meningkat pada kadar 55.0 peratus daripada 572,000 unit pada tahun 2000
kepada 891,000 unit pada tahun 2005. Kemajuan yang sama turut dicapai
dalam industri komponen dan alat ganti automotif dengan peningkatan
bilangan syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam rantaian
bekalan tempatan dan global. Industri keluaran logam berkembang pada
kadar purata 7.1 peratus setahun dalam tempoh Rancangan dan mengekalkan
sumbangannya kepada jumlah nilai ditambah sektor pembuatan sebanyak 4.9
peratus.
Eksport Barangan Pembuatan
4.08
Eksport barangan pembuatan berkembang pada kadar purata 6.2 peratus
setahun walaupun berlaku kemerosotan dalam industri elektronik.
Bahagiannya kepada jumlah eksport kasar masih kekal melebihi 80.0
peratus. Dari segi pertumbuhan, eksport keluaran berasaskan sumber
berkembang pada kadar yang jauh lebih tinggi iaitu 11.8 peratus setahun
berbanding dengan eksport bukan berasaskan sumber, yang berkembang pada
kadar purata 4.7 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-3.
Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam eksport keluaran berasaskan sumber
menunjukkan kepelbagaian dan pengembangan yang berterusan dalam asas
eksport negara serta permintaan luaran yang meningkat. Dari segi
sumbangan, keluaran E&E mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang
terbesar kepada jumlah eksport sektor pembuatan.
4.09
Pasaran utama bagi eksport barangan pembuatan adalah daripada
Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), diikuti oleh AS,
Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Hong Kong dan Republik Rakyat China
(China),
Jadual 4-3 : Eksport Barangan Pembuatan, 2000-2010
seperti ditunjukkan dalam
Carta 4-1. Eksport utama termasuk keluaran E&E, kimia dan keluaran
kimia serta mesin, perkakasan dan alat ganti. Kepelbagaian yang
bertambah dalam pasaran eksport Malaysia ditunjukkan oleh pengembangan
eksport ke negara China, Asia Barat, Asia Selatan serta ke pasaran baru
di Amerika Tengah, Amerika Latin dan Eropah Timur.
Carta 4-1 : Destinasi Eksport Utama Barangan Pembuatan, 2000-2005
4.10
Menyedari kepentingan penjenamaan dalam pemasaran serta penerimaan
barangan oleh pengguna di pasaran eksport utama, bantuan telah
disediakan bagi membangun dan mempromosi jenama Malaysia. Bantuan ini
termasuk pemberian geran bagi pembangunan jenama serta potongan cukai
dua kali bagi perbelanjaan yang melibatkan promosi jenama Malaysia di
luar negara. Dana berjumlah RM200 juta telah ditubuhkan di bawah
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk
menyediakan geran setara bagi tujuan pembangunan dan peningkatan jenama
tempatan bagi pasaran luar negara.
Pelaburan Dalam Sektor Pembuatan
4.11
Sejumlah 4,812 projek pembuatan bernilai RM132.6 bilion telah
diluluskan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-4. Projek baru bernilai
RM82.4 bilion atau 62.0 peratus daripada jumlah pelaburan, dan
selebihnya untuk pembesaran dan pelbagaian projek sedia ada. Industri
bukan berasaskan sumber, terutamanya E&E terus menarik pelaburan
yang tinggi, diikuti oleh pembuatan logam asas dan kelengkapan
pengangkutan. Kira-kira 72.0 peratus projek yang diluluskan telah
memulakan pengeluaran, manakala 25.0 peratus lagi berada dalam pelbagai
peringkat pelaksanaan. Sumber utama pelaburan asing adalah dari negara
AS, Jerman dan Jepun.
4.12
Dalam tempoh Rancangan, beberapa langkah dasar dan insentif telah
diperkenalkan untuk meningkatkan iklim perniagaan dan pelaburan.
Langkah ini termasuk kelonggaran syarat ekuiti dalam sektor pembuatan
dengan syarikat asing dibenarkan memegang 100 peratus ekuiti dalam
projek baru serta untuk pembesaran dan pelbagaian projek. Kerajaan juga
meliberalisasi dasar ke atas pengambilan pegawai dagang dan memperkenal
insentif prapakej yang khusus untuk menarik projek berkualiti dalam
bidang yang strategik.
4.13
Perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS) telah digalakkan untuk
memudahkan perkembangan aktiviti sokongan yang penting dalam sektor
pembuatan. Berdasarkan infostruktur dan infrastruktur negara yang teguh
serta guna tenaga yang berpendidikan tinggi dan berkebolehan menguasai
pelbagai bahasa, banyak syarikat asing besar dan multinasional (MNC)
mendapati Malaysia adalah lokasi yang menarik untuk menempatkan pusat
serantau bagi menjalankan aktiviti perkhidmatan dan sokongan perniagaan
mereka. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 1,052 permohonan penubuhan
pusat serantau telah diluluskan merangkumi 67 Ibu Pejabat Operasi
(OHQ), 182 Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC), 29 Pusat Pengedaran
Serantau (RDC), 579 Pejabat Perwakilan dan 195 Pejabat Serantau (RO).
4.14
Sektor perbankan kekal sebagai sumber dana penting kepada sektor
pembuatan dengan mencatat 10.3 peratus jumlah pinjaman yang diluluskan
daripada institusi perbankan dan kewangan dalam tempoh Rancangan.
Pinjaman disalurkan terutamanya kepada industri kayu dan keluaran kayu,
keluaran besi dan keluli, perkakasan mesin elektrik serta pemprosesan
makanan, minuman dan tembakau.
Guna Tenaga Dalam Sektor Pembuatan
4.15
Sektor pembuatan menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah guna
tenaga dan 27.6 peratus daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam
tempoh Rancangan. Jumlah guna tenaga dalam sektor pembuatan berkembang
pada kadar purata 4.1 peratus setahun, meningkat daripada 2.6 juta pada
tahun 2000 kepada 3.1 juta pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 4-5. Guna tenaga dalam industri bukan berasaskan sumber
berkembang pada kadar 4.3 peratus setahun, mewujudkan 308,900 pekerjaan
baru berbanding industri berasaskan sumber yang berkembang pada kadar
3.7 peratus, mewujudkan 237,100 pekerjaan baru. Pewujudan guna tenaga
dalam industri bukan berasaskan sumber terutamanya disumbang oleh
perkembangan industri E&E, kelengkapan pengangkutan serta industri
logam asas dan keluaran logam.
4.16
Perubahan yang sedang berlaku dalam sektor pembuatan ke arah industri
yang mempunyai nilai ditambah tinggi dan berintensif pengetahuan telah
meningkatkan permintaan terhadap guna tenaga yang mempunyai kelayakan
tertiari serta latihan vokasional dan teknikal. Dari segi penawaran,
pelbagai institusi latihan, vokasional dan pendidikan telah
meningkatkan keupayaan mereka. Pusat pembangunan kemahiran (PPK) negeri
dan pusat latihan kemahiran belia serta institusi kemahiran tinggi
telah menyediakan kursus peningkatan kemahiran teknikal di peringkat
asas, pertengahan dan lanjutan. PPK telah mengadakan kerjasama yang
rapat dengan politeknik serta sektor swasta bagi memastikan kesesuaian
dan kebolehpasaran set kemahiran yang diperlukan.
Pembangunan Enterpris Kecil dan Sederhana
4.17
RMKe-8 memberi penekanan terhadap kepentingan EKS untuk meningkatkan
kedinamikan dan daya saing sektor pembuatan. Berasaskan Banci
Pertubuhan dan Enterpris 2005, jumlah EKS yang berdaftar adalah
sebanyak 33,113 yang menyumbang 29.0 peratus kepada jumlah keluaran
sektor pembuatan, 31.0 peratus kepada nilai ditambah dan 44.0 peratus
kepada jumlah guna tenaga. Sungguhpun prestasi keseluruhannya
meningkat, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberi
perhatian seperti akses kepada pasaran eksport, kekurangan keupayaan
teknologi dan tahap rendah guna pakai teknologi boleh upaya.
4.18
Perhatian yang sewajarnya telah diberi kepada penyediaan kemudahan dan
infrastruktur industri bagi memudahkan pengembangan aktiviti EKS.
Sejumlah RM652.2 juta telah disediakan untuk penubuhan dan pembesaran
taman perindustrian EKS merangkumi unit kilang dan kemudahan inkubator
di lokasi utama seluruh negara.
4.19
Pelbagai program telah dilaksana bagi membangunkan usahawan Bumiputera
sebagai sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan Masyarakat
Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berdaya maju dan
berdaya saing. Agensi Kerajaan dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan
(GLC) melalui program vendor mereka telah membantu dalam pembangunan
industri sokongan dan sampingan yang menyumbang kepada pembangunan PKS
Bumiputera yang berkebolehan dan berdaya saing. Dalam tempoh Rancangan,
syarikat peneraju termasuk Perusahaan Otomobil Nasional Berhad
(PROTON), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tenaga Nasional Berhad
(TNB) dan beberapa MNC telah mewujudkan lebih daripada 200 syarikat
vendor lapisan pertama yang terlibat dalam sektor pembuatan dan
aktiviti berkaitan.
4.20
Beberapa program latihan kepada EKS telah dilaksana untuk menambah baik
perancangan sumber, keupayaan pengurusan, pengurusan kewangan,
pembangunan sumber manusia serta meningkatkan kemahiran pemasaran dan
teknikal. Pelbagai geran dan skim pinjaman disediakan untuk perancangan
perniagaan, peningkatan keluaran dan kualiti, pemasaran dan promosi
serta mengguna pakai proses teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
4.21
Bagi memastikan dana yang mencukupi disediakan kepada EKS, Kerajaan
telah memperbesar tabung yang meliputi pinjaman mudah dan geran bagi
membantu penubuhan perniagaan baru dan peningkatan perniagaan sedia
ada. Di samping itu, Bank SME telah ditubuhkan pada tahun 2005 untuk
menyediakan pakej pembiayaan yang komprehensif bagi memenuhi pelbagai
keperluan kewangan EKS. Dari segi modal teroka, Pengurusan Modal Teroka
Malaysia Bhd. (MAVCAP) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia
(MTDC) terus menyediakan skim pembiayaan awal kepada syarikat dalam
peringkat permulaan yang berpotensi dan terlibat dengan aktiviti
berteknologi tinggi.
Teknologi Perindustrian dan R&D
4.22
Penyelidikan dan pembangunan (R&D) terus menjadi penyumbang penting
ke arah perindustrian yang berinovasi dan berdaya saing. Pelbagai skim
pembiayaan untuk inisiatif R&D telah disediakan oleh sektor awam
dan swasta dalam bidang seperti pembuatan termaju, bahan termaju,
bioteknologi, teknologi alam sekitar, elektronik, ICT dan fotonik.
Lebih daripada RM830 juta telah dibelanjakan di bawah Penumpuan
Penyelidikan Dalam Bidang-bidang Keutamaan (IRPA) bagi penglibatan
sektor awam secara langsung dalam R&D manakala sejumlah RM430 juta
telah disediakan untuk meningkatkan usaha R&D sektor swasta melalui
Skim Geran R&D Industri (IGS), Skim Geran R&D Koridor Raya
Multimedia (MGS) dan Skim Geran Aplikasi Demonstrator (DAGS). Sebagai
tambahan kepada Tabung Pengkomersilan Penyelidikan dan Pembangunan
(CRDF), potongan cukai dua kali untuk R&D serta insentif khas
kepada penyelidik dan syarikat untuk mengkomersilkan penemuan R&D
juga diperkenalkan.
III : PROSPEK 2006-2010
4.23
Tempoh RMKe-9 akan lebih mencabar kepada proses pembangunan
perindustrian dalam menghadapi persekitaran ekonomi dunia yang semakin
global dan berdaya saing. Selaras dengan ini, trend di kalangan
syarikat utama dunia adalah lebih bertumpu untuk bergabung dalam
industri yang mempunyai daya pertumbuhan dan berteknologi tinggi,
khususnya industri automotif, bioteknologi dan E&E. Penggabungan
industri yang kian meningkat dan persekitaran global yang lebih dinamik
akan terus mencetuskan persaingan yang lebih sengit bagi peluang
pelaburan di seluruh dunia. Oleh itu, syarikat Malaysia juga perlu
mengenal pasti serta membangunkan keluaran dan perkhidmatan terpilih
untuk pasaran khusus. Antara lain, industri Malaysia perlu menjalin dan
memperkukuh persepaduan strategik dengan rakan kongsi asing termasuk
menerusi usaha sama, penggabungan dan perolehan aktiviti perindustrian
dan perkhidmatan berkaitan yang dikenal pasti mempunyai nilai ditambah
dan berteknologi tinggi. Usaha ini akan menyediakan landasan yang lebih
luas bagi industri Malaysia untuk menjana rangkaian dalaman dan antara
sektor yang lebih luas serta menyertai rangkaian pengeluaran, pelaburan
dan perkhidmatan serantau dan global.
Prospek Pertumbuhan Sektor Pembuatan
4.24
Dalam tempoh RMKe-9, tumpuan utama adalah untuk memastikan sektor
pembuatan berkembang pesat dan mampan serta berdaya saing. Sektor
pembuatan disasarkan berkembang pada kadar purata 6.7 peratus setahun.
Pemangkin pertumbuhan dan pelaburan sektor tersebut sebahagian besarnya
dijangka disumbangkan oleh industri yang didorong oleh teknologi dan
inovasi yang akan menghasilkan peluang peningkatan eksport, pendapatan
dan pekerjaan yang lebih besar.
4.25
Dengan kadar pertumbuhan yang secara relatifnya lebih tinggi, bahagian
sektor pembuatan dalam KDNK diunjurkan meningkat daripada 30.8 peratus
dalam RMKe-8 kepada 31.8 peratus dalam RMKe-9. Peningkatan ini
memerlukan pelaburan yang besar dalam aktiviti sektor pembuatan yang
baru dan baru muncul serta MRS. Selain usaha menarik pelaburan asing,
pertumbuhan pelaburan swasta tempatan perlu juga dipercepat. Sektor
swasta dan GLC khususnya akan digalak untuk mengambil peluang pelaburan
baru, membina keupayaan tempatan dalam menggunakan teknologi termaju
serta membangunkan keluaran dan perkhidmatan terpilih yang akan menjana
permintaan baru dan mengembangkan pasaran.
4.26
Memandangkan meningkatnya peluang daripada perdagangan dan pelaburan
antara wilayah serantau berikutan daripada liberalisasi serantau dan
global, galakan pelaburan asing akan terus diberi keutamaan. Sehubungan
ini, usaha penggalakan akan dipergiat bagi memanfaatkan prestasi baik
yang telah dicapai oleh Malaysia dalam pengurusan makroekonomi,
infrastruktur termaju dan persekitaran pelaburan asing yang
menggalakkan bagi menarik pelaburan yang lebih berkualiti terutamanya
dalam industri berasaskan pengetahuan dan berintensif teknologi.
4.27
Teras dasar RMKe-9 adalah untuk menggiatkan pembangunan industri
berasaskan sumber bertujuan mengoptimum dan menambah nilai kepada
penggunaan sumber asli negara. Pengembangan aktiviti hiliran seterusnya
yang merangkumi keluaran petrokimia, pulpa dan kertas, getah, kayu dan
minyak sawit serta industri makanan, akan menyumbang ke arah pembuatan
keluaran yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi serta menggalakkan
rangkaian yang lebih luas antara industri dan antara sektor.
4.28
Pertumbuhan sektor pembuatan akan terus diterajui oleh eksport dengan
eksport barangan pembuatan dijangka berkembang pada kadar 9.3 peratus
setahun dalam tempoh Rancangan. Bahagian eksport barangan pembuatan
kepada jumlah eksport
dijangka berkembang daripada 80.5 peratus pada tahun 2005 kepada 83.4
peratus pada tahun 2010. Bahagian eksport keluaran berasaskan sumber
dijangka terus meningkat terutamanya dengan pembaharuan tumpuan kepada
pembangunan industri berasaskan pertanian berikutan penggunaan
teknologi baru dalam bioteknologi serta pembangunan keluaran baru
daripada pengeluaran produk dan perkhidmatan halal. Keluaran bukan
berasaskan sumber akan terus menerajui eksport keseluruhan barangan
pembuatan, khususnya keluaran E&E.
4.29
Selaras dengan perubahan dalam pembangunan global dan serantau serta
penyusunan semula industri tempatan yang sedang dilaksana, Pelan Induk
Perindustrian Ketiga (IMP3) akan menyediakan rangka kerja pembangunan
sektor pembuatan yang menyeluruh dan rancangan terperinci bagi
subsektor untuk tempoh 2006-2020. Sehubungan ini, teras dasar RMKe-9
bagi mempercepatkan pembangunan perindustrian dan mengekalkan daya
saing akan meliputi:
a) memperkukuh integrasi
strategik dengan ekonomi global terutamanya melalui kerjasama
antarabangsa dalam industri yang mempunyai nilai ditambah dan
berteknologi tinggi;
b) menggalak sumber baru bagi pertumbuhan perindustrian dan pewujudan kekayaan;
c) membangunkan industri perkhidmatan berkaitan yang cekap dan berdaya saing bagi meningkatkan prestasi sektor pembuatan;
d) menyediakan insentif yang lebih bertumpu kepada industri yang mempunyai nilai ditambah tinggi;
e) meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor pembuatan;
f) membangunkan EKS yang didorong oleh inovasi untuk bersaing dalam pasaran global;
g) menggalakkan pelaburan
seberang sempadan bagi mendapat manfaat daripada peningkatan pengagihan
aktiviti pengeluaran dan pemasaran di peringkat global; dan
h) meningkatkan penawaran dan kualiti sumber manusia mahir yang diperlukan untuk peningkatan teknologi dan perindustrian.
Memperkukuh Integrasi Strategik dengan Ekonomi Global
4.30
Dalam tempoh RMKe-9, Malaysia akan mengambil langkah memperkukuh
kedudukannya sebagai negara perdagangan di peringkat global serta
meningkatkan tahap daya saing sektor pembuatannya. Sehubungan ini,
usaha akan diambil untuk memperluaskan skop dan liputan hubungan
serantau seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan perjanjian
perkongsian ekonomi (EPA) bagi memastikan akses kepada peluang pasaran,
perdagangan dan pelaburan yang lebih luas. Aktiviti pelaburan seberang
sempadan dan antara rantau semakin rancak terutamanya berikutan
meningkatnya persaingan dan integrasi jaringan pengeluaran dan
pemasaran global. Sehubungan ini, syarikat Malaysia juga perlu sentiasa
proaktif dan mencari peluang pelaburan baru di dalam dan di luar
negara. Tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan soft infrastructure
termasuk meningkatkan kualiti modal insan, keupayaan R&D serta
sistem pengurusan.
4.31
Dalam persekitaran global yang pesat berubah dan meningkatnya arah
aliran pakatan dan jaringan strategik di kalangan sebilangan syarikat
antarabangsa, pelabur Malaysia perlu membentuk usaha sama yang lebih
luas dengan rakan kongsi asing serta meneroka sendiri bidang
pertumbuhan yang disasarkan sama ada di dalam atau pun di luar negara.
Usaha ini akan membolehkan syarikat Malaysia menjadi sebahagian penting
daripada rantaian ekonomi antarabangsa dan mengeluarkan barangan dan
perkhidmatan yang mewujudkan peluang permintaan dan pasaran baru.
Sehubungan ini, inisiatif untuk memudahkan industri menghadapi cabaran
tersebut termasuk:
a) memudahkan pelaburan
dalam sumber pertumbuhan dan pewujudan kekayaan baru industri yang
memerlukan perkongsian global yang besar bagi memanfaatkan ekonomi ikut
bidangan,
b) mengembangkan eksport dan meningkatkan akses kepada pasaran;
c) menggalakkan
pengembangan pelaburan langsung asing (FDI) di dalam negara serta
memudahkan usaha sama dan pakatan strategik antara firma Malaysia
dengan MNC;
d) membantu industri
tempatan meningkatkan kompetensi teras khususnya kemahiran reka bentuk
dan kejuruteraan ICT serta kepakaran pengurusan dan teknikal bagi
mendapat manfaat daripada jaringan pengeluaran serantau dan
antarabangsa;
e) membangun dan
melaksana piawai yang tinggi bagi kualiti produk dan prestasi
perkhidmatan untuk mengekalkan bahagian pasaran dan mewujudkan peluang
pasaran baru; dan membina infrastruktur dan kemudahan perlu termasuk
taman perindustrian khusus di kawasan tertentu yang berpotensi untuk
menarik pelaburan.
4.32
Usaha tersebut akan dapat mengembangkan pelaburan tempatan dan
mewujudkan syarikat Malaysia bertaraf global yang teguh dalam industri
tertentu untuk mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian nilai
antarabangsa. Dalam masa yang sama, integrasi dengan syarikat global
akan meningkatkan kemampuan dan bina upaya serta memberikan kesan
pengganda dan limpahan yang lebih besar kepada ekonomi dalam negeri.
Menggalakkan Sumber Pertumbuhan Baru Industri
4.33
Di samping membangunkan kelompok industri sedia ada bagi mengeluarkan
produk generasi akan datang, usaha akan diambil untuk mempertingkatkan
pembangunan sumber pertumbuhan baru yang sebahagian besarnya merupakan
aktiviti berasaskan sains dan inovasi, khususnya industri bioteknologi
dan ICT untuk mempelbagai dan memperluas asas pembuatan. Dengan
wujudnya tekanan daripada persaingan, penggunaan teknologi dan inovasi
adalah penting bagi menambah baik dan membangunkan keluaran baru serta
perkhidmatan berkaitan bagi memenuhi keperluan pasaran sedia ada dan
yang berpotensi. Antara faktor penting ialah meningkatkan mekanisme
kerjasama sedia ada antara sektor awam dengan swasta dan mengadakan
mekanisme baru dalam mewujudkan lebih banyak syarikat yang berinovasi.
Usaha ini, antara lain, memerlukan peningkatan keupayaan dalam
pembangunan teknologi dan pengurusan, penggunaan aplikasi berintensif
pengetahuan, jaringan dan mempercepat peningkatan kemahiran industri.
4.34
Dalam tempoh RMKe-9, komponen penting dalam dasar perindustrian negara
adalah untuk mempertingkatkan usaha ke arah pembuatan produk berasaskan
sumber dan nilai ditambah yang lebih tinggi. Kelompok industri yang
telah berkembang maju, terutamanya subsektor petrokimia dan berasaskan
pertanian dijangka dapat mengenal pasti dan membangunkan kompetensi
baru dan khusus. Strategi pembangunan bagi sektor kecil tersebut
termasuk menggalak pengeluar mengeluarkan produk terpilih yang
berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif dan memperluas pasaran ke
peringkat serantau dan global.
4.35
Teknologi pembuatan termaju akan terus meningkatkan produktiviti dan
daya saing industri keseluruhannya serta membantu pembangunan strategik
industri berteknologi tinggi. Sumber pertumbuhan baru dalam bidang
pembuatan termaju termasuk robotik, alat pengesan pintar, perisian
pintar, pembungkusan berteknologi tinggi, automasi dan nanopemprosesan.
Sehubungan ini, R&D akan dipergiat dan aplikasi dalam bidang utama
akan dilaksanakan.
4.36
Anjakan ke arah aktiviti perindustrian berteknologi tinggi akan
meningkatkan permintaan terhadap bahan baru dan termaju daripada
keluaran petrokimia. Sehubungan ini, langkah akan diambil untuk
membangunkan lagi industri petrokimia dengan mengembangkan keupayaan
bahan sua dan pelbagai produk hiliran bagi memenuhi permintaan tempatan
dan global yang semakin meningkat. Dalam usaha untuk bergerak ke atas
dan di sepanjang rantaian nilai, rangkaian yang mampu meningkatkan
prospek pertumbuhan sumber petroleum dan gas akan diperkukuh lagi.
Keluaran di sepanjang rantaian nilai yang mempunyai prospek pertumbuhan
adalah termasuk keluaran berasaskan petrokimia yang merupakan input
kepada industri alat ganti dan komponen dalam subsektor E&E dan
automotif.
4.37
Peluasan aktiviti industri petrokimia yang sedia ada dan yang baru di
koridor Kertih-Gebeng dan Pasir Gudang-Tanjung Langsat akan
meningkatkan lagi aktiviti mewujudkan pertumbuhan ke atas dan di
sepanjang rantaian nilai. Dalam konteks ini, satu cabang penting adalah
penubuhan kemudahan lanjutan termasuk aktiviti sokongan sampingan serta
perkhidmatan berkaitan yang terletak di dalam kawasan Kertih-Gebeng
untuk memenuhi keperluan aktiviti hiliran.
4.38
Bagi mempercepatkan pembangunan industri bioteknologi negara yang masih
muda, usaha akan dipertingkatkan bagi menjana peluang pelaburan baru
untuk usahawan tempatan serta menarik syarikat bioteknologi bertaraf
dunia ke Malaysia. Insentif fiskal dan bukan fiskal khusus mengikut
keperluan industri akan disediakan bagi meningkatkan kerjasama R&D,
membangunkan kemahiran tertentu serta perkongsian global. Satu strategi
pemasaran global akan dirangka untuk mewujudkan jenama yang diiktiraf
bagi produk dan penggunaan bioteknologi Malaysia serta menjana
perniagaan baru melalui perkongsian strategik dan usaha sama.
4.39
Industri keluaran elektronik akan terus menjadi subsektor utama bagi
pertumbuhan perindustrian dan inovasi dalam tempoh RMKe-9. Nilai
ditambah subsektor tersebut dijangka berkembang pada kadar purata 7.7
peratus setahun. Anjakan global ke arah penggunaan elektronik secara
meluas dijangka terus meningkat dalam semua industri dan perkhidmatan
terutamanya dengan perkembangan baru dalam industri ICT. Perkembangan
ini ketara khususnya dalam bidang automasi, pengecilan saiz, pendigitan
dan pelbagai aplikasi multimedia. Walaupun sumbangan MNC dalam industri
E&E akan tetap penting, namun pelaburan tempatan serta keupayaan
teknologi dalam aktiviti E&E sedia ada dan baru akan terus
dipertingkatkan. Ini akan memanfaat pembangunan bandar siber di Bayan
Lepas, Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah.
4.40
MNC dalam industri E&E dijangka terus menggunakan alat ganti dan
komponen daripada sumber tempatan serta mendapatkan khidmat luar bagi
beberapa aktiviti bukan teras mereka dan seterusnya menyumbang kepada
aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi. Pengeluar tempatan akan
digalakkan untuk menumpu kepada peningkatan tahap kecanggihan keluaran
mereka dari segi kualiti, fungsi dan reka bentuk. Dengan meningkatnya
kerjasama di kalangan firma tempatan, institusi penyelidikan dan MNC
yang mengambil bahagian, Kerajaan akan terus membantu membangunkan set
kemahiran dan kepakaran yang berkaitan, pengetahuan teknologi dan
R&D bagi meningkatkan industri E&E tempatan ke tahap yang lebih
tinggi dalam rantaian nilai.
4.41
Dalam tempoh Rancangan, perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar
(SSO) akan dijadikan sebagai sumber pertumbuhan baru yang utama.
Pasaran SSO di seluruh dunia pada tahun 2008 dianggarkan bernilai
US$600 bilion dengan lebih separuh daripadanya akan dilaksana menerusi
kerjasama penyumberan luar pihak ketiga atau usaha sama. Memandangkan
Malaysia mempunyai kelebihan dalam SSO di peringkat global, penekanan
yang lebih akan diberikan untuk menarik lebih banyak syarikat
antarabangsa serta menggalakkan penglibatan industri tempatan dalam
pasaran yang berpotensi. Bagi tujuan ini, usaha promosi dan pemasaran
di peringkat antarabangsa akan dipergiat dengan tumpuan untuk
menggalakkan pusat berskel besar daripada sektor tenaga, kewangan,
logistik, pembuatan dan penjagaan kesihatan.
4.42
Strategi utama termasuk menarik syarikat tempatan menggunakan
perkhidmatan berkaitan SSO bernilai tinggi seperti pemasaran,
pengurusan projek, pembangunan produk dan pengurusan rantaian bekalan.
Pada masa yang sama, permintaan SSO tempatan akan dirangsang bagi
membantu pembentukan kumpulan industri penyumberan luar tempatan yang
lebih banyak. Bagi memperkukuh lagi kelompok SSO, bantuan seperti akses
kepada dana untuk projek usaha sama serta penggabungan dan pemerolehan
akan disediakan. Bantuan ini seterusnya akan membolehkan firma
penyumberan luar tempatan memperoleh kompetensi bertaraf dunia,
menembusi pasaran pesisir pantai yang lebih luas dan mengembangkan saiz
operasi mereka. Selanjutnya, rangka kerja perundangan bagi perlindungan
hak harta intelek akan diperkukuh bagi memberikan keyakinan yang lebih
tinggi terhadap penyumberan luar.
4.43
Bagi mengembangkan pelbagai keluaran dan perkakasan baru dalam
industri, penekanan yang lebih akan diberikan kepada penggunaan dan
aplikasi bahan baru dan termaju. Penyelidikan tempatan serta keupayaan
dan kemampuan reka bentuk akan terus diperluas dengan tujuan untuk
membangun komponen baru dan menambah baik komponen dalam nanoelektronik
dan nanobahan untuk peranti mikroelektronik dan pelbagai aplikasi
industri lain.
4.44
Satu bidang yang mempunyai prospek pertumbuhan yang memberangsangkan
ialah industri pembuatan dan perkhidmatan berkaitan ICT yang bertumpu
kepada kreativiti dan pembangunan kandungan digital. Bidang tersebut
termasuk animasi komputer, permainan digital, aplikasi dan perkhidmatan
mudah alih, televisyen interaktif dan pengarkiban digital. Sehubungan
ini, pelbagai insentif akan dipertimbang bagi merangsang dan
mempelbagai reka bentuk, kegunaan serta pengeluaran penyelesaian dan
aplikasi talian tetap dan mudah alih yang berkesan dari segi kos untuk
pasaran tempatan dan global.
4.45
Dalam usaha menggalak industri automotif sebagai subsektor yang berdaya
saing, Kerajaan akan melancarkan Dasar Automotif Nasional pada tahun
2006. Dasar ini akan menyediakan hala tuju yang jelas dan strategik
bagi membangun industri automotif dan komponen yang cergas dan berdaya
tahan. Dasar akan menjurus kepada usaha membolehkan industri mencapai
ekonomi ikut bidangan, meningkatkan keberkesanan kos keseluruhan,
rangkaian perindustrian dan eksport. Kerajaan akan menyediakan insentif
fiskal dan kewangan yang bersesuaian bagi menyokong dasar tersebut yang
akan membolehkan industri automotif bergerak ke atas rantaian nilai dan
berkembang ke arah produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai
ditambah lebih tinggi. Antara langkah tersebut termasuk membangunkan
kelompok automotif sedia ada dan baru, keupayaan teknikal, kejuruteraan
dan R&D serta menubuhkan Dana Pembangunan Automotif khusus bernilai
RM500 juta.
4.46
Dalam tempoh RMKe-9, usaha yang lebih giat akan diambil untuk industri
mesin dan kelengkapan (M&K) bagi meningkatkan keupayaan tempatan
dalam mereka dan membentuk mesin serta peralatan untuk keperluan
mekanisasi dan automasi dalam ekonomi melalui penyediaan skim insentif
dan pembiayaan. Usaha mempromosi akan dipergiat untuk menarik pengeluar
asing bagi M&K yang khusus dan berteknologi tinggi untuk menubuhkan
pusat operasi di Malaysia. Insentif sedia ada untuk syarikat serantau
akan ditambah baik, manakala pakej insentif yang baru akan dipertimbang
termasuk penubuhan taman mesin di dalam zon kemudahan bebas bertujuan
menjadikan Malaysia sebagai pusat aktiviti M&K serantau.
4.47
Kejayaan penubuhan industri M&K akan bergantung terutamanya kepada
kemampuan industri kejuruteraan tempatan untuk membekalkan alat ganti,
komponen dan modul serta terdapatnya sumber tenaga teknikal yang
berkelayakan tinggi. Pengeluar M&K seluruh dunia kini beralih
kepada penyumberan global bagi komponen dan modul mesin. Dengan
demikian, usaha akan dipergiat bagi menggalakkan syarikat tempatan
dalam industri sokongan kejuruteraan untuk mempertingkat keupayaan
teknologi dan pengeluaran mereka terutamanya dengan menyertai aktiviti
penyumberan luar secara meluas.
4.48
Sebagai sebahagian daripada strategi menggalakkan industri berasaskan
pengetahuan dan berteknologi tinggi, industri aeroangkasa akan terus
dibangunkan. Dengan mengambil peluang daripada pasaran terpilih yang
sedia ada dalam pengeluaran kapal terbang kecil, pembuatan komponen dan
alat ganti serta penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO),
peningkatan kerjasama teknikal antara pengeluar tempatan dengan gobal
akan diteruskan bagi memenuhi piawai dan kualiti bertaraf dunia dalam
industri tersebut. Selain itu, pelaksanaan Program Satelit Kebangsaan
akan dipergiat lagi sebagai sebahagian daripada proses membangunkan
keupayaan dan teknologi pengeluaran tempatan serta menambah baik
R&D dan kerja reka bentuk. Dasar Angkasa Negara akan digubal bagi
menyediakan hala tuju strategik untuk mempertingkat pembangunan
industri aeroangkasa tempatan dan mengenal pasti peluang pembangunan
pelaburan yang berpotensi.
4.49
Perkembangan baru dalam industri pertahanan dijangka merangsang
pertumbuhan industri lain termasuk aeroangkasa, automotif dan ICT yang
melibatkan reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan pelbagai keluaran
dan komponen. Bagi mempertingkat keupayaan pengeluar tempatan, lebih
banyak usaha sama dan kerjasama dengan rakan kongsi asing akan
digalakkan. Inisiatif akan diambil untuk menggunakan kemudahan sedia
ada seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor
untuk aktiviti MRO bagi kapal terbang tentera dan komersil, khususnya
untuk rantau Asia Pasifik.
4.50
Banyak peluang pelaburan diwujudkan daripada aktiviti yang mempunyai
nilai ditambah tinggi dan berintensif teknologi dalam industri marin
yang masih belum dimanfaatkan. Aktiviti ini termasuk pembinaan kapal,
bot, kapal pengangkut, feri dan kapal pukat tunda; penyenggaraan,
pembaikan dan membaik pulih; memasang siap kapal rekreasi, perahu layar
dan pelampung; serta kerja kejuruteraan berat seperti pembinaan dan
memasang siap kelengkapan luar pesisir pantai. Kerajaan akan terus
menyediakan pelbagai insentif fiskal dan kewangan untuk melonjakkan
pembangunan industri perkapalan.
4.51
Industri kraftangan termasuk batik dan songket serta keluaran
tradisional dan perhiasan pakaian akan terus dibangunkan. Sektor swasta
dijangka memainkan peranan yang lebih aktif dalam memoden industri
kraftangan, menambah baik reka bentuk dan kualiti produk serta
mempergiat pemasaran dan promosi. Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia dan Institut Kraftangan Negara serta agensi lain yang
berkaitan akan terus menyediakan khidmat sokongan teknikal, perniagaan
dan khidmat sokongan lain yang diperlukan kepada firma dan individu
yang berdaya usaha. Aktiviti R&D akan dipergiat dalam pengeluaran
gentian khusus sebagai bahan mentah alternatif dalam pembuatan batik
dan songket yang mempunyai nilai ditambah tinggi. Usaha juga akan
diambil untuk menggalak penggunaan batik dan songket dalam industri
fesyen dan reka bentuk pakaian mewah bagi pasaran tempatan dan
antarabangsa.
Sokongan Perkhidmatan untuk Sektor Pembuatan
4.52
Dalam usaha negara untuk terus memaksimum peluang pertumbuhan daripada
sektor pembuatan, tumpuan akan diberi kepada perkembangan industri
perniagaan dan perkhidmatan sampingan. Ketersediaan, kualiti dan fungsi
sokongan perkhidmatan yang perlu akan menyediakan landasan bagi
pelbagai rangkaian ke hadapan dan ke belakang yang seterusnya
menyumbang kepada aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah.
Kepelbagaian aktiviti perlu selari dengan peningkatan dan pelbagai
permintaan daripada pengeluaran, pemprosesan serta pengedaran,
pemasaran dan operasi R&D yang semakin rumit dalam sektor
pembuatan. Antara lain, penyediaan infrastruktur, infostruktur dan
kompetensi teras yang perlu adalah penting dalam bidang utama seperti
pengangkutan dan logistik yang bersepadu, pemasaran dan pengedaran,
R&D dan inovasi serta kejuruteraan dan reka bentuk keluaran khusus.
Sehubungan ini, inisiatif strategik adalah termasuk:
a) membantu pengilang
kontrak menjadi pengeluar reka bentuk sendiri (ODM) dan pengeluar
jenama sendiri (OBM) yang mensasar operasi tempatan dan global;
b) memperkukuh
pembangunan perkakasan maklumat, mempromosi dokumentasi elektronik,
menggalak e-dagang dan menambah baik persekitaran Internet;
c) mewujudkan
persekitaran yang kondusif bagi pengumpulan dan penyebaran pengetahuan
baru serta menguatkuasa perlindungan hak harta intelek;
d) memperkukuh keupayaan
R&D, teknikal dan kejuruteraan tempatan bagi meraih manfaat
daripada aplikasi inovasi dan pengetahuan, dan jika perlu, bekerjasama
dengan syarikat besar dan pusat penyelidikan bertaraf dunia;
e) mempergiat bina upaya
dengan melahirkan lebih ramai kepakaran teknikal dalam menaik taraf
teknologi di institusi penyelidikan dan institusi latihan perindustrian
serta menggalak MNC memindahkan institusi latihan atau pusat
pembangunan keluaran mereka ke Malaysia;
f) membantu dalam
penyediaan infrastruktur yang perlu di lokasi strategik yang menarik
pelaburan berkualiti dalam industri MRS; dan
g) memastikan keupayaan
yang mencukupi untuk membangunkan piawai dan akreditasi, aktiviti ujian
dan kawalan kualiti produk yang ditanda aras mengikut keperluan
antarabangsa.
4.53
Peningkatan arah aliran penyumberan luar aktiviti teras dan bukan teras
oleh syarikat besar terutamanya MNC akan membuka peluang pelaburan yang
lebih luas dalam penyediaan khidmat sokongan. Syarikat Malaysia
terutamanya EKS akan digalak mencari peluang pelaburan yang baru dan
lebih baik terutamanya dalam pengurusan rantaian bekalan serta aktiviti
dan perkhidmatan logistik bersepadu. Bagi tujuan ini, Dana Pembangunan
Sektor Perkhidmatan untuk EKS akan ditubuhkan bagi membantu usahawan
berpotensi meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional mereka. Di
samping itu, agensi berkaitan terutamanya Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian
Malaysia (MIDA) akan dapat menyediakan khidmat sokongan institusi
sepenuhnya kepada industri perkhidmatan berkaitan pembuatan apabila
program Pertukaran Maklumat Perdagangan dan Industri antara MITI dengan
Agensi (MATRIIX) beroperasi sepenuhnya sebagai satu pusat khidmat
setempat untuk mempromosi perkhidmatan bantuan perdagangan dan membantu
menyelesaikan masalah operasi.
Penjenamaan
4.54
Bagi mengekalkan permintaan terhadap jenama Malaysia, usaha akan
dipergiat bagi memastikan kualiti, pengkhususan dan konsistensi selaras
dengan perubahan gaya hidup pengguna yang arif. Pelbagai usaha termasuk
penyediaan insentif dan geran bagi pembangunan jenama serta pemasaran
dan promosi yang disasarkan akan diteruskan. Tumpuan yang lebih akan
juga diberi kepada usaha meningkatkan kesedaran pengusaha industri,
khususnya EKS, terhadap aspek baru dan sedang muncul seperti inovasi,
pembudayaan, pengiklanan dan media komunikasi yang pesat berubah bagi
memperkukuh jenama tempatan dan meningkat bahagian pasaran. Kewujudan
pasaraya besar tempatan dan asing serta rangkaian peruncitan besar
menyediakan saluran tambahan kepada syarikat tempatan, terutamanya EKS,
untuk memasarkan produk dan jenama mereka ke luar negara.
Meningkatkan Penyertaan Bumiputera
4.55
Dalam RMKe-9, Kerajaan akan terus memberi keutamaan yang tinggi untuk
mewujudkan MPPB yang kukuh dan berdaya maju. Agensi perusahaan awam dan
agensi amanah serta GLC akan melipat ganda usaha membantu lebih banyak
pelaburan Bumiputera dalam bidang sedia ada dan lebih penting lagi,
dalam bidang baru untuk menjana kekayaan, pemindahan teknologi dan
pembangunan kemahiran. GLC, khususnya, akan digalak untuk memanfaat
pengalaman dan kepakaran mereka bagi membentuk kumpulan usahawan
Bumiputera yang lebih besar dan mampu bersaing di peringkat global.
4.56
Berdasarkan peningkatan peranan dan kedinamikan sektor perindustrian
dalam tempoh RMKe-9 dan seterusnya, prospek bagi penglibatan lebih
ramai Bumiputera adalah semakin cerah. Usaha akan ditumpukan ke arah
menggalak usahawan Bumiputera melabur dalam pelbagai aktiviti pembuatan
bagi memperluas dan mempelbagai lagi asas perniagaan mereka. Penekanan
yang lebih akan diberi untuk membantu pelaburan dalam bidang
pertumbuhan baru seperti bioteknologi, ICT, industri kreatif termasuk
kandungan digital, elektronik termaju, alat ganti dan komponen
automotif yang khusus serta industri berasaskan sumber yang bernilai
tinggi serta penyediaan perkhidmatan profesional.
4.57
Usaha akan dipergiat untuk mewujudkan teknousahawan Bumiputera melalui
kerjasama dengan institusi penyelidikan dan syarikat besar berasaskan
teknologi. Usaha ini bertujuan memupuk dan membentuk masyarakat
usahawan Bumiputera berinovasi untuk melibatkan diri dalam pembangunan
teknologi yang berpotensi untuk dikomersilkan serta menambah kekayaan.
Keutamaan juga akan diberi kepada usaha memupuk perusahaan Bumiputera
sebagai rakan kongsi bagi meneroka peluang baru dan pelbagai, hasil
daripada penyumberan luar oleh MNC dan GLC. Program untuk menambah baik
pembangunan produk dan penjenamaan, peningkatan kualiti serta R&D
dan keupayaan pemasaran akan diperluas.
4.58
Tumpuan yang lebih akan terus diberikan kepada pembangunan EKS
Bumiputera memandangkan kemajuan mereka merupakan teras penting dalam
strategi yang lebih luas untuk membangun MPPB. Selain memastikan
penyelarasan usaha dalam menggembleng dan mengguna sumber dan kepakaran
untuk membangun EKS Bumiputera, penekanan akan diberikan terhadap usaha
menggalak perusahaan Bumiputera yang cekap dan berdaya saing serta
mampu menghadapi ketidaktentuan pasaran. Bagi tujuan tersebut,
keupayaan dan kemampuan EKS Bumiputera akan terus dibangunkan. Antara
lain, peranan Institut Keusahawanan Negara sebagai pusat yang
menyelaras program latihan keusahawanan dan profesional akan
dipertingkatkan. Di samping itu, akses kepada teknologi, kewangan dan
pasaran serta lokasi yang strategik dan perniagaan yang berdaya usaha
akan ditingkatkan.
Penyediaan Insentif yang Lebih Bertumpu kepada Industri yang Mempunyai Nilai Ditambah Tinggi
4.59
Kerajaan akan meningkatkan usaha menggalak pelaburan dalam industri
yang mempunyai nilai ditambah tinggi dan berintensif pengetahuan. Dalam
hubungan ini, insentif prapakej atau yang khusus mengikut industri
tertentu terutamanya dalam bidang pertumbuhan baru akan ditambah baik.
Manfaat daripada insentif tersebut akan merangkumi bidang seperti
R&D dan pemindahan teknologi, pewujudan pekerjaan, pengembangan
perniagaan dan rangkaian baru serta pewujudan harta intelek khususnya
dalam industri E&E, kandungan digital dan bioteknologi. Di samping
itu, syarikat sedia ada akan juga digalak untuk mengembang dan
mempelbagai aktiviti ke arah industri berkeupayaan tinggi serta beralih
ke bidang perkhidmatan berkaitan.
4.60
Sebagai usaha utama untuk menggalak pelaburan dalam bidang pertumbuhan
baru, Dana Pelaburan Strategik berjumlah RM600 juta akan ditubuhkan di
bawah skim insentif prapakej sedia ada. Tabung tersebut akan digunakan
untuk menarik pelaburan berkualiti dalam projek berintensif
pengetahuan, penjimatan tenaga kerja dan mempunyai kandungan teknologi
tinggi melibatkan R&D, pembangunan harta intelek (IP) serta
meningkatkan modal insan.
4.61
Mengambil kira peningkatan kandungan teknologi dan pengetahuan dalam
industri pembuatan, keutamaan akan diberi kepada insentif untuk
meningkatkan kemahiran yang akan menggalak penggunaan pengetahuan
secara intensif dalam proses pengeluaran dan perkhidmatan yang
berkaitan terutamanya di kalangan EKS. Dalam hubungan ini, peningkatan
kemahiran industri akan bertumpu antara lain, kepada integrasi ICT dan
penggunaan bioinformatik yang menyalurkan kandungan pengetahuan kepada
industri serta e-pengurusan dan perkhidmatan kejuruteraan maya bagi
aktiviti reka bentuk berkeupayaan tinggi. Bagi tujuan tersebut,
peruntukan berjumlah RM463 juta akan disediakan.
4.62
Industri MRS akan terus menjadi bidang penting dalam menyediakan
peluang pelaburan terutamanya kepada EKS. Dalam sektor pembuatan, MRS
akan menjadi tulang belakang yang baru kepada sistem pengeluaran
bersepadu yang pesat berubah merentasi jarak tempat dan ruang. Sumber
tambahan termasuk insentif akan disediakan bagi menggalak pembangunan
infrastruktur sokongan seperti perkhidmatan perniagaan, pengangkutan,
komunikasi dan logistik serta dana latihan untuk mempertingkat
kemahiran teknikal yang diperlukan. Bagi EKS, khususnya, pinjaman mudah
berjumlah RM220 juta akan diperuntukkan, antara lain, bagi pembelian
mesin dan kelengkapan baru yang diperlukan untuk menyertai sektor MRS
yang semakin berkembang.
4.63
Sebagai sebahagian daripada usaha memastikan struktur industri yang
kukuh dan cekap, langkah akan juga termasuk menubuhkan Dana Automasi
serta mewujudkan semula Dana Penyelarasan Perindustrian (IAF). Dana
Automasi akan dikhususkan untuk memoden dan mengautomasi proses
pembuatan untuk meningkatkan kecekapan, kualiti dan penggunaan
teknologi penjimatan tenaga kerja. IAF akan membantu industri yang
menghadapi persaingan sengit daripada langkah liberalisasi di bawah
Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan FTA untuk menyusun semula
dan memperkemas operasi mereka.
4.64
Langkah akan terus diambil untuk menambah baik persekitaran perniagaan
bertujuan menarik pelaburan baru dan menggalak syarikat sedia ada untuk
berkembang. Inisiatif lain termasuk langkah mengurangkan kos
menjalankan perniagaan melalui penambahbaikan proses dan mekanisme,
menyediakan program perancangan dan pembiayaan perniagaan bersepadu
bagi merangsang pelaburan industri serta mengkaji semula perundangan
dan peraturan berkaitan pelaburan yang menghalang pembangunan industri.
Dialog dan perbincangan di antara sektor awam dengan sektor swasta akan
digalak bagi memastikan masalah dan isu diselesaikan dengan segera.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008