BAB 01 : DASAR PEMBANGUNAN BARU Pt 2
VI : PEMBANGUNAN WILAYAH
1.81 Strategi-strategi pembangunan wilayah akan dilaksanakan untuk
mengurangkan ketidakseimbangan yang ketara dalam pembangunan ekonomi di
antara negeri-negeri supaya dengan itu dapat diperbaiki agihan
pendapatan.
1.82 Salah satu daripada matlamat penting pembangunan wilayah
adalah untuk meningkatkan integrasi ekonomi negeri-negeri Sabah dan
Sarawak bagi memupuk perpaduan negara, di samping menggalakkan
pembangunan ekonomi yang saling melengkapi di antara negeri-negeri
tersebut dengan negeri-negeri di Semenanjung. Negeri-negeri Sabah dan
Sarawak mempunyai kawasan yang luas dan kaya dengan sumber semulajadi
yang boleh digunakan secara cekap bagi memajukan pembangunan
sosio-ekonomi kedua- dua negeri ini di samping membantu pertumbuhan
ekonomi negara. Bagi tujuan ini, pertambahan pelaburan adalah
diperlukan untuk memperbaiki keadaan sosio-ekonomi dan infrastruktur
fisikal kedua-dua negeri ini supaya potensinya dapat dimajukan
sepenuhnya dan pembangunan ekonomi yang saling melengkapi yang
diperlukan itu dapat dipertingkatkan.
1.83 Oleh kerana ketidakseimbangan pembangunan wilayah dan jurang
pendapatan antara kaum adalah saling berkait, usaha¬usaha memperbaiki
ketidakseimbangan pembangunan wilayah akan memudahkan pencapaian
kesamaan pendapatan antara kaum di negara ini. Dengan itu, walaupun
keseimbangan dalam pembangunan wilayah mungkin tidak dapat dicapai atau
tidak optimum kerana terdapatnya perbezaan potensi pembangunan antara
wilayah, Kerajaan akan terus membangunkan negeri¬negeri yang kurang
maju untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk mereka.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita negeri-negeri ini,
terutamanya Kedah, Perlis dan Kelantan adalah di bawah paras purata
negara. Walaupun usaha-usaha yang lebih gigih untuk mengurangkan
ketidakseimbangan akan melibatkan kos yang tinggi, Kerajaan akan terus
berusaha ke arah mempercepatkan lagi proses mengurangkan
ketidakseimbangan wilayah yang masih ketara di negara ini.
1.84 Selaras dengan ini, program-program untuk mempelbagaikan asas
ekonomi negeri-negeri yang berkenaan akan terus di perluaskan.
Memandangkan pertumbuhan yang pesat adalah lebih mudah dicapai melalui
perkembangan sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan, tumpuan yang
lebih akan diberi untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti yang mempunyai
nilai ditambah serta memperkukuhkan rantaian dan aktiviti hiliran di
sektor pertanian dan perindustrian di negeri-negeri tersebut.
Peningkatan dalam aktiviti pertanian akan diperolehi melalui penyatuan
tanah bagi membolehkan pengurusan yang lebih cekap dan penanaman
tanaman kontan yang bernilai tinggi. Usaha-usaha penyelidikan dan
pembangunan (P&P) berhubung dengan tanaman komersial akan
dipertingkatkan. Penyebaran industri secara terpilih akan juga
digalakkan dengan mendorong sektor swasta untuk menempatkan semula
kilang-kilang tambahan di negeri-negeri yang kurang maju. Oleh kerana
semakin sukar untuk mendapatkan tenaga buruh, adalah perlu bagi
industri¬industri ditempatkan lebih hampir kepada punca-punca tenaga
kerja di kawasan-kawasan luar bandar.
1.85 Dalam melaksanakan konsep pengkhususan industri mengikut
kawasan, Kerajaan akan menggalakkan proses taburan industri dengan
menyediakan kawasan-kawasan perindustrian yang dilengkapkan dengan
kemudahan fisikal dan kemudahan¬kemudahan lain dengan secukupnya
seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan di kawasan tertentu di
negeri-negeri kurang maju untuk menjadikan kawasan luar bandar lebih
menarik kepada pelabur-pelabur swasta. Pelaburan dalam bidang kemudahan
infrastruktur dan perkhidmatan sosial akan dirancang bagi memajukan
kawasan-kawasan tersebut untuk menjadikan pusat pertumbuhan baru yang
dapat menyumbangkan kepada pembangunan wilayah.
VII : PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA
1.86 Sepanjang dekad sembilan puluhan, pembangunan sumber manusia akan
menjadi lebih penting. Daya bersaing, daya pengeluaran, dayacipta dan
keupayaan dalam pengurusan teknologi baru di Malaysia akan ditentukan
oleh kualiti sumber manusianya. Tenaga kerja yang produktif dan cekap
hendaklah diwujudkam dengan nilai moral dan etika yang kukuh serta
keazaman untuk mencapai kecemerlangan. Dengan kesejagatan ekonomi dunia
yang semakin meningkat, negara akan menghadapi persaingan yang lebih
dalam perdagangan dan pelaburan. Memandangkan kepada cabaran masa depan
ini, rakyat Malaysia perlu dilengkapkan dengan asas yang kukuh dalam
pendidikan dan latihan termasuk kebolehan bertutur dalam bahasa kedua
seperti Bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa perdagangan
antarabangsa. Namun bagitu, Kerajaan akan terus memberi penekanan
kepada peningkatan penggunaan Bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan
oleh semua rakyat Malaysia kerana ianya amat penting kepada perpaduan
negara.
1.87 Pembangunan sumber manusia hendaklah mengandungi dasar dan program
yang dapat mempertingkat dan memperbaiki secara berterusan program dan
kemudahan pendidikan dan latihan untuk memenuhi kehendak kemahiran yang
sering berubah. Kerajaan akan memberi keutamaan yang tinggi kepada
pembangunan sumber manusia dalam memperuntukkan belanjawan di bawah
program sektor awam. Penekanan yang khusus akan diberi kepada usaha
untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan kemudahan di sekolan bagi
mengurangkan masalah kadar keciciran yang tinggi di peringkat sekolah
rendah dan menengah, terutamanya di kawasan luar bandar, memperbaiki
prospek pekerjaan di kalangan para lepasan sekolah dan membantu melatih
mereka dalam latihan di peringkat yang lebih tinggi dalam sistem
pendidikan. Adalah penting untuk memberi penekanan kepada usaha
memajukan kemahiran dalam bidang matematik, sains, dan kemahiran
manipulatif dan berkomunikasi di samping kefasihan dalam Bahasa
Inggeris dan bahasa asing yang lain supaya murid-murid lepasan sekolah
akan lebih mudah diterima bekerja dan diberi latihan lanjutan oleh
majikan mereka.
1.88 Dengan peningkatan pendapatan, permintaan terhadap pendidikan
tinggi akan terus meningkat dalam dekad sembilan puluhan. Sebahagian
besar permintaan ini perlu dipenuhi dalam negeri oleh kerana Malaysia
tidak boleh bergantung sebagaimana dahulu kepada universiti dan pusat
pengajian luar negeri untuk mengatasi masalah menyediakan tempat-tempat
belajar bagi pelajar-pelajar Malaysia. Ini adalah disebabkanterutamanya
beberapa negara luar telah mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat
untuk kemasukan pelajar-pelajar luar negeri bagi beberapa jenis kursus
seperti perubatan dan perakaunan. Tambahan pula, pergantungan kepada
pendidikan luar negeri tidak boleh dibiarkan berterusan bukan sahaja
kerana beban kewangan yang tinggi, tetapi juga tidak boleh diterima
dari segi kesan sosialnya. Memandangkan sumber kewangan yang banyak
diperlukan untuk memenuhi sebahagian besar permintaan dalam negeri,
adalah tidak mungkin bagi Kerajaan sahaja untuk menanggung beban
tersebut sepenuhnya. Oleh itu, adalah penting dikaji semula sistem
pembiayaan pendidikan tinggi sekarang dan memperkenalkan
langkah-langkah seperti penubuhan sebuah universiti terbuka yang boleh
mengurangkan kos kewangan Kerajaan.
1.89 Beban utama latihan perindustrian pada masa ini dipikul oleh
sektor awam. Adalah penting majikan sektor swasta memikul tanggungjawab
yang lebih besar dalam melatih pekerja- pekerja mahir yang diperlukan
oleh mereka. Untuk tujuan ini, majikan dan agensi kerajaan yang
berkenaan perlu bekerjasama untuk memperluaskan skim latihan dalam
perkhidmatan dan perantisan bagi membolehkan latihan yang dijalankan
lebih bersesuaian dengan kehendak pasaran buruh. Perlu ditekankan
bahawa latihan perindustrian hendaklah bertujuan untuk memajukan
kemahiran-kemahiran teknikal dan dayacipta tenaga buruh. Selaras dengan
ini, Kerajaan akan membentuk satu tabung pembangunan kemahiran bagi
menggalakkan penyertaan yang lebih berkesan oleh sektor swasta.
1.90 Perwujudan kekayaan negara melalui pengurusan sumber alam
semulajadi yang lebih berkesan hanya boleh dicapai sekiranya negara
boleh mendapat kemahiran dalam bidang S&T. Kesedaran ini perlu
diterapkan kepada semua peringkat membuat keputusan dan lapisan
masyarakat. Malaysia menghadapi kekurangan tenaga kerja khusus di
peringkat tinggi dalam bidang S&T dan P&P. Oleh kerana
kewujudan satu masyarakat berbudaya saintifik yang kukuh adalah penting
kepada negara untuk membolehkannya mengikuti kemajuan teknologi luar
negeri dan memajukan teknologi tempatan bagi mengurangkan pergantungan
kepada teknologi yang diimport, maka usaha-usaha perlu dipertingkatkan
untuk menambahkan lagi jumlah ahli-ahli sains dan pakar-pakar dan
mengadakan insentif yang sesuai untuk mereka berkhidmat dan memajukan
kerjaya profesional mereka dalam negara. Untuk tujuan ini, lebih ramai
rakyat Malaysia terutamanya Bumiputera, akan digalakkan untuk mengikuti
pengajian lanjutan dalam bidang profesional dan teknologi di institusi
dan universiti terpilih di luar negeri.
VIII : PENUTUP
1.91 Pengalaman pembangunan sosio-ekonomi di bawah RRJP1 telah
menunjukkan bahawa usaha untuk membangun negara adalah satu tugas yang
kompleks. Walaupun prestasi yang membanggakan telah dicapai dalam
strategi serampang dua mata DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan
penyusunan semula masyarakat, skop bagi usaha-usaha lanjutan untuk
mencapai strategi ini adalah masih luas. RRJP2 akan berasaskan kepada
kejayaan ini untuk seterusnya mencapai matlamat terpenting iaitu
perpaduan negara.
1.92 Teras keseluruhan DPB adalah pembangunan yang seimbang dalam
konteks pertumbuhan yang pesat dengan pengagihan yang saksama ke arah
mewujudkan satu masyarakat yang lebih adil dan bersatupadu. DPB adalah
bertujuan memaksimumkan pertumbuhan melalui dasar yang membenarkan
mekanisma pasaran bergerak dengan bebas dan penyertaan sektor swasta
yang aktif selaras semanga Pensyarikatan Malaysia. Walaupun sumber
utama pertumbuhan ekonomi adalah melalui perkembangan sektor swasta,
peranan Kerajaan dan agensi-agensi sektor awam akan terus diperlukan di
bawah DPB untuk mencapai secara berkesan matlamat agihan serta
meningkatkan lagi taraf kehidupan dan mutu hidup. Walau bagaimanapun,
peranan ini hendaklah dilaksanakan dalam konteks pengurusan sumber
secara berhati-hati supaya sektor awam dapat memberi sumbangan kepada
kestabilan ekonomi dan kewangan negara.
1.93 Peluang-peluang pertumbuhan dan agihan faedah daripada
pertumbuhan ekonomi secara lebih meluas akan memperkukuhkan penyertaan
rakyat Malaysia dalam proses pembangunan negara dan meningkatkan
keadilan sosial dari segi menikmati faedah pertumbuhan. Keadaan ini,
bersama-sama dengan pemeliharaan alam sekitar dan ekologi dan
pengekalan suasana sosio-politik yang stabil, akan menyumbang
pertumbuhan negara yang berterusan.
1.94 Walaupun pembangunan ekonomi yang pesat adalah syarat penting
bagi mewujudkan peluang yang lebih luas untuk pembangunan negara, namun
matlamat pembangunan bukanlah semata-mata terhad kepada aspek ekonomi
sahaja. Pertimbangan sosio-politik dan budaya adalah juga penting dan
perlu digembleng dan digabungkan dalam proses pembangunan
keseluruhannya. Oleh itu, bidang pendidikan, sukan, kebudayaan dan
keagamaan adalah juga penting di samping usaha-usaha di bawah DPB untuk
dijadikan asas bagi mencapai matlamat perpaduan negara sebagaimana yang
dihasratkan dalam Rukunegara.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008