Prinsip Islam Hadhari : 8. Keutuhan Budaya & Moral

 

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

Satu daripada perinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian moral sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mukminin: 1-2



maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya”.

Dengan demikian kemajuan ekonomi dan teknologi Malaysia akan berjalan selari dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.

Dari perspektif tamadun dan agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa harus dijiwai oleh budaya moral dan etika yang luhur. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai moral, etika dan kerohanian yang luhur. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.

Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi (high culture).

 

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008