BAB 01 : DASAR PEMBANGUNAN BARU

I : PENDAHULUAN

1.01 Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) meliputi tempoh 1971-90 kini telah tamat. Di bawah rangka ini, Kerajaan telah melaksanakan empat rancangan pembangunan bermula dengan Rancangan Malaysia Kedua (1971-75) hingga Rancangan Malaysia Kelima (1986-90). Rancangan-rancangan pembangunan ini telah dilaksanakan di bawah rangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 1970, berikutan daripada peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969. Dasar ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pert umbuhan dengan pengagihan yang saksama ke arah mencapai matlamat perpaduan di kalangan kaum di negara ini.

1.02 Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) yang meliputi tempoh 1991-2000 telah digubal berasaskan kepada dasar yang dikenali sebagai Dasar Pembangunan Baru (DPB). DPB akan memperkukuhkan lagi pencapaian di sepanjang RRJP1 untuk mempercepatkan proses membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dalam usaha memperbaiki lagi ketidak¬seimbangan sosial dan ekonomi. Ia merupakan satu rangkadasar yang lebih luas bagi mencapai matlamat sosio-ekonomi untuk tempoh sepuluh tahun akan datang dalam konteks perkembangan ekonomi yang pesat. Semasa menggubal DPB, Kerajaan telah menimbangkan pandangan dan cadangan berbagai pihak termasuk Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara mengenai dasar negara selepas 1990.

1.03 Perpaduan negara kekal menjadi matlamat terakhir pembangunan sosio-ekonomi memandangkan sebuah masyarakat yang bersatu padu adalah merupakan asas penting mewujudkan kestabilan sosial dan politik serta pembangunan yang berterusan. Dasar-dasar dan strategi-strategi pembangunan di bawah DPB mengambilkira perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia dari segi kaum, bahasa, budaya dan agama serta Wilayah supaya sebuah masyarakat yang harmoni, bertimbang rasa dan dinamik dapat diwujudkan secara progresif. Selain daripada pertimbangan-pertimbangan yang berasaskan sosio-politik dan kebudayaan, kestabilan sosial dan politik yang berterusan serta kecekapan pengurusan ekonomi merupakan faktor-faktor yang amat penting ke arah mencapai matlamat DPB.

1.04 DPB menetapkan langkah permulaan ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari semua segi. Negara perlulah maju sepenuhnya dari segi perpaduan negara dan perhubungan masyarakat, ekonomi, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan, mutu hidup, nilai-nilai sosial dan kerohanian, keyakinan dan kebanggaan terhadap negara. Adalah menjadi wawasan Kerajaan bahawa menjelang tahun 2020 Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatupadu, mempunyai masyarakat yang berkeyakinan, menghayati nilai-nilai moral dan etika yang teguh, hidup dalam sebuah masyarakat yang demokratik, lib-eral dan bertimbang rasa, penyayang, saksama dan adil dari segi ekonomi, progresif dan makmur, dan memiliki sebuah ekonomi yang mampu bersaing, dinamik, teguh, berdaya tahan dan adil dari segi sosial.

1.05 Di samping mengekalkan strategi asas DEB, dimensi¬dimensi baru DPB adalah:

(a) mengalihkan arah tumpuan strategi pembasmian kemiskinan ke arah membasmi kemiskinan di kalangan golongan termiskin di samping mengurangkan kemiskinan relatif;

(b) menumpukan kepada perwujudan gunatenaga dan pembangunan pesat sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang aktif sebagai strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna dalam sektor¬sektor moden;

(c) meningkatkan lagi penglibatan sektor swasta dalam proses penyusunan semula masyarakat melalui perwujudan peluang-peluang yang lebih luas untuk sektor tersebut berkembang; dan

(d) menumpukan kepada pembangunan sumber manusia sebagai asas penting bagi mencapai matlamat pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama.

1.06 Usaha untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi di bawah DPB akan ditumpukan kepada meningkatkan keupayaan menghasilkan pendapatan dan kekayaan serta menyediakan kemahiran kepada Bumiputera untuk mengekal dan mengurus kekayaan mereka dengan berkesan. Strategi ini merupakan satu peralihan penting berbanding dengan penekanan pada masa lepas yang mengaitkan hakmilik modal saham dengan kekayaan. Selaras dengan penekanan baru ini dan dengan tujuan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor perdagangan dan perindustrian, perhatian yang lebih akan diberi terhadap usaha memperkukuhkan keupayaan Bumiputera dalam mengurus, mengendali dan memiliki perniagaan dengan berkesan dan bukan hanya untuk mencapai matlamat kuantitatif tertentu dalam pemilikan modal saham dan hakmilik. Oleh itu, walaupun usaha akan terus dibuat di bawah DPB untuk meningkatkan hakmilik Bumiputera, tidak ada jangka masa tertentu yang ditetapkan bagi mencapai matlamat sekurang¬kurangnya 30 peratus dalam penyusunan semula modal saham. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 2000 satu kajian semula akan dibuat mengenai pencapaian matlamat ini.

1.07 RRJP2 digubal untuk satu jangka masa yang lebih singkat iaitu sepuluh tahun, separuh daripada tempoh rangka rancangan pertama. Tempoh yang lebih singkat ini akan mengurangkan risiko menyediakan matlamat-matlamat yang tidak mungkin dapat dicapai, dan ketidaktentuan membuat ramalan¬ramalan pembangunan di mana matlamat-matlamat tersebut diasaskan.

II : TERAS PEMBANGUNAN DEKAD 1990AN

1.08 Matlamat DPB dalam tempoh RRJP2 adalah untuk mencapai pembangunan yang seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan adil. Berasaskan teras DEB untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, DPB meliputi aspek-aspek kritikal berikut:

* mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama;

* memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan;

* mengurang dan akhirnya menghapuskan keadaan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi dalam negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi daripada pembangunan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia;

* menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi di kalangan negeri-negeri dan di antara kawasan bandar dan luar bandar;

* membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi, di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara;

* memajukan pembangunan sumber manusia termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran-kemahiran perlu bagi menghadapi cabaran dalam pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat;

* menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan

* memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

1.09 Strategi pembangunan yang digariskan di atas, adalah digubal berdasarkan pertimbangan-pertimbangan berikut. Pertama, prinsip pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama adalah penting dalam memastikan satu pengagihan kekayaan negara yang adil dan saksama dapat dicapai. Kedua, pembangunan masyarakat yang seimbang dapat menjamin kestabilan sosial dan politik yang berterusan. Ketiga, pemupukan dan pembentukan masyarakat Malaysia yang mempunyai etika dan nilai moral yang tinggi di samping sikap positif adalah penting dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab, berdayatahan, progresif dan penyayang. Keempat, pengurusan sumber asli dan ekologi dan juga pengekalan alam semulajadi yang menarik dan alam sekitar yang bersih, adalah penting bagi mempastikan pembangunan yang berterusan untuk generasi sekarang dan akan datang. Pembangunan ekonomi yang seimbang adalah penting untuk menjamin pertumbuhan yang stabil, mengurangkan pergeseran sosial, menggalakkan keharmonian antara kaum dan mempertingkatkan lagi perpaduan negara.

1.10 Pengalaman dua puluh tahun yang lalu telah menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi berserta dengan dasar-dasar Kerajaan yang berkesan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat telah memberi sumbangan yang besar ke arah memperbaiki agihan pendapatan dan mengurangkan ketidakseimbangan antara kaum di negara ini. Oleh yang demikian, adalah penting supaya proses pertumbuhan ekonomi diperkukuhkan lagi, sebagai prasyarat ke arah mewujudkan peluang-peluang dan menambahkan sumber-sumber ekonomi bagi membolehkan matlamat-matlamat pengagihan dicapai dengan lebih bermakna.

1.11 Sungguhpun ekonomi Malaysia telah bertambah kukuh dan prospek pertumbuhan dan pengagihan adalah cerah, kemungkinan ekonomi Malaysia terjejas oleh kejutan dan ketidakstabilan daripada luar negeri tidak boleh diketepikan. Berikutan dengan kesejagatan ekonomi dunia dan pesatnya perubahan-perubahan yang berlaku di arena antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan lagi usahanya untuk menjadikan ekonominya mempunyai dayatahan yang lebih, bagi menghadapi cabaran dan keadaan ketidaktentuan yang berpunca dari luar negeri. Dengan persaingan yang semakin hebat dari merata dunia dan negara-negara jiran, untuk menarik modal dan pelaburan asing, maka satu iklim pelaburan yang baik perlu dikekalkan untuk menarik pelaburan ke dalam negara. Oleh itu, dasar ekonomi di bawah DPB akan ditumpukan kearah memperkukuhkan pertumbuhan dari sumber-sumber tempatan dengan mengekalkan kestabilan ekonomi makro, memajukan kecekapan dan peningkatan produktiviti sektor swasta, menggalakkan tahap pelaburan swasta yang tinggi, mempelbagaikan asas perindustrian dan mengembangkan eksport.

1.12 Pertumbuhan yang berterusan memerlukan bukan sahaja pelaburan yang banyak dari segi modal tetapi juga sumber manusia yang lebih berkualiti dari segi tenaga buruh, pengurusan dan keusahawanan. Oleh itu, pembangunan sumber manusia mesti dipercepatkan bagi meningkatkan prospek pertumbuhan. Dengan sumber alam semulajadi yang semakin berkurangan dan tenaga buruh yang semakin sukar diperolehi, maka sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi hendaklah ditumpukan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan. Pembangunan sumber manusia memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan membekalkan kemahiran iktisas, pengurusan dan teknik yang diperlukan bagi pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam proses peralihan ke arah menjadi sebuah negara perindustrian. Tambahan pula, ia merupakan satu alat yang berkesan dalam memperbaiki agihan pendapatan dengan meningkatkan peluang bagi golongan berpendapatan rendah memasuki sektor ekonomi moden serta memberi peluang kepada mereka untuk berpindah kepada peringkat pekerjaan lebih tinggi. Oleh yang demikian, dasar dan program pembangunan sumber manusia yang teguh dan teratur adalah menjadi keperluan penting bagi menjayakan DPB.

1.13 Selaras dengan objektif pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama di bawah DPB, Kerajaan akan terus memainkan peranan yang berkesan dalam proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat supaya faedah pertumbuhan dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Dengan mengambilkira kemajuan yang telah dicapai setakat ini, peranan Kerajaan akan ditumpukan kepada bidang ketidakseimbangan sosio¬ekonomi yang lebih kritikal untuk mendapatkan hasil yang lebih berkekalan.

III : PELAKSANAAN DASAR EKONOMI BARU

1.14 Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ianya telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk: (a) mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan (b) mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Proses penyusunan semula masyarakat ini melibatkan pemodenan cara hidup penduduk luar bandar, pertumbuhan pesat dan seimbang kegiatan-kegiatan di bandar dan perwujudan MPPB yang berdayamaju di dalam semua kategori syarikat dan di semua peringkat operasi syarikat supaya mereka akan menjadi rakan kongsi yang sebenar dan berkesan dalam semua aspek kegiatan ekonomi negara.

1.15 DEB dan matlamatnya adalah berasaskan kepada prinsip perpaduan negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang diperjelaskan lagi dalam Rukunegara iaitu satu ideologi negara yang telah diterima secara kata sepakat dalam Majlis Perundingan Negara - sebuah badan yang diwakili oleh berbagai kumpulan masyarakat yang ditubuhkan berikutan dari rusuhan kaum pada tahun 1969 dengan tujuan membincangkan masalah-masalah perpaduan negara serta mencari jalanke arah membina sebuah negara yang lebih bersatu padu. Rukunegara, yang menekankan penghayatan bersama objektif-objektif dan nilai- nilai murni negara oleh semua rakyat, juga menetapkan prinsip-prinsip asas untuk membimbing rakyat dan negara ke arah satu tanggungjawab untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang progresif, adil dari segi ekonomi dan sosial, liberal dan bersatu padu.

1.16 DEB mengakui bahawa matlamat pengagihan hendaklah di capai dalam konteks ekonomi yang berkembang pesat yang membolehkan perwujudan peluang-peluang yang semakin meningkat bagi semua rakyat Malaysia. Hakikat ini dianggap penting untuk mempastikan supaya pengagihan pendapatan, peluang pekerjaan dan pemilikan harta akan dapat dilaksanakan dengan licin, tanpa menyebabkan mana-mana kumpulan merasakan hak mutlak mereka hilang atau tergugat.

1.17 DEB merupakan satu penjuruteraan sosial (social engi¬neering) yang digubal untuk mengurangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi di antara kaum dan wilayah. Banyak negara, termasuk negara-negara yang mengamalkan sistem ekonomikawalan pusat (centrally planned economies), telah gagal mencapai matlamat mengagihkan faedah-faedah pembangunan dengansaksama serta memperbaiki taraf hidup penduduknya. Malaysiamerupakan negara yang unik kerana ia merupakan sebuah di antara sebilangan kecil negara yang mencapai kejayaan yangmengkagumkan dalam tempoh dua puluh tahun, bukan sahaja darisegi pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengatasi dengan lebih berkesan masalah-masalah kemiskinan dan ketidakseimbanganekonomi. Kejayaan ini dengan sendirinya menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan DEB telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Sebaliknya, DEB sebenarnya berjaya mengadakan suasana aman dan stabil bagi membolehkan Kerajaan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha membangunkan negara sehingga ke tahap yang dicapai sekarang ini. Dalam proses tersebut, kadar kemiskinan dan juga ketidakseimbangan yang ketara dalam pendapatan, gunatenaga dan pemilikan modal saham di kalangan kaum telah dapat dikurangkan. Kejayaan-kejayaan dari segi pertumbuhan dan pengagihan ini telah dapat membantu merapatkan jurang diantara kaum-kaum di negara ini.

1.18 Namun demikian, Malaysia masih jauh lagi dari mencapai sepenuhnya matlamat membasmi kemiskinan dan membetulkan ketidakseimbangan. Ini adalah disebabkan oleh beberapa kelemahan dan kekurangan dalam pelaksanaan DEB serta kegagalan golongan yang miskin sendiri merebut sepenuhnya peluang-peluang yang diwujudkan. Sungguhpun sistem nilai dan sikap Bumiputera telah mengalami perubahan positif dalam tempoh dua puluhtahun kebelakangan ini, masih terdapat beberapa golongan usahawan Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi dayacipta, amalan perniagaan yang baik dan semangat bekerja yang gigih. Budaya niaga keusahawanan dan kesanggupan menanggung risiko masih belum dihayati sepenuhnya oleh masyarakat peniaga Bumiputera. Tambahan pula, masalah ekonomi yang sukar yang dialami dalam pertengahan tahun 1980an telah menjejaskan tahap kemajuan pelaksanaan DEB.

Kemiskinan dan Agihan Pendapatan

1.19 Kemiskinan mutlak semakin berkurangan dan jurang ketidaksamaan pendapatan pula semakin rapat di Malaysia.

1.20 Kadar kemiskinan di Semenanjung telah berkurang dari pada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 15 peratus menjelang akhir tahun 1990. Pencapaian yang menggalakkan ini dapat di lihat melalui peningkatan pendapatan bulanan purata isirumah bagi golongan isirumah 40 peratus terendah di Semenanjung Malaysia daripada $76 pada tahun 1970 kepada $421 pada tahun 1990. Keadaan yang serupa juga berlaku di Sabah yang menunjukkan pertambahan daripada $68 kepada $390 dan Sarawak dari pada $74 kepada $436. Pendapatan bulanan purata isirumah Semenanjung Malaysia juga telah bertambah dengan banyaknya daripada $264 pada tahun 1970 kepada $1,163 pada tahun 1990. Bagi tempoh 1976-90, pendapatan bulanan purata isirumah bagi Sabah telah meningkat daripada $513 kepada $1,148 dan bagi Sarawak daripada $427 kepada $1,208.

1.21 Ketidaksamaan pendapatan juga telah semakin berkurangan berikutan daripada peningkatan tahap pendapatan dan peluang-peluang yang bertambah kepada penduduk luar bandar termasuk pekerja wanita, berpindah daripada jenis pekerjaan berasaskan kegiatan tradisional kepada pekerjaan dalam sektor-sektor moden pertanian, pembuatan dan perkhidmatan Kerajaan. Peningkatan kualiti perkhidmatan yang disediakan di luar bandar juga telah turut menyumbang ke arah meningkatkan kemampuan memperolehi pendapatan yang lebih tinggi. Malahan, pendapatan penduduk luar bandar telah meningkat jauh lebih pesat berbanding dengan pendapatan penduduk bandar, dan dengan demikian menyumbang ke arah memperbaiki agihan pendapatan di negara ini seperti yang ditunjukkan oleh pengurangan angkali Gini daripada 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.445 pada tahun 1990.

1.22 Dengan pencapaian ini, bilangan isirumah miskin di Malaysia telah berkurangan dengan banyaknya daripada kira¬kira 1,100,000 isirumah pada tahun 1970 kepada kira-kira 619,400 isirumah sahaja pada tahun 1990, meskipun jumlah isirumah telah meningkat daripada 2,099,000 kepada 3,614,600 dalam tempoh tersebut. Sebahagian besar isirumah miskin adalah terdiri daripada isirumah Melayu dan suku kaum Bumiputera yang lain. Kemiskinan juga terdapat di kalangan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain. Dari segi wilayah, tahap kemiskinan di negeri-negeri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi daripada kadar purata negara. Kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah adalah sebahagiannya disebabkan anggaran yang juga meliputi sejumlah isirumah pendatang sementara yang miskin.

1.23 Walaupun kemiskinan mutlak masih wujud, kemiskinan relatif dari segi perbezaan pendapatan dijangka akan menjadi isu yang lebih ketara pada masa hadapan. Apabila sesuatu kumpulan atau golongan dalam sesuatu kelompok masyarakat merasai mereka lebih daif dari segi ekonomi berbanding denganyang lain, sudah pasti mereka merasa kecewa dan terbiar walaupun sebenarnya kedudukan mereka secara mutlaknya telah bertambah baik.

1.24 Ramai mereka yang terdiri daripada kumpulan termiskin di kawasan terpencil dan kampung-kampung tradisional, kawasan penempatan, di ladang-ladang dan di kampung-kampung yang dahulunya dikenali sebagai kampung-kampung baru serta di kalangan isirumah miskin di bandar-bandar, masih merasakan mereka tidak diberi perhatian yang secukupnya dalam usaha pembangunan Kerajaan. Dengan demikian, walaupun terdapat peningkatan dalam tahap pendapatan dan taraf hidup secara keseluruhan di negara ini, terdapat kumpulan-kumpulan tertentu masyarakat terutama di Kedah, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak, merasakan mereka tertinggal dari segi mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan asas.

1.25 Satu masalah besar di luar bandar, terutamanya di kampung-kampung terpencil dan di kebanyakan ladang-ladang ialah kekurangan sekolah yang mempunyai kelengkapan yang cukup dan guru-guru terlatih yang sesuai serta persekitaran yang lebih baik untuk pembelajaran. Keadaan sedemikian menjejaskanmutu pendidikan dan mengakibatkan kadar keciciran yang tinggi di sekolah-sekolah. Keadaan ini mengurangkan peluang-peluang bagi golongan miskin memperbaiki kedudukan mereka melalui pendidikan. Pengangguran

1.26 Sehingga pertengahan dekad lapan puluhan, kejayaan yang besar telah dicapai dalam meningkatkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya di sektor moden ekonomi. Gunatenaga meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun sepanjang dekad tujuh puluhan melebihi kadar pertambahan tenaga buruh. Keadaan ini telah mengurangkan kadar pengangguran dengan banyaknya kepada 4.6 peratus pada tahun 1982. Ini merupakan satu pencapaian yang besar berbanding dengan keadaan pada tahun 1970 di mana kadar pengangguran adalah di paras yang tinggi iaitu 7.4 peratus.

1.27 Walau bagaimanapun, kadar pengangguran dalam dekad lapan puluhan telah mula meningkat semula berikutan daripada kemelesetan ekonomi dalam tempoh 1985-86, dan ianya mencapai paras tertinggi iaitu 8.3 peratus pada tahun 1986. Dengan pemulihan ekonomi, kadar pengangguran telah bertambah baik di mana ianya berkurang kepada 6 peratus pada tahun 1990. Kebanyakan penganggur adalah dari lepasan sekolah dan belia yang baru memasuki tenaga buruh, yang disebabkan oleh taraf pendidikan yang lebih baik, sering memilih kerja dankurang berminat bekerja di ladang-ladang dan dalam industri pembinaan. Anggaran pengangguran 6 peratus ini adalah tinggikerana ia termasuk golongan yang tidak giat mencari kerja dan golongan ini merupakan hampir separuh daripada jumlah penganggur. Dengan itu, jika golongan penganggur ini tidak diam bilkira, kadar pengangguran adalah lebih rendah.

1.28 Dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pasaran buruh yang semakin ketat, kekurangan pekerja di beberapa sektor dan kawasan di negara ini telah timbul. Walaupun sistem pendidikan telah berkembang secara meluas di semua peringkat untuk menambah tenaga manusia berpelajaran yang lebih ramai, kehendak dan harapan pencari kerja mungkin tidak selaras dengan keperluan majikan. Ketidaksamaan antara permintaan dan penawaran ini adalah disebabkan oleh gabungan beberapa faktor berkaitan dengan kadar upah dan sistem penentuan upah; kemahiran dan mutu tenaga buruh; mobiliti buruh; keadaan tempat kerja terutama di sektor pertanian; dan kekurangan maklumat pasaran buruh yang berkesan. Penyusunan Semula Gunatenaga

1.29 Salah satu matlamat utama DEB adalah untuk menyusun semula corak gunatenaga supaya lebih menggambarkan komposisi kaum dalam negara. Berikutan dengan perubahan struktur ekonomi dan munculnya sektor-sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan sebagai sektor-sektor pertumbuhan utama,bilangan aliran masuk gunatenaga Bumiputera ke sektor-sektor ekonomi di bandar telah bertambah. Faktor-faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini termasuklah kemudahan pendidikan yang lebih luas, pasaran buruh yang lebih terbuka dan bersepadu serta kesan positif garispanduan Kerajaan berhubung dengan penyusunan semula gunatenaga.

1.30 Gunatenaga Bumiputera dalam sektor pembuatan kini merupakan 50.3 peratus daripada jumlah gunatenaga dalam sektor tersebut. Walaupun begitu, sebahagian besar daripada pertambahan gunatenaga Bumiputera adalah dalam pekerjaan peringkat rendah. Di peringkat penyeliaan dan pengurusan, gunatenaga Bumiputera masih lagi rendah. Namun begitu, dalam banyak bidang pekerjaan, peratusan Bumiputera telah meningkat, dan oleh itu menjadikannya lebih bercorak berbilang kaum berbanding dengan kedudukan pada tahun 1970. Pada masa yang sama, di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, corak pekerjaan juga telah menjadi lebih bersifat berbagai kaum.

1.31 Sebaliknya, peratusan bukan Bumiputera dalam sektor pertanian, dalam rancangan-rancangan tanah dan beberapa kategori perkhidmatan awam dan Kerajaan, tidak banyak berubah dan masih lagi rendah. Walaupun bilangan pekerja Bumiputera paling ramai dalam gunatenaga sektor awam dan begitu ketara sekali dalam perkhidmatan-perkhidmatan beruniform, kesetiausahaan dan perkeranian serta perguruan, manakala kaum bukan Bumiputera pula adalah didapati lebih ramai dalam jawatan-jawatan profesional dan teknikal, terutamanya dalamperkhidmatan perubatan, kejuruteraan dan perakaunan. Memandangkan hakikat ini, adalah perlu ditingkatkan segera penawaran tenaga kerja profesional dan teknik Bumiputera. Walau bagaimanapun, bagi kaum India, bahagian mereka dalam beberapa bidang pekerjaan adalah lebih rendah daripada nisbah penduduk mereka. Dalam bidang-bidang pekerjaan di mana penyertaan mereka adalah sangat memuaskan, dari segi mutlak pertambahannya adalah lebih rendah daripada yang dicapai oleh kaum Bumiputera dan Cina. Akibatnya, baha gian kaum India dalam pekerjaan profesional telah menurun secara berterusan sejak 1970.

Penyusunan Semula Hakmilik Modal Saham

1.32 Satu daripada unsur penting serampang kedua strategi DEB adalah penyusunan semula hakmilik modal saham dalam sektor syarikat. Matlamat yang ditetapkan ialah bahawa menjelang penghujung tahun 1990, hakmilik kaum Bumiputera akan meningkat ke tahap sekurang-kurangnya 30 peratus manakala rakyat Malaysia yang lainnya meningkat kepada 40 peratus. Pemilikan modal saham rakyat Malaysia lain telah bertambah menjadi 46.2 peratus, melebihi matlamat yang ditetapkan bagi mereka. Dalam kumpulan ini, bahagian kaum Cina telah meningkat kepada 44.9 peratus, India kekal di paras 1 peratus dan kaum-kaum lain 0.3 peratus. Berhubung dengan kepentingan asing pula, pemilikan modal saham mereka telah berkurang daripada 63.3 peratus pada tahun 1970 kepada 25.1 peratus pada tahun 1990 iaitu melebihi matlamat yang ditetapkan oleh DEB untuk mengurangkan penguasaan kepentingan asing dalam ekonomi negara. Sebaliknya, hakmilik modal saham Bumiputera telah meningkat hanya kepada 20.3 peratus sahaja, iaitu jauh lebih rendah dari matlamat asal sebanyak 30 peratus. Milik modal saham yang didaftarkan di bawah syarikat-syarikat calon telah meningkat kepada 8.4 peratus.

1.33 Peningkatan hakmilik modal saham Bumiputera adalah satu pencapaian yang besar walaupun tidak mencapai matlamat yang ditetapkan. Dari segi nilai mutlak, hakmilik modal saham Bumiputera telah meningkat daripada $125.6 juta pada tahun 1970 kepada $22,298 juta pada tahun 1990. Ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 29.6 peratus setahun iaitu jauh lebih tinggi daripada pertumbuhan keseluruhan modal saham bagi sektor ini pada kadar 16.3 peratus.

1.34 Pertambahan hakmilik modal saham Bumiputera sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh pemilikan agensi-agensi amanah dan institusi-institusi lain yang berkaitan. Tahap pemilikan sebenar oleh Bumiputera sebagai pelabur individu hanyalah kira-kira 8.2 peratus menjelang tahun 1990. Semenjak kemelesetan pada pertengahan dekad lapan puluhan, pertumbuhan hakmilik modal saham Bumiputera menjadi semakin lembab disebabkan oleh sumber mereka yang terhad, pengurangan kegiatan agensi-agensi amanah dan garis panduan dasar yang lebih liberal mengenai pemilikan modal saham. Ini menunjukkan bahawa matlamat penyusunan semula hakmilik modal saham memer lukan masa yang lebih panjang untuk dicapai. Pembentukan Sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera

1.35 Matlamat untuk membentuk sebuah MPPB telah disokong oleh Kerajaan melalui pemberian kontrak, kuota dan lesen kepada perniagaan milik Bumiputera dan syarikat usahasama dengan Bumiputera. Di samping itu, agensi-agensi Kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) telah melibatkan diri dengan giatnya dengan menubuhkan syarikat-syarikat perniagaan untuk membantu Bumiputera. Usaha-usaha yang lain termasuklah penyediaan biasiswa-biasiswauntuk pendidikan dan latihan, kemudahan kredit dan bantuan khidmat nasihat. Hasil daripada usaha tersebut telah dapat meningkatkan bilangan syarikat-syarikat yang dimiliki dan diuruskan oleh Bumiputera serta mewujudkan kumpulan baru usahawan Bumiputera terutamanya di kalangan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, berbanding dengan pencapaian kaum-kaum yang lain, penyertaan Bumiputera masih terlalu kecil. Di dalam ke banyakan sektor perniagaan dan perdagangan, penyertaan Bumiputera adalah masih jauh lebih rendah daripada bukan Bumiputera.

1.36 Penyertaan usahawan Bumiputera dalam kegiatan perniagaan seperti kerja-kerja kontrak, pembuatan, percetakan, perdagangan, insurans dan agensi-agensi pelancongan masih terus bergantung kuat kepada sokongan sektor awam. Kekurangan modal dan kepakaran telah menyebabkan mereka kurang berjaya memasuki sektor swasta dalam negeri dan pasaran eksport melaluiusaha mereka sendiri. Banyak syarikat Bumiputera mengalami kesulitan kewangan yang ketara semasa kemelesetan baru-baru ini. Peranan Sektor Awam

1.37 Dalam tempoh RRJP1, peranan sektor awam dan saiznya dalam ekonomi telah meningkat dengan pesatnya. Dengan wujudnya batasan-batasan sumber pada pertengahan tahun-tahun lapan puluhan dan tahap pinjaman luar negeri yang tinggi, langkah-langkah telah diambil oleh Kerajaan untuk memperkemaskan perbelanjaan sektor awam bagi mengurangkan defisit fiskal di samping memperkukuhkan kedudukan ekonomi keseluruhannya. Ini mengakibatkan pertumbuhan sektor awam menjadi perlahan.

1.38 Salah satu faktor utama yang menyebabkan pesatnya pertambahan perbelanjaan sektor awam dalam dekad tujuh puluhan dan awal dekad lapan puluhan ialah perwujudan badan¬badan berkanun dan perusahaan awam bukan kewangan dengan banyaknya. Perluasan kegiatan badan-badan sedemikian dalam ekonomi negara dan peningkatan persaingannya dengan sektor swasta untuk mendapatkan sumber dan pasaran telah menimbulkan kebimbangan tentang kecekapan ekonomi dan beban kewangan akibat daripada pemberian subsidi kepada banyak syarikat milik Kerajaan yang mengalami kerugian dalam sektor perdagangan dan perindustrian. Sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan perbelanjaan sektor awam dan meningkatkan kecekapan ekonomi negara, Kerajaan telah melaksanakan dasar penswastaan. Di bawah dasar ini, beberapa perkhidmatan dan syarikat Kerajaan telah diswastakan.

1.39 Dengan pengurangan peranan sektor awam, pertumbuhan ekonomi bergantung kepada sektor swasta untuk memulihkannya daripada kemelesetan yang dialami dalam tempoh 1985-86. Oleh yang demikian, beberapa langkah telah diperkenalkan untuk mendorong kegiatan sektor swasta dan untuk membolehkan ekonomi negara menjadi lebih cekap dan mampu bersaing, terutamanya dalam bidang eksport. Selain daripada penyesuaian dalam dasar- dasar fiskal, kewangan dan tukaran wang asing, langkah-langkah telah diambil untuk melonggarkan dasar-dasar tertentu dan mengurangkan peraturan-peraturan dalam ekonomi bagi memberi gal akan kepada pelabur dalam dan luar negeri untuk memperluaskan kegiatan mereka. Dasar-dasar penyesuaian ini, terutamanya yang ditetapkan di bawah DEB berhubung dengan peraturan-peraturan dan syarat-syarat mengenai hakmilik modal saham dan perlesenan perindustrian, berserta dengan pemulihan sektor eksport, telah menyumbang ke arah meningkatkan daya tarikan iklim pelabur dan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara mulai tahun 1986.

IV : DASAR PEMBANGUNAN BARU

1.40 DPB akan dilaksanakan berasaskan prinsip pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama. Ia akan mengambilkira pengalaman perlaksanaan DEB dan juga isu-isu serta perkara yang perlu dititikberatkan hasil daripada pengalaman tersebut. Meskipun kemajuan telah dicapai di bawah DEB, usaha-usaha selanjutnya adalah perlu untuk mengurangkan kemiskinan dan menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat dan wilayah dalam konteks pembangunan yang seimbang dan keadilan sosial untuk mencapai matlamat menyeluruh perpaduan negara.

1.41 Pembangunan yang tidak seimbang adalah ciri-ciri kebanyakan sistem ekonomi pasaran. Selain daripada ketidaksamaan pendapatan dan tahap hidup, ketidakseimbangan dalam peluang mendapatkan pekerjaan, pendidikan dan peluang¬peluang yanglain juga mungkin mengakibatkan pergeseran dan ketegangan sosial. Malahan, dalam masyarakat yang mempunyai ciri-ciri persamaan, pengagihan faedah pembangunan ekonomi dan sosial yang tidak samarata telah menyebabkan pergeseran dan ketegangan sosial. Dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, kemungkinan berlakunya pergeseran sosial seperti ini adalah lebih besar sekiranya ketidakseimbangan sosio-ekonomi di kalangan kaum terus wujud. Ketida kseimbangan sedemikian akan mudah menimbulkan pergeseran dan ketegangan kaum, yang akan membawa kepada ketidakstabilan sosial dan politik. Walaupun DEB telah berjaya mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan ketidakseimbangan ekonomi, masalah ini masih merupakan cabaran yang utama yang akan terus dihadapi oleh negara pada hari ini.

1.42 Matlamat DPB untuk membina sebuah negara yang bersatupadu akan terus diasaskan kepada prinsip dan garis panduan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan Rukunegara. Selaras dengan ini, DPB telah digubal untuk memenuhi hasrat dan harapan semua warganegara Malaysia supaya tiada seorang pun merasa hak mereka kehilangan atau tergugat dalam perlaksanaan programnya. Untuk menentukan dasar ini berkesan sebagai satu alat meningkatkan perpaduan negara, ianya mestilah diterima oleh semua lapisan rakyat Malaysia selaras dengan semangat Rukunegara dengan penuh dedikasi dan keazaman membina negara.

1.43 DPB akan meneruskan usaha memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, bersatupadu, aman dan makmur. Untuk tujuan ini, usaha-usaha yang lebih berkesan akan diambil untuk mengurangkan kemiskinan tanpa mengira kaum dan juga menyusun semula masyarakat ke arah mencapai pengagihan yang saksama dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang sihat dan berterusan.

1.44 Kadar kemiskinan dijangka akan berkurang daripada 17.1 peratus pada tahun 1990 kepada 7.2 peratus pada tahun 2000. Sebahagian besar kemajuan ini adalah datangnya daripada pertumbuhan gunatenaga yang pesat dalam sektor bukan pertanian dan kurangnya penggantungan tenaga buruh luar bandar kepada sumber-sumber pendapatan tradisional. Menjelang tahun 2000, pengangguran dalam negara dijangka turun kepada 4 peratus dengan pasaran buruh menjadi semakin ketat, produktiviti dan upah akan meningkat bagi membolehkan tahap pendapatan dan taraf hidup menjadi semakin bertambah baik.

1.45 Memandangkan keadaan kemiskinan secara keseluruhannya dalam negara telah bertambah baik dengan pesat, usaha-usaha pembasmian kemiskinan kini akan lebih tertumpu kepada golongan termiskin. Golongan termiskin ditakrifkan sebagai isirumah yang menerima pendapatan kurang daripada separuh pendapatan garis kemiskinan dan keadaan kehidupan mereka adalah daif. Oleh sebab-sebab tertentu, isirumah ini tidak dapat mengambil kesempatan dari peluang-peluang yang muncul daripada pertumbuhan ekonomi bagi membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan. Berdasarkan data Penyiasatan Pendapatan Isirumah, terdapat kira-kira 143,100 isirumah termiskin pada tahun 1990 kebanyakannya adalah berselerak di kawasan-kawasan terpencil diluar bandar. Dengan menggunakan takrif ini, isirumah yang termiskin merupakan lebih kurang 4 peratus daripada keseluruhan isirumah negara. Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa tahap kemiskinan dalam negara ini adalah rendah mengikut piawaian antarabangsa dan tidak boleh dibandingkan dengan keadaan terlalu miskin yang terdapat di setengah-setengah negara membangun. Namun begitu, Kerajaan akan terus memperbaiki keadaan isirumah yang kurang bernasib baik ini dengan melaksanakan program¬program khas termasuk bantuan secara langsung bagi membolehkan mereka mendapat keperluan asas kehidupan harian.

1.46 Isu yang lebih penting dalam dekad sembilan puluhan ialah kemiskinan relatif. Pengurangan kemiskinan relatif bukanlah hanya meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan sebenar. Ia juga memerlukan kumpulan berpendapatan rendah mendapat perkhidmatan-perkhidmatan sosial dan peluang pendapatan yang lebih baik, terutamanya mereka di kawasan¬kawasan yang ketinggalan dan di negeri-negeri yang kurang maju. Tambah an pula, kumpulan-kumpulan yang berpendapatan rendah adalah yang paling mudah terjejas oleh keadaan yang kurang baik seperti inflasi, banjir dan kemerosotan alam sekitar. Oleh yang demikian, penyediaan perkhidmatan¬perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan yang lebih baik bagi membantu dan melindungi mereka akan diberi perhatian yang lebih untuk mengurangkan jurang pendapatan dan memperbaiki lagi taraf hidup mereka setanding dengan kumpulan-kumpulan yang berpendapatan lebih tinggi.

1.47 Konsep kemiskinan relatif juga berhubungkait dengan ketidak-seimbangan wilayah dalam pembangunan ekonomi. Negeri -negeri yang kurang maju di Malaysia masih ketinggalan jauh dari segi kemudahan infrastruktur asas dan perkhidmatan sosial walaupun terdapat kemajuan pada masa lepas dalam usaha mengurangkan ketidakseimbangan wilayah. Usaha-usaha yang lebih banyak perlu dilaksanakan untuk memperbetulkan ketidak- seimbangan wilayah supaya ketidaksamaan pendapatan di kalangan negeri-negeri dapat dikurangkan.

1.48 Pelaksanaan DPB untuk mengurangkan kemiskinan akan mengambilkira keperluan semua golongan masyarakat. Oleh itu, walaupun diakui bahawa segolongan besar rakyat termiskin di negara ini adalah kaum Bumiputera, namun terdapat juga kaum bukan Bumiputra yang berada di bawah paras kemiskinan sama ada di bandar atau di luar bandar. Kehendak utama mereka ialah diberi peluang mendapatkan sumber-sumber ekonomi, terutama nya tanah dan kredit bagi membolehkan mereka memperolehi dan menambah pendapatan serta boleh berdikari. Tahap dan mutu perkhidmatan sosial di beberapa kampung, ladang dan estet perlu juga diperbaiki supaya taraf hidup mereka dapat dipertingkatkan. Di samping itu, harapan mereka untuk mendapat peluang yang lebih baik untuk bekerja dalam sektor awam, peluang pendidikan dan penyertaan dalam rancangan tanah akan diambilkira bersama-sama dengan kemajuan yang dicapai oleh Bumiputera dalam sektor swasta.

1.49 Walaupun semua kumpulan masyarakat telah maju semenjak tahun 1970, kedudukan sosio-ekonomi beberapa golongan tertentu di kalangan masyarakat Bumiputera, seperti Orang Asli dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak, dan kaum India di kalangan masyarakat bukan Bumiputera, masih ketinggalan. Kemajuan yang dicapai oleh golongan-golongan ini tidak setanding dengan pencapaian kaum-kaum lain. Dalam perlaksanaan DPB, keperluan golongan-golongan ini akan diberi perhatian yang sewajarnya untuk membolehkan mereka mendapat manfaat yang saksama daripada pertumbuhan ekonomi dan perlaksanaan rancangan-rancangan pembangunan.

1.50 Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah usaha untuk terus mengurangkan kemiskinan di bandar dan memperbaiki mutu hidup penduduk bandar. Berikutan dengan proses perbandaran dan perindustrian, adalah dijangkakan aliran masukpenduduk luar bandar ke bandar-bandar akan memberi tekanan kepadausaha-usaha mengadakan kemudahan¬kemudahan perumahan,fisikal dan sosial serta peluang-peluang meningkatkan pendapatandan pekerjaan untuk penghuni bandar. Perkembangan ini akan menjejaskan keadaan kemiskinan di bandar. Keupayaan pusat-pusat bandar untuk memenuhi kehendak penghuni bandar perlu dipertingkatkan, di mana lebih banyak pekerjaan diwujudkan dan kemudahan-kemudahan perkhidmatan bandar yang mencukupi perlu disediakan. Kesemua ini membolehkan mereka menikmati kehidupan bandar yang sihat dan bersih persekitarannya.

1.51 Strategi penyusunan semula masyarakat di bawah DPB di samping terus memberi perhatian kepada penyusunan semula gunatenaga dan hakmilik modal saham akan juga menumpukan kepada usaha-usaha ke arah pembangunan MPPB sebagai satu strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dan penguasaan kepentingan mereka di sektor syarikat dan bukan syarikat. Ini adalah penting kerana usaha pada masa lalu yang bertujuan mewujudkan MPPB telah tidak begitu berjaya. Pemilikan modal saham sahaja tidak akan memberi kesan yang sewajarnya kepada usaha meningkatkan penyertaan berkesan Bumiputera dalam ekonomi negara sekiranya kekayaan yang baharu diperolehi, tidak dikekalkan dan diperluaskan dan sekiranya mereka mempunyai pengalaman yang terhad dalam pengendalian perniagaan. Oleh itu, adalah penting untuk menambah peluang-peluang bagi Bumiputera untuk memiliki dan mengusahakan perniagaan agar mereka dapat menimba pengalaman bagi memperolehi dan mengekalkan kekayaan dengan bantuan minimum daripada Kerajaan. Untuk tujuan ini,latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diberi penekanan yang kuat. Seterusnya, peranan perusahaan awam dan agensi-agensi amanah ditumpukan ke arah menyediakan sokongan yang berkesan bagi membangunkan perniagaan Bumiputera. Tambahan pula, peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan bagi menggalakkan pembangunan keusahawanan Bumiputera.

1.52 Walaupun kedudukan ekonomi kaum Bumiputera telah bertambah baik semenjak tahun 1970, sistem kuota, lesen dan bantuan-bantuan khusus yang lain yang telah dilaksanakan bagi membantu mereka, terutamanya dalam memperluaskan penyertaan mereka dalam sektor-sektor perindustrian, perniagaan dan perdagangan, akan terus perlu dalam dekad sembilan puluhan sehinggalah ketidakseimbangan ekonomi dapat diperbetulkan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini akan diperbaiki bagi menjamin supaya hanya Bumiputera yang mempunyai potensi, azam dan rekod yang baik akan diberi bantuan supaya matlamat MPPB yang berdayamaju dan berdayatahan di bawah DPB dapat dicapai. Pada masa yang sama, ada golongan-golongan Bumiputera yang baru mencebur diri dalam perniagaan dan tidak mempunyai rekod pengalaman. Pertimbangan juga akan diberikan kepada mereka berasaskan potensi untuk berjaya.

1.53 Pelaksanaan program-program untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor perdagangan dan perindustrian akan mengambilkira beberapa isu-isu baru yang timbul dalam proses perlaksanaan DEB semenjak dua puluh tahun yang lalu, dan untuk mengatasinya perlu diwujudkan satu masyarakat yang kukuh dan ekonomi yang lebih cekap.

1.54 Walaupun kejayaan telah dicapai secara keseluruhannya dalam mengurangkan ketidaksamaan pendapatan di kalangan semua kumpulan pendapatan, perkara utama yang memerlukan perhatian ialah perbezaan pendapatan dalam masyarakat Bumiputera adalah lebih tinggi berbanding dengan kaum yang lain. Ini menunjukkan bahawa program-program semasa perlu diperbaiki bagi memastikan faedah yang lebih saksama dinikmati dan keutamaan diberi berdasarkan keperluan, keupayaan, kebolehan dan keazaman untuk menyumbang secara produktif kepada pencapaian matlamat negara. Sebaliknya, mereka yang berjaya dan mempunyai potensi perlu di galakkan berdikari dan bersaing dalam ekonomi negara. Strategi ini akan menyumbang ke arah membangun dan memperbanyakkan golongan eksekutif dan usahawan Bumiputera dalam perdagangan dan industri.

1.55 Kedua, walaupun DEB telah menghasilkan segolongan usahawan dan pengurus Bumiputera yang baru, ramai juga di kalangan mereka yang telah gagal dalam perniagaan. Dalam usaha untuk memperkukuhkan masyarakat perniagaan Bumiputera melalui kemudahan latihan, kredit dan pemasaran, langkah¬langkah perlu juga diambil untuk menjadikan mereka lebih berdikari dan kurang bergantung kepada Kerajaan. Pembangunan usahawan dan pengurus Bumiputera akan memberi penekanan kepada hakikat bahawa jalan ke arah kejayaan perniagaan adalah biasanya bermula dari peringkat bawah. Oleh itu, latihan bagi bakal peniaga-peniaga Bumiputera sebagai perantis dalam kerja-kerja mahir dan pengendalian perniagaan kecil-kecilan atau sebagai rakaniaga yang aktif dalam syarikat-syarikat usahasama dengan bukan-Bumiputera akan digalakkan sebagai langkah persediaan ke arah mencapai kejayaan dalam perniagaan.

1.56 Perkara ketiga yang memerlukan perhatian ialah prospek gunatenaga Bumiputera dalam sektor moden dan bandar. Adalah dijangkakan semakin ramai tenaga buruh mencari pekerjaan dalam sektor perindustrian dan perdagangan adalah berasal dari kawasan-kawasan luar bandar dan kebanyakannya adalah Bumiputera. Oleh kerana aliran masuk Bumiputera yang semakin meningkat ke sektor bandar dan disebabkan kekurangan kemahiran yang diperlukan mereka mungkin terpaksa menerima pekerjaan di peringkat rendah. Oleh yang demikian, usaha¬usaha Kerajaan untuk memesatkan tahap penyusunan semula corak gunatenaga perlu disertai oleh usaha-usaha mempertingkatkan lagi pembangunan sumber manusia bagi memastikan supaya Bumiputera lebih bersedia untuk pekerjaan di peringkat lebih tinggi dalam sektor moden.

1.57 Proses menyusun semula gunatenaga dijangka terus menunjukkan kemajuan dalam tempoh RRJP2 berikutan daripada pertumbuhan ekonomi dan permintaan buruh yang semakin meningkat dalam ekonomi negara. Dengan adanya peluang pendidikan yang lebih luas untuk Bumiputera dan pasaran buruh yang lebih bersepadu, prospek bagi gunatenaga Bumiputera dalam sektor moden ekonomi dijangka terus bertambah baik. Memandangkan keupayaan Bumiputera untuk memenuhi keperluan pekerjaan dalam pasaran buruh akan bertambah, maka peranan Kerajaan dalam menyusun semula corak gunatenaga akan ditumpukan kepada peringkat pekerjaan tinggi dan di dalam syarikat yang lebih besar dalam sektor syarikat, terutamanya dalam sektor perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan.

1.58 Penyusunan semula modal saham dalam sektor korporat akan terus dilaksanakan di bawah DPB supaya bahagian Bumiputera dapat dipertingkatkan selaras dengan matlamat asal DEB bagi mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus dalam pemilikan, penguasaan dan pengurusan sektor-sektor moden ekonomi. Walau bagaimanapun, Kerajaan mengakui bahawa pencapaian matlamat ini memerlukan masa kerana ianya melibatkan pengemblengan sejumlah besar tabungan Bumiputera dan memerlukan adanya usahawan Bumiputera yang dapat melibatkan diri secara berkesan dalam sektor moden ekonomi.

1.59 Kerajaan telah melonggarkan dengan secara meluas garia panduan mengenai hakmilik modal saham oleh warganegara asing dalam meluluskan projek-projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan pelancongan. Untuk terus mengekalkan iklim yang menggalakkan bagi menarik pelaburan dan mendorong pertumbuhan ekonomi, Kerajaan akan meneruskan dasar liberal berhubung dengan syarat-syarat pemilikan modal saham bagi pelaburan asing dalam sektor pembuatan dan pelancongan. Selaras dengan dasar ini, Kerajaan akan melonggarkan garis panduan mengenai modal saham yang melibatkan pelabur tempatan bagi menggalakkan eksport.

1.60 Jawatankuasa Pelaburan Asing akan terus mengawasi penyusunan semula sektor syarikat. Syarikat-syarikat yang menjalankan urusniaga yang memerlukan kelulusan Jawatankuasa ini akan terus dikehendaki menyusun semula modal sahamnya. Pertimbangan mengenai cadangan-cadangan sedemikian akan dilaknakan secara liberal berasaskan kepentingan satu-satu kes dan mengambilkira pentingnya hakmilik majoriti bagi pelabur asing dan tempatan. Garis panduan yang sedia ada akan diperbaiki dan diubahsuai serta dijadikan lebih jelas untuk membantu membolehkan sektor swasta mematuhinya.

1.61 Untuk memudahkan pencapaian matlamat penyusunan semula modal saham ini, tindakan akan diambil melalui program penswastaan bagi memperuntukkan kepada Bumiputera sejumlah besar modal saham bagi projek-projek yang diswastakan. Secara khususnya, penswastaan syarikat-syarikat perniagaan milik agensi-agensi amanah Kerajaan seperti MARA, Pernas dan PKEN akan dikhaskan untuk Bumiputera. Program penswastaan akan dilaksanakan sebagai satu cara untuk menambah lagi peluang- peluang bagi Bumiputera memiliki modal saham baru. Pada masa yang sama, kaum bukan-Bumiputera juga akan diberi peluang untuk menyertai projek-projek penswastaan.

1.62 Usaha-usaha akan juga dibuat untuk memperbaiki pengurusan dan penggunaan sumber-sumber yang digembleng oleh institusi-institusi berasaskan konsep Islam, terutamanya yang melibatkan Zakat, Wakaf dan Baitulmal. Matlamat utama adalah untuk memastikan rancangan-rancangan sosio-ekonomi yang dilaksanaka oleh institusi-institusi ini dipadukan secara berkesan dengan usaha-usaha perancangan negara. Untuk mencapai tujuan ini, perundingan dan penyelidikan yang bersesuaian telahpun dimulakan yang melibatkan pakar-pakar, ahli akademik, pengamal dan pegawai awam dengan tujuan mengenalpasti potensi dan peluang untuk menggunakan sumber sedemikian bagi meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan masyarakat Islam di negara ini.

1.63 Matlamat pengagihan di bawah DPB boleh dilaksanakan secara paling berkesan dalam konteks ekonomi yang berkembang dengan pesat dan menghasilkan peluang-peluang serta sumber¬sumber tambahan bagi negara. Perkembangan ekonomi yang berterusan adalah satu syarat perlu untuk menjayakan perlaksanaan DPB. Bagi menyediakan rangkakerja yang menggalakkan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi secara berterusan, adalah penting dipastikan wujudnya tahap kecekapan yang tinggi di kedua-dua sektor awam dan swasta.

1.64 Sektor awam yang cekap akan boleh terus memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan secara berkesan program program yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah dan mewujudkan segolongan MPPB yang teguh. Dalam hal ini, syarikat-syarikat perusahaan awam dikehendaki memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mewujudkan dan menyokong MPPB. Namun begitu, adalah penting dipastikan supaya perbelanjaan Kerajaan untuk mencapai matlamat pengagihan digunakan secara cekap supaya ia tidak membebankan belanjawan negara dan perlaksanaan nya hendaklah tertakluk kepada keupayaan kewangan negara.

1.65 Usaha-usaha ke arah memastikan kecekapan sektor awam ini memerlukan langkah-langkah tambahan bagi memperkukuhkan lagi hasil Kerajaan dan mengurangkan perbelanjaan bagi program-program yang berkeutamaan rendah. Bagi tujuan ini, penswastaan perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan dan syarikat perniagaan milik awam akan dipertingkatkan lagi. Penyediaan kemudahan dan perkhidmatan awam akan dikenakan bayaran bagi tujuan mendapatkan kembali sebahagian, jika tidak kesemua, kos penyelenggarannya. Semua langkah-langkah ini akan membawa kepada peningkatan kecekapan sektor awam dan memastikan supaya Kerajaan akan terus mempunyai sumber¬sumber untuk melaksanakan program-program yang diberi keutamaan tinggi di bawah DPB.

1.66 Sektor swasta yang cekap adalah lebih penting untuk menjayakan DPB oleh kerana menerusi perkembangannya, peluang-peluang pekerjaan dan punca-punca pendapatan baru dapat di wujudkan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dasar-dasar Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk menentukan pertumbuhan yang dijangkakan daripada sektor swasta menerusi tahap pelaburan yang tinggi dan perkembangan eksport yang pesat. Dasar-dasar pengurusan fiskal dan kewangan serta perlaksanaan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan kegiatan sektor swasta hendaklah disediakan bagi mengadakan peluang untuk semua lapisan sektor swasta menyumbang secara produktif kepada perkembangan ekonomi negara. Di samping itu, pelaburan sektor awam dalam bidang sumber manusia dan pembangunan infrastruktur akan ditambah untuk mempertingkatkan keupayaan perkembangan sektor swasta.

1.67 Tumpuan berterusan yang diberikan kepada masalah ketidakseimbangan ekonomi dan kemiskinan di bawah DPB menunjukkan betapa pentingnya mekanisma penyampaian dan institusi yang cekap diwujudkan untuk memastikan hasil yang lebih baik dan kesan yang maksimum kepada kumpulan sasaran. Selaras dengan ini, Kerajaan akan mengambil langkah bagi menyelaraskan lagi peranan dan fungsi agensi-agensi utama yang terlibat secara langsung dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Peranan agensi-agensi sektor awam dan badan-badan berkanun akan diawasi dengan rapi supaya ia lebih bertanggungjawab terhadap kegiatan masing¬masing di samping meningkatkan kecekapan dalam pengurusan dan penggunaan sumber-sumber Kerajaan.

V : PROSPEK DAN DASAR PERTUMBUHAN

1.68 Arahaliran pertumbuhan pesat ekonomi negara dalam dekad tujuh puluhan telah berterusan hingga ke awal dekad lapan puluhan. Selepas kemelesetan pada pertengahan dekad lapan puluhan, ekonomi negara telah pulih semula dengan pesatnya. Pendorong utama adalah hasil daripada peningkatan besar eksport barangan pembuatan dan perkembangan aktif sektor perindustrian. Pelaburan swasta berkembang dengan pesatnya dalam sektor perindustrian, terutamanya pembuatan dan pembinaan, carigali dan pengeluaran petroleum dan kegiatan industri berorientasikan eksport di Zon-zon Perdagangan Bebas.

1.69 Pertumbuhan yang pesat ini dijangka akan berterusan dalam dekad sembilan puluhan apabila keadaan ekonomi menjadi lebih kukuh serta kedudukan pelaburan swasta dan eksport menjadi lebih mantap. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam dekad RRJP2 adalah dijangka mencapai kadar 7 peratus setahun berbanding dengan kadar pertumbuhan purata 6.7 peratus yang dicapai sepanjang tempoh 1971-90. Sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK diunjurkan bertambah daripada 27 peratus pada tahun 1990 kepada 37 peratus menjelang tahun 2000, menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berorientasikan industri dan semakin bergantung kepada eksport barangan pembuatan bagi pertumbuhan pendapatan dan gunatenaga. Eksport barangan pembuatan diunjurkan menjadi kira-kira 81 peratus daripada jumlahkeseluruhan eksport menjelang tahun 2000 manakala sumbangan eksport pertanian akan berkurang kepada 6 peratus.

1.70 Gunatenaga dijangka bertambah pada kadar 3.1 peratus setahun. Walaupun pertumbuhan tenaga buruh pada kadar 2.9 peratus setahun adalah tinggi, perkembangan ekonomi pada kadar yang diunjurkan akan membolehkan pengangguran dikurangkan ke paras kira-kira 4 peratus menjelang tahun 2000. Keadaan ini memerlukan aliran keluar buruh yang agak besar dari sektor perdagangan dan perindustrian tradisional ke sektor yang berasaskan bandar, untuk memenuhi permintaan terhadap tenaga buruh yang dijangkakan.

1.71 Prospek untuk mencapai matlamat pertumbuhan yang digariskan dalam RRJP2 adalah cerah memandangkan pencapaian yang diperolehi kebelakangan ini dalam pelaburan dan eksport serta pengurusan sumber-sumber asli yang sedia ada yang baik, bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan pada masa hadapan. Namun demikian, suasana luar negeri masih menjadi faktor penting dalam menentukan tahap kegiatan ekonomi dalam negeri memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh erdagangan dan pelaburan asing dalam ekonomi negara.

1.72 Walaupun masih wujudnya keadaan yang tidak menentu, dengan berakhirnya peperangan Teluk, harga minyak yang kembali rendah dan perundingan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) yang dimulakan kembali telah menjadikan prospek ekonomi dunia dalam jangkamasa sederhana bertambah baik. Usaha-usaha di masa lampau oleh negara¬negara maju telah berjaya mengekalkan pertumbuhan pelaburan dan perdagangan dunia dan dengan itu menyediakan pasaran bagi perkembangan eksport daripada negara-negara membangun. Dengan kemunculan negara-negara perindustrian baru di rantau Asia Timur dan pertumbuhan pesat negara-negara ASEAN, perluasan perdagangan dan pelaburan akan memberi peluang yang bertambah untuk pembangunan Malaysia.

1.73 Namun begitu, terdapat keadaan yang tidak menentu di sebabkan oleh pergerakan kadar faedah dan matawang yang tidak pasti, sentimen perlindungan di kalangan negara-negara maju dan kemunculan blok-blok perdagangan baru. Di samping itu, terdapat juga risiko yang berkaitan dengan peningkatan persaingan dalam eksport barangan pembuatan dan pertanian yang akan dihadapi oleh Malaysia, terutamanya dari negara¬negara jiran yang mempunyai kedudukan yang lebih baik dari segi kos buruh yang rendah. Dengan demikian, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung sebagaimana sekarang kepada eksport barangan elektronik, tekstil, pakaian dan peralatan elektrik untuk pertumbuhan sektor eksport. Untuk membolehkan negara terus bersaing dalam bidang eksport barangan pembuatan dan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, Malaysia perlu meningkatkan produktiviti dan seterusnya mempelbagaikan ekonominya kepada pengeluaran barangan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi berasaskan kepada kegiatan hiliran dalam memproses dan mengeluarkan sumber¬sumber asli dan bahan bahan mentah untuk dieksport.

1.74 Dasar ekonomi Kerajaan akan ditumpukan ke arah mengurangkan kesan daripada keadaan tidak pasti dan risiko ini supaya negara mampu berkembang dengan kadar yang pesatnya. Ke arah ini, Kerajaan akan memastikan supaya dasar-dasar ekonomi sekarang diteruskan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi makro melalui dasar-dasar fiskal dan kewangan yang bertujuan untuk menyediakan satu rangkakerja bagi mempertingkatkan kecekapan dan pertumbuhan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

1.75 Dengan cara ini, Kerajaan akan terus mengurangkan defisit sektor awam kepada paras yang boleh ditanggung bagi mengelakkan daripada berlakunya ketidakseimbangan yang besar dalam sumber-sumber negara. Defisit sektor awam yang besar yang memerlukan kadar pembiayaan tinggi daripada pinjaman luar boleh memberi kesan yang buruk kepada sistem kewangan negara dan pelaburan sektor swasta. Dengan demikian, adalah penting supaya saiz defisit dikawal melalui penjimatan perbelanjaan awam di samping mengadakan dasar-dasar yang sesuai dalam pengurusan hasil.

1.76 Bagi memperkukuhkan pertumbuhan sektor swasta, usaha-usaha akan dibuat untuk memastikan supaya iklim pelaburan yang sihat dikekalkan dan dimajukan dengan meneruskan usaha melonggar dan memudahkan peraturan-peraturan di semua peringkat pentadbiran. Di samping itu, dasar ini akan disokong oleh strategi penyusunan semula industri, pembangunan teknologi dan sumber manusia ke arah memperkukuhkan asas bagi perkem-bangan perindustrian dan pelbagaian eksport barangan pembuatan. Selanjutnya, kemudahan-kemudahan dalam sistem kewangan akan juga diperbaiki bagi pengemblengan modal yang cekap untuk memenuhi permintaan sumber-sumber modal yang diperlukan bagi perkembangan sektor swasta.

1.77 Keupayaan pertumbuhan akan semakin bergantung kepada pasaran buruh yang cekap dan mampu mengimbangi penawaran tenaga kerja terlatih dengan keperluan sektor swasta. Oleh yang demikian, keutamaan yang tinggi akan diberikan kepada pembangunan sumber manusia untuk memastikan tenaga buruh yang berpelajaran dan terlatih serta berkualiti disediakan untuk memenuhi keperluan ekonomi yang pesat berkembang.

1.78 Pertumbuhan ekonomi pada tahap yang tinggi akan membawa kepada peningkatan permintaan tenaga buruh dan seterusnya meningkatkan upah ke tahap yang lebih tinggi. Dengan bertambahnya persaingan di kalangan firma-firma untuk mendapatkan tenaga buruh dan berikutan daripada kedudukan pasaran buruh yang tegar, sebahagian besar daripada nilai ditambah akan diagihkan kepada upah dan dengan demikian dapat memperbaiki lagi agihan pendapatan dan kebajikan pekerja-pekerja.

1.79 Sistem upah yang sedia ada sedang dikaji semula untuk memperbaiki lagi perjalanan pasaran buruh. Adalah diakui bahawa tahap upah mestilah meningkat untuk mengurangkan kemiskinan dan mempertingkatkan taraf hidup. Walau bagaimanapun, peningkatan upah hendaklah berhubungkait dengan produktiviti supaya kos setiap unit pengeluaran masih mampu bersaing. Satu sistem upah yang fleksibel yang dapat mengaitkan pergerakan upah dengan peningkatan produktiviti buruh dan keuntungan syarikat akan memberikan galakan kepada majikan untuk menggunakan tenaga buruh yang lebih banyak. Di samping itu, ianya juga akan membolehkan pihak majikan menggunakan lebih tenaga buruh dan mengekalkan tahap keuntungan yang lebih tinggi. Sistem penentuan upah yang sedemikian adalah yang terbaik untuk menjaga kepentingan bersama pekerja dan juga majikan.

1.80 Teknologi baru dan yang sedang muncul akan memberi kesan yang besar kepada produktiviti dan daya bersaing ketika negara mempercepatkan tahap perkembangan perindustriannya. Tambahan pula, adalah dijangkakan bahawa perubahan akan berlaku terhadap struktur pengeluaran ke arah pengeluaran barangan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dengan menggunakan teknologi baru dan teknologi yang baru muncul. Malaysia perlulah mempelbagaikan asas eksportnya kepada pengeluaran barangan yang boleh mendapat faedah daripada teknologi-teknologi sedemikian. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan membuat pelaburan dalam infrastruktur sains dan teknologi (S&T) terutamanya dalam bidang-bidang teknologi tersebut.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008