23. PERSYARIKATAN MALAYSIA

Latarbelakang

      Dasar Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated
     ini telah pertama kalinya diutarakan oleh  YAB  Perdana
     Menteri   Datuk   Sri   Dr.Mahathir   Mohamed  di waktu
     pelancaran  Forum  INTAN  pada  25hb.  Februari,  1983.
     Semenjak   itu  dasar  ini  telah  banyak  dikupas  dan
     diperbincangkan bukan sahaja oleh  media  massa  tetapi
     juga  oleh  ahli-ahli  politik,  ahli-ahli  perniagaan,
     pegawai kerajaan dan juga gulungan intelektual.

Rasional

      Dalam sesebuah negara seperti Malaysia ini terdapat dua
     sektor  utama  yang  akan menentukan maju dan mundurnya
     negara  ini,  iaitu  sektor  swasta  dan  sektor  awam.
     Kedua-dua  sektor  ini  seharusnya   boleh  bekerjasama
     dalam semua  bidang  untuk  mencapai  dan  meningkatkan
     pembangunan dan imej negara ke tahap yang lebih baik.
           Dilihat sekali imbas sektor swasta adalah menjadi
     pendokong  kepada  aktiviti  perdagangan  dan  ekonomi,
     manakala sektor awam akan menyediakan dasar-dasar utama
     dan  menentukan  arah  serta  menyediakan  perkhidmatan
     sokongan yang tertentu kepada pihak swasta. Dengan  ini
     pihak   kerajaan  atau  awam  lebih  merupakan  pemberi
     perkhidmatan kepada syarikat dan perusahaan.
          Keperluan kepada dasar Persyarikatan Malaysia  ini
     ujud hasil dari kesedaran bahawa pada masa ini terdapat
     beberapa  perkara  dan  persoalan-persoalan  pokok yang
     menjadi  berasingan  atau  bertentangan  seperti   soal
      matlamat  organisasi, perhubungan peranan dan peraturan
     di antara pihak awam dan swasta.

Objektif

      Persyarikatan  Malaysia  bertujuan   mengujudkan   satu
     kerjasama  yang  erat, bermakna  dan berkesan di antara
     pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam  menjayakan
     pembangunan  negara  yang akan membuahkan munafaat yang
     akan dikecapi oleh kedua-dua pihak.
          Y.A.B. Perdana Menteri sendiri menerangkan  konsep
     Persyarikatan   Malaysia  memerlukan  kedua-dua  sektor
     menghapuskan sikap permusuhan  dan  sebaliknya  bersama
     berkongsi   maklumat,   tanggongjawab,   cabaran  serta
     memahami polisi, objektif dan prosediur-prosediur dalam
     usaha-usaha   mempertingkatkan   pembangunan    sosial,
     pentadbiran dan ekonomi negara. Hubungan kerjasama yang
     erat  ini  sebenarnya  akan  menguntungkan  semua pihak
     di mana dasar-dasar awam akan mudah difahami, dilaksana
     dan   diterima   oleh   segenap   lapisan   masyarakat.
     Keuntungan yang diperolehi oleh sektor swasta pula akan
     dapat  dikecapi  bersama-sama    melalui    cukai   dan
      penglibatan sosial secara bersungguh oleh pihak swasta.

Strategi Pelaksanaan

      Kesefahaman  dan  kerjasama  di antara kedua-dua sektor
     boleh dicapai melalui:

          i)    Sikap kurang faham terhadap pihak awam dengan
               pihak swasta perlulah dihapuskan.
         ii)   Pihak awam dan swasta haruslah mempunyai satu
               persetujuan  bagi  mencapai matlamat  negara.
               Dengan itu kedua-dua pihak mempunyai matlamat
               iaitu  menjaga  maruah negara dan tidak hanya
               satu  pihak  sahaja   yang   akan  bersungguh
               membangunkan negara.
         iii)  Peraturan  dan  prosediur  kerja  pihak  awam
               hendaklah dikaji dan diubah di mana perlu dan
               jika boleh pihak swasta hendaklah  dilibatkan
               dalam  menggubal  peraturan  serta  prosediur
               yang ada.
          iv)  Hubungan  di antara Kementerian/Jabatan/Badan
               Berkanun di antara  satu  sama lain hendaklah
               dipertingkatkan supaya setiap agensi kerajaan
               mempunyai matlamat  kerja  dan  cara  bekerja
               yang sama.    Ini  membolehkan  pihak  swasta
                mudah menghubungi dan menguruskan kerja-kerja
               mereka.

             Dalam hubungan ini, pihak INTAN telah mengadakan
     beberapa siri forum,  seminar  dan  perbincangan  dalam
     usaha-usaha       mendapatkan       pandangan-pandangan
     pertukaran-pertukaran   maklumat        di    peringkat
     persekutuan   dan  negeri-negeri.    Beberapa  syarikat
     swasta juga telah mengambil inisiatif untuk  mengadakan
     seminar yang serupa.
           Dalam usaha mengujudkan kerjasama yang lebih erat
     dan  penglibatan  pihak  swasta dalam penggubalan dasar
     dan  prosediur,  secara  lebih  berkesan,  satu   Surat
     Pekeliling  Am  Bil.  2  Tahun 1984 yang ditandatangani
     oleh  Ketua  Setiausaha   Negara   telah   dikeluarkan,
     mengarah   supaya  semua  Kementerian,  Jabatan,  badan
     berkanun dan Pejabat Daerah menubuhkan  Perundingan  di
     antara pihak swasta dan pihak awam.
          Selain dari itu beberapa program-program lain juga
     telah  dijalankan  seperti menempatkan pegawai kerajaan
     ke syarikat swasta.   Sebagai permulaannya  seramai  18
      orang  pegawai  telah  ditempatkan di British Malaysian
     Industry and Trade Association (BMITA) mulai tahun 1984
     yang lalu dengan tujuan membolehkan pegawai-pegawai itu
     mempelajari  selok  belok  pengurusan   sektor   swasta
     tentangnya   dibidang   perniagaan,   perdagangan   dan
     industri.

Penutup

     Dasar Persyarikatan Malaysia sebenarnya memerlukan perubahan
    sikap oleh kedua-dua sektor awam  dan  swasta  untuk memupuk
    persefahaman    dan   kerjasama   yang   lebih   erat   agar
    kesejahteraan rakyat Malaysia  akan  dapat  dipertingkatkan.
    Ianya   timbul   atas   kesedaran   bahawa  kedua-dua  pihak
    sebenarnya adalah sehaluan untuk menjadikan negara ini lebih
    maju.
    Sesungguhnya potensi bagi ekonomi  Malaysia  bertambah  maju
    amatlah  besar  sekali  memandangkan  negara ini kaya dengan
    sumber   asli   yang   seharusnya    digemblengkan.    Dasar
    Persyarikatan  Malaysia  ialah untuk menggemblengkan sumber-
    sumber ini melalui kerjasama yang padu di antara sektor awam
    dan   sektor   swasta.   Sesungguhnya   pelaksanaan    Dasar
    Persyarikatan  Malaysia  yang  berkesan  akan  dapat memberi
    sumbangan yang besar ke arah kejayaan lain-lain  dasar  awam
    negara  seperti  Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pertanian
    Negara, Penswastaan dan lain-lain.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008