BAB 02 : PENILAIAN RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG PERTAMA (RRJP 1) 1971-90
I : PENDAHULUAN
2.01 Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1), 1971-90,
menggariskan rangka sosio-ekonomi yang menyeluruh bagi mencapai
matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Selain daripada menentukan matlamat
utama mengenai pertumbuhan ekonomi dan pengagihan, RRJP1 juga
menggariskan dasar, strategi dan program bagi mencapai matlamat
tersebut.
2.02 Dalam tempoh RRJP1, empat rancangan pembangunan lima tahun
telah dilaksanakan. Sungguhpun dalam tempoh tersebut negara telah
mencapai kemajuan ekonomi dan sosial yang membanggakan, ekonomi negara
pernah melalui tahun-tahun yang penuh dengan cabaran kesan daripada
batasan dan kelemahan ekonomi dalam negeri di samping ketidakpastian
dan ketidakstabilan ekonomi antarabangsa. Namun demikian, ekonomi
negara telah muncul dengan lebih kukuh dan kini bersedia untuk
melangkah ke dekad sembilan puluhan dengan kekuatan dan ketahanan yang
lebih.
II : TUJUAN DAN MATLAMAT RRJP1
Dasar Ekonomi Baru
2.03 Matlamat utama penggubalan DEB ialah untuk mencapai perpaduan
negara dan membangunkan satu bangsa melalui strategi serampang dua mata
iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dari segi
pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, Kerajaan sedar betapa
beratnya tanggungjawab yang terlibat memandangkan bahawa pada masa
RRJP1 dilancarkan hampir separuh daripada jumlah isirumah di negara ini
adalah miskin. Kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1970
adalah sebanyak 49.3 peratus daripada jumlah isi rumah dan matlamat
yang ditetapkan ialah untuk mengurangkannya kepada 16.7 peratus
menjelang tahun 1990. Bilangan isirumah miskin yang terbesar adalah
diluar bandar dengan kadar kemiskinan sebanyak 58.7 peratus berbanding
dengan 21.3 peratus di kawasan bandar. Matlamat yang ditetapkan ialah
untuk mengurangkan kadar kemiskinan diluar bandar dan bandar masing-
masing kepada 23 peratus dan 9.1 peratus menjelang tahun 1990. Dari
segi kumpulan etnik, Bumiputera merupakan golongan miskin yang
terbesar, merangkumi 74 peratus daripada isirumah miskin di Semenanjung
Malaysia pada tahun 1970. Kadar kemiskinan dikalangan Bumiputera juga
adalah yang tertinggi iaitu 65 peratus berbanding dengan 26 peratus
dikalangan kaum Cina dan 39 peratus dikalangan kaum India.
2.04 Dari segi paras pendapatan, pendapatan purata isirumah pada
tahun 1970 ialah hanya sebanyak $264 sebulan. Sebanyak 27 peratus
isirumah memperolehi pendapatan?kurang dari $100 sebulan, manakala 31
peratus lagi diantara $100 hingga $200 sebulan.
2.05 Strategi serampang dua mata DEB yang kedua pula bertujuan
untuk menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum
mengikut fungsi ekonomi. Matlamat ini diharap akan dapat dicapai
melalui penyusunan semula corak gunatenaga, hakmilik modal saham dalam
sektor syarikat dan pewujudan sebuah Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB).
2.06 Teras utama strategi kedua DEB ini adalah untuk menyusun
semula corak gunatenaga supaya menggambarkan komposisi penduduk
berbagai kaum di negara ini untuk semua sektor dan semua peringkat
pekerjaan dalam ekonomi. Matlamat ini penting memandangkan semasa DEB
dilancarkan, struktur pekerjaan memperlihatkan ciri-ciri perbezaan yang
amat ketara. Bumiputera tertumpu dalam sektor pertanian tradisional dan
dalam ketegori pekerjaan yang berpendapatan rendah manakala kaum bukan
Bumiputera pula lebih tertumpu di sektor ekonomi moden dan di bidang
profesional dan teknikal yang boleh menghasilkan produktiviti serta
pendapatan yang lebih tinggi, seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual
2-1. Pencapaian matlamat ini memerlukan usaha-usaha yang gigih ke arah
meningkatkan mobiliti tenaga kerja secara meluas diantara sektor-sektor
ekonomi. PenyerapanBumiputera dalam pekerjaan baru, terutamanya di
sektor perindustrian dan perkhidmatan, perlu dikekalkan pada kadar yang
tinggi.
2.07 Satu lagi unsur penting dalam strategi penyusunan semula
masyarakat ialah pembentukan MPPB untuk memastikan penglibatan yang
berkesan individu-individu Bumiputera dalam sektor-sektor moden.
Matlamatnya ialah supaya dalam tempoh satu generasi, Bumiputera dapat
memiliki dan mengurus sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua
kegiatan perdagangan dan perindustrian dalam ekonomi negara.
2.08 Dari segi penyusunan semula hakmilik modal pula, matlamat
yang ditetapkan ialah untuk meningkatkan bahagian modal saham
Bumiputera dalam sektor syarikat daripada 2.4 peratus dalam tahun 1970
kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 1990. Untuk
mencapai matlamat ini, pemilikan Bumiputera dijangka berkembang pada
kadar yang pesat sebanyak 30 peratus setahun berbanding dengan jangkaan
14.5 peratus setahun bagi keseluruhan modal saham sektor syarikat dalam
tempoh yang sama. Hakmilik saham -bagi bukan Bumiputera dan rakyat
asing pula dijangka berkembang pada kadar yang sederhana, masing-masing
sebanyak 15.4 peratus dan 10.3 peratus setahun. Adalah menjadi matlamat
RRJP1 bahawa menjelang tahun 1990, pemilikan modal saham Bumiputera
dipertingkatkan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus, sementara
bahagian rakyat Malaysia yang lain dijangka meningkat daripada 34.3
peratus kepada 40 peratus, manakala rakyat asing pula berkurangan
daripada 63.3 peratus kepada 30 peratus.
2.09 Di samping matlamat di atas, strategi penyusunan semula
masyarakat adalah juga bertujuan untuk menghasilkan integrasi yang
lebih kukuh antara negeri-negeri dan wilayah dalam negara. Matlamat ini
dijangka dapat dicapai dengan melaksanakan berbagai strategi dan
program untuk mengurangkan jurang perbezaan antara wilayah serta
mewujudkan pengagihan yang lebih saksama. Untuk mencapai hasrat ini,
usaha-usaha perlu dibuat bagi memperbaiki lagi peluang-peluang untuk
meningkatkan kemajuan sosial dan ekonomi di kawasan-kawasan kurang maju
di samping memudahkan mobiliti tenaga kerja antara wilayah dan
pekerjaan. Rangka Ekonomi Makro RRJP1
2.10 Pencapaian matlamat DEB telah dirancang untuk dilaksanakan
dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang pesat. Oleh itu, strategi
pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dibawah RRJP1 telah
ditetapkan pada kadar 8 peratus setahun. Kadar pertumbuhan ini adalah
perlu bagi memastikan wujudnya peluang pekerjaan yang mencukupi untuk
membolehkan penyusunan semula masyarakat dilaksanakan tanpa menjejaskan
golongan lain di samping menyediakan khidmat sosial dan kemudahan
infrastruktur yang diperlukan bag-i mencapai matlamat sosio-ekonomi
DEB. Dengan pertumbuhan ekonomi pada paras 8 peratus setahun, kadar
pengangguran dijangka dapat dikurangkan daripada 7.4 peratus dalam
tahun 1970 kepada 3.6 peratus menjelang tahun 1990, dan dengan itu
mencapai paras gunatenaga penuh.
2.11 Prospek pertumbuhan ekonomi yang pesat dijangka berpunca daripada penggunaan kekayaan
sumber-sumber asli negara bagi mempercepatkan pertumbuhan pengeluaran
pertanian serta kemajuan industri berasaskan bahan mentah. Penggerak
utama kepada pertumbuhan yang pesat ialah perkembangan pelaburan swasta
dan awam. Dalam tempoh tersebut, pelaburan dijangka berkembang pada
kadar 9.1 peratus setahun, manakala nisbah pelaburan kepada Keluaran
Negara Kasar (KNK) akan meningkat daripada 17.7 peratus dalam tahun
1970 kepada 22.3 peratus menjelang tahun 1990. Pelaburan awam dijangka
meningkat pada kadar 10.1 peratus setahun. Sebahagian besar pelaburan
tersebut adalah bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan
pembangunan luar bandar, di samping perusahaan awam yang bertujuan bagi
mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti perdagangan dan
perindustrian moden. Per-kembangan pelaburan awam yang pesat dijangka
diikuti oleh pelaburan swasta yang lebih menggalakkan iaitu pada kadar
8.5 peratus setahun dalam tempoh tersebut.
2.12 Penggerak yang kedua bagi meningkatkan ekonomi ialah
perkembangan pesat eksport negara, yang diramal akan meningkat pada
kadar 7.1 peratus setahun. Perkembangan eksport ini adalah penting
untuk mendapatkan pertukaran asing yang mencukupi bagi membiayai import
yang semakin meningkat, khususnya bagi tujuan pelaburan. Keluaran
industri pembuatan, khususnya yang berasaskan sumber serta lain-lain
industri yang mempunyai potensi untuk berkembang dijangka menjadi
penggerak utama kepada pertumbuhan pendapatan eksport. Eksport barangan
pembuatan dijangka menyumbang sebanyak 38.1 peratus kepada jumlah
eksport barangan dan perkhidmatan menjelang tahun 1990, berbanding
dengan 12 peratus dalam tahun 1970. Import pula dijangka berkembang
pada kadar 5.2 peratus setahun, selaras dengan
usaha-usaha kearah penggantian import.
2.13 Tabungan negara sebagai nisbah kepada KNK dijangka meningkat
daripada 14 peratus dalam tahun 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun
1990, sejajar dengan jangkaan pertambahan pendapatan. Ini akan
membolehkan sebahagian besar pelaburan yang diperlukan dibiayai melalui
sumber dalam negeri. Dengan jangkaan adanya pertambahan tabungan dan
pendapatan eksport bersih, masalah sumber atau tukaran asing bagi
pembentukan modal dijangka tidak timbul. Seterusnya, keperluan
pembiayaan daripada sumber asing untuk menampung kekurangan sumber
dalam negeri dijangka kecil dan kedudukan akaun imbangan pembayaran
dalam tempoh RRJP1 dijangka memuaskan.
2.14 Dalam tempoh RRJP1, perubahan besar dijangka berlaku dalam
struktur ekonomi. Pertumbuhan pesat KDNK seperti yang diunjurkan akan
juga diikuti oleh pemodenaan dan kepelbagaian ekonomi negara.
2.15 Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar 5.4 peratus
setahun hasil daripada usaha-usaha meneroka tanah baru dan pembangunan
in-situ, peningkatan produktiviti serta tanaman baru yang bernilai
tinggi di samping meningkatkan pembangunan sektor perikanan dan
ternakan. Sungguhpun demikian, sumbangan sektor pertanian kepada
ekonomi keseluruhannya adalah lebih kecil disebabkan oleh perkembangan
pesat dalam sektor-sektor lain. Walau pun peluang pekerjaan dalam
sektor pertanian dijangka meningkat kadar peningkatan diramal rendah.
2.16 Sektor pembuatan akan menjadi sektor yang dijangka berkembang
paling pesat dengan kadar pertumbuhan sebanyak 12.2 peratus setahun.
Ini mencerminkan daya dinamis, kekuatan dan potensi sektor tersebut.
Denganperkembangan pesat ini, sektor pembuatan dijangka menyumbang
lebih daripada satu pertiga peningkatan KDNK. Faktor-faktor yang
menjadi asas kepada perkembangan ini termasuklah sumber asli yang
banyak, tenaga kerja yang ramai, peningkatan pendapatan swasta serta
potensi untuk mengeluarkan barangan perantaraan dan barangan modal
ekoran daripada perkembangan asas industri. Di samping pertumbuhan
industri berintensif buruh seperti tekstil dan elektronik yang akan
menjadi penggerak kepada perkembangan sektor pembuatan,
industri-industri baru termasuk industri-industri barangan keluaran
getah dan kayu, petro-kimia serta industri kerja logam akan muncul. Di
akhir tempoh RRJP1, sektor ini dijangka menjadi sektor terbesar dalam
ekonomi dengan sumbangan sebanyak 26.2 peratus kepada KDNK berbanding
dengan 13.9 peratus pada tahun 1970, manakala peluang pekerjaan dalam
sektor ini akan meningkat dua kali ganda daripada 8.7 peratus jumlah
keseluruhan pekerjaan dalam tahun 1970 kepada 16.8 peratus menjelang
tahun 1990.
2.17 Sektor perkhidmatan pula dijangka berkembang selaras dengan
perkembangan keseluruhansektor-sektor lain dalam ekonomi. Pertumbuhan
pesat dijangka akan dapat dilihat terutama dalam sektor elektrik dan
air serta dalam sektor kewangan, bank, insuran dan hartanah, sejajar
dengan usaha memperbaiki infrastruktur sosial dan fizikal serta
pembangunan institusi.
III : PENGALAMAN MASA LALU DAN PERSPEKTIF DI MASA HADAPAN
2.64 Pencapaian matlamat pertumbuhan dan
sosio-ekonomi dalam tempoh RRJP1 pada keseluruhannya adalah
membanggakan. Pengajaran dan pengalaman yang diperolehi daripada
usaha¬usaha pembangunan yang lalu akan menjadi asas yang amat berguna
untuk merumus dasar dan strategi masa hadapan. Perspektif Sosio-Ekonomi
2.65 DEB telah banyak menyumbang ke arah penyertaan yang seimbang
dikalangan rakyat Malaysia dalam pembangunan negara. Oleh yang
demikian, teras dasar ini akan terus dijadikan sebagai panduan dalam
pembangunan negara dan dalam usaha untuk terus mengurangkan kadar
kemiskinan tanpa mengira kaum dan ketidakseimbangan ekonomi untuk
memastikan faedah pembangunan diagih dengan saksama. Walau
bagaimanapun, perhatian yang lebih akan diberi kepada usaha mengatasi
kekurangan dan kelemahan yang telah dikenalpasti dalam dua dekad
pembangunan yang lalu.
2.66 Berhubung dengan usaha membasmi kemiskinan, walaupun
pencapaiannya telah melebihi matlamat, masalah golongan termiskin yang
akan terus wujud dalam dekad seterusnya perlu diberi perhatian.
Arahaliran dan pengurusan sumber akan diperbaiki bagi memastikan
kumpulan sasaran mendapat faedah yang sepenuhnya daripada usaha-usaha
Kerajaan. Keutamaan akan diberi kepada peningkatan mutu kehidupan dari
segi tempat tinggal dan kemudahan awam yang sewajarnya. Seterusnya
masalah kemiskinan relatif juga akan di-beri perhatian yang lebih.
Pembasmian kemiskinan relatif dan masalah golongan termiskin akan terus
dilaksanakan tanpa mengira kaum.
2.67 Memandangkan kepada kurangnya pencapaian dari segi matlamat
penyusunan semula masyarakat, usaha-usaha menyusun semula perlu
ditumpukan secara lebih meluas bagi membolehkan Bumiputera
memperkukuhkan dan memperluaskan asas ekonomi mereka, di samping
meningkatkan daya saing dan kecekapan mereka dalam aktiviti-aktiviti
ekonomi. Usaha-usaha untuk mewujudkan lebih ramai usahawan Bumiputera
dan meningkatkan hakmilik mereka dalam sektor syarikat akan terus
dilaksanakan. Dalam meneruskan usaha-usaha ini, perhatian yang
sewajarnya akan diberi kepada kedudukan sosio-ekonomi golongan minoriti
dikalangan masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Kekuatan dan Ketahanan Ekonomi
2.68 Tumpuan pembangunan ekonomi dalam dekad sembilan puluhan
adalah untuk meneruskan pertumbuhan pesat yang telah dicapai beberapa
tahun kebelakangan ini serta mengukuh dan menguatkan daya berkembang.
Memandangkan pertumbuhan ekonomi di masa hadapan akan dipengaruhi oleh
perkembangan luar, langkah-langkah akan ditumpukan bagi meningkatkan
ketahanan dan keteguhan ekonomi bagi mengurangkan kesan buruk ekonomi
dunia. Daya penggerak kepada pertumbuhan ekonomi negara dijangka
berpunca daripada perkembangan pesat aktiviti-aktiviti dalam negeri
melalui peningkatan kegiatan nilai ditambah daripada sumber-sumber asli
dan sumber-sumber baru yang boleh menyumbangkan kepada pertumbuhan
ekonomi.
2.69 Usaha-usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan bagi
meningkatkan pengembelingan sumber-sumber dalam negeri. Di masa lalu
pertumbuhan ekonomi adalah dibiayai dari tabungan dalam negeri dan
pinjaman asing. Jika negara ingin terus mengurangkan pergantungan
kepada pinjaman luar negeri, sumber-sumber bagi pelaburan perlu
dibiayai dari dalam negeri. Usaha-usaha meningkatkan kecenderungan
menabung, dengan itu, perlu diteruskan. Pada masa yang sama, usaha
untuk menarik kemasukan pelabur asing perlu dipergiatkan bagi memenuhi
keperluan perkembangan pelaburan. Kecekapan Pelaburan
2.70 Sungguhpun negara telah berjaya meningkatkan pelaburan pada
kadar purata 26.6 peratus dalam dekad tujuh puluhan kepada 32.1 peratus
dalam dekad lapan puluhan, peningkatan tersebut tidak menghasilkan
pertumbuhan yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa tahap kecekapan
penggunaan modal adalah rendah. Ini antara lain disebabkan oleh
sebilangan daripada pelaburan tersebut melibatkan infrastruktur fizikal
dan penggunaan modal yang besar dan memerlukan tempoh yang panjang
untuk mendapatkan pulangan. Dari perspektif faktor ketiga pula,
kecekapan pengeluaran penggunaan teknologi baru dan keusahawanan adalah
ditahap rendah.
2.71 Penekanan perlu ditumpukan kepada meningkatkan lagi kecekapan
didalam ekonomi. Oleh itu, dasar-dasar akan ditumpukan kepada usaha
untuk meningkatkan kecekapan modal, terutama melalui peningkatan
penggunaan teknologi baru dan menambah kemahiran buruh serta
pembangunan institusi dan infrastruktur. Selaras dengan langkah-langkah
tersebut, usaha-usaha akan juga diambil bagi mengurangkan kesan
gangguan dalam ekonomi dengan memudah dan melonggarkan lagi peraturan
dan proses pentadbiran. Ia juga boleh dicapai melalui perubahan
organisasi, kaedah pemasaran yang lebih baik dan pengurusan buruh yang
lebih cekap.
Keteguhan Sektor Swasta
2.72 Sektor swasta dijangka memainkan peranan utama sebagai
penggerak bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Walau
bagaimanapun, diawal dekad lapan puluhan pertumbuhan sektor swasta
adalah lembab dan hanya kembali teguh mulai tahun 1987.
2.73 Apabila negara melangkah ke dekad sembilan puluhan, sektor
swasta akan menerajui perkembangan ekonomi. Sungguhpun dasar yang lebih
fleksibal dan pragmatik merupakan teras kepada usaha-usaha Kerajaan
bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta di dalam ekonomi, sektor
swasta harus mengambil risiko dan mempunyai inisiatif serta
berkesanggupan dalam memainkan peranan ini. Sektor swasta perlu
berupaya merebut segala peluang bagi mempertingkatkan peranannya
terutama dalam menceburi bidang-bidang baru dan menggunakan teknologi
yang lebih baik.
2.74 Usaha-usaha yang lebih gigih dan bersepadu perlulah
diteruskan bagi memperkenal dan memasarkan keluaran negara di pasaran
antarabangsa. Penekanan akan diberi kearah mempertingkatkaan kecekapan
dan daya pengeluaran bagi membolehkan usahawan Malaysia menjadi
terkemuka di pasaran tersebut. Selain dari itu, sektor swasta harus
lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada faedah perlindungan
tarif yang tinggi supaya kemampuan mereka untuk bersaing dapat
dikekalkan dalam jangka panjang.Pembangunan dan Rantaian di Antara
Sektor
2.75 Struktur ekonomi Malaysia telah mengalami perubahan yang
ketara dalam tempoh RRJP1. Di samping pertukaran kearah struktur yang
lebih kukuh, terdapat juga kelemahan-kelemahan dan batasan-batasannya,
terutama di dalam dua sektor utama iaitu sektor pembuatan dan
pertanian. Sektor perkhidmatan pula tidak berkembang sepesat yang
dijangkakan.
2.76 Sektor pembuatan telah memberi sumbangan yang penting kepada
pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan. Di sebalik pertumbuhan
yang pesat ini, ianya telah memperlihatkan beberapa kelemahan struktur.
Pertumbuhan sektor industri masih tertumpu kepada beberapa industri
seperti elektronik, tekstil dan pakaian yang bertujuan untuk eskport.
Selain daripada tertumpu di kawasan perdagangan bebas,
industri-industri tersebut mempunyai rantaian antara industri dan
sektor yang terbatas di samping terlalu bergantung kepada kos upah yang
rendah untuk terus mengekalkan daya saingan. Bagi industri-industri
untuk pasaran dalam negeri pula, pertumbuhan terlalu bergantung kepada
perlindungan yang tinggi, yang telah menyekat keupayaan mereka untuk
bersaing di pasaran antarabangsa.
2.77 Bagi sektor pertanian pula, masalah yang dihadapi oleh sektor
ini adalah berpunca dari faktor-faktor luaran dan dalaman. Pada umumnya
di pasaran antarabangsa, harga-harga bagi barangan pertanian telah
mengalami kejatuhan harga sebenar. Bagi faktor dalaman pula, masalah
yang dihadapi oleh sektor ini lebih merupakan masalah struktur. Tanah
yang boleh diusahakan untuk tujuan pertanian di Semenanjung Malaysia
adalah terhad. Manakala di Sabah dan Sarawak pula sungguhpun masih
terdapat tanah yang luas, ianya sukar untuk diusahakan memandangkan
kekurangan kemudahan infrastruktur dan ini menyebabkan usaha untuk
membangunkannya agak terbatas. Kegiatan pertanian juga menghadapi
masalah pulangan yang rendah dan kos buruh yang sentiasa meningkat. Ini
menyebabkan sumber modal dan buruh berpindah ke sektor perindustrian
yang memberi pulangan dan upah yang lebih tinggi. Ini telah menimbulkan
masalah seperti tanah terbiar dan kekurangan tenaga buruh di sektor
perladangan.
2.78 Sektor perkhidmatan telah menunjukkan beberapa kemajuan hasil daripada perkembangan di
sektor-sektor utama ekonomi. Sektor ini di masa-masa lepas memainkan
peranan sebagai sektor penyokong yang hanya berkembang selaras dengan
perkembangan sektor-sektor lain dalam ekonomi. Sektor-sektor
perkhidmatan tradisi seperti pengangkutan, perjalanan dan insuran,
kewangan dan bank hanya dapat memenuhi keperluan dalam negeri dan tahap
kecanggihannya masih ketinggalan berbanding dengan kemajuan di
peringkat antarabangsa.
2.79 Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah
peningkatan bidang-bidang perkhidmatan yang tidak bergantung kepada
perkembangan sektor utama, seperti industri riadah, pelancongan,
pendidikan dan kesihatan yang disediakan oleh sektor swasta dan
lain-lain perkhidmatan yang seumpamanya. Tambahan pula, bidang-bidang
yang baru muncul yang dapat memberi pulangan yang tinggi seperti
perkhidmatan juruperunding, teknologi maklumat dan lain-lain
perkhidmatan ikhtisas telah berkembang agak perlahan. Perkhidmatan ini
bukan sahaja diperlukan untuk memenuhi permintaan dalam negeri, tetapi
juga harus dapat dieksport bagi tujuan mengurangkan defisit akaun
sektor perkhidmatan dalam akaun imbangan pembayaran.
2.80 Pembangunan ekonomi yang berkekalan juga memerlukan asas
S&T serta P&P yang kukuh. Perbelanjaan tahunan bagi P&P
yang kurang daripada satu peratus daripada KNK adalah tidak setanding
dengan lain-lain negara perindustrian. Tambahan pula, sumbangan sektor
swasta kepada usaha ini masih lagi kecil iaitu hanya kira-kira 15
peratus dari jumlah keseluruhan perbelanjaan P&P. Di samping itu,
kebanyakan kerja-kerja penyelidikan yang mempunyai nilai komersil yang
dijalankan oleh institusi penyelidikan Kerajaan tidak dapat
dimunafaatkan oleh sektor swasta untuk dijadikan projek komersial yang
berdaya maju.
IV : PENUTUP
2.81 Arah pertumbuhan yang telah dirintis oleh negara dalam tempoh dua dekad yang lalu adalah amat membanggakan walaupun banyak rintangan yang terpaksa dilalui terutama semasa kemelesetan pada pertengahan dekad lapan puluhan. Kejayaan yang dicapai selama ini adalah hasil dari sumbangan semua rakyat Malaysia yang telah sanggup berkorban dan berusaha gigih dalam menghadapi cabaran. Dekad akan datang adalah lebih mencabar lagi terutama sekali apabila negara kita maju kehadapan demi untuk mengekalkan kejayaan yang dicapai. Ini memerlukan setiap rakyat Malaysia bersikap lebih dedikasi dan berdisiplin demi untuk melicinkan proses membina negara dan mempercepatkan pencapaian objektif perpaduan negara.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008