Prinsip Islam Hadhari : 5. Pembangunan Ekonomi Seimbang & Komprehensif
PEMBANGUNAN
EKONOMI SEIMBANG DAN KOMPREHENSIF
Dalam usaha untuk
memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh Islam.
Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu
pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi
yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara
berkesan sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan
diperingkat antarabangsa. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T
dalam surah al-Jumu’ah : 10

bermaksud:
“Kemudian
setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu dimuka bumi(untuk
menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa-apa yang kamu hajati
dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak(dalam
segala keadaan) , supaya kamu berjaya(di dunia dan akhirat)”.
Untuk menjayakan
pendekatan tersebut, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu sama-sama
berperanan secara bersepadu. Ini sudah pun diberi penekanan dalam
konsep pensyarikatan Malaysia. Islam Hadhari menuntut setiap masyarakat
merebut peluang untuk memaju pencapaian ekonomi mereka.
Usaha-usaha untuk
memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan terus
diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna
tenaga penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang
mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan
strategi tersebut menepati aspirasi Islam Hadhari.
Melalui strategi
tersebut negara mampu mengembeling kesemua tenaga rakyat semoga mereka
dapat berprestasi di peringkat optimum. Dalam rangka yang sama
pendekatan Islam Hadhari akan terus berusaha untuk meningkat kecekapan
sistem penyampaian sektor awam dan prestasi sektor swasta. Justeru itu
mutu sistem pendidikan dan Institusi Latihan Negara perlu sentiasa
dipertingkatkan semoga kesemua aspek keperluan tersebut dapat
dibekalkan kepada rakyat.
Dalam suasana ekonomi
dunia yang sangat mencabar dan tidak menentu, perancangan dan dasar
ekonomi yang digubal perlu sensitif kepada perkembangan tersebut.
Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang secara
besar-besaran kepada pertumbuhan ekonomi negara, demi keselamatan
negara, sektor pertanian akan turut diberi perhatian yang sewajarnya.
Pembekalan kepada makanan asasi rakyat, adalah sesuatu yang dituntut
oleh Islam. Melalui kemajuan bidang sains bioteknologi, negara akan
berusaha untuk memaju sektor pertanian dengan teknologi tersebut.
Jelas sekali bahawa
pendekatan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan yang komprehensif di
mana pencapaian pembangunan ekonomi negara mampu menjana kepada
wujudnya sebuah masyarakat yang bertamadun dan progresif.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008