BAB 01 : LANGKAH PERTAMA KE ARAH MISI NASIONAL
I : PENDAHULUAN
1.01
Negara melangkah ke fasa baru pembangunan bagi merealisasikan aspirasi
untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Fasa 15 tahun
akan datang berpandukan Misi Nasional, iaitu satu dasar dan rangka
kerja pelaksanaan yang bertujuan meningkatkan prestasi dan impak
daripada gabungan usaha pembangunan negara. Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMKe-9) merupakan rencana terperinci lima tahun pertama
Misi Nasional yang menggariskan dasar dan program utama ke arah
mencapai teras dan objektif Misi tersebut dalam tempoh 2006-2010.
1.02
Pertumbuhan, daya saing dan kedinamikan ekonomi akan diteruskan bersama
dengan usaha mewujudkan peluang yang saksama, keadilan sosial dan
penglibatan semua pihak. Kualiti modal insan akan dipertingkatkan
kerana ia merupakan penentu utama bagi mencapai matlamat dan tujuan
RMKe-9. Kualiti hidup rakyat Malaysia akan terus dipertingkat. Jentera
pelaksanaan negara akan diselaras dan diperkukuh. Usaha ini akan
memastikan matlamat utama pembangunan, iaitu perpaduan negara dan
integrasi nasional terus diperteguh.
1.03
Berdasarkan Misi Nasional dan kesedaran betapa pentingnya usaha bersama
dalam memastikan pencapaiannya, tema RMKe-9 adalah Bersama Ke Arah
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Setiap rakyat mempunyai peranan
dalam pembangunan nusa bangsa dengan sektor swasta sebagai peneraju
pertumbuhan, sektor awam sebagai pemudah cara dan pengawal selia
manakala masyarakat sivil dan pihak lain sebagai rakan kongsi dalam
pembangunan. Hasrat untuk mencapai status negara maju hanya dapat
direalisasikan melalui komitmen dan sumbangan berterusan setiap rakyat.
1.04
Tempoh RMKe-9 dijangka penuh dengan cabaran dan memerlukan keazaman
untuk menjayakannya. Kejutan luar seperti kenaikan harga minyak yang
tinggi, ketidakseimbangan ekonomi dunia, tercetusnya penyakit
berjangkit dan bencana alam berskala besar memerlukan negara berwaspada
dan berdaya tahan. Pada masa yang sama, perhatian segera dan tumpuan
penuh perlu diberi untuk menghadapi cabaran dalam negara termasuk
memantapkan pengurusan fiskal; membangunkan sumber pertumbuhan,
kekayaan dan pendapatan baru; memperkukuh pendidikan dan latihan; dan
merapatkan jurang sosioekonomi. Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8)
telah mencapai kejayaan walaupun mengharungi pelbagai cabaran seperti
yang ditunjukkan di dalam Kotak1.1.
II : RINGKASAN RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN, 2006-2010
1.05
Usaha mempertingkat daya saing dan daya tahan negara akan terus diberi
keutamaan berikutan perubahan persekitaran ekonomi negara dan
antarabangsa. Pada masa yang sama, usaha merapatkan jurang sosioekonomi
antara dan di kalangan kumpulan etnik akan dipergiat dengan mengambil
langkah yang menumpukan kepada kumpulan sasar secara lebih tepat. Semua
inisiatif pembangunan dalam tempoh Rancangan akan berpandukan prinsip
sejagat Islam Hadhari.
1.06
Dalam tempoh Rancangan, pengurusan ekonomi makro akan ditumpukan kepada
pertumbuhan mampan dan pengukuhan keupayaan ekonomi bagi mengurangkan
kesan risiko dan kejutan. Kerajaan akan memastikan tekanan harga
sentiasa terkawal; mengamalkan dasar kewangan yang sesuai; mengurus
perbelanjaan Kerajaan Persekutuan secara berhemat dan berkesan dari
segi kos; mengurangkan defisit fiskal Kerajaan Persekutuan secara
beransur-ansur tanpa menjejaskan pertumbuhan keseluruhan; dan sentiasa
mengekalkan imbangan pembayaran dan kedudukan rizab yang kukuh.
1.07
RMKe-9 dibentang berdasarkan teras Misi Nasional. Penekanan dan program
utama Rancangan terbahagi kepada lima teras seperti yang berikut:
TERAS 1: MENINGKATKAN EKONOMI DALAM RANTAIAN NILAI LEBIH TINGGI
1.08
Tempoh RMKe-9 akan menyaksikan perubahan dalam struktur dan prestasi
ekonomi negara yang lebih baik dengan setiap sektor ekonomi mencapai
nilai ditambah dan produktiviti faktor keseluruhan yang lebih tinggi.
Bidang pertumbuhan baru akan bertambah kukuh. Pelaburan sektor swasta
akan mengatasi sektor awam bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan
ekonomi akan diterajui oleh modal insan terutama dalam menghadapi
persaingan daripada globalisasi dan liberalisasi pasaran secara
progresif.
Meningkatkan Nilai Ditambah Sektor Pembuatan, Perkhidmatan dan Pertanian
Pembuatan
1.09
Penggunaan teknologi tinggi dan pengeluaran produk yang mempunyai nilai
ditambah lebih tinggi akan diberi penekanan. Langkah akan diambil bagi
membawa industri elektrik dan elektronik (E&E) ke arah aktiviti
nilai ditambah dan berteknologi tinggi. Pembangunan subsektor pembuatan
yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi seperti industri petrokimia,
maritim, aeroangkasa, jentera berat dan pertahanan akan digalakkan. Di
samping itu, industri tradisional seperti kraftangan, batik dan songket
akan terus dipermoden dan dipertingkatkan setaraf dengan piawai
antarabangsa. Kerajaan akan mempermudahkan pembangunan kelompok
perindustrian seperti kelompok E&E di Pulau Pinang dan Taman
Teknologi Tinggi Kulim di Kedah dan kelompok petrokimia di negeri
Terengganu dan Pahang di Koridor Pantai Timur serta taman perindustrian
dan EKS di semua negeri.
Perkhidmatan
1.10
Usaha akan diambil untuk membangunkan dan mempromosi semua subsektor
perkhidmatan. Pembangunan pelancongan akan ditumpukan kepada
peningkatan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan alam
semula jadi dan ekopelancongan; kebudayaan, hiburan dan kesenian;
persidangan, insentif, konvensyen dan pameran (MICE); acara sukan
antarabangsa; dan aktiviti membeli-belah serta rekreasi. Bagi subsektor
pendidikan, langkah akan dipergiat untuk mempromosi Malaysia sebagai
pusat kecemerlangan serantau bagi pendidikan peringkat tertiari. Dalam
perkhidmatan kesihatan, usaha akan diambil bagi mempromosi Malaysia
sebagai pusat pelancongan kesihatan serantau. Bagi perkhidmatan
kewangan, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk memperkukuh
kedudukan Malaysia sebagai pusat perbankan dan kewangan Islam
antarabangsa. Di samping itu, subsektor perkhidmatan baru seperti
menyenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) pesawat; perkhidmatan
perkongsian dan penyumberan luar; pengangkutan dan logistik; serta
perkhidmatan perniagaan dan profesional akan dipergiatkan. Bagi
memperluaskan sektor perkhidmatan yang kini hanya tertumpu di kawasan
Lembah Klang, Wilayah Ekonomi Johor Selatan akan dibangunkan sebagai
hab perkhidmatan serantau yang dinamik dengan memanfaatkan lokasi dan
kelebihan semula jadi wilayah tersebut.
Pertanian
1.11
Dalam tempoh Rancangan, sektor pertanian akan diberi nafas baru supaya
tampil sebagai tunggak ketiga pertumbuhan ekonomi. Program Pertanian
Baru akan dilaksana termasuk mengorientasi semula sektor tersebut ke
arah pengeluaran lebih moden dan berskala komersil; pengeluaran produk
utama dan berasaskan pertanian yang bernilai ditambah tinggi;
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan meluas
sebagai pemudah dan bioteknologi untuk menjana kekayaan; pelaksanaan
pendekatan pemasaran yang lebih baik dengan memberi penekanan kepada
piawai produk dan akreditasi ladang; dan peningkatan profesionalisme.
Subsektor sedia ada seperti kelapa sawit dan getah digalakkan untuk
mempelbagaikan produk kepada produk hiliran yang mempunyai nilai
ditambah yang tinggi. Industri berpotensi tinggi seperti akuakultur,
perikanan laut dalam, rumpai laut, herba, ikan hiasan dan florikultur
akan dibangunkan dan dikomersilkan secara berskala besar. Usaha juga
akan dipergiat untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat makanan halal
serantau.
1.12
Lebih banyak penyertaan sektor swasta akan digalakkan. Di samping itu,
aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dipergiat, akses
kepada pembiayaan dipertingkat dan zon pengeluaran baru dibangunkan
khusus untuk pengeluaran pertanian. Dalam tempoh RMKe-9, Koridor
Pembangunan Utara yang meliputi kawasan di negeri Perlis, Kedah,
Seberang Perai di Pulau Pinang dan utara Perak; Koridor Pantai Timur
yang meliputi kawasan di negeri Kelantan,Terengganu dan Pahang; dan
Sabah dan Sarawak akan dibangunkan menjadi wilayah pertanian moden dan
berskala komersil serta berasaskan pertanian.
Menjana Sumber Kekayaan Baru dalam Sektor Intensif Teknologi dan Pengetahuan
1.13
Aktiviti ekonomi dalam bidang ICT akan dibangunkan dan diperkukuh
berasaskan kekuatan negara. Malaysia akan terus memantapkan
kedudukannya sebagai destinasi pilihan dalam perkhidmatan perkongsian
dan penyumberan luar. Bagi aktiviti baru, Kerajaan akan membangunkan
industri kandungan digital tempatan serta bioinformatik. Bagi menyokong
pertumbuhan industri ICT serta meninggikan kecekapan ekonomi, langkah
akan diambil bagi meningkatkan akses serta penggunaan perkhidmatan dan
kemudahan ICT termasuk memperkukuh e-Kerajaan dan menggalakkan
penggunaan e-dagang di kalangan peniaga dan pengguna.
1.14
Tempoh Rancangan akan menyaksikan usaha diperhebat bagi membangunkan
industri bioteknologi negara, selaras dengan Dasar Bioteknologi
Nasional yang dilancarkan pada tahun 2005. Pembangunan industri ini
merangkumi tindakan dalam pelbagai aspek termasuk menambah baik rangka
kawal selia pelaburan bioteknologi; meningkatkan akses kepada
pembiayaan; meningkatkan kadar pengkomersilan R&D; menambah
bilangan tenaga kerja mahir bioteknologi dan penyelidik; serta menarik
rakan kongsi asing yang berkualiti untuk aktiviti R&D, pelesenan
teknologi dan pembangunan produk. Malaysia akan memberi tumpuan kepada
bidang yang mempunyai kelebihan daya saing termasuk mengoptimumkan
kekayaan biodiversiti, memanfaatkan kewujudan perubatan tradisional dan
komplementari penduduk pelbagai etnik serta menjadi peneraju dunia
dalam industri berasaskan sumber seperti industri biofuel dan
biodiesel.
Meningkatkan Pewujudan Pekerjaan
1.15
Penggalakan dan pembangunan subsektor ekonomi baru pembuatan,
perkhidmatan dan pertanian akan dilaksanakan dengan memberi keutamaan
kepada pewujudan pekerjaan. Program latihan dan latihan semula untuk
majikan dan pekerja akan diberikan penekanan bagi meningkatkan mobiliti
dan kebolehsesuaian tenaga kerja negara ke arah aktiviti intensif
pengetahuan dan nilai ditambah yang lebih tinggi. Majikan akan
digalakkan untuk merangka semula dan memperbaik fungsi pekerjaan
terpilih serta persekitaran kerja bagi menarik pekerja tempatan
termasuk wanita, pesara dan golongan kurang upaya. Di samping itu,
peraturan dan undang-undang berkaitan dengan sumber manusia akan dikaji
semula dan diperkemas bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti
tenaga buruh.
Menggalakkan Sektor Swasta sebagai Peneraju Utama dalam Pembangunan Ekonomi
Meningkatkan Pembangunan Enterpris Kecil dan Sederhana
1.16
Pembangunan enterpris kecil dan sederhana (EKS) akan diberi keutamaan
dalam tempoh Rancangan. Akses kepada pembiayaan dan insentif akan
dipertingkatkan termasuk melalui SME Bank yang baru diwujudkan. Langkah
turut diambil bagi menambah pembiayaan modal teroka untuk syarikat EKS
baru. Jalinan kerjasama rapat antara firma EKS dan juga dengan syarikat
besar tempatan dan syarikat multinasional akan digalakkan. Di samping
itu, program akan diperluas untuk membantu meningkatkan keupayaan
keusahawanan dan teknikal EKS termasuk melalui penggunaan ICT dan
e-dagang.
Mengeratkan Kerjasama Sektor Awam-Swasta
1.17
Dalam tempoh Rancangan, kerjasama sektor awam dan swasta akan
diperkukuhkan lagi ke arah membina nusa bangsa. Kerajaan dan sektor
swasta akan mempertingkatkan kerjasama terutamanya dalam bidang
R&D, pembangunan modal insan dan untuk mencapai objektif
sosioekonomi dan pengagihan terutamanya pembasmian kemiskinan dan
penstrukturan semula ekuiti dan guna tenaga. Kerajaan dan sektor swasta
juga akan membangunkan secara bersama pusat pertumbuhan wilayah (RGC)
dan pertumbuhan koridor yang baru bagi meningkatkan pelaburan,
mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pembangunan pesat di
kawasan tersebut. Program penswastaan yang diperkemas akan juga
menyumbang kepada pengukuhan penyertaan sektor swasta dalam ekonomi.
Tumpuan akan diberi kepada projek cadangan Kerajaan berdasarkan
keutamaan negara. Pemilihan pemegang konsesi akan dibuat melalui proses
pembidaan terbuka. Inisiatif pembiayaan swasta akan diperkenalkan di
bawah program penswastaan dalam tempoh Rancangan yang akan memberi
peluang tambahan bagi penyertaan sektor swasta dalam pembangunan
infrastruktur dan utiliti.
Menambah Baik Persekitaran Perniagaan
1.18
Kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam adalah penting untuk
memperbaik persekitaran perniagaan. Penambahbaikan kepada sistem ini
akan dijalankan melalui pengurangan kerenah birokrasi, pembaharuan
pentadbiran daerah dan kerajaan tempatan, kajian semula rangka kawal
selia berkaitan dengan pelaburan serta penggunaan ICT secara lebih
meluas dalam operasi harian. Langkah ini dilaksana untuk mengurangkan
kos pengendalian perniagaan di samping menyediakan perlindungan yang
sewajarnya untuk pihak MUKAyang terlibat. Lebih banyak langkah kawal
selia berasaskan penzahiran dan SURATkawal selia sendiri akan
dilaksanakan mengikut keperluan.
Memupuk Budaya Kecemerlangan dan Berprestasi Tinggi
Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan
1.19
Program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mula
dilaksanakan pada Mei 2004 untuk memupuk budaya yang mengutamakan
prestasi tinggi dan kecemerlangan di kalangan GLC. Dalam tempoh
Rancangan, pelaksanaan program transformasi GLC akan dipergiat bagi
meningkatkan lagi nilai pemegang saham termasuk memperluaskan
pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) dan memperkenalkan sistem
ganjaran berasaskan prestasi, penambahbaikan pengendalian dan inisiatif
pengurangan kos. Kesan awal dalam aspek pengurusan dan kewangan
berikutan program transformasi GLC dijangka dapat dilihat dalam separuh
penggal pertama tempoh Rancangan.
Mempertingkatkan Tadbir Urus Korporat
1.20
Kerajaan akan terus menggalakkan pengawasan dan tadbir urus korporat
yang kukuh dalam sektor swasta. Program pembaharuan perundangan
korporat yang dimulakan oleh Kerajaan akan terus dilaksanakan.
Persatuan industri sektor swasta disaran melaksanakan program bagi
menggalakkan amalan perniagaan yang beretika dan tanggung jawab sosial
korporat di kalangan ahlinya. Keutamaan akan diberi kepada usaha
penambahbaikan kepimpinan korporat termasuk dalam GLC bagi memastikan
piawai pengurusan yang tinggi, proses membuat keputusan yang berkesan
dan pengurusan risiko yang tepat.
Memperluas Pasaran Bagi Produk dan Perkhidmatan Malaysia
Menggalakkan Pelaburan Keluar
1.21
Sektor swasta dan GLC akan digalakkan untuk meneroka pasaran luar
negara bagi merebut peluang perniagaan dan pelaburan. Langkah ini akan
meningkatkan akses kepada pasaran baru, mewujudkan permintaan terhadap
barangan perantaraan dan komponen tempatan, menyediakan alternatif
pertumbuhan ketika kelembapan ekonomi domestik dan membantu penubuhan
syarikat multinasional Malaysia dalam jangka panjang.
Meningkatkan Daya Saing selaras dengan Komitmen Perdagangan Antarabangsa
1.22
Komitmen Malaysia di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia, Kawasan
Perdagangan Bebas ASEAN, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dan
FTA dua hala yang lain akan meluaskan peluang perdagangan dan
pelaburan. Walau bagaimanapun, persaingan dijangka semakin sengit
khususnya dalam sektor yang akses kepada pasaran telah dipersetujui.
Dalam hubungan ini, Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk menyediakan
sektor swasta tempatan menghadapi liberalisasi secara progresif dan
persaingan yang semakin meningkat.
TERAS 2: MENINGKATKAN KEUPAYAAN PENGETAHUAN DAN INOVASI NEGARA SERTA MEMUPUK ‘MINDA KELAS PERTAMA’
1.23
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat untuk membangunkan modal
insan demi memacu transformasi negara ke arah ekonomi berasaskan
pengetahuan. Program dan projek akan dilaksana bagi mencapai keutamaan
Misi Nasional, iaitu menambah baik sistem pendidikan, meningkatkan
inovasi dan memastikan pembangunan modal insan yang menyeluruh.
Meningkatkan Akses dan Kualiti Sistem Pendidikan di Semua Peringkat
Kurikulum dan Pengajaran
1.24
Dalam tempoh Rancangan, pelaksanaan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan
akan dipercepatkan untuk memastikan keseragaman dan kualiti. Di
peringkat sekolah, aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum akan dikaji
semula bagi memastikan asas yang kukuh dalam pembangunan kompetensi
teras dan bersesuaian dengan keperluan yang sentiasa berubah. Kurikulum
bagi latihan perguruan juga akan dikaji semula , antaranya untuk
menambah baik kandungan mata pelajaran ,meningkatkan kemahiran pedagogi
dan membolehkan penggunaan ICT yang lebih meluas dalam bidang
pendidikan.
1.25
Di peringkat tertiari, kerjasama antara industri dengan institusi
pengajian tinggi akan dipertingkat untuk lebih responsif kepada
keperluan pasaran dan mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran. Kursus
baru akan diperkenal selaras dengan keperluan pasaran buruh yang
sentiasa berubah. Bagi meningkatkan keupayaan siswazah tempatan
mendapat pekerjaan, keperluan bagi program latihan praktikal dan
penempatan industri akan diperkukuh. Penambahbaikan kurikulum yang
bersesuaian akan juga dilaksana.
1.26
Program latihan akan direka semula selaras dengan keperluan industri
yang sentiasa berubah. Sistem Latihan Dual Kebangsaan akan diperbaik
melalui perundingan lebih kerap dengan pihak berkepentingan termasuk
persatuan industri, manakala Majlis Penasihat Kebangsaan bagi
Pendidikan dan Latihan akan ditubuh bagi memberi panduan mengenai dasar
dan strategi berkaitan pendidikan dan latihan industri.
Infrastruktur dan Kemudahan
1.27
Akses kepada pendidikan prasekolah akan diperluas dengan penyediaan
lebih banyak kelas prasekolah , terutama di kawasan luar Bandar . Bagi
pendidikan perinkat rendah dan menengah , kemudahan yang lebih baik
akan disediakan dikawasan luar Bandar serta di Sabah dan Sarawak .
Lebih banyak bilik darjah akan dibina untuk memastikan pendidikan
rendah yang sejagat .Di samping itu , kapasiti pendidikan universiti
dan latihan kemahiran lanjutan akan diperluas.
Menjadikan Sekolah Kebangsaan Sebagai Sekolah Pilihan
1.28
Bagi menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan, kualiti
pengajaran di sekolah kebangsaan akan dipertingkat dengan 100 peratus
guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di sekolah rendah akan
mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2010. Lebih banyak
peluang latihan dalam perkhidmatan juga akan disediakan kepada guru.
Bagi melahirkan pekerja berpengetahuan pada masa depan yang mahir
menggunakan teknologi dan ICT, usaha akan diambil bagi menjadikan semua
sekolah kebangsaan sebagai sekolah ‘bestari’ melalui Program
Pembestarian Sekolah. Peluang pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dan
yang ketakbolehan belajar di sekolah kebangsaan akan juga dipertingkat.
Bagi mengurangkan jurang prestasi antara kawasan luar bandar dengan
bandar, pelbagai inisiatif akan diambil termasuk menyediakan kemudahan
pendidikan dan kemudahan asas yang lebih baik. Kualiti pengajaran akan
ipertingkatkan melalui penempatan lebih ramai guru berpengalaman ke
sekolah di luar bandar. Di samping itu, program sokongan pelajaran akan
terus disediakan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan
rendah.
Melahirkan Institusi Tertiari Bertaraf Antarabangsa
1.29
Usaha akan diambil untuk meningkatkan kualiti pendidikan tertiari bagi
mencapai taraf antarabangsa. Sehubungan ini, institusi pengajian tinggi
tempatan akan ditanda aras mengikut piawai antarabangsa dan satu sistem
penarafan akan diperkenal. Institusi pengajian tinggi juga perlu
mematuhi piawai prosedur jaminan kualiti yang telah ditetapkan dalam
Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Bagi menyokong pelaksanaan MQF dan
menubuhkan sistem jaminan kualiti bersepadu, Agensi Kelayakan Malaysia
akan ditubuhkan ada tahun 2006. Kualiti ahli akademik akan dipertingkat
melalui lebih banyak program pembangunan untuk mereka. Di samping itu,
bilangan ahli akademik yang mempunyai kelayakan Doktor Falsafah di
universiti awam akan ditambah bagi mencapai sasaran 60 peratus daripada
jumlah ahli akademik menjelang tahun 2010. Bagi meningkatkan kualiti
dan pandangan global universiti dan ahli akademik, jalinan kerjasama
dengan institusi terkemuka antarabangsa akan diusahakan termasuk
melalui kerjasama penyelidikan.
Memupuk Keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan serta Saintifik dan Inovasi yang Berkualiti Tinggi
Memperkukuh Komitmen Dasar
1.30
Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan memberi penekanan kepada bina
upaya sumber manusia dan mengukuhkan Sistem Inovasi Kebangsaan. Majlis
Inovasi Kebangsaan akan ditubuh bagi memberi panduan dalam merangka
dasar dan strategi utama untuk merangsang budaya berinovasi di negara
ini.
Meningkatkan Keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan
1.31
Dalam tempoh RMKe-9, sasaran perbelanjaan R&D negara adalah
sebanyak 1.5 peratus daripada keluaran dalam negeri kasar menjelang
tahun 2010. Bagi meraih pulangan daripada pelaburan ini, keupayaan
penyelidikan dan inovasi negara akan diperkukuh. Untuk membantu
melahirkan secukupnya bilangan penyelidik dalam bidang keutamaan,
beberapa program akan dilaksanakan. Bilangan penyelidik, saintis dan
jurutera (RSE) akan ditambah untuk mencapai sasaran 50 RSE bagi setiap
10,000 tenaga buruh pada tahun 2010. Program National Brain Gain akan
dilancarkan. Pada peringkat awalnya program ini akan memberi tumpuan
kepada modal insan sains dan teknologi. Pusat kecemerlangan dalam
bidang teknologi baru muncul akan ditubuhkan dan kapasiti R&D
universiti dan institusi penyelidikan akan dipertingkat. Di samping
itu, sektor swasta termasuk GLC akan digalak untuk menyediakan lebih
banyak biasiswa, geran dan dana endowmen bagi penyelidikan dalam bidang
keutamaan dan strategik termasuk membangunkan produk berinovatif untuk
pengkomersilan.
Menggalakkan Usahawan Teknologi dan Perusahaan Berasaskan Teknologi
1.32
Program Inkubator Teknologi akan dipertingkat untuk membangunkan
sebilangan usahawan teknologi tempatan dan syarikat berasaskan
teknologi yang mampan. Program ini akan dirangkumkan dalam strategi
yang lebih luas untuk mempertingkatkan penggunaan pengetahuan dan
teknologi baru yang dihasilkan oleh universiti dan institusi
penyelidikan. Memandangkan pembiayaan merupakan satu faktor utama ke
arah kejayaan, langkah akan diambil bagi memperbaik mekanisme dan akses
kepada pembiayaan. Bagi menggalakkan lagi inovasi, pemindahan teknologi
dan pengkomersilan, rangka kerja harta intelek (IP) yang sedia ada akan
diperkukuh untuk meningkatkan kemudahan sokongan IP serta memendekkan
proses kelulusan IP. Program pembangunan usahawan teknologi juga akan
digunakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk Masyarakat
Sains dan Teknologi Bumiputera.
Memperkasa Wanita dan Belia
1.33
Bagi terus memajukan wanita, lebih banyak peluang pendidikan dan
latihan akan disediakan bagi meningkatkan peluang untuk mereka mendapat
pekerjaan. Di samping itu, bagi menggalak penyertaan wanita dalam
perniagaan, akses kepada pembiayaan akan dipertingkat. Langkah juga
akan diambil untuk menambah penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak
dan menggalakkan waktu bekerja yang fleksibel bagi memudahkan
penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga buruh. Kerajaan akan
mengurangkan kadar kemiskinan terutama di kalangan isi rumah yang
diketuai oleh wanita. Dari segi keadilan gender, semua undang-undang
dan peraturan yang mempunyai potensi mendiskriminasi wanita akan dikaji
semula. Di samping itu, Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta dan
badan bukan kerajaan (NGO) akan terus mengambil langkah yang
bersesuaian dalam menangani keganasan terhadap wanita.
1.34
Program belia akan menumpu kepada kumpulan yang mudah terpengaruh
termasuk belia yang tercicir daripada sistem pendidikan dan yang
menganggur. Akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran akan
dipertingkat manakala program lain yang membina kepemimpinan, keyakinan
diri serta memupuk nilai murni seperti program Rakan Muda dan Khidmat
Negara akan diteruskan.
Menyemai Nilai Murni dalam Masyarakat
Memupuk Prestasi Tinggi
1.35
Membangunkan budaya berprestasi tinggi memerlukan pengukuran dan
penekanan prestasi dalam semua aspek. Sehubungan itu, lebih banyak
unsur berasaskan prestasi akan diterap ke dalam pelbagai bidang seperti
geran R&D, program pembangunan usahawan dan guna tenaga sektor
awam. Pendekatan berasaskan prestasi juga dijadikan aspek utama
memantau projek RMKe-9, termasuk pengukuran dan pengesanan KPI.
Menerapkan Penampilan Progresif serta Nilai Moral dan Beretika
1.36
Penampilan yang progresif serta moral, etika dan nilai murni akan
menjadi komponen utama dalam membangunkan modal insan. Program di bawah
Pelan Integriti Nasional (PIN) akan dilaksana secara lebih meluas
meliputi semua lapisan masyarakat. Selain itu, usaha untuk menggalakkan
Islam Hadhari sebagai asas kepada penampilan pembangunan yang progresif
akan dipergiatkan. Dalam sistem persekolahan, program j-QAF bagi
pelajar Islam akan diperluas ke semua sekolah rendah. Pendidikan Moral
akan diajar kepada semua pelajar. Mata pelajaran Sivik dan
Kewarganegaraan akan ditambah baik dan diperluas kepada semua murid
Tahun 4 hingga Tahun 6 dan semua peringkat pendidikan menengah. Di
peringkat komuniti, program yang memupuk semangat kesukarelaan akan
ditingkatkan dan NGO serta institusi keagamaan juga digalakkan untuk
memainkan peranan lebih penting bagi memupuk nilai positif.
TERAS 3: MENANGANI MASALAH KETIDAKSAMAAN SOSIOEKONOMI YANG BERTERUSAN SECARA MEMBINA DAN PRODUKTIF
1.37
Tempoh RMKe-9 akan memperlihatkan penekanan semula dalam menangani
ketidakseimbangan sosioekonomi. Jika dibiarkan, ketidaksamaan yang
berterusan akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan, menggugat
perpaduan nasional dan menjejaskan kestabilan sosial. Walau
bagaimanapun, pendekatan ke arah menangani ketidakseimbangan
sosiekonomi akan menumpu kepada bina upaya dan meningkatkan daya saing,
serta akan diperhalusi semula dengan mengambil kira pengalaman yang
dipelajari dalam pelaksanaan yang lepas serta tekanan daripada
persaingan global dan liberalisasi.
1.38
Pembasmian kemiskinan tegar dan pengurangan kemiskinan keseluruhan
menjadi keutamaan dalam tempoh Rancangan. Pengurangan ketidaksamaan
antara etnik dan intraetnik juga penting dan akan ditangani dengan
mengurangkan jurang antara luar bandar dengan bandar dan jurang antara
wilayah serta jurang dalam guna tenaga, pendapatan dan kekayaan.
Kumpulan khusus seperti warga emas, golongan kurang upaya, ibu tunggal
dan anak yatim akan terus diberi sokongan dan perhatian. Di samping
itu, dasar dan program terdahulu akan dikaji semula untuk menilai
keberkesanannya dan menambah baik impaknya pada masa depan.
Membasmi Kemiskinan
1.39
Tempoh RMKe-9 mensasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar dan
mengurangkan separuh daripada kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8
peratus menjelang tahun 2010. Bagi mencapai objektif ini, program yang
disasarkan kepada kumpulan miskin tertentu akan diteruskan, termasuk
kelompok kecil miskin bandar dan luar bandar dan Bumiputera di Sabah
dan Sarawak serta Orang Asli. Program sedia ada dan projek di bawah
Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat, Program Pembangunan Bersepadu
untuk Komuniti Bandar, Amanah Ikhtiar Malaysia dan pelbagai program
bina upaya akan dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan membawa
keluar isi rumah daripada belenggu kemiskinan. Program khusus akan
dilaksana untuk menangani kemiskinan di kalangan Bumiputera di Sabah
dan Sarawak di samping menangani kadar kemiskinan yang tinggi di
kalangan masyarakat Orang Asli. Walaupun penekanan menyeluruh dasar dan
program membasmi kemiskinan diberi kepada peningkatan keupayaan isi
rumah miskin supaya dapat berdikari dan dapat meningkatkan pendapatan
mereka, namun kumpulan seperti warga emas serta golongan kurang upaya
dan daif yang tidak mampu melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi akan
terus menerima bantuan kewangan.
1.40
Penyampaian dan pemantauan program pembasmian kemiskinan akan
dipertingkatkan bagi memastikan objektif dicapai dengan lebih berjaya.
Penyelarasan antara agensi pelaksana akan dipertingkat. Bagi tujuan
ini, satu pangkalan data kemiskinan negara akan diwujudkan untuk
menambah baik kualiti data dan maklumat berhubung isi rumah miskin dan
miskin tegar. Pangkalan data ini akan merangkumi daftar kemiskinan luar
bandar dan bandar dan menggunakan definisi kemiskinan yang sama.
Pangkalan data ini, ditambah dengan data yang dipungut daripada
pelbagai agensi kerajaan dan NGO, akan digunakan oleh semua agensi
pelaksana sebagai sumber data utama mengenai golongan sasar mereka.
Selain itu, pemetaan kemiskinan akan disediakan di kawasan bandar dan
luar bandar terpilih untuk membantu merangka program pembasmian
kemiskinan yang lebih baik.
Mengurangkan Jurang Pendapatan
1.41
Usaha bersepadu akan diambil bagi mengurangkan jurang pendapatan
memandangkan jurang pendapatan semakin melebar. Usaha untuk menambah
baik agihan pendapatan akan bertumpu kepada mengurangkan jurang
pendapatan antara kumpulan etnik Bumiputera dengan bukan Bumiputera,
antara luar bandar dengan bandar dan mempertingkatkan pendapatan isi
rumah kumpulan penduduk 40 peratus terendah. RMKe-9 bertujuan untuk
merapatkan jurang pendapatan antara Bumiputera dengan etnik Cina
daripada 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.50 pada tahun 2010 dan
antara Bumiputera dengan etnik India daripada 1:1.27 pada tahun 2004
kepada 1:1.15 pada tahun 2010. Dari segi jurang antara luar bandar
dengan bandar, RMKe-9 mensasarkan pengurangan nisbah pendapatan luar
bandar dengan bandar daripada 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2.0 pada
tahun 2010. Program bagi mengurangkan jurang pendapatan akan merangkumi
pelbagai spektrum1.
Mengurangkan Jurang Antara Wilayah
1.42
Bagi mengurangkan jurang antara kawasan luar bandar dengan bandar dan
antara wilayah yang kurang membangun dengan yang lebih membangun,
Kerajaan akan menambah peruntukan untuk pembangunan luar bandar serta
pembangunan negeri kurang membangun secara komprehensif. Penekanan yang
lebih akan diberi kepada pembangunan RGC yang bertumpu kepada
pembangunan tersusun koridor utara dan timur serta Sabah dan Sarawak.
RGC ini akan menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih
baik, dengan ini membantu pertumbuhan lebih banyak aktiviti ekonomi
yang mengambil faedah daripada kelebihan semula jadi setiap wilayah
tersebut seperti pembuatan berasaskan sumber, industri berasaskan kraf,
aktiviti hiliran berasaskan pertanian, dan ekopelancongan. Lembaga
kemajuan wilayah baru akan ditubuhkan untuk menyelaras dan melaksanakan
usaha ini terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Mengurangkan Jurang Guna Tenaga
1.43
Sebagai pendekatan utama dalam mengurangkan jurang pendapatan, RMKe-9
akan berusaha menambah baik penyertaan etnik dalam semua peringkat
pekerjaan dan sektor ekonomi supaya lebih mencerminkan komposisi etnik
penduduk. Selain langkah untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan
mendapat pekerjaan bagi kumpulan sasar, langkah juga akan diambil untuk
menggalakkan lebih banyak sokongan daripada majikan untuk menyediakan
peluang yang sama rata dan kepelbagaian kaum di tempat kerja. Program
akan dilaksana untuk menggalak lebih ramai Bumiputera yang berkelayakan
dalam kumpulan pekerjaan profesional, pengurusan dan teknikal serta di
sektor berasaskan pengetahuan seperti bioteknologi, ICT dan pembuatan
termaju. Pada masa yang sama, langkah akan diambil untuk
mempertingkatkan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam.
Mengurangkan Jurang Aset dan Kekayaan
1.44
Dalam tempoh RMKe-9, langkah akan diambil untuk mengurangkan jurang
pemilikan aset dan kekayaan di kalangan pelbagai kumpulan etnik di
dalam negara. Pemilikan ekuiti Bumiputera disasarkan mencapai antara 20
hingga 25 peratus menjelang tahun 2010 untuk mencapai sasaran
sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti menjelang tahun 2020. Di
samping itu, langkah akan diambil untuk meningkatkan pemilikan aset
Bumiputera dalam harta tanah kediaman dan komersil dan juga harta
intelek. Yayasan Amanah Harta Tanah Bumiputera dan Perbadanan UDA akan
menerajui usaha untuk meningkatkan pemilikan harta tanah Bumiputera di
kawasan bandar. Tanah dan harta tanah wakaf di bawah pihak berkuasa
agama Islam negeri akan dibangunkan untuk memanfaatkan potensinya serta
melahirkan usahawan baru. Langkah juga akan diambil untuk mengembangkan
perusahaan komersil Bumiputera yang berdaya saing terutamanya EKS.
1.45
Langkah bersesuaian juga akan diperkenalkan untuk meningkatkan
pemilikan ekuiti etnik India kepada 3.0 peratus menjelang tahun 2020.
Langkah juga akan diambil bagi menggalakkan keusahawanan dan latihan
kemahiran dalam komuniti India terutamanya golongan belia.
Membangunkan Usahawan Bumiputera Berdaya Saing
1.46
Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)
akan diteruskan sebagai pendekatan utama dalam menyusun semula
masyarakat dan memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih luas dalam
ekonomi. Fasa kedua program MPPB akan dilancarkan bertujuan
membangunkan usahawan Bumiputera yang berdikari, mampan dan berdaya
saing serta EKS Bumiputera yang mantap. Satu model pembangunan yang
baru akan diguna pakai yang bukan sahaja melihat kepada bilangan
usahawan Bumiputera yang dilahirkan tetapi lebih penting lagi, menumpu
kepada kualiti keseluruhan mereka dari segi produktiviti dan daya
saing. Keupayaan agensi amanah, GLC dan koperasi akan dipertingkatkan
untuk melaksanakan program MPPB dengan lebih berkesan. Penglibatan
usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan baru akan digalakkan.
Program pembangunan francais dan vendor akan diperkukuh. Pembangunan
usahawan luar bandar akan dilaksanakan secara lebih sistematik dan
berfokus berpandukan Pelan Induk Pembangunan Usahawan Luar Bandar.
Mengurangkan Jurang Digital
1.47
Untuk memastikan semua rakyat Malaysia menikmati faedah daripada
ekonomi berasaskan pengetahuan, usaha berterusan bagi merapatkan jurang
digital akan lebih dipergiatkan. Tumpuan dalam tempoh Rancangan adalah
untuk melaksanakan pelan infrastruktur bagi capaian sejagat ke Internet
dan menyediakan lebih banyak produk dan perkhidmatan ICT yang mampu
diperolehi. Rangka Kerja Strategik Kebangsaan bagi Merapatkan Jurang
Digital (BDD) akan dilaksanakan termasuk menubuhkan telecentre di
kawasan yang kurang menerima perkhidmatan, pengurangan tarif bagi
langganan telefon dan Internet serta penggalakan pemilikan komputer
peribadi. Telecentre sedia ada akan dinaik taraf kepada Pusat
Pengetahuan Komuniti yang akan menyediakan pelbagai aktiviti ekonomi
dan sosial kepada semua kumpulan. Bagi terus menggalakkan penggunaan
kemudahan dan perkhidmatan ICT, kandungan dan aplikasi dalam talian
yang khusus untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat akan
dipertingkat.
Mengkaji Semula Keberkesanan Program Terdahulu
1.48
Bagi memastikan dasar sosioekonomi memenuhi tujuan, penekanan akan
diberi untuk menambah baik keberkesanan program melalui perancangan,
pelaksanaan dan pemantauan yang lebih baik. Keberkesanan dan impak
program terdahulu akan dinilai manakala program masa depan akan
dilaksana berdasarkan merit dan keperluan. Sistem pelaksanaan juga akan
dikaji semula dan diperkukuh untuk memastikan hanya kumpulan sasar
sahaja akan menerima faedah serta untuk meminimumkan kebocoran. Semua
agensi Kerajaan dikehendaki memastikan dasar dan program yang
dilaksanakan menyumbang ke arah penyertaan dan agihan yang lebih
saksama.
TERAS 4: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAMPANAN KUALITI HIDUP
Memenuhi Keperluan Perumahan dan Menambah Baik Perkhidmatan Perbandaran
1.49
Perumahan merupakan satu keperluan asas sosial dan penyediaan rumah
yang mencukupi, berkualiti serta dimampui oleh semua kumpulan
pendapatan merupakan keutamaan negara. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan
akan terus menyediakan perumahan kos rendah melalui Program Perumahan
Rakyat manakala Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan melengkapi
usaha Kerajaan dengan membina lebih daripada 29,000 rumah kos rendah
dan sederhana rendah di kawasan bandar dan luar bandar. SPNB juga akan
membaik pulih lebih daripada 11,000 rumah. Usaha akan dipertingkat
untuk menggalakkan penggunaan Sistem Bangunan Industri dan reka bentuk
berasaskan konsep koordinasi bermodul dalam pembinaan rumah.
1.50
Undang-undang akan dikaji semula bagi menggalakkan sektor swasta
menyediakan rumah kos rendah. Langkah ini termasuk memberi lebih
kelonggaran ke atas kuota rumah kos rendah serta mempercepat proses
kelulusan dan pembinaan. Sistem pendaftaran dan pengagihan rumah kos
rendah akan diperbaiki bagi memastikan pengagihan yang teratur kepada
kumpulan sasar yang sebenar.
1.51
Selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mempertingkat penyampaian
perkhidmatan awam, pembaharuan dalam pihak berkuasa tempatan akan
dilaksana untuk menyediakan perkhidmatan bandar yang cekap dan
berkualiti. Langkah yang diambil termasuk melaksanakan sistem KPI untuk
memantau dan memperbaik prestasi perkhidmatan. Penggunaan ICT juga akan
dipertingkat untuk menambah baik kecekapan pengendalian. Dasar
Pembandaran Nasional akan digubal untuk membantu perancangan dan
pelaksanaan perkhidmatan perbandaran di dalam negara.
Menambah Baik Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
1.52
Kerajaan akan terus menyediakan kemudahan dan melaksanakan program
untuk menambah baik status kesihatan penduduk, khususnya di peringkat
penjagaan primer. Kemudahan sedia ada akan dinaik taraf manakala
kemudahan baru akan dibina bagi menyediakan pakej perkhidmatan yang
menyeluruh. Perkhidmatan pencegahan, penyaringan dan pengesanan awal
akan dipertingkat untuk mengurangkan beban penyakit serta kos rawatan
dan penjagaan pemulihan. Perkhidmatan penjagaan kesihatan primer,
sekunder dan tertiari akan digabung melalui satu sistem rujukan yang
cekap dan berkesan, bagi menyediakan sistem yang bersepadu untuk
manfaat pesakit. Bagi tujuan ini, sistem maklumat seluruh 39 negara
akan diperkenal untuk membolehkan akses kepada maklumat kesihatan
pesakit yang menepati masa dan terjamin. Kerajaan akan turut
menggalakkan konsep kesejahteraan sepanjang hayat dan mengambil
pendekatan proaktif untuk penjagaan kesihatan melalui inisiatif
meningkatkan kesedaran seperti penubuhan Pusat Promosi Kesihatan
Komuniti di semua klinik kesihatan. Pencegahan dan kawalan penyakit
berjangkit akan diberi penekanan melalui inisiatif seperti penubuhan
Pusat Penyakit Berjangkit di Sungai Buloh, Selangor. Di samping itu,
Kerajaan mensasarkan untuk membasmi penyakit malaria, demam kepialu dan
batuk kering menjelang tahun 2010.
1.53
Pembangunan sumber manusia akan diberi keutamaan tinggi bagi menangani
kekurangan meruncing anggota dalam pelbagai kategori perubatan dan
kesihatan. Sehubungan ini, latihan bagi anggota perubatan dan kesihatan
akan dipertingkatkan dan diperkembang. Inisiatif pembangunan
profesional yang berterusan untuk memenuhi keperluan penjagaan di
peringkat yang lebih tinggi dan dalam bidang kepakaran baru juga akan
dipertingkatkan. Kerajaan akan menambah baik terma dan syarat
perkhidmatan bagi terus menarik dan mengekalkan anggota kesihatan.
1.54
Bagi meningkatkan kualiti dan tahap profesionalisme, lebih banyak
hospital akan digalakkan untuk memperoleh Sijil Akreditasi Hospital. Di
samping itu, undang-undang mengenai kesihatan yang berkaitan akan
disemak semula dan undang-undang baru digubal untuk mengawal selia
sektor kesihatan dengan lebih baik. Langkah ini termasuklah penggubalan
undang-undang untuk kawal selia amalan perubatan tradisional dan
komplementari secara selamat dan teratur.
Menambah Baik Sistem Pengangkutan
1.55
Pembangunan sistem pengangkutan bandar akan menumpu kepada penyediaan
sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan cekap. Pengangkutan awam di
Lembah Klang akan dinaik taraf dan diperluas, dan suruhanjaya
pengangkutan awam di Lembah Klang yang khusus akan ditubuhkan untuk
menyelia usaha penambahbaikan. Dua buah terminal pengangkutan bersepadu
di Gombak dan Bandar Tasik Selatan akan dibina sebagai hab persinggahan
ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selain itu, dalam usaha
mengurangkan kesesakan bandar di kawasan lain, projek utama seperti
monorel, jalan lingkaran luar dan jambatan kedua di Pulau Pinang, dan
Lingkaran Penyuraian Lalu Lintas Johor Timur akan dilaksanakan. Satu
suruhanjaya kebangsaan akan ditubuh bagi mengawal selia pembangunan
sistem pengangkutan awam di bandar secara teratur dan mampan. Program
pembangunan jalan akan menumpu kepada menambah baik akses kepada
kawasan kurang membangun terutamanya RGC dan kawasan yang berpotensi
bagi pelancongan.
1.56
Infrastruktur rel akan dinaik taraf dan sistem komunikasinya akan
dimodenkan bagi meningkatkan kecekapan pengendalian dan daya tarikan
pengangkutan rel sebagai satu cara pengangkutan bagi penumpang dan
barang. Bagi tujuan ini, langkah yang akan diambil termasuk membina
landasan berkembar di laluan utama terpilih, membaik pulih landasan dan
stesen serta membaiki dan membeli lokomotif dan gerabak. Landasan baru
juga akan dibina bagi menghubungkan kawasan perindustrian baru seperti
Tanjung Malim di Perak. Bagi sektor penerbangan, lapangan terbang
termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan diperbesar dan
dinaik taraf untuk menampung jangkaan pertambahan jumlah penumpang dan
kargo. Peralatan kawalan trafik udara juga akan dinaik taraf bagi
mengendalikan jangkaan peningkatan kekerapan penerbangan.
Menambah Baik Bekalan Tenaga yang Mencukupi dan Mampan
1.57
Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, Kerajaan akan terus memastikan
bekalan tenaga yang mencukupi, terjamin, andal, berkualiti dan berkesan
dari segi kos. Bagi tujuan ini, penjanaan dan rangkaian penghantaran
elektrik akan terus dibangunkan. Projek bekalan elektrik luar bandar
akan dipergiat terutama di Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun,
penekanan akan diberi terhadap usaha untuk mempelbagai sumber tenaga
dan meningkatkan kecekapan tenaga. Pergantungan yang tinggi kepada
produk petroleum akan dikurangkan dengan menggalakkan penggunaan bahan
api alternatif. Penggunaan biofuel akan digalakkan manakala usaha
R&D dalam pengeluaran biodiesel akan diberi sokongan penuh. Sumber
tenaga boleh diperbaharu yang lain seperti tenaga suria akan terus
dibangunkan. Penggunaan tenaga yang cekap akan dipergiat dalam sektor
perindustrian, pengangkutan dan komersil serta di bangunan kerajaan.
Mempertingkatkan Sistem Pembekalan Air
1.58 Tumpuan utama dalam sektor utiliti adalah untuk meningkatkan kualiti
dan sistem bekalan air yang terjamin.
Sehubungan ini, infrastruktur bekalan air seperti muka sauk, loji
rawatan dan empangan akan dibina dan dinaik taraf. Di samping itu,
projek utama seperti Projek Penyaluran Air Mentah Antara Negeri dari
Pahang ke Selangor akan dilaksanakan. Penguatkuasaan yang lebih tegas
dan pemulihan rangkaian pengagihan akan dilaksana untuk mengurangkan
kadar air tidak terhasil daripada 38 peratus pada tahun 2005
kepada 30 peratus menjelang tahun 2010.
Penekanan juga akan diberi dalam meningkatkan liputan bekalan air ke
kawasan luar bandar. Bagi memastikan bekalan air yang berterusan, usaha
pemuliharaan bekalan air akan digalak melalui program meningkatkan
kesedaran. Suruhanjaya Pengurusan Air Negara akan memulakan operasinya
dalam tempoh Rancangan bagi mengawal selia sistem bekalan air dan
perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia. Sasaran kawal selia
bekalan air adalah untuk meningkatkan taraf perkhidmatan dan prestadi
industri air dan pembentungan.
Menggalakkan Perlindungan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Secara Mampan
1.59
Pengawasan alam sekitar akan terus diberi penekanan oleh Kerajaan untuk
memastikan keseimbangan optimum antara keperluan pembangunan dengan
pemuliharaan alam sekitar. Fokus yang lebih akan diberi kepada langkah
pencegahan di puncanya bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam
sekitar, mengurangkan aktiviti haram terhadap alam sekitar serta
mempergiatkan usaha pemuliharaan untuk mengurus sumber alam secara
mampan.
Kualiti udara dan air akan dipantau rapi
dan langkah akan diambil bagi memastikan pencemaran diminimumkan. Ini
termasuk memperkenalkan peraturan dan piawai pelepasan yang lebih
ketat, menambah baik sistem pembetungan awam serta menggalakkan
penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih. pelepasan yang lebih ketat,
menambah baik sistem pembetungan awam serta menggalakkan penggunaan
sumber tenaga yang lebih bersih.
1.60
Penggunaan sumber tanah akan dioptimumkan dengan mengguna pakai
pendekatan pembangunan secara spatial. Usaha akan dipergiat bagi
melindungi dan mengoptimumkan penggunaan biodiversiti. Aktiviti R&D
akan dipergiat bagi mempermudah pengenalpastian potensi biologi dan
menggalakkan penjanaan kekayaan daripada sumber biodiversiti negara
yang mewah. Di samping itu, hutan bakau dan habitat pesisir pantai yang
lain akan dipulihkan untuk mengurangkan kesan hakisan pantai dan
tsunami serta memastikan bekalan sumber yang berterusan.
Mempergiat Peranan Budaya, Seni dan Warisan dalam Masyarakat
1.61
Peranan budaya, seni dan warisan akan dipergiatkan. Fokus akan diberi
ke arah usaha menyemai nilai budaya yang positif dan meningkatkan
apresiasi terhadap budaya, seni dan warisan di kalangan semua lapisan
masyarakat; membangunkan industri kebudayaan kreatif serta industri
kraf; dan membangunkan modal insan dalam bidang berkaitan bagi
memastikan pembangunan budaya, seni dan warisan negara yang mampan dan
berterusan. Perhatian yang lebih akan diberi kepada usaha pemuliharaan
dan pemeliharaan produk warisan. Kerajaan akan bekerjasama secara erat
dengan sektor swasta dan masyarakat sivil bagi melaksanakan program dan
aktiviti yang berkaitan demi kepentingan rakyat.
Membina Kecemerlangan Kesukanan dan Gaya Hidup Sihat
1.62
Bagi mewujudkan budaya bersukan di kalangan rakyat Malaysia, pelbagai
program sukan untuk orang ramai akan dilaksanakan, termasuk program
pembangunan kecergasan dan aktiviti luar. Sehubungan ini, sejumlah
24,000 tenaga pengajar akan dilantik dan dilatih untuk membantu
pelaksanaan program tersebut. Kemudahan sukan sedia ada di peringkat
negeri dan daerah akan dinaik taraf atau diperbesar bagi menarik lebih
banyak penyertaan dalam acara sukan. Di samping itu, Kompleks Sukan
Komuniti akan dibina bagi memudahkan penganjuran sukan dan aktiviti
berkaitan komuniti. Sektor swasta juga akan digalakkan untuk menyedia
kemudahan sukan dan rekreasi untuk kegunaan masyarakat umum. Tumpuan
juga akan diberi kepada penyenggaraan kemudahan tersebut.
1.63
Kapasiti dan kecekapan persatuan sukan akan dipertingkat. Bagi mencapai
kecemerlangan sukan, inisiatif seperti Program Pembangunan Bakat akan
dilaksanakan bagi menyedia latihan kepada 14,570 atlit berpotensi dalam
37 jenis sukan. Inisiatif berkaitan sukan dan infrastruktur di sekolah
akan dipertingkat bagi mewujudkan asas yang lebih baik untuk memupuk
dan membangun atlit dalam bidang sukan berprestasi tinggi.
TERAS 5: MENGUKUHKAN KEUPAYAAN INSTITUSI DAN PELAKSANAAN
Menggalakkan Tadbir Urus yang Baik
1.64
Dalam tempoh Rancangan, pelaksanaan PIN akan dipergiat bagi
meningkatkan tahap integriti dalam sektor awam dan swasta. Institut
Integriti Malaysia (IIM) akan bekerjasama dengan organisasi sektor
swasta dan NGO untuk menganjurkan program berkaitan integriti. Agensi
seperti IIM juga akan diwujudkan di peringkat negeri bagi membantu
pelaksanaan PIN.
1.65
Tadbir urus yang baik di sektor korporat akan terus digalakkan.
Sehubungan ini, institusi kawal selia akan berusaha untuk memupuk dan
mempertingkat tadbir urus korporat dengan mengkaji semula peraturan,
undang-undang dan Rangka kerja perundangan yang berkaitan.
Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang akan juga dipertingkatkan.4
Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam
1.66
Kerajaan beriltizam untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam
kerana ia merupakan satu prasyarat asas bagi mencapai Misi Nasional.
Sehubungan ini, Kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kerenah
birokrasi terutamanya di peringkat pihak berkuasa tempatan dan daerah.
Proses dan prosedur kerja serta undang-undang akan dirombak dan
diperkemas, manakala lebih banyak pusat keputusan akan ditubuhkan bagi
membolehkan keputusan dibuat dengan lebih berkesan dan cepat. ICT juga
akan dimanfaatkan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan Kerajaan
dan penyampaian perkhidmatan. Ini termasuk projek e-Tanah yang dijangka
mempertingkatkan proses pentadbiran tanah melalui penggunaan teknologi
secara bersepadu.
1.67
Sistem KPI akan dilaksanakan bagi memantau dan mengukur prestasi System
penyampaian perkhidmatan awam dan akan diguna pakai oleh kebanyakan
agensi menjelang tahun 2010. Selain daripada laporan yang disusun oleh
Jawatankuasa Kira-kira Awam dan Ketua Audit Negara, prestasi
penyampaian perkhidmatan awam oleh pelbagai kementerian dan agensi
kerajaan akan dipantau melalui sistem penarafan, pemeriksaan dan audit
yang sistematik. Biro Pengaduan Awam akan turut mengendalikan maklum
balas dan aduan daripada orang ramai berkaitan prestasi penyampaian
perkhidmatan awam.
1.68
Memandangkan kewujudan pasukan polis yang kuat memainkan peranan
penting dalam mengekalkan keselamatan awam, Kerajaan akan memastikan
operasi Polis Diraja Malaysia dipertingkat dan disokong dalam tempoh
Rancangan. Di samping itu, langkah akan diambil bagi mempertingkatkan
keupayaan dan kesediaan pasukan keselamatan negara.
Menggalakkan Pembangunan menerusi Kerjasama Antarabangsa
1.69
Kerjasama antarabangsa antara Malaysia dengan rakan pembangunannya akan
diperkukuh termasuk melalui kerjasama teknikal dengan negara Selatan.
Usaha ini adalah selaras dengan ‘dasar memakmurkan jiran’, di mana
Malaysia melalui Program Kerjasama Teknik Malaysia akan menyokong
pembangunan perkongsian pintar bagi menggalakkan semangat berdikari
yang lebih tinggi di kalangan negara membangun. Malaysia telah
menerajui program bina upaya di kalangan Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC) untuk menggalak negara anggota OIC yang lebih membangun membantu
negara yang
kurang membangun dalam usaha pembangunan
mereka. RMKe-9 akan memperluas bidang kerjasama teknikal dan ekonomi
sedemikian, termasuk memudahkan penyertaan sektor swasta dan
memperhalusi program sedia ada untuk memenuhi keperluan negara peserta
yang sentiasa berubah.
1.70
Malaysia akan meneruskan dasar kerjasama pembangunan dan memperkukuh
hubungan politik dan ekonomi dengan negara jiran dan negara rakan
secara dua hala dan melalui kumpulan serantau seperti ASEAN, Sidang
Kemuncak Asia Timur dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, serta melalui
pertubuhan pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, OIC,
Pergerakan Negara Berkecuali dan Komanwel. Kerjasama antarabangsa
sedemikian akan terus giat digalakkan supaya mewujudkan sistem
antarabangsa yang lebih adil dan saksama serta untuk mencapai matlamat
negara dan melindungi kepentingan negara sebagai sebuah ekonomi
perdagangan yang terbuka
III : PENUTUP
1.71 RMKe-9 mengkaji semula dasar dan strategi yang telah sedia wujud, mencadangkan perubahan dalam pendekatan pembangunan dan memperkenal inisiatif dasar baru. Sebagai langkah permulaan, pencapaian dasar dan strategi dalam tempoh Rancangan adalah penting untuk merealisasikan Misi Nasional. Pelaksanaan RMKe-9 dengan penuh keazaman dan lebih berfokus akan memperkukuh asas negara, membina lagi kejayaan atas pencapaian Malaysia masa lalu, menumpukan usaha negara kepada lima teras utama Misi Nasional, dan seterusnya mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008