BAB 02 : KESTABILAN EKONOMI MAKRO UNTUK PERTUMBUHAN
I : PENDAHULUAN
2.01
Ekonomi Malaysia telah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan dalam
tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) walaupun berlaku
ketidaktentuan dalam persekitaran global berikutan peristiwa 11
September pada tahun 2001, peperangan di Afghanistan dan Iraq serta
wabak sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) pada tahun 2003 dan
kenaikan harga minyak mentah pada tahun 2004-2005. Perkembangan ekonomi
adalah lebih meluas di mana kesemua sektor mencatat pertumbuhan
positif. Asas ekonomi kekal kukuh. Kadar inflasi dan pengangguran
adalah rendah. Akaun semasa imbangan pembayaran terus kukuh dan
tabungan negara kekal di paras yang tinggi. Kemajuan juga telah dicapai
dalam membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
2.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pengurusan ekonomi
makro akan ditumpukan kepada usaha memastikan ekonomi makro yang stabil
bagi mengekalkan ekonomi berada di landasan pertumbuhan yang mampan.
Permintaan swasta dalam negeri dijangka mencatat pertumbuhan kukuh yang
membolehkan Kerajaan meneruskan pengurusan fiskal yang pragmatik. Dasar
kewangan yang bersesuaian akan dilaksana bagi menggalakkan pertumbuhan
dan harga yang stabil. Penekanan juga akan diberi ke arah meningkatkan
keupayaan produktiviti dan inovatif
II : PENILAIAN PENCAPAIAN EKONOMI MAKRO 2001-2005
2.03
Dalam tempoh RMKe-8, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebenar
berkembang pada kadar purata 4.5 peratus setahun disokong oleh
permintaan dalam negeri dan eksport. Keluaran negara kasar (KNK) per
kapita pada harga semasa meningkat sebanyak 5.7 peratus setahun kepada
RM17,687 pada tahun 2005. Dari segi pariti kuasa beli, KNK per kapita
meningkat kepada AS$10,318 pada tahun 2005 berikutan daripada kadar
inflasi yang rendah dan kadar tukaran asing yang stabil.
Ekonomi Dalam Negeri
Produktiviti dan Kecekapan
2.04
Selaras dengan kemajuan peralihan ke arah ekonomi berasaskan
pengetahuan tahap produktiviti dan kecekapan adalah semakin meningkat.
Sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) kepada KDNK meningkat
kepada 29.0 peratus berbanding dengan 24.0 peratus dalam tempoh
Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7), seperti ditunjukkan dalam Jadual
2-1. Sumbangan buruh kepada KDNK adalah juga tinggi iaitu di tahap 33.2
peratus. Walau bagaimanapun,lebih sumbangan modal kepada KDNK sebanyak
37.8 peratus adalah lebih rendah berbanding dengan 45.2 peratus yang
dicapai dalam tempoh RMKe-7, menunjukkan ekonomi beransur kepada
pertumbuhan berasaskan produktiviti. Nisbah tambahan modal kepada
pengeluaran (ICOR)1 yang lebih rendah dalam tempoh RMKe-8 iaitu 6.2
berbanding dengan 8.6 dalam tempoh RMKe-7 menunjukkan peningkatan ke
arah penggunaan modal yang cekap.
Jadual 2 - 1 : Sumbangan Faktor Pengeluaran , 1996- 2010
Ekonomi Berasaskan Pengetahuan
2.05
Indeks pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan (KDI)2 telah
dibangunkan oleh Kerajaan untuk memantau perkembangan ekonomi ke arah
menjadikan ianya lebih berasaskan pengetahuan. KDI keseluruhan telah
meningkat sebanyak 591 mata daripada 2,413 pada tahun 2000 kepada 3,004
pada tahun 2005 dengan peningkatan dalam semua bidang, seperti
ditunjukkan dalam Carta 2-1. Infrastruktur komputer menunjukkan
kemajuan yang paling ketara, mencatat peningkatan 196.4 peratus dari
segi skor di antara tahun 2000 dan 2005, diikuti oleh penyelidikan dan
pembangunan (R&D) dan teknologi sebanyak 25.9 peratus dan
pendidikan dan latihan sebanyak 22.9 peratus. Dari segi KDI mengikut
negara, Malaysia kekal di kedudukan ke-17 pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Carta 2-2.
1 Berasaskan purata pergerakan 3-tahun.
2 KDI dibentuk bagi
menilai kesediaan Malaysia menjadi sebuah ekonomi berasaskan
pengetahuan. Ia juga membandingkan kedudukan Malaysia dengan 21 negara
lain, yang kebanyakannya terdiri daripada negara maju. KDI dikira
berasaskan beberapa faktor utama terpilih yang diperlukan untuk memacu
ekonomi berasaskan pengetahuan iaitu infrastruktur komputer,
infostruktur, pendidikan dan latihan serta R&D dan teknologi. Pada
masa ini 21 petunjuk digunakan untuk membentuk KDI.
2.06
Satu penilaian mengenai kesediaan pengetahuan berdasarkan tahap
kandungan pengetahuan3 juga mengambil kira sepuluh industri pembuatan
dan lapan industri perkhidmatan. Didapati bahawa semua industri yang
dinilai telah membina suatu tahap kecekapan pengetahuan dan keupayaan
serta memulakan aktiviti memperolehi, menjana dan berkongsi
pengetahuan. Secara keseluruhannya, perkhidmatan teknologi maklumat,
industri kimia, telekomunikasi, pendidikan tertiari dan perkhidmatan
kewangan memperlihatkan kesediaan pengetahuan yang lebih baik, seperti
ditunjukkan dalam Carta 2-3 .Dari segi sokongan pengetahuan, semua
industri menunjukkan pencapaian lebih baik dari sudut teknologi dan
infostruktur, dan menyediakan persekitaran yang menggalakkan
pengetahuan berbanding dengan keupayaan sumber manusia serta wujudnya
peneraju pengetahuan. Dari segi tindakan pengetahuan, semua industri
menunjukkan prestasi yang baik dari segi penggunaan pengetahuan,
prestasi sederhana bagi perkongsian dan perolehan pengetahuan tetapi
lemah secara amnya dalam penghasilan pengetahuan.
Carta 2-1 : Indeks Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan ; Malaysia 2000 & 2005
Carta 2-2 : Indeks Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan Mengikut Negara, 2000 & 2005
Carta 2-3 : Ukuran Kandungan Pengetahuan Secara Agregat Mengikut Industri, 2002
3 Penilaian adalah
berdasarkan kepada kajian ke atas 1,819 firma yang dijalankan pada
tahun 2003. Sejumlah 21 pembolehubah paling berpengaruh yang
mencerminkan pemudah pengetahuan dan tindakan telah digunakan bagi
menilai tahap kandungan pengetahuan bagii industri terpilih. Rumusan diambil daripada Laporan Kandungan Pengetahuan Dalam Sektor Ekonomi Utama, 2004.
Keluaran Sektor
2.07
Langkah yang diambil bagi merangsang ekonomi di samping persekitaran
luaran yang lebih baik dan harga komoditi yang menggalakkan telah
menyumbang kepada peningkatan prestasi sektor dalam tempoh Rancangan,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-2. Sektor perkhidmatan merupakan
penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK, berkembang pada kadar purata
6.1 peratus setahun. Bahagiannya daripada KDNK, meningkat kepada 58.1
peratus pada tahun 2005. Subsektor kewangan, insurans, harta tanah dan
perkhidmatan perniagaan mencatat pertumbuhan tertinggi pada kadar
purata 8.1 peratus setahun .Subsektor pengangkutan , penyimpanan dan
komunikasi berkembang pada kadar purata 6.6 peratus setahun selaras
dengan peningkatan aktiviti perdagangan dan 4perjalanan. Subsektor
perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran mencatat pertumbuhan
purata tahunan 4.3 peratus dalam tempoh Rancangan, disokong oleh
peningkatan pengguna dan aktiviti pelancongan, terutamanya dalam tempoh
2004-2005.
2.08
Sektor pembuatan mencapai kadar pertumbuhan purata 4.1 peratus setahun
dalam tempoh Rancangan dan sumbangannya kepada KDNK meningkat kepada
31.4 peratus pada tahun 2005. Kadar penggunaan kapasiti dalam sektor
pembuatan kekal tinggi pada kadar purata 80 peratus setahun.
Pertumbuhan sektor ini telah diterajui oleh industri berasaskan sumber4
yang mencatat pertumbuhan pada kadar purata 5.0 peratus setahun.
Penyumbang utama kepada pertumbuhan ini adalah subsektor keluaran
kimia, pemprosesan makanan, keluaran getah dan keluaran kertas.
Industri bukan berasaskan sumber5 berkembang pada kadar purata 3.5
peratus setahun. Walaupun pertumbuhan subsektor elektronik adalah
sederhana pada kadar purata 3.0 peratus setahun, ia kekal sebagai
penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pembuatan iaitu sebanyak
28.0 peratus pada tahun 2005.
2.09
Sektor pertanian, perhutanan, ternakan dan perikanan mencatat
pertumbuhan pada kadar purata 3.0 peratus setahun. Pertumbuhan tersebut
disumbang oleh peningkatan subsektor komoditi pertanian untuk industri
sebanyak 3.8 peratus dan subsektor makanan 1.7 peratus setahun. Nilai
ditambah minyak sawit meningkat pada kadar purata 6.2 peratus setahun
dan kekal sebagai penyumbang utama daripada jumlah nilai ditambah bagi
sektor pertanian iaitu sebanyak 36.7 peratus pada tahun 2005. Bagi
subsektor makanan, keluaran sayur-sayuran mencatat pertumbuhan purata
13.8 peratus setahun dan keluaran buah-buahan sebanyak 9.8 peratus
setahun. Subsektor ternakan berkembang pada kadar purata 6.6 peratus
setahun manakala subsektor perikanan menguncup pada kadar purata 0.9
peratus setahun.
4 Ini termasuk
industri pemprosesan makanan, minuman dan tembakau, keluaran kayu,
keluaran kertas, keluaran kimia, keluaran petroleum, keluaran getah dan
keluaran mineral bukan logam.
5 Ini termasuk
industri tekstil dan pakaian, logam asas, keluaran logam, jentera,
elektronik, jentera elektrikal, kelengkapan pengangkutan dan
perkilangan lain.
2.10
Sektor perlombongan berkembang pada kadar purata 2.6 peratus setahun.
Pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 1.3 peratus setahun
daripada 681,000 tong sehari (bpd) pada tahun 2000 kepada 727,000 bpd
pada tahun 2005. Harga minyak mentah yang tidak stabil terutamanya pada
tahun 2004 dan 2005 di mana harga gred premium dengan kandungan sulfur
yang rendah, terutama Tapis (tahap ukuran bagi Malaysia) telah
meningkat kepada AS$55.70 setong pada tahun 2005 berbanding dengan
harga purata AS$24.91 setong pada tahun 2001 manakala
West Texas Intermediate
(WTI) meningkat kepada AS$56.67 setong pada tahun 2005 berbanding
dengan harga purata AS$25.24 setong pada tahun 2001. Pengeluaran gas
asli juga meningkat pada 5kadar purata 5.8 peratus setahun 5,800 kepada
juta kaki padu sehari (jkps) pada tahun 2005.
2.11
Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan kecil pada kadar purata 0.5
peratus setahun berikutan daripada aktiviti kejuruteraan awam yang
berkurangan dalam tempoh separuh kedua Rancangan. Pertumbuhan telah
disumbang oleh permintaan yang berterusan ke atas subsektor harta
kediaman, hasil daripada pendapatan bolehguna yang lebih tinggi dan
pakej pembiayaan yang menarik.
Permintaan Agregat
2.12 Permintaan agregat pada harga sebenar berkembang pada kadar purata
5.5 peratus setahun.
Pelaburan swasta menguncup pada kadar purata 1.0 peratus setahun,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-3 dan Carta 2-4. Ini disebabkan
penguncupan besar 19.9 peratus pada tahun 2001 dan 15.1 peratus pada
tahun 2002 yang berpunca daripada permintaan luar negara yang lemah dan
aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang rendah. Namun begitu,
pelaburan swasta telah melonjak semula dan berkembang pada kadar purata
18.1 peratus setahun dalam tempoh 2004-2005 berikutan keyakinan peniaga
yang meningkat terhadap perkembangan ekonomi yang semakin kukuh. Aliran
masuk FDI yang berterusan dalam sektor pembuatan, perlombongan dan
perkhidmatan dalam tempoh 2004-2005 turut menyumbang kepada pencapaian
lebih baik bagi pelaburan swasta. Pelaburan swasta pada harga semasa
adalah sebanyak RM175.9 bilion, lebih rendah daripada RM288.6 bilion
yang dicapai dalam tempoh 1996-2000. Pelaburan dalam sektor pembuatan
menyumbang sebanyak 33.9 peratus daripada jumlah pelaburan, diikuti
sektor perkhidmatan 21.6 peratus, pembinaan 19.7 peratus, perlombongan
14.5 peratus dan pertanian 10.3 peratus.
Jadual 2-3 : Keluaran Negara Kasar Mengikut Kategori Perbelanjaan, 2000-2010
Carta 2-4 : Pelaburan Swasta, 1990-2005
2.13
Pelaburan awam berkembang pada kadar purata 3.9 peratus setahun
berbanding dengan sasaran dipinda6 3.8 peratus setahun dan bahagiannya
daripada KDNK kekal pada 14.9 peratus pada tahun 2005. Perbelanjaan
modal bagi perusahaan awam bukan kewangan (PABK)7 kekal tinggi dalam
tempoh Rancangan iaitu berkembang pada kadar purata 11.3 peratus
setahun, terutamanya disebabkan langkah menaik taraf dan meningkatkan
keupayaan, khususnya oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tenaga
Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).
2.14 Penggunaan swasta mencatat pertumbuhan kukuh pada kadar purata
6.6 peratus setahun
berbanding dengan sasaran dipinda sebanyak 5.2 peratus dan bahagiannya
daripada KDNK meningkat kepada 50.1 peratus pada tahun 2005. Penggunaan
awam juga mencapai pertumbuhan lebih tinggi pada kadar purata 10.2
peratus setahun berbanding dengan sasaran dipinda 9.4 peratus.
Pertumbuhan ini adalah hasil daripada perbelanjaan Kerajaan Persekutuan
yang lebih tinggi ke atas emolumen serta bekalan dan perkhidmatan
selaras dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan jentera
pentadbiran dan sistem penyampaian Kerajaan.
6 Merujuk kepada sasaran Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan.
7 Enterpris dalam
senarai PABK adalah berdasarkan kriteria bahawa Kerajaan
sekurang-kurangnya mempunyai pegangan ekuiti 51 peratus dan nilai
jualan sekurang-kurangnya RM100 juta atau mempunyai kesan yang besar
terhadap ekonomi , termasuk keperluan pinjaman dan perbelanjaan modal
yang besar. Senarai semasa PABK ialah 30 buah entiti.
Imbangan Sumber
2.15
Dalam tempoh Rancangan, paras tabungan kekal tinggi, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 2-4. Purata tabungan negara sebanyak 36.3
peratus kepada KNK telah membolehkan negara membiayai pertumbuhan
ekonomi daripada sumber dalam negeri. Bahagian pelaburan daripada KNK
yang berkurang daripada 29.8 peratus pada tahun 2000 kepada 20.7
peratus pada tahun 2005 telah menyebabkan lebihan imbangan sumber
sebanyak 16.4 peratus kepada KNK pada tahun 2005 berbanding 10.3
peratus pada tahun 2000.
Jadual 2-4 : Imbangan Sumber, 2000-2010 (% kepada KNK)
Perkembangan Harga
2.16
Inflasi yang diukur menggunakan indeks harga pengguna (CPI) mencatat
pertumbuhan purata 1.8 peratus setahun dalam tempoh 2001-2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 2-5. Inflasi teras, iaitu inflasi yang tidak
termasuk barangan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 dan Perintah Kawalan
Harga (Barang-barang Harga Terkawal) 2000 juga mencatat kadar
pertumbuhan purata 1.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan. CPI luar
bandar pula meningkat pada kadar purata 1.7 peratus setahun dan CPI
bandar 1.8 peratus setahun dalam tempoh 2001-2005 disebabkan harga yang
lebih tinggi bagi makanan, minuman dan tembakau, pengangkutan dan
komunikasi, perbelanjaan rawatan perubatan dan kesihatan serta pelbagai
barangan dan perkhidmatan. Harga pengeluar yang diukur menggunakan
indeks harga pengeluar (PPI) meningkat pada kadar purata 4.0 peratus
setahun dalam tempoh Rancangan. Peningkatan ini sebahagian besarnya
disebabkan oleh harga yang lebih tinggi bagi keluaran berkaitan
komoditi berikutan kenaikan harga minyak mentah yang tinggi dalam
tempoh 2004-2005 dan minyak sawit mentah pada tahun 2004.
Jadual 2-5 : Perkembangan Harga, 2001-2005
Akaun Sektor Awam
2.17
Terdapat peralihan dalam akaun sektor awam yang disatukan daripada
defisit keseluruhan dalam tempoh 2001-2003 kepada lebihan keseluruhan
dalam tempoh 2004-2005. Peralihan ini disebabkan lebihan semasa PABK
yang meningkat daripada RM28.5 bilion pada tahun 2000 kepada RM63.8
bilion pada tahun 2005. Kenaikan ini disumbang oleh pendapatan yang
lebih tinggi daripada aktiviti telekomunikasi dan utiliti, minyak dan
gas serta harga minyak mentah yang tinggi. Akaun sektor awam mencatat
lebihan keseluruhan sebanyak RM7.0 bilion atau 1.4 peratus kepada KDNK
pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-6.
2.18
Hasil Kerajaan Persekutuan mencatat peningkatan purata tahunan 11.4
peratus dalam tempoh Rancangan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-7.
Peningkatan ini adalah berikutan kutipan hasil yang lebih tinggi
daripada cukai petroleum, duti eksport dan eksais serta pulangan
daripada pelaburan. Perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan
meningkat pada kadar purata 11.6 peratus setahun daripada RM56.5 bilion
pada tahun 2000 kepada RM97.7 bilion pada tahun 2005. Peningkatan ini
adalah berikutan daripada perbelanjaan yang lebih tinggi ke atas
bekalan dan perkhidmatan serta subsidi. Dengan mengambil kira
perbelanjaan pembangunan sebanyak RM170.0 bilion, defisit fiskal
keseluruhan Kerajaan Persekutuan menurun daripada 5.7 peratus kepada
KDNK pada tahun 2000 kepada 3.8 peratus kepada KDNK pada tahun 2005.
Jumlah hutang pula meningkat kepada RM228.7 bilion atau 46.2 peratus
kepada KDNK pada tahun 2005. Daripada jumlah hutang tersebut, 86.9
peratus terdiri daripda hutang dalam negeru manakala 13.1 peratus
adalah hutang luar negara.
Sektor Luar Negara
Perdagangan Antarabangsa
2.19
Dalam tempoh Rancangan, jumlah dagangan berkembang pada kadar purata
7.2 peratus setahun daripada RM684.7 bilion pada tahun 2000 kepada
RM967.8 bilion pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-8.
Eksport kasar berkembang pada kadar purata 7.4 peratus setahun kepada
RM533.8 bilion pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-9.
Berdasarkan pencapaian ini, Malaysia menduduki tangga ke-18 pengeksport
terbesar dengan menyumbang 1.5 peratus kepada eksport dunia.
2.20
Eksport sektor pembuatan berkembang kukuh pada kadar purata 6.2 peratus
setahun dalam tempoh Rancangan. Keluaran elektrik dan elektronik terus
menjadi penyumbang utama eksport pembuatan, walaupun bahagiannya
berkurang kepada 65.8 peratus pada tahun 2005 berbanding 72.5 peratus
pada tahun 2000, seperti ditunjukkan dalam Carta 2-5. Eksport keluaran
pertanian dan perhutanan meningkat Pqada kadar purata 10.3 peratus
setahun dan merupakan 7.0 peratus daripada jumlah eksport berikutan
daripada eksport kelapa sawit dan getah yang lebih tinggi. Eksport
sektor perlombongan bertambah pada kadar purata 14.3 peratus setahun
disumbang oleh peningkatan permintaan bagi minyak mentah dan gas asli
cecair (LNG) serta harga minyak mentah dunia yang meningkat daripada
harga purata AS$30 setong pada tahun 2000 kepada AS$55.70 setong pada
tahun 2005.
Jadual 2-9 : Dagangan Barangan 2000-2005
Carta 2-5 : Eksport Kasar Barangan Pembuatan 2000 dan 2005 (% daripada Jumlah)
2.21
Import kasar meningkat pada kadar purata 6.9 peratus setahun dalam
tempoh Rancangan terutamanya berikutan pengembangan modal dalam sektor
pembuatan dan perkhidmatan. Import barangan pengantara berkembang pada
kadar purata 5.8 peratus setahun dan menyumbang sebanyak 71.0 peratus
daripada import kasar. Import barangan modal pula berkembang pada kadar
purata 6.6 peratus setahun dan menyumbang 14.0 peratus daripada jumlah
import pada tahun 2005. Import barangan penggunaan meningkat pada kadar
purata 7.6 peratus setahun dan menyumbang 5.7 peratus daripada import
kasar pada akhir tempoh Rancangan, seperti ditunjukkan dalam Jadual
2-10. Intensiti import berkurangan daripada 51.1 peratus pada tahun
2000 kepada 49.9 peratus pada tahun 2005, menunjukkan peningkatan dalam
penggunaan komponen Skeluaran tempatan.
Imbangan Pembayaran
2.22
Imbangan pembayaran keseluruhan terus kukuh di sepanjang tempoh
Rancangan. Pada tahun 2005, akaun semasa mencatat lebihan tertinggi
sebanyak RM77.8 bilion atau 16.4 peratus kepada KNK berikutan lebihan
besar yang dapat dikekalkan bagi akaun barangan dan defisit akaun
perkhidmatan yang lebih kecil, seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-11.
Lebihan akaun barangan telah meningkat kepada RM126.5 bilion pada tahun
2005, menyumbang lebih daripada 26.7 peratus kepada KNK dalam tempoh
Rancangan.
2.23
Defisit akaun perkhidmatan telah mengecil daripada RM10.7 bilion pada
tahun 2000 kepada RM10.2 bilion pada tahun 2005. Dasar untuk
menggalakkan eksport perkhidmatan seperti pendidikan dan penjagaan
kesihatan serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
menyumbang kepada pengurangan dalam defisit akaun perkhidmatan.
Penerimaan bersih yang lebih tinggi dalam akaun perjalanan menunjukkan
peningkatan dalam bilangan ketibaan pelancong serta pendapatan tukaran
asing daripada perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan. Namun
begitu, lain-lain komponen dalam akaun perkhidmatan, terutamanya
pengangkutan dan lain-lain perkhidmatan terus mencatat aliran keluar
bersih. Defisit akaun pendapatan kekal tinggi dalam tempoh Rancangan
iaitu pada purata sebanyak RM23.8 bilion setahun akibat penghantaran
balik keuntungan dan dividen oleh pelabur asing. Aliran keluar bersih
bayaran pindahan juga adalah lebih tinggi.
Jadual 2-10 : Import Kasar Mengikut Penggunaan Akhir & Kategori Ekonomi Umum 2000-2005
Jadual 2-11 : Imbangan Pembayaran 2000-2005
III : RANGKA KERJA EKONOMI MAKRO
Strategi Ekonomi Makro
2.24
Pengurusan ekonomi makro bagi RMKe-9 akan ditumpukan kepada usaha
mengekalkan kestabilan ekonomi makro untuk mengukuhkan ekonomi pada
tahap pertumbuhan yang mampan bagi mencapai matlamat pengagihan serta
meningkatkan kualiti hidup rakyat. Tujuannya adalah untuk
memperkukuhkan lagi asas ekonomi bagi menangani risiko secara lebih
berkesan dan memaksimumkan peluang daripada proses globalisasi dan
liberalisasi yang pesat berkembang, menghapuskan ketidakseimbangan
serta meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi. Strategi utama
ekonomi makro yang akan dilaksanakan dalam tempoh RMKe-9 adalah seperti
berikut:
a) mencapai kadar pertumbuhan yang menggalakkan di samping mengekalkan asas ekonomi yang
kukuh;
b) memperkukuhkan daya saing untuk mengekalkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia;
c) meningkatkan sumbangan
yang lebih tinggi daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) kepada pertumbuhan dan menarik FDI yang berkualiti untuk
mempercepatkan kemajuan ke arah aktiviti berteknologi tinggi dan
meluaskan rangkaian pasaran;
d) menggalakkan pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian, pembuatan dan
perkhidmatan serta meluaskan ekonomi berasaskan pengetahuan;
e) meninggikan kecekapan modal, produktiviti buruh dan sumbangan TFP; dan
f) mengekalkan pengurusan fiskal yang pragmatik dan melaksanakan dasar Kewangan yang
bersesuaian bagi menyokong aktiviti ekonomi dalam negeri.
Tinjauan Ekonomi Antarabangsa
2.25
Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tempoh RMKe-9 adalah
bergantung kepada perkembangan positif persekitaran dalam dan luar
negara. Di peringkat antarabangsa, ekonomi dunia dijangka berkembang
pada kadar purata 4.3 peratus setahun dalam tempoh 2006-2010, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 2-12. Berdasarkan unjuran pertumbuhan
tersebut, permintaan bagi eksport Malaysia dari Republik Rakyat China,
Amerika Syarikat (AS) dan rakan dagangan tradisional dan baru yang lain
dijangka terus kukuh.
2.26
Inflasi dunia dijangka kekal sederhana. CPI di kalangan negara maju
diunjur meningkat pada kadar purata 2.0 peratus setahun manakala CPI
bagi negara membangun dan ekonomi baru muncul dijangka meningkat lebih
tinggi pada kadar 5.3 peratus setahun bagi tempoh 2006-2010. Harga
komoditi seperti minyak sayuran, getah, timah dan minyak mentah
dijangka kekal stabil tetapi pada paras yang lebih tinggi. Pasaran
minyak mentah dijangka terus mengalami kekangan bekalan dalam jangka
masa sederhana. Sehubungan itu, harga minyak mentah dianggar pada
purata AS$58 setong dalam tempoh RMKe-9.
2.27
Perdagangan dunia dijangka berkembang pada kadar purata 7.1 peratus
setahun dalam tempoh Rancangan terutamanya disebabkan peningkatan
integrasi perdagangan hasil daripada inisiatif dua hala dan pelbagai
hala. Peningkatan jumlah perjanjian perdagangan serantau (RTA) dan
perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala adalah satu perkembangan
penting yang akan meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan.
Jadual 2-12 : Prospek Ekonomi Dunia 2001-2010 (kadar pertumbuhan tahunan purata %)
Ekonomi Malaysia
2.28
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang selaras dengan keluaran
potensinya8. Perbelanjaan swasta akan menjadi pemangkin utama
pertumbuhan. Kerajaan akan menggunakan pendekatan pengurusan fiskal
yang pragmatik di samping meneruskan usaha menyokong inisiatif sektor
swasta. Peningkatan produktiviti dan kecekapan dijangka menyumbang
kepada kadar inflasi yang sederhana. Kadar pengangguran dijangka terus
rendah berikutan daripada usaha bersepadu dalam mewujudkan peluang
pekerjaan di semua sektor ekonomi.
2.29
Ekonomi negara diunjur berkembang pada kadar purata 6.0 peratus setahun
dengan paras harga yang stabil. Pertumbuhan ini akan disokong oleh
permintaan dalam negeri menerusi pelaburan dan penggunaan swasta yang
kukuh. KNK per kapita pada harga semasa dijangka meningkat pada kadar
purata 5.9 peratus setahun kepada RM23,573 pada tahun 2010. KNK per
kapita dari segi pariti kuasa beli dijangka meningkat kepada AS$13,878
pada tahun 2010.
Produktiviti dan Kecekapan
2.30
Sumbangan TFP kepada KDNK dijangka meningkat kepada 35.8 peratus
berikutan ekonomi yang semakin berasaskan pengetahuan, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 2-1. Peningkatan ini selaras dengan strategi
untuk menggalakkan pertumbuhan berasaskan produktiviti. Peningkatan
sumbangan TFP akan dilaksanakan melalui program yang mempertingkatkan
kemahiran dan keupayaan pengurusan, membangunkan tenaga kerja yang
lebih kreatif dan berkemahiran, memperbaiki tahap pencapaian
pendidikan, mempergiatkan aktiviti R&D dan inovasi serta
mempertingkatkan penggunaan teknologi dan ICT dalam semua sektor
ekonomi. Sehubungan ini, sektor swasta akan terus digalak untuk
menerajui aktiviti tersebut.
2.31
Kecekapan modal dijangka terus meningkat dengan peningkatan kecekapan
dalam proses pengeluaran dan penggunaan aset yang produktif. ICOR
dijangka lebih baik dengan kadar purata 4.6 berbanding 6.2 yang dicatat
dalam tempoh RMKe-8. Sehubungan itu, sumbangan modal kepada KDNK
dianggar sebanyak 34.3 peratus.
Sumbangan buruh kepada
KDNK dijangka sebanyak 29.9 peratus dengan peningkatan dalam kualiti
tenaga buruh melalui pendidikan dan latihan bagi memenuhi permintaan
ekonomi berasaskan pengetahuan.
8 Keluaran potensi
didefinisikan sebagai paras keluaran yang selaras dengan keupayaan
produktif sesebuah ekonomi. Dari segi konsep, paras keluaran potensi
ditentukan oleh kadar pertumbuhan modal fizikal dan tenaga buruh yang
tidak memberi kesan inflasi serta tahap kemajuan teknologi.
Keluaran Sektor
2.32
Dari segi penawaran, pertumbuhan akan disokong oleh pengembangan dalam
sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian. Dasar dan strategi akan
ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan daya saing di samping memberi
tumpuan kepada produktiviti dan peralihan kepada aktiviti yang
mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi dan yang lebih berasaskan
pengetahuan. Dasar dan strategi ini termasuklah usaha mengukuhkan
enterpris kecil dan sederhana (EKS) dan meningkatkan sumbangannya
kepada pertumbuhan ekonomi.
2.33
Pengembangan sektor pembuatan dalam tempoh Rancangan akan berpandu
kepada Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3), 2006-2020. Sektor ini
dijangka menjadi lebih dinamik dan berdaya saing dan dijangka
berkembang pada kadar purata 6.7 peratus setahun dengan peningkatan
yang diperolehi daripada seluruh rantaian nilai. Pengukuhan kepada
industri sedia ada akan ditekankan di samping memanfaatkan sumber
pertumbuhan baru yang tertumpu kepada keluaran terpilih untuk pasaran
terpilih. Sektor swasta akan digalakkan untuk membaiki keupayaan
R&D , daya saing teknikal dan teras pengurusan serta membangunkan
keluaran dan jenama baru yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi
eksport. EKS yang berdaya saing, berinovatif dan berteknologi tinggi
akan dibangunkan. Bagi industri berasaskan sumber, subsektor
pemprosesan makanan akan dikukuhkan untuk memenuhi permintaan yang
bertambah bagi keluaran pertanian seperti minyak sawit, sayur-sayuran,
buah-buahan dan ikan untuk pasaran dalam negeri dan eksport.
Pembangunan bioteknologi pula akan terus meningkatkan kemajuan dalam
sektor pembuatan. Industri berasaskan sumber yang lain seperti kimia
dan keluaran kimia lain, pemprosesan getah dan keluaran getah akan
terus kekal penting dalam meningkatkan nilai ditambah sektor pembuatan.
2.34
Bagi industri bukan berasaskan sumber, subsektor elektronik dijangka
meningkat tinggi dalam tempoh separuh pertama Rancangan berikutan
pusingan peningkatan permintaan elektronik dunia, terutamanya bagi
litar bersepadu, optoelektronik, electronic discretes, alat pengesan
dan produk tanpa wayar. Asia Timur dan AS dijangka menjadi pasaran
utama eksport negara bagi keluaran tersebut. Sehubungan ini, subsektor
elektronik dianggar berkembang pada kadar purata 7.7 peratus setahun
dalam tempoh Rancangan dan menyumbang sebanyak 29.4 peratus daripada
jumlah nilai ditambah sektor pembuatan pada tahun 2010. Liberalisasi
industri automotif pula dijangka menggiatkan pengeluaran kenderaan
bermotor dan komponen bagi pasaran dalam negeri dan serantau.
2.35
Sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan purata
6.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan. Pertumbuhan ini diperolehi
daripada subsektor kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan
perniagaan serta perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran.
2.36
Subsektor kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan
dijangka berkembang pada kadar purata 7.0 peratus setahun. Pelaksanaan
secara berfasa Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran
Modal akan menjadikan Malaysia muncul sebagai sebuah pasaran kewangan
yang maju. Industri perbankan akan digalak untuk mengukuhkan
rasionalisasi kumpulan bagi meningkatkan kecekapan dan memperbaiki
pengurusan risiko. Pertumbuhan dalam industri perbankan akan
disumbangkan oleh peningkatan pendapatan perkhidmatan perbankan
berasaskan yuran dan faedah. Sistem kewangan Islam dan pasaran modal
akan terus dibangunkan bagi mengambil peluang daripada potensi yang ada
dan bertindak sebagai sumber pertumbuhan baru. Dalam tempoh Rancangan,
penggunaan e-perbankan dan e-dagang juga dijangka berkembang meluas.
Industri insurans pula dijangka terus meningkat hasil daripada usaha
penggabungan pihak yang berkepentingan untuk mempercepatkan fasa
pembangunannya.
2.37
Dalam menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, perkhidmatan
perniagaan dijangka menjana aktiviti baru, terutamanya perkhidmatan ICT
seperti pembangunan perisian dan kandungan serta perkhidmatan
berasaskan Internet dan aplikasi e-dagang. Dalam tempoh RMKe-9, usaha
akan terus diambil untuk memanfaatkan ICT sebagai sumber kekayaan baru
dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia, perkongsian
perkhidmatan dan penyumberan luar global yang berdaya saing. Usaha ini
termasuk penyediaan insentif yang lebih baik dan kajian semula
undang-undang dan peraturan yang berkaitan yang akan menyediakan
persekitaran yang lebih kondusif bagi pelaburan dalam subsektor ini. Di
samping itu, usaha selari yang dilaksanakan dalam memupuk sumber
manusia, membangunkan kandungan tempatan, memperkukuhkan perlindungan
harta intelek, meningkatkan keselamatan dan menambah aktiviti
diupayakan secara elektronik akan menyumbang kepada pertumbuhan dalam
subsektor ini.
2.38
Subsektor perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran dijangka
berkembang pada kadar purata 6.8 peratus setahun berikutan daripada
peningkatan permintaan dalam negeri dan pertambahan kaedah pengedaran
baru. Usaha untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah
destinasi pelancongan dan membeli belah antarabangsa serta promosi
pelancongan dan industri lawatan dalam negeri juga akan menyumbang
kepada pertumbuhan subsektor ini. Dalam tempoh Rancangan, subsektor ini
akan terus berubah menjadi lebih berdaya maju untuk menyediakan
perkhidmatan yang lebih baik. Ini termasuk jualan keluaran dan
perkhidmatan melalui e-dagang yang dijangka meningkat dengan pesat
dalam tempoh Rancangan.
2.39
Pertumbuhan subsektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi dijangka
kekal teguh pada kadar 6.7 peratus setahun. Industri komunikasi dan
pengangkutan dijangka menjadi sumber utama pertumbuhan subsektor ini.
Dalam industri komunikasi, pertumbuhan dijangkakan disumbangkan oleh
peningkatan penggunaan perkhidmatan selular dan perkhidmatan yang
berkaitan dengannya perkhidmatan penyiaran serta perkhidmatan Internet
terutamanya e-perbankan, e-dagang dan aplikasi multimedia. Sumber
pertumbuhan baru seperti telefonselular generasi ketiga (3G) ,
terrestrial digital television dan perkhidmatan telefon Internet
dijangka menjadi lebih penting.
2.40
Industri pengangkutan dijangka mendapat faedah daripada perkembangan
berterusan perdagangan antarabangsa dan industri pelancongan.
Perkongsian pintar antara pengendali pelabuhan Malaysia dengan rakan
kongsi asing dijangka menghasil lebih banyak muatan kargo dan
pemunggahan bagi pasaran serantau dan destinasi antarabangsa yang lain.
Peningkatan perkhidmatan perkapalan terutamanya oleh MISC dan usaha
yang dilaksanakan oleh Penerbangan Malaysia dan AirAsia untuk menambah
destinasi dijangka menyumbang kepada prestasi lebih baik yang diunjur
bagi subsektor pengangkutan. Untuk membantu akses di kawasan luar
bandar dan penstrukturan semula pengangkutan awam di kawasan bandar
akan dilaksanakan.
2.41
Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar purata 5.0 peratus
setahun. Sasaran dasar dan strategi yang khusus akan dilaksanakan untuk
mempercepatkan perubahan sektor ini kepada sektor yang moden, dinamik
dan berdaya saing. Penekanan akan diberi kepada Pertanian Baru yang
melibatkan ditambah yang tinggi. Langkah akan diambil untuk
memperkembangkan penggunaan klon, pembenihan atau biji benih yang lebih
baik, penggunaan teknologi baru dan pertanian berasaskan pengetahuan,
penggazetan tanah yang
bersesuaian untuk zon pertanian, penyatuan tanah serta menggalakkan
penyelarasan yang lebih baik dalam perancangan dan pelaksanaan projek,
perkhidmatan pengembangan, kawalan kualiti, kewangan dan pemasaran.
2.42
Sumber utama pertumbuhan sektor pertanian adalah subsektor minyak
sawit, getah dan makanan. Pengeluaran minyak sawit mentah diunjur
meningkat kepada 19.6 juta tan metrik pada tahun 2010. Harga getah
dijangka kekal menggalakkan dalam tempoh Rancangan. Sehubungan ini,
pengeluaran getah dijangka mencapai 1.3 juta tan metrik pada tahun
2010. Subsektor makanan pula dijangka menyumbang 43.6 peratus kepada
nilai ditambah sektor pertanian pada tahun 2010. Penekanan akan diberi
kepada pengeluaran ternakan, ikan terutamanya perikanan laut dalam dan
akuakultur serta buah-buahan dan sayursayuran yang mempunyai nilai yang
tinggi. Langkah juga akan diambil bagi menggiatkan semula industri koko
melalui pemulihan ladang koko dengan penggunaan klon dan teknik
penanaman yang lebih baik.
2.43
Sektor perlombongan dijangka berkembang pada kadar purata 3.4 peratus
setahun.Perkembangan ini adalah hasil peningkatan pengeluaran kondensat
dan gas asli dari loji Gas Asli Cecair Malaysia Ketiga (MLNG 3) di
Bintulu, Sarawak dan dari Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand di
luar pesisir Teluk Siam serta pembangunan lapangan gas kecil di luar
pesisir Semenanjung Malaysia. Pengeluaran minyak mentah dan kondensat
diunjur meningkat kepada 882,000 tong sehari. Pembangunan lapangan
minyak baru di kawasan laut dalam luar pesisir Sabah juga dijangka
menyumbang kepada pengeluaran minyak mentah dan gas yang mampan.
2.44
Dalam tempoh Rancangan, sektor pembinaan dijangka mencatat pertumbuhan
purata 3.5 peratus setahun. Pelaksanaan projek infrastruktur serta
pembangunan harta kediaman dan komersil dijangka menjana pertumbuhan
sektor ini. Bagi subsektor perumahan, SyarikatPerumahan Negara Berhad
akan meneruskan usaha untuk membangunkan lebih banyak unit rumah mampu
milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah. Di antara projek
infrastruktur baru yang akan dilaksanakan ialah pembinaan jalan raya,
lapangan terbang, pembekalan air dan pengangkutan berasaskan rel.
Permintaan Agregat
2.45
Dari segi permintaan, pertumbuhan dijangka didorong oleh permintaan
dalam negeri yang kukuh. Pelaburan swasta diunjur berkembang pada kadar
purata 11.2 peratus setahun, seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-3.
Bahagian pelaburan swasta kepada jumlah pelaburan dijangka meningkat
daripada 44.2 peratus pada tahun 2005 kepada 51.4 peratus pada tahun
2010. Dalam tempoh RMKe-9, jumlah pelaburan swasta pada harga semasa
diunjur meningkat kepada RM310.0 bilion atau RM62.0 bilion setahun
iaitu lebih tinggi daripada jumlah RM175.9 bilion yang dicapai dalam
tempoh RMKe-8. Daripada jumlah keseluruhan pelaburan swasta, 32.6
peratus dijangka dilabur dalam sektor pembuatan, 29.9 peratus dalam
perkhidmatan, 14.3 peratus dalam pembinaan, 12.9 peratus dalam
perlombongan dan 10.3 peratus dalam pertanian.
2.46
Untuk mencapai sasaran pelaburan swasta, usaha akan ditumpukan ke arah
memperbaiki lagi iklim pelaburan. Langkah akan diambil untuk
memperkemaskan sistem penyampaian sektor awam supaya lebih berkesan dan
mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Penekanan akan diberikan
terutamanya kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan dan
latihan berkualiti untuk memastikan terdapat penawaran individu yang
berpengetahuan tinggi dan berdaya saing di peringkat global. Usaha juga
akan digerakkan ke arah penyediaan khidmat sokongan untuk memudahkan
pembangunan keluaran bernilai tinggi dan mempunyai potensi eksport.
Untuk meningkatkan lagi penyertaan EKS, akses kepada pembiayaan akan
diperluaskan termasuk pembiayaan berasaskan aliran tunai oleh Bank EKS
serta peruntukan pakej bantuan yang lebih bersepadu.
2.47
Pengenalan inisiatif pembiayaan swasta bagi membiayai beberapa projek
pembangunan Kerajaan dijangka terus meningkatkan lagi pelaburan swasta.
Walaupun pelaburan dalam negeri dijangka memainkan peranan lebih besar,
FDI akan terus penting terutamanya bagi tujuan pemindahan teknologi di
samping terutamanya dalam industri yang mempunyai nilai ditambah yang
berintensifkan teknologi.
2.48 Pelaburan awam diunjur berkembang pada kadar purata 5.0 peratus setahun.
Bahagian pelaburan awam kepada KDNK dijangka berkurang kepada 14.2 peratus
pada tahun 2010. Bagi
meningkatkan kualiti berbelanja, perbelanjaan pembangunan akan ditumpu
kepada projek yang akan menjana kesan pengganda yang maksimum serta
kesan limpahan geografi yang meluas. Projek ini termasuk pembangunan
sumber manusia serta penyediaan infrastruktur sosial dan fizikal,
khususnya di kawasan luar bandar bagi meningkatkan akses dan
mengurangkan lagi kemiskinan Di samping itu, Kerajaan juga akan
menggalakkan program dalam aktiviti R&D serta
Inovasi yang dapat
membantu mengembangkan keupayaan produktif ekonomi dan pembangunan
ekonomi berasaskan pengetahuan menerusi pendalaman teknologi dan
peningkatan pelaburan dalam aktiviti R&D serta inovasi.
2.49
Penggunaan swasta dijangka berkembang pada kadar purata 6.9 peratus
setahun iaitu lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan yang dicapai
dalam tempoh RMKe-8. Pengembangan ini adalah berikutan peningkatan
pendapatan bolehguna dan keyakinan pengguna yang terus meningkat yang
disokong oleh pertumbuhan guna tenaga yang ini adalah berikutan
peningkatan pendapatan bolehguna dan keyakinan pengguna yang terus
meningkat yang disokong oleh pertumbuhan guna tenaga yang mampan dan
harga komoditi yang menggalakkan. Selaras dengan unjuran ini penggunaan
penggunaan swasta per kapita dijangka dijangka meningkat pada purata
7.8 peratus setahun daripada RM8,071 pada tahun 2005 kepada RM11,753
pada tahun 2010 . Bahagian penggunaan swasta kepada KDNK dijangka
meningkat kepada 52.1 peratus pada tahun 2010.
2.50
Penggunaan awam diunjur berkembang pada kadar purata5.3 peratus setahun
iaitu lebih rendah daripada 10.2 peratus setahun yang dicatat dalam
RMKe-8. Ini menunjukkan kecekapan perbelanjaan awam yang menekankan
kepada nilai wang.
Imbangan Sumber
2.51
Kedudukan imbangan sumber dalam tempoh Rancangan merupakan petanda yang
baik bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan. Tabungan negara kasar
dijangka mencapai paras purata 36.2 peratus kepada KNK dan pelaburan
pada 21.3 peratus, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2-4.
Pertumbuhan tabungan keseluruhan dijangka diperolehi daripada tabungan
swasta berikutan penjanaan pendapatan dan kekayaan yang lebih tinggi.
Kadar tabungan yang tinggi akan membolehkan
Malaysia membiayai
pelaburan dalam negeri tanpa pergantungan yang tinggi kepada pinjaman
luar negara. Instrumen pelaburan baru akan diperkenalkan untuk
menggalakkan tabungan bagi keperluan
pelaburan.
Perkembangan Harga
2.52
Pertumbuhan yang seiring dengan kestabilan harga adalah penting dalam
meningkatkan kualiti hidup rakyat. Dalam tempoh Rancangan, usaha akan
terus diambil bagi mengekalkankadar inflasi yang rendah dan harga yang
stabil. Bagi mengurangkan tekanan harga, Kerajaan akan melaksanakan
beberapa langkah bagi memastikan bekalan barangan dan perkhidmatan yang
mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Kerajaan
negeri akan digalakkan untuk membantu pengembangan pengeluaran
buah-buahan, sayur-sayuran dan ternakan serta aktiviti akuakultur. Di
samping itu, GLC serta pertubuhan pertanian dan koperasi akan
digalakkan untuk terlibat dalam pengeluaran makanan berskala besar.
Lebih banyak pasar tani akan dibuka di seluruh negara bagi menyediakan
tempat alternatif untuk mendapatkan barangan pada harga yang
berpatutan. Program Buku Hijau akan dipergiatkan semula bagi
mempromosikan penglibatan masyarakat dalam penanaman tanaman makanan.
Isi rumah digalakkan menanam sayur-sayuran untuk keperluan harian
mengikut kesesuaian. Langkah anti inflasi lain termasuk memantau
pergerakan harga, mengelak peningkatan harga yang melampau dan mencegah
amalan jualan yang tidak sihat. Langkah mengurangkan kos menjalankan
perniagaan termasuk memastikan peningkatan upah adalah selaras dengan
pertumbuhan produktiviti juga dijangka mengurangkan tekanan ke atas
harga. Di samping itu, Kerajaan akan memastikan pertumbuhan penawaran
wang adalah selaras dengan kestabilan harga. Pengguna akan digalakkan
mengamalkan perbelanjaan berhemat bagi mengelak pembaziran.
Akaun Sektor Awam
2.53
Dalam tempoh RMKe-9, akaun sektor awam yang disatukan dijangka mencatat
lebihan keseluruhan RM79.1 bilion atau 2.5 peratus kepada KDNK, seperti
ditunjukkan dalam Jadual
2-6. Saiz lebihan ini
dijangka meningkat daripada RM7.0 bilion atau 1.4 peratus kepada KDNK
pada tahun 2005 kepada RM10.6 bilion atau 1.5 peratus kepada KDNK pada
tahun 2010. Perbelanjaan pembangunan sektor awam dijangka meningkat
daripada RM70.9 bilion pada tahun 2005 kepada RM89.7 bilion pada tahun
2010.
2.54
Defisit keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka sebanyak RM107.6
bilion atau 3.4 peratus kepada KDNK dalam tempoh RMKe-9 iaitu lebih
rendah berbanding 4.8 peratus dalam tempoh RMKe-8. Defisit ini dijangka
berkurangan secara beransur-ansur daripada 3.8 peratus kepada KDNK pada
tahun 2005 kepada 3.4 peratus pada tahun 2010. Pinjaman dalam negeri
akan digunakan bagi membiayai defisit. Dalam menguruskan defisit
fiskal, tumpuan akan diberikan untuk mempertingkatkan asas hasil serta
memperbaiki kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.
2.55
Jumlah hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat pada kadar purata
7.4 peratus setahun dalam tempoh RMKe-9 daripada RM106.3 bilion pada
tahun 2005 kepada RM152.1 bilion pada tahun 2010, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 2-13. Langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan sistem
pentadbiran cukai melalui peningkatan keupayaan agensi pengutip cukai.
Usaha juga akan diambil bagi mengkaji semula struktur dan sistem cukai
yang bertujuan untuk meluaskan asas cukai. Hasil cukai dijangka
meningkat pada kadar purata 6.7 peratus setahun daripada RM80.6 bilion
pada tahun 2005 kepada RM111.7 bilion pada tahun 2010. Peningkatan ini
disumbang oleh kutipan hasil yang dijangka baik bagi cukai pendapatan
syarikat dan individu, duti import dan eksais. Hasil bukan cukai
termasuk dividen daripada PETRONAS dan GLC dijangka meningkat pada
kadar purata 9.4 peratus setahun daripada RM25.0 bilion pada tahun 2005
kepada RM39.3 bilion pada tahun 2010.
Jadual 2-13 : Hasil Kerajaan Persekutuan 2000-2010
2.56
Perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan dalam RMKe-9 dianggar
sebanyak RM595.5 bilion atau 19.1 peratus kepada KDNK, meningkat pada
kadar purata 6.8 peratus setahun daripada RM97.7 bilion pada tahun 2005
kepada RM135.7 bilion pada tahun 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual
2-14. Penekanan akan diberi kepada perbelanjaan penyelenggaraan
kemudahan, bangunan dan infrastruktur serta peningkatan kualiti dan
kecekapan penyampaian perkhidmatan awam. Disiplin fiskal akan terus
ditingkatkan bagi memberi keutamaan dan memastikan keberkesanan kos
perbelanjaan. Dasar mengenai subsidi dan bayaran pindahan akan dikaji
semula sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan Kerajaan serta
menggalakkan produktiviti dan daya saing.
Jadual 2-14 : Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan 2000-2010
2.57
Siling perbelanjaan pembangunan ialah sebanyak RM200 bilion. Program
ekonomi dan sosial akan terus diberi sebahagian besar peruntukan.
Peruntukan dalam sektor ekonomi akan disalurkan terutamanya kepada
pertanian, perdagangan dan industri, infrastruktur serta kemudahan
manakala program sosial akan menumpu kepada pembangunan modal insan dan
peningkatan dalam kemudahan asas. Penekanan akan diberikan kepada
program peningkatan taraf dan kualiti hidup, terutamanya bagi golongan
miskin.
2.58
Kecekapan perbelanjaan akan terus dipertingkat termasuk penggunaan
analisa kos faedah dan analisa impak output. Keutamaan program dan
projek akan berasaskan kepada pencapaian matlamat dasar dengan faedah
maksimum, kesan pengganda yang tinggi dan kebocoran minimum. Pendekatan
menyeluruh keberkesanan program dan projek akan diguna pakai termasuk
dengan perubahan yang minimum daripada skop dan kos yang diluluskan
serta mengambil kira perbelanjaan mengurus yang diperlukan. Bagi
memastikan faedah yang diperolehi sejajar dengan wang yang
dibelanjakan, penekanan akan diberikan kepada pelaksanaan sistem tender
terbuka.
2.59
Lebihan semasa PABK dijangka meningkat daripada RM63.8 bilion pada
tahun2005 kepada RM77.7 bilion pada tahun 2010. Jumlah lebihan semasa
PABK dalam tempoh RMKe-9 adalah RM351.1 bilion. Perbelanjaan
pembangunan PABK dijangka meningkat pada kadar purata 1.6 peratus
setahun daripada RM40.0 bilion pada tahun2005 kepada RM43.2 bilion pada
tahun 2010. Jumlah perbelanjaan pembangunan PABK dalam tempoh RMKe-9
adalah RM178.1 bilion.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008