Bertindak sebelum terlambat
![]() |
|
Jangan biarkan Pulau Pisang menerima nasib seperti pulau batu putih.
|
KEPUTUSAN Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan kedaulatan Batu Putih yang menjadi milik Kesultanan Johor dan Malaysia dari sudut sejarahnya kepada Singapura pada 23 Mei 2008 mengundang reaksi yang bukan sedikit di kalangan pelbagai pihak.
Semestinya ada cakap-cakap mengekori penghakiman yang hanya mengekalkan kedaulatan Batuan Tengah (Middle Rocks) kepada Malaysia – ada di antaranya dilihat dari sudut undang-undang, tidak kurang juga yang sarat dengan emosi lantaran kehilangan Batu Putih amat berkait rapat dengan soal maruah negara.
Namun segala-galanya telah termaktub dalam dokumen penghakiman setebal 81 muka surat, air mata darah sekali pun belum tentu dapat mengembalikan Batu Putih kecuali ada bukti baru, kukuh dan memihak kepada negara berjaya dikemukakan oleh Malaysia dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan dimuktamadkan lapan hari lalu.
Setakat ini, sumber-sumber Wisma Putra tidak dapat melihat kemungkinan ada bukti itu, begitu juga dengan pakar-pakar sejarah yang masih ralat dengan misteri kehilangan surat permohonan Gabenor Butterworth kepada Sultan Ali dan Temenggung Johor.
Malah, biar pun ditemui surat 1844, ubat pahit yang diluluskan preskripsinya oleh ICJ mungkin mesti terus ditelan oleh rakyat negara ini lantaran ICJ serta mana-mana pihak sendiri pun telah mengiktiraf bahawa kedaulatan Batu Putih sememangnya hak Malaysia sehingga tahun 1850.
Tidak timbul lagi soal membuktikan atau menafikan fakta itu termasuk dengan sokongan surat Gabenor Butterworth kerana 12 hakim yang bersidang lebih berminat perihal a titre de soverain, dengan surat pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 menjadi kemuncaknya.
Cuma pengabaian secara keterlaluan terhadap bentuk maritim itu oleh pemilik asalnya semestinya Malaysia menyebabkan kita semua terpaksa berputih mata dan sekadar berpuas hati dengan pemilikan Batuan Tengah sementara kedudukan Tubiran Selatan masih tidak dapat dijawab biar pun negara yakin ia akan menjadi milik kita.
Sehingga kini ramai yang meminta supaya bab kehilangan kedaulatan negara ini ditutup tanpa perlu ulasan-ulasan susulan terutama yang menyentuh tentang kecekapan serta kesiapsiagaan pasukan negara yang memuktamadkan persetujuan untuk merujuk pertikaian tersebut ke ICJ pada tahun 1993.
Sememangnya semua ini boleh ditutup dan disimpan di dalam Arkib Negara namun paling penting banyak yang mesti dipelajari daripada episod sedih dan mengguris luka biar pun tiada titisan darah yang mengalir namun parutnya akan kekal selama-lamanya.
Kita juga mesti ingat selagi Batu Putih tampak oleh pandangan mata kasar dan bendera Singapura berkibar megah di di Rumah Api Horsburgh selagi itulah ingatan terhadap bentuk maritim itu tidak akan padam.
Apatah lagi kedudukannya yang begitu hampir dengan Batuan Tengah dan Tubir Selatan menjadikan sesuatu yang amat mustahil kepada sesiapa terutama kalangan nelayan untuk menutup catatan hari ini dalam sejarah bagi Batu Putih.
ketegasan
Biar pun hubungan dua hala Malaysia-Singapura tidak terjejas oleh keputusan ICJ tetapi di pihak negara kita ada sesuatu yang perlu diperbetulkan terutama dalam mempamerkan ketegasan pendirian untuk mengiktiraf bahawa Batuan Selatan sebenar-benarnya milik kita.
Sesuatu mesti segera dilakukan untuk menzahirkan pemilikan tersebut dan kenyataan-kenyataan seperti kita belum bersedia menempatkan pihak berkuasa di situ manakala nelayan-nelayan terpaksa menunggu jawatankuasa teknikal bermesyuarat semacam mengiyakan hakikat bahawa Malaysia amat sarat dengan diplomasi dan perlakuan menjaga hati jiran.
Jika jawatankuasa teknikal melambat-lambatkan pertemuan serta rundingan, adakah nelayan mesti terus menunggu untuk satu tempoh lagi setelah 22 tahun dihalang daripada memasuki perairan Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sedangkan ICJ telah memuktamadkan segala-galanya.
Inilah yang dikatakan kita mesti belajar dan proses pembelajaran itu mesti dilakukan secepat mungkin bukan terus menerus berasa selesa tidak bertempat kerana hasrat negara jiran untuk menjadi rejim baru di perairan di Selat Melaka dan Selat Singapura pasti tidak akan terbantut semudah itu.
Ada khabar yang menyebut bahawa sebaik ICJ mengumumkan keputusan, Singapura bertindak pantas mengisytiharkan Batu Putih sebahagian daripada pelabuhan mereka. Biar pun tidak terbukti kesahihan khabar tersebut tetapi jika benar, itulah dia Singapura – tidak perlu menunggu jawatankuasa bertemu, haknya segera diperkukuhkan. Jauh sekali menjaga hati jiran yang hakikatnya telah disahkan bahawa kita adalah pemilik asal Batu Putih
Perlu diberi perhatian bahawa Malaysia tidak boleh lagi duduk memangku tangan atau menumpang dagu kerana terdapat kira-kira 100 pulau, terumbu karang, batu-batu dan bentuk maritim lain yang menunggu untuk disahkan hak miliknya.
Sikap berdiam diri seperti yang terjadi dalam kes Batu Putih tidak mustahil akan menyebabkan negara kehilangan satu demi satu haknya dan menyaksikan negara jiran menambah koleksi harta yang sesungguhnya boleh memberi hak yang amat istimewa serta besar peranannya.
Malah beribu-ribu pulau dan bentuk maritim lain masih kekal tidak dituntut di Laut China Selatan, Selat Melaka dan di luar perairan Sabah yang kemungkinan akan melibatkan negara-negara seperti China, Indonesia dan Vietnam jika timbul sebarang pertikaian kelak.
Sebab itu persiapan rapi termasuk pengumpulan data, maklumat dan dokumen berkaitan mesti dilakukan sekarang mengambil contoh Singapura yang memulakan penyelidikan ke seluruh dunia berhubung Batu Putih khabarnya bermula sejak berpuluh tahun lalu.
Surat jawapan 1953 antara bukti bahawa republik itu bersungguh-sungguh mencari jawapan tidak kira sama ada mempunyai unsur-unsur helah atau mengaburi mata pihak lain tentang status Batu Putih. Tiada siapa dapat membaca maksud tersirat di sebalik tersuratnya warkah pertanyaan Singapura perihal perincian Batu Putih. Segala-galanya hanya terjawab selepas 55 tahun dari tarikh tersebut.
Mungkin ramai yang bertanggapan selain soal maruah dan kedaulatan, apalah nilainya bentuk maritim seluas separuh padang bola itu atau batu-batuan yang hanya timbul jika air laut surut sehingga ia menjadi rebutan. Apatah lagi jika dilihat ciri-ciri bentuk maritim yang menimbulkan pertikaian, ada antaranya mempunyai saiz yang amat kecil, berbatu, tidak boleh didiami serta kosong dari sudut nilai ekonomi semulajadi kerana tidak boleh dibangunkan.
memperjuangkan
Namun perincian Artikel 121 (2) Undang-
Undang Laut Antarabangsa menjelaskan betapa hakikatnya ada manfaat yang amat besar berselindung di sebalik tuntutan pulau-pulau yang kecil saiznya.
Sebuah pulau mempunyai hak untuk menuntut perairan sepanjang 12 batu nautika daripada pantainya, malah lebih penting lagi pemiliknya akan memperjuangkan hak zon eksklusif ekonomi sepanjang 200 batu nautika serta pelantar benua juga pada jarak yang sama.
Fakta ini yang tidak diketahui oleh orang awam sehingga menimbulkan tanda tanya mengapa mesti kita berhabis-habisan baik dari segi wang ringgit mahu pun mengimport kepakaran asing semata-mata untuk mempertahankan bentuk maritim yang jika mahu diukur, berkelip mata dua tiga kali akan selesai prosesnya.
Kita boleh saja membayangkan betapa bagi perairan negara, pemilikan pulau atau bentuk maritim (wilayah berpantai) yang memenuhi kriteria serta syarat undang-undang laut antarabangsa akan memberi hak penguasaan dan pengawalseliaan terhadap segala aktiviti di atas dan di bawah perairan sepanjang 12 batu nautika.
Maksudnya, ruang udara dan laut bagi kawasan seluas itu akan dikuasai sepenuhnya tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana kuasa asing hatta negara berdekatan.
Manakala bagi Zon Eksklusif Ekonomi pula, negara pemilik wilayah berpantai (pulau dan bentuk maritim lain) memperoleh hak-hak ke atas segala sumber ekonomi seperti perikanan dan hasil galian dalam jarak 200 batu nautika daripada pantai.
Bayangan petroleum di dasar laut bagi perairan sepanjang 200 batu nautika semestinya menjadi perangsang dan pendorong kepada negara-negara yang berhampiran untuk memperkukuhkan tuntutan.
Profesor Madya Dr. Rohimi Shapiee dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika mengulas perihal prinsip tuntutan bertindih ke atas sesuatu wilayah, termasuk pulau mengakui bahawa pertikaian seumpama itu kebiasaannya dikaitkan dengan perebutan ke atas sumber semulajadi.
“Ini termasuk sungai, kawasan pertanian yang subur, sumber minyak atau galian, laluan perairan, atau pun pertikaian yang dicetuskan oleh faktor-faktor budaya, agama dan semangat kebangsaan sesuatu etnik,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam kebanyakan kes, perebutan wilayah terjadi akibat wujudnya kekaburan dan perkataan-perkataan yang tidak jelas di dalam triti atau perjanjian yang menetapkan garisan sempadan asal dan ia berlaku khususnya di atas sebab faktor sejarah di kebanyakan negara membangun.
Katanya, ia juga berlaku kerana peninggalan penjajah yang sewenang-wenangnya membahagi-bahagikan sempadan wilayah tanah jajahan selain disebabkan oleh proses kemerdekaan dan pembebasan wilayah-wilayah.
Oleh kerana pertikaian atau tuntutan bertindih ke atas wilayah melibatkan persoalan kedaulatan negara, maruah bangsa, dan kepentingan ekonomi yang amat sensitif, katanya, ia boleh menjerumuskan negara-negara yang terlibat dengan pertikaian jatuh ke kancah peperangan.
Sebab itu undang-undang antarabangsa menolak penggunaan kekerasan oleh mana-
mana negara dalam cubaannya untuk merampas wilayah negara lain atau wilayah yang dipertikaikan seperti dizahirkan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pertikaian dan tuntutan bertindih ke atas pulau atau gugusan pulau-pulau merupakan satu fenomena yang berlaku dengan agak berleluasa. Wujud puluhan pertikaian yang masih berlanjutan dan masih buntu dalam menemui penyelesaian termasuk kepulauan Spratly antara China – Vietnam – Indonesia – Malaysia – Filipina – Brunei.
Oleh itu, Malaysia seperti negara jiran tiada pilihan selain mengambil sikap proaktif dan bersegera membuat persiapan rapi selain bersungguh-sungguh mempertahankan hak negara. Hentikan sikap sambil lewa serta memandang ringan kelicikan negara jiran.
Malaysia mesti belajar untuk menampilkan ketegasan serta pendiriannya tanpa perlu menjaga hati negara jiran secara yang amat keterlaluan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 01 June 2008
