Prinsip Islam Hadhari : 6. Kehidupan Berkualiti
KEHIDUPAN BERKUALITI
Islam pada
permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan
masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi
dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam
menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan
untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil
daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari
kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.
Ini bertepatan dengan
firman Allah S.W.T dalam al-qur’an surah al-Qasas : 77

Bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmat-nikmatnya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan dimuka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.
Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam tidak bersifat statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari masa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.
Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada insitusi keluarga. Keluarga yang sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan gejala sosial masyarakat dapat diminimakan jika setiap institusi keluarga dapat berfungsi dengan berkesan.
Dalam konteks mencapai kehidupan yang berkualiti, kemudahan persekitaran turut serta diberi perhatian. Tempat rekreasi dan kemudahan beriadah turut sama difikir perlu dalam membina masyarakat yang sihat dan bertenaga.
Dari pendekatan Islam Hadhari, kita dapati bahawa kualiti hidup masyarakat dari kesemua aspek akan dibangunkan secara bersepadu.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008