BAB 04 : DASAR-DASAR UNTUK MATLAMAT PENGAGIHAN

I : PENDAHULUAN

4.01 Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan sepanjang 20 tahun yang lalu dengan tujuan untuk memupuk perpaduan negara menerusi pembasmian kemiskinan di kalangan semua rakyat Malaysia dan penyusunan semula masyarakat supaya dapat dihapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Bertentangan dengan pendapat setengah-setengah pihak bahawa pelaksanaan DEB telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi, Dasar ini sebaliknya telah berjaya mewujudkan suasana sosio-politik yang stabil untuk menarik pelaburan asing dan seterusnya membolehkan Kerajaan membangunkan negara. Sesungguhnya, DEB telah menghasilkan kemajuan yang ketara dalam usaha mengurangkan kemiskinan di kalangan berbagai kumpulan etnik di semua kawasan dalam negara. Kemajuan yang besar juga telah dicapai dalam usaha menyusun semula masyarakat Malaysia dan ini telah menyumbang kepada perubahan dalam corak penyertaan berbagai kaum dalam ekonomi negara. Dengan demikian, lebih ramai kaum Bumiputera dapat menyertai sektor-sektor moden dan bandar dalam ekonomi negara.

4.02 Usaha-usaha untuk terus memperbaiki agihan pendapatan, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat akan diteruskan dalam tahun-tahun selepas 1990 melalui pelaksanaan Dasar Pembangunan Baru (DPB). DPB adalah satu rangka dasar yang lebih luas yang mempunyai matlamat keseluruhan untuk mencapai pembangunan seimbang berdasarkan asas yang telah dibentuk di bawah DEB untuk mencapai matlamat utama, iaitu perpaduan negara. Ia dibentuk berasaskan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai pada masa lalu di samping mengambilkira isu-isu dan cabaran baru yang timbul bagi menentukan supaya pelaksanaannya memenuhi hasrat semua rakyat untuk menikmati faedah-faedah pembangunan ekonomi secara adil dan saksama, selaras dengan hasrat yang termaktub di dalam Rukunegara.

II : KETIDAKSEIMBANGAN SOSIO-EKONOMI MASAKINI

4.03 Semua kumpulan masyarakat dan wilayah telah mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan yang besar dalam pendapatan dan taraf hidup. Ini telah menghasilkan pengurangan yang ketara dalam kadar kemiskinan di samping peningkatan penglibatan Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dalam sektor-sektor moden ekonomi. Dasar-dasar yang melibatkan peningkatan saiz sektor awam yang diamalkan oleh Kerajaan dalam tahun-tahun tujuh puluhan, serta langkah-langkah liberalisasi dan pelonggaran peraturan yang diperkenalkan semenjak pertengahan tahun lapan puluhan, telah berjaya untuk meransang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang-peluang kepada sektor swasta untuk terus mengembangkan aktiviti per niagaan mereka. Semua ini telah dilaksanakan selaras dengan dasar Kerajaan untuk mencapai matlamat pengagihan DEB dalam konteks ekonomi yang berkembang.

4.04 Satu pencapaian DEB yang sangat menggalakkan ialah Dasar tersebut telah dapat memperbaiki dengan ketaranya agihan pendapatan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Malahan, ekonomi negara telah berjaya mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi dalam tempoh 1971-90 hasil daripada kestabilan sosial dan politik yang berjaya diwujudkan di bawah DEB. Pengurangan ketidaksamaan pendapatan adalah jelaskelihatan daripada angkali Gini yang terus berkurang daripada 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.445 pada tahun 1990 bagi semua isirumah. Satu lagi petunjuk yang menandakan bahawa agihan pendapatan semakin bertambah baik ialah peningkatan pendapatan purata isirumah 40 peratus terendah pada kadar yang lebih cepat daripada yang dialami oleh kumpulan pendapatan pertengahan dan tinggi. Hasilnya, perbezaan pendapatan di antara kumpulan isirumah 20 peratus tertinggi dan 40 peratus terendah telah bertambah rapat.

4.05 Pencapaian di dalam mengurangkan ketidaksamaan pendapatan menunjukkan kemajuan yang besar telah dicapai di dalam mengurangkan kadar kemiskinan negara daripada 52.4 peratus pada tahun 1970 kepada 17.1 peratus pada tahun 1990. Pengurangan yang besar dalam kadar kemiskinan ini hanya sebahagian sahaja disebabkan oleh peningkatan produktiviti dan pendapatan di kalangan kumpulan-kumpulan sasaran seperti pekebun kecil getah, pekerja ladang, penanam padi dan nelayan. Punca utama kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan, terutamanya dalam tahun-tahun lapan puluhan,adalah pertumbuhan ekonomi yang telah memperluaskan peluang-peluang perkerjaan dalam sektor- sektor bukan tradisional yang membolehkan golongan miskin mempelbagaikan sumber-sumber pendapatan mereka, di samping mengurangkan pergantungan kepada aktiviti-aktiviti tradisional yang berpendapatan dan berproduktiviti rendah. Berikutan dari wujudnya peluang-peluang baru ini, dan di samping keadaan pasaran buruh yang ketat yang mengurangkan pengangguran, bahagian pendapatan isirumah dari sumber gaji dan upah semakin meningkat. Peralihan kepada pekerjaan bergaji di kalangan isirumah luar bandar merupakan faktor yang paling penting yang menyebabkan berkurangnya kemiskinan di dalam negara.

4.06 Peralihan yang semakin meningkat ke arah menjadikan sektor moden sebagai sumber pekerjaan dan pendapatan, jelas kelihatan melalui peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh di kalangan penduduk luar bandar, di samping pertambahan bilangan wanita Melayu mencari pekerjaan, terutamanya di dalam industri elektronik dan tekstil, serta penghijrahan buruh luar bandar secara beramai-ramai ke pusat-pusat bandar utama. Berikutan dengan itu, bahagian gunatenaga Bumiputera dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan telah meningkat dengan banyaknya daripada 37.5 peratus pada tahun 1970 kepada 51.4 peratus pada tahun 1990. Ini telah memberi sumbangan besar ke arah memperbaiki tingkat pendapatan Bumiputera, corak penyusunan semula gunatenaga dan pengurangan ketidakseimbangan etnik dalam ekonomi.

4.07 Program-program DEB yang telah memberi kesan terbesar kearah perubahan ini ialah pendidikan, kesihatan, jalan-jalan luar bandar dan perhubungan. Perbelanjaan besar yang telah diperuntukkan di bawah rancangan-rancangan pembangunan yang lepas untuk program-program tersebut dan juga untuk program kemudahan sosial seperti bekalan elektrik dan air, telah memainkan peranan utama dalam meningkatkan keupayaan mendapat kerja dan mobiliti sosial di kalangan tenaga buruh, di samping memperluaskan keupayaan golongan miskin untuk mendapatkan sumber-sumber pendapatan yang lain. Pendidikan khususnya, merupakan faktor paling penting yang telah membolehkan Bumiputera menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi utama dalam sektor swasta dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor perdagangan dan perindustrian.

Agihan Pendapatan dan Kemiskinan

4.08 Sungguhpun kemajuan besar telah dicapai dalam usaha memperbaiki agihan pendapatan di bawah DEB, perlu diambil perhatian bahawa perbezaan pendapatan dan ketidakseimbangan sosio-ekonomi di dalam negara masih lagi luas dari segi kumpulan etnik dan wilayah. Pada tahun 1990, bahagian pendapatan isirumah kumpulan 40 peratus terendah adalah 14.5 peratus berbanding dengan 50.3 peratus bagi isirumah 20 peratus tertinggi. Dari segi perbezaan pendapatan di Semenanjung Malaysia, ini bermakna bahawa purata pendapatan bulanan isirumah sebanyak $421 bagi kumpulan 40 peratus terendah berbanding dengan $2,924 bagi kumpulan 20 peratus tertinggi. Di Sabah dan Sarawak, perb andingan yang sama menunjukkan perbezaan sebanyak kira-kira tujuh kali ganda di antara kumpulan berpendapatan rendah dengan kumpulan berpendapatan tinggi. 4.09 Dari segi kumpulan etnik, sungguhpun nisbah pendapatan purata Bumiputera berbanding dengan kaum Cina telah bertambah baik daripada kira-kira 44 peratus pada tahun 1970 kepada 59 peratus pada tahun 1990, perbezaan pendapatan didalam sektor-sektor dan pekerjaan tertentu masih lagi tinggi. Dalam sektor pembuatan, pendapatan purata isirumah Bumiputera adalah sebanyak $958 dan bukan Bumiputera pula $1,635, berbanding dengan pendapatan dalam sektor pertanian, iaitu $609 bagi Bumiputera dan $959 bagi bukan Bumiputera. Di dalam jenis pekerjaan profesional dan teknikal, pendapatan purata bagi Bumiputera ialah $1,919 berbanding dengan $2,940 bagi bukan Bumiputera. Sementara itu, dalam kategori pekerjaan perkhidmatan, perbezaannya ialah kira-kira dua kali ganda.

4.10 Perbezaan pendapatan di dalam sesuatu kumpulan etnik sendiri adalah juga masih besar. Ketidaksamaan di kalangan Bumiputera adalah didapati lebih tinggi berbanding dengan bukan Bumiputera. Pada tahun 1990, angkali Gini bagi Bumiputera adalah 0.428 sementara bagi kaum Cina adalah 0.423 dan kaum India, 0.394. Satu lagi perbandingan ialah bagi isirumah Cina, perbezaan pendapatan purata di antara kumpulan 20 peratus tertinggi dengan kumpulan 20 peratus terendah ialah sebanyak 8.6 kali sementara bagi isirumah Bumiputera, perbandingan yang serupa menunjukkan perbezaan sebanyak 9.2 kali.

4.11 Sungguhpun perbezaan pendapatan antara bandar dan luar bandar adalah semakin rapat, pendapatan purata luar bandar di Semenanjung Malaysia hanya merupakan kira-kira 58 peratus daripada pendapatan bandar pada tahun 1990. Ini menunjukkan bahawa jurang perbezaan tersebut adalah masih luas. Di Sabah dan Sarawak, nisbah pendapatan purata antara luar bandar dengan bandar adalah masing-masing sebanyak 60 peratus dan 54 peratus.

4.12 Analisis di atas pada asasnya menunjukkan bahawa kemajuan agihan pendapatan dalam dua dekad yang lalu tidak dicapai secara samarata di kalangan ketiga-tiga kumpulan etnik yang utama. Keadaan ini disebabkan oleh perbezaan yang wujud dari segi kemahiran tenaga manusia dan pemilikan harta. Di samping itu, terdapat juga perbezaan dari segi mendapatkan kemudahan modal serta tahap pencapaian pendidikan dan corak gunatenaga, sama ada dalam sektor-sektor atau jenis-jenis pekerjaan. Sebahagian besar kedudukan corak gunatenaga adalah dipengaruhi oleh tahap pencapaian pendidikan, dan dalam hal ini, didapati Bumiputera lebih ramai terlibat dalam kategori-kategori pekerjaan yang rendah daripada yang tinggi. Walau bagaimanapun, berikutan dari kemajuan besar yang dicapai dalam tempoh 20 tahun yang lalu untuk memperbaiki tahap pendidikan Bumiputera, jurang perbezaan yang luas dari segi pencapaian pendidikan yang wujud di kalangan kumpulan umur yang lebih muda di antara berbagai kaum telah bertambah rapat.

4.13 Kemiskinan mutlak dalam negara adalah diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). PGK ini mengambilkira keperluan minimum untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal serta perbelanjaan lain yang perlu untuk mengekalkan sesebuah isirumah dalam keadaan taraf hidup yang selesa. Dengan menggunakan PGK, kadar kemiskinan dianggarkan secara langsung dengan mengira bilangan isirumah yang mempunyai pendapatan di bawah garis tersebut. Bagi tahun 1990, PGK ialah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isirumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isirumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isirumah 5.2 di Sarawak.

4.14 Selaras dengan peningkatan pendapatan dan taraf hidup secara menyeluruh seperti yang dapat dilihat melalui pertambahan pendapatan sebenar di kalangan kumpulan 40 peratus terendah daripada kira-kira $76 kepada $176, kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia telah berkurang daripada kira-kira 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 15 peratus pada tahun 1990, iaitu lebih baik daripada matlamat di bawah RangkaRancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) sebanyak 16.7 peratus. Di Sabah dan Sarawak, kadar tersebut telah berkurang masing-masing kepada 34.3 peratus dan 21 peratus. Dari segi golongan termiskin, yang ditakrifkan sebagai isirumah yang menerima pendapatan kurang daripada separuh PGK, bilangan yang terlibat juga telah berkurang menjadi kira-kira 143,100 atau 4 peratus daripada jumlah isirumah. Tahap kemiskinan ini adalah dianggap rendah mengikut ukuran antarabangsa dan tidak boleh dibandingkan dengan corak kemiskinan yang keterlaluan yang wujud di beberapa negara lain. Golongan termiskin ini terdiri daripada me-reka yang ketinggalan dalam proses pembangunan negara sama ada disebabkan terlalu miskin, terlalu tua atau tinggal di kawa san yang terpencil untuk mendapat faedah daripada program-program pembangunan.

4.15 Walaupun kadar kemiskinan telah berkurangan bagi semua negeri, ianya masih lagi tinggi di beberapa negeri tertentu. Terengganu mempunyai kadar kemiskinan yang paling tinggi iaitu kira-kira 31 peratus pada tahun 1990, sungguhpun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) perkapitanya merupakan antara yang tertinggi di Malaysia kerana sumbangan daripada petroleum. Kedah dan Kelantan mempunyai kadar kemiskinan masing-masing sebanyak kira-kira 30 peratus. Di Sabah, kira-kira 34 peratus daripada isirumah dianggarkan masih miskin pada tahun 1990, manakala di Sarawak, kadar kemiskinannya ialah 21 peratus. Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor pula terus mengekalkan kadar kemiskinan yang terendahiaitu kurang daripada 10 peratus.

4.16 Walaupun isirumah berpendapatan rendah telah dapat menikmati kemudahan-kemudahan asas dalam tempoh RRJP1, kemajuan yang dicapai tidaklah sama rata di kalangan negeri-negeri. Oleh yang demikian, pada tahun 1990, sungguhpun kira-kira 82 peratus daripada isirumah miskin di Semenanjung Malaysiamenikmati kemudahan elektrik, di Sabah hanya 47 peratus sahaja isirumah miskin mempunyai kemudahan tersebut manakala di Sarawak, 50 peratus. Dari segi bekalan air paip, liputannya adalah lebih rendah, iaitu masing-masing sebanyak 57 peratus, 20 peratus dan 15 peratus daripada isirumah miskin di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Liputan kemudahan pendidikan pula terus meningkat di kalangan golongan miskin. Kira-kira 94 peratus daripada isirumah miskin di Semenanjung Malaysia, 85 peratus di Sabah dan 64 peratus di Sarawak menerima bantuan buku teks.

4.17 Dari segi kemudahan kesihatan pula, kira-kira 71 peratus daripada golongan miskin di Semenanjung Malaysia, 35 peratus di Sabah dan 20 peratus di Sarawak, tinggal dalam jarak 5 kilometer daripada klinik desa. Dalam hubungan ini, pada tahun 1986, Kerajaan telah mengenalpasti kes-kes terpencil kekurangan zat makanan yang ketara yang melibatkan seramai 12,000 kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan berat badan. Kebanyakan mereka adalah didapati di negeri-negeri Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan. Menjelang tahun 1990, kemajuan besar telah dicapai dalam menyelesaikan masalah ini, terutamanya menerusi penumpuan yang lebihkepada program makanan dan pemakanan, lawatan yang kerap dankhidmat nasihat oleh kakitangan perubatan.

Penyusunan Semula Corak Gunatenaga

4.18 Sungguhpun terdapat kemajuan di bawah DEB untuk menyusun semula corak gunatenaga supaya mencerminkan komposisi berbagai kumpulan etnik dalam negara, namun ketidakseimbangan gunatenaga terus wujud di peringkat profesional dan pengurusan serta dalam jenis-jenis pekerjaan teknikal dan mahir. Walaupun bahagian gunatenaga Bumiputera dalam sektor pembuatan telah meningkat kepada kira-kira 50.3 peratus daripada jumlah bagi sektor tersebut pada tahun 1990, ianya lebih tertumpu kepada pekerjaan di peringkat rendah. Bahagian gunatenaga Bumiputera di peringkat profesional dan pengurusan dalam sektor tersebut hanya merupakan kira-kira 26 peratus manakala di peringkat teknikal dan penyeliaan adalah kira-kira 36 peratus.

4.19 Secara keseluruhannya, gunatenaga Bumiputera dalam kategori profesional dan teknikal ialah kira-kira 60.3 peratus tetapi hampir separuh daripadanya adalah dalam profesion guru dan jururawat. Di dalam beberapa pekerjaan profesional berpendapatan tinggi seperti arkitek, akauntan dan doktor, bahagian gunatenaga Bumiputera hanya merupakan 29 peratus daripada jumlah dalam tahun 1990. Di dalam kategori pengurusan dan pentadbiran pula, bahagian gunatenaga mereka ialah kira-kira 33.3 peratus berbanding dengan bahagian kaum Cina, 58.7 peratus dan kaum India, 5.3 peratus. Ketidakseimbangan struktur pekerjaan ini adalah lebih ketara didalam sektor swasta di mana wujudnya sejumlah besar pekerjaan. Penyertaan gunatenaga Bumiputera di peringkat pengurusan dalam industri-industri utama seperti perladangan, perlombongan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan kewangan, meningkat daripada 11 peratus kepada 27.9 peratus, sementara bahagian kaum India kekal pada tahap 6.4 peratus. Keadaan ini menunjukkan terdapatnya peluang yang luas untuk terusmemperbaiki corak gunatenaga di sektor swasta.

4.20 Satu masalah utama berkaitan dengan penyusunan semula gunatenaga ialah kekurangan penawaran tenaga kerja terlatih dalam berbagai bidang. Meskipun terdapat pelaburan sektor awam yang besar dalam bidang pendidikan, jumlah golongan profesional dan pekerja Bumiputera yang berkelayakan dan terlatih masih tidak mencukupi. Ini antara lain, disebabkan oleh pencapaian yang terhad di kalangan pelajar Bumiputera, khususnya daripada kawasan luar bandar yang mengalami kadar keciciran yang lebih tinggi berbanding dengan bukan Bumiputera. Keadaan ini disebabkan oleh berbagai faktor seperti kekurangan kemudahan-kemudahan pendidikan moden dan bermutu, pendapatan keluarga yang rendah, kekurangan makanan berzat dan persekitaran sosial yang tidak sesuai bagi pembelajaran yang berkesan.

Penyusunan Semula Hakmilik Dalam Sektor Syarikat

4.21 Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4-1, bahagian Bumiputera dalam pemilikan modal saham pada tahun 1990 berjumlah kira-kira $22,298 juta atau 20.3 peratus daripada jumlah saham sektor syarikat. Di bawah kategori bukan Bumiputera, kaum Cina memiliki kira-kira $49,300 juta atau 44.9 peratus, manakala kaum India memiliki kira-kira $1,000 juta atau 1 peratus. Pemastautin asing memiliki kira-kira $27,500 juta atau 25.1 peratus. Kepentingan syarikat calon adalah berjumlah $9,220 ribu juta atau 8.4 peratus.

4.22 Sungguhpun Bumiputera tidak mencapai matlamat 30 peratus pemilikan modal saham pada tahun 1990, kemajuan yang dicapai oleh mereka sebenarnya adalah besar. Dari segi kadar pertumbuhan, pemilikan modal saham Bumiputera telah bertambah pada kadar purata 29.6 peratus setahun dalam tempoh RRJP1, iaitu lebih tinggi daripada pertumbuhan purata bagi keseluruhan sektor syarikat sebanyak 16.3 peratus. Pertumbuhan ini adalah berpunca terutamanya dari sumbangan oleh agensi-agensi amanah dan institusi-institusi Bumiputera seperti Skim Amanah Saham Nasional (ASN). Pertambahan penyertaan modal saham oleh agensi-agensi dan institusi-institusi inilah yang membolehkan Bumiputera mempunyai penguasaan yang lebih besar dalam sektor syarikat dan memberi peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian di peringkat pengurusan dan membuat keputusan di dalam syarikat-syarikat berkenaan.

4.23 Daripada jumlah hakmilik Bumiputera, kira-kira $13,300 juta adalah dimiliki oleh agensi-agensi amanah dan institusi-institusi yang terlibat dalam penggemblengan tabungan Bumiputera seperti Skim ASN, Amanah Saham MARA, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) dan koperasi-koperasi, manakala bakinya sebanyak $9,000 juta dimiliki oleh Bumiputera sebagai pelabur-pelabur individu. Jumlah yang dimiliki secara individu oleh Bumiputera ini adalah merupakan kira-kira 8.2 peratus daripada keseluruhan jumlah modal saham. Dalam hubungan ini, daripada jumlah saham baru yang didaftarkan di Pejabat Pendaftar Syarikat dalam tempoh 1981-90, didapati hanya kira-kira 6 peratus sahaja dimiliki oleh Bumiputera perseorangan.

4.24 Pemegangan modal saham oleh Bumiputera perseorangan dan agensi amanah adalah tertumpu terutamanya di dalam sektor perladangan, perlombongan, bank dan kewangan, dengan bahagian pemilikan dalam lingkungan 11 peratus hingga 35 peratus. Ini membolehkan mereka menikmati sebahagian daripada penguasaan dan pemilikan dalam syarikat-syarikat besar di sektor-sektor tersebut.

4.25 Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menjadi agensi utama bagi pemilikan modal saham Bumiputera. Semenjak tahun 1981, Skim ASN telah berjaya menarik seramai 2.5 juta pelabur Bumiputera dan mengumpulkan sebanyak $11,000 juta modal Bumiputera. Walau bagaimanapun, agihan di kalangan pelabur-pelabur menunjukkan wujudnya satu corak pemilikan yang tidak seimbang. Secara puratanya, hanya kira-kira 8 peratus sahaja daripada pelabur Skim tersebut memiliki lebih daripada 10,000 unit, manakala sebahagian b-esar daripada mereka pada puratanya memegang kira-kira 500 unit. Ini menggambarkan tahap tabungan yang rendah di kalangan sebahagian besar masyarakat Bumiputera. Pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)

4.26 Adalah menjadi matlamat utama DEB untuk membangunkan sebuah MPPB yang berdaya maju. Walau bagaimanapun, pencapaian DEB di dalam bidang ini didapati paling rendah, terutamanya dalam aktiviti-aktiviti perindustrian seperti industri kecil dan sederhana (IKS) serta aktiviti-aktiviti pembuatan yang lain. Sungguhpun dari segi jumlah, bilangan syarikat yang dimiliki oleh Bumiputera di kedua-dua sektor korporat dan bukan-korporat telah meningkat, bilangan tersebut sebenarnya kecil dari segi saiz dan perolehan jika dibandingkan dengan yang dimiliki oleh bukan Bumiputera. Di dalam industri-industri perkhidmatan seperti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan perkapalan, hotel dan penginapan, pengangkutan dan industri kecil, sungguhpun pemilikan Bumiputera dari segi bilangan telah meningkat kepada kira-kira 34 peratus pada tahun 1988, bahagian mereka daripada jumlah perolehan perniagaan adalah kurang daripada 21 peratus.

4.27 Di dalam sektor perdagangan borong dan runcit, daripada kira-kira 152,000 lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di Semenanjung Malaysia pada penghujung tahun 1990, kira-kira 28 peratus adalah dimiliki oleh peniaga-peniaga Bumiputera. Daripada jumlah yang dimiliki oleh mereka, kira-kira 46 peratus merupakan perniagaan kecil-kecilan manakala selebihnya adalah perniagaan runcit seperti pasar mini dan pasar raya. Sementara itu, daripada 21,000 syarikat pengedar yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian pada tahun 1987, kira-kira 14.5 peratus merupakan pengedar Bumiputera. Kira-kira 35 peratus daripada syarikat dan pertubuhan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia (TDC) pada tahun 1990 adalah merupakan milik Bumiputera dan lebih separuh daripadanya terlibat dalam aktiviti perkhidmatan pengangkutan dan perjalanan.

4.28 Kebanyakan daripada saiz perniagaan Bumiputera adalah juga kecil. Kira-kira 77 peratus daripada usahawan Bumiputera yang berdaftar sebagai pembekal dengan Kementerian Kewangan mempunyai purata modal berbayar kurang daripada $30,000. Sebanyak 89 peratus daripada mereka yang terlibat di dalam industri kecil pula mempunyai modal purata kurang daripada $50,000, sementara kira-kira 62 peratus daripadakontraktor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor adalah di dalam kelas F. Ciri-ciri ini juga menggambarkan tahap kemampuan Bumiputera dalam mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi-institusi kewangan. Pada amnya, keupayaan mereka untuk mendapat kredit adalah terhad kepada jumlah yang lebih kecil iaitu kurang daripada $100,000. Pembekalan dan kontrak oleh Bumiputera untuk kerja-kerja dan perkhidmatan Kerajaan merupakan hanya antara 12 hingga 15 peratus sahaja dari pada nilai keseluruhan kontrak yang ditawarkan.

4.29 Tahap teknologi, kepakaran pengurusan, pendidikan, pengalaman dan pendedahan kepada persaingan perniagaan adalah rendah di kalangan usahawan Bumiputera. Antara sebab-sebab utamanya ialah kekurangan keupayaan pengurusan dan organisasi, kesukaran mendapat kredit serta persaingan yang dihadapi dengan agensi-agensi Kerajaan bagi mendapatkan bahan dan bekalan. Dalam hal ini, peranan organisasi seperti Dewan Perniagaan Melayu di Semenanjung Malaysia dan organisasi-organisasi seumpamanya di Sabah dan Sarawak didapati tidak begitu berkesan. Walau bagaimanapun, semenjak pertengahan tahun 1980an, organisasi-organisasi ini telah mengambil langkah-langkah positif untuk membantu ahli¬ahlinya mengatasi masalah kewangan dengan membuat perhubungan yang lebih berkesan dengan sektor awam dan swasta.

III : DASAR-DASAR UNTUK MENCAPAI MATLAMAT PENGAGIHAN

4.30 Strategi-strategi untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di bawah DPB akan terus dilaksanakan menerusi pertumbuhan ekonomi. Tingkat pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan yang tinggi akan menyediakan peluang-peluang yang lebih luas kepada golongan miskin untuk beralih dari sektor-sektor yang berproduktiviti rendah dan tradisional kepada aktiviti-aktiviti berpendapatan tinggi di dalam sektor-sektor moden ekonomi. Oleh itu, dasar-dasar ekonomi akan ditumpukan kearah memperku-kuhkan proses pertumbuhan kerana ia merupakan asas penting untuk mencapai matlamat pengagihan di bawah DPB.

4.31 Di samping itu, Kerajaan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang akan membolehkan golongan miskin menikmati faedah yang saksama dari pembangunan ekonomi dan yang dapat memperbaiki lagi agihan pendapatan. Dalam melaksanakan dasar-dasar ini, DPB akan mengambilkira beberapa faktor. Pertama, dengan kemajuan pesat yang telahpun dicapai dalam mengurangkan kadar kemiskinan, masalah kemiskinan tidak lagi sebegitu besar atau serius seperti yang wujud pada permulaan DEB dua puluh tahun yang lalu. Sebahagian besar daripada masalah kemiskinan yang berbentuk umum boleh diatasi melalui proses pertumbuhan ekonomi. Kedua, dengan adanya kemudahan pendidikan dan latihan serta peluang-peluang pekerjaan yang lebih banyak di dalam sektor bukan pertanian, golongan mis¬kin akan mengalami mobiliti sosial dengan lebih pesat danseterusnya akan dapat mengatasi masalah kemiskinan. Ketiga, selaras dengan perubahan struktur yang berlaku dalam ekonomi, isirumah luar bandar akan semakin kurang bergantung kepada sumber pendapatan tradisional seperti pekebunan kecil getah, penanaman padi dan penangkapan ikan. Oleh kerana prospek untuk terus meningkatkan produktiviti di dalam aktiviti-aktiviti ini adalah terhad, program-program pembasmian kemiskinan dalam sektor pertanian yang telah dilaksanakan dalam tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan bagi membantu kumpulan-kumpulan miskin mungkin tidak lagi begitu berkesan pada masa ini. Oleh itu, perubahan dalam reka bentuk dan pelaksanaan program ini perlu dibuat dengan tujuan mengubahsuai skop penglibatan Kerajaan dan memberi penekanan terhadap unsur-unsur penyatuan tanah, pembentukan estet-estet dan pengurusan secara swasta supaya skim-skim ini menjadi lebih bercorak komersil.

4.32 Oleh yang demikian, secara keseluruhannya Kerajaan akan mengkaji semula pendekatan yang diamalkan dalam pelaksanaan dasar-dasar membasmi kemiskinan dengan mengambilkira perubahan yang sedang berlaku di dalam ekonomi. Selaras dengan itu, program-program akan disesuaikan supaya memberi tumpuan kepada aspek-aspek yang kritikal dalam membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan tidak lagi menggunakan pendekatan secara meluas seperti yang diamalkan pada masa-masa lalu. Seterusnya, penekanan program-program pembasmian kemiskinan akan beralih kearah memenuhi keperluan-keperluan tertentu golongan termiskin bagi membantu mereka mengatasi masalah kemiskinan. Selain dari itu, program berkenaan juga akan ditumpukan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari wilayah¬wilayah yang kurang mendapat perkhidmatan dan negeri-negeri kurang maju bagi mendapatkan kemudahan asas yang lebih baik.

4.33 Pelaksanaan dasar-dasar yang bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam sektor-sektor moden ekonomi kebanyakannya telah berjaya dari segi pencapaian matlamat kuantitatif. Di bawah DPB, penekanan yang lebih akan diberi ke arah meningkatkan kualiti penyertaan, dan mempastikan supaya kemajuan pesat yang telah dicapai sebelum ini akan terus dikekal dan dipertingkatkan. Oleh itu, tidak ada matlamat kuantitatif yang khusus ditetapkan untuk peningkatan hakmilik modal saham di dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2). Sementara usaha¬usaha akan terus dibuat untuk meningkatkan pemilikan modal saham Bumiputera ke arah matlamat sekurang-kurangnya 30 peratus, penekanan yang lebih akan diberi kepada pembangunan kepimpinan, pengurusan dan keusahawanan, memandangkan bidang-bidang inilah yang paling kurang berjaya dalam usaha penyusunan semula masyarakat yang lalu.

4.34 Selaras dengan penjelasan di atas, penekanan dan teras utama bagi mencapai matlamat pengagihan di bawah RRJP2 adalah seperti berikut:

* pembasmian kemiskinan akan memberi lebih tumpuan terhadap golongan termiskin tanpa mengira kaum, dengan meningkatkan pendapatan dan memperbaiki liputan perkhidmatan sosial yang asas di kalangan mereka;

* kemiskinan relatif akan juga diberi perhatian berikutan daripada kebimbangan bahawa di dalam keadaan kemiskinan mutlak sedang berkurangan, beberapa kumpulan dan wilayah dalam negara masih tidak mendapat kemudahan dan peluang yang samarata yang dihasilkan oleh proses pembangunan;

* usaha untuk menyusun semula masyarakat ke arah menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi akan diasaskan kepada pertimbangan bahawa, walaupun dasar-dasar untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi akan terus memberi keutamaan kepada Bumiputera kerana mereka masih merupakan golongan terbesar yang masih ketinggalan dalam negara, keperluan masyarakat-masyarakat lain akan juga diberi perhatian yang sewajarnya;

* sementara aspek penyusunan semula modal saham dalam sektor syarikat akan diteruskan, tumpuan utama strategi penyusunan semula adalah untuk meningkatkan gunatenaga dan penyertaan pengurusan di kalangan Bumiputera di semua peringkat dalam sektor moden serta mewujudkan MPPB yang lebih berdaya maju dan berdaya tahan. Dalam hal ini, peranan agensi-agensi awam untuk menggalakkan penglibatan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor¬sektor perindustrian dan perdagangan akan diteruskan supaya menjadi lebih berkesan; dan

* dorongan untuk mencapai keseimbangan wilayah yang lebih saksama akan ditumpukan kepada penyusunan semula ekonomi negeri-negeri yang kurang maju berdasarkan kepada sumber semula jadi dan faedah berbanding negeri-negeri tersebut. Pendekatan ini sekaligus akan memberi sumbangan kepada pengurangan ketidaksamaan pendapatan dan ketidakseimbangan etnik dalam negara.

4.35 Pelaksanaan semua teras ini dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang akan dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan semangat Rukunegara supaya tidak ada sesiapa pun di dalam masyarakat akan merasa kerugian atau hak mereka tergugat.

V : PENYUSUNAN SEMULA MASYARAKAT

4.48 Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi akan kekal menjadi matlamat terakhir strategi penyusunan semula masyarakat. Dalam hubungan ini, matlamat utama DPB adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke satu tahap di mana syarikat dan usahawan Bumiputera akan menjadi lebih berdaya maju dan teguh. Ini akan dicapai dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi meningkatkan gunatenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk sebuah masyarakat pedagang an dan perindustrian yang berdaya maju dan teguh di kalangan Bumiputera. Peningkatan gunatenaga Bumiputera, terutamanya di peringkat pekerjaan yang lebih tinggi di sektor-sektor ekonomi moden, adalah perlu untuk mencapai matlamat mewujudkan satu kumpulan eksekutif dan usahawan Bumiputera yang lebih besar dan dapat memperkukuhkan MPPB. Oleh kerana sumber upah dan gaji merupakan sebahagian besar daripada pendapatan isirumah, pertambahan gunatenaga Bumiputera akan dapat membantu ke arah mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.

4.49 Penyusunan semula hakmilik akan menjadi satu lagi cara untuk melaksanakan strategi ini. Satu tahap pemilikan yang berkesan oleh Bumiputera adalah perlu untuk membolehkan mereka mempunyai kepentingan dalam pertumbuhan sektor-sektor moden ekonomi dan seterusnya menyertai pengurusan dalam sektor tersebut. Dengan demikian, mereka boleh melibatkan diri dan mempunyai pengaruh dalam proses membuat keputusan-keputusan penting seperti gunatenaga serta penentuan rangkaian pemasaran dan pengedaran.

Pembangunan Sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera

4.50 Pembangunan sebuah MPPB akan terus menjadi teras pent¬ing dalam proses penyusunan semula kerana hanya dengan adanya bilangan usahawan yang mencukupi dan berkebolehan serta syarikat-syarikat yang berdaya maju, masyarakat Bumiputera akhirnya akan dapat menentukan kejayaan mereka dalam sektor perdagangan dan perindustrian. Memandangkan kemajuan terhad yang dicapai dalam tempoh RRJP1, satu rangka kerja yang lebih jelas dan selaras akan dibentuk di bawah RRJP2 untuk mencapai matlamat ini. Dalam hubungan ini, peranan PNB akan diperkukuhkan bagi membolehkannya menggembleng dengan berkesan tabungan Bumiputera di samping memainkan peranan yang lebih aktif dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera.

4.51 Proses mewujudkan MPPB akan mengambilkira keperluan Bumiputera untuk menyertai persekitaran yang menggalakkan kecekapan dan persaingan. Oleh itu, walaupun dasar dan pro¬gram Kerajaan akan terus menyediakan sokongan yang perlu kepada usahawan Bumiputera, mereka diharap akan memajukan aktiviti perniagaan berasaskan usaha mereka sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi Kerajaan. Bagi tujuan ini, latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diberi lebih penekanan. Selanjutnya, peranan perbadanan awam dan agensi-agensi amanah akan juga ditujukan untuk memberi sokongan yang lebih berkesan ke arah membangunkan perniagaan Bumiputera dan bukan bersaing dengan mereka. Pengurus-pengurus perniagaan Bumiputera, terutamanya di sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan moden, akan juga diberi peluang untuk mengembangkan bakat mereka sebagai usahawan dalam berbagai sektor ekonomi. Sebagai langkah jangka panjang, satu program untuk memupuk usahawan muda daripada sistem persekolahan akan juga diberi lebih penekanan.

4.52 Penyertaan Bumiputera secara meluas di sektor-sektor moden, terutamanya pembuatan danperkhidmatan, akan diberi penekanan selaras dengan peningkatan peranan yang lebih besar dan dinamik sektor ini pada masa hadapan. Perhatian khusus akan diberi kepada penyertaan mereka di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise yang telah dikenalpasti sebagai strategi yang berpotensi untuk memupuk pembangunan keusahawanan. Dalam hubungan ini, usahasama secara penuh dan aktif di a-ntara Bumiputera dengan bukan Bumiputera akan digalak untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan mereka. Di samping itu, usaha yang lebih bersungguh-sungguh akan dijalankan untuk mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti-aktiviti pembinaan, kerja-kerja pembaikan, mekanik motor, stesyen minyak petrol dan lain-lain supaya dapat memberikan mereka lebih banyak peluang meningkatkan pendapatan di kawasan-kawasan bandar.

4.53 Bagi memajukan peniaga dan usahawan Bumiputera yang berpotensi, sistem kuota, perlesenan dan keutamaan akan terus diperlukan sehingga ke satu masa apabila sekumpulan usahawan Bumiputera yang mencukupi telah dapat diwujudkan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini akan memastikan hanya Bumiputera yang mempunyai potensi, kesungguhan dan rekod perniagaan yang baik akan diberi bantuan supaya matlamat untuk mewujudkan MPPB yang berdaya maju dan teguh di bawah DPB menjadi kenyataan. Untuk memperbanyakkan bilangan usahawan Bumiputera yang berjaya, mereka yang sudah berjaya dan yang berpotensi akan digalakkan menjadi lebih berdikari dan mampu bersaing di dalam ekonomi. Tambahan lagi, untuk membolehkan Bumiputera mendapat kemudahan yang lebih luas dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian, berbagai kemudahan sokongan seperti kewangan, latihan dan khidmat nasihat serta perundingan akan disediakan secara bersepadu. Peluang untuk mendapatkan kredit dan ruang niaga dengan lebih mudah akan diberikan terutamanya kepada mereka yang menunjukkan potensi berdaya maju dan mempunyai daya cipta. Memandangkan Bumiputera mungkin tidak mempunyai latarbelakang perniagaan, pengalaman dan kemahiran yang mencukupi dalam mengurus perniagaan moden, sumber daripada PNB dan lain-lain institusi pembangunan keusahawanan akan juga digembleng untuk membantu mereka yang berpotensi menjadi lebih berjaya dalam perniagaan.

4.54 Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dengan berkesan dalam persekitaran perniagaan moden, pendedahan kepada teknologi terbaru, sama ada dari dalam dan luar negeri, adalah perlu. Ini akan dilaksanakan selaras dengan penekanan yang diberi kepada pembangunan sumber tenaga manusia pada tahun-tahun akan datang. Langkah-langkah akan juga diambil untuk membolehkan mereka mendapatkan kemudahan yang lebih luas kepada modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Penyusunan Semula Gunatenaga dan Pembangunan Sumber Manusia

4.55 Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan terus memastikan supaya corak gunatenaga di berbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi berbagai kumpulan etnik dalam negara.

4.56 Dalam tempoh RRJP2, dasar dan strategi untuk penyusunan semula gunatenaga akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, terutamanya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Seperti yang ditunjukkan dalamJadual-jadual 4-3, 4-4 dan 4-5, daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka dapat diwujudkan, kira-kira 55.8 peratus atau 1.3 juta daripadanya akan diambil oleh Bumiputera. Daripada jumlah ini, kira-kira 706,700 pekerjaan adalah merupakan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 pekerjaan dalam sektor pembuatan Dari segi kategori pekerjaan pula, kira-kira 68.4 peratus daripada pertambahan gunatenaga baru dalam kategori profesional dan teknikal dijangka akan diambil oleh Bumiputera. Walau bagaimanapun, hampir separuh daripada jumlah pekerjaan profesional dan teknikal ini adalah dalam bidang perguruan dan kejururawatan.

4.57 Untuk membolehkan tenaga kerja luar bandar meningkatkan mobilitinya, usaha-usaha akan dibuat bagi memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran mereka. Seterusnya, bagi menghasilkan lebih ramai Bumiputera yang berkelayakan dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal, dasar semasa mengenai kuota kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi di kalangan pelbagai kumpulan etnik akan diteruskan. Disamping itu, Kerajaan akan menggalakkan perusahaan-perusahaan dan syarikat¬syarikat swasta untuk mengambil bahagian dengan lebih giat dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan selaras dengan matlamat penyusunan semula gunatenaga. Untuk membolehkan lebih ramai siswazah Bumiputera mendapat pekerjaan dalam sektor swasta, langkah-langkah positif juga akan diambil dengan kerjasama sektor swasta untuk menyediakan peluang-peluang kepada mereka bagi meningkatkan tahap kemahiran dan keupayaan melalui latihan, latihan semula dan penempatan.

4.58 Berikutan dari pertumbuhan ekonomi yang dijangkakan tinggi dalam tempoh RRJP2 dan keadaan pasaran buruh yang semakin mengetat, Bumiputera tidak akan menghadapi begitu banyak masalah untuk mendapatkan pekerjaan di peringkat rendah dalam sektor industri dan perkhidmatan moden. Walau bagaimanapun, mereka mungkin menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan peringkat tertinggi, terutamanya dalam bidang profesional dan teknikal, memandangkan kurangnya bilangan mereka yang layak yang disebabkan, antara lain, oleh kelewatan menceburi bidang pendidikan tinggi. Selaras dengan itu, peranan Kerajaan dalam menyusun semula corak gunatenaga akan ditumpukan kepada jenis pekerjaan di peringkat yang lebih tinggi dan dalam syarikat-syarikat perniagaan yang lebih besar dalam sektor syarikat, terutamanya di sektor-sektorperdagangan, perindustrian dan perkhidmatan.

4.59 Penyusunan semula gunatenaga akan juga mengambilkira keperluan untuk meningkatkan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor-sektor di mana penyertaan mereka masih rendah. Selaras dengan itu, peningkatan bukan Bumiputera dalam jawatan-jawatan sektor awam seperti di peringkat pertengahan dan tinggi perkhidmatan awam, akan dapat memperbaiki lagi susunan corak gunatenaga dalam sektor tersebut. Walau bagaimanapun, penyertaan Bumiputera di peringkat tinggi da¬lam sektor swasta adalah rendah. Oleh itu, sementara gunatenaga bukan Bumiputera dalam jawatan-jawatan di peringkat pertengahan dan tinggi perkhidmatan awam dijangka akan bertambah berbanding dengan kedudukan pada tahun 1990, sektor swasta juga perlu mengambil tindakan yang serupa dengan mempertingkatkan pengambil an gunatenaga Bumiputera di peringkat profesional, pengurusan dan eksekutif supaya dapat memperbaiki lagi struktur gunatenaga di antara kaum dalam sektor tersebut. Penyusunan Semula Hakmilik dan Penguasaan dalam Sektor Syarikat

4.60 Strategi penyusunan semula hakmilik dan pengawalandalam sektor syarikat akan diteruskan memandangkan sektorswasta akan memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi negara. Sungguhpun sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak lagi ditetapkan dalam tempoh RRJP2, matlamat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan Bumiputera akan terus menjadi panduan kepada strategi penyusunan semula sektor syarikat. Walau bagaimanapun, berlainan dari amalan di bawah DEB yang terlalu menekankan -pencapaian matlamat hakmilik modal saham secara perangkaan, penekanan di bawah DPB adalah berasaskan kepada pemb entukan kekayaan harta oleh Bumiputera. Oleh yang demikian, adalah perlu supaya langkah-langkah dibuat untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukansahaja bagi mengurus dan menjalankan perniagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Adalah perlu bagi Bumiputera mengurus harta kekayaan mereka yang sedia ada dengan lebih berkesan kerana ia merupakan satu asas untuk terus memperkembangkan harta tersebut secara berterusan.

4.61 Dalam proses penyusunan semula modal saham sektor syarikat, agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaraskan tindakan mereka dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan-kepentingan lain yang berbentuk strategik bagi pihak Bumiputera. Peranan ini akan diperkukuhkan lagi dengan langkah-langkah yang bertujuan menggembleng simpanan Bumiputera dengan lebih berkesan dan menguruskan sumber kewangan yang sedia ada di kalangan agensi-agensi dan pe¬rbadanan tersebut secara lebih produktif dan cekap.

4.62 Peranan PNB akan diperkukuh memandangkan kedudukannya yang penting dalam menggembleng tabungan Bumiputera serta potensinya sebagai agensi pembangunan keusahawanan. Dalam hal ini, Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh RRJP2. Di samping terlibat dengan pengurusan pemilikan saham, PNB akan juga merancang dan melaksanakan program-prog-ram lain yang bertujuan melengkapi aktiviti tersebut dengan menekankan program pembangunan keusahawanan dan modal teroka untuk masyarakat Bumiputera.

4.63 Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputra dalam sektor swasta serta mencapai matlamat penyusunan semula modal saham. Selaras dengan ini, penswastaan anak-anak syarikat milik agensi amanah akan dikhaskan kepada Bumiputra. Sementara itu, dalam penswastaan badan-badan Kerajaan yang lain pula, mengimbangi pencapaian hakmilik modal saham mereka yang masih kurang dalam sektor-sektor lain. Untuk membantu Bumiputra memiliki saham-saham dalam projek-projek yang diswastakan, pekerja-pekerja di dalam projek berkenaan akan diberi kemudahan bantuan kewangan khas. Disamping itu, satu pertimbangan penting dalam pro¬gram penswastaan ialah keperluan untuk memastikan bahawa, selepas diberi peluang penswastaan, Bumiputra akan terus memegang kepentingan mereka dalam syarikat-syarikat berkenaan.

4.64 Jawatankuasa Pelaburan Asing akan meneruskan usaha mengawasi proses penyusunan semula modal saham dengan menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang dikenakan. Dalam hubungan ini, garispanduan yang sedia ada akan diperbaiki dan diubahsuai supaya menjadi lebih jelas di samping menyatakan secara khusus syarat-syarat di mana pihak majoriti dalam sektor syarikat. Garispanduan yang diubahsuai tersebut akan juga mengandungi dasar-dasar khusus berhubung dengan pengambilalihan dan pemilikan harta tetap, terutamanya tanah oleh pelabur asing. Secara keseluruhannya, selain dari membantu proses penyusunan semula modal saham sektor syarikat, garispanduan tersebut juga akan memperbaiki lagi iklim pelaburan di negara ini dengan menyediakan peluang-peluang kepada pelabur asing untuk mempunyai hakmilik majoriti di dalam projek-projek mereka, kecuali dalam aktiviti-aktiviti tertentu di mana kepakaran tempatan telah sedia ada.

4.65 Strategi penyusunan semula pada masa yang lalu telah memberi penekanan khas kepada pemilikan modal saham dalam sektor syarikat. Memandangkan hakmilik modal saham semata-mata tidak memadai untuk mempertingkatkan penyertaan Bumiputra secara berkesan dalam pengendalian syarikat perniagaan, adalah perlu strategi penyusunan semula memberi penekanan kepada aspek-aspek gunatenaga. Selaras dengan itu, dasar untuk menggalakkan penyertaan Bumiputra yang lebih bermakna di peringkat pengurusan dalam sektor syarikat akan juga dilaksanakan dengan lebih giat dengan mempertingkatkan penawaran tenaga kerja Bumiputra di peringkat tinggi.

4.66 Matlamat penyusunan semula modal saham tidak akan berjaya mencapai hasrat jangka panjangnya untuk menentukan Bumiputra terus mendapat faedah pada masa hadapan, sekiranya kepentingan-kepentingan mereka tidak dapat dikekalkan secara berterusan. Pada masa ini, terdapat setengah-setengah institusi Bumiputra, syarikat dan orang perseorangan yang telah diperuntukkan saham khas cenderung untuk menjual balik saham mereka tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang mengeluarkan saham tersebut. Kerajaan bimbang bahawa penjualan semula saham oleh Bumiputra akan menjejaskan usaha-usaha untuk mencapai matlamat penyusunan semula. Dengan itu, peraturan memberi kelulusan bagi mendapatkan saham khas akan diperkemaskan lagi untuk mengurangkan penjualan kepentingan Bumiputra.

VI : PEMBANGUNAN WILAYAH

Prospek Pembangunan Wilayah

4.67 Penekanan yang berterusan kepada pertumbuhan ekonomi di bawah RRJP2 bermakna negeri-negeri maju akan terus mendapat faedah yang lebih banyak berbanding dengan negeri¬negeri yang kurang maju. Kadar pertumbuhan negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang dijangka lebih pesat dari purata negara dengan sektor perindustrian dan perkhidmatan menyumbang kepada sebahagian besar pertumbuhan itu. Selaras dengan itu, KDNK per kapita negeri-negeri tersebut di -jangka terus kekal pada paras yang melebihi purata negara. Pembangunan negeri Johor mencapai tahap kemajuan yang lebih pesat bersesuaian dengan pertumbuhannya sebagai sebuah pusat perindustrian utama di samping menerima limpahan pelaburan dari Singapura. Oleh itu, nisbah KDNK per kapita Johor berbanding dengan purata negara dijangka bertambah baik seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4-6.

4.68 Negeri-negeri berpendapatan sederhana seperti Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Sabah dan Sarawak akan berkembang pada kadar yang setanding dengan purata negara. Perubahan dalam struktur ekonomi negeri-negeri kurang maju akan membawa kesan yang baik untuk mencapai matlamat mengurangkan ketidakseimbangan wilayah. Dengan adanya kemajuan yang berterus an dalam mempelbagaikan ekonomi negeri-negeri tersebut, lebih banyak peluang-peluang pekerjaan dan pendapatan akan dapat diwujudkan dan ini akan mempercepatkan lagi proses pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidakseimbangan ekonomi di antara wilayah. Peningkatan mobiliti buruh dan penyebaran kegiatan ekonomi akan menggalakkan pemindahan buruh daripada kawasan- kawasan pertanian dan luar bandar ke sektor industri bagi menampung kekurangan tenaga buruh yang dijangka bertambah buruk di dalam sektor ini dalam dekad sembilan puluhan. Di samping itu, program-program untuk memperluaskan kemudahan infrastruktur fizikal dan sosial di negeri-negeri kurang maju akan membuka peluang baru yang lebih luas untuk mencapai pertumbuhan. Dasar dan Strategi Masa Depan

4.69 Strategi pembangunan wilayah akan terus memberi tumpuan kepada mengurangkan ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan sosial dan ekonomi di antara negeri-negeri dalam negara. Satu bentuk pembangunan yang lebih seimbang adalah diperlukan untuk memudahkan pencapaian matlamat mengurangkan kemiskinan di negeri-negeri kurang maju dan memperbaiki agihan pendapatan di Malaysia.

4.70 Teras utama dalam usaha pembangunan wilayah di bawah RRJP2 ialah bagi membolehkan negeri-negeri kurang maju mengambil kesempatan daripada kesan limpahan pembangunan dari kawasan-kawasan bandar yang lebih sesak. Kawasan¬kawasan pinggir bandar akan disediakan dengan kemudahan infrastruktur yang diperlukan untuk mengambil faedah daripada limpahan ini dan untuk menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana di kawasan-kawasan tersebut. Aktiviti perindustrian baru ini akan membolehkan penduduk neg-eri-negeri ini mendapat kemahiran dan peluang pekerjaan baru.

4.71 Sumber semulajadi yang terdapat di negeri-negeri kurang maju akan dibangunkan secara komersil dengan tumpuan ke arah eksport. Pembangunan pertanian akan digiatkan semula menerusi amalan pengeluaran secara komersil di mana perhubungan yang lebih baik di antara pusat-pusat pengeluaran dan saluran pemasaran akan diwujudkan dengan lebih berkesan.

4.72 Bagi tujuan untuk mendapat faedah dari potensi pembangunan di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, kemudahan infrastruktur fizikal dan sosial di negeri-negeri tersebut akan diperluaskan. Langkah seperti ini akan menggalakkan pembangunan tanah secara meluas di negeri¬negeri yang mempunyai sumber tanah yang banyak dan mempercepatkan proses perdagangan keluaran pertanian dan aktiviti hiliran yang lain serta pembangunan berasaskan pertanian.

4.73 Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) akan terus memainkan peranan yang utama dalam pembangunan wilayah. Strategi baru akan menekankan kepada usaha penggunaan kemudahan infrastruktur yang sedia ada secara bersepadu dan maksimum untuk membangunkan kegiatan yang mendatangkan pertumbuhan. LKW akan menumpukan usaha menggalakkan kemasukan pelaburan yang lebih besar ke kawasan perindustrian dan pertumbuhan di bandar-bandar yang sedia ada serta aktiviti-aktiviti perindustrian berasaskan pertanian bersaiz kecil dan sederhana. Pelaburan untuk kemudahan infrastruktur fizikal yang baru hanya akan dibuat bagi menggalakkan pertumbuhan industri dan pembangunan pertanian secara komersil. Usaha¬usaha ini adalah dijangka dapat memperluas dan mempelbagaikan asas ekonomi negeri-negeri tersebut dan akan menyumbang kepada usaha untuk merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi dan paras pendapatan di antara negeri maju dengan negeri kurang maju.

4.74 Usaha pembangunan luar bandar di negeri-negeri yang kekurangan sumber semulajadi akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pertanian di kawasan sedia ada secara komersil serta pembangunan industri kecil dan sederhana. Di negeri Kedah, pembangunan perindustriannya dijangka berkembang dengan pesat dengan Sungai Petani dan Kulim membangun lebih cepat hasil daripada kemudahan infrastruktur dan perhubungan yang lebih baik ke pelabuhan di Pulau Pinang. Pembangunan negeri Kelantan pula dijangka terus meningkat memandangkan usaha-usaha yang lebih gigih sedang diambil untuk mengatasi masalah banjir di lembangan Sungai Kelantan. Negeri ini juga dijangka mendapat faedah daripada pembinaan jalan raya Kelantan Selatan yang menghubungkan Kelantan dengan Perak dan Terengganu berikutan dari pembukaan kawasan Kelantan Selatan untuk tujuan pertanian secara komersil.

VII : SISTEM INSTITUSI DAN PENYAMPAIAN

4.75 Usaha-usaha menyusun semula dan menyelaras fungsi¬fungsi dan tanggungjawab agensi-agensi Kerajaan akan dibuat untuk mengurangkan pertindihan fungsi di samping meningkatkan kecekapan penggunaan sumber. Untuk menjadikan agensi sektor awam lebih berkesan dalam usaha menyediakan khidmat nasihat dan teknikal kepada kumpulan sasaran, agensi-agensi tersebut akan digalakkan bekerja lebih rapat dengan organisasi-organisasi yang mewakili usahawan dan peniaga Bumiputera di samping memajukannya untuk menjadi satu alat penting bagi melengkapkan usaha Kerajaan dalam bidang ini. Tujuannya adalah untuk membolehkan organisasi¬organisasi tersebut memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan perniagaan Bumiputera.

4.76 Agensi sektor awam akan menyediakan sokongan yang berkesan dan memainkan peranan yang lebih tegas untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan moden. Peranan ini meliputi usaha-usaha untuk meningkatkan kemahiran Bumiputera di peringkat pengurusan dan kemahiran mengurus harta kekayaan, mengukuhkan rangkaian bekalan bagi mendapatkan bahan dan perkhidmatan, memperluaskan saluran pemasaran, memperbaiki bentuk bantuan kewangan seperti modal teroka, di samping mengenalpasti peluang- peluang perniagaan dan strategi baru termasuk rantaian dengan syarikat-syarikat multinasional. Dalam hubungan ini, peranan PNB akan diperkukuh dan diperluaskan bagi membolehkannya melaksanakan program pembangunan keusahawanan bagi melatih Bumiputera dalam bidang pengurusan syarikat dan harta kekayaan.

4.77 Prospek terbaik bagi Bumiputera untuk maju sebagai sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian adalah menerusi persepaduan aktiviti-aktiviti perniagaan antara mereka dengan bukan Bumiputera dalam sektor swasta. Oleh itu, satu tugas penting agensi sektor awam adalah untuk menggalakkan kerjasama ini terutamanya menerusi penubuhan syarikat-syarikat usahasama dengan bukan Bumiputera dan syarikat-syarikat multinasional.

VIII : PENUTUP

4.78 Pada keseluruhannya, DEB telah berjaya membuka peluang-peluang kepada semua rakyat menyertai proses pembangunan negara, dengan golongan miskin dan juga Bumiputera mendapat faedah yang besar daripada program¬program yang dilaksanakan di bawah DEB. Sungguhpun demikian, usaha-usaha kearah mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi di antara golongan kaya dengan miskin dan juga di kalangan pelbagai kumpulan etnik akan diteruskan. Oleh itu, DPB akan terus beru-saha untuk mengurangkan lagi ketidakseimbangan ini berasaskan kepada prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

 

 

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008