BAB 06 : PELABURAN DALAM SUMBER MANUSIA
I : PENDAHULUAN
6.01
Dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), pencapaian
dalam pembangunan sumber manusia adalah ketara dengan pertumbuhan guna
tenaga yang pesat dan pertambahan peluang pendidikan dan latihan.
Negara telah mencapai tahap guna tenaga penuh mulai tahun 1993 dan
kadar pengangguran dapat dikekalkan pada tahap yang rendah walaupun
semasa krisis kewangan pada tahun 1997-1998 hasil daripada
langkah-langkah yang dilaksana oleh Kerajaan. Institusi pendidikan dan
latihan telah berkembang dengan pesat untuk memenuhi peningkatan
permintaan terhadap tenaga manusia berpendidikan dan berkemahiran.
Sektor swasta juga menjadi penyedia pendidikan dan latihan yang utama
berikutan langkah meliberalisasikan pendidikan dalam tahun-tahun
terakhir RRJP2.
6.02
Memandangkan Malaysia kini memasuki abad ke-21, pembangunan sumber
manusia akan terus menjadi strategi utama bagi memastikan semua rakyat
berkongsi kemakmuran negara dan membangunkan tenaga buruh yang dinamik
yang mampu bersaing di peringkat dunia. Pembangunan ekonomi berasaskan
pengetahuan yang disertai kemunculan teknologi baru dan globalisasi
akan mempengaruhi arah aliran pertumbuhan permintaan terhadap kemahiran
dan kepakaran pada masa hadapan serta mewujudkan peluang ekonomi baru
yang dapat membawa kepada peningkatan pendapatan semua rakyat.
Sehubungan dengan ini, keutamaan akan diberi kepada penambahan peluang
pendidikan dan latihan yang berkualiti serta pengukuhan asas sumber
manusia bagi menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dalam
tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3)
II : TERAS PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA
6.03
Teras pembangunan sumber manusia dalam tempoh RRJP3 adalah untuk
menyediakan tenaga kerja yang berupaya menghadapi cabaran ekonomi
berasaskan pengetahuan supaya dapat meningkatkan produktiviti dan daya
saing ekonomi. Peralihan ekonomi akan meningkatkan permintaan terhadap
kemahiran dan kepakaran teknologi serta tenaga buruh yang dilengkapi
dengan pengetahuan tacit dan kemahiran berfikir yang tinggi. Usaha akan
diambil untuk memastikan sistem pendidikan dan latihan berupaya
meningkatkan kualiti modal intelektual serta memperluaskan asas sumber
manusia.
6.04
Penyebaran dan penyerapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta
peningkatan pengetahuan yang lebih mendalam dalam ekonomi akan
mewujudkan peluang guna tenaga baru tetapi juga akan menyebabkan
kemahiran tertentu tidak lagi diperlukan dan pemberhentian pekerja.
Oleh itu, adalah kritikal bagi tenaga buruh mempunyai kebolehan untuk
menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan berikutan
kemajuan teknologi dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Pembelajaran
sepanjang hayat akan digalakkan di kalangan rakyat memandangkan ia
adalah amat kritikal bagi mereka untuk sentiasa mendapatkan pengetahuan
baru dan meningkatkan asas kemahiran selepas meninggalkan sistem
pendidikan dan latihan formal. Usaha juga akan diambil bagi melatih dan
memahirkan semula tenaga buruh untuk meminimumkan kesan pengangguran
struktur serta memenuhi keperluan kemahiran yang baru dalam ekonomi
berasaskan pengetahuan.
III : KEPENDUDUKAN, TENAGA BURUH DAN GUNA TENAGA
Kependudukan
6.08 Penduduk
Malaysia dijangka meningkat kepada 28.9 juta pada tahun 2010, iaitu
pada kadar purata 2.2 peratus setahun. Walau bagaimanapun, kadar
pertumbuhan ini adalah lebih perlahan berbanding dengan 2.5 peratus
setahun yang dicapai dalam tempoh RRJP2, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 6-1. Memandangkan lebih ramai wanita meneruskan pendidikan atau
latihan di peringkat yang lebih tinggi, kadar kesuburan keseluruhan,
iaitu bilangan anak yang boleh dilahirkan oleh wanita dalam lingkungan
umur kesuburan, akan terus berkurangan. Di samping itu, perkahwinan
pada usia yang lewat, peningkatan pembandaran, kos sara hidup dan taraf
hidup yang lebih tinggi dijangka menjadikan saiz keluarga semakin
kecil.
6.09
Penurunan kadar kesuburan akan mengubah struktur demografi penduduk
dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Penduduk yang berumur di bawah
umur 15 tahun dijangka bertambah pada kadar purata 1.1 peratus setahun,
iaitu lebih perlahan daripada kadar pertumbuhan dalam tempoh RRJP2. Ini
mencerminkan penurunan kadar kesuburan keseluruhan daripada 3.2 peratus
pada tahun 2000 kepada 2.8 peratus pada tahun 2010. Oleh yang demikian,
peratusan kumpulan
umur ini daripada jumlah penduduk akan
berkurang kepada 29.7 peratus pada tahun 2010 daripada 33.1 peratus
pada tahun 2000. Sebaliknya, penduduk dalam kumpulan umur bekerja,
iaitu 15-64 tahun akan meningkat daripada 62.9 peratus pada tahun 2000
kepada 65.8 peratus pada tahun 2010. Pada masa yang sama, peratusan
kumpulan umur 65 tahun ke atas juga akan meningkat berikutan
peningkatan jangka hayat hasil daripada kualiti hidup yang lebih baik.
6.10
Perubahan struktur umur penduduk ini akan memberi kesan yang ketara
kepada ekonomi. Pertumbuhan penduduk dalam kumpulan umur bekerja
menunjukkan perlunya pewujudan peluang pekerjaan serta penyediaan
kemudahan pendidikan dan latihan yang lebih banyak. Memandangkan
peratusan penduduk dalam umur bekerja dijangka menjadi lebih besar
berbanding dengan mereka yang berumur kurang daripada 15 tahun dan 65
tahun ke atas, nisbah tanggungan, iaitu nisbah tanggungan bagi setiap
100 orang penduduk dalam kumpulan umur bekerja, akan berkurangan
daripada 59.1 pada tahun 2000 kepada 52.2 pada tahun 2010. Ini
menunjukkan bahawa peratusan penduduk yang aktif dari segi ekonomi
adalah tinggi dan ini merupakan faktor penyumbang yang positif kepada
peningkatan output.
6.11
Umur penengah penduduk akan menjadi 26.7 tahun pada tahun 2010,
mencerminkan penduduk yang muda. Ini dijangka membawa kepada
pertambahan pembentukan unit keluarga dan bilangan isi rumah dalam
tempoh RRJP3. Dengan pertambahan pendapatan dan kadar pembandaran serta
jumlah keluarga, permintaan terhadap perumahan dan kemudahan berkaitan
seperti telekomunikasi dan sambungan Internet yang lebih berkualiti
akan meningkat. Melalui perundangan yang sesuai, Kerajaan akan
memastikan pemaju perumahan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan
dalam pembinaan rumah kediaman dan menyediakan persekitaran tempat
tinggal yang kondusif. Di samping itu, bagi memenuhi keperluan kumpulan
umur 65 tahun ke atas yang semakin meningkat, dasar akan digubal bagi
meningkatkan perkhidmatan penjagaan geriatrik.
Tenaga Buruh
6.12
Saiz tenaga buruh dijangka meningkat sebanyak 3.1 peratus setahun atau
tambahan sebanyak 3.3 juta orang dalam tempoh RRJP3, iaitu mencapai
12.9 juta orang pada tahun 2010. Pertambahan tenaga buruh adalah
disebabkan oleh meningkatnya bilangan penduduk dalam kumpulan umur
bekerja dan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh daripada 65.5
peratus pada tahun 2000 kepada
68.1 peratus pada tahun 2010. Tenaga
buruh akan mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi dengan
meningkatnya peratusan tenaga buruh yang mempunyai pendidikan peringkat
tertiari sebanyak 35.0 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-2.
Perluasan kemudahan pendidikan dan latihan serta berkembangnya
pembelajaran secara maya akan menyediakan lebih banyak peluang kepada
rakyat mendapat pendidikan tertiari.
6.13 Dengan
meningkatnya tahap pendidikan dan peluang pekerjaan serta pelaksanaan
peraturan kerja yang lebih anjal maka lebih ramai wanita dijangka
menyertai secara aktif dalam kegiatan ekonomi. Penyertaan tenaga buruh
wanita dijangka meningkat daripada 44.5 peratus pada tahun 2000 kepada
49.0 peratus pada tahun 2010. Memandangkan semakin ramai wanita
mendapat pendidikan yang lebih tinggi, kadar penyertaan mereka dalam
kumpulan profesional dan teknikal dijangka meningkat. Pada tahun 2000,
mereka hanya merupakan 44.5 peratus daripada kategori profesional dan
teknikal yang mana sebahagian besarnya bekerja sebagai guru dan
jururawat. Peningkatan dalam kadar penyertaan tenaga buruh wanita akan
menambah penawaran buruh tempatan dan ini akan mengurangkan keperluan
terhadap pekerja dan profesional asing.
Guna Tenaga
Guna Tenaga Mengikut Sektor
6.14
Dalam tempoh RRJP3, dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) yang lebih pesat, permintaan buruh akan bertambah pada
kadar purata 3.1 peratus setahun. Ini akan menghasilkan peningkatan
dalam guna tenaga daripada 9.3 juta pada 2000 kepada 12.6 juta pada
2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-3. Dengan pertumbuhan purata
tenaga buruh sebanyak 3.1 peratus setahun dalam tempoh tersebut, kadar
pengangguran dijangka berkurang kepada
2.5 peratus pada tahun 2010 berbanding
3.1 peratus pada tahun 2000. Cabaran dalam menghadapi pembangunan
ekonomi berasaskan pengetahuan adalah untuk memastikan pengangguran
struktur diminimumkan melalui latihan semula dan penyediaan kemahiran
baru.
6.15
Sektor perkhidmatan akan terus merupakan bahagian terbesar daripada
jumlah guna tenaga. Menjelang tahun 2010, bahagian guna tenaga dalam
sektor perkhidmatan dijangka meningkat kepada 51.5 peratus, iaitu
merupakan
59.4 peratus daripada jumlah guna tenaga
yang diwujudkan. Sebahagian besar daripada pekerjaan yang diwujudkan
dalam sektor kecil perkhidmatan lain termasuk pendidikan swasta dan
kesihatan, aktiviti perniagaan lain, riadah, aktiviti kebudayaan dan
sukan serta komputer dan aktiviti berkaitan. Sektor kecil perdagangan
borong dan runcit, hotel dan restoran juga akan menjadi penjana penting
guna tenaga hasil daripada perkembangan industri pelancongan.
6.16
Pertambahan nisbah modal-buruh dan proses pengeluaran yang lebih cekap
akan membawa kepada pertumbuhan guna tenaga yang rendah di sektor
pembuatan. Walau bagaimanapun, ia masih merupakan sektor penting dalam
mewujudkan guna tenaga dalam tempoh RRJP3. Pertumbuhan guna tenaga
dalam sektor ini dijangka mencapai kadar purata 4.1 peratus setahun,
iaitu meningkat daripada
2.6 juta pada tahun 2000 kepada 3.8 juta
pada tahun 2010 yang merupakan 38.2 peratus daripada jumlah guna tenaga
yang diwujudkan. Memandangkan sektor ini semakin menuju ke arah
keluaran bernilai ditambah yang lebih tinggi dan penggunaan modal
secara lebih intensif, permintaan akan lebih tertumpu kepada pekerja
yang berkemahiran tinggi dan ini bermakna kemahiran tenaga buruh perlu
dipertingkatkan.
6.17
Bahagian guna tenaga dalam sektor pertanian dijangka mencatat 9.8
peratus daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2010 berbanding sebanyak
15.2 peratus pada tahun 2000. Penggunaan kaedah penanaman berteknologi
tinggi dan perladangan berskala besar serta meningkatnya penggunaan
jentera dijangka mengurangkan permintaan terhadap buruh terutamanya
untuk penanaman makanan. Walau bagaimanapun, sektor kecil perladangan
kelapa sawit, getah dan koko masih memerlukan bilangan buruh yang
banyak sehingga proses pengeluaran dan penuaian dapat ditingkatkan
kepada tahap mekanisasi yang lebih tinggi.
Komposisi Pekerjaan
6.18
Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi pada masa hadapan bagi semua sektor
akan didorong oleh industri berasaskan pengetahuan terutamanya sektor
pembuatan dan perkhidmatan. Proses pembangunan ekonomi berasaskan
pengetahuan ini akan mencetus bidang baru dalam aktiviti ekonomi yang
akan membawa kepada perubahan corak permintaan terhadap tenaga manusia.
Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, industri berasaskan sains dan
berteknologi tinggi serta industri berintensif pengetahuan seperti ICT,
industri farmaseutikal dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan
(P&P) akan menjana pekerjaan yang memerlukan pendidikan tertiari
terutamanya mereka yang terlatih dalam bidang
sains dan teknologi (S&T).
Pertumbuhan pekerjaan yang paling pesat adalah pekerjaan dalam kategori
profesional dan teknikal serta kategori pekerja pentadbiran dan
pengurusan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-4. Pekerjaan ini akan
merupakan 32.2 peratus daripada pekerjaan baru yang diwujudkan dalam
tempoh tersebut. Peningkatan proses pengeluaran yang semakin canggih
hasil daripada kemajuan teknologi akan mewujudkan permintaan terhadap
137,200 jurutera dan 331,700 pembantu jurutera yang terlatih dalam
bidang kejuruteraan kimia, mekanikal, elektrikal dan elektronik serta
ICT dan teknologi termaju lain seperti fotonik dan teknologi nano,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-5.
6.19
Memandangkan terdapat keperluan untuk terus menyedia dan meningkatkan
perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi penduduk, permintaan terhadap
kakitangan perubatan dan kesihatan akan kekal tinggi dalam tempoh
tersebut. Kakitangan berkenaan akan diperlukan untuk mengisi jawatan di
pusat kesihatan awam yang akan diperluas dan dinaik taraf untuk
menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah. Dengan
meningkatnya tahap pendapatan, sebahagian besar penduduk akan
mendapatkan rawatan terutamanya daripada
perkhidmatan pakar. Walau bagaimanapun,
bagi memastikan setiap rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan
penjagaan kesihatan yang berkualiti, bilangan kakitangan kesihatan akan
ditambah untuk mencapai sasaran nisbah doktor kepada penduduk iaitu
1:800 menjelang tahun 2010. Bilangan rakyat asing yang semakin ramai
menggunakan kemudahan kesihatan di Malaysia boleh dijadikan asas untuk
membangunkan perkhidmatan penjagaan kesihatan sebagai satu industri dan
produk pelancongan. Langkah akan diambil bagi memudahkan kemasukan
pesakit dari luar negara serta ahli keluarga mereka. Hospital swasta
dan pusat kesihatan juga akan digalak untuk meningkatkan bilangan
pelanggan mereka serta mempromosi perkhidmatan mereka di luar negara.
6.20 Penggunaan
dan penyebaran ICT yang meluas dalam semua sektor akan memerlukan
pekerja yang mempunyai berbagai tahap kemahiran komputer seperti reka
bentuk komputer, sistem pengurusan data yang kompleks, komunikasi dan
rangkaian data serta pembangunan multimedia dan Internet. Kerja-kerja
yang rutin dan berkemahiran rendah akan berkurangan dengan adanya
automasi. Pekerjaan baru yang diwujudkan akan memerlukan pekerja yang
berpendidikan tinggi dan berkemahiran teknikal dalam teknologi baru.
Penggunaan komputer yang semakin meluas akan membantu pekerja ini
menyempurnakan tugas mereka dan seterusnya meningkatkan pulangan
daripada penggunaan ICT secara kreatif. Celik komputer dan kemahiran
mengguna dan mengolah data merupakan kemahiran yang amat penting dan
perlu dimiliki oleh setiap tenaga kerja. Di samping itu, pekerja yang
mempunyai kemahiran teras ICT akan diperlukan oleh semua sektor ekonomi
khususnya industri ICT. Permintaan terhadap kakitangan utama ICT
terdiri daripada jurutera sistem, pemaju perisian, juruanalisa sistem,
pengaturcara program komputer dan kakitangan sokongan teknikal yang
dijangka sebanyak 306,600 menjelang 2010, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 6-6. Unjuran penawaran siswazah dalam ICT dijangka mencukupi
untuk memenuhi permintaan terhadap kakitangan ICT hasil daripada
perkembangan pesat dalam pendidikan ICT di sektor awam dan swasta.
Dalam tempoh RRJP3, permintaan terhadap kakitangan ICT yang mempunyai
ijazah lanjutan akan meningkat lebih tinggi terutamanya dalam bidang
kejuruteraan perkakasan dan perisian. Bagi memenuhi peningkatan
permintaan, langkah akan diambil untuk menambah bilangan penawaran
kakitangan tersebut daripada institusi pendidikan tinggi.
6.21
Permintaan terhadap ahli sains dan ahli teknologi dalam P&P juga
akan meningkat terutamanya dalam teknologi baru seperti teknologi
fuel-cell, bioteknologi dan kejuruteraan genetik. Bagi mengekalkan daya
saing, Malaysia akan mempergiatkan aktiviti P&P dalam bidang baru
tersebut dan langkah yang
lebih kukuh akan dilaksana untuk
meningkatkan penawaran ahli sains dan ahli teknologi P&P dengan
nisbah 7 bagi setiap 10,000 tenaga buruh pada tahun 2000 kepada 60 bagi
setiap 10,000 atau seramai 77,640 orang menjelang tahun 2010. Usaha
menambah bilangan ahli sains dan ahli teknologi P&P sedia ada akan
diambil dengan menawarkan skim perkhidmatan yang lebih menarik serta
melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan P&P yang cemerlang
melebihi umur bersara.
6.22
Bagi meningkat kemampuan negara memperolehi dan menggunakan
pengetahuan, taraf pendidikan amat perlu dipertingkatkan dengan memberi
penekanan kepada S&T serta membangunkan kemahiran dalam teknologi
berasaskan maklumat supaya pengetahuan dapat diperolehi, disebar,
ditafsir dan diguna pakai. Sistem pendidikan dan latihan akan dibangun
berasaskan keupayaan sedia ada untuk mengeluarkan bilangan yang
mencukupi bagi pekerja S&T dan berpengetahuan yang kaya dengan
bakat, kebolehan dan daya cipta bagi menyokong pembangunan ekonomi dan
pertumbuhan industri baru. Dalam hubungan ini, usaha akan diambil untuk
mempercepatkan pencapaian nisbah 60:40 antara pelajar sains dan sastera
di peringkat sekolah dan juga peringkat tertiari.
6.23
Bagi menambah lagi bilangan pekerja mahir dan berbakat dalam negara,
program membawa masuk cendekiawan dari luar negara akan diperluaskan
dalam tempoh RRJP3 untuk mengambil mereka yang berbakat, berkemahiran
dan berkepakaran tinggi dengan menawarkan insentif yang lebih baik.
Pada peringkat awal, program tersebut akan menumpukan kepada
pengambilan kakitangan ICT
yang berkelayakan tinggi dan berbakat
termasuk ahli sains dan ahli teknologi P&P. Mereka merupakan
pekerja berpengetahuan yang mempunyai mobiliti yang tinggi dan mampu
menguasai pasaran antarabangsa. Oleh itu, Malaysia perlu bersaing untuk
mendapatkan mereka di pasaran antarabangsa terutamanya bagi kakitangan
ICT yang tidak mencukupi bilangannya di seluruh dunia. Bagi memudahkan
pengambilan pekerja asing yang berbakat dan berkemahiran tinggi,
senarai daftar ahli sains dan jurutera P&P Malaysia yang bekerja di
luar negara akan diperluaskan bagi meliputi pakar dan usahawan
teknologi dalam bidang lain yang berasaskan pengetahuan. Di samping
itu, industri digalakkan untuk menaja pelajar Malaysia yang cemerlang
yang sedang mengikuti program ijazah pertama melanjutkan pengajian
dalam jurusan teknologi utama.
Upah dan Produktiviti
6.24
Adalah penting bagi kenaikan upah selaras dengan peningkatan
produktiviti supaya daya saing ekonomi dapat dipertingkatkan lagi dalam
tempoh RRJP3. Kenaikan upah yang mencerminkan peningkatan produktiviti
akan memastikan tidak wujud tekanan yang keterlaluan ke atas harga dan
pengurangan nilai pendapatan sebenar. Sehubungan dengan ini, Garis
Panduan Sistem Reformasi Gaji yang dilaksanakan pada tahun 1996 bagi
memastikan kaitan yang lebih rapat antara upah dan prestasi
produktiviti akan dipergiat melalui usaha seperti seminar, bengkel dan
lawatan ke syarikat. Di samping itu, satu rangkaian talian terus
pangkalan data yang menyediakan penanda aras produktiviti dalam sektor
pembuatan dan pertanian akan diperluaskan ke sektor-sektor lain.
6.25
Pertumbuhan produktiviti buruh dalam tempoh RRJP3 dijangka meningkat
sebanyak 4.2 peratus setahun bagi semua sektor selaras dengan peralihan
kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Produktiviti buruh dalam sektor
pembuatan dijangka meningkat sebanyak 4.0 peratus setahun selaras
dengan peralihan industri ke arah aktiviti berteknologi tinggi dan
berasaskan pengetahuan dengan penekanan terhadap keluaran bernilai
ditambah yang tinggi. Dalam sektor pertanian, produktiviti buruh
dijangka berkembang sebanyak 4.8 peratus setahun dalam tempoh RRJP3
berikutan daripada penggunaan teknologi dan amalan agronomi moden yang
lebih meluas. Produktiviti buruh dalam sektor perkhidmatan dijangka
meningkat sebanyak 4.5 peratus setahun. Penyumbang utama kepada
pertumbuhan ini adalah sektor kecil perniagaan borong dan runcit, hotel
dan restoran dengan produktiviti dijangka meningkat pada kadar purata
sebanyak 5.8 peratus setahun diikuti oleh sektor kecil pengangkutan,
penyimpanan dan komunikasi pada kadar purata sebanyak 5.7 peratus
setahun
IV : KEUTAMAAN PENDIDIKAN DAN LATIHAN
6.26
Globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat dalam tempoh RRJP3 akan
meningkatkan permintaan terhadap tenaga buruh yang berkualiti, iaitu
berpengetahuan luas dan mendalam serta mempunyai kemahiran berfikir
yang tinggi. Di samping itu, mereka perlu mempunyai kemampuan
menggunakan teknologi dan bahan baru secara optimum serta menggabungkan
daya cipta dan inovasi secara berkesan. Bagi tujuan ini, adalah perlu
membangunkan tenaga buruh yang mempunyai kelayakan akademik dan
teknikal yang tinggi, kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan
menggunakan ICT serta nilai-nilai dan etika kerja yang positif. Bagi
memenuhi keperluan tersebut, sistem pendidikan dan latihan akan
diorientasikan semula dan industri perlu mempergiatkan latihan semula
pekerja mereka bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya cipta
supaya sepadan dengan kemajuan teknologi pengeluaran dan perkhidmatan.
Pembentukan Kecemerlangan Dalam Sistem Pendidikan
6.27
Keutamaan yang tinggi akan terus diberi kepada pendidikan dengan
meningkatkan pelaburan memandangkan ia adalah penting bagi membangunkan
kemampuan untuk mencipta, menyesuai dan menyebar pengetahuan baru.
Pendidikan asas yang kukuh adalah teras bagi melahirkan tenaga buruh
yang sihat, berkemahiran dan pintar yang membolehkan negara bersaing
dengan jayanya di pasaran dunia. Strategi akan dilaksana untuk
menjadikan sekolah sebagai tapak memupuk pemikiran kreatif dan
kemahiran belajar yang penting bagi keperluan tenaga manusia pada masa
hadapan. Kesesakan sekolah di bandar seperti di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur dengan nisbah kelas kepada bilik darjah 1:0.63 akan
dikurangkan menerusi pemindahan sekolah sedia ada dan penambahan bilik
darjah dan sekolah. Nisbah kelas kepada bilik darjah, iaitu 1:0.90 bagi
sekolah rendah dan 1:0.83 bagi sekolah menengah dijangka mencapai
sasaran 1:1 pada tahun 2010.
6.28
Kurikulum sekolah akan dikaji semula untuk memupuk kemahiran berfikir
dan menjana daya cipta serta pembelajaran kendiri di kalangan pelajar
khususnya di peringkat rendah dan menengah. Ia akan sentiasa dikemas
kini bagi memasukkan aspek pengetahuan dan teknologi baru serta kaedah
yang inovatif dalam pengajaran Sains dan Matematik. Di samping itu,
tahap penguasaan yang tinggi dalam Bahasa Malaysia di kalangan pelajar
akan dikekalkan manakala kecekapan dalam bahasa Inggeris akan
dipertingkatkan. Pada masa yang sama, mereka juga akan digalak
mempelajari bahasa lain bagi membolehkan mereka mendapat dan menyumbang
kepada pengetahuan dunia. Untuk melahirkan bilangan seniman dalam seni
persembahan dan kebudayaan, langkah akan diambil untuk mencungkil dan
memupuk bakat yang berpotensi di peringkat sekolah. Kurikulum dan
aktiviti ko-kurikulum juga akan menyediakan peluang kepada pelajar
untuk cemerlang dalam bidang seni. Guru akan dilatih dan kemudahan akan
disediakan dengan secukupnya bagi mengisi keperluan ini. Di samping
itu, sekolah akan digalak memupuk bakat pelajar dengan menyertai
pertandingan dalam pelbagai aspek kesenian di peringkat kebangsaan.
Memandangkan ICT merupakan alat penting bagi membantu memperolehi
pengetahuan baru, sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan untuk
membolehkan lebih banyak mata pelajaran diajar menggunakan teknologi
interaktif multimedia dan pengajaran menerusi laman web. Sebahagian
besar sekolah termasuk sekolah di luar bandar dan di kawasan terpencil
akan dihubungkan menerusi Intranet dan Internet menjelang tahun 2010.
Bagi memastikan kurikulum sentiasa sesuai dengan keperluan industri,
satu mekanisme akan dibentuk untuk menjalin hubungan antara sekolah dan
industri dan memasukkan komponen pembelajaran yang berasaskan kerja.
Industri akan digalak untuk menerima pelajar sekolah menengah atas dan
kolej untuk menyertai latihan penempatan atau praktikal semasa cuti
sekolah dan kolej.
6.29
Bilangan pelajar aliran sains yang layak masuk ke universiti masih lagi
rendah. Masalah ini akan ditangani dengan mempergiatkan penggunaan
kaedah pembelajaran kontekstual, menaik taraf kemudahan pengajaran dan
pembelajaran, meningkatkan kualiti dan bilangan guru serta melaksanakan
langkah untuk mendorong pelajar memasuki aliran sains. Di peringkat
sekolah rendah, pengajaran mata pelajaran sains akan diajar pada tahap
yang lebih awal.
6.30
Aliran semasa menunjukkan masih terdapat jurang prestasi antara pelajar
sekolah bandar dan luar bandar walaupun usaha telah diambil untuk
menambah dan memperbaiki kemudahan pendidikan. Keutamaan akan terus
diberi bagi menyediakan kemudahan sewajarnya untuk membolehkan lebih
ramai penduduk luar bandar mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.
Di samping itu, penyediaan pakej insentif khas untuk mengekalkan guru
serta kakitangan sekolah di kawasan terpencil dan sukar dihubungi
dijangka boleh memperbaiki prestasi pelajar di kawasan tersebut. Bagi
memastikan sekolah di kawasan berkenaan dapat menikmati faedah daripada
ICT bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, teknologi komputer mudah
alih tanpa wayar akan digunakan.
6.31
Perluasan dan penambahan kemudahan pendidikan yang pesat terutamanya di
peringkat tertiari serta pemanjangan tempoh persekolahan kepada 11
tahun telah meningkatkan pencapaian pendidikan penduduk dan tenaga
buruh. Pada tahun 2000, peratusan penduduk yang menamatkan pendidikan
tertiari adalah 14.0 peratus manakala yang menamatkan pendidikan
menengah adalah 58.8 peratus, iaitu satu peningkatan jika dibandingkan
dengan pencapaian di awal tempoh RRJP2. Bagi memenuhi keperluan tenaga
manusia dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, peratusan penduduk dan
tenaga buruh yang lebih besar perlu mencapai tahap pendidikan yang
lebih tinggi terutamanya di peringkat pendidikan tertiari. Langkah akan
diambil untuk memperbaiki kadar peralihan pelajar daripada peringkat
menengah rendah ke menengah tinggi serta kadar terus bersekolah dan
tamat persekolahan di peringkat menengah tinggi supaya kadar penyertaan
di peringkat pendidikan tertiari dapat dipertingkatkan. Oleh itu,
penekanan akan terus diberi bagi meningkatkan kapasiti pendidikan
tertiari supaya enrolmen bagi kumpulan umur 17-23 tahun mencapai 40.0
peratus dan sekurang-kurangnya 35.0 peratus daripada tenaga buruh
mempunyai pendidikan tertiari menjelang akhir tempoh RRJP3. Penubuhan
universiti awam yang baru dan penambahan kapasiti institusi sedia ada
akan menyediakan tempat tambahan bagi menampung permintaan terhadap
pendidikan tinggi yang dijangka meningkat dalam tempoh RRJP3. Di
samping itu, universiti dan kolej swasta perlu meningkatkan kapasiti
sedia ada bagi melengkapi universiti awam dalam menyediakan pendidikan
tertiari.
6.32
Universiti bukan sahaja berfungsi melahirkan tenaga kerja pada masa
hadapan tetapi juga menjadi pusat bagi menghasilkan modal intelektual
dan pengetahuan baru. Ini bergantung kepada kemampuan universiti
tersebut melahirkan sekumpulan penyelidik yang berkaliber tinggi dan
terlibat secara aktif dalam P&P serta menjalankan aktiviti
penyelidikan yang mempunyai daya maju komersil. Bilangan graduan yang
mempunyai ijazah lanjutan dari universiti tempatan akan ditingkatkan
kepada 25.0 peratus daripada jumlah graduan menjelang tahun 2010. Dalam
hubungan ini, beberapa universiti awam sedia ada akan disusun semula
untuk dijadikan universiti penyelidikan dengan memberi tumpuan kepada
program ijazah lanjutan. Tumpuan yang lebih diberikan kepada bidang
S&T memandangkan terdapatnya keperluan mendesak untuk meningkatkan
penawaran tenaga manusia dalam bidang ini. Kurikulum dan program ijazah
di universiti juga akan dikaji semula bagi memastikan ia
berorientasikan pasaran, mengambil kira jangkaan arah aliran pada masa
hadapan dan memudahkan penyerapan teknologi baru. Bagi memastikan
aktiviti penyelidikan sentiasa bersesuaian dan responsif kepada
keperluan industri, universiti akan digalak untuk menjalin kerjasama
dan usahasama yang rapat dengan industri dalam menjalankan penyelidikan
serta menyediakan latihan kepada pelajar. Universiti akan digalak untuk
menubuhkan lebih banyak pusat kecemerlangan dalam bidang khusus bagi
membangun dan melaksanakan aktiviti P&P. Satu mekanisme
penyelarasan aktiviti P&P akan dibentuk bagi membolehkan
perkongsian maklumat dan meningkatkan aktiviti P&P di kalangan
institusi pendidikan tinggi.
6.33
Sektor swasta akan digalak untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam
menyediakan pendidikan di peringkat tertiari bagi menampung dan
melengkapkan usaha Kerajaan serta menjadi pemangkin bagi membangunkan
sektor pendidikan dan latihan sebagai sebuah industri dan sumber
pendapatan tukaran asing. Perluasan institusi pendidikan swasta
merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah pusat pendidikan serantau. Institusi swasta, antara
lain, akan digalak untuk menaik taraf kemudahan sedia ada dan membina
kampus yang bertujuan khusus merangkumi kemudahan akademik dan riadah.
Insentif akan diberi kepada institusi swasta yang menawarkan kursus
dalam bidang teknikal dan perubatan. Langkah lain termasuk melonggarkan
peraturan imigresen dan meningkatkan fleksibiliti dalam pengambilan
tenaga pengajar asing bagi memudahkan perluasan dan penubuhan institusi
swasta yang baru. Untuk memastikan sektor swasta menyediakan pendidikan
yang berkualiti, fungsi kawal selia badan-badan yang berkaitan akan
diperkukuhkan. Peraturan berhubung dengan pendidikan swasta akan
sentiasa dikaji semula bagi melindungi kepentingan pengguna dan
memastikan pembangunan industri pendidikan swasta yang progresif.
Pembangunan Profesion Perguruan
6.34
Kerjaya perguruan akan menjadi satu profesion yang semakin mencabar
memandangkan generasi muda akan membesar dengan pengharapan dan nilai
yang berbeza. Para guru dan pendidik bukan sahaja dikehendaki
menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga dipertanggungjawabkan untuk
membentuk keperibadian dan tingkah laku pelajar. Selain daripada
kemahiran mengajar, penekanan juga akan diberikan kepada penerapan
etika dan nilai moral ke dalam program latihan perguruan. Oleh itu,
usaha yang berterusan perlu diambil untuk menarik lepasan sekolah dan
siswazah yang berkelayakan dan berminat untuk menjadikan bidang
perguruan sebagai kerjaya. Memandangkan peranan guru adalah penting,
lebih ramai guru sekolah rendah dijangka memperolehi ijazah dan
sebahagiannya mungkin memiliki ijazah sarjana serta kelayakan dalam
bidang psikologi kanak-kanak dalam tempoh RRJP3. Ini adalah bagi
memastikan guru mempunyai tahap kecekapan mengajar yang tinggi kerana
sekolah rendah menyediakan asas bagi membentuk keupayaan belajar dan
penyerapan pengetahuan di kalangan pelajar.
6.35
Selain daripada menarik minat siswazah menceburi profesion perguruan,
guru yang sedang berkhidmat akan digalak untuk meneruskan pengajian di
peringkat ijazah dalam bidang-bidang kritikal dan diperlukan. Pakej
gaji dan kenaikan pangkat serta syarat-syarat perkhidmatan yang lebih
baik akan ditawarkan kepada guru berkenaan. Semua guru akan
diperlengkapkan dengan pengetahuan IT untuk membolehkan mereka
mengikuti kursus serta merekabentuk bahan-bahan pengajaran dengan
menggunakan ICT. Sehubungan dengan ini, program latihan untuk
meningkatkan kemahiran ICT di kalangan guru diperluas dan
dipercepatkan.
Penggalakan Pembelajaran Sepanjang Hayat
6.36
Pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi semakin penting dalam ekonomi
berasaskan pengetahuan di mana pengetahuan dan kemahiran perlu sentiasa
diperbaharui dan dipertingkatkan. Kemahiran dan kepakaran baru adalah
perlu bagi meningkatkan keupayaan mendapat pekerjaan dan produktiviti.
Langkah akan diambil untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di
kalangan semua rakyat khususnya mereka yang tidak mempunyai pendidikan
asas yang kukuh. Pembelajaran sepanjang hayat akan menyediakan peluang
kepada mereka untuk menyambung pendidikan di luar sistem persekolahan
atau di tempat kerja serta belajar mengikut keupayaan mereka.
6.37
Kerajaan akan memulakan usaha untuk menggalak dan melaksanakan program
pembelajaran sepanjang hayat. Peluang mengikuti kursus latihan dan
program pendidikan yang mampu dibiayai akan disediakan melalui Internet
atau media ICT lain supaya rakyat mendapat peluang untuk memperolehi
kecekapan dan kelayakan baru bagi kemajuan kerjaya mereka. Lebih banyak
kiosk IT dan pusat siber akan dibina oleh Kerajaan terutamanya di luar
bandar bagi meningkatkan peluang mendapat pendidikan dan latihan. Di
samping itu, penubuhan kolej komuniti dan universiti terbuka serta
pendidikan jarak jauh akan menyediakan satu lagi saluran bagi rakyat
melanjutkan pendidikan di peringkat tertiari serta meningkatkan
kemahiran dan kelayakan mereka. Ia juga akan membolehkan mereka yang
telah meninggalkan sistem persekolahan kerana memasuki pasaran buruh
berpeluang untuk terus mendapatkan pendidikan dan latihan. Institusi
kewangan juga akan digalak untuk menyediakan pinjaman mudah kepada
pekerja untuk meneruskan pendidikan mereka. Majikan akan digalak untuk
mempromosi pembelajaran sepanjang hayat melalui program latihan dan
latihan semula bagi melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran dan
pengetahuan baru supaya mereka sentiasa dapat memenuhi keperluan
kemajuan teknologi.
Pelaksanaan Pendekatan Baru Dalam Latihan dan Latihan Semula
6.38
Pelaburan yang semakin meningkat dalam industri berintensif modal dan
berasaskan pengetahuan akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga
manusia berkemahiran tinggi memandangkan penggunaan teknologi baru akan
mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.
Sehubungan dengan ini, latihan dan latihan semula yang merupakan elemen
kritikal yang akan melengkapkan tenaga kerja pada masa hadapan dengan
kemahiran yang bersesuaian dan membantu tenaga kerja sedia ada untuk
menyesuaikan diri dengan ekonomi berasaskan pengetahuan akan terus
diberi keutamaan dalam tempoh RRJP3.
6.39
Lebih banyak pelaburan dalam pembangunan tenaga manusia akan
diperuntukkan terutamanya dalam latihan dan latihan semula untuk
meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa. Sehubungan
dengan ini, kemampuan dan keupayaan sistem penyampaian latihan akan
diperkukuhkan lagi bagi menambah bilangan tenaga manusia mahir dan
berkualiti. Institusi latihan kemahiran baru akan dibina dan kapasiti
pengambilan pelajar institusi sedia ada akan dipertingkatkan di semua
tahap latihan. Di samping itu, institusi latihan awam akan digalak
untuk menjalankan program latihan secara sambilan khususnya dalam
teknologi baru. Melalui pelaksanaan program ini, institusi latihan akan
dapat mengoptimumkan penggunaan peralatan dan kemudahan latihan dan
seterusnya menyumbang kepada peningkatan bilangan tenaga manusia mahir.
Ia juga akan mewujudkan peluang kepada tenaga kerja meningkatkan
kemahiran dan meneruskan pembelajaran. Pusat latihan kemahiran lanjutan
akan dinaik taraf menjadi pusat kecemerlangan. Selain daripada menambah
dan mempertingkatkan kemudahan, pusat tersebut akan menubuhkan unit
perundingan bagi menyediakan khidmat nasihat dan ujian produk kepada
industri. Ini akan meningkatkan kualiti dan keberkesanan kos latihan di
samping menyediakan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.
6.40
Perubahan teknologi yang pesat dalam tempoh RRJP3 akan memberi kesan
kepada cara pengurusan kerja dan meningkatkan permintaan terhadap
tenaga manusia yang mempunyai pelbagai kemahiran dengan asas akademik
yang kukuh, berpengetahuan dan mempunyai kemahiran mengendalikan tugas
dengan cekap. Dalam hal ini, institusi latihan kemahiran akan memberi
penekanan kepada membangunkan kecekapan sosial dan pembelajaran serta
memperkukuhkan asas akademik pelatih dalam Matematik, Sains dan bahasa
Inggeris. Untuk meningkatkan lagi kualiti latihan kemahiran,
pembangunan Standard Kemahiran Kebangsaan (SKK) mengenai pekerjaan yang
berasaskan kepada tugas atau pekerjaan akan disusun semula ke arah
proses kerja selaras dengan perubahan keperluan majikan. Di samping
itu, SKK akan dibangunkan untuk latihan kemahiran dalam bidang yang
berkaitan dengan pertanian.
6.41
Penggunaan pendekatan dual training melalui skim perantisan akan
ditingkatkan dalam tempoh RRJP3. Bagi tujuan ini, lebih banyak
institusi latihan akan digalak mengguna pakai pendekatan ini
bersama-sama dengan industri untuk meningkatkan keberkesanan program
latihan mereka. Pendekatan ini merupakan gabungan penyediaan latihan di
tempat kerja dan institusi latihan. Tumpuan adalah terhadap latihan
praktikal di tempat kerja manakala institusi latihan menyediakan asas
teori. Pelajar lepasan sekolah yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia
boleh dilatih menjadi pekerja mahir yang berkelayakan dan dapat
memenuhi keperluan industri kerana mereka juga telah didedahkan kepada
suasana kerja yang sebenar. Memandangkan pelatih menggunakan dua
pertiga daripada masa mereka di tempat kerja, tahap penggunaan
kemudahan latihan akan menjadi lebih rendah dan seterusnya mengurangkan
perbelanjaan ke atas infrastruktur. Usaha akan diambil untuk menyusun
semula program latihan di semua institusi latihan awam supaya
menggunakan pendekatan tersebut yang berorientasikan pasaran dan
responsif kepada perubahan teknologi dan industri. Majlis Latihan
Vokasional Kebangsaan akan diperkukuh untuk mempertingkatkan
kemampuannya supaya dapat mengenal pasti jenis kandungan dan piawaian
latihan serta meningkatkan kerjasama antara firma dengan institusi
latihan. Di samping itu, skim latihan perantisan di bawah Majlis
Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) akan diperluaskan lagi bagi
merangkumi bidang kursus seperti elektronik perindustrian dan
kejuruteraan komputer.
6.42
Jenis dan tahap program latihan dan kursus yang dilaksanakan oleh
institusi latihan awam akan dikaji semula secara berkala bagi
memastikan ia selaras dengan perubahan teknologi serta meningkatkan
keberkesanan kos. Institusi latihan awam juga akan memperkukuhkan
sistem penyampaian mereka dengan menggunakan ICT termasuk sistem
pembelajaran melalui laman web. Pelaksanaan pembelajaran melalui laman
web adalah kritikal memandangkan institusi latihan awam mengalami
kekurangan tenaga pengajar. Ia juga akan meningkatkan keberkesanan kos
latihan dalam jangka panjang. Pembelajaran melalui laman web turut
menjadi alat yang berkesan bagi pembelajaran sepanjang hayat dan
menyediakan persekitaran pembelajaran mengikut keupayaan diri.
6.43
Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan penawaran tenaga pengajar
yang berkelayakan bagi mencapai nisbah tenaga pengajar kepada pelajar,
iaitu
1:17. Institusi latihan awam terutamanya
pusat latihan lanjutan akan menjalankan program latihan tenaga pengajar
untuk melengkapi program di Pusat Latihan Tenaga Pengajar dan Kemahiran
Lanjutan (CIAST). Bagi menarik dan mengekalkan tenaga pengajar
berpengalaman di institusi latihan awam, skim perkhidmatan bagi tenaga
pengajar di institusi tersebut akan dikaji semula, antara lain, bagi
memastikan prospek kenaikan pangkat dan kerjaya yang lebih baik,
peluang yang lebih luas untuk mengikuti latihan dan syarat perkhidmatan
yang lebih fleksibel. Insentif khas juga akan disediakan bagi menarik
dan mengekalkan tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman bekerja
dengan industri.
6.44
Pembangunan teknologi dan penyusunan semula industri akan menjadikan
pekerja berkemahiran rendah tidak lagi diperlukan dan ini akan
mengakibatkan berlakunya pengangguran struktur. Bagi mengurangkan kesan
pengangguran struktur, satu program latihan semula yang bersesuaian dan
mekanisme perlaksanaannya akan dibangunkan. Usaha untuk menjalinkan
kerjasama melalui perkongsian bijak antara Kerajaan dan sektor swasta
akan digalakkan. Penyertaan sektor swasta secara meluas akan digalak
untuk menyediakan latihan dalam kemahiran baru dan teknologi termaju.
V : NILAI DAN SIKAP POSITIF
6.45
Usaha untuk membina sebuah negara yang berdaya tahan bergantung kepada
sumber manusia yang telah diterapkan dengan nilai dan sikap positif
yang kritikal untuk meningkat dan mengekalkan produktiviti serta
memperkukuhkan daya saing. Nilai positif tersebut yang terkandung dalam
ajaran agama, budaya dan tradisi rakyat yang berbilang etnik dan
pelbagai budaya merupakan aspek penting dalam pembinaan negara dan
dalam usaha mempercepatkan pembentukan Bangsa Malaysia.
6.46
Pengaliran maklumat yang bebas kesan daripada perkembangan dunia yang
semakin tidak bersempadan akan memberi cabaran kepada usaha penyemaian
nilai positif khususnya di kalangan generasi muda. Sehubungan dengan
ini, satu kurikulum baru yang menggabungkan pendidikan sivik dengan
pendidikan agama atau moral akan diajar di sekolah rendah dan menengah
bagi memupuk nilai positif seperti disiplin, gigih untuk mencapai
kecemerlangan, setia dan cinta kepada negara, bersatu padu,
kewarganegaraan yang baik serta menghormati pemimpin dan golongan yang
lebih tua. Di samping itu, aktiviti ko-kurikulum bagi membina
keperibadian dan membangunkan kualiti kepimpinan akan diberi penekanan
di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
6.47
Di tempat kerja, usaha akan diambil untuk memastikan tenaga kerja
mengamalkan etika kerja yang baik termasuk sifat jujur, iltizam dan
rajin. Sehubungan dengan ini, pelaksanaan satu kod etika kerja yang
boleh diguna pakai oleh sektor awam dan swasta akan digubal. Bagi
sektor awam, peraturan mengenai disiplin dan budaya kerja akan sentiasa
disemak semula supaya sejajar dengan keperluan semasa ekonomi moden. Di
kalangan sektor korporat dan organisasi perniagaan, prinsip positif
dalam penyeliaan korporat seperti ketelusan, kebertanggungjawaban dan
kebolehpercayaan akan digalakkan melalui penggubalan kod etika dalam
amalan perdagangan dan perniagaan serta perkhidmatan profesional.
6.48
Unit keluarga akan terus menjadi tunjang dalam penyemaian nilai positif
dan usaha ini akan disokong dan dilengkapi oleh badan bukan kerajaan,
organisasi komuniti setempat dan badan-badan sukarela yang lain.
Nilai-nilai seperti tolak ansur, pemurah, bersyukur, penyayang dan
semangat kejiranan akan disepadukan sebagai sebahagian daripada program
untuk menggalakkan perpaduan negara dan keharmonian sosial. Bagi
mencapai tujuan ini, program motivasi dan pembentukan sikap yang
berasaskan kekeluargaan dan berorientasikan masyarakat yang menekankan
kepada nilai positif akan dipertingkat bagi membentuk tingkah laku yang
baik dan bermoral sejajar dengan Rukunegara.
VI : PENUTUP
6.49 Pembangunan sumber manusia merupakan prasyarat bagi menyediakan Malaysia untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan serta mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan dalam tempoh RRJP3. Kemampuan dan keupayaan Malaysia menguruskan pengetahuan dan teknologi baru akan ditentukan oleh sumber manusia yang berkualiti. Tenaga buruh yang cekap dan berkemahiran tinggi akan dipupuk dengan nilai etika dan moral yang tinggi dan mempunyai iltizam terhadap kecemerlangan. Arus globalisasi akan mendedahkan Malaysia kepada persaingan yang lebih hebat dalam perdagangan dan pelaburan. Justeru itu, tenaga kerja perlu dilengkapkan dengan asas pendidikan dan latihan yang kukuh serta mempunyai kemahiran generik termasuk kebolehan berkomunikasi dan berfikir. Selain daripada itu, kejayaan Malaysia memasuki era maklumat dan keupayaan mengambil peluang yang wujud hasil daripada ledakan maklumat dan teknologi akan bergantung kepada sistem pendidikan dan latihan yang dinamik dan responsif. Pendidikan dan latihan adalah amat penting bagi mewujudkan tenaga manusia yang berpengetahuan bagi menyokong industri dan aktiviti ekonomi baru serta membangunkan masyarakat yang kaya dengan maklumat, progresif, bersatu padu dan kreatif serta mempunyai nilai positif yang membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008