BAB 03 : PERSPEKTIF EKONOMI MAKRO

I : PENDAHULUAN

3.01 Dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), usaha akan ditumpukan kepada meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi di peringkat antarabangsa ke tahap baru yang lebih tinggi melalui penggunaan langkah yang inovatif. Ia adalah untuk meletakkan ekonomi di atas landasan pertumbuhan yang mampan bagi mencapai status negara maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. Ini akan membolehkan Malaysia mengatasi cabaran serta merebut peluang dan faedah yang muncul daripada globalisasi dan berada di kedudukan yang lebih baik untuk menangkis dan mengurus sebarang kejutan luar.

II : PROSPEK EKONOMI MAKRO

Prospek Ekonomi Antarabangsa

3.02 Tinjauan jangka panjang untuk ekonomi antarabangsa adalah dijangka positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar dijangka meningkat dalam semua rantau utama. Ekonomi dunia dijangka berkembang sebanyak 2.3 peratus setahun di antara tahun 2000-2010. Peningkatan ini akan dirangsang oleh pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang berterusan, perkembangan yang kukuh di Eropah dan pemulihan di Jepun seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-1. Negara sedang membangun adalah dijangka berkembang pada kadar purata 3.7 peratus setahun berikutan asas ekonomi yang lebih kukuh di kebanyakan negara, penyatuan pemulihan di Asia dan Amerika Latin dan pertumbuhan sederhana di Timur Tengah dan Afrika.

3.03 Rantau Asia Timur dan Pasifik dijangka berkembang pada kadar 5.4 peratus setahun dalam tempoh 2000-2010 yang digalakkan oleh peningkatan pelaburan dalam negeri kasar pada kadar 32.6 peratus daripada KDNK dan



eksport pada kadar 8.5 peratus setahun. Dengan pertumbuhan penduduk yang stabil dan inflasi yang sederhana, KDNK dan penggunaan per kapita di rantau ini dijangka berkembang melebihi 5.0 peratus dalam tempoh yang sama dan menyediakan pasaran yang lebih luas serta peluang untuk perniagaan dan perindustrian.

3.04 Dalam tempoh RRJP3, jumlah perdagangan dunia dijangka berkembang pada kadar 6.8 peratus setahun seiring dengan peningkatan keluaran dunia. Di peringkat serantau, perlaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) akan menjadi pemangkin kepada perkembangan perdagangan. Prospek untuk liberalisasi perdagangan selanjutnya adalah kekal baik dengan kemajuan perlaksanaan Keistimewaan Tarif Berkesan yang Seragam (CEPT) sebagai alat utama merealisasikan AFTA. AFTA yang pada asalnya dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2008 akan dilaksanakan pada tahun 2003 dengan beberapa kelonggaran diberi kepada anggota baru. Di bawah CEPT, negara anggota ASEAN akan mengurangkan tarif antara rantau dan menghapuskan sekatan kuantitatif dan halangan bukan tarif yang lain. Ringkasan mengenai komitmen dan implikasi Malaysia kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia dan AFTA adalah ditunjukkan dalam Kotak 3-1.

3.05 Sebaliknya, wujud suasana ekonomi dan kewangan yang tidak seimbang dalam pertukaran matawang USD, Euro dan Yen adalah ketara dan memberi risiko yang berterusan kepada perkembangan ekonomi antarabangsa. Tambahan pula, kurangnya inisiatif membina untuk memperkukuhkan sistem kewangan antarabangsa terutama dari segi peningkatan pergerakan modal spekulatif jangka pendek terus menjadi sumber yang berpotensi untuk menyumbang kepada ketidakstabilan dan berulangnya krisis kewangan dan ekonomi. Di samping itu, pemulihan ekonomi Asia Timur akan bergantung kepada komitmen negara yang terjejas oleh krisis kewangan untuk terus mengambil langkah penyusunan semula ekonomi secara menyeluruh termasuk sektor kewangan mereka serta memulihkan kestabilan politik.

3.06 Prospek untuk pemulihan harga komoditi adalah terhad. Harga komoditi bukan minyak dijangka meningkat pada kadar purata 3.0 peratus pada nilai semasa (0.3 peratus pada nilai sebenar) dan berkemungkinan tidak mencapai kedudukan tertinggi tahun 1995-1996. Walaupun pertambahan permintaan daripada negara perindustrian akan membantu meningkatkan harga komoditi namun penawaran dijangka melebihi permintaan. Sebaliknya, harga minyak mentah yang mencapai harga tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada tahun 2000, akan menghadapi tekanan menurun yang berterusan kesan daripada pertumbuhan terhad





dalam permintaan minyak mentah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan meningkatnya persaingan daripada kedua-dua pengeluar tenaga minyak dan bukan minyak.

Teras Ekonomi Makro

3.07 Prestasi ekonomi Malaysia akan dipengaruhi oleh perkembangan persekitaran luar memandangkan ianya sangat berkait rapat dengan ekonomi antarabangsa. Ia akan terdedah kepada risiko kejutan ekonomi dan kewangan yang melepasi sempadan negara serta rantau dan sukar untuk diramal. Pencapaian sasaran pertumbuhan dan perubahan struktur ekonomi akan bergantung kepada keupayaan Malaysia untuk memperkukuhkan daya tahan dan daya saingnya.

3.08 Dalam tempoh RRJP3, tumpuan pengurusan ekonomi makro adalah untuk memperkukuhkan asas ekonomi supaya terus berkembang pesat di samping mampu menghadapi kitaran kemelesetan atau kejutan luar. Usaha akan diambil untuk memastikan negara mampu mencapai pertumbuhan mampan bagi jangka panjang dengan inflasi yang rendah dan harga yang stabil serta kedudukan sumber dan imbangan luar yang kukuh. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan juga akan menyediakan landasan mengerakkan produktiviti negara dan potensi keluaran untuk bergerak di atas laluan pertumbuhan yang lebih tinggi. Dalam hal ini, teras agenda ekonomi makro di bawah Dasar Wawasan Negara adalah seperti berikut:

o meningkatkan produktiviti melalui penambahan sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) kepada pertumbuhan;

o mencapai pertumbuhan yang didorong oleh permintaan dalam negeri;

o meningkatkan pertumbuhan yang diterajui oleh sektor swasta;

o mengurangkan kandungan import dan meningkatkan terimaan perkhidmatan bagi mengekalkan akaun imbangan pembayaran yang stabil;

o menggalakkan lagi pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian;

o mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan harga yang stabil;

o mencapai lebihan dalam akaun sektor awam; dan

o mengekalkan tahap tabungan dalam negeri yang sesuai sebagai satu sumber penting yang boleh dilabur.

Prospek Ekonomi Malaysia

3.09 Dalam tempoh RRJP3, KDNK Malaysia dijangka berkembang pada kadar tahunan purata sebanyak 7.5 peratus pada harga sebenar setelah mengambil kira ramalan pertumbuhan ekonomi dunia, tabungan dan pelaburan dalam negeri serta peningkatan produktiviti. Di samping itu, pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan akan memberikan Malaysia keupayaan membangunkan teknologi tempatan dan menghasilkan keluaran baru dan dengan itu menyediakan asas pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri. Bagi menyokong strategi berkenaan, beberapa langkah akan diperkenalkan untuk menambah bilangan sumber manusia yang mahir, mempercepatkan penerapan dan penggunaan teknologi, memperkukuhkan infrastruktur fizikal dan perkhidmatan sokongan serta penerapan dasar dan strategi yang menggalakkan perniagaan.

Sumber Pertumbuhan

3.10 Bagi mencapai pertumbuhan pesat yang mampan, produktiviti akan diperbaiki dengan penekanan terhadap peningkatan sumbangan TFP kepada keluaran. Dalam tempoh RRJP3, TFP disasarkan menyumbang sebanyak 42.5 peratus daripada pertumbuhan KDNK manakala faktor buruh menyumbang sebanyak 20.9 peratus dan faktor modal sebanyak 36.6 peratus seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-2. Peningkatan dalam teknologi dan pengurusan proses pengeluaran dijangka mendorong kepada pertumbuhan TFP. Di samping kesan limpahan pelaburan, peningkatan penggunaan komputer dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pertambahan keupayaan Internet akan memberi sumbangan yang ketara kepada peningkatan TFP. Sumbangan faktor buruh dijangka didorong oleh peningkatan kualiti dan produktiviti berikutan daripada penurunan kadar pertumbuhan tenaga kerja dan usaha Kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh asing tidak mahir dan separuh mahir dalam jangka sederhana dan jangka panjang. Usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan, menggiatkan latihan kemahiran dan menarik warga asing dan rakyat Malaysia di luar negara yang berkepakaran tinggi akan menyumbang kepada peningkatan kualiti buruh. Kecekapan modal yang diukur dalam nisbah tambahan modal kepada pengeluaran juga dijangka lebih baik dengan purata 4.6 dalam tempoh RRJP3 berbanding 6.1 dalam tempoh RRJP2.



3.11 Dalam tempoh RRJP3, usaha yang lebih giat akan diambil untuk merangsang pertumbuhan yang diterajui oleh sumber dan kekuatan dalam negeri di mana kebolehan tempatan dalam pembangunan inovasi dan teknologi serta sumber manusia akan menjadi penyumbang utama kepada pewujudan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi. Faktor tersebut akan memberi pulangan yang meningkat kepada pertumbuhan dan meninggikan potensi keluaran dalam ekonomi. Bagi membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri, usaha akan diambil untuk memperkukuhkan sains dan teknologi (S&T) serta penyelidikan dan pembangunan (P&P), meningkatkan keupayaan penyerapan teknologi, memperbaiki kecekapan dalam penggunaan sumber dan memupuk industri di mana Malaysia mempunyai faedah berbanding.

Perbelanjaan Sektor Swasta

3.12 Bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi, permintaan dalam negeri terutamanya pelaburan swasta akan diperteguhkan bagi mendorong pertumbuhan ekonomi di samping terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam bidang strategik. Penggunaan swasta dijangka meningkat sebanyak 7.4 peratus setahun dalam tempoh RRJP3 terutama hasil daripada pendapatan bolehguna yang tinggi dan kesan kekayaan yang positif seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-3. Penggunaan swasta per kapita pada harga semasa dijangka meningkat dua kali daripada RM6,198 pada tahun 2000 kepada RM13,303 pada tahun 2010 disertai oleh suasana inflasi yang rendah.

3.13 Pelaburan swasta dijangka memperlihatkan pertumbuhan yang kukuh dengan peningkatan pada kadar 12.7 peratus setahun pada harga sebenar dan dianggarkan mencapai jumlah RM1,051.9 bilion pada harga semasa. Sementara Malaysia akan terus menarik FDI ke dalam sektor pembuatan dan sektor yang berkaitan, penekanan akan diberikan kepada industri berintensif modal dan berteknologi tinggi serta aktiviti yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi dengan kandungan pengetahuan dan kemahiran yang kukuh. Pelabur asing juga akan digalak untuk menempatkan ibu pejabat serantau P&P serta menjalankan P&P mereka di Malaysia, terutamanya di Koridor Raya Multimedia (MSC). Tambahan pula, pelaburan semula akan digalakkan untuk mengembang dan mempelbagaikan operasi sedia ada.

3.14 Dalam tempoh RRJP3, usaha lebih giat akan diambil untuk menggalakkan pelaburan dalam negeri bagi mempercepatkan pembangunan industri tempatan serta mewujudkan syarikat multinasional (MNC) Malaysia bagi tujuan memperluaskan asas industri dan kandungannya. Ini juga akan menyumbang ke arah peningkatan daya tahan ekonomi. Perniagaan dan institusi tempatan akan digalak untuk berkerjasama dengan perniagaan asing bagi membentuk pakatan strategik dalam P&P, reka bentuk keluaran, pengeluaran, pengedaran dan pemasaran. Pembuatan barangan modal dan perantaraan di mana Malaysia mempunyai faedah bersaing akan dipergiatkan bagi melengkap dan mengganti barangan import berkenaan. Perniagaan Malaysia akan juga digalak untuk memperkukuhkan rantaian mereka dengan MNC bagi merebut peluang menjadi pembekal dan sebahagian daripada rantaian nilai antarabangsa. Mereka perlu membina keupayaan dalam bidang khusus serta melibatkan diri dalam aktiviti huluan dan hiliran dalam kelompok industri. Pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan digalakkan sebagai alat penting untuk meningkatkan rangkaian antara dan dalam industri serta memperkukuhkan asas perindustrian. Usaha yang lebih giat akan dilaksanakan bagi menyediakan persekitaran yang sesuai untuk inovasi dan menjana idea baru oleh syarikat swasta. Bagi tujuan ini, rangkakerja perundangan dan institusi akan dikaji semula bagi mewujudkan persekitaran dinamik untuk perniagaan dan inovasi. Syarikat tempatan yang berpotensi akan diberikan insentif yang sesuai bagi membolehkan mereka bersaing dengan jayanya.



Struktur Eksport dan Import

3.15 Bahagian eksport barangan pembuatan kepada jumlah eksport akan meningkat kepada 90.7 peratus manakala bahagian eksport pertanian dijangka berkurang kepada 4.3 peratus dan perlombongan berkurang kepada 2.1 peratus menjelang akhir tempoh RRJP3 seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-4. Walau



bagaimanapun, eksport keluaran pembuatan berasaskan pertanian dijangka meningkat dengan perkembangan pemprosesan keluaran pertanian dalam negeri serta pembangunan Malaysia sebagai hub makanan halal antarabangsa. Di antara sektor komoditi utama, minyak sawit, petroleum dan gas asli cecair (LNG) akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan eksport. Subsektor elektrik dan elektronik akan terus menjadi penyumbang utama kepada eksport barangan pembuatan yang berjumlah 75.6 peratus.

3.16 Berhubung dengan import, bahagian barangan modal dan perantaraan dijangka terus menjadi penyumbang terbesar iaitu kira-kira 87 peratus daripada jumlah import. Walau bagaimanapun, import barangan tersebut dijangka meningkat pada kadar yang lebih rendah dengan kadar pertumbuhan barangan modal merosot daripada 12.1 peratus setahun dalam tempoh RRJP2 kepada 8.5 peratus setahun dalam tempoh RRJP3 dan bagi barangan perantaraan daripada 16.2 peratus setahun kepada 9.7 peratus setahun dalam tempoh yang sama. Arah aliran ini menghasilkan peningkatan keupayaan dalam negeri untuk mengeluarkan sebahagian daripada barangan tersebut termasuk lebih banyak PKS yang mengeluarkan barangan perantaraan.

Pertumbuhan dan Perubahan Struktur Ekonomi

3.17 Sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian akan menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP3 seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-5. Sektor tersebut akan diperkukuhkan berikutan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan yang akan mempercepatkan penyerapan teknologi dan amalan pengurusan moden serta peningkatan nilai ditambah serta produktiviti. Sektor pembuatan dijangka berkembang pada kadar purata 8.3 peratus setahun dengan bahagiannya kepada KDNK meningkat kepada 36.0 peratus menjelang tahun 2010. Pemodenan kilang dan mesin serta latihan bagi pekerja berpengetahuan dan berkemahiran akan membolehkan penyerapan teknologi generasi baru. Walaupun sektor pembuatan akan terus tertumpu kepada keluaran elektrik dan elektronik, subsektor ini dijangka semakin dipelbagai dan canggih dan dengan itu menjana nilai ditambah yang lebih tinggi. Usaha akan diambil untuk mempercepatkan peralihan ke arah aktiviti dan keluaran yang bernilai tinggi serta memperkukuhkan rangkaian dalam subsektor dan dengan sektor-sektor ekonomi yang lain. Industri berasaskan sumber seperti petrokimia, farmaseutikal, oleokimia, keluaran kayu dan berasaskan kayu serta keluaran makanan akan digalakkan seiring dengan industri lain seperti automotif, aeroangkasa dan keluaran logam dibentuk.

3.18 Pembaharuan dasar dalam sektor pembuatan akan ditumpukan kepada penghapusan halangan dan peraturan ketat yang dihadapi oleh sektor tersebut serta memperluas dan memperdalamkan asasnya. Tujuannya adalah untuk mencapai pertumbuhan yang lebih pelbagai dalam sektor elektronik serta subsektor lain terutamanya pemprosesan makanan, industri kimia termasuk baja, keluaran kimia lain, keluaran plastik dan keluaran petoleum termasuk petrokimia. Memandangkan teknologi merupakan kunci bagi Malaysia mencapai aspirasi untuk menjadi negara maju, P&P akan digalakkan di kalangan industri Malaysia. Rangkaian atau kerjasama



di antara institusi penyelidikan sektor awam dengan industri akan digalakkan. Usaha akan dipergiatkan untuk menggalakkan penggunaan teknologi tempatan dan menghubungkan sumber teknologi dari kedua-dua sumber tempatan dan asing dengan pasaran di Malaysia. Melalui ICT, syarikat Malaysia akan juga terlibat dalam kontrak kecil di peringkat antarabangsa dan mendapatkan sumber luar untuk mengeluar dan memasarkan barangan pada harga yang berdaya saing. Terdapat juga liputan yang lebih luas bagi keluaran yang dapat memenuhi citarasa pengguna.

3.19 Bagi meningkatkan sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, usaha akan diambil untuk memperbaiki pengurusan kewangan dan kemahiran pemasaran mereka serta memperkukuhkan rantaian mereka dengan industri berskala besar. Satu kawasan perindustrian yang khusus yang disediakan dengan perkhidmatan sokongan juga akan diwujudkan untuk menempatkan PKS bagi tujuan mencapai ekonomi bidangan. Usaha juga akan diambil untuk membantu kelompok industri berkongsi sumber seperti maklumat, pengalaman dan inovasi serta mengeluarkan barangan dan perkhidmatan akhir secara bersepadu.

3.20 Dalam tempoh RRJP3, Kerajaan akan terus mengalakkan sektor perkhidmatan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan dan sumber eksport yang berpotensi bagi memperkukuhkan kedudukan imbangan pembayaran. Sektor perkhidmatan yang lebih cekap akan dibangunkan untuk menggalakkan kecekapan dan daya saing industri yang lebih tinggi. Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 8.4 peratus setahun dan bahagiannya kepada KDNK dijangka meningkat kepada 57.4 peratus setahun menjelang tahun 2010. Usaha akan diteruskan untuk membangunkan Malaysia sebagai hub serantau bagi pengangkutan udara dan laut serta sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Sektor pengangkutan dan komunikasi, kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, dan perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih pesat. Semasa ekonomi berasaskan pengetahuan berkembang, arus baru aktiviti perkhidmatan terutamanya yang berkaitan dengan ICT dijangka akan dijana.

3.21 Sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi akan didorong oleh lebih banyak keluaran yang mampu dan mudah diperolehi serta oleh pengangkutan yang lebih bersepadu. Kemajuan dalam sektor ini akan membolehkan negara membina kekuatannya sebagai sebuah pusat perdagangan serantau yang utama. Sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan akan memperolehi manfaat daripada usaha penyatuan dan penstrukturan yang berterusan. Pelan Induk Sektor Kewangan akan memandu pembangunan sektor kewangan dan insurans. Pembangunan pasaran bon dan penggunaan e-dagang yang lebih meluas akan mendorong pertumbuhan sektor tersebut. Sektor perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran akan digerak melalui kesan kekayaan yang positif serta usaha yang lebih giat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dan pusat membeli-belah. Negara akan terus dipromosikan sebagai pusat persidangan, konvensyen dan pameran antarabangsa. Di samping itu, promosi keluaran pelancongan seperti pelancongan berasaskan ekologi dan pelancongan berasaskan pertanian, tarikan budaya, riadah dan aktiviti berkaitan dengan sukan serta pelancongan yang berkaitan dengan pendidikan dan kesihatan dijangka akan terus mendorong peningkatan pertumbuhan sektor pelancongan. Pembangunan MSC sebagai hub teknologi maklumat dan e-dagang akan menyaksikan peningkatan pembangunan keluaran dan perkhidmatan multimedia termasuk pembangunan perisian yang diperlukan oleh industri yang terlibat dalam media elektronik, animasi dan penerbitan selepas penggambaran.

3.22 Sektor pertanian dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus setahun dengan minyak sawit terus kekal sebagai penyumbang utama. Pengeluaran makanan dijangka meningkat dengan lebih tinggi melalui penglibatan sektor swasta yang lebih luas dalam penanaman secara moden dan berskala besar khususnya di kawasan pengeluaran makanan kekal termasuk zon akuakultur serta taman teknologi pertanian dan taman hortikultur. Sementara sektor ini kekal sebagai pembekal utama makanan, sumber pertumbuhan baru akan digunakan sepenuhnya terutama dalam keluaran berasaskan herba yang bernilai tinggi, ikan hiasan dan bunga-bungaan serta pelancongan berasaskan ekologi dan pelancongan berasaskan pertanian. Walaupun pengeluaran getah dijangka terus mengalami kejatuhan, usaha akan diambil untuk meningkatkan daya majunya melalui peningkatan hasil, menggalakkan penanaman klon getah balak, menerap penggunaan teknologi baru dan menyatukan tanaman getah dengan aktiviti ekonomi lain yang berdaya maju. Usaha untuk menggalakkan pelaburan di luar negara bagi tanaman makanan dan perladangan akan diteruskan untuk memastikan bekalan bahan mentah kepada industri tersebut di samping mengambil peluang daripada kos pengeluaran yang lebih murah dan sumber yang tersedia di luar negara.

3.23 Sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar 6.6 peratus setahun dalam tempoh RRJP3. Penyumbang utama kepada pertumbuhan ini adalah daripada projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan yang bermula pada akhir tempoh RRJP2 seperti Rangkaian Keretapi Ekspres bagi Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan pembangunan Putrajaya serta projek-projek lain bagi memperkukuhkan infrastruktur sosial. Subsektor kediaman dan ruang komersil dijangka terus mengalami pertumbuhan yang perlahan dalam tempoh separuh pertama Rancangan terutamanya disebabkan oleh baki penawaran yang berlebihan dengan kediaman yang tidak dapat dijual sebanyak 45,500 unit dan kadar pengisian ruang komersil sebanyak 75 peratus pada pertengahan tahun 2000.

3.24 Selaras dengan Dasar Susutan Negara, sektor perlombongan dijangka merosot sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh RRJP3 dengan jangkaan penurunan keluaran minyak mentah pada kadar 7.5 peratus setahun. Walau bagaimanapun, subsektor minyak mentah akan kekal penting dengan sumbangannya sebanyak 79.8 peratus kepada keluaran sektor perlombongan. Di samping itu, dengan beroperasi sepenuhnya kilang LNG III Malaysia, subsektor gas dijangka berkembang sebanyak 7.9 peratus setahun dalam tempoh RRJP3. Malaysia dijangka menjadi pengimport bersih petroleum dalam tempoh separuh kedua RRJP3.

Perkembangan Harga

3.25 Dalam tempoh RRJP3, kadar purata inflasi dijangka mencapai 2.7 peratus setahun. Indeks harga import dianggarkan mencatatkan peningkatan sederhana pada kadar purata 2.2 peratus setahun. Dasar kewangan akan memastikan bahawa pertumbuhan penawaran wang dan penciptaan kredit tidak menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi. Kerajaan akan terus mengamalkan dasar fiskal berhemat untuk mencapai belanjawan seimbang dalam tempoh separuh kedua RRJP3. Usaha juga akan diambil untuk memastikan peningkatan upah adalah seiring dengan peningkatan produktiviti. Langkah untuk menggalakkan automasi dan teknik penjimatan buruh serta menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dan pesara ke dalam pasaran buruh akan mengurangkan tekanan terhadap permintaan buruh. Usaha untuk memastikan penawaran barangan dan perkhidmatan yang mencukupi serta mengurangkan kos pengedaran dan pemasaran akan mengurangkan kekangan penawaran.

Pembiayaan Pembangunan

3.26 Dengan pulihnya ekonomi, sektor awam dijangka kembali ke peranan asalnya sebagai pemudah cara kepada sektor swasta menerajui pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan akan kekal rendah di sekitar 14.0 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) dalam tempoh RRJP3 melalui pengurusan fiskal yang berhemat dan dengan penggunaan sumber yang cekap. Dalam tempoh tersebut, perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM250.0 bilion atau 5.1 peratus daripada KNK seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-6. Perbelanjaan pembangunan Kerajaan



Persekutuan akan terus ditumpukan kepada penyediaan dan penyelengaraan infrastruktur sosial dan fizikal untuk mengurangkan lagi kemiskinan, memperbaiki kemudahan sosial, memodenkan sektor keselamatan, mengurangkan ketidakseimbangan wilayah dan membantu daya usaha sektor swasta. Keutamaan yang tinggi juga akan diberi kepada pembangunan sumber manusia dan Kerajaan akan terus mengambil pekerja yang berkebolehan dan berkelayakan tinggi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

3.27 Bagi sektor awam keseluruhannya, perbelanjaan mengurus dijangka di sekitar 16.4 peratus daripada KNK seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-7. Perbelanjaan pembangunan sektor awam dijangka lebih tinggi iaitu pada RM517.4 bilion dalam tempoh RRJP3 berbanding dengan RM364.5 bilion dalam tempoh RRJP2. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 48.4 peratus merupakan perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan manakala sebahagian besar bakinya adalah daripada Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK). Walaupun pada harga



semasa, perbelanjaan pembangunan sektor awam adalah lebih besar berbanding dengan tempoh RRJP2, namun pada harga sebenar ianya adalah lebih rendah. Ini adalah selaras dengan dasar mengurangkan penglibatan langsung sektor awam dalam aktiviti ekonomi.

3.28 Dalam tempoh RRJP3, akaun sektor awam yang disatukan dijangka mencatatkan lebihan keseluruhan kira-kira RM74.1 bilion atau 1.5 peratus daripada KNK, kesan daripada pungutan hasil yang lebih baik dan peningkatan lebihan semasa daripada PABK. Lebihan ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan dengan itu sektor awam tidak perlu meminjam dengan banyak daripada sumber luar atau menyaingi sektor swasta.

Imbangan Pembayaran

3.29 Lebihan dalam akaun dagangan dijangka berkurang secara beransuransur dengan pertumbuhan eksport lebih perlahan berbanding dengan pertumbuhan import di sepanjang tempoh RRJP3 seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-8. Import yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh aktiviti pelaburan swasta yang tinggi yang memerlukan import barangan modal dan perantaraan. Walau bagaimanapun, usaha akan diambil bagi mengurangkan nilai import barangan perantaraan antara lain dengan menggalakkan penggunaan lebih banyak sumber tempatan dan mendapatkan sumber import yang lebih murah dari luar negara. Seiring dengan ini, keanjalan import dijangka berkurang daripada 1.6 dalam tempoh RRJP2 kepada 1.0 dalam tempoh RRJP3.

3.30 Defisit perkhidmatan dijangka semakin besar dalam tempoh separuh pertama RRJP3 tetapi pulih dalam tempoh separuh kedua. Defisit tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh bayaran tambang dan insurans serta pengaliran keluar pendapatan pelaburan yang lebih tinggi. Dalam hubungan ini, kecekapan dan keupayaan industri perkapalan dalam negeri akan dipertingkatkan. Bagi industri pengangkutan udara dan insurans, usaha akan diambil bagi memperkukuhkan lagi tahap kecekapan dan produktiviti mereka. Di samping itu, beberapa langkah akan diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti pelaburan asing serta mengurangkan penghantaran balik keuntungan ke luar negara dengan menggalakkan pelaburan semula.

3.31 Usaha untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pusat kecemerlangan pendidikan serantau akan menghasilkan penerimaan yang lebih tinggi daripada bayaran perjalanan dan pendidikan dan ini akan membantu mengurangkan defisit akaun perkhidmatan. Di samping itu, perubahan dalam struktur ekonomi yang dijangka akan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing dijangka mengurangkan bayaran pindahan.



3.32 Dengan defisit perkhidmatan yang berterusan, akaun semasa dijangka mencatatkan lebihan yang kecil pada tahun 2010. Bagi mengekalkan kedudukan imbangan pembayaran yang baik, Kerajaan, antara lain akan memperkenalkan satu gabungan dasar fiskal, kewangan dan kadar tukaran asing yang sesuai untuk menggalakkan pembentukan modal, daya saing eksport dan inflasi dalam negeri yang rendah.

Nisbah Harga Eksport-Import

3.33 Nisbah harga eksport-import dijangka merosot sebanyak 1.2 peratus setahun dalam tempoh RRJP3. Harga eksport dijangka mencatatkan peningkatan tahunan yang lebih kecil sebanyak 1.0 peratus berbanding 2.2 peratus bagi harga import. Kejatuhan nisbah harga eksport-import adalah berkaitan dengan jangkaan kejatuhan harga komoditi eksport yang utama seperti petroleum mentah, kayu balak, timah dan LNG. Walau bagaimanapun, harga eksport barangan pembuatan adalah dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus setahun dan ini dapat memperbaiki pendapatan dari keluaran pembuatan yang dieksport daripada 85.2 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2000 kepada 90.7 peratus pada tahun 2010. KDNK dari segi kuasa beli sebenar akan meningkat kira-kira 6.0 peratus iaitu pada kadar yang perlahan sedikit daripada kadar pertumbuhan keluaran sebanyak 7.5 peratus.

Imbangan Sumber

3.34 Profil jurang tabungan-pelaburan dalam tempoh RRJP3 memberi petunjuk yang baik kepada pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia. Tabungan sebagai peratusan daripada KNK dianggarkan pada kadar purata 33.9 peratus manakala pelaburan dianggarkan sebanyak 31.6 peratus mencatatkan lebihan tabungan daripada pelaburan kira-kira 2.3 peratus daripada KNK seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-9. Sektor awam dijangka mempunyai lebihan sebanyak 1.6 peratus daripada KNK sementara sektor swasta dijangka mempunyai lebihan sebanyak 0.7 peratus dalam tempoh tersebut.

Guna Tenaga

3.35 Dalam tempoh RRJP3 penawaran buruh dijangka berkembang sebanyak
3.1 peratus setahun. Dengan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 7.5 peratus setahun dan pertumbuhan permintaan buruh sebanyak 3.1 peratus setahun, kadar



pengangguran dijangka berkurang daripada 3.1 peratus pada tahun 2000 kepada 2.5 peratus menjelang tahun 2010. Sumber utama pertumbuhan guna tenaga adalah daripada sektor pembuatan yang dijangka berkembang pada kadar 4.1 peratus setahun dan sektor perkhidmatan pada kadar 3.7 peratus setahun. Guna tenaga dalam sektor kerajaan dijangka mencatatkan peningkatan yang lebih kecil iaitu 2.1 peratus setahun dalam tempoh RRJP3 berbanding dengan 4.1 peratus bagi sektor bukan kerajaan.

3.36Penekanan dalam pembangunan sumber manusia adalah bagi mewujudkan bilangan kritikal tenaga kerja mahir dan pekerja yang berpengetahuan, menggalakkan lebih banyak mobiliti buruh dan menyediakan pendidikan dan latihan berorentasikan pasaran untuk mengurangkan pengangguran berstruktur. Kadar penyertaan tenaga buruh dijangka meningkat dengan penyertaan lebih ramai wanita dan pesara serta fleksibiliti kerja yang meningkat seperti telekerja dan kerja sambilan. Pergantungan kepada buruh asing yang berkemahiran rendah juga akan dikurangkan manakala pekerja asing yang mempunyai kepakaran yang sesuai

III : PENUTUP

3.37 Tempoh RRJP3 akan memperlihatkan cabaran yang penting kepada ekonomi Malaysia. Dalam hubungan ini, Malaysia perlu mempertingkatkan daya tahan, produktiviti dan daya saingnya bagi mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi dan mampan supaya selaras dengan hasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Sasaran pertumbuhan akan diselaraskan dengan potensi keluaran dalam ekonomi dan disertai dengan inflasi yang rendah dan kestabilan harga serta kedudukan imbangan fiskal dan imbangan luar yang baik. Peningkatan kandungan pengetahuan dalam aktiviti ekonomi, peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber yang cekap akan menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan. Penyaluran pengetahuan kepada sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan akan meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan. Asas bagi strategi pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri juga akan diperkukuhkan dalam tempoh tersebut. Sektor swasta akan terus menjadi enjin pertumbuhan manakala sektor awam akan menyediakan persekitaran yang menggalakkan.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008