Pengenalan
Islam Hadhari memberi
tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan
peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan
memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui
penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta
pembangunan fizikal.
Mempertingkatkan mutu
kehidupan adalah dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan
dan sistem kewangan yang dinamik, pembangunan sepadu dan seimbang bagi
melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak
mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia
global.
Islam Hadhari
bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari
bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan
umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam Al Quran
dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari
jika ditafsir secara ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali
tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.
Sebagai sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan
umat Islam tanpa tergelincir akidah akan dapat menghadapi cabaran dan
realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang
diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut
masa dan mengikut tempat. Adalah perlu diteliti semula pelbagai
pendekatan dan kaedah untuk diperkemaskan supaya lebih seimbang dan
menyeluruh, merangkumi pembangunan prasarana dan pembangunan ekonomi,
diperkukuhkan dengan pembangunan manusia melalui program pendidikan
yang komprehensif, diperlengkap pula dengan program pembangunan rohani
untuk menyemaikan nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai Islam
dalam kehidupan.
Prinsip Islam Hadhari
Islam Hadhari akan
memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:
I. Keimanan dan
ketakwaan kepada ILAHI
II. Kerajaan adil dan
beramanah
III. Rakyat berjiwa
merdeka
IV. Penguasaan ilmu
pengetahuan
V. Pembangunan
ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan
berkualiti
VII. Pembelaan hak
kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya
dan moral
IX. Pemeliharaan alam
semula jadi
X. Kekuatan pertahanan
Prinsip-prinsip ini
adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya
tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana
pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan
berbilang kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk
memperkasakan umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia
semasa.
Islam Hadhari adalah
Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan
ekonomi dan tamadun yang menyeluruh – berupaya menjadi
penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing umat. Warisan dan
tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam
semua bidang perlu dijadikan rujukan dan sumber inspirasi memajukan
masyarakat Malaysia.
Perubahan minda umat
memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik, secara
sistematik, dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan
satu perubahan tasawur (pandangan global) seluruh masyarakat. Selaras
dengan itu, konsep hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan dan konsep
kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai
kekuatan dalam semua bidang kehidupan perlu dititikberatkan, khususnya
prinsip maqasid al Syariah adalah berkaitan dengan lima perkara seperti
berikut:
I. Menjaga,
memartabatkan dan memperkasakan agama
II. Menjaga,
memartabatkan dan memperkasakan akal
III. Menjaga,
memartabatkan dan memperkasakan nyawa
IV. Menjaga,
memartabatkan dan memperkasakan harta
V. Menjaga,
memartabatkan dan memperkasakan keturunan
Usaha yang konsisten
hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang. Segala
bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan
kefahaman Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jati diri umat dapat
dibentuk. Perubahan sikap dan budaya umat memerlukan peranan berijtihad
dan berjihad. Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih luas,
meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai sains
dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Peningkatan
kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi
bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta
aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina
ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan
pengiktirafan.
Masyarakat Malaysia
perlu diberikan kefahaman Islam yang membolehkan umat menghayati dan
mewarisi wawasan ketamadunan global (Rahmatan Lil’alamin)
untuk membolehkan umat berperanan secara berkesan diperingkat global.
Semangat persaudaraan (ukhuwah Islamiah) perlu dipupuk dan disemarakkan
bagi menghasilkan rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke
arah meningkatkan daya saing umat. Masyarakat Malaysia perlu menghargai
dan menghayati sifat berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada
pihak lain. Sikap dan nilai-nilai negatif masyarakat perlu diubah
kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam tasawwur Islam.
Umat perlu dijadikan
masyarakat iqra dalam hasrat mahu membina kemampuan bangsa dari segi
peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam
mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati. Perlu
diperbetulkan sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak
berlaku pemisahan antara ilmu sekular dengan ilmu agama. Bahawa
penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan kemahiran dan
kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak
ayat-ayat di dalam al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan
teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh umat. Sumbangan tamadun
Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran
renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar Islam. Usaha
melahirkan saintis Islam yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru
perlu diperbanyakkan.
Dunia adalah satu
perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian manusia
kepada Allah SWT dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah
secara sempurna, jujur, telus dan amanah. Manusia tidak mungkin berjaya
memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap
dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan fenomenanya
diciptakan dan ditundukkan oleh Allah SWT untuk manusia diturunkan
sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu
diperlengkap dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, supaya membolehkan
manusia menguasai dunia.
Amatlah penting umat
Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan
menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan
menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan
tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme
memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata. Kerajaan juga tidak pernah
bersifat sekularisme yang menolak akhirat dan memberi tumpuan kepada
dunia semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang
mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi. Allah SWT
berfirman:
Yang bermaksud: "Dan
tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah
(kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu
(dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau
melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan".
(Surah al-Qasas: Ayat
77)