BAB 00 : MENINGKATKAN KEUTUHAN
I : PENDAHULUAN
1.01
Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang merupakan
pembangunan dekad kedua Wawasan 2020 menumpukan kepada meningkatkan
keutuhan dan daya saing negara. Dalam tempoh ini, usaha akan dilaksana
untuk mempertingkatkan kualiti pembangunan dan menjana pertumbuhan
tinggi yang mampan supaya semua rakyat dapat menikmati kemakmuran.
Perpaduan negara akan terus menjadi tonggak pembangunan dan
kepelbagaian masyarakat Malaysia dari segi kumpulan etnik, bahasa,
budaya dan agama akan diambil kira dalam memupuk sebuah masyarakat yang
lebih harmoni, bertolak ansur dan dinamik. Dasar pembangunan
sosioekonomi yang telah menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup
rakyat akan terus diberikan keutamaan.
1.02
Penggubalan RRJP3 telah mengambil kira penilaian semula kemajuan Rangka
Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) serta pengalaman yang dipelajari
daripada krisis kewangan Asia tahun 1997-1998. Dasar dan strategi yang
dirangka adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kekuatan sedia ada,
menangani kekurangan dan kekangan serta menghadapi cabaran persaingan
dunia. Seperti di masa lalu, Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan
yang menyeluruh dalam membangunkan ekonomi demi menjamin pertumbuhan
yang stabil, menggalakkan keharmonian di kalangan kumpulan etnik dan
meningkatkan persepaduan nasional. Pelbagai pandangan dan sumbangan
telah dipertimbangkan termasuk laporan yang disediakan oleh Majlis
Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) yang dianggotai oleh wakil
daripada berbagai kelompok masyarakat.
1.03
RRJP3 telah digubal berasaskan dasar yang dinamakan Dasar Wawasan
Negara (DWN). Perpaduan negara merupakan tonggak utama DWN yang
bertujuan membina Bangsa Malaysia yang progresif dan makmur serta hidup
dalam harmoni dan melibatkan semua pihak secara sepakat dan saksama.
Pertumbuhan ekonomi akan digalak seiring dengan usaha membasmi
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Ketidakseimbangan sosial,
ekonomi dan wilayah akan dikurangkan. Dasar pembangunan yang bertujuan
untuk menambah kekayaan dan meningkatkan tahap kemakmuran akan disertai
dengan usaha untuk menyemai nilai positif sosial dan kerohanian serta
keprihatinan terhadap alam sekitar untuk mengekalkan pembangunan negara
yang mampan bagi tempoh jangka panjang.
I : CABARAN TERHADAP PERTUMBUHAN JANGKA PANJANG
1.04
Malaysia menghadapi cabaran di peringkat dunia dan dalam negara. Di
peringkat dunia peraturan persaingan telah berubah dengan bermulanya
Era Maklumat dan semakin meningkatnya integrasi ekonomi dunia serta
liberalisasi pasaran antarabangsa. Kelebihan saingan sesebuah negara
tidak lagi bergantung kepada faktor seperti buruh, tanah dan sumber
asli tetapi kepada potensi untuk mengeluar, memperoleh, mengguna dan
menyebarkan pengetahuan. Penguasaan terhadap pengetahuan akan
meningkatkan potensi negara sedang membangun yang berkos rendah untuk
beralih kepada pengeluaran barangan bernilai ditambah yang tinggi pada
kadar yang lebih pantas dan membolehkan pengeluar baru bersaing dengan
pengeluar yang telah mantap. Dengan pasaran dalam negeri yang besar,
negara ini boleh menggugat kelebihan berbanding dalam beberapa bidang
sektor pembuatan yang telah dinikmati oleh Malaysia sejak 30 tahun yang
lalu. Di samping itu, negara perindustrian yang sedang menumpukan
kepada pengetahuan sebagai input penting dalam proses pengeluaran
mereka telah meningkatkan bahagian industri berteknologi tinggi dalam
jumlah nilai ditambah dan eksport sektor pembuatan. Negara ini lebih
maju dari segi sumber manusia, teknologi, penyelidikan dan pembangunan
(P&P), kemampuan inovasi dan infrastruktur. Oleh itu, Malaysia
perlu melipat gandakan usaha untuk sentiasa mendahului negara sedang
membangun yang lebih dinamik dan setanding dengan negara maju.
1.05 Dalam
dekad ini, peralihan ke arah liberalisasi yang lebih meluas akan
membuka lebih banyak pasaran di setiap negara dan mendatangkan manfaat
kepada negara yang berupaya merebut peluang daripada proses tersebut.
Dengan pengurangan halangan tarif, sempadan pasaran secara teknikalnya
tidak akan wujud. Disertai dengan penggunaan Internet yang meluas,
peniaga akan dapat memperolehi sumber input, komponen dan perkhidmatan
serta mendapatkan sebutharga daripada pembekal pada harga paling
kompetitif dengan kos yang rendah di mana jua di dunia. Pengurangan kos
komunikasi akan membantu proses mengglobalisasikan pengeluaran dan
pasaran modal, meningkatkan persaingan dan inovasi serta mempercepatkan
penyebaran teknologi baru melalui perdagangan dan pelaburan. Oleh itu,
entiti perindustrian dan perdagangan Malaysia mesti segera membina
keupayaan untuk menghadapi pesaing asing dalam pasaran tempatan dan
mempertingkatkan daya saing eksport mereka. Perniagaan Malaysia perlu
lebih bersedia menerima pengetahuan membuat sesuatu, meningkatkan
kemahiran dan daya cipta serta mengenalpasti potensi komersil mereka.
1.06 Di
dalam negeri, sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) perlu
ditambah pada kadar yang lebih cepat dan kecekapan modal perlu
dipertingkatkan. Ini adalah kerana sumbangan buruh kepada pertumbuhan
akan menjadi lebih perlahan pada masa hadapan manakala kadar pelaburan
yang tinggi dalam tempoh 1990an tidak dapat dikekalkan malah tidak
cekap. Sebagai strategi jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan
ekonomi yang mampan, adalah penting bagi negara beralih daripada
pertumbuhan yang didorong oleh input kepada pertumbuhan yang didorong
oleh produktiviti supaya punca pertumbuhan ekonomi dijana daripada
sumber dan kekuatan dalam negeri. Tumpuan yang lebih akan diberi kepada
pembangunan sumber manusia, produktiviti serta keupayaan menyerap dan
mengguna pengetahuan. Pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti yang
berasaskan kecekapan dan kaya dengan kandungan pengetahuan membolehkan
negara mencapai pertumbuhan yang mampan dengan inflasi yang rendah dan
harga yang stabil. Tambahan pula, ianya membuka peluang yang terbaik
untuk meningkatkan dengan lebih cepat taraf hidup rakyat Malaysia bagi
mencapai matlamat Wawasan 2020.
1.07
Krisis kewangan Asia 1997-1998 telah menyedarkan mengenai pentingnya
pengukuhan daya tahan dalam persekitaran dunia yang semakin bersepadu
di mana aliran modal, perdagangan dan maklumat melangkaui sempadan
negara. Peristiwa yang berlaku di sesebuah negara boleh memberi
implikasi yang ketara kepada negara lain melalui rangkaian yang
kompleks dan silang-menyilang serta kesan tertangguh. Malaysia terdedah
kepada kesan luaran ini kerana ekonominya berkait rapat dengan negara
lain di dunia. Memandangkan Malaysia tidak mungkin terhindar sepenuhnya
daripada kejutan luar, Malaysia perlu memperkukuhkan daya tahan
ekonomi, kewangan dan sosial agar mampu menghadapi pergolakan dan
risiko yang muncul tanpa tergelincir daripada matlamat pembangunan.
1.08
Kitaran kejatuhan permintaan ke atas barangan separakonduktor pada
pertengahan tahun 1990an telah menunjukkan risiko yang dihadapi
sekiranya negara bergantung kepada jenis keluaran yang terhad atau
sebilangan kecil pasaran. Walaupun industri elektronik merupakan
penyumbang penting kepada pemulihan ekonomi Malaysia yang
memberansangkan daripada krisis kewangan pada tahun 1997-1998, namun
sebagai satu strategi untuk meningkatkan keutuhan ekonomi adalah perlu
dikenalpasti bidang pertumbuhan baru di samping meluas dan mendalamkan
industri sedia ada supaya dapat mempelbagaikan jenis barangan eksport
dan mengukuhkan punca pertumbuhan yang dijana daripada sumber dalam
negeri.
1.09
Dalam membina sebuah negara yang berdaya tahan, tugas mengukuhkan
perpaduan serta memupuk masyarakat yang lebih bertolak ansur dan
penyayang merupakan agenda utama negara. Dari segi objektif pengagihan,
sungguhpun kejayaan besar telah dicapai dalam mengurangkan kadar
kemiskinan, namun pencapaian penyusunan semula masyarakat kurang
memuaskan. Peratusan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera pada tahun
1999 berkurangan sedikit berbanding dengan kedudukkannya pada tahun
1990 dan ini menimbulkan isu daya tahan Bumiputera. Bilangan Bumiputera
dalam pekerjaan yang berkedudukan tinggi masih lagi rendah. Walaupun
bilangan perniagaan Bumiputera dalam kedua-dua sektor korporat dan
bukan koporat telah bertambah, namun kebanyakannya adalah kecil dan
bahagiannya lebih rendah berbanding bahagian bukan Bumiputera. Usahawan
Bumiputera masih ketinggalan dari segi tahap penggunaan teknologi dan
kepakaran pengurusan. Cabarannya adalah untuk mengatasi kelemahan
tersebut secara lebih bermakna demi meraih kemajuan yang lebih tinggi
dalam mencapai matlamat pengagihan.
III : TERAS PEMBANGUNAN DASAR WAWASAN NEGARA
1.10
DWN akan meneruskan usaha yang telah dimulakan di bawah rancangan
pembangunan negara yang lepas dan mengukuhkan asas peralihan Malaysia
kepada sebuah negara maju sepenuhnya sebagaimana yang dihasratkan oleh
Wawasan 2020. Di samping ekonomi yang berdaya saing, dinamik, teguh dan
berdaya tahan, matlamat Malaysia adalah untuk menjadi sebuah negara
yang bersatu padu, mempunyai masyarakat yang berkeyakinan dan
dilengkapi dengan nilai moral dan etika yang tinggi serta hidup dalam
masyarakat yang demokratik, berfikiran terbuka, bertolak ansur,
penyayang, saksama serta progresif dan makmur.
1.11
Di samping menggabungkan strategi utama Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu
pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula
masyarakat serta Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang menekankan
pembangunan seimbang, DWN juga memperkenalkan beberapa teras dasar yang
baru. Perkembangan dalam negara dan dunia memerlukan perubahan cara
pemikiran di kalangan penggubal dasar, pelaksana dan semua pihak yang
terlibat dalam pembangunan. Ia juga menunjukkan keperluan untuk
belajar, mengenepikan pengetahuan yang tidak sesuai dan mempelajari
semula serta melakukan sesuatu menggunakan cara yang berlainan termasuk
memakai kaedah yang inovatif supaya menjadi lebih berkesan dan mencapai
matlamat pembangunan. Dengan itu, sektor awam perlu menjadi lebih
proaktif dan cekap serta mengambil langkah yang akan meningkatkan lagi
daya saing sektor swasta.
1.12 Dimensi baru dasar yang diperkenalkan dalam DWN adalah seperti berikut:
o membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berasaskan pengetahuan;
o menjana pertumbuhan yang didorong oleh
sumber dan kekuatan tempatan melalui pengukuhan pelaburan dalam negeri
dan pembangunan keupayaan tempatan di samping penarikan pelaburan
langsung asing (FDI) yang berterusan ke dalam bidang strategik;
o menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik melalui penerapan pengetahuan yang lebih tinggi;
o membasmi kemiskinan di kalangan
kelompok kecil yang miskin di kawasan terpencil, Orang Asli dan
kumpulan minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan
pendapatan dan kualiti hidup kumpulan pendapatan 30 peratus terendah;
o mencapai penyertaan Bumiputera yang berkesan serta pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010;
o meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor utama ekonomi; dan
o mengorientasikan semula pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan pengetahuan.
1.13
Dasar ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan, kemampuan
dan keazaman negara bagi menghadapi cabaran yang akan datang. Ia
menekankan kepada perlunya membina keutuhan dan daya saing negara serta
sebuah masyarakat yang saksama bagi menjamin perpaduan dan kestabilan
politik. Kecekapan dan produktiviti semua aktiviti ekonomi akan
dipertingkatkan untuk memantapkan daya saing Malaysia. Di samping itu,
jurang ekonomi di kalangan dan di dalam
kumpulan etnik serta di antara strata dan
wilayah akan diatasi untuk mewujudkan perpaduan dan kestabilan dalam
masyarakat Malaysia. Sektor swasta akan menerajui pertumbuhan ekonomi
manakala sektor awam akan menyediakan persekitaran yang bersesuaian dan
memastikan pencapaian matlamat sosioekonomi.
1.14 Teras utama DWN adalah seperti berikut:
o membina bangsa yang berdaya tahan
dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk
kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan
penyayang yang tersemat dengan nilai positif serta meningkatkan kualiti
hidup dan keutuhan ekonomi;
o menggalakkan pewujudan masyarakat yang
saksama melalui pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidakseimbangan
di kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta wilayah;
o mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang
tinggi dengan memperkukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan
korporat serta pengurusan ekonomi makro;
o mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi;
o membangunkan ekonomi berasaskan
pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai
ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran
bangsa;
o mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan; dan
o meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang.
Membina Bangsa Yang Berdaya Tahan
1.15
Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam menjalin kepelbagaian etnik
dan budayanya untuk melahirkan sebuah masyarakat padu yang menjadi
sumber kekuatan, kedinamikan dan daya cipta. Tugas utama pembangunan
adalah untuk meneruskan kewajipan membina satu bangsa yang bersatu padu
berasaskan kesaksamaan dan kemakmuran dengan mewujudkan peluang yang
banyak untuk semua rakyat serta menghapuskan perbezaan sosioekonomi di
kalangan dan di dalam kumpulan etnik menerusi ekonomi yang kukuh dan
berdaya tahan.
Memupuk Perpaduan dan Semangat Patriotik
1.16
Perpaduan negara terus menjadi matlamat pembangunan sosioekonomi
memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kumpulan
etnik, agama, bahasa dan budaya. Walaupun pelancaran RRJP3 bersamaan
dengan lebih daripada empat dekad pengalaman dalam membangunkan negara,
namun tempoh tersebut adalah singkat jika dilihat dalam konteks sejarah
pembentukan sesebuah negara. Masyarakat yang berbilang kumpulan etnik
lazimnya merupakan entiti yang rapuh dan usaha yang mengambil masa
beberapa dekad membina negara mungkin musnah seandainya mereka dikuasai
oleh pertimbangan yang sempit atau terdapat pihak tertentu yang merasa
tersisih atau terpinggir.
1.17
Untuk menjadi negara yang berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat
antarabangsa, perpaduan penduduk Malaysia yang berbagai keturunan
merupakan satu pra-syarat yang mesti dipenuhi. Semua dasar, program dan
projek akan berpandu kepada keperluan asas ini memandangkan penyertaan
yang aktif dan sepenuhnya oleh semua kumpulan etnik serta wilayah
adalah penting untuk memastikan kejayaan usaha pembangunan sosioekonomi
dan pembinaan bangsa. Ketidaksamaan dan ketaksaksamaan di kalangan dan
di dalam kumpulan etnik serta wilayah akan diatasi supaya perpaduan
bangsa Malaysia terpelihara.
1.18
Walaupun nilai dan amalan sosial dan budaya menjadi semakin sejagat,
rakyat Malaysia mesti memelihara identiti dan warisan negara. Hanya
dengan pemeliharaan identiti ini rakyat Malaysia akan berupaya
menghadapi perubahan pantas dan dapat bertahan daripada kesan negatif
globalisasi. Semangat patriotik akan disemai di kalangan rakyat supaya
merasa bangga menjadi rakyat Malaysia serta megah melaksanakan sesuatu
dan mencapai kejayaan sebagai rakyat Malaysia. Syarikat perniagaan
Malaysia yang beroperasi di dalam atau luar negara perlulah mempunyai
amalan perniagaan yang terpuji. Nilai yang sesuai dan selaras dengan
amalan terbaik dan mendorong ke arah kecemerlangan serta pencapaian
tatasusila yang unggul adalah digalakkan.
Membentuk Kematangan Politik
1.19
Kestabilan sosial dan politik yang berterusan adalah penting bagi
pencapaian matlamat pembangunan Malaysia. Rakyat Malaysia perlulah
mengamalkan demokrasi matang yang berlandaskan musyawarah,
berorientasikan masyarakat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan sempit
dan pandangan yang melampau dari segi agama, mazhab, politik dan
sebagainya. Hanya dengan semangat bertolak ansur dan kerjasama yang
tinggi sahaja Malaysia boleh membentuk kematangan politik yang menjadi
asas kepada kestabilan yang berterusan. Tambahan lagi, rakyat Malaysia
mesti mempunyai kemahuan yang tinggi untuk memakmurkan negara serta
sanggup berkorban demi mempertahankannya daripada ancaman dalam dan
luar negeri. Untuk menjadi sebuah negara yang maju sepenuhnya menjelang
tahun 2020, semua rakyat Malaysia perlu meletakkan kepentingan negara
lebih tinggi daripada matlamat politik yang sempit dan bersama-sama
mara ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
Membina Masyarakat Yang Lebih Bertolak Ansur dan Penyayang
1.20
Institusi sosial akan diperkukuhkan dengan membina masyarakat dan
budaya yang lebih penyayang di mana setiap individu meletakkan
keperluan sistem sosial mengatasi kepentingan diri sendiri dan
kebajikan penduduk ditentukan oleh unit keluarga yang teguh dan berdaya
tahan. Sebuah masyarakat yang mempunyai sifat penyayang, bertolak ansur
dan saling menghormati pelbagai adat resam akan menyumbang kepada
pembentukan rakyat Malaysia yang bersatu dan harmoni. Usaha akan
diambil untuk membentuk kesedaran sivik dan kebangsaan di samping
menyemai nilai yang selaras dengan Rukunegara yang telah diterima
sebagai ideologi kebangsaan.
1.21
Dalam membina sebuah masyarakat penyayang, penekanan akan diberi kepada
nilai seperti kekeluargaan, kejiranan, keagamaan yang kukuh, ketulusan,
kedamaian, penyayang, bekerjasama, kejujuran, menepati waktu, rajin,
berdisiplin, bermaruah dan bertimbang rasa terhadap orang lain. Unit
kekeluargaan, sekolah, tempat kerja serta organisasi agama dan sosial
perlu menerap dan sentiasa memperteguhkan nilai tersebut yang boleh
menjadikan setiap individu lebih penyayang dan menghormati hak orang
lain. Masyarakat penyayang adalah berteraskan keluarga dan perlu
menyayangi golongan muda serta prihatin terhadap kebajikan warga tua
dan mereka yang kurang upaya termasuk menyediakan perkhidmatan sosial.
Alam sekitar dan harta benda awam juga perlu dihargai dan dijaga. Pada
masa yang sama semangat sukarela akan dipupuk. Organisasi berasaskan
komuniti akan digalak untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan rakyat
Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kumpulan etnik dalam
aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan tanpa batasan etnik, agama dan
budaya.
Meningkatkan Kualiti Hidup
1.22
Kerajaan akan memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati dan
memanfaatkan peluang yang ada termasuk pendidikan, pekerjaan dan
kemudahan sosial. Setiap usaha akan diambil untuk memastikan liputan
yang lebih luas serta kemudahan sosial yang lebih baik untuk semua isi
rumah. Langkah tersebut termasuk meningkatkan peluang menikmati
kemudahan sosial dan fizikal seperti pendidikan dan latihan kemahiran,
persekitaran kerja yang lebih baik dan hubungan perindustrian yang
harmoni serta meningkatkan kualiti kesihatan dan alam sekitar. Rakyat
Malaysia akan digalak untuk melibatkan diri dalam seni kreatif dan
pementasan serta mengamalkan cara hidup sihat. Di samping itu, sukan
akan diberi penekanan sebagai satu cara membentuk disiplin dan
keperibadian rakyat Malaysia serta menggalakkan pelancongan.
Membina Ekonomi Yang Berdaya Tahan
1.23
Langkah yang bersesuaian akan terus diperkenalkan untuk meningkatkan
lagi keutuhan ekonomi bagi membolehkan negara dapat bertahan daripada
kesan negatif kejutan dari luar. Kestabilan ekonomi makro akan
dipertingkatkan dengan menangani semua ketidakseimbangan dan bidang
yang mudah terjejas. Usaha akan terus diambil untuk mengukuhkan asas
ekonomi Malaysia dengan memastikan kestabilan harga dan kadar tukaran
asing, mempunyai paras tabungan yang mencukupi sebagai sumber pelaburan
dan mengekalkan lebihan dalam akaun fiskal dan imbangan pembayaran.
Memandangkan pengurusan ekonomi makro akan menjadi lebih mencabar
dengan wujudnya ekonomi dunia tanpa sempadan, satu sistem amaran awal
akan dibentuk sebagai langkah pencegahan. Di peringkat antarabangsa,
Malaysia akan terus mempelopori pembentukan mekanisme bantu diri dan
sokongan serantau bagi membendung krisis dan memastikan kestabilan
ekonomi makro. Malaysia juga akan meneruskan usaha untuk memastikan
pandangan serantau mengenai penyusunan semula struktur kewangan
antarabangsa diambil kira dalam perbincangan di peringkat dunia.
1.24
Sektor korporat secara keseluruhannya perlu memperkukuhkan
organisasinya dengan menumpukan perhatian kepada aktiviti teras mereka,
mengambil perspektif jangka panjang bagi pelaburan, memperbaiki
kecekapan dan produktiviti serta meningkatkan keupayaan pengurusan
pentadbiran dan kewangan. Sektor berkenaan juga mesti berazam untuk
mencapai profesionalisme yang lebih tinggi dan mengekalkan nama baik
dan kewibawaan mereka. Usaha penyusunan semula sektor korporat yang
telah dimulakan pada penghujung tempoh RRJP2 akan dipergiatkan. Sektor
kewangan akan diperkukuhkan lagi melalui pengawasan dan kawalselia
berhemat yang lebih baik, peningkatan pengurusan risiko dan pembangunan
pasaran modal tempatan. Di samping itu, maklumat mengenai aktiviti
ekonomi dan kewangan akan diperbaiki untuk meningkatkan disiplin
pasaran dan proses membuat keputusan.
Menggalakkan Pewujudan Masyarakat Yang Saksama
1.25
Malaysia akan meneruskan strategi membangunkan masyarakat yang saksama
memandangkan ianya penting bagi mencapai kestabilan sosial dan politik
serta perpaduan negara. Dalam hubungan ini, strategi serampang dua mata
untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula
masyarakat akan terus dilaksanakan. Strategi tersebut akan diteruskan
dalam konteks pertumbuhan yang pesat supaya tidak ada kumpulan atau
bahagian masyarakat yang akan mengalami kerugian atau merasa tersisih.
Penyusunan Semula Masyarakat
1.26
Dalam tempoh RRJP3, penekanan dasar pengagihan adalah terhadap
pencapaian penyertaan Bumiputera yang berkesan dan hak milik ekuiti
sekurangkurangnya 30 peratus menjelang tahun 2010. Dalam hubungan ini,
langkah akan diambil untuk memperkenalkan program baru serta
mengorientasikan semula, menyatu dan memperkemaskan program penyusunan
semula sedia ada dan memperbaiki mekanisme pelaksanaan. Ini termasuk
mewujud dan menggalakkan usaha niaga Bumiputera dalam sektor pembuatan
dan perkhidmatan yang dinamik. Dalam sektor pembuatan, usaha akan
diambil untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang elektrik
dan elektronik, kimia dan petrokimia, peralatan pengangkutan dan
industri makanan sementara di sektor perkhidmatan tumpuan akan diberi
kepada perniagaan borong dan runcit, pelancongan, perkhidmatan yang
berkaitan dengan pengangkutan udara dan laut, pendidikan, kesihatan
serta khidmat perundingan dan profesional. Persekitaran yang mendorong
penyertaan Bumiputera secara berkesan dan bagi menghadapi cabaran
liberalisasi dan globalisasi akan juga diperbaiki. Pada masa yang sama,
usaha akan diambil untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera secara
berkesan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Langkah lain yang akan
diambil untuk meningkatkan hak milik Bumiputera termasuk meneruskan
program penswastaan, mengkaji semula dan memperkemaskan institusi
Bumiputera dan agensi amanah, mengurus skim saham amanah secara
berkesan serta membangunkan tanah rezab Melayu, waqaf, Baitulmal dan
tanah adat.
1.27
Penyusunan semula gunatenaga akan diteruskan di semua sektor dan
kumpulan pekerjaan untuk mencerminkan komposisi etnik penduduk. Langkah
akan diambil untuk meningkatkan bahagian Bumiputera dalam kumpulan
pekerjaan profesional dan pengurusan. Pada masa yang sama, bukan
Bumiputera akan digalak untuk memohon pekerjaan dalam sektor awam.
Memandangkan pendidikan dan latihan merupakan alat penting dalam
penyusunan semula guna tenaga, keupayaan institusi pengajian tinggi
akan dipertingkatkan untuk menambah peluang pelajar Bumiputera
melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, terutamanya dalam bidang
profesional, pengurusan dan teknikal lanjutan.
1.28
Dalam usaha membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputera (MPPB), perhatian akan ditumpu kepada pembentukan usahawan
Bumiputera yang berdaya tahan, berdikari dan bertaraf dunia. Pencapaian
usaha tersebut di masa lalu adalah sederhana kerana kebanyakan usahawan
terlibat dalam sektor tradisional. Oleh itu, adalah perlu bagi mereka
menceburi aktiviti berteknologi dan bernilai ditambah yang tinggi.
Program berpakej yang sedia ada untuk membangunkan MPPB akan
diperkukuhkan antara lain melalui pengluasan program pembangunan vendor
dan francais serta skim modal teroka. Walau bagaimanapun, agensi
pelaksana program pembangunan MPPB perlu memperkenalkan satu dasar
tamat penyertaan yang menghadkan tempoh penyertaan peserta program
tersebut untuk memberi peluang kepada usahawan lain.
Pembasmian Kemiskinan dan Pengagihan Pendapatan
1.29
Dalam tempoh RRJP3, isu kemiskinan bukan lagi merupakan isu utama
memandangkan kemajuan besar telah dicapai dalam membasmi kemiskinan
dalam tempoh rangka rancangan terdahulu. Kadar kemiskinan akan
dikurangkan lagi kepada 0.5 peratus menjelang akhir tahun 2005. Usaha
akan ditumpukan ke arah membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil
miskin di kawasan terpencil dan di kalangan Orang Asli serta kumpulan
minoriti Bumiputera yang lain di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan
pendapatan golongan yang berpendapatan rendah, khususnya mereka dalam
kumpulan pendapatan 30 peratus terendah. Kesemua program pembasmian
kemiskinan akan diperkemaskan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan
Rakyat termasuk mewujudkan projek yang dapat menjana pendapatan,
meningkatkan peluang memperolehi kemudahan asas dan memupuk sikap
berdikari. Untuk mengurangkan jurang pendapatan di kalangan isi rumah,
peluang untuk golongan yang berpendapatan rendah mengikuti program
pendidikan dan latihan akan dipermudahkan lagi. Sektor swasta dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan digalak untuk menyokong dan
melengkapkan usaha ini.
Pembangunan Wilayah
1.30
Teras utama pembangunan wilayah akan ditumpu kepada meningkatkan
keseimbangan wilayah melalui pembangunan pesat negeri kurang maju.
Dalam tempoh RRJP3, usaha akan diambil untuk mempelbagaikan asas
ekonomi negeri yang berkembang lebih perlahan untuk terlibat dalam
sektor pembuatan dan perkhidmatan. Penekanan akan diberi untuk
menggalakkan pembangunan aktiviti hiliran sektor pertanian terutamanya
dalam pengendalian, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk
pertanian serta memajukan aktiviti perindustrian berasaskan pertanian.
1.31
Pertambahan bilangan penduduk bandar dijangka akan meningkatkan
permintaan terhadap perkhidmatan awam dan kemudahan sosial di
pusat-pusat bandar. Strategi baru adalah perlu untuk meningkatkan
keupayaan dan kemampuan pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi cabaran
tersebut. Ini termasuk mengukuhkan pengurusan pihak berkuasa tempatan
dan melaksanakan Agenda Tempatan 21 yang telah dilancarkan pada tahun
1999 selaras dengan Deklarasi Rio. Program ini bertujuan untuk
menggalakkan penyertaan pihak berkuasa tempatan, majlis daerah dan
semua pihak yang terlibat di peringkat masyarakat tempatan dalam
merancang dan melaksanakan projek pembangunan mampan. Sebagai pemulaan,
Agenda Tempatan 21 telah dilancarkan di empat kawasan pihak berkuasa
tempatan dan akan diperluaskan ke kawasan pihak berkuasa tempatan lain
menjelang tahun 2002. Penyertaan masyarakat yang lebih luas akan
digalak bagi meningkatkan kesejahteraan hidup di bandar. Petunjuk untuk
perbandingan dan penilaian kualiti hidup bandar dengan penanda aras
antarabangsa akan dibentuk supaya membantu memperbaiki kualiti
perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.
1.32
Beberapa strategi pembangunan luar bandar akan diguna pakai bagi
mengurangkan jurang bandar dengan luar bandar. Ini termasuk mengukuhkan
institusi luar bandar, meningkatkan lagi penggunaan teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) di kawasan luar bandar dan memperbaiki rantaian di
antara ekonomi bandar dan luar bandar. Penduduk luar bandar yang
berselerak akan dikumpul di sebuah pekan kecil untuk memudahkan
penyediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan. Usaha akan
dilaksanakan untuk memperbaiki penyediaan bekalan air dan elektrik ke
kawasan terpencil dengan menggunakan kaedah yang inovatif. Di samping
itu, petunjuk kualiti hidup luar bandar akan dibentuk untuk memudahkan
pemantauan rapi kualiti hidup penduduk tersebut.
Mengekalkan Pertumbuhan Ekonomi
1.33
Pertumbuhan ekonomi yang pesat adalah perlu bagi Malaysia untuk
mencapai matlamat menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020
serta memenuhi matlamat pengagihan secara berkesan. Sektor pembuatan
dan perkhidmatan dijangka menerajui pertumbuhan ekonomi menerusi
penjanaan pelaburan dalam bidang baru apabila firma mengembangkan
kegiatannya di sepanjang rantaian nilai dan bergerak ke tahap teknologi
yang lebih tinggi. Prestasi sektor pertanian akan dipertingkatkan
dengan pertambahan ketara dalam pengeluaran makanan. Di samping
mewujudkan aktiviti baru, pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan
juga akan meningkatkan produktiviti dan daya saing serta menyumbang
kepada pengluasan asas ekonomi dan mengembangkan potensi kemungkinan
pengeluaran ke paras yang lebih tinggi. Walaupun FDI akan terus
digalakkan dalam bidang terpilih, pelaburan tempatan akan menjadi
penggerak utama pertumbuhan sejajar dengan peralihan kepada strategi
pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri.
Memperkukuhkan Kedinamikan Sektor-Sektor
1.34
Pertumbuhan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan akan
dipertingkatkan lagi dalam tempoh RRJP3. Bagi sektor pertanian, tumpuan
akan diberi kepada peningkatan pengeluaran makanan untuk memenuhi
permintaan dalam negeri yang semakin bertambah serta eksport. Bagi
tujuan tersebut sektor swasta akan digalak untuk mengusahakan aktiviti
perladangan komersil, berskala sederhana dan besar yang disokong dengan
penyediaan kawasan pengeluaran makanan kekal serta taman teknologi
pertanian. Penggunaan teknologi dan kaedah perladangan moden akan
diperluas untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti serta
mengurangkan kos pengeluaran. Kajian pasaran juga akan dipergiatkan
untuk mengenalpasti pilihan pelanggan dan mewujudkan saluran pasaran
yang baru serta meneroka pasaran eksport. Di samping itu, penekanan
yang khusus akan diberi kepada penyusunan semula sektor pekebun kecil
terutamanya mereka yang mengusahakan saiz pegangan yang tidak ekonomik
dalam kedua-dua sektor makanan dan tanaman ladang dengan tujuan untuk
meningkatkan pendapatan mereka.
1.35
Dalam sektor pembuatan, bidang pertumbuhan baru yang berteknologi
tinggi akan dikenal pasti untuk dibangunkan lagi dengan memanfaatkan
infrastruktur yang sedia ada. Penekanan akan diberi kepada inovasi
pengeluaran dan P&P. Pendekatan pembangunan kelompok industri akan
juga diterima pakai bagi bidang pertumbuhan baru. Tumpuan juga akan
diberi ke arah meningkatkan nilai ditambah melalui pembangunan reka
bentuk dan jenama tempatan di samping meluaskan aktiviti hiliran
seperti pemasaran, pengagihan, pembungkusan, pengeluaran mengikut
pesanan pelanggan serta penghantaran dan pembangunan aktiviti pembuatan
lain yang berkaitan.
1.36
Dalam sektor perkhidmatan, usaha gigih akan dipergiatkan untuk
membangunkan sektor pelancongan, pendidikan, kesihatan, kewangan, ICT
dan pengangkutan supaya menjadi berdaya saing di peringkat antarabangsa
dan mencapai taraf dunia. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan
juga dijangka dapat mempercepatkan pewujudan industri perkhidmatan yang
baru seperti pembangunan perisian dan kandungan serta membolehkan
negara membangunkan kekuatannya dalam sistem penyampaian berasaskan
Internet seperti perdagangan, perbankan, pembrokeran, berita, hiburan
dan penghantaran cepat. Pembangunan sektor perkhidmatan yang pesat
dalam tempoh RRJP3 dijangka dapat mengurangkan dengan ketara defisit
akaun perkhidmatan imbangan pembayaran dan seterusnya mengukuhkan
kedudukan sektor luar ekonomi negara.
Menggalakkan Pelaburan Swasta Dalam Negeri
1.37
Pelaburan swasta dalam negeri akan digalak untuk mengoptimumkan potensi
pertumbuhan supaya sebahagian besar kekayaan dan keuntungan yang
terhasil dapat dikekalkan dalam negara. Di samping mengukuhkan daya
tahan ekonomi, ianya juga akan menyediakan landasan bagi peralihan
kepada strategi pertumbuhan berasaskan sumber dan kekuatan dalam negeri
dengan membina keupayaan tempatan untuk membangunkan teknologi termaju
serta keluaran dan perkhidmatan baru. Untuk menyokong pertumbuhan pesat
pelaburan swasta, Kerajaan akan menyediakan persekitaran yang sesuai
dari segi rangka kerja institusi dan perundangan serta infrastruktur
fizikal yang cekap. Kerajaan juga akan memastikan persekitaran ekonomi
makro yang stabil dan infrastruktur pembiayaan yang lebih menyeluruh
serta menyediakan pakej insentif mengikut pelaburan khusus bagi bidang
yang strategik. Program penswastaan juga akan terus menjadi alat untuk
meningkatkan bahagian dan bidang penyertaan sektor swasta dalam
ekonomi. Di samping itu, pelabur tempatan akan digalak untuk
bekerjasama dan membentuk pakatan strategik dengan rakan asing supaya
memanfaatkan kepakaran, pasaran dan perkhidmatan khusus.
1.38
Untuk meningkatkan tahap dan kualiti pelaburan dalam negeri, sektor
swasta akan digalak untuk menceburi aktiviti hiliran dan huluan,
menghasilkan pembaharuan dengan menawarkan nilai baru yang lebih
bermutu dalam pasaran baru dan sedia ada, membina kesetiaan pelanggan
melalui pengeluaran dan pemasaran mengikut keperluan pelanggan,
memperolehi dan menggunakan lebih banyak teknologi dan membangunkan
tenaga kerja yang lebih berdaya cipta dan mahir. Peranan sains dan
teknologi (S&T) serta P&P akan diberi penekanan untuk
meningkatkan produktiviti keseluruhan dan membangunkan asas
perindustrian yang kukuh.
Menggalakkan FDI
1.39
Malaysia terus menjadi lokasi yang menarik untuk FDI berdasarkan asas
sektor pembuatan yang luas yang semakin canggih serta wujudnya
kestabilan politik, rangka kerja perundangan yang baik, infrastruktur
dan sistem telekomunikasi yang terbaik, dasar yang menyokong
perniagaan, pengurusan awam yang baik serta tenaga kerja yang
berkemahiran dan berpelajaran serta berkebolehan dalam bahasa asing.
Negara akan memanfaatkan lagi kelebihan tersebut dan terus menarik FDI
bukan sahaja ke sektor pembuatan dan yang berkaitan dengannya tetapi
juga ke sektor strategik seperti ICT, tenaga, pengurusan pelabuhan dan
sektor kewangan. Di samping itu, pelabur asing akan digalak untuk
melabur dalam pembangunan sumber manusia, melaksanakan pemindahan
teknologi, menyediakan kepakaran dalam pengurusan untuk meningkatkan
daya saing serta memperkukuhkan kedudukan negara dalam rantaian nilai
antarabangsa.
Meneruskan Dasar Fiskal dan Kewangan Yang Berhemat
1.40
Kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal berhemat. Defisit fiskal
keseluruhan akan diawasi supaya berada di paras yang terkawal bagi
memastikan nisbah khidmat hutang luar negara berada di paras yang
terurus. Kerajaan akan kembali kepada dasar fiskal lebihan berikutan
daripada pemulihan permintaan swasta. Perbelanjaan Kerajaan akan terus
memberi tumpuan kepada infrastruktur untuk meningkatkan keupayaan dan
penyediaan kemudahan sosial. Sistem cukai akan diperkukuhkan lagi untuk
menjana hasil, menggalakkan pertumbuhan, tabungan dan pelaburan serta
mencapai kesaksamaan dan kecekapan. Di samping itu, pentadbiran dan
pematuhan cukai akan diperbaiki untuk memperluaskan punca hasil
Kerajaan bagi membolehkannya meningkatkan kualiti kemudahan sosial
serta menarik lebih ramai anggota baru yang berkaliber ke dalam
perkhidmatan awam.
1.41
Dasar kewangan akan ditumpu ke arah menggalakkan pertumbuhan jangka
panjang yang disertai dengan kestabilan harga dan kewangan. Bagi
menghadapi persekitaran dunia yang tidak menentu, dasar kewangan yang
fleksibel dan proaktif akan dilaksanakan bagi menangani cabaran baru
dengan lebih berkesan. Cabaran tersebut termasuklah mengurus pergerakan
pesat aliran modal jangka pendek yang bersifat spekulasi dan tidak
stabil serta membuat penyesuaian mengikut perubahan struktur sistem
ekonomi dan kewangan, inovasi kewangan dan kemunculan mekanisme
pembayaran baru seperti e-wang. Sehubungan dengan itu, dasar kewangan
akan dikendali dengan menggunakan lebih banyak instrumen yang
berasaskan pasaran untuk meningkatkan keberkesanannya. Langkah juga
akan diambil untuk memperbaiki penyebaran maklumat ke pasaran untuk
meningkatkan ketelusan dalam pengendalian dasar kewangan. Di samping
itu, pembangunan pasaran bon akan meningkatkan lagi kekesanan operasi
pasaran terbuka dan mengurangkan pergantungan terhadap instrumen
langsung dasar kewangan. Kerajaan akan terus mengekalkan sistem tukaran
asing yang akan menggalakkan pengagihan sumber yang cekap dan
menyediakan persekitaran yang stabil untuk perdagangan, pelaburan dan
pertumbuhan.
Memperkukuhkan Sektor Perbankan
1.42
Sektor perbankan yang kukuh dan berdaya tahan merupakan pra-syarat bagi
pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pendekatan serampang tiga mata akan
diguna pakai termasuk mewujudkan institusi perbankan tempatan yang
kukuh, memantapkan rangka kerja kawal selia dan memupuk disiplin
pasaran di kalangan peserta pasaran dan pengguna. Penggabungan
institusi perbankan tempatan kepada 10 buah bank akan menambah asas dan
saiz modal bagi meningkatkan kemampuan institusi tersebut menyerap
risiko, mencapai ekonomi berskala dan meningkatkan kepakaran pengurusan
risiko dalam sistem perbankan. Rangka kerja kawal selia dan garis
panduan pengurusan sistem perbankan yang berhemat akan terus
dimantapkan untuk menggalakkan sikap berhemat dan meminimumkan risiko
sistemik.
1.43
Bagi memupuk disiplin pasaran dalam sistem perbankan, lebih banyak
produk akan diperkenalkan dan ketelusan institusi akan dipertingkatkan
untuk membolehkan pengguna membuat keputusan bijak mengenai sesuatu
bank dan produk yang dikeluarkan. Kaedah baru dalam kawal selia
perbankan akan diterokai termasuk menggunakan pendekatan yang didorong
oleh pasaran dalam pengagihan risiko dan sumber. Peserta pasaran perlu
memberi lebih banyak maklumat, telus dan berdisiplin. Di samping itu,
badan kawal selia akan lebih berwaspada untuk mengawal aktiviti
pengambilan risiko yang berlebihan, meminimumkan pengabaian
tanggungjawab moral dan melindungi kepentingan pengguna.
1.44
Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP) akan dilaksana untuk menentukan hala
tuju strategik sektor perbankan. FSMP mencadangkan rangka kerja kawal
selia yang diperlukan untuk menjadikan sistem kewangan Malaysia lebih
berdaya tahan, berdaya saing dan dinamik. Sektor ini akan melalui
proses liberalisasi secara beransur-ansur dan progresif pada kadar yang
selaras dengan rangka kerja institusi dan kawal selia serta keperluan
ekonomi supaya dapat diwujudkan sektor kewangan yang cekap, berdaya
saing dan didorong oleh pasaran.
1.45
Langkah untuk mengenal pasti dan menghapuskan halangan kepada kemajuan
akan dilaksanakan bermula dengan pembaikan infrastruktur dan
peningkatan persaingan dalam negeri supaya institusi terbaik dapat
berkembang. Ini akan dicapai melalui pembinaan keupayaan institusi
tempatan dan penambahan insentif bagi meningkatkan prestasi mereka. Di
samping itu, langkah akan diambil untuk mencapai matlamat sosioekonomi
dengan meminimumkan ketidakseimbangan yang mungkin wujud serta
menggalakkan lebih banyak infrastruktur pelindung pengguna yang
didorong oleh pasaran.
1.46
Program di bawah FSMP akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
dalam tempoh RRJP3 tertakluk kepada pencapaian sesuatu kemajuan dan
langkah kawalan yang berkaitan. Ini adalah bagi membolehkan bank
tempatan mengembangkan keupayaan dan mengukuhkan infrastruktur mereka
sebelum persaingan asing baru diperkenalkan. Dalam sektor insurans,
langkah melonggarkan peraturan akan dimulakan untuk membangunkan
keupayaan tempatan dan mengukuhkan daya tahan kewangan, penyeliaan
korporat dan mekanisme perlindungan pengguna. Langkah penyusunan semula
peserta sedia ada akan dipercepatkan untuk menggalakkan lebih
persaingan dalam pasaran tempatan. Pembangunan perbankan Islam dan
sektor takaful pada peringkat awal akan melibatkan pengukuhan
infrastruktur operasi dan institusi. Ini akan diikuti dengan persaingan
lebih hebat dan usaha menaik taraf infrastruktur serta meningkatkan
piawaian prestasi melalui proses liberalisasi yang progresif.
Meluas dan Mendalamkan Pasaran Modal
1.47
Satu pengajaran penting dari krisis kewangan 1997-1998 adalah perlunya
dipelbagaikan risiko dalam ekonomi dengan membangunkan sumber
pembiayaan yang lain dan mengurangkan pergantungan yang berlebihan
kepada sektor perbankan. Sekuriti hutang swasta dan urus niaga sekunder
dalam pasaran sekuriti Kerajaan akan diperbaiki lagi untuk melengkapi
pasaran saham. Pasaran sekuriti hutang swasta yang aktif akan dapat
memenuhi keperluan urusan pembiayaan yang besar dan lebih kompleks
untuk membolehkan syarikat mendapatkan pembiayaan jangka panjang
berkadar tetap pada kos yang lebih rendah berbanding dengan pinjaman
bank. Di samping itu, industri modal teroka akan dibangunkan lagi untuk
menyediakan modal ekuiti kepada pelaburan berasaskan pengetahuan yang
baru yang berisiko tinggi tetapi menghasilkan pulangan yang tinggi.
1.48
Dalam pasaran saham, usaha akan dilaksanakan untuk memperbaiki
penyebaran maklumat korporat dan mendidik pelabur terutamanya pelabur
runcit supaya keputusan pelaburan dibuat berlandaskan fakta asas.
Pelabur dalam pasaran modal juga perlu memahami sepenuhnya risiko yang
terlibat dan mengguna pakai sistem pengurusan risiko yang berkesan
untuk menghadapi risiko baru yang mungkin timbul. Aktiviti pasaran
modal akan disokong oleh perantara serta intitusi yang kukuh dan
berdaya saing di peringkat antarabangsa. Untuk memenuhi keperluan
tersebut dan membentuk hala tuju strategik bagi pembangunan pasaran
modal dalam jangka panjang, Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) akan
diperkenalkan.
1.49 Di
bawah CMP, Malaysia dijangka akan menubuhkan pasaran modal bertaraf
dunia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam semua bidang
utama untuk menyokong keperluan modal dan pelaburan negara serta
menjadi saluran pengemblengan dan pengagihan dana yang cekap. Usaha ini
akan disokong oleh rangka kerja kawal selia yang kukuh yang membolehkan
pasaran modal berfungsi dengan berkesan serta memberi keyakinan yang
tinggi kepada penggunanya. Untuk membangunkan institusi pasaran yang
berdaya saing di peringkat antarabangsa hanya sebuah bursa saham dan
sebuah gedung penjelasan Malaysia akan ditubuhkan. Pasaran dan
instrumen pembiayaan akan diperluas dan diperdalamkan melalui
pembangunan dan penambahan saluran mendapatkan modal yang lain seperti
pasaran bon korporat dan modal teroka. Industri broker saham akan
diperkukuhkan dan satu kategori perantaraan baru yang dikenali sebagai
broker sejagat akan diwujudkan untuk membangunkan pasaran yang lebih
berdaya saing bagi perkhidmatan kewangan yang bersepadu serta
menyediakan industri tersebut untuk diliberalisasikan. Malaysia akan
dimajukan sebagai pusat pasaran modal Islam antarabangsa sebagai
sebahagian daripada usaha memanfaatkan kelebihan daya saing negara.
1.50
Industri pengurusan pelaburan akan diberi kelonggaran supaya
kekesanannya dapat dipertingkatkan. Dana pencen akan dikaji semula
untuk membolehkan lebih ramai pengurus dana memperoleh peluang
mendapatkan dana untuk diuruskan. Bagi mewujudkan persekitaran yang
lebih sesuai untuk pelabur, rangka kerja penyeliaan korporat akan
diperkukuh dan pengiktirafan terhadap kepentingan pemegang saham akan
dipertingkatkan. Satu rangka kerja kawal selia yang berasaskan pasaran
sepenuhnya bagi semua jenis pasaran modal akan diguna pakai untuk
memastikan proses dan tatacara pasaran dapat menyokong matlamat umum
kawal selia serta membantu ke arah meningkatkan persaingan dan inovasi
dalam pasaran.
Mengukuhkan Penyeliaan Korporat
1.51
Langkah yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk mengurangkan
penyelewengan korporat dan ketidaktentuan pasaran saham serta
mengukuhkan kedudukan pemegang saham minoriti adalah bertujuan untuk
meningkatkan ketelusan dan penyeliaan korporat secara keseluruhan.
Memandangkan perlunya dipertingkatkan piawaian penyeliaan korporat,
Tatacara Pengendalian Korporat Malaysia telah diterima pakai untuk
mewujudkan pengurusan yang lebih kukuh, bertanggungjawab, telus dan
kebertanggungjawapan selaras dengan amalan dunia yang terbaik. Tatacara
tersebut mengandungi syor mengenai prinsip dan amalan terbaik bagi
penyeliaan korporat yang baik, pengukuhan keseluruhan rangka kerja
kawal selia untuk syarikat tersenarai, latihan dan pendidikan untuk
ahli korporat di Malaysia supaya bersedia melaksanakan syor yang
dikemukakan serta langkah melindungi pemegang saham minoriti. Dalam
tempoh RRJP3, Kerajaan akan meningkatkan kesedaran mengenai tatacara
tersebut dan akan menggalakkan sektor swasta untuk mematuhinya. Dengan
mengguna pakai tatacara ini sektor korporat akan menuju ke arah kawal
selia kenderi dan ini akan disokong oleh peningkatan persekitaran
perundangan dan kawal selia untuk menggalakkan budaya korporat yang
cemerlang.
Menghadapi Persaingan Antarabangsa
1.52
Persaingan di peringkat antarabangsa dan rantau dijangka akan menjadi
lebih hebat berikutan pelaksanaan komitmen Malaysia terhadap Pertubuhan
Perdagangan Sedunia (WTO) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)
serta usaha gigih inisiatif dua hala. Kemajuan pesat ICT akan
memperhebatkan persaingan. Malaysia akan terus menyertai secara aktif
dalam kerjasama pelbagai hala dan memenuhi komitmennya untuk membuka
pasaran. Walaupun Malaysia akan terus menyokong proses liberalisasi,
Malaysia akan melaksanakan komitmennya mengikut tahap kesediaan dan
sejajar dengan keupayaan institusi negara serta matlamat pembangunannya
supaya proses tersebut memberi faedah untuk semua pihak. Dalam hubungan
ini, Malaysia akan menyertai inisiatif pemuafakatan dengan negara yang
sealiran dengan pandangan Malaysia supaya rundingan dapat dijalankan
dengan berkesan.
1.53
Industri tempatan perlu meningkatkan produktiviti, kecekapan dan
keupayaan inovasi mereka untuk menghadapi persaingan antarabangsa.
Dasar berkaitan dengan perdagangan, perindustrian dan teknologi akan
diperkemaskan supaya industri dan perniagaan tempatan mampu bertindak
secara lebih berkesan dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan
yang dapat bersaing dengan jayanya di pasaran tempatan dan luar negara.
FDI akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing serta
mendapatkan peluang dalam pasaran antarabangsa. Majlis Daya Saing
Nasional akan ditubuhkan untuk memantau dan memberi panduan ke arah
peningkatan daya saing Malaysia.
Meningkatkan Produktiviti
1.54
Peningkatan produktiviti merupakan nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan
daya saing Malaysia. Untuk meningkatkan produktiviti, usaha yang lebih
akan diambil bagi meningkatkan kemahiran, mengguna pakai teknik
pengurusan dan organisasi yang lebih baik, meningkatkan tahap P&P
dan S&T serta mengeluarkan barangan yang bermutu tinggi dan
mengikut keperluan pelanggan. Sektor swasta juga akan digalak untuk
mendapatkan pengiktirafan piawaian kualiti di peringkat antarabangsa
termasuk pentauliahan oleh Organisasi Piawaian Antarabangsa dan badan
lain. Kandungan pengetahuan dalam produk, perkhidmatan dan proses
dalaman mesti dipertingkatkan dengan ketara serta diikuti dengan budaya
kerja yang mantap dan sikap yang positif. Budaya kecemerlangan dan
usaha berterusan untuk sentiasa meningkatkan produktiviti akan digalak
dan ditumpukan kepada individu dan perniagaan. Kenaikan upah perlu
disokong oleh peningkatan produktiviti dan prestasi kerja supaya rakyat
Malaysia dapat menikmati taraf hidup yang lebih tinggi tanpa inflasi.
Inisiatif juga akan diambil untuk mengurangkan kos menjalankan
perniagaan supaya daya saing dan produktiviti dapat dipertingkatkan.
Kerajaan akan terus menilai dan mengkaji semula pelbagai komponen kos
termasuk cukai, kadar utiliti dan bahan api, pengangkutan serta buruh
untuk memastikan kos di Malaysia kekal berdaya saing.
Memperkukuhkan S&T dan P&P
1.55
Untuk mengekalkan daya saing industri Malaysia dan mendapat faedah
daripada ekonomi berasaskan pengetahuan, persekitaran untuk inovasi dan
pengetahuan perlu diperkukuhkan. Kerajaan akan mengkaji semula sistem
inovasi sedia ada supaya sejajar dengan keperluan masa hadapan.
Perhatian akan diberi kepada usaha memperbaiki daya cipta dan inovasi
dalam sistem penyampaian pendidikan dan latihan, menggiatkan S&T
dan P&P serta memastikan wujudnya kemudahan pembiayaan. Kerajaan
akan menggalakkan budaya inovasi serta usaha membentuk rangkaian dan
kelompok di kalangan mereka yang terlibat untuk meningkatkan penerapan
teknologi. Usaha akan diambil untuk meningkatkan kerjasama di antara
institusi penyelidikan sektor awam dengan sektor swasta untuk
pembangunan, penyebaran dan pengkomersilan P&P yang berkesan.
1.56
Untuk menggalakkan aktiviti S&T dan P&P, Kerajaan akan
menyediakan persekitaran yang bersesuaian dan sokongan yang aktif untuk
memupuk dan mempercepatkan pertumbuhan paten, cop perniagaan dan
hakcipta. Perundangan yang sesuai akan diperkenalkan untuk melindungi
hak harta intelektual dalam konteks perkembangan pesat rangkaian yang
menggunakan perantaraan komputer dan infrastruktur maklumat dunia yang
membolehkan bahan yang mempunyai hak cipta diumpuk ke bawah.
Membangunkan Keupayaan Keusahawanan dan Keusahawanan Teknologi
1.57
Sebagai sebuah negara perdagangan, rakyat Malaysia memiliki kemahiran
keusahawanan. Walau bagaimanapun, kemahiran ini tidak mencukupi bagi
memenuhi keperluan sebuah ekonomi dalam persekitaran globalisasi yang
semakin meluas dan perubahan teknologi yang pesat. Perusahaan Malaysia
akan menghadapi persaingan yang semakin hebat daripada peniaga baru di
pasaran dalam negeri dan antarabangsa. Untuk berjaya, perniagaan dan
syarikat Malaysia perlu pantas mendapatkan pengetahuan membuat sesuatu
serta boleh mengenalpasti potensi komersil peluang yang wujud dan
mengambil risiko yang telah diperhitungkan. Usahawan mesti bersedia
untuk menggunakan pengetahuan dan teknologi terkini, menjalan dan
mengendalikan perniagaan dalam pelbagai persekitaran budaya, mempunyai
kemahiran berunding yang tinggi dan mampu membentuk pakatan strategik.
Mereka perlu menggunakan pengetahuan, kemahiran dan daya cipta untuk
memperbaiki produk dan perkhidmatan serta meningkatkan produktiviti
mereka. Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan menyokong inisiatif sektor
swasta untuk memperkukuhkan keupayaan keusahawanan serta menggalakkan
pembangunan usahawan teknologi. Di samping itu, usaha yang sedang
dilaksanakan untuk membangunkan usahawan Bumiputera akan ditumpu kepada
peningkatan daya tahan dan kemampuan berdikari supaya mereka boleh
bersaing di pasaran dalam negeri dan antarabangsa.
Membangunkan Syarikat Bertaraf Dunia
1.58
Syarikat Malaysia perlu berfikir secara global dan melihat lebih jauh
daripada pasaran dalam negeri. Dalam tempoh RRJP3, tumpuan akan diberi
kepada pembangunan syarikat Malaysia yang bertaraf dunia yang boleh
menjadi contoh ikutan bagi syarikat Malaysia yang lain untuk mencapai
kecemerlangan. Syarikat ini perlu menanda aras mengikut piawaian
bertaraf dunia, mengguna pakai amalan dunia yang terbaik serta
menggalakkan budaya kecemerlangan dan meningkatkan produktiviti dalam
organisasi mereka. Daya saing syarikat bergantung kepada keupayaan
mereka untuk mencari peluang dan sumber input, komponen dan
perkhidmatan pada kos yang paling kompetitif. Perniagaan tempatan akan
digalak mewujudkan perhubungan yang memberi kebaikan bersama dengan
rakan kongsi asing untuk memperolehi peluang pasaran, teknologi,
pengetahuan membuat sesuatu serta input lain termasuk pembungkusan dan
pengenalan jenama bagi membolehkan barangan Malaysia bersaing di
pasaran dunia.
Membangunkan PKS Tempatan
1.59
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan asas penting yang
menjadi pengukuh kepada sektor perindustrian negara dan menyediakan
asas yang diperlukan untuk pembangunan industri masa hadapan. Dalam
pembangunan kelompok industri seperti yang terdapat dalam Pelan Induk
Perindustrian Kedua (PIP2), PKS akan berkembang menjadi pembekal
penting serta penyedia perkhidmatan untuk industri utama. Bagi PKS yang
hasrat memasuki pasaran dunia atau menjadi pembekal kepada syarikat
multinasional, mereka mesti komited untuk mencapai tahap prestasi
tertinggi secara berterusan dan mengubah proses pembuatan ke tahap yang
lebih tinggi melalui P&P serta meningkatkan kemahiran dan teknologi
yang berterusan. Untuk meransang pertumbuhan PKS, paras nilai ambang
pelaburan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian akan dikaji semula.
1.60
PKS akan digalak untuk segera menceburi sektor pembuatan berasaskan IT
dan menumpu kepada semua aktiviti penting dalam rantaian nilai sektor
tersebut iaitu daripada rekabentuk kepada pemasaran. Mereka mesti
mengguna pakai amalan pembuatan terbaik yang diiktiraf dan diterima di
peringkat antarabangsa supaya mereka menjadi cemerlang dalam kelebihan
teras mereka dan mampu mewujudkan kerjasama yang melangkaui sempadan
yang merupakan ciri bagi rangkaian pengeluaran antarabangsa. Dalam
proses tersebut, PKS Malaysia akan digalak untuk berusaha ke arah
membentuk dan mengukuhkan kelebihan mereka serta muncul menerajui
pasaran mengikut kebolehan mereka sendiri.
Mewujudkan Sektor Awam Bertaraf Dunia
1.61
Sektor awam bertaraf dunia adalah penting untuk menyokong pertumbuhan
ekonomi yang pesat dan memastikan peningkatan taraf dan kualiti hidup.
Oleh itu, adalah perlu untuk menarik dan mengekalkan kakitangan yang
lebih berkaliber tinggi supaya pentadbiran awam, perkhidmatan awam,
pengurusan ekonomi serta perlindungan kepentingan negara di forum
antarabangsa dapat dikendalikan pada tahap kemahiran tertinggi.
Pengambilan kakitangan yang terpilih termasuk mereka yang mempunyai
kemahiran khusus, berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan yang
cemerlang akan dilaksanakan. Kemampuan anggota perkhidmatan awam sedia
ada akan dipertingkatkan untuk meninggikan kualiti perkhidmatan bagi
mencapai taraf dunia. Pendekatan pengurusan sumber manusia yang
berasaskan kecekapan akan diguna pakai.
1.62
Program pembaharuan sektor awam akan diperkukuhkan lagi dalam tempoh
RRJP3. Ia bertujuan untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam sektor
awam berasaskan nilai teras iaitu kualiti, produktiviti, inovasi,
kewibawaan, disiplin, kebertanggungjawapan dan profesionalisme. Usaha
akan diambil untuk terus meningkatkan produktiviti, memperbaiki sistem
penyampaian dan menghapuskan prosidur dan kawalselia yang tidak lagi
bersesuaian. Penekanan akan diberi kepada pengukuhan mekanisme
pemantauan serta keupayaan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut
jadual dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Usaha juga akan
diambil untuk memperbaiki pentadbiran badan kawal selia dan badan yang
memberi kelulusan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa
tempatan bagi memudahkan perkembangan sektor swasta dan menghasilkan
kekayaan, melindungi kepentingan awam dan meningkatkan kesejahteraan
rakyat. Dalam tempoh Rancangan, peranan sektor awam sebagai pengawal
selia untuk menjaga kepentingan awam juga akan diperkukuhkan dalam
konteks pelaksanaan program penswastaan selanjutnya.
1.63
Strategi untuk meningkatkan pembaharuan pentadbiran dalam perkhidmatan
awam Malaysia termasuklah menyediakan lebih banyak perkhidmatan yang
berorientasikan pelanggan, memperbaiki sistem dan prosidur kerja,
meningkatkan penggunaan ICT, mengukuhkan kerjasama di antara sektor
awam dengan swasta, memperbaiki struktur organisasi dan pembangunan
sumber manusia, meningkatkan kebertanggungjawapan dan disiplin serta
memupuk nilai kecemerlangan. Agenda kemajuan pentadbiran sektor awam
akan terus menerapkan pelbagai jenis amalan terbaik dari seluruh dunia
yang telah digunakan dan terbukti berjaya. Pelbagai inisiatif untuk
meningkatkan kualiti serta projek e-kerajaan akan memastikan
perkhidmatan awam sentiasa mengikut perkembangan pembangunan
berorientasikan perkhidmatan di peringkat antarabangsa dan menerap
amalan pengurusan yang terbaik.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 01 January 2009