BAB 04 : MEMBINA SEBUAH MASYARAKAT BERSATU PADU DAN SAKSAMA
I : PENDAHULUAN
4.01
Objektif agenda pengagihan dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang
Ketiga, RRJP3 (2001-2010), akan terus diutamakan melalui Dasar Wawasan
Negara (DWN) bagi memastikan penyertaan yang seimbang dan saksama di
kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta wilayah. DWN akan
mengekalkan teras asas Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mana strategi
serampang dua mata untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan
menyusun semula masyarakat dalam konteks pertumbuhan pesat akan kekal
penting untuk mencapai objektif utama ke arah perpaduan negara.
Pelaksanaan DWN juga akan berlandaskan kepada kejayaan yang telah
dicapai terutamanya melalui DEB dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN).
4.02
Berikutan pencapaian yang ketara dalam pengurangan kemiskinan di bawah
DEB dan DPN, program pembasmian kemiskinan akan ditumpukan ke arah
meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup golongan miskin dan kumpulan
berpendapatan rendah. Walau bagaimanapun, bagi membasmi kemiskinan di
kalangan kelompok kecil miskin dalam tempoh RRJP3, pendekatan
menyeluruh yang dilaksanakan pada masa lalu akan diorientasikan semula
dengan mensasarkan kepada kumpulan yang belum menikmati faedah
pembangunan dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Pada masa
yang sama, program di bawah strategi penyusunan semula masyarakat akan
diperkemas untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi. Bagi
meningkatkan penyertaan Bumiputera, DWN akan menekankan semula kepada
keperluan mencapai sasaran kuantitatif menjelang akhir tempoh RRJP3.
Langkah juga akan diambil untuk membina Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, menggalakkan penyertaan
aktif Bumiputera dalam ekonomi berasaskan pengetahuan di samping
memperkukuh daya tahan dan daya saing mereka bagi menghadapi cabaran
globalisasi. Bagi mencapai keseimbangan wilayah, usaha akan dijalankan
untuk mengurangkan ketidakseimbangan di antara negeri lebih maju dengan
kurang maju.
II : HALA TUJU UNTUK MASA DEPAN UNTUK MENCAPAI OBJEKTIF PENGAGIHAN
4.03
Penekanan utama objektif pengagihan dalam tempoh RRJP3 adalah untuk
memastikan penyertaan yang lebih seimbang dan saksama di kalangan
berbagai kumpulan etnik. Langkah akan diambil untuk memperkukuh dan
memperkemas program penyusunan semula, memperbaiki mekanisme
pelaksanaan serta memperkenalkan langkah baru. Perhatian khusus akan
terus diberikan kepada usaha meningkatkan kualiti dan memastikan
penyertaan Bumiputera yang berkekalan. Teras agenda pengagihan adalah
seperti berikut:
o membasmi kemiskinan mutlak dan meningkatkan bahagian pendapatan isi rumah 30 peratus terendah tanpa mengira kaum;
o meningkatkan saiz kumpulan berpendapatan pertengahan;
o mencapai penyertaan berkesan dan
pemilikan ekuiti Bumiputera sekurangkurangnya 30 peratus menjelang
tahun 2010 dalam konteks pertumbuhan ekonomi tanpa melibatkan
penyusunan semula peringkat mikro bagi usaha niaga yang sedia ada;
o mewujudkan usahawan Bumiputera yang berdikari dan berdaya tahan melalui program untuk membangunkan MPPB;
o menyediakan persekitaran yang membolehkan Bumiputera menghadapi cabaran globalisasi;
o menggalakkan penyertaan berkesan
Bumiputera dan kumpulan lain yang belum menikmati faedah pembangunan
dalam ekonomi berasaskan pengetahuan;
o memastikan corak guna tenaga mencerminkan komposisi etnik penduduk;
o meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia; dan
o meningkatkan keseimbangan wilayah melalui pembangunan pesat negeri kurang maju.
Pembasmian Kemiskinan dan Pengagihan Pendapatan
4.04
Kejayaan program pembasmian kemiskinan terus menjadi pra-syarat bagi
mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan saksama. Antara
program pembasmian kemiskinan utama yang dilaksanakan dalam tempoh DEB
dan DPN adalah seperti ditunjukkan dalam Kotak 4-1. Memandangkan kadar
kemiskinan keseluruhan berkurang dengan ketara kepada 7.5 peratus pada
tahun 1999, program pembasmian kemiskinan dalam tempoh RRJP3 akan lebih
dijuruskan kepada kumpulan sasar yang khusus. Langkah akan ditumpukan
kepada usaha membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil miskin di
semua wilayah, terutamanya di kawasan pedalaman serta di kalangan
kumpulan yang belum menikmati faedah pembangunan seperti Orang Asli dan
kumpulan minoriti Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Bagi memudahkan
pelaksanaan program yang dijuruskan kepada kumpulan sasar yang khusus,
satu kajian bagi memperolehi profil golongan miskin dan termiskin akan
dijalankan. Usaha juga akan dijalankan untuk membasmi kemiskinan di
bandar terutamanya di kalangan mereka yang tinggal di kawasan pinggir
bandar. Kemiskinan mutlak dijangka dapat dikurangkan kepada 0.5 peratus
menjelang akhir tahun 2005. Teras program pengagihan pendapatan pula
adalah bagi mewujudkan kumpulan berpendapatan pertengahan yang lebih
besar. Di samping itu, usaha akan terus dijalankan bagi meningkatkan
pendapatan dan kualiti hidup penduduk 30 peratus terendah. Kerajaan
akan memperkemas kriteria kelayakan mendapat bantuan yang berasaskan
pendapatan isi rumah dan akan mengubahsuai kelayakan pendapatan
tersebut setiap tiga tahun. Bagi tempoh tiga tahun pertama RRJP3,
kelayakan pendapatan ditetapkan pada kadar RM1,200 sebulan bagi setiap
isi rumah.
4.05
Sebagai satu langkah jangka panjang untuk membasmi kemiskinan dan
mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, pendidikan akan kekal sebagai
alat utama bagi meningkatkan taraf dan kedudukan individu dalam
masyarakat. Usaha akan dipergiat bagi memastikan golongan miskin dan
kumpulan berpendapatan rendah mendapat faedah daripada berbagai langkah
yang telah dilaksanakan dalam sistem pendidikan. Bantuan kewangan akan
diberikan kepada pelajar dari keluarga miskin sehingga ke peringkat
universiti. Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan prestasi
pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah terutama di
kalangan pelajar Bumiputera di sekolah luar bandar. Penekanan akan
diberi untuk meningkatkan prestasi mereka dalam mata pelajaran seperti
bahasa Inggeris, matematik dan sains. Antara lain, langkah tersebut
termasuk menetapkan tanda aras dan sasaran prestasi pelajar serta
memperbaiki mekanisme penyampaian bagi memastikan sekolah di luar
bandar setanding dengan sekolah di bandar. Usaha juga akan dijalankan
untuk mengurangkan kadar keciciran di kalangan pelajar dari keluarga
miskin dan berpendapatan rendah. Kerajaan juga
akan membina lebih banyak sekolah
termasuk sekolah berasrama penuh dan menyediakan infrastruktur yang
berkaitan di kawasan luar bandar serta menaiktaraf sekolah sedia ada.
4.06
Selain pendidikan, penyediaan perkhidmatan kesihatan dan kemudahan
sosial lain juga merupakan satu langkah jangka panjang yang penting
untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup. Kerajaan akan
terus memastikan bahawa keperluan golongan miskin dan berpendapatan
rendah dapat dipenuhi apabila program kesihatan dilaksanakan. Isi rumah
miskin dan berpendapatan rendah akan didedahkan dengan amalan pemakanan
yang lebih baik bagi meningkatkan tahap kesihatan mereka. Di samping
itu, liputan kemudahan seperti elektrik, air bersih serta pengangkutan
dan komunikasi akan diperluas supaya meliputi kawasan pedalaman dan
sekitarnya terutama di Sabah dan Sarawak. Kerajaan akan memastikan
lebih banyak rumah kos rendah dibina oleh sektor swasta untuk faedah
golongan miskin dan kumpulan berpendapatan rendah melalui beberapa
langkah seperti mengetatkan penguatkuasaan terhadap pemaju perumahan
dan memperbaiki pengagihan rumah kos rendah berdasarkan keperluan dan
kelayakan. Pinjaman akan dijadikan lebih mampu dan mudah diperoleh
untuk golongan miskin dan kumpulan berpendapatan rendah. Mengenai
pembiayaan kredit mikro, peruntukan pinjaman melalui Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM) akan diperluas ke setiap negeri.
4.07
Dalam tempoh RRJP3, penekanan akan diberi untuk meningkatkan kualiti
hidup warga tua dan golongan orang kurang upaya. Bagi warga tua,
kebajikan mereka akan diambil kira dalam usaha pembangunan negara.
Antara kemudahan yang akan dipertingkatkan untuk faedah golongan orang
kurang upaya termasuk pengangkutan awam, pendidikan, perumahan dan
sukan. Semua bangunan, kompleks beli-belah, hospital, bank, pejabat dan
kemudahan awam yang baru dan sedia ada akan dijadikan lebih mesra
golongan orang kurang upaya. Usaha yang lebih juga akan dijalankan
untuk menyediakan latihan dan pendidikan kepada golongan ini bagi
memudahkan penempatan dan peluang mendapat kerja. Pada masa yang sama,
sektor swasta dan badan bukan Kerajaan dijangka lebih bersedia untuk
menerima golongan istimewa ini dan memenuhi keperluan mereka.
4.08
Langkah akan diambil untuk memperkenalkan lebih banyak aktiviti menjana
pendapatan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah golongan miskin dan
kumpulan berpendapatan rendah. Dalam hal ini, strategi penjanaan
pendapatan yang khusus bagi luar bandar dan sektor pertanian akan
dilaksanakan melalui pertanian bersepadu, moden dan komersil seperti
yang digariskan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga. Adalah perlu untuk
meningkatkan aktiviti menjana pendapatan khususnya di kalangan penanam
padi, pekebun kecil getah, nelayan dan pekerja estet memandangkan kadar
kemiskinan di kalangan mereka adalah tinggi. Dalam sektor kecil padi,
penanam padi yang mempunyai tanah bersaiz kecil dan tidak ekonomi akan
digalakkan untuk turut serta dalam projek penyatuan tanah khususnya di
kawasan jelapang padi utama. Penanam padi juga akan digalakkan untuk
mempelbagaikan kegiatan ke dalam sektor kecil lain seperti akuakultur
dan penternakan. Pendapatan pekebun kecil getah akan dipertingkatkan
dengan penggunaan sistem penanaman yang inovatif iaitu penanaman klon
getah balak (LTC) dan juga mengusaha penanaman getah secara bersepadu
dengan aktiviti pertanian lain seperti penternakan, penanaman pokok
buah-buahan dan sayur-sayuran. Bagi meningkatkan pendapatan nelayan,
lebih banyak aktiviti hiliran dan bukan perikanan lain akan digalakkan.
Bagi pekebun kecil kelapa sawit pula, Kerajaan akan menggalakkan mereka
menggunakan dana yang baru ditubuhkan untuk penanaman semula kelapa
sawit. Di samping itu, mekanisme untuk menjana pendapatan pekebun kecil
juga akan diwujudkan bagi melindungi petani yang berpendapatan rendah
pada masa kesukaran. Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan
pendapatan dan kualiti hidup pekerja estet. Program yang bersesuaian
juga akan diperkenalkan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh
bekas pekerja di estet yang dipecahkan.
4.09
Kerajaan akan menjalankan penyiasatan yang khusus mengenai pendapatan
isi rumah di Sabah dan Sarawak untuk menentukan kedudukan kemiskinan,
tahap pendapatan dan kualiti hidup di berbagai tempat serta di kalangan
berbagai kumpulan Bumiputera seperti Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut,
Bidayuh dan Melanau. Penemuan penyiasatan akan digunakan untuk
memperbaiki lagi langkah membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti
hidup penduduk di Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman
dan terpencil.
4.10
Dalam tempoh RRJP2, jurang pendapatan antara berbagai kategori kumpulan
pendapatan telah meningkat sedikit. Bahagian pendapatan kumpulan isi
rumah 20 peratus teratas telah meningkat sedikit kepada 50.5 peratus
pada tahun 1999 berbanding dengan pengurangan kepada 14 peratus bagi
kumpulan isi rumah 40 peratus terbawah seperti ditunjukkan dalam Jadual
4-1. Di samping itu, pekali Gini iaitu satu ukuran keseluruhan
ketidaksamaan pendapatan, meningkat sedikit daripada 0.4421 pada tahun
1990 kepada 0.4432 pada tahun 1999 dan ini menunjukkan ketidaksamaan
pendapatan telah melebar sedikit.
4.11
Langkah yang bersesuaian akan diambil bagi menambah pendapatan isi
rumah kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan. Pekerja
terutamanya dari kategori pekerjaan lebih rendah akan digalak untuk
meningkatkan kemahiran mereka melalui pendidikan dan latihan. Satu lagi
langkah penting untuk menambah pendapatan isi rumah ialah dengan
menggalakkan lagi penyertaan wanita dalam guna tenaga. Antara langkah
yang akan diambil termasuk memperkenalkan waktu kerja anjal dan kerja
sambilan yang akan membolehkan mereka bekerja dan pada masa yang sama
mengurus rumahtangga. Bagi membantu lagi wanita yang bekerja,
penyediaan kemudahan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan tadika akan
terus ditambah. Ruang untuk pusat tersebut akan dijadikan sebagai
sebahagian daripada kemudahan yang akan disediakan oleh pemaju dalam
projek perumahan, bangunan pejabat dan komersil yang baru.
4.12
Bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan secara berkesan dalam
tempoh RRJP3, program sedia ada akan digabungkan dan diperkemas di
bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). SPKR akan meliputi
Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan program pembasmian
kemiskinan lain bagi menangani isu kemiskinan am dan ketermiskinan
tanpa mengira kumpulan etnik di kedua-dua kawasan luar bandar dan
bandar. Program Sepadu Pembangunan Desa Terpencil akan diperkukuh di
bawah SPKR untuk membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil miskin
terutama di kawasan pedalaman dan di kalangan Orang Asli serta kumpulan
minoriti Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Bagi meningkatkan lagi
kesejahteraan dan kualiti hidup isi rumah miskin dan berpendapatan
rendah melalui Program Pembangunan Insan, SPKR akan menyemai sikap
menghargai diri dan berdikari di kalangan isi rumah dan komuniti yang
terlibat.
4.13
Usaha juga akan dijalankan untuk memastikan kadar inflasi dibendung
pada paras yang rendah supaya perkhidmatan dan barangan mampu dibeli
oleh golongan miskin dan kumpulan berpendapatan rendah. Bagi menilai
kemajuan masyarakat di kedua-dua kawasan luar bandar dan bandar,
Kerajaan akan membentuk petunjuk untuk mengukur kualiti hidup mereka.
Di samping itu, badan bukan Kerajaan dan sektor swasta dijangka
melaksanakan program dan projek pembasmian kemiskinan mereka secara
berkesan bagi memenuhi tanggungjawab bersama bagi membangunkan negara.
Kualiti Hidup
4.14
Kualiti hidup semua rakyat Malaysia dijangka terus meningkat dalam
tempoh RRJP3. Pendapatan per kapita benar akan bertambah melebihi lima
peratus setahun berikutan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Memandangkan
kadar kemiskinan semakin berkurang ke tahap yang sangat rendah,
penekanan yang lebih akan diberikan kepada usaha meningkatkan
pendapatan isi rumah, terutama bagi kumpulan 30 peratus terendah.
Pelaburan yang besar dalam penyediaan dan penyaluran kemudahan dan
perkhidmatan sosial khususnya pendidikan, kesihatan dan perumahan akan
menyumbang lagi kepada peningkatan kualiti hidup rakyat. Sehubungan
dengan itu, enrolmen di prasekolah, sekolah menengah dan universiti
akan ditingkatkan. Melalui pelaksanaan yang lebih giat dalam pendekatan
pembelajaran yang berpusat kepada pelajar, pembangunan daya kreatif dan
kemahiran berfikir akan diberi penekanan. Usaha untuk meningkatkan mutu
pendidikan dan latihan dijangka mempercepat pembangunan sumber manusia.
Lebih ramai tenaga manusia terlatih, berkemahiran dan berorientasikan
teknologi maklumat (IT) akan dihasilkan bagi menggerakkan negara ke
arah ekonomi berasaskan perindustrian dan pengetahuan.
4.15 Usaha
yang telah dijalankan untuk menambah peluang pekerjaan serta
menyediakan suasana kerja yang lebih selesa, termasuk keselamatan
pekerjaan dan penyelesaian pertikaian akan mewujudkan persekitaran
kerja yang lebih baik. Kemajuan dalam perkhidmatan kesihatan dan
perumahan juga akan menyumbang kepada tahap kesihatan, jangka hayat dan
kesejahteraan isi rumah yang lebih baik. Penambahan kemudahan
pengangkutan dan komunikasi akan menyediakan perkhidmatan yang pantas
dan lebih baik untuk kelancaran berbagai aktiviti ekonomi. Kualiti alam
sekitar secara keseluruhannya dijangka meningkat dengan usaha lebih
mantap yang diambil untuk memastikan alam sekitar yang lebih bersih,
sihat dan produktif melalui penggunaan teknologi baru dan yang
bertambah baik serta pengurusan alam sekitar yang lebih berkesan.
Manakala bagi keselamatan awam, kadar jenayah dan kemalangan jalan raya
dijangka berkurang berikutan usaha gigih yang dijalankan oleh pihak
berkuasa termasuk mengadakan kempen kesedaran. Melalui perkembangan
positif tersebut, rakyat Malaysia dijangka dapat hidup lebih lama,
sihat dan bermakna dalam persekitaran yang bersih dan selamat.
Penyusunan Semula Ekuiti
4.16
Pemilikan modal saham Bumiputera dalam sektor korporat berkurang
sedikit daripada 19.3 peratus pada tahun 1990 kepada 19.1 peratus pada
tahun
1999 seperti ditunjukkan dalam Jadual
4-2. Peratusan pemilikan modal saham kumpulan etnik Cina berkurang
daripada 45.5 peratus kepada 37.9 peratus dalam tempoh yang sama
manakala pemilikan kumpulan etnik India pula meningkat kepada 1.5
peratus pada tahun 1999. Pemilikan oleh rakyat asing telah meningkat
dengan ketara daripada 25.4 peratus pada tahun 1990 kepada 32.7 peratus
pada tahun 1999. Dalam tempoh RRJP3, usaha yang gigih akan dijalankan
untuk meningkatkan penyertaan berkesan Bumiputera serta pemilikan
ekuiti Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2010.
Penyusunan semula ini akan dilaksanakan dalam konteks pertumbuhan
ekonomi yang pesat dengan peluang yang lebih banyak untuk semua rakyat
Malaysia dan tanpa perlu mengambil langkah penyusunan semula mikro bagi
usaha niaga sedia ada. Perhatian khusus akan diberi untuk meningkatkan
pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti
Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut, Bidayuh dan Melanau. Bagi mencapai
sasaran ini, Bumiputera perlu melipatgandakan usaha mereka dalam
berbagai bidang termasuk memanfaatkan peluang yang wujud daripada
peningkatan hubungan saling melengkapi dan sinergi dalam industri
tempatan serta dengan rakan asing. Bumiputera perlu melengkapkan diri
dengan kemahiran dan keupayaan keusahawanan serta mengubah cara
pemikiran mereka supaya dapat mengambil bahagian secara berkesan dalam
peluang yang wujud.
4.17
Usaha akan dipergiat untuk meningkatkan tabungan dan pelaburan
Bumiputera dan kumpulan lain yang belum menikmati faedah pembangunan
bagi memastikan penyertaan bermakna mereka serta pencapaian sasaran
kualitatif dan kuantitatif pemilikan ekuiti korporat. Bagi menjayakan
usaha ini, Dana Amanah Saham Nasional (DASN) akan diwujudkan bagi
memastikan pengagihan pemilikan ekuiti yang lebih meluas di kalangan
Bumiputera dan kumpulan lain yang belum menikmati faedah pembangunan.
4.18
Memandangkan pemilikan ekuiti korporat yang rendah di kalangan kumpulan
etnik India, perhatian akan diberi bagi meningkatkan penyertaan mereka
dalam tempoh RRJP3. Sehubungan dengan itu, usaha akan dijalankan untuk
meningkatkan pemilikan ekuiti mereka kepada 3.0 peratus menjelang tahun
2010. Pada masa yang sama, satu kajian akan dijalankan untuk menilai
tahap penyertaan kumpulan etnik India dalam ekonomi bagi merangka
strategi dan program yang bersesuaian.
4.19
Program sedia ada akan dikaji semula sementara langkah baru dan
berinovatif akan diperkenalkan. Pelaburan langsung asing dalam bidang
strategik akan terus digalakkan dan sehubungan dengan ini, kemahiran
keusahawanan dan keupayaan teknologi Bumiputera akan dipertingkatkan
supaya dapat memanfaatkan peluang yang wujud. Syarikat Bumiputera mesti
mengambil peluang daripada perolehan luar di peringkat dunia yang
ditawarkan oleh syarikat multinasional dan menceburi aktiviti huluan
dan hiliran yang berkaitan. Pembentukan usahasama strategik dengan
syarikat asing juga akan digalakkan. Sementara itu, perkongsian dan
usahasama yang berkesan di antara syarikat Bumiputera dengan bukan
Bumiputera akan dipertingkatkan bagi mewujudkan perniagaan rakyat
tempatan yang kukuh, berdaya tahan dan bertaraf dunia. Di samping itu,
satu kajian semula terhadap garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing
akan dijalankan bagi meningkatkan keberkesanannya.
4.20
Menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor pembuatan dan
perkhidmatan. Berbagai langkah akan diambil untuk menggalakkan
penyertaan usaha niaga Bumiputera dalam sektor pembuatan dan sektor
perkhidmatan yang dinamik. Memandangkan syarikat Bumiputera telah
menembusi sektor pembinaan, pengangkutan dan pertanian, mereka perlu
mempelbagaikan usaha ke dalam aktiviti lain yang mempunyai nilai
ditambah yang lebih tinggi. Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti
Bumiputera yang rendah dalam sektor pembuatan iaitu 12.5 peratus
seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-3, usaha akan dijalankan untuk
menggalakkan penglibatan mereka dalam sektor kecil pembuatan seperti
industri elektrik dan elektronik, farmaseutikal, kimia, petrokimia,
bioteknologi, bahan komposit dan termaju, kelengkapan pengangkutan dan
makanan. Bagi memudahkan
penyertaan Bumiputera, persekitaran yang boleh membantu mereka akan
diwujudkan termasuk penyediaan insentif dan pembiayaan bagi menyalurkan
teknologi yang bersesuaian serta kepakaran pengurusan. Agensi seperti
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) akan membantu
mengenalpasti peluang perolehan dari luar yang ditawarkan serta
mengesan arah aliran teknologi dan mencari rakan niaga yang berpotensi.
Agensi tersebut juga akan menyebarkan maklumat secara lebih berkesan
untuk membantu usahawan Bumiputera.
4.21
Berhubung dengan kemudahan pembiayaan, satu saluran khas akan
diwujudkan di dalam tabung sedia ada untuk membolehkan syarikat
Bumiputera terutama yang mempunyai cagaran minimum, mendapatkan capaian
yang lebih banyak kepada kemudahan pembiayaan tersebut. Keupayaan modal
teroka sedia ada juga perlu diperluas untuk menggalakkan penyertaan
Bumiputera dalam sektor pembuatan dan perniagaan inovatif yang lain.
Bagi menyediakan pembiayaan kepada lebih ramai Bumiputera, beberapa
dana khusus yang ditubuhkan oleh Kerajaan akan diperkukuh dengan
menyediakan kepakaran dalam menilai perniagaan berisiko yang berpotensi
tinggi untuk berjaya. Perhatian akan diberi untuk mempercepat proses
kelulusan memandangkan kepantasan adalah faktor penentu kejayaan dalam
usaha niaga. Kerajaan akan mengkaji semula, menggabungkan dan
memperkemas dana sedia ada yang khusus untuk usaha niaga Bumiputera.
Pembiayaan untuk perniagaan Bumiputera yang disediakan melalui sistem
perbankan akan diorientasikan semula kepada sektor dinamik. Pada masa
ini, daripada 27.1 peratus jumlah pinjaman yang dikeluarkan oleh
institusi perbankan yang telah dimanfaatkan oleh perniagaan Bumiputera,
peratusan terbesar adalah untuk pembelian harta bertanah, kenderaan
pengangkutan dan sekuriti serta dalam sektor pembinaan seperti
ditunjukkan dalam Jadual 4-4.
4.22
Di samping itu, syarikat Bumiputera mesti menjalankan aktiviti
penyelidikan dan pembangunan (P&P) bagi meningkatkan keupayaan
mereka untuk mencipta serta membangunkan produk baru. Bagi tujuan ini,
kerjasama di antara syarikat Bumiputera dengan universiti serta
institusi penyelidikan awam akan diperkukuh. Usaha juga akan diatur
bagi membolehkan syarikat Bumiputera menggunakan infrastruktur dan
kemudahan penyelidikan sedia ada di institusi berkenaan. Berhubung
dengan penyertaan Bumiputera dalam mengkomersilkan hasil penyelidikan,
peruntukan Tabung Pengkomersilan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF)
yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)
akan ditambah dan sebuah tabung khas akan ditubuhkan untuk membiayai
aktiviti di peringkat pra-pengkomersilan.
4.23
Syarikat Bumiputera telahpun terlibat secara meluas dalam industri
perusahaan makanan terutamanya secara kecil dan sederhana. Dalam tempoh
RRJP3, mereka perlu meningkatkan dan memperbaiki pengeluaran produk
makanan halal selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat
pasaran untuk makanan halal dunia. Oleh itu, mereka perlu meluaskan
pasaran ke luar negara memandangkan terdapat potensi yang besar untuk
produk halal terutamanya di lebih daripada 50 negara Islam di seluruh
dunia. Persijilan halal dan persijilan kesihatan yang berkaitan perlu
diperoleh untuk mengembangkan usaha niaga mereka ke pasaran
antarabangsa.
4.24
Penyertaan Bumiputera dalam sektor perkhidmatan masih lagi rendah
terutamanya dalam perkhidmatan utiliti, perdagangan borong dan runcit,
pelancongan, perkapalan dan kewangan. Pada tahun 1999, pemilikan ekuiti
korporat Bumiputera adalah sebanyak 12.2 peratus dalam perkhidmatan
utiliti dan 15.2 peratus dalam perdagangan borong dan runcit seperti
ditunjukkan dalam Jadual 4-3. Dalam perkhidmatan kewangan, peratusan
ekuiti korporat Bumiputera adalah pada tahap 20.5 peratus. Syarikat
Bumiputera perlu menceburi bidang yang berpotensi dalam sektor
perkhidmatan dinamik meliputi perkhidmatan maklumat dan komunikasi,
pendidikan, kesihatan, pelancongan, pengangkutan laut dan udara serta
perkhidmatan perundingan dan profesional.
4.25
Langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam
perkhidmatan pengangkutan laut termasuk perkhidmatan sokongan berkaitan
seperti perkhidmatan pengangkutan barang-barang, pergudangan,
pengurusan pusat pengedaran, pengedaran, pembungkusan dan pembungkusan
semula serta penghantaran mengikut tempahan. Bagi pengangkutan udara,
penyertaan Bumiputera akan dipertingkatkan dalam bidang seperti
perkhidmatan pengendalian kargo udara serta pengangkutan dan
penghantaran. Penyertaan Bumiputera dalam bidang tersebut adalah
penting bagi memastikan mereka juga mendapat faedah daripada usaha
untuk membangunkan negara sebagai pusat serantau bagi pengangkutan laut
dan udara. Lebih banyak peluang akan tersedia untuk usaha niaga
Bumiputera dalam sektor pengangkutan laut dan udara melalui peningkatan
penyertaan dan pakatan strategik baru dengan pelabur asing.
4.26
Satu lagi perkhidmatan lain yang boleh disertai oleh Bumiputera adalah
sektor pelancongan. Selain daripada hanya mengkhusus dalam perkhidmatan
pengurusan tiket, usahawan Bumiputera perlu menceburi aktiviti lain
termasuk mengendali agensi pelancongan yang membawa masuk pelancong
asing serta memperluas aktivitinya ke pasaran khusus seperti Timur
Tengah, negara-negara Islam, China dan India.
4.27
Dalam sektor pendidikan, lebih ramai Bumiputera perlu menubuhkan
institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Sementara itu, IPTS milik
Bumiputera sedia ada yang kecil perlu digabungkan. Selain daripada
memperoleh pengiktirafan Lembaga Akreditasi Nasional (LAN), IPTS milik
Bumiputera perlu mengadakan rangkaian dan program berkembar dengan
institusi pengajian tinggi luar negara yang terkenal serta membuka
kampus cawangan bagi memastikan kualiti pendidikan yang tinggi.
4.28
Penyediaan perkhidmatan perundingan dan profesional merupakan satu lagi
bidang berpotensi bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera. Sehingga
kini, bilangan profesional Bumiputera yang berpengalaman telah
bertambah terutamanya dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan seni
bina. Berikutan itu, terdapat potensi besar untuk mereka menyediakan
perkhidmatan ini sama ada di dalam atau di luar negara. Lebih ramai
Bumiputera perlu memperoleh kemahiran yang lebih tinggi dan mendapatkan
pengiktirafan antarabangsa supaya lebih berdaya saing.
4.29
Meningkatkan hak milik Bumiputera melalui penswastaan. Dasar
penswastaan akan terus menjadi satu alat penting untuk meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat. Sehingga bulan April 2000,
Kerajaan Persekutuan telah menswastakan sejumlah 180 buah syarikat.
Daripada jumlah tersebut, Bumiputera mengurus dan menguasai 109 buah
syarikat atau 61.2 peratus dengan nilai ekuiti RM8.1 bilion atau 28
peratus daripada jumlah ekuiti syarikat yang diswastakan. Bukan
Bumiputera juga mendapat manfaat daripada program ini dengan menguasai
28 buah syarikat dengan nilai ekuiti RM5.3 bilion atau 15.6 peratus
daripada jumlah ekuiti. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah menguasai 43
buah syarikat dengan nilai ekuiti kira-kira RM16.5 bilion atau 56.4
peratus. Bagi mencapai sasaran penyusunan semula ekuiti, program
penswastaan akan terus dilaksanakan bagi mewujudkan lebih banyak
peluang kepada usahawan Bumiputera.
4.30 Sehingga
bulan April 2000, terdapat 40 buah syarikat yang diswastakan telah
disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan bilangan ini
merupakan 5.2 peratus daripada jumlah syarikat yang tersenarai.
Syarikat tersebut telah menyumbang kira-kira RM156.6 bilion atau 24.7
peratus daripada jumlah permodalan pasaran dan 15.3 peratus daripada
jumlah modal berbayar bagi semua syarikat yang tersenarai di BSKL.
Bumiputera memiliki 21 peratus daripada ekuiti dalam syarikat yang
diswastakan dan tersenarai manakala bukan Bumiputera memiliki 27
peratus dan rakyat asing sebanyak 10.2 peratus. Kerajaan memiliki 41.8
peratus daripada jumlah ekuiti di dalam syarikat tersebut. Kebanyakan
syarikat milik Bumiputera yang diswastakan dan tersenarai adalah dalam
bidang perdagangan dan perkhidmatan, industri dan infrastruktur. Dari
segi kepentingan menguasai syarikat yang diswastakan dan tersenarai,
Bumiputera telah menguasai 20 buah syarikat dengan jumlah modal
berbayar sebanyak RM5.8 bilion atau 24 peratus. Jumlah ini hanya
merupakan 3.7 peratus daripada jumlah modal berbayar bagi semua
syarikat yang tersenarai.
4.31
Meningkatkan peranan institusi dan agensi amanah Bumiputera. Kerajaan
akan mengkaji semula dan memperkemas fungsi dan peranan agensi amanah
terutamanya Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN). Usaha ini akan
memperkukuh kedudukan mereka dalam merangsang pembangunan keusahawanan
serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada Bumiputera untuk
meningkatkan pemilikan dan penguasaan dalam sektor korporat. Langkah
juga akan diambil bagi merangka kaedah dan mewujudkan mekanisme khusus
untuk memantau dan menilai agensi tersebut dengan berkesan. Agensi
berkenaan dikehendaki mewujudkan dan memperoleh kekayaan baru
terutamanya dalam sektor atau aktiviti yang masih kurang diceburi oleh
Bumiputera. Agensi berkenaan juga akan menyediakan landasan dan peluang
yang lebih luas kepada Bumiputera untuk menyertai dan meningkatkan hak
milik dalam sektor korporat. Mereka perlu mengambil tenaga kerja
profesional bagi meningkatkan keupayaan pengurusan. Di samping
menggabungkan aktiviti dan sumber perniagaan mereka, agensi berkenaan
juga perlu mewujudkan pakatan strategik melalui usahasama dan
perkongsian pintar dengan rakan kongsi tempatan lain dan rakan niaga
asing.
4.32
Skim amanah saham dijangka dapat meningkatkan peranannya dalam
pembangunan pasaran modal dengan menggembleng tabungan dan menggalakkan
penyertaan yang lebih meluas daripada semua rakyat Malaysia. Di samping
menyediakan peluang pelaburan, skim tersebut juga akan menjadi alat
yang berkesan untuk meningkatkan pemilikan dan penguasaan rakyat
Malaysia dalam sektor korporat. Langkah juga akan diambil untuk
memastikan skim amanah saham sedia ada terutamanya skim amanah saham
negeri diuruskan dengan berkesan bagi memaksimumkan pulangan kepada
pelabur. Satu kajian semula ke atas skim amanah saham sedia ada akan
dijalankan dalam tempoh RRJP3.
4.33
Pembangunan sumber yang berpotensi seperti tanah rizab Melayu,
Baitulmal, waqaf dan pribumi dan adat akan dipergiatkan. Satu kajian
akan dijalankan bagi memperakukan modus operandi pembangunan sumber
tanah berkenaan. Perhatian akan diberikan ke arah menghapus bebanan
pentadbiran yang menghalang pembangunan tanah berkenaan serta
menggalakkan penyertaan sektor swasta. Kerajaan akan mengadakan satu
mekanisme bagi mempermudah proses pembangunan tanah tersebut terutama
melalui penyediaan program sokongan serta insentif. Institusi seperti
Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan PKEN perlu
mengambil bahagian secara aktif untuk memajukan tanah tersebut dan
menjadikannya hartanah komersil yang menguntungkan. Hartanah komersil
ini kemudiannya akan ditawarkan untuk dijual atau disewa kepada
usahawan Bumiputera. Pembangunan sumber seperti ini perlu juga
mengambil kira kemampuan Bumiputera.
Pembangunan MPPB
4.34
Program pembangunan MPPB akan menumpukan kepada usaha membangunkan
lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya tahan, berdikari dan
bertaraf dunia yang mampu bersaing dengan berkesan di pasaran tempatan
dan antarabangsa. Ini akan dapat dicapai melalui pemupukan kualiti
keusahawanan yang baik tanpa mengira saiz perniagaan. Sebagai usahawan
bertaraf dunia, Bumiputera perlu mempunyai daya saing yang tinggi,
berpengetahuan, berinovatif, menggunakan sumber secara optimum,
berpandangan jauh, mengamalkan amalan niaga yang baik dan sentiasa
menjana pulangan yang menguntungkan dalam jangka panjang. Di samping
itu, usahawan Bumiputera perlu diperlengkap dengan kemahiran
berkomunikasi yang baik khususnya dalam bahasa Inggeris untuk berjaya
di dalam persekitaran yang lebih kompetitif serta menerokai pasaran
antarabangsa.
4.35
Bagi mewujudkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya tahan dan
berdikari, nilai positif perlu disemai di kalangan Bumiputera. Antara
lain, nilai ini termasuk disiplin diri, keutuhan diri, boleh
dipercayai, kepercayaan kredit, amanah, tekun, jujur dan berhemah.
Agensi berkaitan perlu menyusun semula program latihan mereka dengan
memasukkan unsur penerapan nilai positif.
4.36
Pembangunan MPPB yang sepenuhnya adalah sangat penting untuk memastikan
penyertaan berkesan Bumiputera dalam ekonomi. Kewujudan lebih banyak
perniagaan Bumiputera yang berdaya maju akan membantu mempertingkatkan
usaha menambah penglibatan Bumiputera dalam aktiviti utama ekonomi
negara. Walaupun beberapa kemajuan telah dicapai dalam membangunkan
MPPB namun kualiti dan tahap kedalaman penyertaan mereka dalam
perniagaan masih terhad. Bagi memastikan penglibatan yang bermakna,
usahawan Bumiputera perlu menyertai semua sektor ekonomi yang strategik
dan dinamik. Di samping itu, jenis aktiviti perniagaan yang mereka
ceburi perlu merangkumi aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang
lebih tinggi.
4.37
Program MPPB sedia ada akan diperkukuh bagi meningkatkan bilangan
usahawan Bumiputera yang berdaya maju. Dalam hal ini, Kementerian
Pembangunan Usahawan akan mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam
program berpakej seperti program pembangunan vendor dan francais.
Kementerian ini akan mengukuhkan program pembangunan francais melalui
pembelian francais terpilih dari luar negara dan membangunkan pemegang
francais Bumiputera serta melaksanakan P&P untuk produk francais
tempatan. Di samping itu, agensi pelaksana akan memperkenalkan dasar
tamat penyertaan yang menghadkan tempoh penyertaan peserta dalam
program MPPB bagi memberi peluang kepada usahawan Bumiputera yang lain
memanfaatkan program tersebut.
4.38
Program pembangunan vendor akan dikaji semula untuk menjadikannya lebih
berkesan dan diperluas supaya dapat meliputi lebih banyak industri bagi
menjana peluang baru untuk syarikat Bumiputera. Petroliam Nasional
Berhad (PETRONAS), Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON),
Perusahaan Otomobil Kedua Berhad (PERODUA) dan badan korporat yang
telah diswastakan seperti Penerbangan Malaysia (MAS), Tenaga Nasional
Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad akan digesa memperbaiki dan
memperluas liputan program mereka serta memperkenalkan program baru
bagi mencapai matlamat tersebut. Syarikat Bumiputera dikehendaki
mengadakan usahasama dengan rakan niaga tempatan dan asing yang
strategik dalam bidang yang mereka kurang kepakaran untuk mengeluarkan
produk berkualiti dan bernilai tinggi yang diperlukan oleh industri
tersebut. Syarikat Bumiputera juga digesa mengambil bahagian dalam
Program Rangkaian Perindustrian (ILP) di bawah SMIDEC. Penyertaan dalam
bentuk usahasama juga akan memudahkan Bumiputera mendapatkan bahagian
yang lebih besar dalam pasaran tempatan dan luar negara bagi menikmati
ekonomi bidangan. Langkah ini juga penting untuk meraih pasaran
serantau terutamanya dengan pasaran yang lebih terbuka berikutan
pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).
4.39
Penekanan juga akan diberikan kepada pembangunan usahawan Bumiputera
dalam sektor perdagangan pengedaran. Usaha gigih akan dijalankan untuk
menambah bilangan peniaga Bumiputera dalam sektor kecil perdagangan
borong. Bagi memperkukuh kedudukan mereka dalam perniagaan, peniaga
Bumiputera dikehendaki membentuk jaringan atau hubungan langsung dengan
pengeluar dalam sektor pembuatan dan pertanian bagi memastikan mereka
mendapat bekalan pada kos yang lebih rendah. Di samping itu, mereka
dikehendaki membentuk jaringan dengan peruncit sebagai sebahagian
daripada strategi keseluruhan untuk meningkatkan bahagian pasaran
mereka. Penyertaan Bumiputera dalam sektor kecil perdagangan runcit
akan dipertingkatkan melalui Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang
Peruncitan atau PROSPER yang baru ditubuhkan. Projek ini mempunyai
kumpulan sasar yang khusus dan akan menyediakan bantuan dan khidmat
sokongan seperti peruntukan premis dan modal, mengenalpasti peluang
perniagaan serta menyediakan latihan terutamanya dalam pengurusan
perakaunan dan tunai. Langkah akan terus diambil untuk menyediakan
lebih banyak premis perniagaan di lokasi strategik bagi usahawan
Bumiputera. Agensi seperti MARA, UDA Holdings Berhad (UHB) dan PKEN
serta pihak berkuasa tempatan akan membina dan membeli lebih banyak
premis perniagaan terutamanya di kawasan bandar dan perumahan baru.
4.40 Program pembangunan MPPB juga akan
mempercepat usaha mewujudkan bilangan usahawan kelas menengah
Bumiputera yang lebih ramai dan lebih berjaya. Langkah akan diambil
untuk meningkatkan keberkesanan usaha sedia ada dan melaksanakan
beberapa strategi baru untuk memperkukuh kedudukan perniagaan
Bumiputera termasuk penyediaan pembiayaan ekuiti. Lebih banyak syarikat
milik Kerajaan akan mengadakan program khas untuk mewujudkan usahawan
kelas menengah Bumiputera.
4.41
Dewan perniagaan dan persatuan perdagangan juga perlu memulakan program
baru yang dapat membantu secara berkesan bagi mewujudkan lebih ramai
usahawan Bumiputera yang berdaya tahan, berdikari dan bertaraf dunia.
Mereka perlu meningkatkan rangkaian niaga di kalangan ahli mereka serta
menyebarkan maklumat dan risikan pasaran, memperkenal amalan niaga yang
terbaik dan mempermudah urusan pemasaran. Untuk mendapat manfaat
daripada inisiatif sektor swasta ini, lebih ramai usahawan Bumiputera
digesa menyertai persatuan dan mengambil bahagian secara aktif dalam
aktiviti yang dijalankan.
Menghadapi Cabaran Globalisasi
4.42 Bagi
membolehkan Bumiputera menghadapi cabaran globalisasi, langkah akan
diambil untuk membimbing syarikat Bumiputera supaya berdaya saing dalam
pasaran tempatan dan antarabangsa. Adalah perlu untuk memulih,
menggabung dan menyusun semula usaha niaga Bumiputera sedia ada yang
kecil dan lemah supaya menjadi lebih teguh, cekap dan berdaya saing.
Syarikat Bumiputera dikehendaki mencapai saiz yang diperlukan atau
skala industri yang cekap dan berorientasikan eksport.
4.43
Syarikat Bumiputera perlu mengguna pakai piawaian yang lebih tinggi dan
mengamalkan peningkatan kualiti supaya mutu keluaran dan perkhidmatan
mereka dapat dipertingkatkan melalui program seperti kecacatan sifar
dan pembaziran minimum. Di samping itu, usahawan Bumiputera memerlukan
kemahiran yang baik dalam mengurus risiko dan berusaha untuk mencapai
piawaian yang lebih tinggi dengan mendapatkan persijilan yang berkaitan
daripada International Standardization Organization (ISO) dan piawaian
antarabangsa yang lain. Kerajaan akan menyokong usaha ini dengan
menyediakan bantuan secara terpilih melalui peruntukan khas di bawah
Tabung Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
4.44
Mengambil kira peningkatan proses globalisasi dan liberalisasi,
syarikat Malaysia, khususnya yang dimiliki oleh Bumiputera, perlu
berusaha dengan lebih berani untuk mendapatkan pasaran. Perbadanan
Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menyediakan
risikan pasaran serta memudah dan membantu usaha mempromosikan keluaran
Malaysia di luar negara. MATRADE juga akan menjalankan penyelidikan dan
tinjauan pasaran khas untuk membantu usahawan Bumiputera memasuki
bidang pasaran antarabangsa yang khusus.
Menggalakkan Penyertaan Bumiputera Dalam Ekonomi Berasaskan Pengetahuan
4.45
Selaras dengan penekanan yang diberikan terhadap ekonomi berasaskan
pengetahuan, langkah akan diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan
jurang pengetahuan dan jurang digital di antara penduduk luar bandar
dengan bandar. Antara strategi yang akan dijalankan termasuk
meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan miskin dan kumpulan
berpendapatan rendah dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, menyediakan
pendidikan dan latihan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dan meningkatkan capaian terhadap kemudahan infrastruktur maklumat
terutamanya di kawasan luar bandar dan di kalangan kumpulan yang belum
menikmati faedah pembangunan.
4.46
Bagi usahawan Bumiputera, mereka perlu memperluas skop aktiviti mereka
untuk meliputi bidang rekabentuk dan pembangunan produk serta
pembungkusan, pemasaran dan pengedaran melalui kerjasama dengan
universiti tempatan dan institusi lain. Syarikat Bumiputera,
terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perlu meningkatkan
penggunaan dan aplikasi ICT dalam proses pengeluaran serta pengendalian
operasi dalaman. Mereka juga digesa menyesuaikan perniagaan, di mana
yang boleh, dengan menggunakan komputer secara terus bagi mendapatkan
input dan memasarkan keluaran mereka. Penggunaan ICT yang lebih meluas
akan meningkatkan capaian syarikat Bumiputera terhadap sumber
pembiayaan baru serta mewujudkan rangkaian pasaran antarabangsa.
Kerajaan dengan kerjasama persatuan industri akan menyediakan latihan
dan kepakaran.
4.47
Kajian mengenai penyertaan Bumiputera dalam perusahaan ICT mendapati
kebanyakan perniagaan mereka adalah berskala kecil dengan hasil tahunan
kurang daripada RM500,000. Mereka juga beroperasi terutamanya sebagai
penjual semula perkakasan dan perisian komputer. Sebilangan besar
usahawan Bumiputera dalam perusahaan ICT merupakan pembekal khidmat
sejenis dan kebanyakan mereka bergantung kepada kontrak Kerajaan.
Usahawan Bumiputera menghadapi kesukaran menembusi pasaran bukan
Kerajaan disebabkan kekurangan kemahiran pengurusan perhubungan dengan
pelanggan. Cabaran yang dihadapi oleh Bumiputera dalam bidang ini
termasuk mendapatkan pengiktirafan sebagai peniaga ICT yang berwibawa
dan berkemampuan dalam pasaran, membuktikan keupayaan untuk bersaing di
pasaran terbuka dan meneroka peluang pasaran serantau bagi memperluas
asas pasaran mereka.
4.48
Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ICT, sebuah Majlis ICT
Bumiputera akan ditubuhkan untuk merancang dan membangun serta memantau
pelaksanaan Agenda ICT Bumiputera. Agenda ini akan merangkumi strategi
seperti meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perusahaan ICT,
membangunkan lebih ramai usahawan teknologi ICT Bumiputera serta
meningkatkan capaian terhadap modal dan maklumat pasaran. Usahawan
teknologi Bumiputera dikehendaki menggunakan sumber daripada modal
teroka serta pembiayaan asas, pembiayaan permulaan dan pembiayaan
pusingan kedua atau mezanin untuk membiayai usaha niaga mereka dalam
ICT. Kerajaan akan menubuhkan sebuah tabung ICT bagi menggalakkan
penyertaan Bumiputera dalam perusahaan ICT.
4.49
Usahawan teknologi Bumiputera mesti memanfaatkan peluang yang
diwujudkan dalam bidang multimedia dan ICT, kesihatan dan pendidikan
memandangkan negara berhasrat untuk menjadi pusat kecemerlangan
serantau bagi perkhidmatan tersebut. Langkah juga akan diambil bagi
memastikan syarikat Bumiputera memperoleh manfaat daripada pembangunan
ekonomi berasaskan pengetahuan dengan menyertai projek seperti
pembinaan infrastruktur maklumat, pengeluaran perkakasan dan
pembangunan perisian komputer.
Penyusunan Semula Guna Tenaga
4.50
Dalam tempoh RRJP2, dasar dan strategi penyusunan semula guna tenaga
ditumpu ke arah meningkatkan bilangan dan peratusan Bumiputera dalam
sektor ekonomi moden dan kategori pekerjaan peringkat tinggi
terutamanya dalam kategori profesional dan teknikal serta pentadbiran
dan pengurusan. Guna tenaga Bumiputera dalam kategori profesional dan
teknikal yang merangkumi guru dan jururawat telah meningkat daripada
60.5 peratus pada tahun 1990 kepada 63.9 peratus pada tahun 2000.
Manakala dalam kategori pentadbiran dan pengurusan, peratusan
Bumiputera telah meningkat daripada 28.7 peratus kepada 37 peratus
dalam tempoh yang sama. Sungguhpun bilangan Bumiputera telah meningkat
dalam kategori pekerjaan peringkat tinggi namun guna tenaga Bumiputera
masih tertumpu dalam kategori pekerjaan peringkat rendah umpamanya
pekerja pengeluaran dan pertanian seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-5.
Bagi pekerjaan profesional seperti akauntan, arkitek, peguam dan
jurutera, peratusan Bumiputera adalah rendah seperti ditunjukkan dalam
Jadual 4-6.
4.51
Di bawah DWN, mekanisme yang bersesuaian akan dibentuk untuk
meningkatkan lagi kadar penyertaan Bumiputera bagi memastikan corak
guna tenaga mencerminkan komposisi etnik penduduk. Sektor swasta perlu
mengambil lebih ramai profesional dan eksekutif Bumiputera dalam
syarikat mereka. Satu kajian akan dijalankan untuk menilai tahap guna
tenaga Bumiputera dalam sektor swasta bagi merangka langkah pemulihan
untuk mengatasi masalah penyertaan yang tidak seimbang. Langkah akan
terus diambil bagi memastikan Bumiputera memperoleh pendidikan dan
latihan yang bersesuaian untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan
yang berpendapatan tinggi. Keupayaan institusi pendidikan tinggi akan
dipertingkatkan bagi menyediakan lebih banyak peluang khususnya kepada
Bumiputera. Kedua-dua institusi pengajian tinggi awam dan swasta
dikehendaki mengeluarkan lebih ramai siswazah Bumiputera serta
memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Pada masa yang sama, peruntukan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akan
ditambah bagi menyediakan lebih banyak pinjaman kepada penuntut
Bumiputera yang memasuki IPTS. Pinjaman berkenaan akan meliputi semua
perbelanjaan termasuk perbelanjaan sara hidup terutamanya untuk
penuntut dari keluarga berpendapatan rendah. Di samping itu, Kerajaan
akan terus memberikan pinjaman kepada penuntut Bumiputera dan dari
keluarga berpendapatan rendah yang lain untuk meneruskan pengajian
tinggi di universiti ternama di luar negara.
4.52
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada 456 IPTS yang berdaftar
sehingga bulan Disember 1999, hanya 36.1 peratus daripada jumlah
enrolmen penuntut yang mengikuti kursus peringkat ijazah dan diploma di
IPTS merupakan penuntut Bumiputera seperti ditunjukkan dalam Jadual
4-7. Enrolmen pelajar Bumiputera dalam kursus sains dan teknikal adalah
rendah iaitu 36.2 peratus manakala bagi kursus bukan sains adalah
sebanyak 55.7 peratus. Langkah akan dijalankan untuk meningkatkan
enrolmen penuntut Bumiputera dalam kursus sains dan teknikal serta
dalam pengajian pengurusan dan perniagaan. Usaha akan diambil untuk
meningkatkan prestasi pelajar Bumiputera dalam mata pelajaran teknikal
di peringkat sekolah bagi membolehkan mereka menjadi penuntut cemerlang
di dalam mata pelajaran tersebut di institusi pengajian tinggi.
4.53 Penekanan yang lebih juga akan diberikan ke arah meningkatkan bilangan
pekerja yang berkemahiran dan
berkeupayaan teknikal tinggi terutamanya di kalangan Bumiputera,
menerusi program latihan vokasional dan teknikal di peringkat tinggi
dan lanjutan. Lebih banyak institusi latihan vokasional dan teknikal di
peringkat tinggi akan dibina. Mereka yang berkelayakan rendah akan
disediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran.
4.54
Peluang pekerjaan akan semakin berasaskan kepada pengetahuan dan
kemahiran yang mengikuti kehendak semasa. Selain daripada mencapai
kecemerlangan akademik yang lebih tinggi, penuntut Bumiputera perlu
memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran
untuk membolehkan mereka bersaing dengan berkesan bagi merebut peluang
pekerjaan. Tabung Pembangunan Kemahiran yang baru ditubuhkan akan terus
menyediakan bantuan kewangan kepada Bumiputera. Untuk meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, sektor
swasta juga dikehendaki mengambil lebih ramai siswazah Bumiputera
lepasan institusi pengajian tinggi awam.
Ke Arah Pembangunan Wilayah Yang Seimbang
4.55
Satu indeks komposit pembangunan1 (IKP) yang dibentuk berpandukan satu
set petunjuk ekonomi dan sosial telah digunakan untuk mengukur tahap
pembangunan serta mengkategorikan negeri kepada negeri lebih maju dan
kurang maju seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-8. Petunjuk ekonomi
termasuk keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita, kadar
pengangguran, kadar pembandaran, penggunaan telefon serta pemilikan
kenderaan berdaftar sementara yang lainnya
--------------------------------------------------------------
Indeks komposit pembangunan adalah
skor purata daripada 10 petunjuk sosioekonomi terpilih. Petunjuk
tersebut termasuk KDNK per kapita, kadar pengangguran, kadar
pembandaran, pendaftaran kereta dan motosikal bagi setiap 1,000
penduduk, telefon bagi setiap 1,000 penduduk, kadar kemiskinan, liputan
air paip, liputan bekalan elektrik, bilangan doktor bagi setiap 10,000
penduduk dan kadar kematian bayi bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.
dikategorikan sebagai petunjuk sosial.
Berdasarkan IKP, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau
Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah dikategorikan
sebagai negeri lebih maju manakala negeri-negeri lain sebagai negeri
kurang maju.
4.56 Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor mencatatkan mata
tertinggi berdasarkan IKP dan ini menggambarkan aktiviti ekonomi dan
pendapatan serta taraf dan kualiti hidup yang lebih tinggi di negeri
tersebut. Di antara tahun 1990 dengan tahun 2000, kesemua negeri lebih
maju mencatat perubahan mata IKP melebihi purata negara iaitu pada 29.0
mata kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semua negeri kurang maju
telah mencatatkan IKP yang lebih tinggi pada tahun 2000 berbanding
tahun 1990. Kedah, Perlis dan Pahang telah mencatatkan mata tertinggi
pada tahun 2000 dan ini menunjukkan tahap aktiviti ekonomi dan kualiti
hidup yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, Sarawak, Kedah, Terengganu
dan Perlis telah mengalami perubahan lebih besar dalam IKP di antara
tahun 1990 dengan tahun 2000, menunjukkan aktiviti ekonomi yang lebih
pesat di negeri tersebut berbanding negeri kurang maju yang lain.
4.57 Berdasarkan
pertumbuhan KDNK benar, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor,
Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu telah mengalami
pertumbuhan yang pesat melebihi kadar purata negara pada 7.0 peratus
dalam tempoh RRJP2 seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-9. Ini sebahagian
besarnya disebabkan oleh aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang
meluas di negeri tersebut. Dalam tempoh RRJP3, KDNK bagi semua negeri
dijangka berkembang dengan pesat. Peratusan KDNK di kalangan negeri
lebih maju dijangka meningkat daripada 67.6 peratus pada tahun 2000
kepada kira-kira 68.2 peratus pada tahun 2010, manakala peratusan bagi
negeri kurang maju merosot daripada 32.4 peratus kepada 31.8 peratus
dalam tempoh yang sama.
4.58
Dalam tempoh RRJP2, kadar peningkatan KDNK per kapita adalah daripada
kadar terendah 4.8 peratus yang dicatatkan oleh Sabah hingga kadar
tertinggi 10.5 peratus oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti
ditunjukkan dalam Jadual 4-10. Secara keseluruhan, KDNK per kapita bagi
Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Terengganu adalah lebih tinggi daripada kadar purata negara pada tahun
2000. Negeri-negeri tersebut dijangka dapat mengekalkan struktur yang
sama dalam tempoh 2001-2010 dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
mencatatkan KDNK per kapita tertinggi iaitu RM49,630 pada tahun 2010.
4.59
Dalam tempoh RRJP3, teras dasar pembangunan wilayah adalah untuk
mempercepat pembangunan negeri kurang maju dan mengurangkan
ketidakseimbangan sosioekonomi antara wilayah. Langkah yang akan
diambil termasuk menggalakkan penumpuan aktiviti ekonomi mengikut
negeri berdasarkan kepada kekuatan berbanding mereka, meneruskan
program penyebaran industri, memperluas kerjasama serantau di wilayah
berkenaan dan memajukan lagi infrastruktur serta meningkatkan liputan
kemudahan asas yang berkualiti terutamanya di negeri kurang maju. Usaha
memodenkan kawasan luar bandar juga termasuk meningkatkan capaian
terhadap infrastruktur ICT. Untuk memastikan pembangunan bandar dan
luar bandar yang tersusun dan bersistematik, pertimbangan terhadap
pembangunan spatial akan turut diberikan keutamaan. Berikutan itu,
semua negeri dijangka mencatatkan pertumbuhan positif dengan
peningkatan kualiti hidup yang ketara.
4.60
Bagi menggalakkan penumpuan aktiviti ekonomi, semua negeri akan
digalakkan untuk membangunkan kekuatan dalam bidang sedia ada serta
menambah keluaran yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi dan
aktiviti kelompok yang berkaitan. Bidang baru dan yang berpotensi akan
dikenal pasti untuk semua negeri berdasarkan kelebihan lokasi serta
pertimbangan sosioekonomi mereka. Antara tumpuan yang dikenalpasti
termasuk industri elektronik, perabut, automotif, kimia dan petrokimia
serta aktiviti industri pelbagai. Sementara itu, pembentukan kelompok
industri yang berkaitan akan digalakkan di semua negeri bagi
mengukuhkan asas industri, meningkatkan nilai ditambah dan menjana
aktiviti pelaburan baru. Pada masa yang sama, bagi memastikan negeri
kurang maju berupaya menjana pertumbuhan yang lebih cepat melalui
aktiviti pertanian, usaha gigih akan dijalankan untuk meningkatkan
produktiviti dan kecekapan dengan memperkenalkan kaedah perladangan
moden, menggunakan benih yang berhasil tinggi dan memperbaiki
pengendalian lepas tuai. Di samping itu, langkah bersesuaian akan
diperkenalkan bagi mempergiat aktiviti pemprosesan yang berasaskan
pertanian di negeri tersebut dengan membina kilang moden dan
berteknologi tinggi bagi mengeluarkan keluaran yang mempunyai nilai
ditambah yang lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan eksport.
4.61
Usaha gigih juga akan dijalankan bagi mengukuhkan asas ekonomi negeri
kurang maju dengan mempelbagaikan aktiviti kepada sektor pembuatan dan
perkhidmatan terpilih. Bagi menggalakkan aktiviti pembuatan di negeri
tersebut, program penyebaran industri akan dipergiat. Di bawah program
ini, industri tertentu akan digalakkan untuk ditempatkan semula di
negeri kurang maju. Pada masa yang sama, kelompok industri sokongan
juga akan digalakkan untuk membina kilang mereka di negeri kurang maju
bagi memperoleh faedah daripada kadar sewa dan kos operasi yang lebih
rendah. Kerajaan akan memperbaiki kemudahan di kawasan perindustrian
sedia ada dan mempertimbangkan pembinaan kawasan perindustrian baru
dengan infrastruktur berkualiti serta meningkatkan hubungan ke
pelabuhan, lapangan terbang dan kawasan maju yang lain. Selain daripada
menjadi pencetus kepada pertumbuhan dan menjana peluang pekerjaan baru
di negeri kurang maju, program penyebaran industri juga akan membawa
manfaat kepada negara hasil daripada sinergi yang dijana daripada
hubungan yang saling memerlukan ini. Program ini juga akan mengurangkan
tekanan terhadap pusat bandar dari segi penggunaan sumber,
infrastruktur dan ruang.
4.62
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008