BAB 07 : STRATEGI DAN KEUTAMAAN SEKTOR
I : PENDAHULUAN
7.01 Tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) akan benarbenar mencabar dengan meningkatnya globalisasi ekonomi Malaysia serta persaingan yang sengit bagi mendapatkan pasaran dan pelaburan. Menyedari akan cabaran tersebut, strategi dan program sektor di Malaysia akan ditujukan ke arah membangunkan sebuah ekonomi yang berasaskan pengetahuan bagi memastikan kesinambungan usaha ke arah mencapai taraf sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Program sektor juga akan digerakkan ke arah mencapai sebuah ekonomi yang mempunyai asas yang luas, berdaya saing di peringkat dunia dan berdaya tahan. Selain dari itu, penekanan akan diberikan untuk memperbaiki lagi liputan dan kualiti perkhidmatan sosial, utiliti dan perkhidmatan pengangkutan. Kejayaan pelaksanaan program di peringkat sektor akan menambah peluang kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka serta memudahkan pembentukan sebuah masyarakat yang saksama.
II : TERAS PEMBANGUNAN BAGI TEMPOH 2001-2010
7.02
Teras pembangunan utama bagi tempoh RRJP3 adalah untuk menghasilkan
kekayaan dan menggalakkan sumber pertumbuhan baru dalam sektor
pembuatan, perkhidmatan dan pertanian. Strategi sektor akan ditumpukan
kepada usaha mencapai pertumbuhan yang mampan serta berdaya tahan.
Usaha akan diambil untuk memperkukuhkan keupayaan dan kemampuan
tempatan untuk meningkatkan daya saing negara di pasaran dunia. Teras
sektor yang akan dilaksanakan dengan giat meliputi:
o memperkukuhkan sektor pembuatan dengan
membangunkan rantaian, kelompok industri dan perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) yang kukuh serta meningkatkan asas teknologi;
o menyusun semula dan memodenkan sektor pertanian supaya menjadi dinamik dan berdaya saing;
o memajukan sektor perkhidmatan supaya menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi;
o memperluaskan liputan infrastruktur dan utiliti serta meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan;
o meningkatkan capaian dan mutu perkhidmatan sosial bagi meninggikan mutu hidup dan memenuhi harapan penduduk;
o mempercepatkan pembangunan keupayaan
dan kemampuan dalam bidang sains dan teknologi bagi meningkatkan lagi
daya saing dan kecekapan; dan
o meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua sektor untuk meningkatkan produktiviti.
Pembuatan
7.03 Sektor
pembuatan disasarkan berkembang pada kadar 8.3 peratus dalam tempoh
RRJP3. Sektor tersebut akan memasuki fasa baru pembangunan
perindustrian selaras dengan matlamat untuk membangunkan sebuah ekonomi
yang berasaskan pengetahuan. Sehubungan dengan itu, pembangunan
perindustrian akan ditumpukan kepada usaha menyatu dan memperkukuhkan
daya tahan dan daya saing sektor pembuatan serta menggalakkan sumber
pertumbuhan baru. Pada masa yang sama, pembangunan kelompok industri
yang dinamik akan menjadi kritikal bagi menyumbang kepada pertumbuhan
seterusnya sektor tersebut. Kerajaan akan sentiasa mengubahsuai dasar
dan program untuk mengekal dan meningkatkan persekitaran yang sesuai
bagi pelaburan dan operasi perniagaan. Dalam hubungan ini, usaha akan
terus diambil untuk menggalakkan pakatan strategik dalam industri
bernilai ditambah dan berteknologi tinggi. Program akan juga dilaksana
untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.
7.04
Pengilang perlu mengambil kira arah aliran penting yang menentukan
bentuk pembangunan perindustrian dan kesannya terhadap industri. Untuk
bersaing di peringkat dunia, industri perlu membina kelebihan bersaing
yang baru dengan berusaha gigih untuk mencapai mutu dan piawaian
barang-barang dan perkhidmatan mereka yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa. Sektor swasta akan digalakkan untuk mengguna pakai proses
berintensif maklumat dan didorong oleh pengetahuan dalam aktiviti
pembuatan dan yang berkaitan dengannya seperti penyelidikan dan
pembangunan (P&P), reka bentuk keluaran, pemasaran, pengagihan dan
perolehan. Pendekatan ini akan membolehkan penyebaran ilmu pengetahuan
kepada semua peringkat dalam rantaian nilai sesebuah perusahaan dan
seterusnya membentuk kelompok industri yang dinamik dalam sektor
pembuatan.
7.05
Dalam menghadapi cabaran masa hadapan, asas teknologi sektor pembuatan
akan diperkukuhkan lagi. Langkah akan diambil untuk meningkatkan
kemampuan industri dalam menyerap dan menyesuaikan penggunaan teknologi
baru. Dalam bidang P&P, penyelidikan yang berorientasikan pasaran
akan digalakkan dan sektor swasta akan terus didorong untuk melabur
dalam aktiviti P&P. Kerajaan juga akan menggalakkan pemindahan
teknologi baru dan teknologi yang baru muncul ke dalam negara melalui
pakatan strategik dan perolehan teknologi.
7.06
Pertumbuhan produktiviti perlu lebih tinggi daripada peningkatan kadar
upah bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan memastikan sektor
pembuatan berdaya saing. Dalam hubungan ini, produktiviti buruh akan
terus dipertingkatkan dengan menjadikan usaha memperolehi kemahiran dan
kebolehan baru sebagai satu budaya. Sistem penyaluran kemahiran sedia
ada akan terus diperkukuhkan dan kemahiran tenaga kerja akan
dipertingkatkan menerusi latihan dan latihan semula. Tumpuan latihan
adalah untuk membekalkan tenaga manusia yang berpengetahuan bagi
memenuhi permintaan industri.
7.07
Strategi memperluaskan asas eksport dan mempelbagaikan pasaran eksport
akan terus digalakkan. Strategi untuk mempertingkatkan lagi prestasi
pasaran dan eksport termasuk meningkatkan mutu dan cara penyediaan
maklumat, menggunakan alat promosi eksport yang inovatif serta
menggalakkan penggunaan perkhidmatan pemeriksaan mutu dan persijilan
eksport. Selain dari itu, usaha juga akan diambil untuk meningkatkan
kemahiran pemasaran dan promosi.
7.08
Dalam tempoh RRJP3, PKS perlu mengguna pakai pendekatan inovatif
termasuk menanda aras mengikut piawaian antarabangsa bagi menghadapi
persekitaran perniagaan yang semakin bersaing. PKS juga perlu menyusun
semula operasi mereka dengan tujuan untuk memoden dan mengotomasikan
proses pengeluaran mereka. Kerajaan akan terus memperkukuhkan
pembangunan PKS bagi meningkatkan sumbangannya dalam arus perdana
aktiviti perindustrian negara. Di samping itu, PKS akan digalakkan
supaya berorientasikan eksport bagi merebut peluang yang tersedia dalam
pasaran serantau dan antarabangsa.
Pertanian
7.09 Sektor
pertanian disasarkan menjadi satu sumber pertumbuhan yang penting dalam
tempoh RRJP3. Sebahagian besar dari pertumbuhannya akan diperolehi
daripada peningkatan ketara dalam aktiviti tanaman untuk perindustrian,
pengeluaran makanan dan sumbangan daripada aktiviti baru. Bagi mencapai
matlamat tersebut, usaha akan ditumpukan kepada penyusunan semula dan
pemodenan sektor pertanian supaya lebih dinamik dan berdaya saing.
Pembangunan pertanian akan dipandu oleh Dasar Pertanian Negara Ketiga
merangkumi tempoh 19982010 yang menumpukan kepada pendekatan berasaskan
keluaran yang didorong oleh pasaran dan pendekatan pertanian perhutanan
untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing dunia. Pembangunan
kumpulan tanaman untuk perindustrian, perhutanan dan keluaran
berasaskan kayu akan terus digalak dan disokong dengan penyediaan
insentif yang sesuai, infrastruktur, P&P, khidmat sokongan dan
pembangunan sumber manusia. Teras pembangunan bagi kumpulan ini akan
ditumpukan kepada penyusunan semula dan pemodenan industri melalui
peningkatan penggunaan dan pengkomersilan hasil P&P, pembangunan
kegunaan alternatif seperti bio-bahan api daripada minyak sawit dan
penubuhan pasaran khusus bagi keluaran tertentu. Sektor pertanian akan
dipelbagaikan lagi dengan penanaman tanaman berpotensi yang lain serta
spesis pokok terpilih secara perladangan. Di samping itu, usaha akan
dipergiat untuk menggalakkan mekanisasi dan pengeluaran makanan secara
komersil dan berskala besar termasuk ikan. Potensi akuakultur akan
diterokai sepenuhnya bukan sahaja bagi melengkapi bekalan ikan daripada
tangkapan laut tetapi juga untuk menyediakan bahan mentah kepada
industri hiliran. Perladangan satelit akan diperkenalkan melalui
pewujudan lebih banyak kawasan pengeluaran makanan berhampiran bandar
utama dan bandar raya.
7.10
Penggunaan tanah akan dipergiatkan melalui pendekatan pertanian
perhutanan yang menyepadukan aktiviti pertanian dan perhutanan serta
melalui amalan yang lebih meluas dalam tanaman campuran. Sistem
bersepadu seperti aktiviti penanaman pelbagai tanaman dan perladangan
yang digabungkan dengan pemeliharaan ternakan akan terus digalak bagi
membolehkan pekebun kecil dan pemilik ladang memaksimumkan penggunaan
tanah dan meningkatkan pengeluaran makanan serta memperolehi pulangan
yang lebih tinggi. Peningkatan dalam pengeluaran komoditi pertanian
akan dicapai melalui faedah yang diperolehi dari peningkatan
produktiviti dalam kawasan sedia ada berbanding dengan perluasan
kawasan tanaman. Di samping itu, pembangunan in-situ melalui penyatuan
dan pemulihan tanah akan dilaksanakan secara komersil dan berdasarkan
pertanian berkelompok.
7.11 Pengurusan
hutan secara mampan akan terus menjadi strategi utama dalam menyediakan
bekalan bahan mentah kepada industri kayu dan pada masa yang sama
melindungi alam sekitar. Tumpuan yang lebih akan diberikan untuk
meningkatkan produktiviti sumber hutan bagi memenuhi permintaan yang
meningkat ke atas bahan mentah oleh industri berasaskan pertanian. Bagi
mencapai matlamat tersebut, pendekatan pelbagai sumber akan diguna
pakai di mana ladang hutan akan dibangunkan dengan menggunakan teknik
pelbagai tanaman dan penuaian berkala. Di samping itu, rawatan
silvikultur yang lebih baik, pemuliharaan hutan, perhutanan semula dan
P&P akan dipertingkatkan. Pembangunan spesis balak terpilih dan
klon getah balak serta sumber hutan dan keluaran hutan bukan kayu akan
juga dipergiatkan. Keunikan hutan hujan tropika akan diguna untuk
menggalakkan pelancongan ekologi dan pelancongan pertanian.
7.12
Bagi mempercepatkan pemodenan sektor pertanian, penyediaan khidmat
sokongan termasuk P&P, pemasaran, khidmat pengembangan, latihan dan
kemudahan kredit akan diperkukuhkan lagi. Penekanan yang lebih akan
diberikan terhadap langkah meningkatkan pengendalian sebelum dan
selepas tuai hasil pertanian. Ini termasuk menggredkan hasil ladang dan
memperbaiki sistem penyimpanan, pengangkutan dan pemasaran untuk
memaksimumkan pulangan daripada sektor pertanian. Usaha P&P akan
dipergiat untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, terutamanya
bagi mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan mutu keluaran dan
pemasaran, meningkatkan penggunaan teknologi penjimatan buruh serta
memperluaskan penggunaan akhir. Kerjasama dalam P&P di antara
agensi P&P awam dengan sektor swasta akan digalak bagi memudahkan
pengkomersilan penemuan penyelidikan. Bagi mendapatkan pasaran khusus,
pendekatan yang inovatif akan diguna pakai seperti mewujudkan zon khas
bagi memudahkan pembangunan keluaran khusus yang mempunyai nilai
ditambah yang lebih tinggi. Pendekatan ini akan menyokong pembangunan
industri baru dalam bidang makanan, herba, keluaran istimewa daripada
sumber semula jadi, florikultur dan bioteknologi.
Sumber Galian
7.13
Pembangunan sektor galian akan berpandukan kepada Dasar Galian Negara
yang menyediakan asas bagi pembangunan kedua-dua aspek huluan dan
hiliran industri berkenaan. Teras pembangunan adalah untuk
memperkembang dan mempelbagaikan sektor ini menerusi persekitaran
perundangan yang berdaya saing, menggalakkan carigali, mengeluar dan
menggunakan sumber secara optimum dengan menggunakan teknik moden serta
mempertingkatkan P&P. Penekanan juga akan diberi terhadap
pemeliharaan alam sekitar, pembangunan mampan dan pengurusan kesan
sosial dari industri berkenaan.
Pelancongan
7.14
Industri pelancongan di Malaysia telah dikenal pasti sebagai pendorong
utama bagi pertumbuhan sektor perkhidmatan dalam tempoh RRJP3. Dalam
hubungan ini, ketibaan pelancong dijangka bertambah pada kadar purata
7.5 peratus setahun. Selain dari itu, tumpuan akan diberi untuk menarik
lebih ramai pelancong supaya tinggal lebih lama, berbelanja lebih
banyak serta membuat lawatan ulangan. Bagi tujuan tersebut, satu
pendekatan yang lebih bersepadu akan diambil dalam perancangan dan
pelaksanaan program pelancongan. Bagi memudahkan usaha tersebut,
perbadanan pelancongan dan kebudayaan negeri akan ditubuhkan. Di
samping itu, penyelidikan dan pengumpulan data akan dipergiat bagi
memperkemaskan pangkalan data pelancongan untuk menyokong pendekatan
menyeluruh bagi penggubalan dasar dan pendekatan yang didorong oleh
pasaran bagi pembangunan, pemasaran dan promosi produk.
7.15
Program utama yang akan dilaksanakan termasuk pemeliharaan dan
pemuliharaan tempat bersejarah, penyediaan dan penaiktarafan
infrastruktur yang berkaitan dengan pelancongan serta peningkatan mutu
produk dan perkhidmatan pelancongan. Pelancongan ekologi, pelancongan
desa, pelancongan berbentuk pendidikan, kesihatan, kebudayaan dan
warisan, pelayaran, sukan dan rekreasi serta mesyuarat, insentif,
persidangan dan pameran (MICE) akan terus dibangunkan. Bagi
memaksimumkan potensi pelancongan, pembangunan produk dalam
bidangbidang khusus akan diberi penekanan berasaskan kekuatan relatif
dan faedah berbanding negeri masing-masing. Produk pelancongan yang
baru seperti penggalakan seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh
berbagai kumpulan etnik di negara ini akan dibangunkan. Di samping itu,
usaha promosi yang lebih berkesan yang menumpukan kepada pelanggan akan
diambil bagi mengembang dan mempelbagai asas pasaran pelancongan.
7.16
Pembangunan pelancongan dalam negeri akan kekal sebagai satu keutamaan
penting dan akan dipromosikan secara giat. Memandangkan penduduk
semakin mewah diikuti dengan meningkatnya permintaan terhadap aktiviti
masa lapang, pelancongan dalam negeri dijangka mengalami pertumbuhan
yang pesat. Perkembangan industri pelancongan melalui berbagai jenis
aktiviti rekreasi dan hiburan, infrastruktur dan kemudahan yang lebih
baik serta pemuliharaan alam sekitar akan meningkatkan lagi kualiti
hidup rakyat Malaysia.
7.17
Kemajuan dalam ICT akan membolehkan industri pelancongan menyediakan
perkhidmatan yang lebih bermutu pada harga yang berdaya saing. Dalam
hubungan ini, usaha akan diambil bagi menawarkan sistem maklumat
destinasi yang lebih baik, menyediakan rangkaian yang lebih meluas
dengan saluran pengagihan perjalanan di seluruh dunia dan meningkatkan
pembinaan keupayaan di bidang perjalanan elektronik. Bagi tujuan ini,
sebuah portal pelancongan akan dibangunkan bagi memudahkan usaha
tersebut.
7.18
Pembangunan sumber manusia akan terus diberi keutamaan bagi tujuan
meningkatkan tahap kelayakan dan profesionalisme bagi memudahkan
pertumbuhan industri pelancongan yang cekap dan berdaya saing.
Penyediaan pendidikan pelancongan kepada orang ramai dan mereka yang
terlibat dalam industri pelancongan seperti pekerja hotel, pemandu
pelancong serta kaki tangan imigresen dan kastam akan diberi penekanan.
Ini bertujuan mewujudkan kesedaran yang tinggi terhadap faedah
pelancongan dan menyemai nilai menjadi tuan rumah yang baik kepada
pelawat serta menekankan kepentingan memelihara warisan negara dan alam
sekitar.
7.19
Kerjasama serantau melalui program pelancongan bersama di kalangan
rakan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) akan dilaksanakan
dengan giat. Kerjasama dalam projek pelancongan melalui inisiatif
Segitiga Pertumbuhan dan perkongsian strategik yang lain di peringkat
serantau dan antarabangsa akan diperkukuhkan lagi. Produk pelancongan
yang lebih berdaya saing akan dipakejkan secara bersama bagi menarik
ketibaan pelancong yang lebih ramai dan menjana hasil yang lebih tinggi
dan dengan itu, memanfaatkan semua negara terlibat.
Perkhidmatan Kewangan
7.20
Dalam usaha menuju ke hadapan, ekonomi Malaysia akan menghadapi lanskap
global dan kewangan yang pesat berubah. Sektor kewangan akan
diperkukuhkan lagi bagi membolehkannya menggembleng dan mengagihkan
sumber untuk menjana pertumbuhan yang lebih tinggi melalui pelaburan
yang didorong oleh produktiviti dan pembangunan ekonomi berasaskan
pengetahuan. Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan daya tahan
sektor kewangan dalam menghadapi cabaran daripada aliran modal yang
bermobiliti tinggi dan cepat berubah-ubah.
7.21
Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal akan
menyediakan satu rangka kerja yang menyeluruh bagi pembangunan sektor
kewangan yang strategik dan lebih pelbagai. Di sebalik objektif
membangunkan sektor kewangan yang cekap dan berkesan, adalah perlu
mewujudkan satu kumpulan teras institusi perbankan tempatan yang mampu
bersaing dalam persekitaran
perubahan teknologi yang dinamik serta
dapat memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berbagai. Pelan Induk
ini juga akan mengatasi isu seperti keperluan menyemai pengurusan
risiko yang berkesan, mewujudkan sistem amaran awal untuk
mempertingkatkan pengawasan serta melaksanakan langkah untuk melindungi
kepentingan pelanggan.
7.22
Pelan Induk Pasaran Modal menyediakan langkah bagi pembangunan agen
pengantara dan institusi yang berdaya saing dalam bidang–bidang teras
bagi memudahkan penggemblengan sumber yang cekap dan membina asas
tempatan bagi sektor perkhidmatan kewangan yang kukuh. Langkah akan
diambil untuk memajukan lagi segmen penting dalam pasaran modal seperti
pasaran bon dan terbitan serta industri pengurusan dana. Penekanan juga
akan diberi kepada pembangunan industri modal teroka untuk membantu
membiayai industri berkaitan teknologi yang mempunyai daya pertumbuhan
yang tinggi. Pelaksanaan Pelan Induk tersebut akan dibuat dalam tiga
fasa utama. Fasa pertama yang merangkumi tempoh 2001-2003 akan
memperkukuhkan keupayaan dalam negeri dan membangunkan sektor strategik
dan yang belum diterokai. Fasa kedua yang merangkumi tempoh 2004-2005
akan memperkukuhkan lagi sektor utama dan secara beransur-ansur
melonggarkan laluan pasaran manakala fasa ketiga yang merangkumi tahun
2006 dan seterusnya akan menggerakkan usaha ke arah menjadi sebuah
pasaran modal yang maju sepenuhnya.
7.23
Kerajaan akan memperkukuh dan memperkemaskan sektor perbankan dan
kewangan Islam bagi membangunkan sistem yang dinamik dan progresif
setaraf dengan sistem konvensional. Di samping itu, usaha akan
dilaksanakan bagi memajukan Malaysia sebagai pusat aktiviti pasaran
modal Islam antarabangsa. Langkah akan diperkenal bagi memudahkan
pembangunan produk dan perkhidmatan yang berdaya saing.
7.24
Dalam tempoh RRJP3, Labuan akan terus dimajukan sebagai Pusat Kewangan
Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC) yang terkenal. Bagi mencapai matlamat
ini, Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa akan diwujudkan bagi mengambil
peluang pasaran yang begitu banyak dalam pembiayaan secara Islam di
pasaran kewangan dunia. Selain dari itu, usaha akan diambil untuk
memajukan Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan sebagai bursa luar pesisir
antarabangsa yang utama dalam aktiviti penyenaraian dan perdagangan
ekuiti dan instrumen hutang.
Perdagangan Pengedaran
7.25
Sektor perdagangan pengedaran memainkan peranan yang semakin penting
dalam ekonomi bagi tempoh RRJP3 terutamanya berikutan tinjauan ekonomi
yang positif yang akan membawa kepada peningkatan kemewahan dan
permintaan
pengguna yang lebih tinggi. Teras sektor
ini ialah meningkatkan daya saing melalui langkah seperti penyediaan
rangka kerja pentadbiran dan perundangan yang dapat membangunkan sektor
tersebut serta pembangunan perdagangan elektronik (edagang).
7.26
Dengan meningkatnya globalisasi, bilangan peruncit asing yang besar
yang menubuhkan pasar hyper dan pasaraya juga akan bertambah.
Memandangkan wujudnya persaingan yang semakin meningkat, sektor
perdagangan pengedaran akan digalak untuk mengambil langkah menggunakan
pengetahuan teknikal dan kepakaran asing bagi meningkatkan produktiviti
dan daya saing. Usaha sama dan perkongsian strategik dengan rakan
kongsi asing akan juga digalakkan. Dengan wujudnya arah aliran yang
cenderung kepada penggabungan dan pengambilalihan, amalan persaingan
yang kurang sihat perlu dikawal. Dalam hubungan ini, satu undang-undang
dan dasar perdagangan yang adil akan digubal dan diguna pakai bagi
memupuk persaingan yang sihat bagi mendapat manfaat daripada kecekapan
pasaran.
7.27
Sebagai ikhtiar untuk meningkatkan nilai ditambah, usaha akan diambil
bagi mempromosikan Malaysia sebagai hub pengedaran dan pergudangan
serantau. Ini akan membolehkan pemerosesan dan perdagangan barang di
pasaran yang lebih luas dan seterusnya mendapat manfaat daripada
ekonomi bidangan. Langkah pemudahan yang cekap akan diambil untuk
mempercepatkan pembangunan sebuah hub pengedaran dan pergudangan
serantau. Tindakan juga akan diambil untuk membangunkan negara sebagai
pusat makanan halal antarabangsa bagi memenuhi keperluan umat Islam di
seluruh dunia. Bagi tujuan tersebut, langkah akan diambil untuk
menggunakan kewibawaan negara dalam mengeluarkan makanan halal. Di
samping itu, P&P ke atas teknologi makanan akan dipergiatkan.
7.28
Pembentukan rangkaian yang kukuh di antara sektor perdagangan
pengedaran dengan sektor lain dalam ekonomi khususnya sektor pertanian
dan pembuatan akan terus menjadi strategi penting. Dalam hubungan ini,
usaha mempromosi keluaran tempatan akan dipergiatkan bagi meningkatkan
rangkaian serta memperkukuhkan ekonomi. Perolehan produk secara
langsung melalui pembuatan dan perladangan kontrak akan digalakkan bagi
menyumbang ke arah rangkaian pengedaran yang mempunyai keberkesanan kos
yang lebih tinggi dan memudahkan penyaluran maklum balas mengenai
perubahan citarasa pengguna kepada pengeluar. Di samping itu, struktur
kos dan pasaran bagi pengedaran barangan akan dikaji untuk memperbaiki
rantaian logistik dan mengurangkan kos seunit barang. Perkhidmatan
sokongan seperti perkhidmatan pengangkutan, penyimpanan, komunikasi dan
kewangan akan diperkukuhkan bagi membantu pewujudan rangkaian yang
lebih erat untuk meningkatkan kecekapan sektor perdagangan pengedaran.
7.29 E-dagang
akan menjadi bidang pertumbuhan yang penting dalam tempoh RRJP3. Faedah
kecekapan akan dapat diperolehi daripada penggunaan teknologi e-dagang
yang dihasilkan daripada kos perniagaan yang lebih rendah dan
penyusunan semula proses perniagaan. Firma khususnya PKS akan digalak
untuk membangunkan e-dagang bagi menawarkan berbagai jenis perkhidmatan
dan produk termasuk tempahan khas daripada pengguna, mendapatkan
pelanggan dan pembekal baru serta mengguna pakai rantaian bekalan dan
saluran pengedaran yang lebih cekap. Selain daripada e-dagang, cara
pengedaran yang lain seperti jualan langsung, francais dan kedai jualan
kilang akan digalak bukan sahaja bagi menjana pendapatan dan guna
tenaga tetapi juga bagi menggalakkan persaingan yang sihat dalam sektor
perdagangan pengedaran.
Infrastruktur dan Perkhidmatan Pengangkutan
7.30
Pembangunan infrastruktur akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan
perkhidmatan yang mencukupi, meningkatkan kecekapan serta memperbaiki
mutu perkhidmatan. Perluasan kemudahan infrastruktur akan mengambil
kira permintaan jangka panjang, pertumbuhan ekonomi dan daya saing.
Strategi pembangunan juga akan memberi penekanan kepada memperluaskan
lagi kemudahan infrastruktur ke kawasan luar bandar untuk meningkatkan
capaiannya. Pendekatan yang lebih terselaras dan bersepadu akan diambil
dalam usaha membesar, menaik taraf dan mengintegrasikan jalan raya
dengan lebuh raya, jalan kereta api, pelabuhan, lapangan terbang serta
telekomunikasi.
7.31
Dalam tempoh RRJP3, perkhidmatan pengangkutan akan memberi penekanan
kepada penyediaan sistem pengangkutan penumpang dan kargo pelbagai cara
yang cekap dan mempunyai keberkesanan kos. Pengangkutan yang cepat akan
memindahkan penumpang melalui berbagai cara pengangkutan dengan licin
serta menjamin kesenangan, keselesaan dan keselamatan penumpang. Bagi
kargo pula, walaupun beberapa kombinasi cara boleh digunakan namun
kaedah pengangkutan akan lebih dipertanggungjawabkan kepada satu
pengusaha pengangkutan sahaja.
7.32
Pembangunan jalan raya akan terus ditumpukan kepada peningkatan capaian
yang akan membantu mewujudkan pusat pertumbuhan baru serta mengurangkan
masa perjalanan dan kos. Piawaian yang lebih tinggi akan diguna dalam
pembinaan jalan raya baru terutamanya yang menghubungkan kawasan
perindustrian dengan pelabuhan dan lapangan terbang. Capaian kawasan
luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan lagi
untuk menggalakkan aktiviti ekonomi dan sosial. Aspek keselamatan juga
akan diberi penekanan dalam membina jalan raya baru dan menaik taraf
jalan sedia ada.
7.33
Penyediaan infrastruktur pengangkutan awam terutamanya di kawasan
bandar akan ditumpukan kepada keperluan mewujudkan rangkaian
pengangkutan awam yang lebih bersepadu, cekap, selamat dan selesa.
Langkah pro-aktif akan diambil bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan
membolehkan pertukaran cara pengangkutan daripada penggunaan kereta
persendirian kepada penggunaan sistem pengangkutan awam. Bagi Lembah
Klang, langkah tersebut termasuk meluaskan rangkaian pengangkutan rel
bandar, pengenalan satu sistem tiket guna sama, laluan bersepadu dan
rangkaian kemudahan, bas pengantara yang lebih cekap serta tambahan
kemudahan meletak kenderaan bagi penumpang berkenaan. Perkhidmatan bas
akan terus memainkan peranan utama di pusat bandar dan oleh yang
demikian, operasinya akan dipertingkatkan lagi.
7.34 Bagi
meningkatkan kecekapan pergerakan kargo, pengguna perkhidmatan
perkapalan termasuk pengeksport, pengimport dan penghantar fret akan
digalak untuk mengguna pengangkutan pelbagai cara bagi mengurangkan
keperluan pengangkutan darat jarak jauh. Dalam hal ini, pengerakan
kargo dari pelabuhan ke pelabuhan darat akan dibuat melalui
pengangkutan rel manakala pengedaran barang dari pelabuhan darat kepada
pengguna akan dibuat melalui pengangkutan darat. Dengan itu, akan
mengurangkan kos penyelengaraan jalan raya dan memberikan lebih ruang
kepada kenderaan lain di jalan raya. Penekanan juga akan diberi kepada
penyediaan pengangkutan kontena yang cekap dan selamat di jalan raya.
7.35
Pembangunan infrastruktur rel kereta api akan ditumpukan kepada
peningkatan keupayaan dan menaik taraf rangkaian rel bagi menyediakan
perkhidmatan pengangkutan rel yang bersepadu serta meningkatkan
piawaian keselamatan dan penyelenggaraan. Rangkaian rel kereta api yang
menghubungkannya ke pelabuhan, lapangan terbang, zon perindustrian dan
koridor berkepadatan tinggi akan dipertingkatkan bagi membolehkan
capaian yang lebih tinggi dan harga yang berdaya saing bagi
pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran barang. Keupayaan pengangkutan
barang dan penumpang akan ditingkatkan lagi secara berfasa dengan
bermulanya rangkaian landasan kereta api berkembar elektrik dari Rawang
ke Ipoh. Projek tersebut adalah merupakan rangkaian kereta api nasional
yang menjadi sebahagian daripada landasan kereta api merentas Asia yang
dirancang di antara Kunming, Republik Rakyat China dengan Singapura.
Projek rel serantau ini akan meningkatkan dengan ketara rangkaian rel
lintas sempadan terutamanya untuk pengangkutan fret.
7.36
Pembangunan pelabuhan akan terus ditumpukan kepada usaha meningkatkan
keupayaan, kecekapan dan produktiviti bagi perkhidmatan berkaitan serta
memupuk pakatan strategik. Usaha berterusan akan diambil untuk menarik
lebih ramai lagi pengeksport, pengimport dan komuniti perkapalan untuk
menggunakan pelabuhan tempatan. Selaras dengan itu, hanya satu badan
kawal selia akan ditubuhkan, antara lain, untuk melaksanakan fungsi
kawal selia bagi memastikan pengusaha pelabuhan memenuhi piawaian
prestasi yang telah ditetapkan serta mematuhi syarat dan terma lesen
yang dikeluarkan. Di samping itu, badan tersebut akan membantu
pembangunan pelabuhan dan perkhidmatan yang berkaitan secara teratur
dan bersepadu berdasarkan kekuatan, keunikan dan pengkhususan
masingmasing. Di samping Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas
juga akan dibangunkan sebagai pusat pemunggahan kargo. Perkhidmatan
sokongan seperti pusat pembungkusan semula dan pengedaran, gudang,
bekalan minyak kapal dan membina serta membaiki kapal akan digalak
untuk mempertingkatkan keupayaan dan produktiviti mereka bagi membantu
pembangunan pelabuhan.
7.37
Langkah akan diambil untuk meningkatkan keupayaan dan menaik taraf
operasi syarikat perkapalan bagi meningkatkan pertumbuhan perkhidmatan
perkapalan. Bilangan kapal Malaysia akan ditambah melalui sewa beli,
sewa khas dan pembelian kapal serta pembentukan pakatan strategik
seperti integrasi, perolehan dan usaha sama di antara syarikat
perkapalan tempatan dan asing. Operasi perkapalan akan dipertingkatkan
melalui penggunaan sistem komputer yang lebih meluas, otomasi dan
peningkatan teras kelayakan dan kemahiran kaki tangan secara
berterusan.
7.38
Pembangunan lapangan terbang akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan
kecekapan, produktiviti dan keselamatan di samping meninggikan
keupayaan bagi memenuhi permintaan yang bertambah. Lapangan terbang
akan dibangunkan selari dengan dasar hub dan spoke bagi menyediakan
rangkaian udara yang berkesan dan meningkatkan capaian ke kawasan luar
bandar. Usaha akan dipergiatkan untuk mempromosi Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) sebagai sebuah hub penerbangan, pusat
membeli-belah dan rekreasi serantau serta sebagai sebuah destinasi
pelancongan. Beberapa langkah akan diperkenal bagi memastikan KLIA
mematuhi piawaian prestasi bertaraf dunia.
7.39
Dalam persekitaran dunia yang semakin bersaing, syarikat penerbangan
nasional perlu menyusun semula rangkaian operasi, mengkaji semula kos
operasi dan meningkatkan kecekapannya. Dengan meningkatnya liberalisasi
dalam industri penerbangan dan kecenderungan ke arah langit terbuka
khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat, prospek adalah cerah bagi
syarikat penerbangan negara untuk mengembangkan rangkaian
antarabangsanya. Dengan pakatan strategik dan perkongsian kod serta
rundingan komersil lain, syarikat penerbangan negara akan berupaya
membangun dan memperkembangkan pasarannya.
7.40
Menyedari kepentingan industri penerbangan dalam membantu pertumbuhan
ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan, Kerajaan akan terus
mengambil pendekatan yang liberal dalam Perjanjian Perkhidmatan Udara
dengan negaranegara lain. Pada masa yang sama, kawalan keselamatan yang
mencukupi akan diambil bagi memastikan capaian pasaran dan daya saing
syarikat penerbangan nasional dan pengusaha tempatan lain. Langkah akan
dipertingkatkan bagi mendapatkan hak mendarat tambahan bagi syarikat
penerbangan Malaysia di samping menarik lebih banyak syarikat
penerbangan asing membuat penerbangan ke Malaysia.
7.41
Dalam usaha menyokong aplikasi komunikasi dan multimedia serta
mengurangkan jurang digital, infrastruktur telekomunikasi akan
diperluaskan bagi menambah keupayaan dan capaiannya khususnya ke
kawasan luar bandar. Bagi menghadapi cabaran persaingan dunia, industri
komunikasi dan multimedia perlu inovatif dan kreatif bagi menyediakan
perkhidmatan baru dan berbezabeza pada harga yang berdaya saing.
Kerajaan akan menetapkan piawaian prestasi serta memantau industri
berkenaan bagi memastikan persaingan yang saksama dan melindungi
kepentingan pengguna.
7.42
ICT akan digunakan sebagai alat yang boleh menyokong pertumbuhan
kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur. Penggunaan ICT dalam sistem
pengangkutan bagi memantau, mengesan dan mendapat maklumat masa sebenar
mengenai aliran dan jumlah lalu lintas serta pengurusannya akan terus
diperluaskan bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan keselesaan
pengangkutan.
Utiliti
7.43
Pembangunan mampan sektor tenaga adalah penting bagi memastikan daya
saing ekonomi, terutamanya sektor perindustrian, pengangkutan dan
komersil. Usaha akan terus diambil bagi menguruskan kedua-dua sumber
tenaga iaitu yang boleh susut dan yang boleh diperbaharui bagi memenuhi
permintaan daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat. Teras utama adalah
untuk memastikan bekalan tenaga yang mencukupi, terjamin, bermutu dan
mempunyai keberkesanan kos, menggalakkan penggunaannya yang cekap dan
meminimumkan kesan negatif ke atas alam sekitar.
7.44
Pembangunan sektor kecil minyak dan gas dijangka mengalami anjakan
besar dalam tempoh RRJP3. Berdasarkan rizab minyak dan kadar
pengeluaran serta penggunaan semasa, Malaysia dijangka menjadi
pengimport bersih minyak menjelang tahun 2008. Bagi meningkatkan
simpanan bekalan, usaha akan ditumpu kepada carigali di kawasan laut
dalam tempatan dan pencarian sumber minyak di luar negara. Oleh kerana
gas yang tersedia di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat dalam
tempoh Rancangan, penggunaan gas oleh sektor elektrik dijangka
meningkat. Walau bagaimanapun, campuran penjanaan yang optimum akan
ditentukan bagi memastikan sistem yang terjamin dan boleh dipercayai.
Pada masa yang sama, penggunaan gas oleh sektor bukan elektrik seperti
sektor pengangkutan serta industri petrokimia akan dipergiatkan.
7.45
Teras utama sektor kecil elektrik akan terus memberi penekanan kepada
kecukupan bekalan elektrik serta meningkatkan produktiviti dan
kecekapan. Pelaburan baru swasta dalam aktiviti penjanaan termasuk
sistem saling menjana yang disambung ke rangkaian pengagihan akan
digalakkan. Pada masa yang sama, sistem penghantaran dan pengagihan
akan diperkukuhkan lagi bagi memperbaiki liputan, kebolehpercayaan dan
mutu bekalan. Kanun Grid dan Pengagihan Malaysia akan diperbaiki lagi
terutamanya dari segi had frekuensi dan keperluan mengaktifkan semula
kuasa. Industri bekalan elektrik akan disusun semula bagi mewujudkan
sebuah industri yang cekap dari kedua-dua segi teknikal dan ekonomi.
Sebuah Suruhanjaya Tenaga akan ditubuhkan bagi mengawal selia kecekapan
industri dari segi teknikal dan ekonomi.
7.46
Bagi menambah bekalan tenaga lazim, sumber baru seperti tenaga yang
boleh diperbaharui akan digalakkan. Dalam hubungan ini, dasar
pelbagaian bahan api yang terdiri daripada minyak, gas, hidro dan arang
batu akan diperluaskan bagi merangkumi tenaga yang boleh diperbaharui
sebagai bahan api kelima terutamanya biomas, biogas, sampah sarap isi
rumah, solar dan hidro mini. Daripada punca tersebut, sumber biomas
seperti sisa kelapa sawit dan kayu serta sekam padi akan diguna dengan
lebih meluas khususnya bagi penjanaan elektrik. Sumber tenaga lain yang
berpotensi adalah termasuk disel sawit dan bahan api hidrogen.
7.47
Penggunaan tenaga yang cekap juga akan digalakkan dalam tempoh RRJP3
menerusi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kecekapan Tenaga dan
perlaksanaan Pengurusan Di Pihak Permintaan seperti program pemulihan
peralatan dan penyejukan setempat, penukaran corak penggunaan tenaga
dan pelabelan kelengkapan elektrik. Penubuhan kompleks dan bandar baru
yang bersepadu dengan penggunaan tenaganya diurus secara cekap akan
digalakkan. Bagi tujuan ini, piawaian Malaysia mengenai sistem
pencahayaan, pendingin hawa dan pelitupan bangunan yang cekap akan
digubal dan peruntukan kecekapan tenaga akan dimasukkan ke dalam
Undang-undang Kecil Bangunan Yang Seragam.
7.48
Usaha akan dipergiat untuk menggalakkan pembangunan industri dan
perkhidmatan yang berkaitan dengan tenaga tempatan. Bagi
mempertingkatkan kandungan tempatan dalam sektor tenaga, Program
Pembangunan Usahawan yang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad
(TNB) dan Program Pembangunan Vendor yang dilaksanakan oleh Petroliam
Nasional Berhad (PETRONAS) akan diperhebatkan. Usaha ini akan
menyumbang ke arah mempromosi Malaysia sebagai sebuah pusat serantau
bagi perkhidmatan kejuruteraan berkaitan tenaga. Syarikat utama seperti
PETRONAS, TNB dan penjana kuasa elektrik persendirian akan digesa
supaya memperluaskan penglibatan mereka dalam industri dan perkhidmatan
yang berkaitan tenaga di negara-negara lain.
7.49
Penekanan yang lebih akan diberi kepada peningkatan capaian air minum
yang selamat khususnya bagi isi rumah di luar bandar. Bagi mengatasi
masalah kekurangan air terutamanya di kawasan yang pesat membangun,
program penyaluran air antara negeri serta penggunaan air yang mengalir
di permukaan bagi perindustrian dan tujuan yang tidak kritikal akan
dilaksanakan. Usaha juga akan diambil untuk mengenal pasti potensi
sumber air bawah tanah sebagai sumber tambahan kepada air permukaan
terutamanya dalam musim kemarau. Bagi memperbaiki pengurusan permintaan
air, program mengurangkan air terbazir tanpa hasil dan meningkatkan
kesedaran di kalangan orang awam terhadap penjimatan air akan
dipergiatkan lagi.
7.50
Bagi sistem pembetungan, penyediaan kemudahan pembetungan moden akan
dipercepatkan bagi mengurangkan pencemaran air dan memelihara alam
sekitar. Untuk memenuhi objektif tersebut, projek pembetungan berpusat
akan dilaksanakan dengan keutamaan diberi kepada ibu negeri, bandar
besar dan tempat peranginan. Walau bagaimanapun, di lokasi di mana
penyambungan ke sistem berpusat adalah terlalu mahal atau memberikan
kesan buruk ke atas alam sekitar seperti di kawasan berbukit dan
terpencil, sistem pembetungan individu akan dilaksanakan. Pembaikan dan
peningkatan sistem pembetungan juga akan dipergiatkan.
Perkhidmatan Sosial
7.51
Program perkhidmatan kesihatan akan terus diperluaskan dalam tempoh
RRJP3 bagi kawasan bandar dan luar bandar. Sektor awam akan terus
memberi penekanan kepada penyediaan penggalakkan kesihatan dan
pencegahan manakala sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
akan digalak untuk terus aktif dalam penyediaan perkhidmatan tersebut.
Sektor swasta akan terus memperluaskan penyediaan rawatan penyembuhan
dan melengkapi perkhidmatan yang disediakan oleh sektor awam. Sebagai
sebahagian daripada langkah untuk memastikan penyediaan perkhidmatan
kesihatan yang bermutu, sektor awam akan memperkukuhkan peranan kawal
selianya bagi memantau perkhidmatan yang disediakan oleh sektor swasta
supaya selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkaitan.
7.52
Perubahan corak penyakit berikutan perubahan gaya hidup dan tingkahlaku
telah menyebabkan peningkatan kejadian penyakit tidak berjangkit dan
kecederaan. Dengan itu, program penggalakkan dan pencegahan termasuk
kempen gaya hidup sihat yang memberi tumpuan kepada perubahan
tingkahlaku terhadap kesihatan akan diberi penekanan dalam tempoh
RRJP3. Pengawasan dan kawalan terhadap jangkitan penyakit yang baru
muncul dan muncul semula serta program pelalian, makanan dan pemakanan,
mutu air dan kebersihan akan diperkukuhkan.
7.53
Mutu dan capaian perkhidmatan kesihatan akan terus dipertingkatkan
dengan penggunaan ICT dan telekesihatan sebagai kaedah pengendalian.
Semua hospital baru dan sedia ada akan dilengkapkan dengan ICT dan
perkhidmatan otomasi dan dengan itu mewujudkan rangkaian perkhidmatan
hospital dan klinik yang cekap, tanpa sempadan dan mesra pelanggan.
Sistem rangkaian maklumat kesihatan yang bersepadu akan memudahkan lagi
komunikasi dan rujukan pesakit melalui berbagai peringkat penjagaan
kesihatan di pusat kesihatan awam dan swasta.
7.54
Latihan dan perancangan sumber manusia akan diberi keutamaan bagi
mengatasi kekurangan kaki tangan profesional kesihatan dan memenuhi
keperluan yang meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan. Skim
pembiayaan penjagaan kesihatan akan dilaksana bagi memastikan liputan
menyeluruh dan capaian kemudahan kesihatan serta perkongsian kos yang
berpatutan di antara penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta
dengan pengguna. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan terus memastikan
perkhidmatan penjagaan kesihatan disediakan kepada golongan
berpendapatan rendah.
7.55
Dalam tempoh RRJP3, pembangunan perumahan akan terus memberi penekanan
kepada penyediaan rumah yang mencukupi, mampu disewa atau dimiliki dan
bermutu kepada semua penduduk terutamanya golongan berpendapatan
rendah. Dalam hal ini, tumpuan akan diberikan terhadap penyediaan rumah
yang lebih bermutu di lokasi yang sesuai dan mempunyai suasana
kehidupan yang selesa. Pembangunan perumahan akan terus diselaraskan
dengan rapi bersama pembangunan perindustrian dan perancangan
pembangunan keseluruhannya bagi memastikan penyediaan rumah adalah
mencukupi dan mengikut jadual termasuk capaian terhadap perkhidmatan
dan kemudahan sosial serta sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan
mencukupi. Usaha sedemikian akan dilaksana dalam rangka kerja Pelan
Spatial Negara. Sektor swasta akan terus memainkan peranan yang semakin
penting dalam memenuhi keperluan perumahan secara keseluruhan manakala
sektor awam akan menumpukan kepada penyediaan rumah untuk golongan
berpendapatan rendah dan kaki tangan sektor awam.
7.56
Usaha akan diambil untuk menggalakkan aktiviti P&P yang berkaitan
dengan pengeluaran bahan binaan yang lebih murah dan teknik pembinaan
yang lebih baik dengan tujuan untuk meningkatkan mutu dan keselamatan
rumah serta memastikan harga yang berpatutan. Sektor perumahan juga
akan memenuhi agenda yang lebih luas seperti memenuhi keperluan
golongan tua dan golongan kurang upaya, reka bentuk yang membolehkan
penjimatan tenaga serta melaksanakan konsep berasaskan komuniti bandar
raya taman. Penekanan akan terus diberikan kepada penyelenggaraan
bangunan tinggi terutamanya rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana
rendah.
7.57
Bagi memastikan kejayaan dalam pembangunan pesat ekonomi tidak dicemari
oleh masalah sosial, usaha akan terus diambil untuk memperkukuhkan
institusi keluarga yang menjadi asas kepada kestabilan sosial dan
pembentukan masyarakat penyayang. Program akan dilaksana bagi
menyiapkan keluarga menghadapi cabaran yang timbul dari pembangunan
pesat serta memastikan kestabilan dan keharmonian dalam sesebuah
institusi keluarga dikekalkan. Di samping itu, memandangkan bahawa
globalisasi akan memberi kesan ke atas struktur keluarga dan masyarakat
termasuk nilai dan norma budaya yang berkaitan dalam integrasi sosial
dan pembentukan bangsa, usaha akan diambil bagi memastikan masyarakat
Malaysia mempunyai daya tahan untuk menghadapi pengaruh negatif
tersebut.
7.58
Kesinambungan dan kejayaan pembangunan negara bergantung kepada
golongan belia. Belia merupakan sumber tenaga manusia yang penting dan
perlu dibimbing dengan sempurna dan diberi kemahiran dan pengetahuan
yang sesuai dan pada masa yang sama ditanamkan dengan sikap dan nilai
mulia. Latihan kemahiran belia akan menumpukan kepada perolehan
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang baru dan bersesuaian serta
meningkatkan program latihan kemahiran sedia ada bagi memastikan ianya
sesuai dengan keperluan industri. Lebih banyak program perantisan akan
dilaksanakan untuk golongan belia yang kurang berminat dengan bidang
akademik. Selain dari itu, program juga akan dirangka untuk mencungkil
daya cipta dan bakat di kalangan belia. Program pembangunan belia juga
akan menekankan pentingnya kehidupan yang harmoni dalam komuniti dan
menanam semangat patriotik dan banggakan negara.
7.59
Promosi sukan berprestasi tinggi dan sukan untuk semua akan terus
dijalankan memandangkan ianya menyumbang kepada pembentukan masyarakat
yang berdisiplin dan berdaya saing. Usaha akan diambil bagi memastikan
penyelarasan dan pengurusan aktiviti sukan yang berkesan di antara
sektor awam dan swasta termasuk mengkaji semula peranan dan fungsi
persatuan sukan. Keutamaan akan diberi kepada usaha melahirkan ahli
sukan Malaysia yang bertaraf dunia terutamanya dalam sukan berprestasi
tinggi. Lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi termasuk
infrastruktur sukan bertaraf dunia akan disedia bagi memastikan lebih
ramai orang awam dapat menggunakan kemudahan tersebut dan membolehkan
Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara sukan peringkat antarabangsa.
Usaha tersebut juga akan menyumbang ke arah pertumbuhan industri
pelancongan dan pada masa yang sama meningkatkan perpaduan negara.
Sains dan Teknologi
7.60
Ekonomi dunia sedang pesat membangun ke arah ekonomi berasaskan
pengetahuan di mana daya saing dan kecekapan akan didorong oleh
teknologi, kemahiran dan inovasi. Bagi memenuhi keperluan tersebut,
penekanan akan di tumpukan kepada usaha mempercepatkan pembangunan
keupayaan dan kemampuan Malaysia dalam pengetahuan dan kemahiran sains
dan teknologi (S&T), menggalakkan inovasi dan mempergiatkan P&P
yang berorientasikan pasaran dalam konteks persekitaran baru ekonomi
yang berasaskan pengetahuan. Usaha juga akan diambil untuk
memperkukuhkan lagi rangkaian antara sektor dengan institusi yang
berkaitan bagi melahirkan satu sistem inovasi yang berkesan kepada
negara.
7.61
Berhubung dengan P&P, usaha akan diambil bagi meningkatkan jumlah
Perbelanjaan Kasar Bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) daripada
tahap semasa yang rendah iaitu 0.4 peratus daripada KDNK kepada
sekurang-kurangnya 1.5 peratus menjelang tahun 2010. Sementara Kerajaan
akan terus menyediakan pembiayaan bagi aktiviti P&P melalui program
Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang-bidang Keutamaan (IRPA), sektor
swasta dijangka akan meningkatkan sumbangan mereka dalam perbelanjaan
P&P negara. Langkah bagi meningkatkan GERD ke tahap
sekurang-kurangnya 1.5 peratus akan melibatkan penyusunan semula
institusi sedia ada, menggalakkan lagi P&P sektor swasta serta
mewujudkan dana baru sebagai tambahan kepada IRPA. Ini akan
merangsangkan lagi aktiviti P&P ke tahap yang lebih tinggi dan
mewujudkan kelebihan bersaing yang lebih besar. Bagi meningkatkan lagi
daya saing, sektor swasta perlu memperluas dan mempergiatkan lagi usaha
P&Pnya bagi memperbaiki keluaran sedia ada dan memperkenalkan
keluaran baru. Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan menyediakan
persekitaran yang sesuai bagi menggalak dan membantu P&P sektor
swasta. Secara khususnya, rangka kerja perundangan bagi pengurusan
harta intelek akan dikaji semula dan diperkukuhkan.
7.62
Menyedari risiko dan kos yang tinggi berkaitan pelaburan dalam P&P
untuk membangunkan industri strategik, mekanisme IRPA akan dikaji
semula dan diperkemaskan bagi memberi lebih penekanan kepada keutamaan
yang ditetapkan bagi P&P dalam bidang strategik yang dapat
mengekalkan pembangunan teknologi jangka panjang. Institusi
penyelidikan yang khusus, sama ada secara bersendirian atau bersama
dengan rakan kongsi industri akan disediakan dengan pembiayaan untuk
memajukan bidang yang disasarkan dalam pembangunan teknologi dalam
industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi seperti
bioteknologi dan farmaseutikal, ICT dan mikroelektronik, bahan termaju
dan teknologi aeroangkasa.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi
7.63
Penekanan kepada pembangunan ICT adalah merupakan tunggak kepada usaha
mencapai pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dan ekonomi yang
berasaskan pengetahuan. Tahap aplikasi ICT akan merupakan penentu
penting kepada daya saing syarikat dan negara memandangkan pergantungan
yang semakin meningkat terhadap ciptaan nilai dari maklumat dan
pengetahuan. Dengan itu, adalah penting diperhebatkan usaha untuk
meningkatkan pembentukan keupayaan dari segi sumber manusia,
infrastruktur dan institusi. Sehubungan dengan itu, Kerajaan dan sektor
swasta akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan pembangunan ICT
bagi menambahkan produktiviti dan peluang pertumbuhan dalam semua
sektor ekonomi.
7.64
Satu teras utama adalah untuk membantu pembangunan e-Malaysia yang
dinamik dan berdaya maju dengan memberi tumpuan kepada pembangunan
manusia, infrastruktur maklumat dan aplikasinya berpandukan Agenda IT
Nasional (NITA). Bagi tujuan tersebut, program akan dipergiatkan bagi
meningkatkan kesedaran, keyakinan dan penggunaan aplikasi ICT serta
memperkukuhkan keupayaan institusi di sektor awam dan swasta termasuk
komuniti. Selain dari itu, peluasan infrastruktur ICT akan diberi
keutamaan bagi membolehkan capaian kepada maklumat dan pengetahuan yang
seimbang di samping mengurangkan jurang digital. Penyediaan
perkhidmatan yang sama rata pada harga berpatutan ke luar bandar dan
kawasan terpencil akan dipergiatkan. Bagi melengkapi usaha tersebut,
semua agensi kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Teknologi
Maklumat (ISP) bagi memastikan pendekatan yang terselaras dalam program
pengkomputeran yang merangkumi peringkat negara, negeri dan daerah.
7.65
Bagi mengambil manfaat daripada kemajuan dalam pembangunan ICT negara,
usaha akan diambil untuk membangunkan Malaysia sebagai hub ICT dan
multimedia dunia. Bagi tujuan tersebut, hala tuju dasar yang strategik
bertujuan memupuk persaingan yang sihat dalam sektor IT dan multimedia
akan diguna pakai. Langkah akan diambil termasuk menghapuskan halangan
memasuki pasaran, memupuk persaingan yang adil serta memperluas dan
meningkatkan infrastruktur ICT.
7.66
Dalam tempoh RRJP3, usaha yang lebih giat akan diambil untuk
melaksanakan aplikasi perdana gelombang pertama Koridor Raya Multimedia
(MSC). Di samping itu, satu kajian akan dijalankan untuk melaksanakan
aplikasi gelombang kedua MSC. Usaha juga akan diambil untuk terus
mempromosi MSC serta menyediakan persekitaran yang sesuai bagi menarik
masuk kaki tangan yang terkemuka dan syarikat yang bertaraf dunia ke
MSC. Ini akan mewujudkan kesan sinergistik dan menjadi pemangkin dalam
usaha menarik lebih banyak syarikat terkemuka beroperasi di MSC.
7.67
Lebih banyak PKS yang berasaskan ICT termasuk syarikat ICT yang baru
memulakan perniagaan akan dibangunkan bagi membantu meningkatkan
produktiviti dan meluaskan pasaran. Bagi tujuan tersebut, sebuah dana
ICT akan ditubuhkan bagi menyediakan sumber kewangan yang lebih baik
kepada PKS untuk menceburi pembangunan ICT. Bagi mengoptimumkan
pelaburan, PKS akan digalak untuk mengembleng sumber mereka bagi
menggunakan ICT dan membangunkan portal untuk e-dagang. Langkah juga
akan diambil bagi membangunkan kemahiran dan kelayakan yang perlu untuk
pekerja dan usahawan bagi membantu penggunaan ICT yang lebih meluas.
Alam Sekitar
7.68
Dalam tempoh RRJP3, Kerajaan akan terus mengambil tindakan yang
bersesuaian bagi mengekalkan keseimbangan di antara objektif
pertumbuhan dengan kepentingan alam sekitar. Pertimbangan terhadap alam
sekitar akan terus disepadukan ke dalam perancangan pembangunan dengan
mengambil kira keperluan sosio ekonomi penduduk serta meningkatkan
kualiti hidup. Bagi mengukuhkan asas empirikal dalam membuat keputusan
mengenai alam sekitar, langkah akan diambil untuk memperkenalkan
piawaian prestasi dan data alam sekitar berasaskan sektor dan merentasi
sektor. Rangka kerja perundangan sedia ada bagi perlindungan alam
sekitar akan terus dilengkapi dengan penggunaan instrumen berasaskan
pasaran untuk menggalakkan pemakaian dan pembangunan teknologi yang
tidak menjejaskan alam sekitar dan keluaran yang mesra alam.
7.69
Perhatian utama terhadap alam sekitar dan sumber asli dalam tempoh
RRJP3 termasuk mempertingkatkan kualiti udara dan air, menguruskan sisa
pepejal, sisa toksid, sisa perindustrian dengan cekap, mewujudkan
persekitaran bandar yang sihat dan memulihara habitat dan sumber semula
jadi. Kerajaan akan terus mengambil langkah yang sesuai bagi menangani
masalah pencemaran udara yang disebabkan oleh berbagai punca. Ini
termasuk meningkatkan penguatkuasaan ke atas kawalan pelepasan asap
bagi kenderaan bermotor, mewujudkan sistem pengurusan lalu lintas yang
menyeluruh, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan
elektrik di kawasan bandar serta meningkatkan penggunaan gas asli bagi
mengurangkan jumlah kandungan pencemaran udara. Di samping itu,
teknologi pelepasan pencemaran sifar akan digalak untuk mengurangkan
penggunaan tenaga dan memudahkan penggunaan semula dan penjanaan semula
bahan baru daripada sisa buangan. Sektor perindustrian akan digalak
untuk mengguna pakai teknologi pengeluaran yang lebih bersih.
7.70
Dasar Air Negara akan digubal bagi menyediakan rangka kerja
pemuliharaan dan pengurusan air untuk memastikan bekalan air yang cukup
dan selamat bagi negara. Dasar ini akan menumpukan kepada pendekatan
bersepadu bagi lembangan sungai, perlindungan kawasan tadahan dan
takungan air serta menangani isu pemindahan air antara negeri dan
antara lembangan. Bagi membendung pelepasan air sisa yang mencemarkan
sungai dan aliran air, Kerajaan akan terus menaik taraf dan membina
loji rawatan air kumbahan yang baru dan sektor industri akan digalak
untuk mengguna dan mengitar semula air sisa. Bagi memperbaiki lagi
pengurusan sisa pepejal, Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengguna
pakai dasar pengurusan sisa yang menyeluruh termasuk memasang
insinerator bagi pelupusan sisa yang selamat dan cekap serta menggubal
strategi untuk mengurang, mengguna semula dan mengitar semula sisa
buangan. Pihak berkuasa tempatan akan dibantu melalui program
pembangunan keupayaan dan projek demonstrasi bagi menyepadukan
pertimbangan alam sekitar ke dalam perancangan setempat. Di samping
itu, penglibatan masyarakat dalam proses perancangan pembangunan
berasaskan prinsip Agenda Tempatan 21 akan dipertingkatkan.
III : PENUTUP
7.71 Teras utama bagi tempoh RRJP3 ialah menghasilkan kekayaan dan menggalakkan sumber pertumbuhan baru dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian. Usaha akan diambil untuk menggembleng dan memperuntukkan sumber secara lebih berkesan dan cekap bagi mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi melalui pelaburan yang didorong oleh produktiviti dan penggunaan ICT secara lebih meluas dalam semua sektor ekonomi. Penyediaan perkhidmatan sosial, utiliti, infrastruktur dan kemudahan yang lebih baik serta pemuliharaan alam sekitar akan meningkatkan kualiti hidup. Strategi dan keutamaan sektor akan menyumbang kepada pembentukan satu bangsa yang berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008