Jangan asyik berpolitik
Walaupun Pilihan raya Umum ke-12 sudah berakhir hampir tiga bulan lalu, namun arena politik negara masih belum sepi daripada kisah-kisah politik. Ada yang merimaskan, ada yang menggembirakan dan ada pula yang mendukacitakan. Selain isu bahawa pakatan pembangkang akan menubuhkan kerajaan menjelang September, keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO dan langkah bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Ezam Mohd.Noor menyertai semula UMNO turut mendapat perhatian.
Sudah pastilah di dalam bulan ini, isu politik akan terus berkumandang apatah lagi UMNO akan berhadapan dengan pemilihan parti. Sekarang inipun sudah timbul pelbagai isu termasuk perbalahan antara pemimpin-pemimpin tertentu di media sehingga memungkinkan mereka berhadapan dengan tindakan disiplin.
Tiada sesiapapun dapat memastikan bilakah arena politik negara akan kembali tenang. Berakhirnya sesi penggal pertama sidang Parlimen bukan bermakna semua akan kembali reda, masih banyak lagi isu politik yang akan terus diperkatakan atau sengaja dibangkitkan bagi memanaskan keadaan.
Apapun ahli-ahli politik tidak kira dari parti mana sekalipun perlu memahami bahawa rakyat sedang memerhati gelagat mereka. Tidak kisahlah mereka mahu menjadi badut di Parlimen atau menjadi wira dalam parti mereka, apa yang pasti rakyat kini sedang berhadapan dengan krisis yang lebih besar iaitu kenaikan harga minyak dunia dan harga barang makanan.
Di mana-mana sahaja rakyat sedang mengeluh, kos sara hidup semakin tinggi. Rakyat kini semakin tersepit dan menanti apakah langkah yang akan dilakukan oleh ahli-ahli politik bagi membela mereka. Tetapi malangnya, ahli-ahli politik lebih banyak bercakaran.
Ahli-ahli Parlimen yang bersidang sebahagian besarnya seolah-olah tidak mahu merasai denyut nadi jeritan rakyat. Mereka lebih suka membangkitkan isu-isu remeh yang dilihat semata-mata untuk meraihkan populariti. Ada pula ahli Parlimen yang dilihat hanya sekadar datang untuk bersidang sahaja.
Di luar Parlimen pula, masih ramai ahli-ahli politik yang lebih gemar untuk bercakap mengenai soal politik. Mereka bercakaran sesama sendiri dan ada antaranya mahu tindakan diambil ke atas kawan sendiri. Selain itu ada pula masih terkejar-kejar ke hulu hilir, mengadakan pertemuan siang dan malam di seluruh negara bagi mendapat sokongan bagi pemilihan parti.
Lebih buruk lagi, ada pula politikus yang masih dengan impian indahnya untuk merebut kuasa melalui 'pembelotan' ahli-ahli Parlimen.
Ahli politik ini membuat kenyataan-kenyataan termasuklah kepada media asing kononnya usaha untuk mewujudkan kerajaan baru semakin hampir.
Semua ini hakikatnya menunjukkan dengan jelas bahawa belum ada komitmen yang benar-benar jitu untuk bersama-sama rakyat berhadapan dengan krisis kos sara hidup yang sedang mereka alami.
sindrom 'terkejut'Ahli-ahli politik seolah-olah sibuk dengan dunia politik mereka walaupun pilihan raya umum sudah berakhir pada 8 Mac. Bagaimanapun apa yang agak melegakan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan harga petrol naik seperti mana digembar-gemburkan serta memberi jaminan perstrukturan semula subsidi minyak yang bakal dilakukan akan memastika hanya mereka yang benar-benar layak menikmatinya.
Kenyataan itu sudah tentulah mampu meredakan kegelisahan rakyat buat seketika tetapi ini belum mampu menghapuskan rasa muak rakyat melihat telatah ahli-ahli politik yang seolah-olah dilanda sindrom 'terkejut' selepas pilihan raya.
Berikutan sindrom itulah mereka terus berpolitik sepanjang masa, apatah lagi bagi ahli-ahli politik yang mencapai kejayaan di luar dugaan, manakala bagi ahli politik yang tidak menduga akan kalah pula ada yang sesetengah 'senyap dan sunyi' dan ada pula terus bercakap serta membuat kenyataan bagi memberi isyarat kepada dunia politik bahawa 'aku masih wujud.'
Berdasarkan kepada situasi-situasi ini adalah wajar, semua ahli politik tanpa mengira parti kembalilah kepada rakyat. Mereka harus menumpukan perhatian bagi membela nasib rakyat yang ketika ini amat memerlukan satu formula bagi mengurangkan bebanan hidup mereka.
Dalam soal membela nasib rakyat ini, ahli-ahli politik terutamanya yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan sepatutnya bersatu bagi memberi tekanan kepada kementerian tertentu supaya memerhatikan dengan serius kenaikan harga barang yang dialami oleh rakyat sekarang.
Mereka tidak harus membiarkan kementerian-kementerian yang terlibat membuat kenyataan-kenyataan yang sekadar untuk menyedap hati rakyat sahaja sedangkan realitinya di peringkat akar umbi, rakyat sedang bertarung dengan kos hidup yang meningkat.
Adalah tidak wajar jika rakyat terus dibiarkan seolah-olah bersendirian bagi menghadapi situasi getir ini sedangkan ketika pilihan raya umum lalu, pelbagai janji ditaburkan malah ada yang sanggup tinggal di rumah setinggan semata-mata untuk meraih undi tetapi apabila sudah menjadi wakil rakyat jerit pekik rakyat seolah-olah dilupakan.
Rakyat ingin melihat satu langkah konkrit yang dilakukan oleh ahli-ahli politik bagi membela mereka.
Apa yang berlaku di beberapa negara berikutan kenaikan kos sara hidup harus memberi peringatan kepada ahli-ahli politik bahawa rakyat mampu memberontak apabila mereka merasakan hidup terus tertekan.
Di zaman yang dianggap segala-galanya telus dan terbuka serta rakyat seolah-olah mempunyai kebebasan yang menakjubkan, tidak mustahil demonstrasi jalanan boleh berlaku lagi di negara ini.
Apatah lagi jika ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan bagi meraih populariti dan memburuk-burukkan kerajaan.
Ketika mengulas telatah ahli-ahli politik sekarang, Pensyarah kanan politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak bersetuju dengan pandangan bahawa ahli politik kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada politik dalam parti dan usaha untuk merebut jawatan.
Menurut beliau, seharusnya selepas tiga bulan pilihan raya berlalu langkah- langkah berpolitik ini dikurangkan kerana tumpuan harus diberikan kepada usaha membela nasib rakyat termasuklah merangka strategi bagi menstabilkan keadaan ekonomi sekarang.
"Apa yang dilakukan oleh ahli politik sekarang tidak menguntungkan rakyat yang ketika ini amat menantikan pembelaan bagi membolehkan mereka berhadapan dengan kos hidup yang meningkat," katanya ketika dihubungi.
Oleh itu kata Dr.Mohamed Mustafa, fokus utama sekarang ialah kepada masalah pembangunan negara dan membantu rakyat.
Ini termasuklah bagaimana hendak membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang baru sahaja menamatkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi.
''Sebenarnya tidak salah untuk mereka terus berpolitik tetapi jangan sampai mengenepikan kepentingan rakyat. Mereka harus mengutamakan rakyat apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana kos sara hidup terus meningkat. Saya bimbang jika ahli politik terus berpolitik sepanjang masa, ia akan menyebabkan mereka dilihat hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya memperjuangkan nasib rakyat," katanya.
Selain itu, kata Dr.Mohamed Mustafa, ketidakstabilan politik harus diselesaikan segera terutamanya melibatkan keadaan di lima negeri yang ditawan oleh pembangkang. Ia kerana setakat ini, parti yang memerintah belum menunjukkan arah tuju yang jelas sama ada dari segi pembangunan ekonomi mahupun kaum.
Kesan''Pelabur-pelabur asing yang ada kepentingan di negeri-negeri ini, ingin tahu apakah kerajaan pusat akan memainkan peranan mereka di negeri-negeri itu, semua ini perlu dijelaskan," katanya.
Beliau berpendapat, kestabilan di kelima-lima negeri berkenaan adalah penting kerana ia turut mempunyai kesan kepada hala tuju negara.
Seharusnya tumpuan kini harus beralih kepada usaha membantu rakyat. Masih terdapat seribu satu masalah yang dihadapi oleh rakyat negara ini dan kesemuanya memerlukan perhatian ahli-ahli politik.
Mungkin dari satu segi kita boleh menerima hakikat bahawa apa yang terjadi sekarang akibat tsunami politik yang berlaku tetapi ahli-ahli politik harus segera sedar bahawa mereka dipilih oleh rakyat dan harus berjuang untuk rakyat.
Rakyat dikatakan melakukan kejutan dalam pilihan raya umum lalu kerana ingin melihat perubahan.
Mereka juga bertindak demikian dengan harapan apabila ada pembangkang yang kuat nasib mereka akan terbela.
Tetapi ternyata setakat ini impian itu hanya tinggal impian, pembangkang yang sebelum ini menaburkan begitu banyak 'gula-gula' ketika pilihan raya seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa selain membawa sekelompok orang menyambut hari jadi di Bangunan Parlimen.
Di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang pula, parti memerintah lebih banyak membuka fail lama bagi 'memburu' apa yang didakwa kesalahan kerajaan yang terdahulu.
Mereka tidak menumpukan perhatian kepada usaha bagi menunaikan janji-janji pilihan raya mereka yang sebelum ini dilaung-laungkan mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.
Kesimpulannya, ahli politik tanpa mengira siapapun mereka kembalilah menumpukan perhatian kepada rakyat, sekarang adalah masa untuk bekerja bukan terus berpolitik siang dan malam.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 01 June 2008