15. DASAR SOSIAL NEGARA
Pengenalan
Dasar Sosial Negara (DSN) adalah satu
dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan
peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan
sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia
yang maju dan mantap.
Matlamat
Dasar ini yang diluluskan oleh kabinet
pada 19 Februari 2003 bermatlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang
maju dan mapan dari aspek sosial, ekonomi dan teknologi.
Setiap anggota masyarakat berpeluang
untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam
persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu-padu,
berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif,
penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020.
Objektif
Objektif Umum
1. Menjamin setiap individu, keluarga dan
komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama,budaya,gender dan fahaman
politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus
pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara
berterusan.
Objektif Khusus
1. Selaras dengan penyataan matlamat dan
objektif umum, Dasar Sosial Negara menggariskan empat objektif khusus
yang saling melengkapi dengan menerapkan nilai-nilai murni di setiap
peringkat pelaksanaannya:
a. Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi;
b. Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat;
c. Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial; dan
d. Menjana sinergi multisektor.
Strategi
Strategi-strategi bagi mencapai setiap objektif Dasar Sosial Negara adalah seperti yang berikut:
Objektif 1: Memastikan Keperluan Asas Individu, Keluarga dan Masyarakat
Dipenuhi
Bagi menjamin kesejahteraan menyeluruh, hendaklah dipastikan supaya setiap individu, keluarga dan masyarakat berhak menikmati:
a. Keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal secukupnya;
b. Persekitaran fizikal yang sihat, bersih, selamat, dan mesra insan;
c. Persekitaran sosial yang mengutamakan nilai-nilai murni;
d. Peluang untuk meningkatkan kualiti
hidup dari segi kesihatan, pendidikan, pekerjaan/kerjaya, keselamatan,
kerohanian dan maklumat;
e. Kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta hak sebagai warganegara yang dilindungi oleh undang-undang; dan
f. Keperluan hidup yang lain sesuai dengan perkembangan semasa.
Strategi
Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 1:-
a. Mewujudkan pelbagai peluang dan
kemudahan agar setiap individu, keluarga dan masyarakat dapat menikmati
keperluan asas kehidupan dan menyertai arus pembangunan negara.
b. Memastikan setiap individu mendapat hak untuk kelangsungan hidup,
perlindungan, perkembangan dan penyertaan serta dapat menikmati
keperluan asas sepanjang hayat, tidak terpinggir dan tersisih daripada
arus pembangunan.
c. Memastikan keperluan hidup yang holistik menjadi teras kehidupan setiap individu, keluarga dan komuniti.
Objektif 2: Membangun Dan Memperkasakan Insan Sepanjang Hayat
Segala tindakan adalah bertujuan
membangun dan memperkasakan setiap individu tanpa membezakan kumpulan
etnik, agama, budaya, gender, wilayah, fahaman politik, taraf
perkahwinan dan keupayaan fizikal, serta mengambil kira kepekaan
terhadap keperluan dan kehendak jantina. Ini bagi memastikan individu
dapat mengguna dan mempertingkatkan sumber serta kebolehan kendiri
secara optimum bagi mencapai matlamat kendiri dan masyarakat pada
setiap peringkat kitaran hidup. Usaha berterusan hendaklah dibuat bagi
memastikan setiap individu memberi dan menerima kemesraan dan kasih
sayang sepanjang hayat.
Strategi
Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 2:-
a. Menjamin hak janin atau kandungan
untuk hidup dan berkembang dalam keadaan selamat dan sihat tanpa
diganggu oleh ancaman dan eksploitasi.
b. Mengiktiraf dan memupuk keupayaan
setiap bayi dan kanak-kanak berfikir dan berperasaan serta dilindungi
daripada dilabel, didiskriminasi dan dijadikan mangsa oleh anggota
masyarakat.
c. Menentukan setiap bayi dan kanak-kanak
di peringkat awal (2-6 tahun) mendapat peluang meneroka persekitaran
untuk menentukan perkembangan sel-sel otak secara maksimum. Ia juga
bagi membantu pembinaan tubuh, peningkatan keyakinan diri serta
perkembangan identiti kendiri yang sihat di dalam satu suasana dan
jalinan perhubungan yang positif dalam keluarga dan komuniti.
d. Memastikan setiap kanak-kanak menerima
pendidikan wajib peringkat sekolah rendah yang mendidik kemahiran
sosial dan disiplin diri serta rangsangan minda melalui kurikulum yang
meningkatkan kemahiran berfikir.
e. Menentukan setiap remaja (13-18 tahun)
diberikan pengiktirafan, penghormatan, peluang serta bimbingan untuk
mengenali hak-hak dan tanggungjawab dan mengamalkan peranan tertentu
dalam keluarga, sekolah dan komuniti sebagai persediaan untuk memainkan
peranan sebagai seorang dewasa sepenuhnya kelak.
f. Menentukan setiap individu yang sudah
menjangkau umur melebihi 18 tahun, yang mula mencapai taraf berdikari
dalam aspek ekonomi tertentu, diberi sokongan, bimbingan, pengetahuan
dan kemahiran untuk membuat keputusan tentang pelajaran, pekerjaan,
kekeluargaan dan perhubungan sosial.
g. Memastikan setiap individu di alam
pertengahan dewasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta
mendapat sokongan dan bimbingan untuk menguruskan keluarga; penyesuaian
dalam hubungan kekeluargaan serta perubahan dalam kerjaya.
h. Menyalur dan memberikan peluang kepada
setiap warga tua (60 tahun ke atas) yang merupakan insan di puncak
kitaran hidup mereka dengan kematangan, pengalaman hidup dan
berbagai-bagai kemahiran serta sumber-sumber yang dimiliki, untuk terus
membuat sumbangan kepada masyarakat, berasaskan tahap tenaga, minat,
kemampuan dan motivasi yang mereka miliki.
i. Memberikan pengiktirafan, sokongan dan
bantuan kepada setiap warga tua yang memerlukannya dengan pihak
keluarga dan kerajaan menentukan mereka tidak tertekan dari segi emosi,
kewangan dan kesihatan dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan dan
bantuan sehingga akhir hayat mereka.
j. Menanamkan nilai-nilai patriotisme di kalangan semua lapisan masyarakat.
k. Mengambil langkah untuk memastikan
setiap perancangan dan penggubalan program bagi setiap kumpulan
dirancang dan digubal bersama dengan anggota kumpulan berkaitan.
Objektif 3: Memperkukuh dan Membangunkan Sistem Sokongan Sosial
dan Perkhidmatan Sosial
Segala usaha perlu diambil untuk
memperkuatkan sistem sokongan sosial yang sedia wujud iaitu sistem
keluarga, komuniti, kumpulan etnik, agama, pendidikan dan organisasi
sosial untuk membantu setiap anggota masyarakat membangun dan berfungsi
secara optimum serta berfungsi sebagai sistem kawalan sosial. Selain
itu, sistem sokongan yang baru sebagai tambahan perlu diwujudkan bagi
tujuan tersebut.
Semua sektor yang terlibat di dalam
sistem penyampaian perkhidmatan sosial perlu saling menyokong dan
melengkapi untuk menentukan anggota masyarakat yang memerlukannya
mendapat pilihan perkhidmatan bermutu.
Strategi
Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 3:-
a. Membangunkan setiap keluarga untuk
berfungsi sebagai satu pasukan yang saling menyokong dalam memainkan
peranan serta tanggungjawab supaya setiap ahli keluarga berkembang
dengan optimum mengikut keunikan dan potensi setiap individu.
b. Mengiktiraf identiti, kepentingan dan
keperluan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat Malaysia untuk
mewujudkan sikap toleran dan saling membantu di dalam dan di antara
kaum yang berbeza.
c. Mengiktiraf kelompok keagamaan sebagai
kelompok sosial yang mengamalkan sistem nilai dan cara hidup tersendiri
selaras dengan Perlembagaan Negara, menghormati sistem nilai dan cara
hidup penganut agama lain serta menggalakkan interaksi dan saling
memahami antara penganut pelbagai agama.
d. Memberikan peluang kepada semua
anggota masyarakat untuk mencapai kecemerlangan melalui sistem
pendidikan yang fleksibel, aksesibel, inovatif, relevan dan dinikmati
oleh semua anggota masyarakat sepanjang hayat mereka.
e. Memastikan sesebuah organisasi atau
agensi menyediakan keperluan asas sosial serta memberikan sokongan dan
bimbingan kepada kakitangannya sebagai satu tanggungjawab asas.
f. Menentukan supaya organisasi atau
agensi yang memberikan khidmat sosial mementingkan kakitangan yang
dilengkapi dengan kemahiran sosial dan teknologi terkini serta yang berhubung langsung dengan kumpulan sasar.
g. Menggalakkan setiap organisasi atau
agensi, di semua peringkat dan sektor menggubal dan melaksanakan dasar
di peringkat organisasi sebagai panduan bagi menentukan perkembangan
sosial yang optimum untuk kakitangan dan kumpulan sasarnya.
h. Menggalakkan sesebuah komuniti, sama
ada di dalam bandar atau luar bandar supaya bekerjasama dan saling
membantu menyediakan berbagai-bagai perkhidmatan untuk memenuhi
keperluan anggotanya dan mendirikan sistem amaran awal untuk mengenal
pasti gejala sosial.
i. Menjalankan Penilaian Prestasi
Perkhidmatan Sosial atau Audit Sosial bagi membuat pemantauan ke atas
organisasi dan agensi perkhidmatan sosial.
j. Mensyaratkan Penilaian Impak Sosial atau Social Impact Assessment (SIA) digunapakai dalam perancangan dan pelaksanaan semua program dan aktiviti pembangunan awam dan swasta.
k. Menyediakan Laporan Tahunan Sosial
yang mengandungi petunjuk-petunjuk sosial yang lengkap bagi memantau
secara objektif dan tepat berkaitan kemajuan pembangunan sosial.
l. Menentukan sesuatu isu sosial dikaji,
diselidiki dan dianalisisa dengan terperinci, objektif, rasional dan
profesional dari segala sudut serta menyebarkan kefahaman tentang isu
sosial itu kepada seluruh masyarakat supaya segala usaha yang diambil
untuk menanganinya adalah cekap dan berkesan.
m. Mewujudkan peluang untuk semua anggota
masyarakat memperolehi pelbagai kemahiran sosial sama ada secara formal
ataupun tidak formal agar anggota masyarakat dapat berinteraksi dengan
berkesan.
n. Memperluaskan khidmat
bimbingan yang ditawarkan oleh semua sektor kepada semua kumpulan sasar
yang memerlukan khidmat bimbingan serta menentukan perkhidmatan
tersebut bermutu dan profesional, serta disokong oleh
separa-profesional.
o. Mewujudkan satu pangkalan maklumat mengenai perkhidmatan
sosial yang ditawarkan oleh semua sektor yang boleh dicapai oleh setiap
anggota masyarakat dengan cepat, mudah dan pada kadar yang dimampuinya.
p. Menyediakan kemudahan bagi semua
sektor untuk menjalankan perkhidmatan pendampingan bagi mendekati
mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan dan bimbingan.
q. Mewujudkan di dalam setiap organisasi satu pasukan intervensi krisis yang terlatih dan berkemahiran yang sentiasa bersedia untuk mengendalikan berbagai jenis krisis sosial dengan berkesan.
r. Membangunkan perkhidmatan pakar di
dalam semua bidang berkaitan dengan pembangunan sosial untuk memenuhi
keperluan sebenar masyarakat.
s. Menyediakan perkhidmatan bimbingan
guaman degan kadar yang tidak membebankan untuk membantu anggota
masyarakat membuat keputusan tentang tindakan terhadap hak dan
tanggungjawab mereka dalam masyarakat.
t. Menggalakkan sektor swasta dan sukarela menubuh dan mengendalikan institusi perkhidmatan sosial yang bermutu untuk memenuhi keperluan anggota masyarakat yang memerlukan perkhidmatan sedemikian.
u. Menggalakkan serta menyokong usaha berdikari dan pemerkasaan diri melalui penubuhan kelompok sokongan.
v. Menggalakkan serta menyokong
penyertaan aktif komuniti dalam usaha mewujudkan pelbagai jenis
perkhidmatan pemulihan untuk semua kumpulan sasar.
Objektif 4: Menjana Sinergi Multisektor
Kerjasama di kalangan sektor awam serta
antara sektor awam dengan sektor swasta dan sukarela perlu
dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan sumber dalam
masyarakat untuk tujuan menjaminkan perkhidmatan sosial yang terbaik
bagi semua anggota masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan
sosial adalah tanggungjawab bersama. Persaingan dan pertindihan peranan
antara pelbagai agensi dan sektor perlu dikurangi dan diatasi agar
penggunaan sumber dan tenaga dapat dioptimumkan.
Strategi
Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 4:-
a. Menggalakkan setiap organisasi atau
agensi di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan komuniti di sektor
awam, swasta dan sukarela untuk melakukan kajian dari semasa ke semasa
ke atas struktur dan fungsi masing-masing bagi menentukan kemampuan
pencapaian matlamat pembangunan sosial.
b. Mewujudkan mekanisma Perancangan
Sosial yang bertaraf agensi pusat di peringkat persekutuan, negeri dan
daerah untuk merancang, melaksana, memantau, menyelaras dan menilai
keberkesanan perancangan dan pelaksanaan perkhidmatan sosial dalam
masyarakat.
c. Meningkat dan mengukuhkan peranan dan fungsi bahagian pembangunan sosial di semua peringkat pentadbiran negeri, bahagian/ daerah dan komuniti.
d. Menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan
mewujudkan program dan kemudahan sosial yang terancang dan lengkap
supaya selaras dengan pembangunan fizikal dan ekonomi yang pesat.
e. Meningkatkan taraf dan memperluaskan
peranan kepimpinan di peringkat akar umbi dalam perancangan,
pelaksanaan dan pemantauan pembangunan sosial.
f. Memastikan setiap wakil rakyat
memainkan peranan dalam pembangunan sosial dan memberikan perkhidmatan
berkesan kepada anggota masyarakat tanpa mengira perbezaan ideologi
atau parti politik.
g. Menggalak dan menyokong perkembangan sektor sukarela dengan
memberikan sokongan, pengiktirafan dan insentif kepada persatuan
perkhidmatan sukarela yang memberi khidmat kepada masyarakat.
h. Menggalakkan sektor
swasta memenuhi tanggungjawab sosial dengan membantu menyediakan
program bagi kumpulan sasar dan menangani isu sosial secara teratur
selaras dengan prinsip pertanggungjawaban sosial korporat.
i. Menyedarkan pelbagai lapisan masyarakat supaya terlibat secara proaktif, dalam proses globalisasi dengan memanfaatkan pelbagai peluang dan potensi untuk memajukan diri, keluarga dan komuniti.
Penutup
Dasar Sosial Negara merupakan dasar
payung yang merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial
negara. Dasar ini memberi halatuju kepada perancangan dan pelaksanaan
program pembangunan sosial tersebut. Pelaksanaan dasar ini akan menjadi
suatu agenda utama Kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia
yang maju dan mapan menurut acuannya sendiri. Pelaksanaan Dasar Sosial
Negara perlu dipantau bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan
pencapaian pembangunan sosial. Kejayaannya bergantung pada komitmen,
sokongan dan kerjasama sektor awam, swasta dan sukarela.
Sumber : Bahagian Pengembangan dan Pembangunan PINTAS, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008