BAB 05 : STRATEGI SEKTOR DAN TERAS PROGRAM
I : PENDAHULUAN
5.01 Pencapaian matlamat dan objektif yang terkandung dalam Rangka
Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) ke arah mencapai hasrat bagi
menjadikan Malaysia negara maju sepenuhnya pada tahun 2020 memerlukan
penggubalan dan pelaksanaan strategi-strategi dan program¬program yang
lebih berkesan. Teras utama strategi-strategi dan program-program yang
akan digubalkan ini adalah untuk mewujudkan asas yang lebih kukuh bagi
menggalakkan pertumbuhan ekonomi dicapai secara kekal dan pencapaian
pembahagian kekayaan secara saksama. Ke arah ini, Kerajaan telah
menggubal satu dasar baru dipanggil Dasar Pembangunan Baru (DPB). DPB
akan dijuruskan ke arah mencapai tahap ekonomi yang seimbang, mempunyai
asas yang meluas dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pada masa
yang sama, peluang-peluang bagi rakyat negara ini akan ditambah untuk
meningkatkan pendapatan dan taraf hidup dengan tujuan mengurangkan
ketidakseimbangan ekonomi di kalangan mereka. Kerajaan pada asasnya
akan meneruskan pendekatan yang pragmatik dan mudahsuai dalam mengurus
pembangunan ekonomi bagi menyediakan persekitaran yang menarik untuk
pertumbuhan yang dapat dicapai melalui peningkatan paras pelaburan dan
eksport yang tinggi. Usaha untuk meningkatkan sumbangan sektor swasta
akan diperkukuhkan khususnya dengan meneruskan pelaksanaan dasar yang
liberal terhadap pelaburan swasta dan mengembangkan pelaburan sektor
awam di dalam pembangunan infrastruktur dan sumber tenaga manusia di
samping meningkatkan asas teknologi bagi memperbesarkan keupayaan untuk
pencapaian pertumbuhan.
5.02 Selaras dengan teras di atas, penekanan akan ditumpukan
kepada penggubalan strategi-strategi yang khusus bagi sektor-sektor
perindustrian, pertanian dan perkhidmatan. Sektor perindustrian
dijangka akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi. Dengan itu, teras
dasar pada masa hadapan adalah untuk memperkukuhkan asas sektor
pembuatan dan mempelbagaikan eksport keluaran sektor tersebut. Walaupun
sumbangan sektor pertanian dijangka berkurangan berbanding dengan
sektor-sektor lain, ianya akan terus memainkan peranan penting dengan
tercapainya peningkatan produktiviti melalui pemodenan dan penyatuan
sektor pekebun kecil serta peningkatan rantaian-rantaian sektor ini
dengan sektor?perindustrian. Pembangunan sektor perkhidmatan akan
diberi keutamaan bagi membolehkannya memainkan peranan sebagai sektor
utama penggerak pertumbuhan ekonomi. Teras keseluruhan dalam
penggubalan strategi¬strategi sektor adalah untuk meningkatkan tahap
pertumbuhan produktiviti dan pembangunan teknologi bagi memastikan
pencapaian pertumbuhan ekonomi yang stabil dan berterusan.
II : PENUTUP
5.79 Strategi-strategi RRJP2 digubal berlandaskan dan menokok kepada pencapaian kejayaan-kejayaan yang lepas untuk memperkukuhkan lagi proses pertumbuhan dan pengagihan pendapatan. Teras utama adalah untuk menggalakkan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, mempunyai asas yang meluas, kukuh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Ini akan menyediakan asas bagi mencapai status negara maju sepenuhnya pada tahun 2020. Ke arah pencapaian wawasan ini, ciri dan sifat dinamis sektor swasta akan terus dipertingkatkan. Strategi-strategi yang pragmatik dan mudahsuai yang merupakan ciri-ciri penting dasar ekonomi negara di masa lalu akan diteruskan dan diperkukuhkan. Usaha-usaha yang lebih giat akan diambil ke arah memperbaiki pengembelingan dan penggunaan sumber, melibatkan kecekapan bagi menambahkan daya pengeluaran dan menerap serta membangunkan teknologi di dalam sumber-sumber utama ekonomi. Bagi mencapai pembangunan negara yang berterusan, adalah perlu bagi negara untuk terus meningkatkan daya pengel-uaran sektor pertanian, mendalami dan memperluaskan struktur perindustrian serta membangunkan sektor perkhidmatan sebagai sektor pertumbuhan utama di dalam ekonomi. Semua usaha ini akan menyumbangkan ke arah mengatasi keadaan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dengan menyediakan peluang¬peluang yang lebih luas kepada golongan-golongan miskin dan kumpulan-kumpulan yang tidak berkemampuan untuk mencari sumber-sumber pendapatan lain dan menyertai kegiatan¬kegiatan sektor ekonomi moden.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008