Bab 02 KAJIAN SEMULA RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KEDUA, 1991-2000
I : PENDAHULUAN
2.01 Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), 1991-2000, telah menjadi asas kepada pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), yang bertujuan untuk mencapai pembangunan seimbang. Rangka kerja umum pembangunan ekonomi yang diterapkan dalam DPN telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi moden yang berasaskan industri dan hasilnya telah menyaksikan kemajuan ekonomi dan sosial yang pesat. Pada tahun 1998, ekonomi telah mengalami kemelesetan yang paling teruk disebabkan krisis kewangan Asia. Kerajaan kemudiannya telah memperkenalkan beberapa langkah yang berjaya memulihkan ekonomi dan meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
II : TERAS DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL
2.02
Teras utama DPN adalah untuk mewujudkan keseimbangan yang optimum
antara matlamat pertumbuhan ekonomi dan ekuiti, memastikan pembangunan
yang seimbang antara sektor-sektor utama ekonomi, mengurang dan
akhirnya menghapuskan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan dari segi
sosial, ekonomi dan wilayah dan memastikan kesejahteraan hidup di
samping menerapkan nilainilai sosial dan kerohanian yang positif. DPN
juga memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia, menjadikan
sains dan teknologi sebagai sebuah komponen penting dalam perancangan
pembangunan dan memastikan perlindungan alam sekitar bagi mengekalkan
pembangunan negara yang mampan dalam jangka panjang.
2.03 Di
samping mengekalkan strategi asas Dasar Ekonomi Baru, DPN juga telah
memperkenalkan beberapa dimensi baru. Dimensi baru ini termasuklah
mengalihkan tumpuan strategi pembasmian kemiskinan ke arah menangani
masalah ketermiskinan, menekankan pewujudan guna tenaga dan pembangunan
pesat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang
aktif sebagai strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan
penyertaan Bumiputera yang bermakna dalam sektor ekonomi yang moden,
lebih bergantung kepada sektor swasta untuk mencapai objektif
penyusunan semula masyarakat dan mengukuhkan pembangunan sumber manusia
II : KEMAJUAN DAN PENCAPAIAN, 1991-2000
2.04
Dalam tempoh RRJP2, ekonomi Malaysia terus mengalami perubahan
struktur. Negara telah menyaksikan pengukuhan dalam asas sektor
pembuatan dari segi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi serta
komposisi industri. Saiz sektor perkhidmatan telah berkembang dan
kualitinya telah meningkat. Perubahan dalam struktur pengeluaran juga
telah dicerminkan oleh corak guna tenaga dan komposisi eksport.
Pencapaian Ekonomi Makro
2.05 Pada
keseluruhannya, ekonomi telah berkembang pada kadar purata 7.0 peratus
setahun dan mencapai matlamat bagi tempoh RRJP2 walaupun ekonomi
mengalami masalah krisis kewangan dalam tahun 1997-1998 seperti yang
dibincangkan dalam Kotak 2-1. Kadar pertumbuhan yang tinggi tersebut
dicapai dalam persekitaran kadar inflasi dan pengangguran yang rendah.
Pendapatan per kapita telah meningkat pada kadar purata 7.8 peratus
setahun dan bertambah dua kali ganda daripada RM6,298 kepada RM13,359
pada akhir tempoh RRJP2. Per kapita dalam kuasa beli pariti (PPP) telah
meningkat sebanyak 5.3 peratus setahun kepada USD8,852 atau 2.5 kali
lebih tinggi daripada per kapita pendapatan sebanyak USD3,516.
2.06
Dalam tempoh RRJP2, produktiviti faktor keseluruhan (TFP) telah
menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada pertumbuhan keseluruhan
sementara sumber utama pertumbuhan ialah tenaga buruh dan modal seperti
ditunjukkan dalam Jadual 2-1. Sumbangan yang tinggi daripada modal
adalah hasil daripada kadar pertumbuhan pelaburan yang pesat dalam
tempoh tujuh tahun pertama Rancangan, yang telah meningkatkan kapasiti
pengeluaran tetapi belum
menghasilkan pengeluaran sepenuhnya. Sesetengah pelaburan mempunyai
tempoh matang yang panjang terutamanya projek infrastruktur yang dibina
untuk memenuhi permintaan masa hadapan. Dalam tempoh separuh kedua
RRJP2, kejatuhan mendadak permintaan dalam negeri berikutan krisis
kewangan telah mengakibatkan lebihan kapasiti yang menyebabkan
penurunan TFP.
2.07 Dalam
tempoh 1990-1999, TFP bagi sektor pembuatan dianggar telah meningkat
sebanyak 5.1 peratus seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-2. Industri
makanan dan minuman, perabut, keluaran kaca dan tanah liat, jentera am,
jentera elektrik dan pembuatan lain telah mencatatkan kenaikan TFP yang
lebih tinggi semasa tempoh separuh pertama RRJP2, sementara industri
jentera am serta industri berasaskan sumber seperti tekstil dan
pakaian, keluaran kayu dan perabut mengalami pertumbuhan TFP yang lebih
tinggi semasa tempoh separuh kedua RRJP2. Dalam tempoh 1990-1999,
industri makanan dan minuman, perabut, keluaran kaca dan tanah liat,
jentera am, jentera elektrik dan pembuatan lain telah merekodkan
pertumbuhan TFP yang lebih pesat berbanding dengan pertumbuhan TFP
keseluruhan bagi sektor pembuatan. Prestasi TFP pada peringkat firma
dibincangkan dalam Kotak 2-2.
2.08
Nisbah tambahan modal kepada pengeluaran (ICOR) telah meningkat secara
purata daripada 3.3 pada tahun 1990 kepada 3.5 pada tahun 2000 dan
secara puratanya 6.1 bagi keseluruhan tempoh RRJP2. ICOR yang tinggi
tersebut menunjukkan kejatuhan yang mendadak dalam kecekapan modal
disebabkan oleh penggunaan kapasiti yang rendah semasa kejatuhan
ekonomi. Pelaburan yang besar dalam projek infrastruktur dan industri
berat yang mempunyai tempoh matang yang panjang turut menyumbang kepada
ICOR yang tinggi.
2.09
Dari segi permintaan, penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi ialah
perbelanjaan swasta serta eksport barangan dan perkhidmatan
bukan-faktor seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-3. Pelaburan swasta
berkembang pada kadar purata sebanyak 2.9 peratus setahun, jauh lebih
rendah daripada matlamat sebanyak 8.0 peratus setahun disebabkan oleh
penguncupan ekonomi yang teruk pada tahun 1998 seperti ditunjukkan
dalam Carta 2-1. Dalam tempoh tujuh tahun pertama RRJP2, pelaburan
swasta merupakan pemangkin utama pertumbuhan dan berkembang pesat pada
kadar 17.0 peratus setahun hasil daripada kedudukan ekonomi yang lebih
baik, kadar cukai syarikat yang lebih rendah dan peningkatan dalam
elaun pelaburan semula. Pelaksanaan pesat program penswastaan telah
menjana pelaburan dalam negeri terutamanya dalam sektor utiliti,
pengangkutan dan perkhidmatan sosial. Di samping itu, aliran masuk
pelaburan langsung asing (FDI) yang besar ke dalam sektor pembuatan
untuk peningkatan kapasiti dalam industri berorentasikan eksport
termasuk sektor minyak dan gas serta pelaburan dalam bidang yang
berintensif modal dan berteknologi tinggi turut menyumbang kepada kadar
pelaburan swasta yang tinggi. Galakan FDI telah diperkukuhkan dengan
pengenalan beberapa pakej insentif tambahan pada tahun 1996 untuk
menarik syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menubuhkan
operasi mereka dalam Koridor Raya Multimedia (MSC).
2.10
Penggunaan swasta telah berkembang pada kadar 5.5 peratus lebih rendah
daripada matlamat asal sebanyak 7.2 peratus setahun terutamanya
disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih berhemat. Usaha
Kerajaan bagi menggalakkan tabungan dalam negeri serta mengawal inflasi
juga telah menyumbang kepada perbelanjaan yang lebih rendah. Di samping
itu, kesan negatif kekayaan berikutan daripada krisis kewangan turut
mempengaruhi sentimen pengguna yang telah menyebabkan penguncupan dalam
perbelanjaan pada tahun 1998.
2.11
Pelaburan awam telah berkembang sebanyak 10.5 peratus setahun
berbanding dengan matlamat penurunan sebanyak 0.4 peratus setahun dalam
tempoh RRJP2. Kebanyakan daripada pelaburan awam telah dilaksanakan
oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) terutamanya Petroliam
Nasional Berhad (Petronas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom
Malaysia Berhad untuk membiayai program pengembangan dan pemodenan
terutamanya dalam tujuh tahun pertama RRJP2. Peningkatan ini juga
adalah hasil daripada pakej rangsangan fiskal yang dilancarkan oleh
Kerajaan pada awal tahun 1998 bagi menjana pemulihan ekonomi. Tumpuan
pelaburan sektor awam adalah untuk meningkatkan produktiviti dan
kecekapan bagi menyokong inisiatif sektor swasta dan memenuhi
permintaan yang meningkat bagi perkhidmatan yang lebih baik daripada
masyarakat yang semakin mewah. Penggunaan awam yang merupakan 20.5
peratus daripada perbelanjaan penggunaan telah berkembang pada kadar
5.5 peratus setahun selaras dengan dasar fiskal berhemat Kerajaan.
2.12
Eksport telah memainkan peranan yang semakin penting bagi menjana
pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP2 terutamanya dalam menerajui
pemulihan ekonomi keluar dari krisis kewangan. Sektor tersebut telah
berkembang pada kadar 16.7 peratus dalam tempoh RRJP2. Sumbangan
eksport daripada perkakasan dan peralatan jentera elektronik dan
elektrik semakin meningkat iaitu sebanyak 61.6 peratus daripada jumlah
eksport pada tahun 2000 berbanding 33.3 peratus pada tahun 1990 seperti
ditunjukkan dalam Carta 2-2. Permintaan yang kukuh terhadap produk ini
adalah terutamanya disebabkan oleh kebimbangan terhadap masalah Pepijat
Alaf (Y2K), pertumbuhan pesat Internet, telefon mudah alih dan
telekomunikasi serta keperluan meningkatkan teknologi bagi tujuan
meningkatkan daya saing. Import telah berkembang pada kadar purata 14.7
peratus setahun dalam tempoh RRJP2. Disebabkan kandungan import yang
tinggi dalam struktur pengeluaran, pertumbuhan pesat sektor pembuatan
telah menghasilkan import barangan modal yang lebih tinggi sebanyak
12.1 peratus dan barangan perantaraan sebanyak 16.2 peratus seperti
ditunjukkan dalam Carta 2-3.
2.13
Kedudukan imbangan pembayaran terus kukuh pada akhir tempoh RRJP2
berikutan pertumbuhan pesat barangan eksport seperti ditunjukkan dalam
Jadual 2-4. Akaun barangan telah mencatatkan lebihan bagi keseluruhan
tempoh RRJP2 dengan lebihan terbesar sebanyak RM86.5 bilion dicatatkan
pada tahun 1999. Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan masih mengalami
defisit terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih pendapatan
pelaburan yang kebanyakannya berpunca daripada penghantaran pulang
keuntungan dan dividen oleh pelabur asing. Di samping itu, bayaran yang
tinggi bagi tambang dan insurans, bayaran kontrak dan yuran profesional
serta penghantaran pulang pendapatan oleh pekerja asing juga menyumbang
kepada defisit ini. Walau bagaimanapun, dasar yang dilaksanakan bagi
mengukuhkan akaun perkhidmatan telah menghasilkan beberapa perubahan
struktur yang menggalakkan terutamanya dalam subsektor perjalanan dan
pendidikan serta pengangkutan lain. Subsektor pengangkutan lain telah
mencatatkan lebihan semenjak 1994 sementara kemasukan bersih subsektor
perjalanan telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Namun, lebihan
dalam akaun barangan telah dapat mengimbangi defisit akaun perkhidmatan
dan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam akaun semasa yang telah
beralih kepada kedudukan lebihan bermula pada tahun 1998 seperti
ditunjukkan dalam Carta 2-4.
2.14 Akaun modal jangka panjang dalam imbangan pembayaran telah mencatatkan
aliran masuk bersih sebanyak RM130.1
bilion dalam tempoh RRJP2. Ini berikutan daripada aliran masuk bersih
modal jangka panjang swasta berjumlah RM107.5 bilion hasil daripada
kemasukan pelaburan langsung jangka panjang. Di samping itu, modal
rasmi jangka panjang berjumlah RM22.6 bilion yang sebahagian besarnya
adalah pinjaman luar negeri oleh PABK untuk membiayai program
perkembangan dan permodenan mereka. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan
telah mencatatkan pembayaran bersih dalam tempoh RRJP2. Hasil daripada
kedudukan kewangannya yang kukuh berserta dengan iltizamnya untuk
mengawal hutang luar negeri pada tahap yang boleh diurus, Kerajaan
Persekutuan telah membuat pembayaran terdahulu secara terpilih bagi
pinjamannya yang lebih mahal dalam tempoh separuh pertama RRJP2. Oleh
yang demikian, hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan telah menurun
daripada RM24.7 bilion pada akhir tahun 1990 kepada RM13 bilion pada
akhir tahun 1997. Walau bagaimanapun, disebabkan krisis kewangan,
Kerajaan telah membuat beberapa pinjaman luar negeri yang berjumlah
sebanyak RM3.9 bilion dalam tempoh 1999-2000 bagi membiayai
perbelanjaan untuk pemulihan ekonomi. Berikutan itu, imbangan
keseluruhan dalam imbangan pembayaran yang mengambilkira akaun semasa
serta aliran modal jangka pendek dan panjang telah mencatatkan lebihan
sebanyak RM86.5 bilion. Rizab Bank Negara Malaysia telah meningkat
kepada RM113.5 bilion yang mampu menampung 4.5 bulan import tertangguh
pada akhir tempoh Rancangan.
2.15
Nisbah harga eksport dan import dalam tempoh RRJP2 telah meningkat
sedikit pada kadar 0.5 peratus setahun disebabkan harga yang tinggi
bagi komoditi eksport utama seperti minyak kelapa sawit, kayu balak,
kayu yang digergaji, petroleum dan gas cecair asli. Seiring dengan
aliran tersebut, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam kuasa beli
sebenar telah berkembang sebanyak 7.8 peratus setahun, lebih tinggi
daripada kadar pertumbuhan keluaran sebanyak 7.0 peratus setahun.
2.16
Pengukuhan pembiayaan awam telah diteruskan dalam tempoh RRJP2,
menghasilkan lebihan fiskal dalam tahun 1993-1997 berikutan pengurusan
fiskal berhemat dan program penswastaan. Krisis kewangan telah memaksa
Kerajaan melancarkan sebuah pakej rangsangan fiskal pada tahun 1998
bagi menampung kejatuhan yang ketara dalam pelaburan swasta. Namun
demikian, akaun sektor awam telah mencatatkan lebihan keseluruhan
sebanyak 1.3 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Pada masa
yang sama, defisit keseluruhan akaun Kerajaan Persekutuan berada pada
tahap 1.0 peratus daripada KNK. Walaupun peratusan hasil Kerajaan
Persekutuan kepada KNK telah menurun iaitu daripada 25.9 peratus pada
tahun 1990 kepada 19.9 peratus pada tahun 2000 ianya telah meningkat
pada kadar purata sebanyak 7.7 peratus setahun. Ini adalah berikutan
peningkatan kutipan hasil yang lebih tinggi dari cukai pendapatan
syarikat dan petroleum, cukai perkhidmatan dan jualan serta hasil bukan
cukai sejajar dengan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dalam
tempoh tujuh tahun pertama RRJP2 serta pemulihan dalam permintaan
aggregat dan harga minyak mentah yang lebih baik dalam tempoh
1999-2000. Saiz perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan dalam
peratusan kepada KNK juga menurun daripada 21.9 peratus pada tahun 1990
kepada 18.2 peratus pada tahun 2000. Emolumen yang merupakan komponen
terbesar dalam perbelanjaan mengurus meningkat sedikit daripada 8.0
peratus kepada KNK pada tahun 1990 kepada 8.1 peratus pada tahun 2000.
Di samping itu, peratusan penjawat awam, termasuk anggota tentera dan
polis, kepada jumlah penduduk telah menurun daripada 4.7 peratus kepada
4.2 peratus dalam tempoh yang sama.
2.17
Pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP2 dicapai dalam persekitaran
inflasi yang rendah dan harga yang stabil pada kadar purata 3.4 peratus
setahun, seperti ditunjukkan dalam Carta 2-5. Dalam tempoh separuh
pertama RRJP2, Kerajaan telah melancarkan pakej anti-inflasi yang
komprehensif untuk mengekalkan harga pada tahap yang rendah dan stabil.
Kerajaan, antara lain, telah melaksanakan dasar fiskal yang berhemat
dengan mengawal perbelanjaan mengurus dan menumpukan perbelanjaan
pembangunan kepada projek-projek yang dapat mengurangkan kekangan
infrastruktur dan bekalan. Duti import ke atas lebih daripada 3,000
barangan telah dikurangkan atau dimansuhkan untuk menurunkan harga dan
mengurangkan kos bagi menjalankan perniagaan. Di samping itu, kempen
anti-inflasi telah dilancarkan bagi mendidik orang awam mengenai punca
dan kesan inflasi. Walau bagaimanapun, kejatuhan mendadak nilai Ringgit
semasa krisis telah meningkatkan harga pengeluar dan pengguna. Untuk
menangani keadaan ini, Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah
gabungan fiskal, kewangan dan pentadbiran yang berjaya mengawal kadar
inflasi pada paras 2.2 peratus dalam tempoh 1999-2000.
2.18
Dalam tempoh RRJP2, negara telah mencapai satu tahap tabungan yang
tinggi pada kadar purata 38.0 peratus daripada KNK berbanding dengan
36.8 peratus bagi pelaburan. Peratusan tabungan kepada KNK meningkat
daripada
31.6 peratus pada tahun 1990 kepada 39.0
peratus pada tahun 2000 hasil daripada kejayaan kempen untuk
meningkatkan tabungan dalam negeri. Faktor-faktor yang menyumbang
kepada peningkatan kadar tabungan tersebut ialah pendapatan bolehguna
yang lebih tinggi, peningkatan sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja, perkembangan skim unit amanah, pengenalan instrumen simpanan
dan instrumen hutang swasta yang baru, peningkatan deposit dalam sistem
perbankan Islam dan nisbah pergantungan yang lebih rendah. Di samping
itu, lebihan sektor awam juga menyumbang kepada peningkatan tabungan
dalam negeri. Ini menghasilkan lebihan keseluruhan dalam kedudukan
sumber negara.
Guna Tenaga, Upah dan Produktiviti
2.19
Dalam tempoh RRJP2 peluang pekerjaan telah meningkat pada kadar tahunan
purata sebanyak 3.3 peratus. Oleh kerana kadar permintaan buruh
berkembang lebih cepat berbanding dengan pertumbuhan tenaga buruh,
kadar pengangguran berada pada tahap yang rendah iaitu pada purata 3.1
peratus dalam tempoh tersebut. Keadaan pasaran buruh adalah ketat
terutamanya dalam sektor pembinaan dan pembuatan. Oleh itu, sebagai
langkah sementara Kerajaan telah membenarkan pengambilan pekerja asing
mengikut keperluan.
2.20
Tempoh RRJP2 turut menyaksikan perubahan struktur dalam guna tenaga
berikutan daripada peningkatan dalam intensiti modal dan penggunaan
teknologi baru. Permintaan terhadap pekerja yang berkemahiran tinggi
dan berpelajaran juga telah meningkat. Jenis pekerjaan yang telah
berkembang paling pesat adalah daripada kategori profesional dan
teknikal serta kategori pengurusan dan pentadbiran yang meliputi 28.8
peratus daripada jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan dalam tempoh
RRJP2.
2.21
Produktiviti buruh yang diukur melalui KDNK bagi setiap pekerja
meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun terutamanya pada akhir tempoh
RRJP2 berikutan peralihan kepada proses pengeluaran berteknologi lebih
tinggi dan peningkatan penggunaan buruh. Kenaikan kadar upah di
kebanyakan sektor ekonomi adalah kecil dengan kenaikan tertinggi dalam
subsektor perkhidmatan lain yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7
peratus setahun. Walau bagaimanapun, kenaikan upah keseluruhan sebanyak
1.5 peratus setahun adalah lebih rendah berbanding dengan pertumbuhan
produktiviti bagi semua sektor yang menunjukkan penurunan kos seunit
buruh.
2.22
Untuk memastikan terdapat hubungan yang lebih rapat antara upah dan
produktiviti, Kerajaan telah memperkenalkan Garis Panduan Sistem
Reformasi Gaji pada tahun 1996. Sebanyak 114 buah syarikat telah
menerima pakai ciriciri sistem upah yang berkaitan dengan produktiviti
(PLWS) dalam perjanjian bersama mereka. Seminar, bengkel dan lawatan ke
syarikat-syarikat telah diadakan bagi menggalak firma untuk menerima
pakai PLWS. Di samping itu, Perbadanan Produktiviti Negara telah
menyediakan sebuah pengkalan data dalam Internet bagi menanda aras
produktiviti di sektor pembuatan dan pertanian.
Pertumbuhan dan Perubahan Sektor
2.23
Dalam tempoh RRJP2, sektor pembuatan telah berkembang sebanyak10.4
peratus setahun dan menerajui pertumbuhan ekonomi seperti ditunjukkan
dalam Jadual 2-5. Sektor tersebut telah menyaksikan peningkatan dalam
kecekapan pengeluaran dan keupayaan, perkembangan berterusan industri
berorientasikan eksport serta pasaran yang lebih pelbagai. Tumpuan yang
lebih telah diberikan kepada kualiti dan rekabentuk barangan, automasi
dan penggunaan mesin, persaingan harga dan sistem pengedaran. Kemajuan
telah dicapai dalam menggalakkan industri berintensif modal dan
berteknologi tinggi seperti yang ditunjukkan oleh jumlah pelaburan yang
diluluskan dalam sektor pembuatan. Selaras dengan dasar yang
menggalakkan industri berintensif modal, nisbah pekerja bagi setiap RM1
juta pelaburan telah menurun daripada 6.03 pada tahun 1990 kepada 2.62
pada tahun 2000.
2.24
Subsektor keluaran elektrik dan elektronik telah menjadi lebih
berintensif modal terutamanya dalam pengeluaran papan induk komputer,
media cakera keras dan wafer silikon. Subsektor tersebut telah
mempelbagaikan keluarannya kepada barangan yang mempunyai nilai
ditambah yang lebih tinggi terutamanya barangan elektronik pengguna dan
industri dan telah mengalami perubahan struktur dalam eksport. Eksport
kelengkapan dan komponen elektronik telah berkembang sebanyak 38.6
peratus setahun dalam tempoh 1991-2000 dan melebihi eksport
separa-konduktur dari segi kadar pertumbuhan dan saiz. Peratusan
kelengkapan dan komponen elektronik kepada jumlah keseluruhan eksport
elektronik telah meningkat daripada 23.9 peratus pada tahun 1990 kepada
57.4 peratus pada tahun 2000, sementara peratusan separa-konduktor
telah merosot daripada 76.1 peratus kepada 42.6 peratus. Di samping
itu, subsektor bahan keluaran kimia industri dan bahan kimia yang lain
merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran sektor pembuatan.
2.25
Sektor pembinaan telah berkembang pesat terutamanya dalam tempoh
19911997. Subsektor kejuruteraan awam telah dirangsang oleh penswastaan
projekprojek infrastruktur dan kejuruteraan awam yang besar seperti
jalan raya, lebuh raya, lapangan terbang, penghantaran tenaga,
telekomunikasi, pengangkutan rel dan pelabuhan. Perkembangan aktiviti
dalam subsektor kediaman telah disokong oleh peningkatan dalam
permintaan berikutan pendapatan bolehguna yang lebih tinggi.
Penggalakan industri pelancongan turut menyumbang kepada pembangunan
subsektor bukan kediaman terutamanya hotel, pusat peranginan dan padang
golf. Walau bagaimanapun, berikutan krisis kewangan, sektor pembinaan
telah menguncup sebanyak 23.0 peratus pada tahun 1998 dan 5.6 peratus
pada tahun 1999, sebelum mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus
pada tahun 2000.
2.26
Sektor pertanian telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus
setahun yang disumbang terutamanya oleh subsektor kelapa sawit dan
makanan. Dalam tempoh RRJP2, terdapat perubahan dalam penggunaan tanah
dan tenaga buruh daripada subsektor getah dan koko kepada subsektor
kelapa sawit. Sejajar dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga, pembangunan
sektor ini telah diorientasikan semula ke arah penggunaan sumber secara
optimum dalam kedua-dua subsektor komoditi industri dan makanan melalui
peningkatan produktiviti dan daya saing.
2.27
Dalam tempoh RRJP2, sektor perkhidmatan telah berkembang pada kadar
purata sebanyak 8.3 peratus setahun dan peratusannya kepada KDNK telah
meningkat kepada 51.7 peratus. Kerajaan telah mengambil pelbagai
langkah bagi membangunkan sektor perkhidmatan sebagai sumber baru
pertumbuhan di samping meningkatkan daya saing industri perkhidmatan
sebagai persediaan menghadapi persekitaran yang lebih liberal. Dasar
tersebut termasuklah penggalakan perkhidmatan berorientasikan eksport
dalam subsektor pelancongan, pendidikan, kesihatan, khidmat pakarunding
serta pengangkutan udara dan laut. Di samping itu, pembangunan
komunikasi bertahap tinggi, perkhidmatan berkaitan dengan komputer dan
perkhidmatan kewangan telah dipergiatkan.
2.28
Dalam sektor perkhidmatan, subsektor kewangan dan pengangkutan telah
berkembang pesat seiring dengan peningkatan perdagangan dalam negeri
dan antarabangsa. Pelbagai projek infrastruktur yang telah disiapkan
seperti lebuhraya, perkhidmatan keretapi komuter berelektrik, rel
transit ringan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) serta Pelabuhan
Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, di samping perkembangan pesat
bidang telekomunikasi telah memberangsangkan pertumbuhan subsektor
pengangkutan dan komunikasi. Bekalan tenaga dan air menjadi
perkhidmatan sokongan yang semakin penting bagi sektor industri yang
berkembang pesat. Di samping itu, pertumbuhan subsektor perdagangan
borong dan runcit, perhotelan dan restoran yang lebih kukuh menunjukkan
peningkatan ketibaan pelancong serta perbelanjaan pengguna berikutan
daripada pertambahan pendapatan hasil daripada pertumbuhan ekonomi.
Kemajuan Objektif Pengagihan
2.29
Terdapat hasil yang berbeza-beza dicatatkan dari segi pencapaian
objekif pengagihan. Dalam aspek pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula guna tenaga, negara telah mencapai perkembangan yang ketara
dalam tempoh RRJP2. Kemajuan juga telah dicatatkan dalam pembangunan
MPPB. Walau bagaimanapun, pemilikan ekuiti korporat oleh Bumiputera
telah menurun ke paras yang lebih rendah daripada paras yang dicatatkan
pada tahun 1990.
2.30
Pembasmian kemiskinan. Kadar kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia
telah menurun daripada 16.5 peratus pada tahun 1990 kepada 7.5 peratus
pada tahun 1999 seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-6. Bilangan isirumah
miskin telah berkurang sebanyak kira-kira 39 peratus kepada 351,100
pada tahun 1999. Kadar kemiskinan di kawasan luar bandar dan bandar
telah menurun hampir separuh daripada paras pada tahun 1990. Kadar
ketermiskinan di kalangan rakyat Malaysia telah jatuh daripada 3.9
peratus atau 137,100 isirumah pada tahun 1990 kepada 1.4 peratus atau
64,100 isirumah pada tahun 1999.
2.31
Pengagihan Pendapatan. Purata kasar bulanan pendapatan isirumah bagi
penduduk Malaysia telah meningkat dua kali ganda kepada RM2,472 pada
tahun 1999. Purata pendapatan isirumah 40 peratus terendah telah
meningkat sebanyak 11.7 peratus setahun, lebih rendah berbanding dengan
kadar yang dicatatkan oleh kategori pendapatan isirumah 20 peratus
teratas dan 40 peratus pertengahan. Pada tahun 1999, isirumah
berpendapatan 20 peratus teratas memiliki 50.5 peratus daripada
pendapatan berbanding 14.0 peratus yang dimiliki oleh isirumah
berpendapatan 40 peratus terendah. Pekali Gini, satu ukuran keseluruhan
jurang pendapatan mencatatkan peningkatan kecil daripada 0.4421 pada
tahun 1990 kepada 0.4432 pada tahun 1999 menunjukkan pengagihan
pendapatan yang merosot sedikit dalam tempoh RRJP2.
2.32
Kualiti Hidup. Secara keseluruhannya, kualiti hidup dalam tempoh
Rancangan menunjukkan peningkatan yang mantap di mana indeks komposit
Kualiti Hidup Malaysia meningkat sebanyak 12 mata seperti ditunjukkan
dalam Jadual 2-7. Peningkatan yang ketara telah dicatatkan dalam bidang
persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, pendidikan, perumahan
serta budaya dan masa lapang kecuali bidang keselamatan awam dan
kualiti alam sekitar berikutan terdapatnya lebih banyak laluan kepada
kemudahan-kemudahan yang lebih baik.
2.33
Kemajuan yang ketara telah dicapai dalam meningkatkan kualiti hidup di
semua negeri melalui penyediaan secara berterusan kemudahan sosial dan
infrastruktur yang mencukupi bagi penduduk di luar bandar dan bandar.
Ini telah dicerminkan oleh petunjuk sosioekonomi seperti bilangan
motokar dan motosikal yang berdaftar bagi setiap 1,000 penduduk,
telefon bagi setiap 1,000 penduduk serta kadar kematian bayi dan
bilangan doktor bagi setiap 10,000 penduduk. Dari segi kemudahan asas,
negeri Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu masih berada di bawah
kadar purata negara sebanyak 91.2 peratus bagi liputan bekalan air paip
manakala bekalan elektrik pula, hanya Sabah dan Sarawak masih berada di
bawah kadar purata negara. Kawasan yang sukar dilalui dan wujudnya
daerah yang terpencil telah menyukarkan penyaluran bekalan air paip dan
elektrik.
2.34
Penyusunan Semula Ekuiti. Pemilikan modal saham Bumiputera dalam sektor
korporat telah meningkat daripada 19.3 peratus pada tahun 1990 kepada
20.6 peratus pada tahun 1995 tetapi menurun semula kepada 19.1 peratus
pada tahun 1999 seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-8. Dalam nilai
mutlak, pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat daripada RM20.9 bilion
pada tahun 1990 kepada RM59.4 bilion pada tahun 1999. Pada akhir tempoh
RRJP2, sejumlah 19.6 peratus syarikat yang berdaftar dengan Pendaftar
Syarikat berada di bawah kawalan Bumiputera. Peratusan syarikat
Bumiputera dalam semua sektor ekonomi masih lagi rendah iaitu antara
8.7 hingga 32.6 peratus di mana kebanyakannya tertumpu dalam sektor
pertanian, pembinaan dan pengangkutan.
2.35 Dalam
tempoh separuh masa pertama RRJP2, pemilikan ekuiti bukan-Bumiputera
telah meningkat dengan ketara daripada RM50.8 bilion pada tahun 1990
kepada RM125 bilion pada tahun 1999, walaupun peratusan ekuiti saham
korporatnya telah menurun daripada 46.8 peratus pada tahun 1990 kepada
40.3 peratus pada tahun 1999. Galakan pelaburan asing untuk merangsang
pertumbuhan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi telah menghasilkan
peningkatan yang nyata dalam pemilikan modal ekuiti asing dalam sektor
korporat daripada 25.4 peratus kepada 32.7 peratus dalam tempoh yang
sama. Pemilikan asing yang tertinggi telah dicatatkan dalam bidang
seperti pembuatan, utiliti serta perdagangan borong dan runcit.
2.36
Program penswastaan terus menjadi alat untuk meningkatkan penyertaan
Bumiputera dalam sektor korporat. Dalam hal ini, pelbagai garis panduan
telah dirangka termasuk peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti
kepada Bumiputera oleh syarikat yang menjalankan projek penswastaan,
peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja kontrak projek
penswastaan utama kepada kontraktor Bumiputera dan keperluan bagi
projek besar yang diswastakan untuk menubuh program pembangunan vendor.
Sehingga bulan April 2000, sejumlah 180 buah syarikat telah diberi
konsesi oleh Kerajaan Persekutuan di mana 61.0 peratus daripadanya
diuruskan dan dikuasai oleh Bumiputera. Kebanyakan daripada projek
penswastaan yang di kawal oleh Bumiputera adalah dalam sektor
pembinaan, pembuatan, pengangkutan serta perdagangan borong dan runcit.
2.37
Penyusunan Semula Guna Tenaga. Usaha Kerajaan untuk meningkatkan
peratusan guna tenaga Bumiputera bagi pekerjaan di peringkat tinggi
telah diperlengkapkan lagi oleh inisiatif sektor swasta dengan
mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada Bumiputera yang layak.
Hasilnya, peratusan Bumiputera dalam kategori profesional dan teknikal,
termasuk guru dan jururawat telah meningkat daripada 60.5 peratus pada
tahun 1990 kepada 63.8 peratus pada tahun 2000. Peratusan Bumiputera
dalam kategori pentadbiran dan pengurusan juga meningkat daripada 28.7
peratus kepada 36.9 peratus dalam tempoh yang sama. Walau bagaimanapun,
peratusan tersebut masih rendah berbanding dengan kumpulan etnik yang
lain. Peratusan Bumiputera yang berdaftar dalam lapan kategori
pekerjaan professional iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi,
jurutera, peguam, juruukur dan doktor veterinar telah meningkat
daripada 20.7 peratus pada tahun 1990 kepada 28.9 peratus pada tahun
1999.
2.38
Guna tenaga Bumiputera dalam beberapa sektor utama terus meningkat,
menggambarkan pengukuhan dan peralihan dalam struktur guna tenaga
Bumiputera dari sektor pertanian ke sektor lain ekonomi terutamanya
sektor pembuatan, kewangan dan pengangkutan. Peratusan Bumiputera dalam
sektor pembuatan adalah sebanyak 49.1 peratus, lebih rendah berbanding
peratusan Bumiputera dalam sektor pertanian sebanyak 61.6 peratus.
Dalam sektor pembuatan, sebilangan besar Bumiputera bekerja dalam
industri seperti elektrik dan elektronik, tekstil dan keluaran tekstil,
kayu dan keluaran kayu serta keluaran makanan.
2.39
Pembangunan MPPB. Dalam tempoh RRJP2, tumpuan telah diberikan kepada
pembangunan MPPB yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan
melalui pelbagai program pembangunan keusahawanan. Sektor swasta telah
menyumbang kepada usaha tersebut dengan melaksanakan program seperti
pembangunan vendor dan francais serta usaha sama. Pelaksanaan program
untuk membangunkan MPPB juga telah menyumbang kepada peningkatan
bilangan usahawan Bumiputera dalam kedua-dua sektor korporat dan bukan
korporat. Terdapat kira-kira 697,000 usahawan Bumiputera yang berdaftar
dengan Pendaftar Perniagaan dalam tempoh RRJP2. Di samping itu,
sejumlah kira-kira 57,700 syarikat Bumiputera telah berdaftar dengan
Pendaftar Syarikat dalam tempoh yang sama. Walaupun sebilangan besar
usaha niaga Bumiputera telah dibangunkan dalam sektor ekonomi yang
moden dan dinamik, kesan keseluruhannya masih terhad memandangkan asas
perusahaan Bumiputera yang kecil di samping modal yang tidak mencukupi,
kekurangan pengalaman dan kemahiran pengurusan serta terlalu bergantung
kepada bantuan dan kontrak Kerajaan. Di samping itu, krisis ekonomi
pada tahun 1998 telah menjejaskan prestasi perusahaan Bumiputera.
Walaupun bilangan usaha niaga Bumiputera dalam sektor ekonomi yang
moden dan dinamik telah meningkat, sebilangan besar usahawan Bumiputera
tertumpu dalam sektor pembinaan dan aktiviti perkhidmatan di peringkat
rendah seperti pengagihan gas, operasi stesen minyak dan pengurusan
agensi pelancongan.
2.40
Teras pembangunan wilayah adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan
antara negeri serta antara kawasan bandar dan luar bandar. Dalam tempoh
RRJP2, negeri yang terlibat dalam aktiviti sektor moden telah berupaya
mencapai pertumbuhan yang pesat berbanding dengan negeri yang
bergantung kepada aktiviti pertanian. Ini telah meluaskan jurang
ekonomi antara negeri yang lebih maju iaitu Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan
Perak dengan negeri yang kurang maju iaitu Pahang, Kedah, Perlis,
Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Sabah. Di samping itu, nisbah jurang
pendapatan antara isirumah luar bandar dan bandar telah meningkat
daripada 1:1.7 pada tahun 1990 kepada 1:1.81 pada tahun 1999. Bagi
meningkatkan pembangunan negeri yang kaya dengan tanah dan sumber asli
seperti Sabah dan Sarawak, pelaburan dalam pengeluaran pertanian
terutamanya tanaman estet telah digalakkan. Begitu juga penyatuan tanah
dan pengeluaran tanaman secara komersil telah digalak untuk
mengembangkan ekonomi luar bandar. Sejumlah 744,350 hektar tanah telah
disatukan, ditanam semula dan dipulihkan dalam tempoh RRJP2.
2.41
Bagi mempergiatkan lagi pembangunan luar bandar, Falsafah Baru
Pembangunan Luar Bandar telah diperkenalkan di mana orientasinya telah
beralih daripada pembangunan fizikal kepada penekanan yang seimbang
bagi kedua-dua pembangunan manusia dan fizikal. Di samping itu,
badan-badan berkanun dalam sektor pertanian telah diperkemas dan
diperkukuhkan bagi membolehkan mereka menyumbang dengan lebih berkesan
kepada pembangunan luar bandar. Dalam hal ini, beberapa agensi telah
diswasta atau dirombak. Dua buah lembaga pembangunan wilayah iaitu
Lembaga Pembangunan Pahang Tenggara dan Lembaga Pembangunan Jengka
telah diswastakan sementara unit pengurusan bagi lima projek
pembangunan integrasi pertanian di luar kawasan jelapang padi telah
ditutup.
2.42
Peluang ekonomi yang lebih banyak di pusat-pusat bandar terus menjadi
daya tarikan penghijrahan masuk migran yang seterusnya telah
meningkatkan pemusatan penduduk di kawasan tersebut. Pada tahun 1991,
kawasan bandar telah didefinasikan semula dengan mengambil kira
penggabungan kawasan dan kawasan binaan. Dengan itu, saiz penduduk
bandar telah meningkat daripada 8.9 juta pada tahun 1991 kepada 14.4
juta pada tahun 2000 dan kadar perbandaran telah meningkat daripada
50.7 peratus pada tahun 1991 kepada 61.8 peratus pada tahun 2000.
Pertumbuhan pesat sesetengah bandaraya dan bandar besar telah memberi
tekanan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan
infrastruktur dan sosial yang berkualiti. Sebagai tindak balas kepada
peningkatan dalam kadar perbandaran, usaha telah diambil bagi
memperbaiki perkhidmatan di bandar dan keupayaan pengurusan pihak
berkuasa tempatan. Dalam tempoh RRJP2, Kota Kinabalu dan Shah Alam
telah diisytiharkan sebagai bandaraya dan Majlis Daerah seperti Ampang
Jaya, Selayang, Subang Jaya, Temerloh dan Kluang telah dinaikkan taraf
kepada Majlis Perbandaran. Di samping itu, Kerajaan telah melaksanakan
dasar untuk memperluaskan pembangunan di luar kawasan pusat bandar yang
sedia ada ke kawasan sekelilingnya seperti Prai, Serdang, Senawang dan
Pasir Gudang.
2.43
Pembinaan dan menaik taraf jalan raya dan lebuh raya seperti Lebuhraya
Utara-Selatan, Lebuhraya Lembah Klang Utara dan Lebuhraya
Damansara-Puchong telah menghasilkan lebih banyak pembangunan di
beberapa bandar yang sedia ada seperti Nilai, Bandar Baru Kelang dan
Bandar Bukit Puchong serta penubuhan bandar baru seperti Kota Kemuning.
Di samping itu, tempoh tersebut turut menyaksikan pembangunan beberapa
inisiatif baru termasuk pembangunan bandar yang mempunyai ciri-ciri
istimewa seperti Taman Hi-Tech Kulim, Putrajaya, Cyberjaya dan Kertih.
2.44
Dalam tempoh RRJP2, kerjasama ekonomi rantau kecil dengan negaranegara
jiran telah digalakkan lagi dengan penubuhan tiga Kawasan Pertumbuhan
Segitiga iaitu Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Singapura,
Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand dan Kawasan
Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina. Penubuhan
kawasan segitiga tersebut telah membuka peluang perdagangan dan
pelaburan baru di kalangan negara yang turut serta. Sektor swasta telah
diberikan peranan utama sementara kerajaan negara yang terlibat telah
bertindak sebagai pemudahcara dalam pembangunan dan pelaksanaan
projek-projek usaha sama dalam kawasan tersebut. Sebuah mekanisma
perundingan tiga peringkat yang melibatkan sektor awam dan swasta juga
telah diwujudkan bagi memperkemaskan prosedur serta memudahkan
perdagangan dan perniagaan dalam kawasan berkenaan.
IV : PENUTUP
2.45 Strategi serta dasar RRJP2 telah menyumbang ke arah pengukuhan dan pemodenan asas industri negara. Negara telah mencapai pertumbuhan yang pesat walaupun dilanda krisis kewangan pada tahun 1997-1998. Ini telah diiringi oleh pertambahan yang ketara dalam tahap pendapatan dan peningkatan dalam kualiti hidup rakyat Malaysia dengan kemajuan yang nyata dalam pengurangan kadar kemiskinan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008