PELANCARAN DAN PERASMIAN ISLAM HADHARI PENGURUSAN NEGARA ISLAM
UCAPAN
YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
PELANCARAN DAN PERASMIAN
ISLAM HADHARI PENGURUSAN NEGARA ISLAM
DI DEWAN KOMPLEKS BELIA, SHAH ALAM
30 JANUARI 2004, JAM 9.15 PAGI
-------------------------------------------------------------------
YAB Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo
Menteri Besar Selangor
YBhg. Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman
Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri
YBhg. Dato’ Mustapha Mohamed
Penasihat Jawatankuasa Induk Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
1. Saya memanjatkan sebanyak-banyak syukur kepada Allah S.W.T kerana
dengan izin dan inayahNya dapat kita bersama-sama berkumpul di pagi
Jumaat yang mulia ini untuk menyaksikan pelancaran Islam Hadhari
Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.
2. Sejak dari negara kita mencapai kemerdekaan, Islam telah diberikan
tempat yang sungguh istimewa dengan perlembagaan persekutuan
menjadikannya sebagai agama rasmi negara. Sejarah selepas itu telah
memaparkan kepada kita bahawa Kerajaan telah memainkan peranan yang
besar di dalam memartabatkan Islam sesuai dengan kedudukannya yang
sungguh istimewa itu.
3. Institusi pendidikan Islam membangun dengan pesatnya, dengan
terbinanya sekolah menengah kebangsaan agama di seluruh negara,
kolej-kolej Islam, kolej universiti Islam dan seterusnya universiti
Islam dan ini adalah bukti yang jelas bahawa pendekatan kerajaan adalah
amat dinamik. Lebih penting, sesuai dengan tradisi Ibnu Sina dan
al-Khawarizmi sistem pendidikan tinggi Islam negara kita juga
menawarkan kursus-kursus ijazah perubatan dan kejuruteraan yang
berasaskan kepada teknologi yang memberikan gambaran bahawa Islam bukan
sahaja undang-undang atau ibadat khusus tetapi sesungguhnya merupakan
satu peradaban.
4. Selain dari itu dari aspek ekonomi dan kewangan Kerajaan Malaysia
telah mempelopori satu kerangka kewangan Islam, samaada berasaskan
kepada sistem pembankan, sistem insurans dan bon Sukuk Islam yang bukan
sahaja menepati dengan kehendak-kehendak syara’ tetapi amat kompetitif
dari segi produknya dan mula diterima dan diiktiraf di peringkat
antarabangsa. Inilah sebenarnya makna pembangunan.
5. Masaalah umat Islam di Malaysia hari ini ialah masaalah tafsiran
Islam yang tidak tepat dan kegagalan membuat penyusunan keutamaan atau
awlawiyyat. Sebagai contohnya, ada kalangan ummat Islam yang hanya
melihat Islam dari sudut undang-undang dan oleh itu menjadi terlalu
obsessed dengan keperluan untuk membentuk masyarakat hanya dari sudut
perundangan. Obsesi ini menyebabkan mereka terlalu ghairah bukan untuk
berdakwah tetapi untuk menghukum. Ada juga golongan lain pula melihat
Islam dari sudut politik semata-mata dan meminggirkan
keutamaan-keutamaan lain yang lebih penting untuk didahulukan.
6. Apabila keadaan ini berlaku, Islam tidak lagi dilihat sebagai satu
agama yang syumul dan lengkap tetapi daripada perspektif yang sempit
dan ini lah sebenarnya yang mengakibatkan ummat Islam menjadi lemah dan
terpinggir daripada arus pembangunan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita telah dan akan
sentiasa memberikan penekanan kepada dimensi sosial dan peradaban dan
mengimbangkannya dengan aspek-aspek yang lain di dalam Islam. Kita
menghormati undang-undang tetapi di dalam masa yang sama kita juga
memberikan penekanan kepada dakwah dan penerangan. Kita berpolitik
tetapi kita tidak akan membiarkan kepentingan politik kita mengatasi
kepentingan ummat Islam atau kesejahteraan negara Islam. Tidak
sekali-kali kita taksub dengan politik kepartian kita sehingga kita
mengorbankan nasib rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan kita.
8. Oleh itu saya melihat Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari
ini amat penting sebagai satu wadah untuk menerangkan konsep, makna,
tafsiran Islam yang berimbang dengan memberikan penekanan kepada
susunan awlawiyyat. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian
dikemudiankan. Negara akan menjadi huru hara jika sesuatu kerajaan yang
terlalu ta’sub dengan sesuatu dimensi Islam seperti pendekatan
undang-undang memberikan penekanan kepada dimensi tersebut sehingga
mengabaikan tugas yang lebih penting untuk membasmikan kemiskinan,
membangun sistem pendidikan dan ekonomi dan menggalakkan tradisi ilmu.
9. Oleh itu kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang
memberikan penekanan yang seimbang. Islam Hadhari adalah Islam yang
berasaskan kepada pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban.
Islam Hadhari juga adalah mengamalkan Islam sebagai satu pegangan yang
memberikan fokus kepada mempertingkatkan mutu kehidupan samaada dari
segi ilmu, pembangunan fizikal dan insan, kesihatan, sistem ekonomi dan
kewangan.
Islam Hadhari Berasaskan Ilmu
10. Tetapi saya suka mengingatkan bahawa Islam Hadhari tidak terbina di
atas satu vakum. Kita perlu menyediakan asas yang kukuh untuk
memastikan bahawa peradaban yang hendak kita bina ini akan terus kukuh.
Asas yang penting di dalam pendekatan Islam Hadhari ialah ilmu.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Sejarah Islam telah juga memaparkan kepada kita bagaimana
tokoh-tokoh cendiakawan Islam yang lain seperti Ibnu Rusyd, al-Farabi,
al-Biruni dan ramai lagi yang bukan sahaja telah memberikan sumbangan
kepada masyarakat kontemporari masing-masing tetapi meninggalkan
khazanah dan gedung ilmu yang masih digunakan sampai ke hari ini.
Al-Biruni sebagai contoh, bukan sahaja seorang pakar astronomi tetapi
juga mahir di dalam bidang-bidang fizik, matematik, perubatan, geologi
dan bahasa.
12. Amat benarlah janji Allah di dalam al-Quran bahawa orang-orang yang
berilmu samaada berhubung dengan dunia atau akhirat, soal fardhu ain
atau kifayah adalah istimewa kedudukan mereka jika dibandingkan dengan
golongan yang lain sebagaimana firman Nya:-
“Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga
orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat”. [Surah
al-mujadalah: 11]
13. Oleh itu sesuai dengan konsep Islam Hadhari yang dipelopori oleh
kerajaan ini, saya ingin melihat khususnya di antara generasi baru
masyarakat Islam yang berilmu dan berimbang. Marilah bersama-sama kita
memberikan penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan, menjadi lebih
kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrumen yang
boleh membantu ummat tanpa mengira agama dan bangsa. Saya juga ingin
melihat ramai lagi anak-anak muda Islam yang memenangi hadiah, anugerah
dan pengiktirafan antarabangsa di dalam kreativiti sains, teknologi dan
perubatan kerana inilah sebenarnya Islam Hadhari. Bahkan tidak
keterlaluan untuk dikatakan di sini bahawa Islam lah yang mendorong
tokoh dan cendiakawan Islam di zaman silam untuk menjadi lebih tekun di
dalam penyelidikan mereka.
14. Suka saya menyatakan bahawa sebagai Perdana Menteri, saya merasa
bangga dengan pencapaian syarikat petroliam nasional PETRONAS dengan
usaha-usaha carigali mereka di luar negara yang telah mendapat pujian
dan sanjungan daripada beberapa pemimpin antarabangsa yang sempat saya
temui. Kebolehan dan kepakaran profesional PETRONAS amatlah dibanggakan
dan ini juga satu contoh daripada Islam Hadhari. Tahniah dan syabas
saya ucapkan kepada mereka yang terbabit samaada secara langsung atau
tidak langsung.
Islam Hadhari Berasaskan Kepada Pembangunan Holistik
15. Keduanya, Islam Hadhari memberikan penekanan secara menyeluruh dan
holistik. Pembangunan yang dimaksudkan di dalam konteks Islam Hadhari
ialah yang menyentuh persoalan-persoalan pertanian, bio-teknologi, ICT
dan lain-lain bidang yang menjadi kewajipan bersama. Di dalam Islam ini
di namakan fardhu kifayah. Sebagai contohnya jika seorang pakar
penyelidikan dan perubatan Islam telah menemui antidot kepada wabak
SARS atau selsema burung yang memberikan manfaat kepada seluruh
masyarakat dunia maka semua masyarakat Islam adalah terlepas dari dosa.
16. Oleh itu Islam Hadhari bukan lah Islam yang terpisah atau Islam
yang dijuzukkan kepada satu aspek dan diberikan gambaran itu lah Islam
yang sebenarnya. Kita tidak akan berlaku adil kepada Islam jika kita
memberikan tafsiran yang salah dan sempit terhadap Islam yang
sebenarnya.
17. Oleh itu saya mengharapkan dan mendoakan agar Seminar Percambahan
Pemikiran Islam Hadhari ini dapat membuka minda kita, membantu kita
berfikir di luar kotak dan memperkukuhkan lagi pegangan kita terhadap
ajaran Islam yang suci. Marilah kita merenung sejenak, dan mula melihat
Islam bukan sahaja dari aspek perundangan, politik, usuludin sahaja
tetapi daripada aspek yang menyeluruh.
18. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya melancarkan
Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.
Sekian, Wassalamu alaikumhi Warahmatullahi Wabarakatuh.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008