BAB 06 : PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA
I : PENDAHULUAN
6.01 Malaysia sedang mengalami perubahan
struktur ekonomi dan memasuki dengan cepat era perindustrian yang
pesat. Proses perubahan ini yang berterusan ke tahun-tahun sembilan
puluhan akan menambah permintaan baru terhadap kemahiran teknikal
peringkat tinggi, keupayaan pengurusan dan keusahawanan serta
peningkatan tahap pembangunan teknologi dan penggunaan modal. Bagi
menyokong dan mengekalkan proses pembangunan ini, Malaysia perlu
mewujudkan tenaga kerja berdisiplin yang di-lengkapi dengan asas
kemahiran yang lebih luas serta mempunyai budaya dan etika kerja
positif. Peningkatan keupayaan rakyat Malaysia dengan motivasi yang
sesuai untuk bekerja dan memperbaiki produktiviti perlu dimajukan untuk
membolehkan Malaysia sentiasa berada di hadapan dan mengekalkan daya
saingannya, dan dengan itu, dapat mencapai matlamat untuk menjadi
negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
6.02 Satu aspek penting dalam pembangunan sumber manusia ialah
menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dengan
aktif dan saksama dalam aktiviti pembangunan ekonomi negara. Dalam
proses menyusun semula masyarakat Malaysia, program pendidikan dan
latihan akan dilaksanakan bersama dengan usaha untuk mengatasi
ketidak-seimbangan pendapatan, gunatenaga dan pemilikan serta
penguasaan sumber-sumber produktif di kalangan kumpulan ethnik. Untuk
mencapai objektif ini dengan jayanya, kerjasama yang lebih rapat antara
sektor awam dan swasta dalam pembangunan sumber manusia adalah
diperlukan.
6.03 Satu lagi aspek pembangunan sumber manusia ialah menanamkan
nilai-nilai positif yang dimiliki bersama khusus-nya di kalangan
generasi muda. Semangat kekitaan yang tinggi, kesetiaan dan cinta
kepada negara akan terus dipupuk. Di tempat kerja, rakyat Malaysia
perlu mempunyai tahap disiplin yang lebih tinggi, gigih berusaha
mencapai kecemerlangan dan sentiasa mengejar kemajuan. Di samping itu,
mereka perlu mempunyai nilai-nilai positif lain seperti dedikasi,
bekerjasama, dinamik dan kreatif. Saluran utama bagi menanam
nilai-nilai ini ialah sistem pendidikan dan latihan yang berpandangan
jauh dan pragmatik. Sistem ini perlulah diubahsuaikan untuk memenuhi
keperluan negara masa hadapan.
II : TERAS PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA
6.04 Teras pembangunan sumber manusia di
bawah Dasar Pembangunan Baru (DPB) adalah bertujuan mencapai matlamat
pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama. Dalam dekad akan
datang, pembangunan negara akan bergantung kepada sumber manusianya
untuk membangunkan sumber alam semulajadi yang kaya. Dalam suasana
ekonomi dunia yang cepat berubah, pertumbuhan ekonomi memerlukan tenaga
kerja yang lebih berpengetahuan dan berkemahiran. Oleh itu, tumpuan
yang lebih akan diberi kepada usaha-usaha membangunkan tenaga manusia
yang berpendidikan terlatih dan boleh menyesuaikan diri mengikut
keadaan supaya arahaliran pertumbuhan dan pencapaian produktiviti
yangada sekarang dapat diperkukuhkan.
6.05 Pertambahan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang
mempunyai nilai ditambah lebih tinggi adalah perlu dalam usaha membasmi
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Sehubungan dengan ini,
penyertaan Bumiputera dalam beberapa kumpulan pekerjaan tertentu dan
profesion penting masih lagi kurang, walaupun usaha telah dibuat dalam
tempoh 20 tahun yang lalu. Sungguhpun bilangan gunatenaga Bumiputera
dalam kumpulan pekerjaan ikhtisas dan teknikal bertambah dengan ketara,
sebilangan besar daripada mereka adalah dalam bidang perguruan dan
kejururawatan. Oleh itu, penekanan akan diberi untuk menambah lagi
bilangan Bumiputera dalam kumpulan pekerjaan ikhtisas dan teknikal
untuk meningkatkan lagi peranan mereka dalam ekonomi negara.
6.06 Tumpuan akan diberi untuk membangunkan tenaga buruh luar
bandar bagi membolehkan mereka memasuki pasaran buruh yang semakin
canggih dan berorientasikan teknologi. Tenaga buruh luar bandar, yang
sebahagian besarnya adalah Bumiputera, perlu mengubah tumpuan daripada
aktiviti tradisional yang berproduktiviti rendah kepada kegiatan sektor
moden yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Untuk membolehkan
tenaga buruh luar bandar menyertai pembangunan ekonomi negara dengan
lebih berkesan mereka perlu diberi peluang mendapat kemudahan
pendidikan yang lebih baik, maklumat pasaran buruh dan
kemahiran-kemahiran baru, di samping mempunyai semangat yang kuat untuk
bersaing dan berdikari.
6.07 Satu perkara penting dalam pembangunan sumber manusia ialah
mengembeling sumbangan kreatif penduduk yang berbilang kaum untuk
menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memupuk perpaduan negara.
III : KEPENDUDUKAN, TENAGA BURUH DAN GUNATENAGA
Kependudukan
6.08 Penduduk Malaysia dijangka bertambah daripada 18 juta pada
tahun 1990 kepada 22.7 juta pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, kadar
pertumbuhan tahunan penduduk adalah lebih rendah iaitu 2.3 peratus
berbanding dengan 2.6 peratus dalam dekad lapan puluhan seperti di
Jadual 6-1. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh kesuburan
keseluruhan yang dijangka berkurangan. Ini menghasilkan saiz keluarga
yang kecil. Penurunan kesuburan adalah disebabkan oleh tahap pendidikan
penduduk yang lebih tinggi, peningkatan perbandaran, perkahwinan yang
dilewatkan dan taraf hidup yang bertambahbaik. Unjuran arahaliran
sehingga tahun 2000 adalah selaras dengan matlamat pertumbuhan penduduk
yang dijangkakan di bawah Dasar Penduduk 70 Juta. Berdasarkan kadar
pertumbuhan penduduk semasa dan jangkaan penurunan kesuburan pada masa
hadapan hasil daripada pembangunan sosio-ekonomi, saiz penduduk ini
boleh dicapai pada tahun 2100.
6.09 Perubahan dalam komposisi umur merupakan satu komponen
penting dalam perubahan demografi. Dalam tempoh sepuluh tahun akan
datang, penduduk dalam kumpulan umur bawah 15 tahun dijangka bertambah
pada kadar purata 1.6 peratus setahun. Ini menggambarkan penurunan
jumlah kadar kesuburan daripada 3.8 pada tahun 1990 kepada 3.4 pada
tahun 2000. Bahagian kumpulan umur ini akan berkurangan daripada 37.5
peratus jumlah penduduk pada tahun 1990 kepada 34.8 peratus pada tahun
2000 seperti di Jadual 6-1. Sebaliknya, bahagian penduduk dalam
kumpulan umur bekerja iaitu 15-64 tahun akan meningkat daripada 58.8
peratus pada tahun 1990 kepada 60.8 peratus pada tahun 2000. Di samping
itu, kumpulan umur 65 tahun dan keatas akan meningkat dari segi
bilangan dan juga kadar pertumbuhan. Keadaan ini disebabkan oleh jangka
hayat yang meningkat hasil daripada peningkatan keseluruhan kualiti
hidup penduduk.
6.10 Perubahan dalam struktur umur penduduk Malaysia akan memberi
kesan yang ketara kepada ekonomi negara. Pertambahan penduduk dalam
lingkungan umur bekerja pada kadar 2.6 peratus setahun bermakna lebih
banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan dalam dekad akan datang. Oleh
kerana bahagian penduduk dalam lingkungan umur bekerja dijangka lebih
besar daripada bahagian penduduk dalam kumpulan umur bawah 15 tahun dan
65 tahun ke atas, nisbah tanggungan keseluruhan akan berkurangan
daripada 70pada tahun 1990 kepada 64 menjelang tahun 2000 seperti di
Jadual 6-1.
6.11 Dalam usaha meningkatkan lagi kualiti penduduk, Kerajaan akan
terus memberi penekanan kepada pembangunan dan kebajikan keluarga.
Program-program perkhidmatan kesihatan dan sosial akan ditumpukan
kepada usaha meningkatkan lagi kualiti hidup pada keseluruhannya,
terutamanya di negeri-negeri kurang maju. Dengan bertambahnya bilangan
golongan tua, pertimbangan yang lebih akan diberi kepada perancangan
kesihatan, kebajikan dan perkhidmatan keselamatan sosial untuk memenuhi
keperluan khusus golongan ini.
Tenaga Buruh
6.12 Jumlah tenaga buruh iaitu komponen penduduk berumur 15-64
tahun yang terdiri daripada mereka yang bekerja dan yang menganggur,
dijangka bertambah daripada 7.0 juta pada tahun 1990 kepada 9.4 juta
pada tahun 2000 atau meningkat pada kadar 2.9 peratus setahun seperti
di Jadual 6-2. Pertumbuhan tenaga buruh ini berpunca daripada
bertambahnya penduduk umur bekerja serta kadar penyertaan tenaga buruh
yang dijangka meningkat daripada 66 peratus kepada 68 peratus seperti
di Jadual 6-3.
6.13 Dengan meningkatnya tahap pendidikan dan bertambahnya peluang
pekerjaan, lebih ramai lagi wanita dijangka menyertai kegiatan ekonomi
secara aktif. Dalam tempoh ini, kadar penyertaan tenaga buruh wanita
dijangka meningkat daripada 47 peratus kepada 49 peratus, sementara
kadar penyertaan tenaga buruh lelaki adalah 86 peratus. Memandangkan
perlunya tenaga buruh wanita yang berkualiti lebih tinggi,
program-program untuk meningkatkan kemahiran mereka akan diperkenalkan
bagi membolehkan mereka menyertai proses pembangunan dengan lebih
berkesan.
6.14 Dalam tempoh RRJP2, tenaga buruh dianggar bertambah pada
kadar 2.9 peratus setahun. Ini akan menambahkan bilangan tenaga buruh
sebanyak 2.4 juta. Tenaga buruh akan menjadi lebih terpelajar, terlatih
dan mempunyai profil umur yang lebih tua seperti di Jadual 6-3.
Gunatenaga
6.15 Memandangkan bilangan tenaga manusia yang memasuki pasaran
buruh kian bertambah dan di samping itu masih wujud pengangguran, dasar
gunatenaga akan ditumpukan ke arah meningkatkan kadar pewujudan
pekerjaan baru. Oleh kerana sumber utama pendapatan isirumah ialah
upah, pewujudan peluang- peluang pekerjaan terutamanya dalam kegiatan
nilai ditambah yang lebih tinggi akan terus menjadi kaedah penting. Ini
boleh menambah pendapatan,mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat Malaysia. Kesemua ini bukan sahaja bergantung kepada langkah
untuk meningkat dan mengekalkan tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi,
tetapi juga kepada usaha memperbaiki suasana pasaran buruh dan
meningkatkan mutu sumber manusia melalui pendidikan, latihan dan
latihan semula. Sistem maklumat pasaran buruh juga akan diperkemaskan
untuk mengurangkan ketidaksesuaian kemahiran dan memudahkan mobiliti
buruh. Sistem upah juga perlu peka dan responsif kepada keadaan pasaran
yang berubah. Peningkatan kualiti tenaga buruh akan menambahkan
produktiviti dan ini akan meningkatkan pendapatan pekerja.
6.16 Berdasarkan pertumbuhan KDNK sebenar pada kadar 7 peratus
setahun dalam tempoh ini, permintaan buruh akan bertambah sebanyak 3.1
peratus setahun. Oleh yang demikian, jumlah gunatenaga dijangka
bertambah daripada 6.6 juta pada tahun 1990 kepada 9.0 juta pada tahun
2000. Pada kadar pertumbuhan gunatenaga ini dan pertumbuhan penawaran
buruh pada kadar 2.9 peratus setahun, kadar pengangguran, seperti yang
ditunjukkan dalam Jadual 6-2, akan berkurang daripada 6 peratus pada
tahun 1990 kepada 4 peratus menjelang akhir dekad ini.
6.17 Dalam usaha meningkatkan penggunaan buruh dalam ekonomi,
dasar gunatenaga akan mengambilkira profil penganggur sediada. Keadaan
pengangguran pada umumnya bersifat jangka pendek dan tertumpu di
kalangan golongan muda. Dari segi tahap pendidikan, taburan
pengangguran menunjukkan kira-kira dua pertiga daripada jumlah
penganggur mempunyai pendidikan menengah. Peratusan penganggur
berpendidikan tinggi telah meningkat, manakala peratusan penganggur
yang tidak berpendidikan formal atau berpendidikan rendah telah menjadi
lebih kecil. Tenaga pekerja yang memasuki pasaran buruh pada masa
hadapan adalah daripada golongan muda, berpendidikan dan mudah
bergerak. Oleh yang demikian, latihan yang lebih adalah diperlukan
untuk memudahkan penyerapan mereka ke dalam pasaran buruh.
6.18 Pada umumnya, kadar pengangguran adalah lebih tinggi di
negeri-negeri kurang maju berbanding dengan negeri-negeri lebih maju
yang mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan. Oleh yang demikian,
lebih banyak peluang pekerjaan akan wujudkan menerusi usaha
mempelbagaikan asas ekonomi dan menyediakan kemudahan pendidikan dan
latihan yang lebih baik di negeri-negeri kurang maju.
Gunatenaga mengikut Sektor
6.19 Dari perspektif sektor, adalah dijangka sektor perkhidmatan
akan menyumbangkan peratusan terbesar gunatenaga baru. Sektor pembuatan
pula akan menyediakan 36 peratus dari pada peluang pekerjaan baru,
manakala sumbangan sektor pertanian kepada jumlah gunatenaga dijangka
turun daripada 28 peratus kepada 20 peratus, selaras dengan perubahan
struktur yang berlaku dalam ekonomi seperti di Jadual 6-2.
6.20 Sektor perkhidmatan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang
pekerjaan dalam tempoh RRJP2, iaitu 55 peratus dari pada keseluruhan
pekerjaan baru. Daripada 1.3 juta pekerjaan baru yang dijangka
diwujudkan dalam sektor ini, sebahagian besar adalah dalam sektor kecil
perkhidmatan pengedaran yang terdiri daripada perdagangan borong dan
runcit, hotel dan restoran. Selaras dengan pertumbuhan ekonomi
keseluruhannya, sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan perhubungan;
sektor kecil kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan
serta perkhidmatan-perkhidmatan lain akan turut menyumbang kepada
pertambahan gunatenaga. Peluang gunatenaga juga akan bertambah dalam
kegiatan berkaitan dengan pelancongan dan perkhidmatan perundingan.
Peluang-peluang ini akan wujud berikutan daripada peluasan dan
pelbagaian aktiviti sektor perkhidmatan. Walau bagaimanapun, bagi
sektor perkhidmatan Kerajaan pertumbuhan gunatenaga dijangka sederhana
selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mengurangkan saiz dan peranan
sektor awam.
6.21 Walaupun sektor pembuatan akan menjadi bertambah penting dari
segi nilai ditambah, penggunaan buruh secara intensif atau kadar
penyerapan buruh dalam sektor ini akan berkurang, selaras dengan
bertambahnya penggunaan loji yang moden dan berjentera. Memandangkan
industri-industri akan terus berkembang ke arah keluaran nilai ditambah
yang lebih tinggi, permintaan buruh dijangka tertumpu kepada pekerja
mahir. Ini memerlukan peningkatan kemahiran tenaga buruh. Sektor ini
dijangka menyediakan kira-kira 853,700 pekerjaan baru atau kira-kira 36
peratus daripada keseluruhan gunatenaga baru. Sektor pembinaan juga
dijangka mencatatkan pertambahan gunatenaga yang besar, hasil daripada
paras perbelanjaan awam yang tinggi ke atas infrastruktur fizikal dan
sosial serta pelaburan swasta dalam pembangunan hartanah. Kira-kira
237,500 pekerjaan baru akan diwujudkan dalam sektor ini yang merupakan
10 peratus daripada keseluruhan gunatenaga baru.
6.22 Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dan gunatenaga
dijangka berkurangan. Pengurangan jumlah gunatenaga sektor pertanian
adalah disebabkan oleh pemodenan sektor ini dan jangkaan penghijrahan
keluar tenaga kerja dari kawasan luar bandar berikutan daripada
peningkatan taraf pendidikan dan tarikan pekerjaan dari kawasan bandar.
Walau bagaimanapun, nilai mutlak keluaran pertanian akan mencatat
pertambahan hasil daripada perusahaan pertanian secara moden dan
komersial serta peningkatan produktiviti. Sektor ini akan kekal sebagai
sektor penting yang menyumbangkan sebanyak 20 peratus daripada jumlah
gunatenaga.
Komposisi Pekerjaan
6.23 Kategori pekerjaan yang berkembang paling pesat adalah yang
berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, jualan, ikhtisas dan
teknikal, dan pengeluaran, selaras dengan perkembangan kegiatan sektor
pembuatan dan perkhidmatan seperti di Jadual 6-4. Pekerjaan-pekerjaan
ini akan menyumbangkan 1.8 juta pekerjaan baru atau 76.7 peratus
daripada pekerjaan baru yang akan diwujudkan dalam tempoh tersebut.
Daripada jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan bagi tempoh RRJP2,
sebanyak 38.5 peratus merupakan permintaan terhadap pekerja
pengeluaran, terutamanya dalam kegiatan pembuatan dan pembinaan.
6.24 Kategori pekerjaan ikhtisas dan teknikal dijangka menyediakan
sebanyak 320,000 pekerjaan baru dalam tempoh tersebut yang mana 48
peratus daripadanya adalah dalam pekerjaan teknikal. Peningkatan
teknologi pengeluaran daripada jenis pemasangan mudah dan bercorak
operasi memproses kepada penggunaan mesin automatik canggih akan
memerlukan 153,000 jurutera dan pembantu jurutera serta juruteknik
terutamanya dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal dan
elektronik. Permintaan terhadap saintis dan teknologis dalam kegiatan
penyelidikan dan pembangunan (P&P) juga akan meningkat.
Memandangkan hasrat untuk mengekal dan meningkatkan kualiti
perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, permintaan terhadap guru serta
kakitangan perubatan dan kesihatan akan terus berada pada tahap yang
tinggi bagi tempoh tersebut seperti di Jadual 6-5.
6.25 Gunatenaga dalam pekerjaan ikhtisas dan teknikal terpilih
seperti kejuruteraan, perubatan dan kesihatan serta perguruan dijangka
mengalami pertambahan sebanyak 244,000 menjelang tahun 2000.
Pertambahan ini akan dipenuhi oleh keluaran daripada institusi latihan
dan pendidikan sektor awam dan swasta dalam negeri serta
institusi-institusi luar negeri. Oleh yang demikian, penglibatan sektor
swasta khususnya dalam latihan pembantu jurutera dan juruteknik adalah
penting. Sektor ini dijangka mengeluarkan 32 peratus daripada anggaran
permintaan 122,900 pembantu jurutera dan juruteknik dalam tempoh
tersebut. Ini adalah selaras dengan dasar menggalakkan penglibatan yang
lebih sektor swasta dalam pembangunan sumber manusia.
6.26 Perubahan tugas dan bidang kerja dalam kategori pekerjaan
pentadbiran dan pengurusan akan diiringi oleh pertumbuhan dalam
pekerjaan pengurusan. Oleh yang demikian, pengurus dan penyelia dalam
sektor awam dan swasta perlu mempunyai kecekapan teknikal yang lebih
luas untuk membolehkan mereka mengendalikan operasi yang lebih rencam
dan gabungan peralatan dan pekerja mahir yang lebih besar Berhubung
dengan kategori pekerjaan jualan dan perkeranian, penekanan akan diberi
kepada pengetahuan yang lebih mendalam mengenai keluaran, kemahiran
berkomunikasi, kemahiran pengendalian keyboard, pengetahuan perisian
komputer dan kesedaran perdagangan yang lebih luas. Sejumlah 828,600
pekerjaan baru akan diwujudkan dalam ketiga-tiga kategori pekerjaan ini
seperti di Jadual 6-4. Institusi pendidikan dan latihan tempatan
berupaya menyediakan latihan dan pendidikan yang diperlukan oleh
kumpulan pekerjaan ini.
6.27 Bagi pekerja pertanian, bilangan gunatenaga dijangka
berkurang kerana pekerja Malaysia yang lebih berpendidikan dan terlatih
memilih pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan. Walau
bagaimanapun, produktiviti pekerja pertanian akan meningkat berikutan
daripada bertambahnya P&P dalam aktiviti-aktiviti huluan dan
penggunaan teknologi baru serta mekanisasi.
6.28 Lebih ramai pekerja mahir diperlukan di peringkat pengeluaran
berikutan proses perindustrian yang lebih pesat dan penggunaan
teknologi baru. Keadaan ini akan menambahkan permintaan terhadap tenaga
manusia yang mempunyai kecekapan asas ketukangan yang luas dan
kemahiran sokongan. Keutamaan akan diberi untuk meningkatkan penggunaan
institusi pendidikandan latihan yang sediada di samping menambahkan
lagi kemudahan ini. Lebih banyak kemudahan latihan di peringkat sijil
dan diploma akan juga disediakan. Memandangkan proses pendidikan dan
latihan ditumpukan kearah memenuhi keperluan tenaga manusia negara
dimasa hadapan, program pendidikan dan latihan akan lebih
berorientasikan sains dan teknologi. Untuk memberi peluang yang lebih
kepada Bumiputera, terutamanya di luar bandar, mendapat pendidikan
tinggi lebih banyak sekolah berasrama penuh dan kemudahan- kemudahan
yang lebih baik akan disediakan. Kaum bukan Bumiputera yang miskin akan
juga diberi peluang yang lebih untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama
penuh dan meningkatkan peluang pendidikan untuk menambah mobiliti
sosio-ekonomi mereka.
6.29 Walaupun kemudahan pendidikan dan latihan akan ditambah dan
disediakan oleh sektor awam dan swasta, rakyat Malaysia terus
digalakkan mendapat pendidikan dan pengalaman yang berfaedah di luar
negeri. Langkah mempelajari teknologi dan teknik pengurusan baru di
luar negeri akan membolehkan rakyat Malaysia merapatkan jurang
perbezaan teknologi. Sejajar dengan ini, Kerajaan akan terus menghantar
pelajar Malaysia ke institusi-institusi terkemuka luar negeri dalam
bidang-bidang terpilih ke arah meningkatkan usaha menghapuskan
ketidakseimbangan sosio-ekonomi. Wanita dalam Pembangunan
6.30 Penyertaan wanita dalam proses pembangunan bagi dua dekad
yang lalu telah meningkat. Pekerja wanita merupakan 35 peratus daripada
tenaga buruh pada tahun 1988. Kira-kira 82 peratus pekerja wanita
terdiri daripada pekerja bergaji dan pekerja keluarga tidak bergaji.
Sungguhpun perbezaan upah antara lelaki dan wanita semakin berkurangan,
ianya terus wujud dalam beberapa sektor ekonomi tertentu. Menyedari
pentingnya peranan wanita dalam pembangunan, dasar di masa hadapan akan
ditumpu ke arah memastikan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas
kepada mereka. Lebih banyak kemudahan latihan dan latihan semula akan
disediakan bagi membolehkan pekerja wanita menyesuaikan diri dengan
teknologi baru serta memperbaiki mobiliti mereka di dalam dan di antara
pekerjaan. Pada masa yang sama, maklumat pasaran buruh akan
diperkemaskan untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan mengenai
peluang pekerjaan dan keperluan yang berkaitan. Bagi menggalakkan
penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, terutamanya di kalangan
wanita yang berkahwin, langkah-langkah tambahan sedang dipertimbangkan
untuk menggalakkan mereka menyertai pekerjaan yang produktif di samping
memenuhi tanggungjawab mereka kepada keluarga.
Upah
6.31 Dalam usaha mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat,
antara langkah-langkah yang akan diambil untuk memenuhi permintaan
buruh ialah menawar pekej insentif yang lebih menarik. Sektor swasta
akan digalak untuk menyediakan insentif tersebut sejajar dengan keadaan
pasaran buruh, bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan memasuki
sektor ladang dan sektor kecil lain yang mengalami kekurangan buruh.
6.32 Pengalaman pada tahun-tahun lapan puluhan menunjukkan bahawa
upah dalam sektor tersusun adalah agak tegar dan tidak mudah berubah
berbanding dengan produktiviti dan keuntunan. Ini disebabkan oleh
perjanjian-perjanjian bersama yangbersifat kontrak yang tidak
membenarkan upah diubahsuai di masa keadaan ekonomi merosot dan
prestasi syarikat kurang baik. Keadaan ini boleh menyebabkan
pemberhentian pekerja. Dalam jangkamasa panjang, ketegaran upah akan
menghadkan pengwujudan peluang- peluang pekerjaan dan menjejas
kebajikan pekerja. Permintaan kenaikan upah tanpa mengambilkira
keupayaan firma membayar, akan memberi kesan yang negatif kepada
pekerja dan majikan. Seterusnya keupayaan ekonomi untuk menyediakan
lebih banyak pekerjaan dan menggalak pelaburan baru akan terjejas. Oleh
yang demikian, adalah perlu bagi pekerja dan majikan bekerjasama bagi
mempastikan perhubungan perindustrian harmonis sebagai asas kepada
pasaran buruh yang berdaya saing.
6.33 Walaupun diakui paras upah perlu ditingkatkan untuk menambah
pendapatan dan memperbaiki taraf hidup, daya saingan Malaysia perlu
dipertahankan, terutamanya dalam sektor eksport. Untuk mempastikan kos
pengeluaran seunit terus berdaya saing, kenaikan upah perlu dikaitkan
dengan produktiviti. Satu sistem penyelarasan upah yang lebih baik yang
mengaitkan perubahan upah dengan produktiviti akan menjaga kepentingan
pekerja dan majikan. Di samping menyediakan insentif kepada majikan
untuk menambah peluang pekerjaan, sistem ini juga akan mengurangkan
pemberhentian pekerja semasa ekonomi merosot. Sehubungan dengan ini,
Kerajaan akan berusaha ke arah mewujudkan satu sistem upah yang
mengaitkan perubahan upah dan produktiviti.
IV : PEMBANGUNAN TENAGA MANUSIA
6.34 Pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan memerlukan tenaga buruh yang
berkualiti tinggi, serba boleh dan cepat menyesuaikan diri kepada
perubahan keadaan perindustrian. Tenaga kerja mahir dan produktif
adalah pra-syarat untuk mengekalkan iklim pelaburan yang menggalakkan
dan daya saingan keluaran Malaysia di pasaran dunia. Bagi memenuhi
keperluan ini, sistem penyampaian pendidikan dan latihan perlu menjadi
lebih responsif kepada keperluan pasaran buruh yang dinamik. Pendidikan
dan latihan akan terus menekankan penerapan nilai-nilai positif dan
progresif, termasuk etika kerja yang baik dan disiplin industri.
6.35 Walaupun terdapat usaha-usaha pembangunan tenaga manusia,
ketidakseimbangan masih wujud di antara kawasan bandar dan luar bandar.
Oleh itu, tumpuan akan terus diberi bagi menyediakan
kemudahan-kemudahan perlu kepada penduduk luar bandar untuk
meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran mereka. Ini akan membantu
meningkatkan peluang dan penyertaan mereka dalam kegiatan sektor moden.
Penyediaan peluang yang sama dan kemudahan yang lebih baik akan
membantu menghapuskan ketidaksamaan kualiti pendidikan dan latihan di
antarakawasan bandar dan luar bandar dan di kalangan berbagai lapisan
masyarakat.
6.36 Arahaliran permintaan tenaga manusia perindustrian pada masa
ini menunjukkan perlunya tenaga buruh yang mempunyai asas pendidikan
yang luas dengan penekanan kepada bidang matematik dan sains. Kebolehan
berkomunikasi serta fasih berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua
adalah juga penting. Ciri-ciri tersebut merupakan asas penyediaan
tenaga buruh yang mudah dilatih dan berupaya menyesuaikan diri dengan
cepat kepada perubahan keperluan teknologi. Sehubungan dengan ini,
kurikulum sekolah akan terus diperbaiki, terutamanya di peringkat
rendah dan menengah, manakala guru-guru akan dilengkapkan dengan
kebolehan mengajar pelajaran matematik, sains dan kemahiran
berkomunikasi. Lebih banyak pelaburan akan dibuat bagi menambah
kemudahan dan meningkatkan kualiti guru diperingkat pendidikan rendah
dan menengah memandangkan ianya merupakan faktor penting dalam
membangunkan tenaga buruh pada masa hadapan.
6.37 Pengawasan yang lebih kerap dan rapi ke atas kurikulum
institusi pendidikan dan latihan adalah perlu. Ini dapat mempastikan
kemahiran tenaga kerja adalah bersesuaian dengan permintaan terhadap
kemahiran baru berikutan daripada pembangunan teknologi yang pesat.
Guru dan pelajar perlu diberi pendedahan kepada perubahan industri bagi
mempastikan keluaran daripada sistem penyampaian pendidikan dan latihan
adalah selaras dengan keperluan pasaran buruh. Kemudahan pendidikan dan
latihan perlu disesuaikan dengan segera, sejajar dengan perubahan
teknologi untuk memudahkan usaha mengeluarkan tenaga manusia yang
mempunyai kelayakan yang sesuai. Ini boleh dilakukan melalui
peningkatan penyertaan sektor swasta dalam bidang pembangunan kurikulum
serta penyediaan kemudahan latihan. Disamping itu, penyebaran maklumat
pasaran buruh yang lebih meluas melalui pelbagai media akan
dilaksanakan untuk mempastikan tenaga kerja menyedari keperluan pasaran
yang berubah dan peluang latihan yang sediada.
6.38 Proses perindustrian ekonomi yang pesat berserta penyusunan
semula industri yang ketara, dijangka memberi tekanan kepada permintaan
kemahiran. Jurutera dan juruteknik, pengurus, pemesin di peringkat
tinggi, pembuat 10 alat dan acuan serta tenaga manusia teknikal dan
berkemahiran lain akan diperlukan. Tenaga manusia berpengalaman ini
adalah diperlukan terutamanya berikutan daripada pertumbuhan industri
berorien-tasikan eksport seperti bahan kimia, keluaran getah, elektrik
dan elektronik, tekstil, kayu serta plastik. Di samping itu permintaan
terhadap penyelidik, saintis dan juruteknik sokongan akan bertambah
selaras dengan penekanan kepada peranan sains dan teknologi (S&T),
P&P yang merupakan komponen penting dalam pembangunan negara.
6.39 Kemahiran kritikal seperti membuat dan merekacipta alat dan
komponen yang persis, tentukuran alat persis dan merekabentuk keluaran
adalah penting untuk menyediakan sokongan asas kepada industri
pembuatan. Di samping itu, ke-mahiran yang berasaskan komputer dan
elektronik serta mekatronik adalah sama pentingnya. Oleh yang demikian,
institusi-institusi latihan mesti memberi tumpuan yang lebih bagi
mengeluarkan tenaga manusia mahir ini khususnya di peringkat
pertengahan dan tinggi. Selain daripada tenaga manusia mahir,
pengeluaran tenaga manusia di peringkat pengurusan, penyeliaan dan
penyelenggaraan juga adalah di perlukan. Ciri-ciri kepimpinan seperti
mempunyai kebolehan membawa pembaharuan, berdaya cipta dan keusahawanan
hendaklah diberi penekanan dalam membangunkan kemahiran ini.
6.40 Strategi perindustrian pada masa ini memerlukan lati-han semula
tenaga kerja sediada bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran khusus
dan terkini oleh kerana teknik pengeluaran bertambah rencam dan banyak
menggunakan jentera otomasi. Oleh yang demikian, latihan berasaskan
perusahaan perlu diga- lakkan untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan
menyesuaikan diri tenaga kerja bagi mempastikan daya saingan keluaran
Malaysia di pasaran dunia. Dalam hal ini, penglibatan sektor swasta
dalam latihan perindustrian adalah penting. Selaras dengan itu,
penglibatan sektor swasta yang lebih besar dalam latihan perindustrian
formal akan digalakkan, supaya dapat menyumbang kepada keseluruhan
usaha menambah bilangan pekerja mahir dalam negara.
Tenaga Manusia Saintifik dan Teknologi
6.41 Bilangan dan kualiti tenaga manusia saintifik dan teknologi
adalah sangat penting kepada pembangunan S&T. Pada masa kini
terdapat kira-kira 7,000 ahli penyelidikan sains dan teknologi sepenuh
masa. Nisbah jumlah ini kepada penduduk ialah 400 bagi setiap sejuta
penduduk. Nisbah ini adalah ren-dah berbanding dengan nisbah bagi
negara perindustrian iaitu di antara 3,500 hingga 6,500 bagi setiap
sejuta penduduk. Menjelang tahun 2000, Malaysia berhasrat untuk
mencapai mat- lamat nisbah tenaga manusia S&T yang lebih tinggi
iaitu kira-kira 1,000 bagi setiap sejuta penduduk. Ini adalah selaras
dengan matlamat untuk menggandakan peratusan sumbangan P&P kepada
KNK.
6.42 Berdasarkan teras untuk membangunkan asas S&T yang kukuh
bagi meningkatkan kecekapan dan daya saingan industri, pelaburan yang
besar akan dibuat untuk kemudahan pendidikan dan latihan. Langkah ini
adalah bertujuan untuk mengeluarkan tenaga manusia peringkat tinggi
yang diperlukan oleh industri, terutamanya bagi menjalankan kegiatan
P&P. Penekanan akan diberikan kepada keperluan tiga peringkat utama
tenaga ma- nusia, iaitu peringkat loji dan operasi yang memerlukan
te-naga buruh yang mempunyai kecekapan teknik, peringkat pengajar- an
dan latihan serta P&P. Oleh itu, pembangunan tenaga manusia S&T
perlu dilihat sebagai satu proses pendidikan, latihan, pendidikan
lanjutan serta latihan semula yang bersepadu dan berterusan.
6.43 Program untuk menanam kesedaran S&T bermula di peringkat
pendidikan paling rendah supaya generasi muda dipupuk dengan semangat
ingin tahu, berdaya usaha, berfikiran sainti- fik dan kreatif serta
dilengkapkan dengan kemahiran menyele-saikan masalah. Pendidikan asas
di peringkat rendah dan mene-ngah akan terus diperkukuhkan bagi
membentuk pelajar-pelajar yang mempunyai asas pendidikan yang kukuh.
Ini akan memboleh-kan mereka menyesuaikan diri dan bertindakbalas
kepada perubah-an permintaan teknologi yang pesat di masa hadapan.
Untuk mencapai matlamat ini, usaha-usaha gigih akan dijalankan bagi
mempertingkatkan pengajaran sains, matematik, Bahasa Inggeris dan
kemahiran berkomunikasi di peringkat rendah dan menengah. Di peringkat
lepasan menengah, latihan teknik dan penyemaian daya kreatif akan
diberi perhatian utama. Peluang-peluang akan disediakan kepada industri
untuk melibatkan diri dalam perancangan dan pembangunan kurikulum
institusi teknikal, politeknik dan universiti. Peluang untuk
melanjutkan pendi-dikan lepasan ijazah yang bertambah terutamanya yang
berkaitan dengan S&T merupakan langkah-langkah penting ke arah
membangun- kan tenaga manusia P&P. Penyebaran yang meluas
bahan-bahan mak- lumat S&T, buku dan bahan serta alat bantuan
latihan dan pendi- dikan yang lain kepada sekolah dan institusi latihan
akan dilak-sanakan. Langkah ini akan membantu lagi usaha meningkatkan
kese-daran S&T di kalangan pelajar.
6.44 Di samping itu, bidang pembangunan tenaga manusia S& T
akan merangkumi isu menguruskan pembangunan S&T. Sistem pengurusan
S&T yang berkesan akan menghubungkan aspek perminta- an dan
penawaran serta mewujudkan kakitangan P&P yang lebih dinamik dan
bermotivasi. Selaras dengan itu, Kerajaan akan mengamalkan dasar dan
strategi yang sesuai, yang antara lain-nya akan mengukuhkan pengurusan
S&T dan menambah peluang ke-pada sektor swasta untuk memainkan
peranan yang berkesan dalam pembangunan teknologi industri. Seterusnya,
hubungan yang ber- kesan di antara sektor awam, pihak industri dan para
akademik akan dipupuk. Langkah bagi memperdagangkan hasil penyelidikan
industri bagi menggalak penyelidikan tempatan yang berorienta- sikan
pengguna dan pasaran akan digalakkan. Pada masa ini, usaha
memperdagangkan hasil keluaran P&P adalah terbatas oleh
undang-undang dan peraturan yang sediada. Sehubungan dengan ini,
beberapa langkah akan diperkenalkan untuk memberi kelonggaran dan
menghapuskan halangan bagi menyokong usaha memperdagangkan kegiatan
P&P.
6.45 Pembangunan teknologi mestilah disokong sepenuhnya oleh usaha
P&P. Ini akan meningkatkan keupayaan negara mengamal, menyesuai dan
memajukan teknologi di samping menggalakkan pembangunan teknologi
tempatan. Sehubungan dengan itu, penubuhan Pusat-pusat Kecemerlangan
dalam dan antara universiti serta institusi latihan akan digalakkan.
Institusi-institusi yang terlibat dengan kegiatan P&P mesti bekerja
rapat untuk meningkatkan daya innovasi dan mempastikan pengetahuan dan
kemahiran yang dimajukan adalah berkaitan dengan industri. Dalam hal
ini, kerjasama antara institusi dan industri dalam membiayai usaha
P&P serta pertukaran kakitangan akan digalakkan. Kerjasama yang
lebih rapat antara kedua-dua sektor adalah penting untuk mempastikan
penawaran tenaga manusia P&P adalah mencukupi bagi mewujudkan
suasana yang dapat menarik minat kakitangan P&P yang baru.
6.46 Dalam tahun-tahun sembilan puluhan, pengetahuan dan kemahiran
yang diperlukan tidak lagi berasaskan satu disiplin tetapi akan
berorientasikan gabungan disiplin teknikal, statistik dan berasaskan
komputer. Gabongan disiplin ini akan melengkapkan tenaga manusia masa
hadapan untuk mengendalikan teknologi baru dan yang akan muncul seperti
teknologi pembuatan berautomasi, bahan-bahan terbaru, bio-teknologi,
elektronik dan teknologi maklumat. Oleh itu, pembangunan kemahiran akan
memberi tumpuan kepada bidang-bidang berkenaan bagi mempastikan
kemajuan teknologi, pertumbuhan industri dan daya saingan negara.
6.47 Kegiatan sektor perkhidmatan akan berkembang selaras dengan
pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan tenaga kerja yang
dijangkakan. Oleh itu, tenaga manusia mahir dan berkelayakan sesuai
adalah perlu untuk menyokong pertumbuhan sektor kecil perkhidmatan
seperti kewangan, bank, pengangkutan, insuran, perkhidmatan keraian dan
lipuran serta pengurusan, perkhidmatan pakarunding, teknologi maklumat
dan perkhidmatan ikhtisas lain. Oleh yang demikian, kegiatan institusi
pendidikan dan latihan akan ditumpukan ke arah menghasilkan kemahiran
dalam bidang pengurusan dan kewangan, teknologi maklumat dan literasi
komputer.
6.48 Adalah perlu bagi Malaysia memajukan sektor perniagaan yang
teguh, agresif dan bermotivasi tinggi. Bagi mencapai matlamat ini,
sistem pendidikan akan menyediakan saluran yang sesuai bagi memperolehi
pengetahuan, kefahaman dan pandangan yang mendalam mengenai proses
perniagaan serta mewujudkan kesedaran terhadap peluang ekonomi. Suasana
yang sesuai akan disediakan bagi membentuk dan memupuk nilai
keusahawanandi kalangan Bumiputera terutamanya di peringkat awal
persekolahan. Latihan keusahawanan akan juga diperkenalkan dalam sistem
latihan perindustrian dan vokasional untuk peniaga-peniaga kecil dan
yang bekerja sendiri.
Perubahan Institusi
6.49 Pembangunan ekonomi negara akan meningkatkan permintaan bagi
tenaga manusia terlatih. Peluang memasuki institusi pendidikan dan
latihan di luar negeri walau bagaimanapun adalah semakin terhad,
terutamanya dalam bidang ikhtisas dan teknikal. Di samping itu kos
pendidikan di luar negeri terus meningkat. Dalam keadaan ini kemudahan
pendidikan dan latihan sediada di sektor awam dan swasta tempatan
terpaksa menampung permintaan yang bertambah. Kerajaan akan
meningkatkan pelaburan dalam pendidikan dan latihan di peringkat
tinggi. Walau bagaimanapun, memandangkan penyediaan kemudahan
pendidikan dan latihan dijangka melibatkan kos yang tinggi, usaha bagi
menampung permintaan yang bertambah ini perlu disokong dengan
langkah-langkah lain termasuk menggunakan sepenuhnya kemudahan sediada.
Usaha ini akan dijalankan melalui penambahan pro-gram- program
universiti terbuka, skim luar kampus, program pendidikan jarak jauh dan
pertambahan kelas-kelas khas bagi pendidikan berterusan di samping
memberi kemudahan kepada sektor swasta menggunakan ruang latihan dan
peralatan di institusi latihan awam bagi menjalankan kursus latihan
mereka. Melalui usaha ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan berpeluang
meningkatkan tahap pencapaian pendidikan dan kecekapan teknik mereka.
Di samping itu, Kerajaan akan menggalakkan sektor swasta untuk
meningkatkan penyertaannya dalam pendidikan tinggi khususnya dalam
menyediakan kursus ikhtisas dan teknikal dan melalui program berkembar
dengan institusi terkemuka luar negeri.
6.50 Peruntukan yang lebih akan diberikan kepada institusi latihan
yang menyediakan latihan kemahiran dengan tujuan melengkapkan institusi
berkenaan dengan kemudahan dan peralatan teknologi terbaru. Di samping
itu, sistem mengurus institusi latihan akan dikajisemula bagi memberi
kelonggaran dan autonomi yang lebih dalam proses membuat keputusan
berkaitan dengan rekabentuk kursus, perancangan kurikulum dan
pengurusan institusi. Usaha ini akan membolehkan institusi latihan
mengambil langkah untuk bertindakbalas dengan lebih berkesan kepada
keperluan pasaran buruh tempatan.
6.51 Latihan vokasional dan teknikal adalah penting khusus-nya
dalam penyediaan tenaga manusia untuk menyokong program perindustrian
dan pertumbuhan sektor-sektor moden ekonomi. Dalam hal ini, sektor
swasta boleh memainkan peranan yang dinamik. Bidang-bidang di mana
penglibatan sektor swasta boleh dipertingkatkan termasuk pendidikan dan
latihan di peringkat sijil dan diploma dalam bidang am dan teknikal.
Sektor swasta, melalui daya usahanya sendiri atau dengan kerjasama
Kerajaan akan digalakkan menubuhkan Pusat Latihan Khas bagi
mengeluarkan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi baru dan
teknologi yang baru muncul.
6.52 Tenaga pengajar di institusi latihan vokasional dan teknikal
perlu mempunyai pengetahuan yang terkini, berorientasi kan industri dan
mempunyai pengalaman bekerja dalam industri. Oleh itu, tenaga pengajar
akan digalakkan menjalankan kerja perundingan supaya dapat meningkatkan
pendedahan kepada industri. Langkah ini akan melengkapkan lagi usaha
yang sedang dijalankan untuk melahirkan tenaga pengajar yang lebih
dinamik dan berdaya cipta di institusi-institusi tersebut. Program
latihan bagi pengurus-pengurus kanan sektor awam akan memberi tumpuan
yang lebih kepada isu-isu S&T bagi meningkatkan kesedaran mereka
terhadap
perkembangan terbaru dalam bidang S&T.
6.53 Oleh kerana corak kerja yang semakin rencam dan berintensif
pengetahuan berikutan daripada proses perindustrian, permintaan
terhadap penyelia, juruteknik dan pekerja mahir akan terus bertambah.
Pada masa ini, kemudahan latihan formal bagi pembangunan tenaga manusia
mahir di peringkat tersebut adalah minimum. Penubuhan dan perkembangan
politeknik akan membantu mengurangkan masalah kekurangan penyelia,
juruteknik dan pekerja mahir. Institusi-institusi ini bukan sahaja akan
menyediakan latihan teknikal yang sesuai dengan keperluan industri
tertentu, tetapi juga akan menghasilkan kemahiran umum yang diperlukan
oleh pelbagai industri. Sistem pengiktirafan kemahiran juga akan
dikajisemula dan diperluaskan bagi mengambil- kira kemahiran dalam
teknologi baru dan yang baru muncul serta kemahiran yang lebih tinggi
dari pada peringkat lanjutan.
6.54 Kajian semula akan dijalankan terhadap peranan institusi
latihan yang sediada di peringkat diploma dan sijil untuk mengurangkan
pertindihan fungsi, meningkatkan pengkhususan n latihan dan menumpukan
latihan kepada keperlu industri. Selain daripada terlibat dalam
pengurusan, pembiayaan bersama dan pembangunan kurikulum
institusi-institusi berkenaan, sektor swasta juga akan turut serta
dalam latihan dan penempatan kerja bagi perantis.
6.55 Di peringkat pendidikan tinggi, program dan kandungan kursus
akan diawasi secara berterusan dan diubahsuai bagi memenuhi permintaan
pasaran buruh yang berubah. Keutamaan akan terus diberi kepada
program-program untuk menyediakan lebih banyak penempatan pelatih di
firma-firma, latihan amali serta pembangunan keusahawanan.
Universiti-universiti akan memajukan lebih banyak lagi pro-gram lepasan
ijazah untuk memenuhi keperluan P&P dalam industri.
6.56 Berikutan daripada proses perindustrian yang semakin pesat,
institusi pendidikan dan latihan awam dikehendaki lebih berorientasikan
pasaran. Oleh itu, institusi latihan awam perlu mengadakan hubungan
yang lebih rapat dengan sektor swasta. Penyediaan peruntukan pembiayaan
bersama oleh Kerajaan bagi projek penyelidikan khas yang dikendalikan
oleh sektor swasta dalam bidang-bidang utama yang dikenalpasti dan
bentuk- bentuk kerjasama lain dengan sektor swasta akan ditambah lagi.
Universiti dan institusi latihan dan penyelidikan akan berpeluang
bersaing mendapatkan pembiayaan tersebut dan ini akan mempastikan
institusi yang lebih berdaya cipta dan dinamik yang menjalankan
kegiatan penyelidikan berorientasikan pasaran akan mendapat pembiayaan
yang diperlukan.
6.57 Nilai dan sikap positif di kalangan penduduk Malaysia telah
dibentuk melalui pergaulan rapat antara masyarakat yang berbilang kaum
dan budaya. Ini dilengkapkan lagi dengan berbagai amalan dan nilai
keagamaan. Rukunegara menggariskan lima prinsip asas iaitu Kepercayaan
kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan,
Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan yang perlu
dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia.
6.58 Usaha membina sebuah negara yang teguh dan bersatupadu
bergantung kepada sumber manusia yang mempunyai nilai dan sikap positif
yang bukan sahaja dapat diamalkan di tempat kerja tetapi juga dapat
menggalak dan mempertahankan nilai masyarakat di luar persekitaran
tempat kerja. Oleh yang demikian, adalah penting sumber manusia bagi
negara ini mempunyai pandangan yang sihat dan positif terhadap negara
seperti perasaan bangga, cinta dan setia kepada negara serta
menghormati dan sedia mempertahankan proses demokrasi.
6.59 Rakyat Malaysia perlu menerap nilai-nilai positif, sesuai
dengan keperluan ekonomi negara yang sedang berubah kepada ekonomi
berasaskan industri. Nilai-nilai ini termasuklah kejujuran, disiplin,
ketepatan masa, kesedaran terhadap kos, dan kegigihan serta ketekunan.
Hasil daripada amalan kesemua nilai ini akan melahirkan tenaga kerja
berkualiti yang akan meningkatkan daya saingan yang diperlukan oleh
ekonomi negara. Sistem pendidikan dan latihan perlu diubahsuai untuk
membolehkan nilai-nilai ini disemai di kalangan rakyat Malaysia. Guru
dan pengajar, yang merupakan barisan utama pembentuk tenaga kerja
industri masa hadapan, akan diorientasikan semula untuk melengkapkan
mereka bagi menghadapi cabaran-cabaran baru untuk memupuk nilai-nilai
ini. Kerajaan akan memperkenalkan program latihan sikap dan motivasi
untuk menanam nilai-nilai ini supaya rakyat Malaysia akan lebih
responsif kepada keperluan pembangunan.
6.60 Kerajaan akan terus memberi pengiktirafan kepada mereka yang
cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing, dalam usaha
mengutamakan kecemerlangan dan meningkatkan dedikasi serta daya cipta.
Pengiktirafan ini akan meningkatkan taraf kedudukan mereka dalam
masyarakat. Pertandingan-pertandingan kemahiran di peringkat negeri dan
negara akan terus diadakan untuk menggalakkan mereka yang mempunyai
kemahiran dan kebolehan bersaing mendapat penghormatan. Usaha-usaha ini
akan menggalakkan kecemerlangan dan pembentukan tenaga kerja yang
berkesan dan berdisiplin.
V : PENUTUP
6.61 Tahun-tahun sembilan puluhan merupakan
satu dekad yang mencabar bagi pembangunan sumber manusia. Ini adalah
kerana perubahan ekonomi ke arah tahap perindustrian yang lebihpesat
bukan sahaja bergantung kepada sumber modal dan kemajuan teknologi
tetapi juga kualiti sumber manusia yang sediada. Rakyat Malaysia sahaja
yang dapat mewujudkan peluang-peluang pertumbuhan baru, membuka pasaran
baru dan menghasilkan keluaran baru yang berdaya saing yang akan
memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi. Oleh itu,
rakyat Malaysia perlu mempunyai kecekapan teknikal dan giat berusaha.
Adalah juga penting tenaga kerja pada masa hadapan bersifat tekun,
berdedikasi, berdaya kreatif, berdisiplin tinggi, mementingkan kualiti
dan dapat menyesuaikan diri kepada perubahan suasana ekonomi.
6.62 Tugas membentuk dan memajukan tenaga manusia sedemikian akan
bergantung kepada sistem penyampaian pendidikan danlatihan yang
pragmatik dan peka kepada perubahan dan keperluan pasaran masa hadapan.
Sistem ini bertujuan mengeluarkan tenaga manusia mahir dan berkualiti
yang akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di rantau ini. Bagi
mencapai matlamat ini, sistem penyampaian tersebut memerlukan
penglibatan sektor swasta yang lebih berkesan dalam bidang pendidikan
dan latihan. Pada keseluruhannya, pembangunan tenaga kerja industri
yangdinamik dan berkualiti tinggi bergantung kepada suasana yang
mendorong rakyat Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dan turut sama
terlibat dalam pembangunan negara.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008