BAB 01 : MENINGKATKAN KEUTUHAN Pt 2

Membangunkan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan

1.64 Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, aktiviti perolehan, penggunaan dan penyebaran pengetahuan menyediakan asas kepada pertumbuhan. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan melibatkan peningkatan nilai ditambah semua aktiviti produktif melalui penggunaan pengetahuan di samping mewujudkan
industri baru berintensifkan pengetahuan. Ia akan mengukuhkan daya saing Malaysia dan membuka peluang baru untuk negara. Antara peluang yang wujud adalah meningkatnya perdagangan dan pelaburan antarabangsa, perolehan teknologi yang lebih mudah, memungkinkan negara melonjak untuk merapatkan jurang dengan negara maju, wujudnya landasan bagi membentuk pakatan strategik dengan peserta utama dalam industri terpilih serta mengembangkan pelaburan yang sedia ada dan menjana bidang baru dalam pelaburan. Peningkatan penggunaan pengetahuan beserta tenaga kerja yang lebih mahir akan menyumbang ke arah peningkatan tahap produktiviti dan menganjak potensi kemungkinan pengeluaran ke tahap lebih tinggi.

1.65 Pembangunan dan penggunaan ICT dan e-dagang akan memudahkan pembentukan sistem maklumat yang cekap dan terkini untuk menyokong perdagangan dan pelaburan. Ini akan membolehkan rakyat Malaysia mencari pasaran dan rakan dagang baru untuk eksport, mendapatkan input pada harga paling kompetitif, menubuhkan perusahaan di luar negara untuk meningkatkan daya saing. Ekonomi berasaskan pengetahuan akan menjana aktiviti baru untuk pelaburan dalam industri sedia ada dan industri baru hasil daripada pengenalan teknologi tinggi dan proses pengeluaran yang berintensifkan pengetahuan.

1.66 Untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, satu pelan induk untuk melicinkan proses tersebut akan diperkenalkan. Antara bidang kritikal yang akan diberi penekanan adalah pembangunan sumber manusia, S&T dan P&P, infrastruktur maklumat dan pembiayaan. Di samping itu, usaha akan diambil untuk mengubah cara pemikiran setiap lapisan masyarakat terutamanya sektor korporat agar lebih mengguna pakai IT dalam urusan perniagaan dan operasi dalaman. Budaya menimba pengetahuan secara berterusan akan digalak untuk membangunkan masyarakat yang sentiasa belajar. Sementara usaha diambil untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, langkah yang selari dengannya akan diperkenalkan untuk memastikan perkembangan tersebut tidak mewujudkan jurang pengetahuan terutamanya di antara masyarakat bandar dengan luar bandar serta di kalangan kumpulan pendapatan yang berbeza.

1.67 Ekonomi berasaskan pengetahuan memerlukan kerjasama erat di kalangan sektor awam, swasta dan NGO. Landasan untuk kerjasama tersebut telah sedia wujud di bawah mekanisme Persyarikatan Malaysia di mana Majlis Perdagangan Malaysia menjadi peneraju utama. Sektor awam akan berperanan sebagai penyokong dengan menyediakan persekitaran yang sesuai serta bertindak sebagai pemangkin kepada sektor swasta bagi menerajui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Perlindungan hak harta intelektual serta kerahsiaan dan keselamatan akan diperkukuhkan untuk mengggalakkan inovasi dan meningkatkan aliran maklumat. Kerajaan, sektor swasta dan NGO akan bekerjasama untuk merapatkan jurang digital di antara bandar dengan luar bandar serta kumpulan pendapatan berbeza supaya mereka yang kurang berpeluang juga mendapat laluan saksama terhadap peluang baru yang dijana oleh ekonomi berasaskan pengetahuan.

Memperkukuhkan Pembangunan Sumber Manusia

1.68 Kemampuan dan keupayaan Malaysia memperolehi dan mengguna pengetahuan dan teknologi baru akan ditentukan oleh kualiti sumber manusianya. Tenaga buruh yang cekap, berdisiplin dan berkemahiran tinggi dengan nilai etika dan moral yang kukuh serta sanggup berusaha untuk mencapai kecemerlangan perlu dibangunkan. Bagi menghadapi cabaran globalisasi, rakyat Malaysia perlu diperlengkapkan dengan asas pendidikan dan latihan yang kukuh serta mempunyai pelbagai kemahiran umum termasuk kebolehan berkomunikasi dan menguasai bahasa. Usaha akan diambil untuk meningkatkan peluang pendidikan dan latihan serta merapatkan jurang prestasi di antara sekolah bandar dengan luar bandar. Lebih banyak sekolah yang mempunyai kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik serta asrama akan dibina di luar bandar dan kawasan terpencil untuk menyediakan persekitaran yang lebih menggalakkan bagi pelajar. Di samping mengekalkan kecekapan yang tinggi dalam Bahasa Malaysia di kalangan pelajar, tahap kefasihan berbahasa Inggeris dan bahasa asing yang lain juga akan ditingkatkan.

1.69 Untuk memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan, satu anjakan paradigma dalam dasar dan strategi pembangunan sumber manusia perlu dilakukan. Sistem pendidikan dan latihan akan diorientasi semula supaya menjadi lebih berkesan dalam menyampaikan kemahiran serta menumpukan kepada bidang yang diperlukan oleh ekonomi. Kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kemudahan dan infrastruktur serta mempergiatkan penggunaan ICT di semua sekolah dan institusi. Penekanan yang lebih juga akan diberi kepada usaha meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran matematik, sains dan bahasa asing.

1.70 Penyertaan sektor swasta akan digalakkan lagi untuk melengkapi usaha sektor awam dalam bidang pendidikan tinggi bagi menyediakan lebih banyak
tempat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari pelajar yang layak serta dapat memenuhi keperluan sumber manusia terutamanya dalam bidang S&T. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan agar institusi tersebut menyediakan pendidikan yang berkualiti pada kadar yang berpatutan.

1.71 Malaysia juga akan dibangunkan sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Keupayaan institusi pendidikan tinggi awam akan dipertingkatkan dan ditumpukan kepada program teknologi dan bidang yang baru. Di samping menggalakkan institusi pendidikan swasta membangunkan bidang khusus yang mana mereka mempunyai kelebihan bagi menarik pelajar asing, universiti awam pula akan membangunkan pusat kecemerlangan dan bertindak sebagai tempat percambahan inovasi dan pembangunan teknologi tempatan. Universiti akan digalak untuk bekerjasama dengan industri bagi menjalankan penyelidikan yang mempunyai potensi komersil. Untuk memastikan semua institusi pendidikan tinggi diiktiraf di peringkat antarabangsa, satu sistem penarafan berasaskan norma sebanding dengan yang digunakan oleh universiti ternama akan diwujudkan untuk menentukan tingkatan taraf institusi tersebut.

1.72 Pembelajaran sepanjang hayat akan diperkenalkan untuk meningkatkan secara berterusan kualiti tenaga kerja yang diperlukan sejajar dengan perubahan teknologi agar pengangguran struktur dapat diminimumkan. Pendidikan jarak jauh dan pembelajaran secara maya akan dibangunkan sebagai satu elemen penting dalam meneruskan pengajian di tempat kerja. Sehubungan dengan ini, sektor swasta akan digalak untuk menyediakan latihan berasaskan perusahaan, program pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran melalui laman web terutamanya dalam bidang teknikal.

1.73 Kerajaan akan turut menggalakkan pembangunan seni kreatif dan pementasan serta mengasah bakat dalam bidang tersebut. Ini adalah sejajar dengan usaha untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Malaysia yang kaya serta memupuk masyarakat yang menghargai kesenian. Pembangunan kesenian bukan sahaja dapat menyediakan ruang untuk individu yang berbakat mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing tetapi juga turut menyumbang kepada gaya hidup rakyat Malaysia yang bersemangat dan bertenaga. Artis dan penghibur Malaysia yang cemerlang akan juga diberi peluang untuk mengembangkan bakat mereka sepenuhnya dan mencapai pengiktirafan dunia.

Membangunkan Satu Generasi Belia Yang Berdaya Tahan

1.74 Untuk menghadapi cabaran yang muncul daripada pembangunan ekonomi dan globalisasi yang pesat serta menyumbang secara berkesan kepada pembinaan bangsa, golongan belia perlu dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang bersesuaian serta nilai yang baik. Peluang mereka bagi mendapatkan pendidikan dan latihan akan diperbaiki dengan penekanan khusus kepada mencapai tahap celik teknologi maklumat (IT) yang tinggi supaya mereka boleh merebut peluang yang dijana dalam proses pembangunan. Usaha akan diambil untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan dan pengurusan di kalangan golongan belia bagi memupuk minat mereka dalam bidang perniagaan di peringkat awal serta meningkatkan bilangan belia yang terlibat dalam perdagangan dan industri. Penekanan akan juga diberi untuk membentuk satu generasi pemimpin muda dan dinamik yang mampu menggembleng belia untuk memberi sumbangan positif kepada negara.

1.75 Golongan belia akan diberi bimbingan sewajarnya untuk membangunkan nilai dan sikap yang baik. Mereka akan dididik untuk menghormati ibubapa mereka, orang yang lebih tua, guru, institusi dan undang-undang negara. Di samping usaha untuk memperbaiki diri, mereka mesti ditanamkan dengan semangat sukarela dan berkeinginan untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. Tahap kesedaran sivik juga mesti dipertingkatkan. Keinginan untuk meningkatkan pengetahuan dan mencapai kecemerlangan perlu dipupuk sebagai nilai utama. Golongan belia juga perlu disemai dengan nilai moral dan etika yang kukuh dan menghindari daripada aktiviti yang bertentangan dengan kesejahteraan peribadi mereka dan kebajikan negara. Usaha akan dipergiat bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam tabiat buruk seperti penyalahgunaan dadah, perjudian, kegiatan samseng dan aktiviti jenayah yang lain.

1.76 Di samping itu, golongan belia perlu melibatkan diri dengan lebih aktif dalam kegiatan sukan serta mencapai kecemerlangan ke tahap dunia dan membawa kebanggaan kepada negara. Pada asasnya, nilai utama tersebut akan membendung belia daripada pengaruh negatif dan membolehkan mereka membuat pertimbangan yang baik dalam memilih cara hidup dan amalan sosial. Bagi tujuan tersebut, keluarga, masyarakat, serta NGO dan pertubuhan belia perlu mengambil peranan yang lebih aktif untuk melengkapi usaha Kerajaan.

Meningkatkan Peranan Wanita Dalam Pembangunan

1.77 Ekonomi yang berdaya tahan dan berdaya saing tidak dapat diwujudkan melainkan potensi semua rakyat digunakan dengan sepenuhnya. Sehubungan dengan itu, peluang pekerjaan, perniagaan dan aktiviti sosial akan disediakan tanpa mengira gender. Peluang yang lebih banyak bagi latihan dan latihan semula akan meningkatkan peluang dan mobiliti pekerjaan. Maklumat mengenai pasaran buruh dan peluang untuk lebih maju dalam pendidikan dan perniagaan akan menjadi lebih mudah diperolehi melalui penggunaan ICT. Pada masa yang sama, penyertaan wanita terutamanya mereka yang mempunyai komitmen keluarga akan dipertingkatkan dengan penggunaan waktu kerja anjal yang lebih meluas, penyediaan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dan membolehkan mereka bekerja dari rumah.

1.78 Keusahawanan di kalangan wanita akan digalakkan secara aktif dengan menyediakan lebih banyak maklumat mengenai cara memulakan perniagaan. Bank dan institusi kewangan akan digalak untuk menyediakan pinjaman bagi membantu wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan. Ini akan dilengkapi dengan usaha untuk membangunkan usahawan wanita melalui penyediaan bantuan bagi menjalankan perniagaan dari rumah. Organisasi Kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan serta pertubuhan wanita akan menganjurkan kursus untuk menggalak keusahawanan di kalangan wanita. Semua bentuk diskriminasi yang berasaskan gender dan berat sebelah yang membataskan sumbangan wanita sepenuhnya akan dikenalpasti dan dikurangkan secara progresif samada melalui perundangan ataupun pendidikan.

Meneruskan Pembangunan Alam Sekitar Yang Mampan

1.79 Dalam tempoh RRJP3, Kerajaan akan berusaha untuk memastikan alam sekitar yang bersih, sihat dan produktif serta mampu memenuhi keperluan dan aspirasi negara. Kerajaan akan meneroka peluang untuk melipatgandakan faedah, mengenalpasti dan melaksanakan langkah yang berhemat dan keberkesanan kos bagi menggerakkan Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih mampan dan berdaya tahan. Pembangunan ekonomi yang mampan dari segi sosial dan alam sekitar akan dapat dicapai dengan menerima pakai gabungan dasar, amalan dan teknologi yang bersesuaian yang dapat mengukuhkan lagi sinergi antara sistem alam sekitar dengan ekonomi. Di samping itu, Kerajaan akan terus memantau dengan lebih rapi perkembangan isu alam sekitar dunia termasuk sekatan ke atas dasar pembangunan dan perdagangan negara memandangkan ia mungkin mempunyai implikasi ke atas Malaysia. Di dalam negeri, Malaysia akan mengambil langkah untuk memenuhi kewajipannya di bawah Konvensyen, Protokol dan tanggungjawab alam sekitar antarabangsa yang lain serta memastikan semua program dan projek yang dilaksanakan adalah sejajar dengan komitmennya.

Pendekatan dan Strategi Yang Bersepadu

1.80 Dalam tempoh RRJP3, penekanan akan diberi kepada usaha untuk menangani isu alam sekitar dan pengagihan sumber dengan cara yang bersepadu dan menyeluruh. Cabarannya adalah untuk mengenalpasti pendekatan pengurusan yang berhemat, keberkesanan kos dan mudah suai yang dapat menghasilkan faedah yang berlipat ganda untuk masa hadapan yang lebih mampan. Pendekatan tersebut antara lainnya, akan bertumpu ke arah menangani cabaran untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih, membekalkan makanan yang mencukupi tanpa menggunakan bahan kimia secara berlebihan, menggunakan lebih banyak baja organik, menyediakan perkhidmatan tenaga yang tidak menjejaskan kualiti alam sekitar, membangunkan persekitaran bandar yang sihat dan memulihara habitat semula jadi dan sumber yang kritikal.

1.81 Pengurusan sumber tanah akan terus diperbaiki melalui perancangan guna tanah yang lebih bersepadu. Dasar Kepelbagaian Biologi Negara akan menjadi asas untuk menggabung dan mengukuhkan program serta projek kepelbagaian biologi negara. Usaha untuk mengurus hutan secara mampan akan dipergiat dan perhutanan pelbagai guna diperluaskan. Langkah akan diambil untuk menggubal pelan pengurusan lembangan lembah sungai bersepadu bagi meningkatkan kualiti dan bekalan air serta mengurus sumber air. Untuk memastikan sumber pantai yang mampan, pelan pengurusan pantai bersepadu akan diperkenalkan di semua negeri.

Mengurangkan Intensiti Pencemaran

1.82 Cabaran yang kritikal adalah untuk mengurangkan intensiti tenaga, bahan, pencemaran dan sisa buangan daripada aktiviti perbandaran dan perindustrian. Langkah untuk mempengaruhi pemilihan teknologi dan pengurusan bandar baru serta pelaburan perindustrian akan dilaksanakan termasuklah langkah untuk menggalak pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula bahan. Selain mengawal pencemaran daripada puncanya, Kerajaan juga akan melaksanakan langkah pencegahan termasuk dasar yang mengurangkan intensiti tenaga, bahan, pencemaran dan sisa buangan daripada aktiviti perbandaran dan perindustrian bandar dalam proses meningkatkan kualiti alam sekitar secara berterusan. Ini akan memerlukan anjakan daripada paradigma semasa yang hanya menggunakan pencegahan pencemaran dan pembersihan serta mengganti teknologi lama kepada paradigma yang menjadikan teknologi itu sendiri sebagai sumber yang mencegah pencemaran dan menjimatkan penggunaan sumber. Usaha akan juga diambil untuk menggalakkan kitar semula bahan.

Meningkatkan Penggunaan Instrumen Ekonomi

1.83 Kerajaan akan terus melaksanakan Prinsip Pencemar Mesti Membayar dan mempergiatkan usaha penguatkuasaan untuk memastikan undang-undang dan kawalselia alam sekitar dipatuhi. Walau bagaimanapun, langkah tersebut akan dilengkapi dengan penggunaan instrumen ekonomi dan cukai yang inovatif termasuk menghapuskan percanggahan dan halangan yang membataskan usaha memperbaiki kualiti alam sekitar serta penggunaan sumber semulajadi yang optimum.

Piawaian Prestasi Alam Sekitar

1.84 Usaha juga akan dilaksana ke arah menggalakkan pengukuran prestasi alam sekitar sebagai asas untuk menggembleng kuasa pasaran dan penyertaan masyarakat dalam menangani isu alam sekitar. Setelah isu alam sekitar dan sumber dikenalpasti, diukur dan dikesan, termasuk penggunaan petunjuk pembangunan mampan dan pelbagai piawaian alam sekitar seperti ISO 14000 dan piawaian lain, maka kuasa pasaran dan masyarakat amnya akan menentukan intensiti alam sekitar dalam aktiviti ekonomi melalui permintaan pengguna, tekanan oleh masyarakat atau pengurusan rantaian bekalan.

IV : PENUTUP

1.85 Bagi memastikan kejayaan RRJP3, perlu terdapat komitmen sepenuhnya daripada semua rakyat, perubahan cara pemikiran dan ada rasa kesegeraan untuk bertindak memandangkan negara akan berhadapan dengan persaingan yang semakin hebat pada masa hadapan. Untuk membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan berdaya saing, Kerajaan akan sentiasa bertindak pantas dan mesra perniagaan serta mengguna pakai dasar dan insentif yang berorientasikan pasaran. Masyarakat perniagaan perlu sanggup mengambil risiko, melabur dalam P&P serta dapat segera menyesuaikan diri dengan perubahan dan mengguna pakai teknologi baru terutamanya dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan. Tenaga kerja mestilah berdisplin, produktif, berkesanggupan dan sedia belajar serta memajukan diri secara berterusan. Kerajaan bersama dengan sektor swasta akan terus memastikan perpaduan dan kesaksamaan masyarakat melalui dasar pembasmian kemiskinan dan dasar pengagihan. Namun demikian, apa yang paling utama masyarakat perlu bersatu padu dan terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dekad ini.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008