BAB 05 : MEMBANGUNKAN MALAYSIA MENJADI EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN

I: PENDAHULUAN

5.01 Ekonomi berasaskan pengetahuan akan menyediakan landasan ke arah mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing antarabangsa untuk mencapai objektif Wawasan 2020. Ia juga akan mengukuhkan kemampuan Malaysia untuk berusaha menghasilkan pembaharuan, menyesuaikan dan mencipta teknologi tempatan serta mereka bentuk, membangun dan memasarkan produk baru yang akan menyediakan asas bagi pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri. Di samping itu, ekonomi berasaskan pengetahuan akan melengkap dan mempercepatkan perubahan daripada strategi pertumbuhan yang didorong oleh input kepada strategi yang didorong oleh produktiviti yang merupakan teras utama yang dimulakan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7). Dalam hubungan ini, pengiktirafan sepenuhnya terhadap peranan input pengetahuan dalam pengeluaran akan meningkatkan keupayaan faktor pengeluaran yang lazim serta menjana sumber baru bagi pertumbuhan. Ini seterusnya akan mengembangkan lagi potensi kemungkinan pengeluaran ekonomi Malaysia.

5.02 Beberapa inisiatif telah dimulakan untuk membantu memudahkan usaha pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Walau bagaimanapun, Malaysia akan melipatgandakan usaha dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) terutamanya dalam bidang pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi (S&T), penyelidikan dan pembangunan (P&P), infrastruktur maklumat dan pembiayaan untuk meletakkan Malaysia di kedudukan yang penting dalam peta dunia ekonomi berasaskan pengetahuan. Malaysia juga akan mengambil langkah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang yang saksama untuk menikmati manfaat yang diwujudkan.

II : KONSEP EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN

5.03 Ekonomi berasaskan pengetahuan merupakan sebuah ekonomi di mana penjanaan dan penggunaan pengetahuan menjadi penyumbang yang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan pewujudan kekayaan. Walaupun faktor pengeluaran yang lazim seperti buruh, modal, bahan mentah dan keusahawanan terus penting, pengetahuan akan menjadi faktor utama yang menerajui pertumbuhan, menghasilkan nilai baru dan menyediakan asas untuk mengekalkan daya saing. Walaupun teknologi maklumat (IT) merupakan alat penggerak asas utama, namun nadi bagi ekonomi berasaskan pengetahuan adalah sumber manusia - khususnya keupayaan mencipta, berusaha menghasilkan pembaharuan, menjana dan memanfaatkan buah fikiran baru serta menggunakan teknologi dan kemahiran keusahawanan yang terbaik. Industri sedia ada akan menjadi lebih berintensifkan pengetahuan manakala industri baru berasaskan pengetahuan dan industri sokongan akan muncul. Dengan itu, ekonomi akan bercirikan aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan industri berteknologi tinggi akan mempunyai bahagian yang besar dalam guna tenaga, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan eksport. Selain menjadi satu faktor pengeluaran, pengetahuan juga akan menjadi satu barangan yang boleh diperdagangkan.

5.04 Ekonomi berasaskan pengetahuan menyediakan satu kaedah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan mampan serta berdaya saing dalam jangka masa sederhana dan panjang. Dalam hubungan ini, Malaysia akan membangunkan kemudahan yang diperlukan dan memajukan industri yang mempunyai potensi untuk menjadi industri yang berintensifkan pengetahuan. Sektor swasta akan terus menjadi jentera pertumbuhan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, manakala sektor awam akan menyediakan persekitaran yang sesuai dan menggalakkan. Objektif sosial dan kesaksamaan akan kekal menjadi unsur penting dalam tahap pembangunan ekonomi yang baru ini dengan tanggungjawab tambahan untuk mengurangkan jurang pengetahuan di kalangan berbagai golongan pendapatan yang berlainan, di antara masyarakat bandar dengan luar bandar dan di antara wilayah. Takrif pengetahuan dan ciri-ciri khusus ekonomi berasaskan pengetahuan adalah seperti ditunjukkan dalam Kotak 5-1.

III : PERTIMBANGAN BAGI EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN

Untuk Mencapai Pertumbuhan Ekonomi Yang Pesat dan Mampan

5.05 Sehingga pertengahan tahun 1990an, Malaysia bergantung sebahagian besarnya kepada pelaburan modal untuk menerajui pertumbuhan ekonomi. Malaysia telah melaksanakan strategi untuk beralih daripada pertumbuhan yang didorong



oleh input kepada yang didorong oleh produktiviti. Perubahan ini disebabkan oleh penurunan nilai sut produktiviti modal seperti yang dicerminkan oleh peningkatan nisbah tambahan modal kepada pengeluaran. Bahagian pelaburan kepada KDNK yang tinggi menyebabkan negara mengalami jurang sumber yang berterusan dan menjadikan kedudukan ekonomi dalam jangka panjang tidak mampan.

5.06 RMKe-7 mengiktiraf usaha meningkatkan sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) kepada pertumbuhan sebagai satu strategi penting. Namun dalam tempoh Rancangan tersebut, peralihan kepada ekonomi yang didorong oleh produktiviti adalah perlahan sebahagiannya disebabkan pelaburan besar yang mempunyai tempoh matang yang panjang serta kejatuhan pengeluaran akibat daripada krisis kewangan pada tahun 1997. Kekurangan tenaga manusia mahir dan kemajuan teknologi juga turut menyebabkan keadaan ini berlaku.

5.07 Ekonomi berasaskan pengetahuan akan melengkapi usaha meningkatkan produktiviti keseluruhan ekonomi melalui peningkatan TFP kerana ianya akan menambah nilai baru kepada aktiviti sedia ada dan akan diiringi dengan peningkatan teknologi, kemampuan inovasi yang lebih tinggi dan input daripada tenaga kerja yang lebih mahir. Kajian menggunakan analisis input-output menunjukkan bahawa industri yang berintensifkan pengetahuan mempunyai pengganda nilai ditambah dan produktiviti yang lebih tinggi berbanding dengan industri yang tidak berintensifkan pengetahuan.

5.08 Ekonomi berasaskan pengetahuan juga akan melahirkan aktiviti baru untuk pelaburan dalam industri yang sedia ada di samping mewujudkan industri baru. Pengenalan kepada proses pengeluaran berteknologi tinggi dan berintensifkan pengetahuan akan membuka peluang pelaburan baru dalam industri sedia ada. Keperluan meluaskan aktiviti di sepanjang rantaian nilai meliputi reka bentuk dan pembangunan produk serta pembungkusan, pemasaran dan pengedaran akan menawarkan peluang pelaburan dalam industri baru. Industri yang menyokong pembangunan industri berasaskan pengetahuan terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan turut membuka peluang pelaburan baru dalam pembangunan perkakasan dan perisian serta infrastruktur. Kelebihan yang wujud dalam penghasilan dan percubaan idea baru dalam ekonomi berasaskan pengetahuan juga akan menjadi tapak percambahan penciptaan barangan dan perkhidmatan yang baru. Melalui sumbangannya kepada peningkatan produktiviti dan penjana pelaburan dalam bidang baru, ekonomi berasaskan pengetahuan akan meningkatkan lagi potensi pembangunan jangka panjang dan menyediakan asas bagi pembangunan yang pesat dan mampan dalam tempoh RRJP3.

Untuk Mengekalkan Daya Saing

5.09 Penciptaan dan penyebaran pengetahuan dan maklumat yang pesat berikutan daripada kemajuan ICT telah mengubah cara barangan dan perkhidmatan dikeluar dan dipasarkan serta cara pelaburan dibuat. Urus niaga perdagangan dan pelaburan dikendalikan secara terus melalui komputer dan semakin menjadi maya. Ini telah mengubah asas dan bentuk daya saing dunia dan serantau dan seterusnya memaksa terutamanya negara membangun untuk mengkaji semula dasar dan strategi mereka. Negara tersebut mula membuka pasaran dan ekonomi mereka untuk menggalakkan aliran yang lebih bebas bagi perdagangan dan pelaburan serta pengetahuan, teknologi dan kepakaran. Negara membangun yang ingin mendapatkan faedah daripada ICT mula mewujudkan jaringan pada kadar yang pantas bagi memudahkan proses tersebut. Memandangkan perkembangan dunia ini, adalah penting bagi Malaysia menyahut cabaran tersebut dengan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan untuk mengekalkan daya saing.

5.10 Malaysia menghadapi persaingan yang semakin hebat bagi barangan pembuatan yang berintensifkan buruh dan bernilai rendah daripada negara membangun lain yang mempunyai upah yang lebih rendah dan kaya dengan sumber seperti China, Indonesia dan Thailand. Kebanyakan pengilang tempatan yang mengeluarkan barangan tersebut terpaksa membezakan keluaran mereka serta memberi tumpuan kepada pasaran tertentu untuk kekal berdaya saing. Bagi industri berteknologi tinggi dan berintensifkan pengetahuan pula, pencapaian Malaysia masih belum setanding dengan ekonomi yang lebih maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.

5.11 Untuk mengekalkan kelebihan daya saing, Malaysia perlu berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh meningkatkan produktiviti industri lazim dan pada masa yang sama, meninggikan kemampuan teknologi dan pengetahuan supaya dapat beralih kepada pengeluaran barangan di peringkat pertengahan dan tinggi. Adalah penting bagi industri tempatan untuk berganjak di sepanjang rantaian nilai kepada aktiviti huluan dan hiliran. Perubahan ini adalah perlu bagi membolehkan sektor pembuatan dan perkhidmatan terus menerajui pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP3. Bagi tujuan ini, ekonomi berasaskan pengetahuan akan menyediakan landasan bagi mempercepatkan peralihan tersebut.

IV : KEDUDUKAN SEMASA

5.12 Malaysia telah mula meletakkan asas bagi ekonomi berasaskan pengetahuan pada pertengahan tahun 1990an dan antara langkah yang telah diambil adalah pelancaran Agenda IT Negara (NITA) dan Koridor Raya Multimedia (MSC). Usaha juga telah dilaksanakan dalam bidang pembangunan sumber manusia, S&T dan P&P, infrastruktur maklumat dan pembiayaan di samping memastikan bahawa pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan tidak mengakibatkan wujudnya jurang pengetahuan.

5.13 Objektif NITA adalah untuk merangka strategi dan menggalakkan penggunaan dan pembangunan IT iaitu kunci utama untuk mencapai ekonomi berasaskan pengetahuan. Bagi mencapai matlamat NITA, aplikasi menunjuk cara iaitu alat penting untuk pelaksanaan projek IT di peringkat kebangsaan, sektor awam dan masyarakat telah dilancarkan. Bidang yang diberi keutamaan dalam aplikasi menunjuk cara adalah e-ekonomi yang merangkumi e-dagang dan e-niaga, e-perkhidmatan awam, e-masyarakat, e-pembelajaran dan e-kedaulatan.

5.14 MSC gigih berusaha mewujudkan persekitaran IT dan multimedia yang sempurna di samping menjadi tapak percubaan dunia untuk membolehkan Malaysia berada dalam aktiviti arus perdana yang perlu untuk menarik pekerja berpengetahuan, usahawan teknologi dan industri berteknologi tinggi. Infrastruktur fizikal asas termasuk infrastruktur telekomunikasi yang berangkakan mod pemindahan tak segerak 2.5 gigabit sesaat dan boleh ditingkatkan sehingga 10 gigabit sesaat di MSC telah pun disiapkan pada pertengahan tahun 1999. Ini akan membolehkan penyaluran suara, imej dan data. Lima bandar siber yang khusus iaitu Kuala Lumpur City Centre, Menara Kuala Lumpur, Taman Teknologi Malaysia, Cyberjaya dan Pusat Inkubator Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia - Universiti Putra Malaysia telah menarik banyak perniagaan yang canggih, syarikat teknologi bertaraf dunia dan pelaburan dalam P&P. Fasa Pertama Aplikasi Perdana MSC termasuk e-kerajaan, kad pelbagai guna dan sekolah bestari kini sedang dilaksanakan. Program dan projek baru bagi Fasa Kedua Aplikasi Perdana juga sedang dikenalpasti.

5.15 Dalam bidang pembangunan sumber manusia, walaupun tahap keseluruhan pencapaian pendidikan menunjukkan kemajuan, peratus tenaga buruh yang berpendidikan tinggi iaitu kumpulan yang penting untuk menerajui ekonomi berasaskan pengetahuan masih rendah iaitu sebanyak 13.9 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-1. Walaupun enrolmen di peringkat pengajian tinggi bagi kumpulan umur di antara 17-23 tahun meningkat kepada 25 peratus berikutan daripada peruntukan yang besar bagi pendidikan tinggi namun kadar ini masih rendah berbanding dengan negara perindustrian baru (NIE), seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-2. Di samping itu, enrolmen peringkat ijazah pertama di institusi pendidikan awam masih cenderung ke arah kursus beraliran sastera. Walaupun kursus aliran ini penting dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, keperluan untuk mewujudkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang sains dan teknikal memerlukan enrolmen yang tinggi dalam bidang tersebut. Pada tahun 1999, enrolmen dalam bidang sains dan teknikal hanya merangkumi 31 peratus daripada jumlah enrolmen keseluruhannya. Ini adalah disebabkan terutamanya oleh bilangan pelajar beraliran sains yang rendah di peringkat menengah yang hanya meliputi
25.7 peratus daripada jumlah pelajar keseluruhannya pada tahun 1998 iaitu lebih rendah daripada sasaran nisbah sains kepada sastera sebanyak 60:40.

5.16 S&T dan P&P merupakan faktor penentu dalam menjana inovasi dan





pengetahuan dan oleh itu perlu diberi keutamaan yang lebih. Perbelanjaan P&P bagi Malaysia ialah 0.4 peratus daripada KDNK, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-3 dan sebahagian besar daripada perbelanjaan tersebut adalah dalam sektor pertanian. Peratus perbelanjaan P&P daripada KDNK masih rendah jika dibandingkan dengan beberapa buah negara yang telah berjaya membangunkan keupayaan tempatan untuk membuat inovasi, menghasilkan teknologi baru dan mereka cipta produk baru. Usaha S&T dan P&P adalah terbatas sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan bilangan ahli sains dan jurutera. Pada tahun 1998, bilangan ahli sains dan jurutera untuk setiap juta penduduk ialah 500 berbanding dengan sasaran Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) sebanyak 1,000 ahli sains dan penyelidik bagi setiap satu juta penduduk menjelang tahun 2000.

5.17 Bagi bidang infrastruktur maklumat, Malaysia mulai muncul sebagai pusat



antarabangsa dan pembekal sejagat dari segi liputan ICT, kualiti perkhidmatan, kandungan dan infrastruktur serta peluang mendapat kemudahan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-4. Walaupun kemajuan yang besar telah dicapai dalam pembangunan komunikasi dan multimedia, Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding dengan negara NIE dari segi penyediaan dan penyebaran infrastruktur komunikasi, kadar liputan ICT, pembangunan kandungan tempatan dan keselamatan rangkaian infrastruktur maklumat.

5.18 Sebahagian besar pembangunan rangkaian telekomunikasi tertumpu di Lembah Kelang dan di pusat bandar seperti Ipoh, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang mengakibatkan ketidakseimbangan peluang menikmati kemudahan di antara kawasan bandar dengan luar bandar. Kadar liputan telefon dalam tahun 2000 bagi kawasan bandar ialah 28.6 bagi setiap 100 penduduk manakala untuk kawasan



luar bandar ialah 11.7 bagi setiap 100 penduduk.

5.19 Dari segi pembangunan kandungan tempatan di dalam IT dan multimedia, beberapa portal dan laman web Malaysia telah dibangunkan. Walau bagaimanapun, kandungan tempatan yang menggambarkan budaya dan nilai tempatan yang sedia ada secara digital dan boleh diperolehi untuk berbagai keperluan aplikasi masih tidak mencukupi.

5.20 Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menyediakan persekitaran perundangan yang bersesuaian. Beberapa perundangan telah dipinda dan yang baru diperkenalkan termasuk Akta Tanda Tangan Digital 1997, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Teleperubatan 1997, Akta Cetak Rompak (Pindaan) 1997 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Walau bagaimanapun, rangka kerja sistem perundangan ini masih perlu dipertingkatkan lagi bagi menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih teratur.

5.21 Kerajaan telah memupuk pembangunan industri modal teroka sebagai sumber pembiayaan yang lain dan peruntukkan sebanyak RM1.1 bilion telah disediakan untuk tujuan tersebut. Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ) telah ditubuhkan dan peraturannya dilonggarkan supaya dapat menyediakan mekanisme yang menarik kepada pelaburan berasaskan teknologi oleh syarikat modal teroka (VCC) untuk memperolehi semula pelaburan mereka. Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) turut menyediakan kemudahan penyenaraian bagi syarikat berteknologi tinggi. Industri modal teroka walau bagaimanapun, masih berada di peringkat awal pembentukan dan perlu diperkukuhkan lagi.

5.22 Dalam menangani isu jurang digital dalam negara, beberapa langkah seperti pengkomputeran sekolah luar bandar dan kemudahan Internet di lokasi yang strategik telah pun dimulakan. Namun begitu, pelaksanaan program yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kemudahan dan mengurangkan jurang digital perlu dipercepatkan. Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pendidikan formal, warga tua, mereka yang kurang upaya dan mereka di dalam kumpulan berumur 15-64 tahun yang tidak bekerja mungkin terpinggir berikutan revolusi ICT. Dari segi infrastruktur maklumat, jurang dari segi pembangunan proses penghantaran maklumat melalui telefon dan laluan Internet masih wujud di antara negeri. Kadar liputan telefon di enam negeri berada di bawah paras purata negara iaitu pada kadar 20 peratus manakala hampir 70 peratus pengguna Internet tertumpu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Di samping itu, memandangkan sebahagian besar penduduk hanya menggunakan Bahasa Malaysia, kekurangan kandungan tempatan telah menghadkan perolehan maklumat di kalangan mereka.

5.23 Indeks Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (KDI) telah dibentuk bagi menilai kesediaan Malaysia menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan. Indeks ini membandingkan kedudukan Malaysia dengan 21 buah negara lain yang kebanyakannya terdiri daripada negara maju. KDI dikira berasaskan beberapa faktor utama terpilih yang diperlukan untuk menggerakkan ekonomi berasaskan pengetahuan iaitu infrastruktur komputer, infrastruktur maklumat, pendidikan dan latihan, P&P dan teknologi. Petunjuk yang digunakan dalam perkiraan indeks tersebut adalah seperti ditunjukkan dalam Kotak 5-2.

5.24 Berdasarkan KDI, Malaysia berada di kedudukan yang ke 17, seperti ditunjukkan dalam Carta 5-1. Kedudukan Malaysia yang lebih baik dari segi P&P dan teknologi berbanding infrastruktur komputer, infrastruktur maklumat serta pendidikan dan latihan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-5 adalah disebabkan oleh eksport barangan elektronik dan elektrik yang besar. Dari segi kesediaan untuk menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan, Malaysia lebih bersedia dalam infrastruktur telekomunikasi dan kadar celik huruf tetapi perlu melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kemampuan P&P, penggunaan komputer, sambungan Internet dan enrolmen pendidikan tinggi, seperti ditunjukkan dalam Carta 5-2.

V : TERAS UTAMA

5.25 Bagi membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan usaha gigih perlu dilaksanakan untuk menyediakan asas yang diperlukan. Dalam hal ini, Malaysia akan memberi tumpuan ke arah memperkukuhkan unsur penting untuk menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Teras utama pelan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan adalah seperti berikut:

o membina tenaga kerja berasaskan pengetahuan antara lain melalui kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan latihan, memperkenalkan sistem pembelajaran sepanjang hayat dan melaksanakan program menarik pakar dari luar negara;

o mempergiatkan daya usaha dalam S&T dan P&P bagi memperkukuhkan sistem inovasi negara;

o mempercepatkan pembangunan infrastruktur maklumat bagi membantu pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan;

o menyusun semula sistem kewangan untuk menyediakan jenis pembiayaan yang bersesuaian bagi aktiviti berasaskan pengetahuan, menyediakan alat untuk pengurusan ekonomi makro dan mampu menghadapi cabaran yang berkaitan dengan ekonomi berasaskan pengetahuan;

o meningkatkan kandungan pengetahuan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan;

o mendorong sektor swasta untuk segera bersedia menghadapi ekonomi berasaskan pengetahuan serta mengenal pasti dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang wujud;

o merubah sektor awam supaya menjadi lebih cekap dalam perolehan, penggunaan, penyebaran dan pengurusan pengetahuan;

o memupuk penggunaan pengetahuan secara beretika; dan

o melaksanakan program merapatkan jurang digital di antara kumpulan pendapatan, etnik dan umur, masyarakat bandar dengan luar bandar serta di antara wilayah.

Membangunkan Tenaga Kerja Bagi Ekonomi Berasaskan Pengetahuan

5.26 Sumber manusia akan menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan dan akan menentukan kedudukan daya saing negara. Oleh itu, kejayaan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan banyak bergantung kepada kualiti sistem pendidikan dan latihan. Rangka kerja institusi akan disediakan bagi memastikan bekalan tenaga kerja yang berkelayakan dan berkemahiran adalah mencukupi di samping menjalankan latihan semula secara berterusan.

5.27 Sistem pendidikan dari peringkat pra-sekolah sehingga peringkat tinggi akan dikaji semula bagi membolehkannya memenuhi keperluan tenaga kerja ekonomi berasaskan pengetahuan. Bidang utama yang akan dikaji semula termasuk kurikulum, kaedah pengajaran, enrolmen di peringkat tinggi dan kualiti tenaga pengajar. Kurikulum tersebut akan menekankan pengajaran kemahiran asas dan ianya sejajar dengan keperluan tenaga kerja yang semakin berubah. Pendidikan dan latihan vokasional serta teknikal akan diberi lebih penekanan dan ditumpukan semula ke arah menghasilkan kemahiran yang diperlukan oleh ekonomi berasaskan







pengetahuan. Selain daripada itu, kaedah pengajaran akan diubah untuk menggalakkan daya kreatif, keaslian, inovasi serta kemahiran berfikir dan membuat analisis. Penggunaan IT sebagai satu alat pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan.

5.28 Usaha gigih akan diambil untuk menambah enrolmen di peringkat pendidikan tinggi terutamanya dalam kursus sains dan teknikal. Institusi pendidikan tinggi awam dan swasta perlu lebih berorientasikan pasaran dan proaktif dan tidak terbatas kepada bidang tradisional tetapi meneroka bidang pendidikan baru yang diperlukan oleh ekonomi berasaskan pengetahuan yang matang. Institusi tersebut perlu meningkatkan taraf pendidikan dan mengeluarkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran. Kualiti profesyen pengajar juga akan diperbaiki dengan menarik mereka yang lebih berkelayakan, melaksanakan program latihan yang berterusan



dan mengkaji semula skim perkhidmatan mereka dari segi gaji dan peluang kenaikan pangkat.

5.29 Sistem pembelajaran sepanjang hayat akan digalakkan bagi memastikan pekerja dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka secara berterusan supaya sentiasa sesuai dengan persekitaran teknologi dan proses kerja yang berubah dengan pantas serta memupuk masyarakat yang sentiasa menimba pengetahuan. Sektor awam dan swasta akan digalakkan untuk membina infrastruktur yang perlu untuk memudahkan pembelajaran sepanjang hayat. Sehubungan dengan ini, institusi pendidikan perlu memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang mudah diubahsuai dari segi tempoh kursus, syarat kemasukan dan kaedah pengajaran serta memastikan kosnya mampu dibayar oleh semua. Kolej komuniti dan pusat sumber akan dibina bagi memperolehi dan menyebarkan pengetahuan. Firma dan industri akan digalakkan untuk menyediakan insentif kepada pekerja mereka supaya belajar semula dan sentiasa meningkatkan kemahiran. Bagi mencapai tujuan ini, institusi kewangan akan digalak untuk memberikan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah kepada mereka yang berminat untuk meningkatkan kemahiran.

5.30 Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja ekonomi berasaskan pengetahuan dalam tempoh yang terdekat, Kerajaan akan mengkaji semula inisiatif sedia ada dan melaksanakan program memanggil pulang rakyat Malaysia yang berkelayakan yang bekerja di luar negara dan menarik pekerja asing yang berkemahiran tinggi untuk berkhidmat di Malaysia. Antara lain, program ini akan mengenal pasti pelajar cemerlang, usahawan teknologi Malaysia yang berkualiti dan pekerja yang berkemahiran tinggi dari luar negara serta melonggarkan syarat pengambilan mereka. Langkah sewajarnya juga akan diambil untuk memastikan mereka yang telah beroperasi di Malaysia sebelum program ini tidak kerugian.

Mempergiatkan S&T dan P&P

5.31 Malaysia perlu meningkatkan potensi untuk menggerakkan sektor utama S&T dan P&P supaya menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing. Sehubungan dengan ini, keutamaan akan diberikan kepada usaha menambah tenaga kerja S&T dan P&P, meningkatkan infrastruktur yang berkaitan, mengukuhkan mekanisme sedia ada untuk menyokong pembangunan dan penyebaran P&P dan teknologi, menggalakkan kesedaran S&T serta memantapkan pengurusan S&T bagi tempoh RRJP3. Ini akan menyediakan asas bagi sistem inovasi negara yang berfungsi dengan baik dan menjadi teras kepada Dasar Sains dan Teknologi Negara.

5.32 Untuk menggerakkan inisiatif S&T dan P&P, sektor awam akan menambah jumlah peruntukan bagi tujuan ini. Mekanisme pembiayaan untuk aktiviti P&P akan diperkemaskan untuk memastikan penggunaan dana secara optimum. Cadangan untuk penyelidikan akan dinilai oleh panel termasuk pakar asing dalam bidang yang dicadangkan. Insentif yang lebih berkesan akan diberi kepada sektor korporat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya sektor tersebut memperuntukkan bahagian hasil yang lebih besar kepada aktiviti P&P.

5.33 Pemilihan yang lebih teliti terhadap bidang pembangunan S&T yang akan dilaksanakan akan dibuat supaya negara mendapat manfaat yang maksimum. Keutamaan akan diberi kepada bidang di mana Malaysia telah mempunyai kelebihan, mempunyai peluang yang tinggi untuk berkembang serta mendahului negara lain. Selaras dengan ini, usaha S&T dan P&P akan ditumpu dan diberi keutamaan semula dengan mengenal pasti bidang secara sistematik, termasuk bidang baru muncul dan bidang umum yang strategik untuk membolehkan Malaysia membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.34 Institusi penyelidikan sektor awam akan diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti, menyerap dan memanfaatkan pengetahuan, tahap kepakaran dan kemampuannya. Sektor swasta juga digalakkan untuk berbuat demikian. Sementara usaha akan diambil untuk menambah bilangan tenaga kerja S&T, firma akan digalak untuk menawarkan latihan yang bersesuaian kepada pekerja mereka bagi meningkatkan kemahiran. Pelaburan langsung asing (FDI) akan semakin dipergunakan untuk mempertingkatkan keupayaan P&P dan teknologi luar negara. Sektor swasta akan digesa untuk menjalin pakatan strategik dengan rakan kongsi asing yang bersesuaian bagi memastikan aktiviti P&P tidak terasing daripada perkembangan luar. Malaysia akan mengenal pasti dan menyediakan bantuan kepada syarikat multinasional yang mempunyai keupayaan P&P yang tinggi dalam bidang strategik untuk melabur di Malaysia. Selain daripada itu, mekanisme insentif untuk FDI akan dikaji semula untuk memberikan keutamaan kepada syarikat yang disokong oleh aktiviti P&P yang baru dan bernilai ditambah supaya ditempatkan di Malaysia.

5.35 Untuk meningkatkan penyebaran penemuan penyelidikan dan penggunaannya dari segi komersil, usaha akan diambil untuk menjalin kerjasama yang lebih meluas di kalangan institusi penyelidikan awam, universiti dan kelompok industri. Pertubuhan industri akan digalakkan untuk menerajui pelaksanaan program industri yang khusus.
5.36 Dalam usaha untuk menyemai kesedaran dan menggalakkan penghayatan yang lebih terhadap sains, pengajaran sains di sekolah dan institusi pendidikan tinggi akan sentiasa dikaji semula untuk memastikan kandungannya sesuai, terkini dan diajar secara interaktif dan ceria. Tambahan lagi, Kerajaan dengan kerjasama dari industri dan NGO akan melaksanakan program yang akan menggalakkan S&T dan menjadikannya disukai ramai.

Mempercepatkan Pembangunan Infrastruktur Maklumat

5.37 Malaysia akan meningkatkan infrastruktur komunikasi dan multimedianya supaya bertaraf dunia agar dapat menyokong pengaliran pesat dan perolehan maklumat dari dalam dan luar negara pada harga yang kompetitif. Memandangkan meningkatnya kepentingan Internet untuk menyokong e-aktiviti dan aktiviti yang berintensifkan pengetahuan, adalah perlu diwujudkan satu rangkaian komunikasi nasional bersepadu berkelajuan tinggi. Satu perspektif jangka panjang akan diambil dalam membuat perancangan dan penyediaan kemudahan ini bagi memastikan infrastruktur komunikasi dan multimedia yang termaju dan terkini akan dapat berkembang seiring dengan kemajuan pesat ICT yang dijangkakan.
5.38 Usaha akan ditujukan ke arah memastikan pengagihan dan peruntukan infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan yang saksama bagi kawasan dan kumpulan yang belum mendapat kemudahan untuk membawa mereka ke dalam arus perdana ekonomi berasaskan pengetahuan. Untuk tujuan ini, program tanggungjawab perkhidmatan sejagat yang berkesan akan diwujudkan. Kerajaan bersama-sama dengan sektor swasta akan memastikan pembinaan rangkaian untuk kawasan dan kumpulan yang belum mendapat kemudahan. Tindakan juga akan diambil untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan mampu diperolehi oleh semua. Sasaran khusus untuk meningkatkan kadar liputan mesti ditetapkan untuk jangka masa pertengahan dan bagi tempoh RRJP3. Tambahan pula, usaha yang terselaras akan diambil untuk mempercepatkan lagi pembinaan kiosk Internet dan multimedia di lokasi yang strategik.

5.39 Pembangunan kandungan tempatan akan diberi penekanan yang lebih. Selain daripada memenuhi keperluan pasaran dunia, pengiktirafan sewajarnya perlu diberi terhadap kepentingan untuk mengekalkan sejarah dan warisan Malaysia serta menggunakan pengetahuan tempatan yang wujud dalam masyarakat. Insentif akan diberi kepada individu dan institusi pendidikan untuk menghasilkan kandungan tempatan dalam bahasa ibunda serta menghasilkan perisian mesra pengguna dan teknologi laluan Internet yang bersesuaian. Sektor swasta dan NGO akan digalak untuk memainkan peranan penting dalam bidang pembangunan kandungan. Untuk tujuan ini, rangka kawal selia yang mengawasi industri kandungan tempatan akan dikaji semula dan peserta tempatan akan digalak menjalankan P&P dan mengembangkan kemahiran mereka serta mewujudkan pakatan strategik dengan rakan kongsi asing.

5.40 Pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh akan diambil untuk membangun persekitaran kawal selia dan rangka kerja institusi yang menggalakkan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan perkembangan aktiviti berunsur pengetahuan. Rangka kerja perundangan akan diperkemas untuk menyokong operasi aktiviti berelektronik yang teratur seperti e-dagang, e-kerajaan, e-kewangan dan e-pendidikan serta menyokong sistem kerja yang anjal. Perundangan yang berkaitan dengan hak harta intelektual dan perlindungan hak peribadi dan keselamatan akan dikaji semula bagi memperbaiki pengaliran maklumat dan pengetahuan. Malaysia akan juga menyertai inisiatif di peringkat serantau dan antarabangsa untuk menyelaras dan menyeragamkan perjanjian perundangan dan institusi bagi melindungi kepentingan negara.

Menyusun Semula Sistem Kewangan

5.41 Sistem kewangan termasuk kaedah dan sumber pembiayaan, peraturan dan undang-undang serta institusi akan diselaraskan semula untuk menyokong perkembangan aktiviti dan industri dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Sistem perbankan yang pada masa ini berperanan sebagai sumber utama pembiayaan korporat akan memperkenalkan instrumen pinjaman yang inovatif dan membangunkan keupayaan untuk membuat penilaian mengenai potensi aliran tunai masa hadapan bagi projek yang berasaskan pengetahuan. Tambahan pula, sistem perbankan akan mengembangkan lagi skop pinjaman selain daripada aktiviti pengeluaran utama kepada aktiviti huluan dan hiliran terutamanya P&P serta pembangunan produk dan pemasaran. Dalam hal ini, agensi kawal selia akan berusaha memastikan keseimbangan di antara inovasi dengan amalan yang berhemat.

5.42 Usaha akan diambil untuk memperkukuhkan industri modal teroka agar menjadi lebih mesra pelabur dan bertindak pantas terhadap keperluan untuk memulakan pelaburan baru. VCC mesti mengembangkan kemampuannya untuk mengenal pasti dan menilai projek yang berpotensi serta lebih bersedia untuk mengambil risiko. Kerajaan juga akan menggalakkan pengaliran masuk dana modal teroka asing serta bersedia menimbangkan hak milik ekuiti asing yang lebih besar dalam VCC agar dapat memperolehi kepakaran dan pengalaman asing dalam bidang ini. Untuk menambah peluang pelaburan modal teroka di Malaysia, antara lain, mekanisme penyelarasan yang menghubungkan pelabur dengan pembiaya akan diperbaiki, penerbitan, pameran dan pesta teknologi yang kerap akan diadakan serta laman web akan dibangunkan. Bagi memastikan dana modal teroka Kerajaan dapat memberi faedah yang lebih besar, pengurusan dana berkenaan akan diberikan kepada VCC yang berpengalaman dan berwibawa termasuk VCC asing. Penglibatan unit amanah dan dana insurans akan dipertimbang untuk memperluaskan sumber pembiayaan modal teroka. Seterusnya, pakej insentif untuk industri modal teroka akan dikaji semula bagi meningkatkan inisiatif berteknologi tinggi.
5.43 Pasaran modal akan menjadi sumber dana yang semakin penting kepada syarikat baru dan syarikat yang sedang berkembang yang terlibat dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Inisiatif untuk membangunkan pasaran modal akan dipercepatkan dengan memperkenalkan instrumen pembiayaan yang inovatif dan pembangunan saluran lain bagi memperolehi modal untuk membiayai syarikat yang berteknologi tinggi.

5.44 Kemajuan ICT yang pesat dijangka akan meningkatkan lagi jumlah dan kepantasan pengaliran modal dan urus niaga kewangan lain yang merentasi sempadan. Dalam hal ini, satu sistem amaran awal yang menyeluruh, jaringan keselamatan sektor kewangan dan peraturan serta pengawasan dan penyeliaan berhemat akan diwujudkan. Sektor kewangan keseluruhannya akan secara sendiri mengorientasikan semula perkhidmatan mereka untuk menyokong keperluan urus niaga berasaskan elektronik yang semakin meningkat dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.
Meningkatkan Kandungan Pengetahuan Dalam Sektor Pertanian, Pembuatan dan Perkhidmatan

5.45 Walaupun semua sektor dalam ekonomi dijangka menjadi lebih berintensifkan pengetahuan, usaha akan dipergiat lagi untuk meningkatkan kandungan pengetahuan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan. Peningkatan penggunaan pengetahuan akan mengukuh dan meningkatkan kedinamikan serta daya saing sektor tersebut dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang terus pesat. Sektor tersebut berpotensi besar dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan kerana mempunyai ruang yang luas untuk lebih berinovasi dan menggunakan teknologi baru. Di samping itu, perkembangan pesat dalam ICT yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan akan menghasilkan aktiviti dan bidang baru pelaburan dalam sektor berkenaan. Tambahan pula, Malaysia telah pun mempunyai pengetahuan, teknologi dan kemahiran bertaraf dunia dalam beberapa industri terpilih di sektor tersebut dan dengan itu, berada dalam kedudukan untuk menggunakan kelebihan ini bagi menggerakkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Ini akan menjadikan Malaysia berupaya menarik kepakaran asing serta pelaburan ke dalam sektor ini.

5.46 Dalam sektor pertanian peningkatan kandungan pengetahuan, terutama melalui penggunaan teknologi moden dan sains hayat yang lebih meluas dijangka akan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dengan ketara. Bioteknologi juga akan menyumbang kepada peningkatan dalam hasil, kualiti dan perlindungan tanaman. Di samping itu, kemajuan dalam sains hayat akan meningkatkan permintaan terhadap keluaran pertanian sebagai input dalam pengeluaran bahan seperti vaksin yang boleh dimakan, bio-racun serangga dan bio-farmaseutikal. Untuk memudahkan penggunaan pengetahuan secara optimum dalam sektor pertanian, rangkaian inovasi di kalangan penyelidik, pengeluar dan pekerja pengembangan akan diwujudkan. Konsep rangkaian inovasi ini akan diperluaskan ke kawasan pengeluaran makanan kekal selaras dengan strategi untuk meningkatkan pengeluaran makanan. Selain daripada menjadi pemangkin kepada pemodenan sektor pertanian, penubuhan rangkaian inovasi akan juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam bidang penyelidik pertanian di samping menyediakan asas kukuh untuk pembangunan teknologi terkini terutamanya dalam pengeluaran makanan tropika. Program yang bersesuaian akan dilaksanakan supaya pekebun kecil turut mendapat faedah daripada kemajuan tersebut.

5.47 Struktur sektor pembuatan perlu berubah dengan pesat untuk mengekalkan daya saing dan kedudukannya sebagai penyumbang utama terhadap pertumbuhan ekonomi. Setiap firma mestilah berhasrat untuk beralih ke tahap teknologi yang lebih tinggi untuk mengeluarkan produk bernilai tinggi yang dapat menjana nilai ditambah yang lebih besar. Dalam setiap industri, adalah penting untuk mengenal pasti produk khusus di mana Malaysia mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan dan boleh dibangunkan menjadi produk bertaraf dunia. Untuk mencapai tahap daya saing yang mampan bagi produk dan industri yang telah dikenal pasti, kelompok industri dan perkhidmatan sokongan perlu dibangunkan serentak. Firma Malaysia akan digalakkan untuk berganjak di sepanjang rantaian nilai kepada aktiviti yang berintensifkan pengetahuan.

5.48 Dalam sektor perkhidmatan, usaha akan diambil untuk memoden dan meningkatkan kecekapan sektor ini supaya menjadi lebih berdaya saing di samping dapat menyokong sektor industri termaju. Sementara usaha membangunkan sektor lazim diteruskan, adalah perlu untuk mengenal pasti dan membangunkan produk perkhidmatan baru yang akan dijana oleh ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.49 Bagi memastikan PKS akan dibawa ke dalam arus perdana ekonomi berasaskan pengetahuan, Kerajaan akan menggubal program untuk mempercepatkan pembangunan sekumpulan besar PKS yang diperlukan, yang berkemampuan, progresif dan cekap. Program khusus akan diperkenalkan untuk meningkatkan kemampuan PKS melalui pengetahuan dan maklumat, memupuk cara pemikiran pengurusan yang baru dan amalan penggunaan IT serta menggalakkan P&P melalui rangkaian kerjasama berinstitusi. Untuk memudahkan penyertaan PKS dalam aktiviti yang berintensifkan pengetahuan terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, mereka akan digalakkan untuk mewujudkan rantaian bekalan dengan syarikat besar yang berteknologi tinggi serta membentuk perkongsian pintar dan pakatan strategik dengan PKS asing yang berteknologi tinggi. Kerajaan akan membantu memudahkan PKS mendapatkan pembiayaan daripada modal teroka dan dana P&P supaya mereka dapat mereka cipta, berinovasi serta mengeluarkan komponen dan produk yang membolehkan mereka mengambil bahagian secara berkesan dalam industri yang baru muncul dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Pertubuhan industri juga perlu lebih aktif dan komited dalam membantu membangunkan PKS agar mereka berupaya untuk merebut peluang yang dijana oleh ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.50 Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan ke dalam aktiviti berteknologi tinggi dan berintensifkan pengetahuan termasuk pelaburan langsung asing. Kerajaan akan menyediakan insentif fiskal dan bukan fiskal yang kompetitif serta insentif khusus untuk aktiviti yang berinovasi tinggi dan strategik. Mekanisme insentif ini akan memberi keistimewaan kepada pelaburan yang melibat dan memasukkan P&P, mereka bentuk, menguji, membuat prototaip, pembungkusan dan pengedaran serta industri dan perkhidmatan yang baru berkaitan dengan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Menyediakan Sektor Swasta Untuk Menghadapi Arus Perubahan

5.51 Sektor swasta akan terus menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sektor swasta termasuk PKS perlu mengubah proses pengeluaran mereka secepat mungkin dengan mengguna pakai teknologi yang sesuai dan menjimatkan kos. Mereka juga perlu melihat daripada perspektif global memandangkan pasaran akan menjadi maya dan tanpa sempadan. Kaedah lazim memperolehi input dan memasarkan barangan perlu dilengkapi dengan penggunaan e-perdagangan dan e-perniagaan. Tambahan pula, sektor swasta perlu mencipta nilai baru dengan meningkatkan keupayaan untuk menjalankan P&P, terlibat dengan pembangunan dan inovasi produk di samping pembungkusan, pemasaran serta pengedaran barangan dengan cekap dan cepat. Mereka perlu mengenal pasti bidang baru yang khusus di mana mereka mempunyai kelebihan dan berpotensi untuk meningkatkan kecekapan bagi mencapai ke tahap piawaian dunia.

5.52 Untuk berjaya dan sentiasa di hadapan, sektor swasta perlu mengguna pakai amalan terbaik dan menanda aras kedudukan mereka ke peringkat yang lebih tinggi daripada firma yang terbaik dalam industri yang sama. Kemahiran keusahawanan dan pengurusan mestilah ditingkatkan bagi menangani cabaran baru. Usaha juga perlu diambil untuk menambah bilangan usahawan teknologi yang berkualiti tinggi untuk menggerakkan firma tersebut. Tambahan pula, sektor swasta perlu lebih berani mengambil risiko dan menerokai bidang dan peluang baru yang akan dijana oleh ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.53 Untuk memastikan pihak swasta bertindak balas dengan segera, Kerajaan akan mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap peluang yang akan dijana melalui penyebaran maklumat yang lebih baik. Kerajaan juga akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan dan persekitaran yang bersesuaian.

Merubah Sektor Awam

5.54 Sektor awam akan berubah bagi menggerakkan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sektor ini akan terus berperanan sebagai pemudah cara dengan menyediakan persekitaran yang sesuai dan lebih penting lagi bertindak sebagai pemangkin kepada sektor swasta untuk menerajui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Antara peranan utama sektor awam dalam menyediakan persekitaran yang sesuai bagi penyertaan sektor swasta adalah mengekalkan persekitaran ekonomi makro yang stabil, menyediakan kemudahan infrastruktur asas, membangunkan sistem pendidikan dan latihan yang mampu membekalkan tenaga manusia yang berpengetahuan, menggalakkan serta menjalankan R&D, mewujudkan rangka perundangan yang sesuai dan memulakan pembangunan mekanisme pembiayaan yang anjal. Sektor ini akan terlibat secara langsung untuk memastikan pencapaian objektif sosial dan pengagihan termasuk tanggungjawab kritikal dalam melaksanakan strategi untuk merapatkan jurang pengetahuan.

5.55 Sektor awam akan merubah sistemnya dengan menggunakan IT dan teknologi multimedia terkini, menanda aras mengikut amalan terbaik dan menyesuaikan cara pemikiran dan proses kerjanya untuk menjalankan tugas yang diperlukan dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan. Pembentukan e-kerajaan akan juga dipercepatkan dan akan digunakan sebagai kaedah untuk memperbaiki lagi operasi dalaman Kerajaan serta sistem penyampaian perkhidmatan awam. Ini akan meningkatkan kecekapan, kualiti dan kemudahan mendapatkan perkhidmatan. Tambahan pula, ia juga akan memudahkan pemberian perkhidmatan dan maklumat baru serta meningkatkan tahap perkhidmatan sejajar dengan keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.56 Kemahiran dalam sektor awam akan terus dipertingkat dan program akan diperkenalkan untuk menyemai sikap pintar bertindak dan memupuk kemampuan untuk membuat inovasi dalam sektor awam. Walaupun perkhidmatan awam akan terus menentukan bilangan anggota yang bersesuaian namun ia akan mengambil mereka yang berkebolehan dan berkelayakan ke dalam perkhidmatan awam. Usaha juga akan diteruskan bagi menyusun semula struktur sektor awam agar lebih responsif, mudah berubah dan telus.

Memupuk Penggunaan Pengetahuan Secara Beretika

5.57 Dengan kemunculan Era Maklumat Dunia, satu kod etika baru adalah diperlukan untuk memastikan pengetahuan yang boleh dan mudah diperolehi digunakan secara positif bagi membawa kesejahteraan dan kemakmuran dan bukan menghasilkan kekacauan atau kemusnahan. Kemajuan yang terhasil daripada ICT telah menyebabkan lokasi pusat pembelajaran semakin tidak penting. Pelajar boleh berinteraksi dengan guru walau di manapun mereka berada secara terus, sementara pengetahuan yang terkumpul boleh diperolehi secara bebas, lengkap dan dari mana jua pun. Dengan ledakan jumlah dan maklumat yang berbagai di dalam Internet, adalah tidak mustahil untuk berhubung dengan individu yang boleh memberi pendapat dan pandangan mengenai sebarang perkara di serata dunia. Maklumat yang tersedia boleh menjadi berguna dan membina dari satu segi atau sebaliknya menjadi remeh, salah atau boleh memusnah dan mengancam jiwa. Dengan itu adalah penting bagi rakyat Malaysia mengekalkan tahap etika dan moral yang tinggi agar dapat mengurus dan menggunakan pengetahuan dengan baik.

5.58 Pertimbangan yang serius akan diberi untuk memastikan pengetahuan yang diperolehi akan diguna secara positif dan beretika serta bermanfaat kepada individu dan negara. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan nilai positif melalui sistem pendidikan dan latihan, pelajar akan diajar mengenai kepentingan menggunakan pengetahuan sewajarnya untuk tujuan meningkatkan pemahaman dan kesejahteraan. Ibu bapa harus memberi bimbingan kepada anak mereka supaya daya kreatif mereka digunakan secara sihat dan positif. Pihak media dan segala bentuk penyebaran maklumat akan digalak untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan dan manfaat mengekalkan pelakuan yang beretika dalam penggunaan pengetahuan yang positif. Sektor swasta dan NGO perlu membantu usaha membina satu kod etika yang baru bagi Era Maklumat. Bagi mencegah penyalahgunaan pengetahuan dan jenayah komputer, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang berkenaan IT akan diperkukuhkan.

Merapatkan Jurang Digital

5.59 Pencapaian objektif sosial dan ekuiti terus menjadi pertimbangan asas dengan tanggungjawab tambahan bagi memastikan ekonomi berasaskan pengetahuan tidak meluaskan jurang di antara berbagai bahagian masyarakat Malaysia. Dasar agihan sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) akan diteruskan bagi memastikan penglibatan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan akhirnya menggambarkan sepenuhnya komposisi etnik penduduk. Strategi akan dibentuk bagi membolehkan semua rakyat Malaysia terutamanya Bumiputera mendapat faedah daripada peluang yang wujud daripada ekonomi berasaskan pengetahuan.

5.60 Kemudahan infrastruktur telekomunikasi akan diperluaskan ke seluruh negara untuk mencapai jalinan perhubungan yang menyeluruh. Tumpuan akan diberi ke arah memastikan penyebaran ICT yang meluas dan sampai ke kawasan luar bandar dan kepada golongan yang kurang menikmati faedah pembangunan. Kemudahan komputer dan laluan Internet akan menjadi lebih murah dan mampu dimiliki. Program yang seumpamanya juga akan dilaksanakan bagi membangunkan kandungan tempatan untuk meningkatkan kemudahan mendapatkan maklumat terutamanya dalam Bahasa Malaysia agar dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan Bahasa Inggeris bagi membolehkan perolehan maklumat yang maksimum. Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta akan memperkenalkan program celik ICT untuk mendidik kumpulan sasaran khusus berdasarkan kepada keperluan dan kemampuan mereka. Peluang yang bersesuaian dan bantuan kewangan akan disediakan bagi mereka yang kurang menikmati faedah supaya terlibat secara aktif di dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Di samping itu, usaha akan dibuat bagi mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan ekonomi berasaskan pengetahuan terutamanya di kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah serta memastikan penyertaan yang saksama.

VI : PENUTUP

5.61 Ekonomi berasaskan pengetahuan menyediakan arah tuju masa hadapan untuk mencapai pertumbuhan pesat yang mampan dan kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa bagi jangkamasa sederhana dan panjang. Bagi membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan adalah penting untuk menangani kekangan yang wujud dan mengatasinya dengan pantas. Walaupun Malaysia telah menyediakan landasan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, namun usaha akan disegerakan dalam membangunkan bidang utama iaitu sumber manusia, S&T dan P&P, infrastruktur maklumat, pembiayaan dan pengagihan yang saksama yang merupakan tunjang untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.

 

 

 

 

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008