BAB 03 : MEMPERKASA PERTANIAN DAN INDUSTRI BERASASKAN PERTANIAN
I : PENDAHULUAN
3.01
Sektor pertanian mencapai pertumbuhan yang positif dalam tempoh
Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8). Perolehan eksport sektor ini telah
meningkat berikutan peningkatan jumlah eksport dan harga yang lebih
baik bagi komoditi pertanian untuk industri. Sektor ini terus
membekalkan bahan mentah kepada industri berasaskan pertanian tempatan
dan sebahagian daripada makanan untuk keperluan negara.
3.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), sektor pertanian
akan dipergiat semula untuk menjadi jentera pertumbuhan ketiga.
Penekanan akan diberikan kepada Pertanian Baru yang melibatkan
pertanian komersil berskala besar, penggunaan teknologi moden yang
lebih meluas, pengeluaran yang berkualiti dan mempunyai nilai ditambah
yang tinggi, memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi,
penggabungan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan
penglibatan usahawan tani dan tenaga kerja mahir. Fungsi agensi
pertanian akan diselaras bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan
kecekapan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
3.03 Dalam tempoh RMKe-8, sektor
pertanian mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi dari segi pengeluaran,
nilai ditambah dan eksport, dipacu oleh penggunaan teknologi baru,
peralihan kepada pengeluaran komersil berskala besar, pelaksanaan
sistem pertanian berkelompok yang lebih meluas serta akses kepada
pasaran dan harga komoditi yang lebih baik. Penekanan diberikan kepada
pembangunan semula tanah pertanian yang telah diberi milik terutamanya
untuk mempercepat pemodenan dan menambah baik produktiviti. Peningkatan
output sektor pertanian telah menyumbang kepada pendapatan dan
kehidupan yang lebih baik, terutamanya bagi petani di kawasan luar
bandar.
Prestasi Pertumbuhan
3.04 Nilai ditambah sektor pertanian berkembang pada kadar
purata 3.0 peratus setahun dalam tempoh Rancangan, iaitu lebih tinggi
daripada sasaran 2.0 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-1.
Kadar pertumbuhan yang lebih tinggi ini dicapai hasil daripada prestasi
yang lebih baik dalam sektor kecil komoditi pertanian untuk industri
terutamanya kelapa sawit dan getah. Sumbangan sektor pertanian kepada
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkurangan sedikit daripada 8.9
peratus pada tahun 2000 kepada 8.2 peratus pada tahun 2005. Walau
bagaimanapun, jumlah nilai ditambah sektor pertanian meningkat daripada
RM18.7 bilion pada tahun 2000 kepada RM21.6 bilion pada tahun 2005.
Nilai ditambah bagi industri berasaskan pertanian berkembang pada kadar
purata 4.5 peratus setahun, mencapai RM16.9 bilion pada tahun 2005.
Jumlah nilai ditambah bagi sektor pertanian dan industri berasaskan
pertanian adalah sebanyak RM38.5 bilion atau 14.7 peratus daripada KDNK
pada tahun 2005. Jumlah eksport pertanian dan industri berasaskan
pertanian juga meningkat pada kadar purata 9.5 peratus setahun, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 3-2.
Jadual 3-1 : Nilai Ditambah Pertanian dan Industri berasaskan Pertanian 2000-2010
3.05 Guna tenaga dalam sektor pertanian terus mengalami
penguncupan pada kadar purata 0.2 peratus setahun kepada 1.4 juta pada
tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-3. Walau bagaimanapun,
produktiviti tenaga buruh meningkat dari segi nilai di tambah bagi
setiap tenaga kerja pada kadar purata 3.7 peratus setahun daripada
RM13,120 pada tahun 2000 kepada RM15,750 pada tahun 2005. Banci
Pertanian 20051 telah mengenal pasti seramai 816,813 individu atau 7.2
peratus daripada jumlah tenaga buruh terlibat dalam sektor pertanian.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52.8 peratus adalah pengusaha
pertanian, 37.2 peratus pekerja dan 10.0 peratus adalah pekerja
keluarga tidak bergaji. Dari segi profil umur, 43.8 peratus adalah
dalam kumpulan umur 55 tahun dan ke atas manakala hanya 25.3 peratus
dalam kumpulan umur 15 hingga 40 tahun.
Jadual 3-2 : Eksport Pertanian dan Industri berasaskan Pertanian 2000-2010
Penggunaan Tanah
3.06 Penggunaan tanah pertanian meningkat daripada 5.9 juta
hektar pada tahun 2000 kepada 6.4 juta hektar pada tahun 2005,
sebahagian besarnya berikutan daripada peluasan kawasan kelapa sawit,
kelapa, sayur-sayuran dan buah-buahan. Daripada jumlah keluasan tanah
tersebut, kelapa sawit meliputi 4 juta hektar dan getah 1.3 juta
hektar. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 163,000 hektar tanah pertanian
terus terbiar. Usaha untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar
terhalang oleh beberapa kekangan terutamanya tuan tanah yang tidak
dapat dikesan, tuan tanah dan petani yang berusia lanjut serta
kesukaran dalam menyatukan tanah pribumi dan tanah adat.
Pengeluaran Pertanian
3.07 Dalam tempoh Rancangan, pengeluaran komoditi pertanian
kecuali kayu balak, koko dan lada hitam, terus mencatat pertumbuhan
positif. Peningkatan pengeluaran adalah berikutan harga yang tinggi dan
peluasan pasaran serta pelaksanaan program dan projek secara berkesan
untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti output.
Komoditi Pertanian untuk Industri
3.08 Pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) meningkat pada kadar
purata 6.7 peratus setahun berikutan peningkatan hasil, kadar perahan
minyak (OER) yang lebih tinggi, peluasan kawasan matang serta harga
minyak sawit yang lebih tinggi. Industri minyak sawit mendapat manfaat
daripada kekurangan bekalan minyak dan lelemak sayuran di pasaran dunia
yang menyebabkan harga minyak sawit mencapai paras tertinggi RM1,610
satu tan metrik dalam tempoh Rancangan.
3.09 Pengeluaran getah meningkat pada kadar purata 3.9 peratus
setahun, terutamanya hasil kenaikan permintaan untuk getah asli,
khususnya dari Republik Rakyat China yang menyebabkan harga getah
meningkat ke paras yang lebih tinggi. Pengeluaran yang lebih tinggi
juga berikutan peningkatan aktiviti penorehan dan penggunaan Sistem
Torehan Intensiti Rendah (LITS) yang meluas di kalangan pekebun kecil.
Keadaan ini telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan bulanan
purata pekebun kecil daripada RM500 kepada RM2,000.
3.10 Pengeluaran biji koko merosot kepada 28,000 tan metrik pada
tahun 2005 selaras dengan pengurangan kawasan tanaman disebabkan oleh
kejatuhan harga biji koko yang berterusan. Pengeluaran lada hitam
berkurangan kepada 19,100 tan metrik pada tahun 2005 terutamanya
disebabkan harga yang rendah dan kos pengeluaran yang tinggi.
Pelaksanaan sistem penanam-pengawet, naik taraf kemudahan pengairan dan
saliran serta khidmat sokongan yang lebih baik telah menyumbang kepada
peningkatan pengeluaran tembakau kepada 14,000 tan metrik pada tahun
2005.
3.11 Selaras dengan komitmen yang berterusan untuk memulihara
hutan semula jadi dan pelaksanaan pengurusan hutan secara mampan, kadar
catuan tebangan tahunan (ACR) telah dikurangkan kepada 272,800 hektar
setahun dalam tempoh Rancangan. Di samping itu, penebangan secara
terpilih turut menyumbang kepada pengurangan kawasan yang boleh
dibalak. Sehubungan itu, pengeluaran kayu balak berkurang pada kadar
purata 1.6 peratus setahun.
Komoditi Makanan
3.12 Dalam tempoh Rancangan, pengeluaran komoditi makanan
mencatat pertumbuhan positif hasil daripada pelaksanaan program dan
projek secara agresif untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport
makanan. Sehubungan itu, tahap sara diri bagi hampir semua jenis
makanan meningkat. Di samping itu, eksport makanan meningkat pada kadar
purata 8.7 peratus setahun, iaitu lebih tinggi daripada kadar import
7.9 peratus.
3.13 Penyatuan sawah padi yang bersaiz kecil diteruskan melalui
konsep pertanian secara berkelompok di lapan kawasan jelapang padi
serta pelaksanaan Projek Sepuluh Tan Sehektar telah membolehkan
penggunaan Amalan Pertanian Baik (GAP) yang lebih meluas dan pengurusan
ladang yang lebih baik. Sehubungan ini, pengeluaran padi telah
meningkat pada kadar purata 2.3 peratus setahun.
3.14 Peluasan kawasan tanaman buah-buahan mendorong peningkatan
pengeluaran pada kadar purata 9.8 peratus setahun. Pengeluaran bertumpu
kepada 15 jenis buah-buahan yang berpotensi untuk dikomersilkan.
Pengeluaran kelapa meningkat pada kadar tahunan purata tahunan 4.8
peratus terutamanya berikutan penggunaan lebih banyak klon berhasil
tinggi iaitu kelapa matang dan kelapa pandan serta peluasan kawasan
tanaman dan peningkatan permintaan.
3.15 Pengeluaran sayur-sayuran meningkat pada kadar purata 13.8
peratus setahun. Peningkatan ini adalah hasil daripada peluasan kawasan
tanaman, pelaksanaan aktiviti berasaskan estet secara intensif,
produktiviti yang tinggi hasil daripada amalan pertanian yang baik
serta peningkatan dalam kaedah pengendalian lepas tuai. Pengeluaran
sayur-sayuran secara organik digalakkan lagi dengan pengenalan Skim
Organik Malaysia yang membolehkan penanam menjual keluaran mereka pada
harga premium. Pada akhir tempoh Rancangan, sebanyak 132 hektar kebun
sayur-sayuran organik telah diberi pengesahan di bawah skim ini.
3.16 Pengeluaran ikan meningkat pada kadar purata 1.6 peratus
setahun mencapai 1.6 juta tan metrik pada tahun 2005. Pencapaian ini
adalah berikutan peningkatan tangkapan hasil laut serta peluasan
aktiviti akuakultur, terutamanya oleh sektor swasta.
3.17 Pengeluaran ternakan mencatat pertumbuhan positif dalam
tempoh Rancangan. Daging kambing mencatat pertumbuhan yang tertinggi
pada kadar purata 10.8 peratus setahun diikuti oleh daging lembu pada
kadar 10.2 peratus setahun. Peningkatan ini sebahagian besarnya adalah
disumbangkan oleh penternakan lembu dan kambing di kawasan ladang
kelapa sawit dan getah serta pemeliharaan lembu secara fidlot oleh
sektor swasta. Industri ayam itik termasuk pengeluaran telur terus
bertahan walaupun diancam wabak selesema burung pada tahun 2003.
Keadaan ini adalah hasil penggunaan sistem reban tertutup secara
meluas. Pengeluaran daging babi meningkat pada kadar purata 5.5 peratus
setahun setelah pulih daripada wabak virus Nipah.
Sumber Pertumbuhan Baru
3.18 Pembangunan sumber pertumbuhan baru terutamanya ikan
hiasan, rumpai laut, tuna dan florikultur diteruskan dalam tempoh
Rancangan. Pengeluaran ikan hiasan meningkat daripada 306 juta ekor
pada tahun 2000 kepada 438 juta ekor pada tahun 2005 dengan nilai
pasaran sebanyak RM103 juta. Bagi rumpai laut, pengeluaran meningkat
pada kadar tahunan purata sebanyak 73.7 peratus kepada 65,000 tan
metrik pada tahun 2005 hasil daripada pengusahaan secara intensif
berdasarkan konsep estet di kawasan pesisir pantai Sabah. Pelabuhan
perikanan tuna bersepadu yang pertama telah dibina di Batu Maung, Pulau
Pinang di bawah konsep penswastaan untuk menggalakkan pembangunan
industri tuna. Prestasi industri florikultur terus berkembang dengan
pengeluaran bunga-bungaan meningkat kepada 126 juta tangkai pada tahun
2005. Industri nurseri dan landskap telah dimajukan lagi untuk
memperolehi manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap produk
nurseri dan perkhidmatan landskap.
Industri Berasaskan Pertanian
3.19 Industri berasaskan pertanian berkembang pada kadar 4.5
peratus setahun. Jumlah pendapatan eksport bagi industri berasaskan
pertanian meningkat dengan ketara sebanyak 8.7 peratus, iaitu mencapai
RM37.4 bilion pada tahun 2005. Pemprosesan keluaran akhir daripada
komoditi pertanian untuk industri seperti minyak sawit, getah dan koko
telah meningkat dalam tempoh Rancangan.
3.20 Untuk menggalakkan pemprosesan komoditi makanan dan
menyokong pengeluar kecil, produk makanan dipasarkan terutamanya di
bawah jenama Agromas dan Olemas. Bagi mencapai matlamat ini,
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menyediakan
khidmat pengembangan kepada 14,883 usahawan. Institut Penyelidikan dan
Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan 44 produk
makanan dan 200 teknologi pemprosesan terutamanya bagi membantu
aktiviti enterpris kecil dan sederhana EKS).
Program Pertanian
3.21 Dalam tempoh Rancangan, program pertanian ditumpukan kepada
menukar amalan pertanian tradisional kepada perladangan moden dan
komersil bagi meningkatkan pendapatan, produktiviti dan daya saing
petani. Dalam hubungan ini, usaha dipergiat bagi menggalakkan usahawan
tani, petani dan pekebun kecil, terutamanya di kalangan Bumiputera,
untuk mengguna pakai amalan agronomi yang baru dan pengurusan ladang
secara moden, meningkatkan pejenteraan dan membiasakan mereka dengan
GAP.
3.22 Tanam Semula. Program tanam semula di bawah pelbagai agensi
yang meliputi tanam semula getah kepada getah dan getah kepada kelapa
sawit telah mencapai 77.6 peratus daripada sasaran. Daripada jumlah
ini, 74 peratus telah ditanam semula dengan getah dan selebihnya dengan
kelapa sawit. Prestasi program ini telah terjejas berikutan harga getah
yang tinggi yang menyebabkan pekebun kecil menangguh aktiviti tanam
semula.
3.23 Penyatuan dan Pemulihan Tanah. Sejumlah 31,332 hektar tanah
telah disatukan dan dipulihkan dengan FELCRA Berhad telah menyatukan
seluas 10,200 hektar. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pula memulihkan
4,433 hektar tanah termasuk tanah terbiar untuk melaksana perladangan
komersil bagi komoditi makanan yang telah memberi manfaat kepada 3,159
petani.
3.24 Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Dalam tempoh Rancangan,
pengeluaran makanan secara komersil yang berskala besar telah
dilaksanakan melalui penubuhan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)
di beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor dan Johor. Objektif TKPM
ini adalah untuk melahirkan usahawan tani dengan pendapatan minimum
RM3,000 sebulan. Sehubungan ini, sebanyak 28 TKPM telah ditubuhkan,
yang melibatkan 2,007 hektar tanah dan 319 usahawan tani.
3.25 Pembangunan Hutan. Bagi menyediakan bekalan kayu dan kayu
getah yang mencukupi dan mampan kepada industri perabot tempatan,
langkah telah diambil bagi menukarkan hutan terosot dan tanah terbiar
kepada ladang hutan termasuk ladang hutan getah. Kira-kira 3,400 hektar
ladang hutan getah telah dibangunkan di Semenanjung Malaysia.
3.26 Perkhidmatan Pemasaran. Perkhidmatan pemasaran, khususnya
dalam sektor kecil makanan telah dipertingkatkan lagi dengan penubuhan
FAMAXchange pada tahun 2004 dan peluasan portal Agribazaar. Di samping
itu, portal lain juga dibangunkan termasuk Ikan Online, SIRIP dan Padi
Net.
3.27 Pejabat wilayah bagi Unit Khidmat Nasihat Teknikal Lembaga
Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus berusaha bagi meningkatkan
penerimaan pasaran dan penggunaan minyak sawit. Lembaga Getah Malaysia
(LGM) terus berusaha untuk menggalakkan pelaburan tempatan dan
pelaburan langsung asing dalam pengeluaran produk getah serta
mempromosi keluaran getah kepada pengguna tempatan dan luar negeri.
3.28 Usaha untuk menembusi pasaraya besar dipergiat dengan
mewujudkan lebih banyak kontrak pembekalan produk pertanian oleh agensi
kerajaan. Pemasaran ikan laut diperkukuh melalui peningkatan penyertaan
persatuan nelayan sebagai pemborong daripada 15 persatuan pada tahun
2002 kepada 43 persatuan pada tahun 2005. Di samping itu, jualan hasil
pertanian di bawah jenama Malaysia’s Best, Agromas dan Olemas terus
digalakkan. Pengenalan skim akreditasi ladang dan pembangunan piawai
keselamatan makanan membolehkan produk pertanian tempatan memperoleh
akses yang lebih meluas ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
3.29 Penyelidikan dan Pembangunan. Penyelidikan dan pembangunan
(R&D) pertanian terus diberi penekanan bagi mempertingkatkan lagi
daya saing sektor ini. Dalam tempoh Rancangan, daripada 535 projek
R&D yang dilaksanakan oleh agensi penyelidikan pertanian, sebanyak
90 telah dikomersilkan manakala 30 lagi sedia untuk dikomersilkan.
3.30 Latihan dan Khidmat Pengembangan. Tumpuan telah diberikan
kepada pengkomersilan aktiviti pertanian, amalan pertanian moden,
pengendalian lepas tuai, pemprosesan dan pemasaran. Pada akhir tempoh
Rancangan, sejumlah 260,930 usahawan dan petani telah dilatih. Di
samping itu, empat institusi latihan pertanian melaksanakan Program
Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan berdasarkan Piawaian Kemahiran
Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) mulai tahun 2004. Semenjak pengenalannya,
sejumlah 564 pelatih telah mendaftar dalam kursus berkaitan perikanan,
sayur-sayuran, ternakan, pemprosesan makanan dan pemasaran.
3.31 Kredit Pertanian. Pengeluaran kredit untuk projek pertanian
oleh sektor perbankan dalam tempoh Rancangan adalah berjumlah RM56.3
bilion. Jumlah ini hanya merupakan 2.5 peratus daripada keseluruhan
pinjaman yang dikeluarkan oleh sektor ini. Bank Pertanian Malaysia
(BPM) mengeluarkan sejumlah RM3.4 bilion bagi meningkatkan pejenteraan
ladang, menggalakkan penyertaan Bumiputera dan penyertaan siswazah
dalam pertanian komersil serta menyediakan kredit mikro untuk
pengeluaran makanan dan bantuan kewangan kepada EKS berasaskan
pertanian. Dana khas juga telah diwujudkan untuk memberi bantuan
kewangan kepada petani, pekebun kecil dan nelayan. Untuk tujuan ini,
Dana Nelayan berjumlah RM63 juta telah memberi manfaat kepada 3,074
nelayan manakala Kumpulan Wang Pinjaman Pertubuhan Peladang menyediakan
pinjaman bernilai RM79.6 juta kepada pertubuhan peladang. Sejumlah
RM88.6 juta juga telah dikeluarkan kepada 642 petani dan usahawan di
bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED). Tabung ini digunakan untuk
membantu usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian, pembuatan,
perkhidmatan dan pelancongan desa untuk memulakan dan memperkembang
perniagaan.
3.32 Pengairan dan Saliran. Sejumlah RM453 juta telah
dibelanjakan untuk pelbagai projek pengairan dan saliran pertanian
serta sumber air bagi meningkatkan kawalan banjir dan bekalan air.
Projek ini termasuk pembinaan kemudahan baru pengairan dan saliran,
lintasan dan jalan ladang yang meliputi seluas 70,000 hektar kawasan
pertanian serta Empangan Beris di Sik, Kedah.
III : PROSPEK 2006-2010
3.33
Pembangunan sektor pertanian dalam RMKe-9 akan ditumpukan kepada
pembangunan Pertanian Baru. Pendekatan ini melibatkan perkembangan
pertanian komersil berskala besar yang meluas dan penerokaan aktiviti
pengeluaran dan pemprosesan berkualiti yang mempunyai nilai ditambah
yang tinggi serta memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi.
Produktiviti, kecekapan serta potensi dalam penjanaan pendapatan dan
kekayaan akan dipertingkatkan melalui penggunaan kaedah pertanian moden
dan ICT, pengukuhan R&D dan inovasi, peningkatan keupayaan
pemasaran dan penggalakan penyertaan meluas sektor swasta termasuk
usahawan tani dan tenaga kerja mahir. Penggunaan tanah secara optimum
serta penyatuan dan pemulihan tanah akan diberi keutamaan.Sektor
pertanian dijangka berkembang pada kadar tahunan purata yang lebih
tinggi sebanyak 5.0 peratus. Dengan mengambilkira industri berasaskan
pertanian, kadar pertumbuhan dijangka meningkat kepada 5.2 peratus. Isu
berkaitan kewujudan kelompok kemiskinan di kalangan petani kecil,
proses penukaran daripada kebun kecil kepada ladang moden yang perlahan
dan kekangan tanah pertanian akan juga ditangani.
Teras Dasar
3.34
Dalam tempoh Rancangan, teras dasar sektor pertanian secara
keseluruhannya akan ditumpukan kepada usaha mengorientasikan semula
sektor ini ke arah pengkomersilan yang lebih meluas dan melahirkan
petani berpendapatan tinggi serta menggalakkan pelaburan sektor swasta
yang lebih besar termasuk pelaburan asing. Sehubungan ini, teras dasar
adalah seperti yang berikut:
a) meningkatkan
pengeluaran pertanian termasuk penerokaan sumber pertumbuhan baru
dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar;
b) mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian dan kepelbagaian produk;
c) memperkukuhkan pemasaran dan rangkaian global;
d) meningkatkan pendapatan pekebun kecil, petani dan nelayan; dan
e) menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.
Meningkatkan Pengeluaran Pertanian
3.35
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dilaksana untuk meningkatkan
pengeluaran pertanian melalui pembangunan tanah baru, tanam semula,
penyatuan dan pemulihan tanah serta penggunaan lebih meluas klon dan
baka berhasil tinggi, pejenteraan ladang dan amalan agronomi yang baik
ke arah peningkatan produktiviti. Sektor swasta dan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) akan terus digalakkan untuk meningkatkan pelaburan
pertanian melalui insentif dan sokongan yang lebih baik.
3.36
Pengeluaran minyak sawit dijangka meningkat pada kadar purata 5.5
peratus setahun dengan peluasan kawasan tanaman dan OER yang lebih
tinggi, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-4. Pembangunan sektor
kecil getah akan ditumpukan kepada mempergiat usaha menyatu dan memulih
kebun kecil getah untuk meningkatkan produktiviti. Sehubungan ini,
kawasan optimum seluas 800,000 hektar akan dikekalkan sebagai zon
pengeluaran getah menjelang tahun 2020 untuk memenuhi keperluan
industri pemprosesan getah tempatan. Pengeluaran koko akan dipertingkat
untuk membekalkan bahan mentah kepada industri pemprosesan hiliran
tempatan. Pengeluaran lada hitam dijangka meningkat menerusi
peningkatan produktiviti dan galakan GAP di kalangan petani. Industri
penanaman tembakau akan terus distruktur semula selaras dengan komitmen
kepada Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau. Pengeluaran
kayu balak akan terus berdasarkan kepada pengurusan hutan secara
mampan. Sehubungan ini, ACR akan ditetapkan pada 266,940 hektar setahun.
Jadual 3-4 : Pengeluaran Komoditi Pertanian 2000-2010
3.37
Sektor kecil komoditi makanan dijangka berkembang pada kadar purata 7.6
peratus setahun melalui penambahbaikan kecekapan dan produktiviti serta
penambahan keluasan. Eksport komoditi makanan akan ditingkatkan untuk
mencapai imbangan dagangan makanan yang positif, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 3-5. Pengeluaran padi akan ditingkatkan untuk mencapai
sasaran tahap sara diri 90 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual
3-6. Pengeluaran buah-buahan akan dilaksanakan secara berskala besar di
zon pengeluaran buah-buahan menggunakan pendekatan pembangunan secara
berkelompok dan akan ditumpukan kepada sembilan jenis buah-buahan yang
mempunyai potensi eksport. Pengeluaran sayur-sayuran pula akan
ditumpukan kepada jenis yang bernilai tinggi untuk penggunaan tempatan
dan pasaran eksport terpilih. Program Buku Hijau untuk menggalakkan
pengeluaran makanan oleh masyarakat setempat akan diaktifkan semula.
3.38
Pengeluaran ikan akan ditumpukan kepada peluasan akuakultur dan
aktiviti penangkapan ikan laut dalam. Akuakultur termasuk penternakan
ikan laut akan memberi tumpuan kepada jenis yang bernilai tinggi
seperti siakap, kerapu dan udang harimau. Pembangunan industri ternakan
akan ditumpukan kepada pelbagai aktiviti di sepanjang rantaian nilai
termasuk pengeluaran baka dan makanan haiwan. Bagi memenuhi permintaan
yang meningkat terhadap makanan haiwan dan mengurangkan import, usaha
akan diambil bagi meningkatkan penggunaan bahan berasaskan beras dan
makanan ternakan tempatan lain termasuk kenaf serta pelepah dan bahan
sampingan kelapa sawit. Keluaran ternakan terutamanya daging ayam itik
dan telur akan terus ditingkatkan melalui penggunaan sistem pengeluaran
moden untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.
Jadual 3-5 : Eksport dan Import Makanan 2000-2010
Jadual 3-6 : Tahap Sara Diri Komoditi Makanan (%) 2000-2010
3.39
Sumber Pertumbuhan Baru. Pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam
sektor pertanian akan dipergiat dalam tempoh Rancangan. Sehubungan ini,
pengeluaran berskala besar bagi tuna, ikan dan tumbuh-tumbuhan hiasan,
florikultur, herba dan rumpai laut akan digalakkan melalui penyediaan
khidmat pengembangan, insentif, infrastruktur asas, kemudahan pemasaran
dan penggalakan aktiviti pemprosesan hiliran. Pembinaan Pelabuhan Tuna
Antarabangsa Malaysia di Batu Maung, Pulau Pinang yang dijangka siap
dalam tempoh Rancangan akan membolehkan pendaratan tuna yang lebih
banyak dan mempercepat aktiviti pemprosesan tuna. Di samping itu,
R&D bagi amalan agronomi dan pembangunan produk serta
pengkomersilan produk daripada biojisim dan produk baru daripada
bioteknologi akan terus dipergiat. Langkah juga akan diambil untuk
menggalakkan lagi industri nurseri dan landskap.
3.40
Sanitari and Fitosanitari (SPS) serta langkah biokeselamatan akan
dipertingkatkan lagi untuk mengurangkan risiko dan kerugian pengeluaran
pertanian serta mempertingkatkan potensi negara dalam memperkembangkan
eksport produk makanan. Program pembasmian khusus akan diperkukuh untuk
mengawal dan membendung penyakit yang menjejaskan kepentingan ekonomi
dan penternakan, seperti penyakit kuku dan mulut (FMD), Highly
Phatogenic Avian Influenza (HPAI), citrus greening dan virus white spot
akan diperkukuhkan dan zon bebas penyakit akan diwujudkan dalam tempoh
Rancangan. Kemunculan dan kemasukan penyakit baru ke dalam negara akan
diminimumkan melalui pengurusan risiko dan bina upaya yang lebih
berkesan.
3.41
Pengeluaran produk makanan halal akan terus digalakkan untuk merebut
peluang daripada potensi pasaran eksport halal yang luas. Langkah ini
termasuk pemprosesan dan pembungkusan keluaran daging, ikan dan
keluaran berasaskan makanan yang lain. Di samping itu, Malaysia akan
dibangunkan sebagai pusat pensijilan produk halal dan pensijilan halal
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dipromosi ke seluruh
dunia.
3.42
Pembiayaan. Institusi kewangan akan digalakkan untuk menyediakan dana
yang mencukupi bagi pelaburan dalam pengeluaran pertanian, pemprosesan,
aktiviti berasaskan pertanian dan aktiviti lain yang berkaitan. Langkah
akan diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk memastikan akses yang
lebih mudah mendapatkan kredit. BPM akan disusun semula untuk
memperkukuhkan keupayaan dan kemampuannya dalam menyediakan pinjaman.
Tabung Untuk Makanan akan diteruskan terutamanya untuk membiayai projek
pengeluaran makanan berskala sederhana dan besar termasuk penangkapan
ikan laut dalam. Untuk memudahkan penyertaan petani dan nelayan kecil
dalam pelbagai projek, kemudahan kredit mikro akan disediakan.
Pembangunan Tanah Baru
3.43
Pembangunan tanah baru akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan
kawasan tanaman kelapa sawit oleh sektor swasta. Di samping itu,
pengeluaran berskala besar dan sistem perkebunan kepersisan akan
dilaksanakan di zon pengeluaran baru bagi buah-buahan, sayur-sayuran,
akuakultur dan ternakan. Pembangunan yang lebih teratur bagi zon ini
akan dilaksanakan melalui empat pendekatan utama iaitu Ladang Moden dan
TKPM untuk pengeluaran berskala besar oleh sektor swasta serta Kawasan
Pembangunan Pertanian Tertumpu (ACDA) dan Projek Pembangunan Kawasan
Khas (ASDP) untuk usahawan dan petani kecil. Pembangunan Ladang Moden
akan melibatkan perolehan tanah negeri yang luas oleh Kerajaan
Persekutuan untuk dipajak kepada sektor swasta bagi melaksanakan projek
pertanian moden. TKPM pula melibatkan pewartaan tanah oleh kerajaan
negeri untuk tujuan yang sama. Pembangunan TKPM dijangka meliputi
kawasan tambahan seluas 2,380 hektar melibatkan 600 usahawan di
pelbagai negeri. ACDA dan ASDP pula melibatkan pembangunan semula tanah
petani sedia ada yang tidak produktif dan berselerak dan akan
dilaksanakan pada skala yang lebih kecil. Sejumlah 13 buah ACDA dan 8
buah ASDP akan ditubuhkan dalam tempoh Rancangan. Penggunaan tanah
pertanian dijangka meningkat pada kadar purata 1.5 peratus dalam tempoh
Rancangan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-7.
Jadual 3-7 : Penggunaan Tanah Pertanian 2000-2010
Program Tanam Semula
3.44
Program tanam semula getah dan kelapa sawit yang melibatkan 383,010
hektar akan dilaksanakan terutamanya oleh Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(FELDA), seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-8. Sehubungan ini,
penggunaan klon yang berhasil tinggi akan digalakkan. Tanam semula
getah yang menggunakan klon balak lateks untuk kayu getah akan
dipergiat. Untuk mengurangkan penebangan balak daripada hutan semula
jadi, pelaksanaan ladang hutan termasuk ladang hutan getah akan
dipercepat. Usaha akan diambil untuk mencapai sasaran tahunan sebanyak
25,000 hektar bagi ladang hutan yang ditanam dengan spesies balak yang
cepat membesar dan bernilai tinggi.
Jadual 3-8 : Program Tanam Semula, Penyatuan & Pemulihan Tanah Mengikut Agensi 2001-2010
Penyatuan dan Pemulihan Tanah
3.45
Program penyatuan dan pemulihan tanah akan diteruskan pada skala yang
lebih besar untuk mempercepat pemodenan kebun kecil serta meningkatkan
produktiviti khususnya getah, padi, buah-buahan, sayur-sayuran, koko,
lada hitam dan sagu. Pesawah padi di luar kawasan jelapang akan
digalakkan untuk mengusahakan jenis padi yang berkualiti tinggi serta
menukar kegunaan tanah mereka kepada kegunaan lain yang dapat
menghasilkan pendapatan lebih baik.
3.46
Infrastruktur Pertanian. Dalam tempoh Rancangan, infrastruktur
pertanian terutamanya kemudahan pengairan dan saliran, jalan ladang dan
lintasan akan dinaik taraf dan dipertingkat bagi menyokong penggunaan
teknologi dan pejenteraan moden secara meluas. Kepadatan purata
pengairan dan saliran sebanyak 20 meter sehektar akan dipertingkat
kepada 50 meter sehektar bagi mencapai hasil padi yang lebih tinggi. Di
samping itu, amalan pengurusan sumber air yang baik akan diguna pakai
termasuk penggunaan Sistem Sokongan Keputusan dan kawalan pintu air
secara automatik bagi memastikan pengagihan air yang serata dan
menyokong pelaksanaan konsep ‘pembekalan air ikut permintaan’.
Peningkatan Produktiviti
3.47
Usaha untuk mempertingkat produktiviti akan dilaksanakan melalui
penggunaan klon berhasil tinggi dan penambahbaikan dalam amalan
agronomi di kalangan pekebun kecil dan perladangan serta peningkatan
pejenteraan. Di samping itu, penyediaan khidmat sokongan dan
infrastruktur yang mencukupi di kawasan pengeluaran pertanian dijangka
dapat meningkatkan lagi produktiviti dalam sektor ini, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 3-9.
Jadual 3-9 : Produktiviti Komoditi Pertanian (%) 2000-2010
3.48
Produktiviti akan juga ditingkatkan melalui penggunaan teknologi
terkini dan sistem pengeluaran berasaskan pengetahuan yang lebih
meluas. Bagi memastikan kawalan kualiti dan piawai tinggi dalam
perladangan kelapa sawit serta meningkatkan produktiviti, usaha akan
ditumpukan untuk menggalakkan ladang mengguna pakai piawai
antarabangsa. Di samping itu, untuk mencapai Wawasan 35:25, iaitu
sasaran 35 tan metrik buah tandan segar (BTS) sehektar dan 25 peratus
OER, pihak ladang akan digalak untuk menggunakan benih kelapa sawit
yang berkualiti. Kemudahan kredit yang mencukupi akan disediakan untuk
menggalakkan pekebun kecil menanam semula kelapa sawit yang berumur
lebih 25 tahun dengan klon berhasil tinggi.
3.49
Usaha akan dipergiatkan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan
pengeluaran padi di lapan kawasan jelapang padi untuk mencapai sasaran
hasil 10 tan metrik sehektar. Usaha ini adalah sebagai langkah
persediaan awal untuk meningkatkan daya saing pengeluar tempatan untuk
mengekalkan kedudukan mereka apabila terlaksananya Kawasan Perdagangan
Bebas ASEAN (AFTA).
3.50
Pembinaan tukun tiruan dan lindungan ikan untuk memperkaya sumber
pesisir pantai dan pembangunan penternakan ikan laut secara berskel
besar berasaskan komuniti akan dilaksana untuk melonjakkan pengeluaran
ikan pesisir pantai. Produktiviti perikanan laut akan dipertingkat lagi
dengan menaik taraf keupayaan kapal dan peralatan menangkap ikan.
Pelaburan dalam bidang akuakultur termasuk aktiviti akuakultur pesisir
pantai secara intensif menggunakan teknologi dan sistem pengurusan baru
akan digalakkan lagi. Untuk meningkatkan pendaratan ikan laut dalam
termasuk tuna serta menyokong perkembangan aktiviti huluan dan hiliran
berasaskan perikanan, sebuah konsortium perikanan di peringkat nasional
iaitu Konsortium Perikanan Nasional Berhad (KPNB) yang diterajui oleh
sektor swasta akan ditubuhkan.
3.51
Penyelidikan dan Pembangunan. Aktiviti R&D akan diperkukuh lagi
untuk menambah baik produktiviti. Sehubungan ini, aktiviti R&D akan
berorientasikan pasaran dan memberi tumpuan kepada penghasilan benih
dan baka yang berhasil tinggi, kawalan penyakit dan perosak,
pengendalian lepas tuai serta pejenteraan. Usaha yang lebih giat akan
dilaksanakan dalam pembangunan teknologi penanaman yang lebih baik
manakala penyebaran maklumat mengenai teknologi baru kepada kumpulan
sasar akan dipercepatkan.
3.52
Pembangunan Modal Insan. Dalam tempoh Rancangan, produktiviti buruh
dijangka meningkat pada kadar purata 6.2 peratus setahun. Tumpuan akan
diberikan kepada penyediaan latihan untuk mengubah minda dan sikap
petani dan nelayan serta generasi muda termasuk yang berpendidikan
tinggi untuk terlibat secara lebih berkesan dalam aktiviti pertanian
moden dan berasaskan komersil. Usaha ini akan mewujudkan peluang
pekerjaan terutamanya di kalangan siswazah menganggur. Sejumlah 657,720
usahawan dan petani dijangka dilatih dalam tempoh Rancangan, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 3-10. Sehubungan ini, beberapa institusi
latihan pertanian akan dinaik taraf untuk melaksanakan program Latihan
Kemahiran Pertanian Kebangsaan selaras dengan NOSS. Di samping itu,
institusi pengajian tinggi akan mengkaji semula pengajian sedia ada dan
membangunkan kurikulum baru bagi memenuhi keperluan pasaran. Kemahiran
akan dibangunkan dalam bidang seperti perikanan laut dalam, akuakultur,
pembiakan ikan hiasan, penanaman rumpai laut dan pemprosesan berasaskan
pertanian. Pekerja pengembangan juga akan dilatih semula untuk memberi
perkhidmatan yang lebih berkesan kepada kumpulan sasar.
3.53
Selaras dengan dasar untuk menjadikan pertanian sebagai perniagaan yang
berdaya maju, usaha yang lebih gigih akan diambil untuk membangunkan
usahawan tani baru, memperkasa usahawan kecil dan sederhana yang sedia
ada serta menggalakkan pengeksport pertanian. Langkah ini termasuk
program pembangunan keusahawanan untuk membangunkan lebih ramai
usahawan tani Bumiputera yang berkebolehan. Sehubungan ini, latihan
khas, kemudahan kredit dan bantuan teknikal akan disediakan. Usaha juga
akan diambil untuk membangunkan usahawan di kalangan generasi baru
peneroka FELDA dan peserta di kawasan projek pembangunan tanah yang
lain.
Jadual 3-10 : Latihan Pertanian Mengikut Agensi 2001-2010
Mengembangkan Pemprosesan Berasaskan Pertanian dan Kepelbagaian Produk
3.54
Dalam tempoh Rancangan, pembangunan berasaskan pertanian akan bertumpu
kepada meningkatkan penggunaan keluaran pertanian dalam pengeluaran
produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta aktiviti
pemprosesan. Usaha akan ditingkatkan untuk menambah pelaburan sektor
swasta dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian termasuk
daripada GLC berkaitan pertanian, anak syarikat agensi pertanian serta
persatuan dan koperasi petani dan nelayan. Tumpuan juga akan diberikan
untuk meningkatkan penyertaan individu petani dan nelayan dalam
aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian. Pemprosesan keluaran akhir
daripada komoditi pertanian untuk industri dijangka terus meningkat,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-11.
Jadual 3-11 : Pemprosesan Tempatan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Untuk Industri 2000-2010
3.55
Industri Pemprosesan Getah dan Keluaran Getah. Dalam industri
pemprosesan getah dan keluaran getah, usaha akan dilaksana untuk
menggalakkan lagi pembangunan industri hiliran memandangkan kepada
potensinya untuk mengeluarkan pelbagai produk nilai ditambah bagi
pasaran tempatan dan eksport. Pelaburan yang lebih tinggi dalam
pengeluaran barangan getah kegunaan industri (IRG) untuk memenuhi
keperluan pelbagai industri akan digalakkan.
3.56
Inisiatif akan diambil untuk membangunkan tanda kualiti dan pensijilan
untuk beberapa jenis keluaran getah terpilih di bawah kategori produk
am getah (GRG) dan IRG. Di samping itu, usaha R&D dalam
membangunkan bahan termaju serta teknologi pemprosesan dan pembuatan
untuk menghasilkan produk baru dalam sektor kecil keluaran berasaskan
getah akan dipergiat. Aktiviti R&D juga akan memberi tumpuan kepada
membangunkan produk getah yang baru melalui penggunaan bioteknologi.
3.57
Industri Minyak Sawit. Dalam tempoh Rancangan, industri minyak sawit
dijangka mendapat manfaat daripada lebih banyak kepelbagaian produk
hiliran. Bagi mempercepatkan pembagunan industri hiliran minyak sawit,
kelompok industri berasaskan minyak sawit (POIC) akan ditubuhkan di
kawasan merentasi sempada Timur Johor-Selatan Pahang dan Selatan
Kelantan-Utara Terengganu serta Sabah dan Sarawak. POIC akan berperanan
sebagai pemangkin dalam mewujudkan rantaian nilai industri minyak sawit
serta membantu pembangunan industri sokongan lain. Usaha juga akan
dipergiat untuk membangunkan produk minyak sawit berjenama Malaysia
terutama dalam industri derivatif oleokimia serta membina rangkaian di
peringkat antarabangsa untuk menembusi pasaran baru.
3.58
Industri berasaskan minyak sawit akan digalakkan untuk mengembangkan
aktivitinya ke luar negara terutama di negara yang mempunyai permintaan
tinggi bagi minyak sawit dan derivatif. Kerjasama antara industri
minyak sawit dengan institusi penyelidikan akan terus dipergiat untuk
mempercepat pengkomersilan penemuan R&D untuk memperluas asas
pembangunan produk baru dan menambah baik proses pembuatan.
Pengkomersilan produk biojisim kelapa sawit dan biofuel akan dipercepat
melalui penyertaan lebih meluas sektor swasta. Penyelidikan ke atas
minyak sawit akan ditumpukan kepada penggunaan teknologi oleokimia
termaju dan bioteknologi termasuk untuk produk nutraseutikal dan
farmaseutikal.
3.59
Industri Kayu dan Produk Kayu. Pengilang perabot dan komponen perabot
akan digalak untuk memberi tumpuan kepada kualiti dan reka bentuk
keluaran yang berinovatif dan mempelbagai jenis keluaran untuk
merangkumi keluaran khusus yang lebih berkualiti di samping
meningkatkan aktiviti sedia ada. Langkah akan diambil secara agresif
untuk menggalakkan eksport keluaran yang berkualiti tinggi sejajar
dengan keperluan ekolabel berasaskan ekologi bagi mengekalkan bahagian
pasaran serta menembusi pasaran baru.
3.60
Industri Bioteknologi. Selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara,
penggunaan bioteknologi dalam pertanian akan terus digalakkan dan
dipergiat untuk menggembleng potensi sektor pertanian dalam mewujudkan
kekayaan baru, terutamanya melalui pengeluaran klon berhasil tinggi,
baka haiwan dan benih ikan yang lebih baik serta produk baru yang
mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Untuk mempercepat aktiviti
R&D dalam bioteknologi, institusi penyelidikan termasuk institusi
pengajian tinggi akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan yang
bersesuaian. Di samping itu, penyelidik di sektor awam akan dilatih
dalam bidang bioteknologi termaju termasuk biodiversiti melalui program
penempatan dan kerjasama yang lebih meluas dengan sektor swasta.
3.61
Industri Pemprosesan Makanan. Industri pemprosesan makanan akan
digalakkan untuk mengambil peluang daripada kedudukan Malaysia yang
kukuh dari segi pensijilan halal bagi meneroka pasaran halal global
yang semakin berkembang. Sehubungan ini, usaha akan dipergiat untuk
membangunkan Malaysia sebagai hab serantau untuk makanan halal. Di
samping menaik taraf infrastruktur dan kemudahan yang sedia ada untuk
pengeluaran makanan halal, beberapa taman makanan halal yang baru akan
ditubuhkan. Penekanan yang lebih juga akan diberikan untuk meningkatkan
imej negara sebagai sumber makanan halal yang berkualiti dan selamat
serta menonjolkan piawai pensijilan halal negara MS1500:2004, Garis
Panduan Am dalam Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan
Makanan Halal sebagai piawai premium untuk makanan halal.
3.62
Pasaran untuk makanan mudah dan makanan fungsian dijangka berkembang
pesat sejajar dengan perubahan corak penggunaan dan peningkatan
kesedaran terhadap gaya hidup sihat. Sehubungan ini, pengeluaran dan
bekalan makanan segera bagi makanan laut, produk ternakan dan makanan
berasaskan sayur-sayuran yang sedia untuk dimakan akan digalakkan
sebagai satu bidang pelaburan baru. Di samping itu, program “Malaysia
the Truly Asian Kitchen” akan dilaksanakan. Pengeluaran makanan
berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk produk berserat
tinggi, lepa dan jus buah serta bahan tambahan dan ramuan makanan juga
antara bidang yang berpotensi untuk pelaburan baru. Makanan berasaskan
ramuan minyak sawit dan koko akan terus dibangunkan dari segi kualiti
dan jenis produk. Program sedia ada akan diperkukuh untuk membantu
industri dalam penggunaan teknologi pemprosesan moden, pembungkusan
yang berinovatif dan penjenamaan bagi memenuhi kehendak pengguna yang
berbeza-beza serta permintaan pasaran tempatan dan luar negara.
Penekanan akan juga diberi untuk mempermudah EKS bagi menjalin
kerjasama dengan syarikat multinasional untuk menembusi pasaran eksport
yang baru.
3.63
Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan. R&D dalam industri
berasaskan pertanian dan pengkomersilan penemuan R&D akan
diperkukuhkan menerusi penyertaan yang lebih meluas oleh institusi
pengajian tinggi dan sektor swasta. Pengkomersilan penemuan R&D
yang berkaitan dengan pembangunan produk akan dipercepat melalui
penyediaan insentif dan penglibatan GLC berkaitan pertanian.
Penglibatan sektor swasta dalam R&D pertanian dan pengkomersilan
penemuan juga akan ditingkatkan melalui modal teroka.
3.64
Program seperti penyediaan inkubator akan dilaksana untuk mempercepat
pengkomersilan penemuan penyelidikan dan membangunkan usahawan baru.
Agropolis akan ditubuhkan di Serdang, Selangor yang berfungsi sebagai
hab lembah makanan serta pusat kecemerlangan bagi pengeluaran dan
pemprosesan makanan berasaskan bioteknologi. Agropolis juga akan
melaksanakan R&D pertanian melalui kerjasama lebih erat antara
institusi R&D awam, institusi pengajian tinggi tempatan dan sektor
swasta.
Memperkukuhkan Pemasaran dan Rangkaian Global
3.65
Dalam tempoh Rancangan, tumpuan akan diberikan bagi mempertingkat
kecekapan penyampaian perkhidmatan pemasaran dan memperkukuh rangkaian
global melalui pakatan strategik. Bagi tujuan ini, usaha akan diambil
untuk memperkukuh pasaran tradisional dan menembusi pasaran baru.
Program promosi akan dipergiat untuk meningkatkan penggunaan makanan
yang mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan meningkatkan kesedaran
di kalangan rakyat Malaysia mengenai aspek keselamatan keluaran
makanan.
3.66
Bagi memperkukuh lagi pemasaran komoditi makanan dan produk berasaskan
makanan, usaha akan diambil untuk memastikan pematuhan keperluan
antarabangsa. Usaha akan ditingkatkan bagi memperluas pelaksanaan skim
akreditasi ladang dan piawai keluaran. Sehubungan ini, pusat setempat
akan ditubuhkan untuk memudahkan akreditasi ladang dan pensijilan
piawai bagi keluaran makanan. Fungsi Lembaga Pemasaran Pertanian
Malaysia (FAMA), LPP dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan
dikaji semula bagi mempertingkat penyelarasan dalam bidang pemasaran.
Di samping itu, Khidmat Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan
diwujudkan bagi memastikan makanan yang diimport mematuhi piawai
keselamatan makanan negara dan antarabangsa.
3.67
Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan pengumpulan, penggredan
dan pemasaran hasil pertanian tempatan dan keluaran industri berasaskan
makanan melalui penubuhan Terminal Makanan Negara (TEMAN) serta pusat
pengumpulan dan pengedaran yang baru di kawasan terpilih termasuk di
Sabah dan Sarawak. Di samping itu, FAMA akan mengurus penambahan
kontrak pembekalan keluaran pertanian, terutamanya dengan pemborong,
pasar raya besar, pasar raya, hotel dan tempat peranginan.
3.68
Mekanisme untuk mendapatkan maklumat pasaran dan menjalankan perniagaan
keluaran makanan menggunakan ICT akan dinaik taraf melalui peluasan
sistem maklumat maya bagi penawaran dan permintaan (SDVI), perdagangan
elektronik melalui portal FAMAXchange dan Agribazaar. Di samping itu,
penyediaan 170 kemudahan tambahan Medan InfoDesa di kawasan luar bandar
dijangka meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada portal
Agribazaar. LKIM akan memperkukuh lagi program pemasaran ikan melalui
penglibatan lebih luas persatuan nelayan.
3.69
Pemasaran komoditi pertanian untuk industri, terutamanya minyak sawit
akan bertumpu ke arah mewujud dan memperkukuh pasaran khusus melalui
penubuhan rantaian proses pengeluaran di lokasi strategik di sekitar
rantau tertentu dan menempatkan semula sebahagian daripada proses
pembuatan di negara pengguna sebagai salah satu usaha untuk menembusi
pasaran. Kriteria dan Petunjuk Bagi Pensijilan Pengurusan Hutan
Malaysia (MC&I) yang diiktiraf sebagai kaedah pengurusan hutan
secara mampan, akan diperluas untuk memenuhi keperluan negara
pengimport, terutamanya Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.
3.70
Konsul pertanian akan ditempatkan di negara terpilih yang mempunyai
potensi pasaran eksport yang tinggi bagi keluaran makanan. Di samping
itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia akan
mempertingkat usaha untuk mempromosi keluaran pertanian dan keluaran
berasaskan pertanian negara.
Meningkatkan Pendapatan
3.71
Langkah yang lebih efektif akan diambil untuk meningkatkan pendapatan
pekebun kecil, petani dan nelayan melalui peningkatan produktiviti
dalam setiap sektor kecil pertanian. Pekebun kecil dan petani yang
berusia lanjut akan digalakkan untuk menyertai skim keluar melalui
penyatuan dan pemulihan tanah serta program tanam semula berkelompok.
Pendapatan pekebun kecil getah dan kelapa sawit akan ditingkatkan
melalui program tanam semula menggunakan klon berhasil tinggi
berdasarkan konsep mini estet dan berkelompok serta pertanian campuran
termasuk integrasi ternakan di ladang, akuakultur dan aktiviti ekonomi
luar kebun. Pekebun kecil koko, lada hitam dan sagu, terutamanya di
Sabah dan Sarawak akan disediakan bantuan kewangan untuk memulihkan
kebun mereka melalui konsep estet serta menggalakkan penglibatan mereka
dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian. Di samping itu,
aktiviti yang dapat memberi pendapatan berterusan akan digalakkan dan
latihan disediakan untuk meningkatkan kualiti hidup petani sara diri
dan komuniti yang bergantung kepada hasil hutan.
3.72
Pesawah padi akan digalakkan untuk menyertai program mini estet dan
tanaman berkelompok yang akan dilaksanakan oleh LPP dan Jabatan
Pertanian serta Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP).
Dianggarkan seramai 25,000 pesawah padi akan mendapat manfaat daripada
program ini dengan purata pendapatan bertambah daripada RM3,900 hingga
RM7,800 sehektar setahun. Penekanan juga akan diberikan untuk menambah
penyertaan mereka dalam Projek Sepuluh Tan Sehektar. Di samping itu,
pesawah padi digalak untuk melibatkan diri dalam aktiviti pemprosesan
makanan termasuk keluaran berasaskan beras.
3.73
Usaha akan diambil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup
peneroka dan generasi baru FELDA. Sehubungan ini, kawasan terpilih di
skim pembangunan tanah FELDA akan dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan
baru yang mengandungi aktiviti industri hiliran serta dilengkapi
infrastruktur dan kemudahan sosial yang lebih baik. Di samping itu,
penglibatan peneroka dan generasi baru dalam aktiviti bukan kebun
termasuk aktiviti industri berasaskan pertanian dan kraftangan akan
ditingkatkan lagi. Seramai 9,390 usahawan baru dijangka diwujudkan
dengan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.
3.74
Kualiti hidup nelayan pantai akan ditingkat melalui program
sosioekonomi. Keupayaan nelayan pantai akan dipertingkat dengan menaik
taraf bot, enjin dan alat penangkapan. Mereka juga akan digalakkan
untuk melaksanakan aktiviti penternakan ikan dan pemprosesan berasaskan
ikan untuk menstabilkan pendapatan mereka. Pendapatan penternak kecil
akan dipertingkat melalui penglibatan dalam kontrak pembekalan keluaran
ternakan. Penanam tembakau yang tidak cekap akan digalak menukar
tanaman mereka secara beransur-ansur kepada tanaman alternatif yang
dapat memastikan pendapatan berterusan melalui pelaksanaan kontrak
pembekalan.
3.75
Untuk mempertingkat pendapatan isi rumah miskin dalam sektor pertanian,
Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) serta program khusus untuk
mempelbagai sumber pendapatan di kalangan petani, penternak dan nelayan
akan diperluas lagi untuk memberi manfaat kepada lebih ramai isi rumah.
Sejumlah 70,000 keluarga miskin dijangka mendapat manfaat daripada
program ini yang merangkumi program bina upaya dan penyediaan bantuan
rumah secara percuma kepada keluarga miskin tegar serta aktiviti
menambah pendapatan, iaitu peserta akan memperoleh pendapatan tambahan
minimum sebanyak RM500 sebulan. Satu mekanisme akan diwujudkan untuk
memantau dengan rapi keberkesanan program ini ke atas kumpulan sasar.
Menambah Baik Sistem Penyampaian Perkhidmatan
3.76
Penyusunan semula agensi pertanian terutamanya yang terlibat dalam
pembangunan komoditi makanan akan dilaksana untuk meningkatkan
penyampaian perkhidmatan dan membantu pencapaian sasaran pertumbuhan
sektor pertanian. Pelbagai aktiviti pertanian akan diurus dan dipantau
secara bersepadu untuk mengelakkan pertindihan fungsi dan kumpulan
sasar serta mengoptimumkan penggunaan sumber. Pendekatan bersepadu ini
akan membantu pembangunan aktiviti nilai ditambah di sepanjang rantaian
nilai termasuk pemprosesan berasaskan pertanian.
3.77
Penempatan pegawai dan kakitangan pelbagai agensi pertanian akan
dilaksana berasaskan kepada pengezonan kawasan pengeluaran. Usaha ini
termasuk menyusun semula dan menggabungkan cawangan di kawasan yang
bukan lagi menjadi tumpuan pertanian. Anak syarikat agensi pertanian
akan dikaji semula untuk memperkukuh keberkesanannya dalam pembangunan
pertanian. Di samping itu, aktiviti pemasaran FAMA akan diselaraskan
dengan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional (NAFC). Sehubungan ini,
FAMA akan memberi tumpuan dalam membantu pemasaran keluaran pertanian
oleh petani dan usahawan kecil serta melaksanakan fungsi kawal selia.
Pemasaran dan pengedaran keluaran pertanian dan produk berasaskan
pertanian berskala besar termasuk untuk eksport akan dilaksanakan oleh
NAFC. Peranan LPP akan diperkukuh untuk menggalakkan penglibatan
pertubuhan peladang dalam pelbagai aktiviti berkaitan pertanian di
sepanjang rantaian nilai, pengkomersilan kebun kecil serta kontrak
pembekalan keluaran pertanian dan estet nukleus.
3.78
Pembangunan industri lada hitam akan diperkukuh melalui penyusunan
semula Jemaah Pemasaran Lada Hitam untuk mengambil alih tanggungjawab
Jabatan Pertanian Sarawak berhubung dengan pengeluaran dan R&D lada
hitam. Bagi mempercepat pembangunan industri kenaf dan herba, MOA akan
dipertanggungjawabkan untuk menyelia pembangunan industri tersebut.
Profesional daripada sektor swasta akan dilantik sebagai perintis untuk
mengurus projek pertanian di kawasan terpilih.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
3.79 Peralihan
sektor pertanian kepada sektor yang moden, berdaya maju dan dinamik
akan diterajui oleh MOA, Kementerian Perusahaan Perladangan dan
Komoditi (KPPK) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
(KKLW). MOA akan bertangunggjawab untuk memodenkan sektor kecil makanan
dengan tumpuan kepada program seperti latihan, pemasaran, kredit,
pembangunan kemahiran dan penyebaran pengetahuan berkenaan pertanian
moden kepada petani, nelayan dan penternak serta program membangunkan
usahawan tani dalam industri berasaskan pertanian. KPPK akan menyelaras
pembangunan komoditi pertanian untuk industri melalui pemindahan
teknologi baru kepada pekebun kecil dan R&D bagi mempelbagai
produk. Usaha ke arah membangunkan pekebun kecil dan meningkatkan taraf
hidup penduduk luar bandar akan dilaksanakan oleh KKLW, terutamanya
melalui program bina upaya serta program pembasmian kemiskinan.
3.80 Selaras
dengan penekanan baru ke atas pertanian dan sumbangannya kepada
pertumbuhan ekonomi, peruntukan berjumlah RM11.4 bilion akan disediakan
untuk melaksanakan pelbagai program dan projek pertanian, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 3-12. Jumlah ini merupakan tambahan sebanyak
RM4.7 bilion atau 70.0 peratus lebih tinggi daripada peruntukan yang
disediakan dalam RMKe-8. Sejumlah RM4.4 bilion akan diperuntukkan untuk
memodenkan sektor pertanian, terutamanya bagi projek di dalam kawasan
pembangunan wilayah, tanam semula serta program penyatuan dan pemulihan
tanah, manakala sejumlah RM2.6 bilion lagi untuk khidmat sokongan dan
RM1.5 bilion untuk program pengairan pertanian.
Jadual 3-12 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Pertanian 2001-2010
V : PENUTUP
3.81 Dalam tempoh RMKe-8, sektor pertanian telah mencapai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding dengan sasaran dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan perolehan eksport. Penglibatan sektor swasta dalam pengeluaran makanan komersil dan industri berasaskan pertanian berskala besar telah meningkat. Dalam RMKe-9, pembangunan sektor pertanian akan dipergiat untuk menjadikan sektor ini sebagai jentera pertumbuhan ketiga. Penekanan akan diberikan kepada Pertanian Baru yang merangkumi pertanian komersil berskala besar dan penglibatan dalam aktiviti penambahan nilai dan berkualiti tinggi ke arah meningkatkan produktiviti dan pendapatan yang lebih tinggi. Dasar dan strategi yang mempunyai sasaran khusus akan dilaksana bagi mempercepat lagi peralihan sektor pertanian kepada sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing termasuk aktiviti berkaitan pemprosesan berasaskan pertanian dan pembangunan usahawan tani.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008