11. DASAR PENGURANGAN BEBAN PERBELANJAAN AWAM

Latarbelakang

            Kemelesatan ekonomi dunia dalam tahun-tahun  1980
     dan  1981  mula memberi kesan sepenuhnya kepada ekonomi
     negara dalam suku  tahun  pertama  1982.    Dengan  itu
     dasar-dasar   ekonomi   perlu   digubal  bagi  menjamin
     kegiatan-kegiatan ekonomi berjalan lancar dan menyokong
     pertimbangan dalam konteks pasaran ekspot yang meleset.
     Satu  daripada  langkah-langkah  tersebut  ialah  dasar
     mengurangkan  perbelanjaan  awam yang dilancarkan dalam
     pertengahan tahun 1982.

Rasional

          Sektor awam berkembang dengan pesatnya dalam tempoh
     Rancangan Malaysia Kedua dan Rancangan Malaysia Ketiga.
     Perbelanjaan  sektor  awam  meningkat  daripada  $3,468
     juta  dalam  tahun 1971 kepada $16,998 juta dalam tahun
     1980, iaitu kadar  pertumbuhan  sebanyak  19.3  peratus
     setahun.  Sebagai nisbah daripada Keluaran Negara Kasar
     (KNK)  perbelanjaaan awam telah meningkat daripada 27.5
     peratus dalam tahun  1971  kepada  33.2  peratus  dalam
     tahun 1980.  Perkembangan pesat ini adalah mencerminkan
     dasar  Kerajaan  untuk meningkatkan pembangunan ekonomi
     dan pencapaian Dasar Ekonomi Baru.
         Pertumbuhan sektor awam dalam dekad 1970'an berlaku
     dalam suasana kedudukan kewangan  negara  yang  mantap.
     Meskipun   terdapat  kesan  dua  krisis  minyak  kepada
     perdagangan  antarabangsa   dan  keadaan  inflasi  yang
     tinggi  (dalam  linkungan  10 peratus setahun), ekonomi
     negara  telah  mencatitkan  kadar  pertumbuhan  sebenar
      sebanyak  8  peratus  setahun dan lebihan terus menerus
     dalam  imbangan  pembayaran  disebabkan   oleh   adanya
     pengeluaran  minyak,  harga-harga  barangan yang tinggi
     dan ekspot buatan yang kukuh.
           Namun demikian, dalam tahun  1980'an  pertumbuhan
     ekonomi  negara  menjadi  semakin lemah disebabkan oleh
     kemelesetan ekonomi dunia yang berpanjangan di  samping
     kelemahan-kelemahan  struktur ekonomi negara yang telah
     wujud setakat ini.  Kadar pertumbuhan sebenar  Keluaran
     Dalam  Negara  Kasar  (KDNK) menurun kepada 6.4 peratus
     setahun dalam tempoh 1981 - 1982 berbanding dengan  8.6
     peratus  dalam  tempoh  1976 - 1980.  Kedudukan ekonomi
     yang lembab ini telah menyebabkan defisit  yang  banyak
     dalam   belanjawan  Kerajaan  dan  dalam  akaun  semasa
     imbangan   pembayaran.      Jumlah   defisit   Kerajaan
     persekutuan  meningkat  daripada  $7.1  billion atau 14
     peratus KNK dalam tahun 1980 kepada $11.2 billion  atau
      18.9  peratus  KNK dalam tahun 1982.  Tindakan Kerajaan
     untuk mendapatkan pinjaman dari luar  negeri  bagi  me-
     nampung   kekurangan   sumber   kewangan  negara  telah
     menaikkan hutang awam, daripada $4.9 billion pada akhir
     tahun 1980 kepada $13.2 billion pada akhir tahun  1982.
     Jika  dimasukkan  hutang-hutang   lain   yang  berunsur
     daripada   pinjaman   Kerajaan-kerajaan   negeri    dan
     badan-badan   berkanun   yang   dijamin  oleh  Kerajaan
     Persekutuan, jumlah hutang negara adalah  semua  sekali
     bernilai  $24.3  billion  dalam  tahun  1982  atau 41.2
     peratus KNK.  Defisit akaun semasa imbangan  pembayaran
     meningkat  kepada  $7,825  juta dalam tahun 1982 (iaitu
     13.4 peratus daripada  KNK)  berbanding  dengan  $5,477
     juta  dalam  tahun  1981  (iaitu  10.1 peratus daripada
     KNK).
           Selepas mengambil kira kedudukan ekonomi  negara,
     pengurangan  perbelanjaan  awam  merupakan satu langkah
     yang mesti dibuat kerana dalam keadaan kemelesetan yang
      serius dan  berpanjangan  seperti  yang  terdapat  pada
     masa  ini,  langkah-langkah  'counter-cyclical'  adalah
     terhad dan tidak dapat dilakukan dengan berkesan selagi
     kelemahan-kelemahan dalam  struktur  ekonomi  belum  di
     atasi.

Objektif

              Dalam konteks kedudukan ekonomi yang meruncing,
     dasar awam  sewajarnya  ditumpukan  kepada  mengukuhkan
     asas-asas ekonomi di samping mengawal kadar inflasi dan
     memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara. Dasar
     bagi  mengurangkan  perbelanjaan  awam  adalah dirangka
     dengan tujuan-tujuan seperti di bawah ini:-

           (a)  Untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan
               selaras dengan sumber-sumber yang ada;
          (b)  Untuk    mengurangkan    defisit   belanjawan
               Kerajaan   ke tahap   yang   selaras   dengan
               pengurusan ekonomi yang berhati-hati;
          (c)  Untuk mengawal pertumbuhan hutang awam supaya
               tidak    menjejaskan    kedudukan    imbangan
               pembayaran negara dan kadar pertukaran asing.

Strategi Pelaksanaan

                Bagi  melaksanakan  dasar ini, Kerajaan telah
     mengkaji  semula  skop,  kekesanan  dan   faedah-faedah
     perbelanjaan   sektor   awam   meliputi   bukan  sahaja
     perbelanjaan   Kerajaan   Persekutuan    tetapi    juga
     Badan-Badan  Berkanun  dan  Perbadanan-Perbadanan  Awam
     yang dikawal  oleh  Kerajaan  Persekutuan  dan  negeri.
     Agensi-agensi   adalah  diminta  untuk  mengkaji  balik
     keperluan-keperluan mereka, keutamaan dan faedah-faedah
     program-program selaras dengan kedudukan kewangan  yang
     terhad,   terutamanya  projek-projek  pembangunan  yang
     lazimnya melibatkan kandungan impot yang tinggi.  Hanya
     projek-projek  yang  dapat   menyumbang   kepada   per-
     kembangan  ekonomi  dan  pencapaian  matlamat DEB shaja
     akan dilaksanakan.
          Lanjutan daripada strategi di atas, Kerajaan  juga
     telah  membekukan  pengisian jawatan-jawatan kosong dan
     pengambilan kakitangan baru.  Jawatan-jawatan awam yang
     sedia ada juga akan dikaji semula bagi memastikan tidak
      ada jawatan-jawatan yang bertindihkan dari segi  bidang
     kerja.  Jawatan-jawatan ini jika dimansuhkan tidak akan
     menjejaskan perkhidmatan awam keseluruhannya.
          Satu lagi langkah yang diambil untuk  mengurangkan
     perbelanjaan    awam    ialah    pengawalan   ke   atas
     agensi-agensi   di   luar    belanjawan    memandangkan
     agensi-agensi  tersebut  mempunyai  pengaruh yang besar
     kepada kewangan Kerajaan.
               Selain  daripada  itu,  langkah-langkah  bagi
     memperkemaskan   operasi   pentadbiran  awam  merupakan
     sebahagian  daripada  strategi   perlaksanaan.      Ini
     termasuk   meningkatkan   kekesanan  sistem  pengawalan
     belanjawan yang ada (iaitu  Sistem  Belanjawan  Program
     Prestasi)    dan  pengenalan sistem-sistem baru seperti
     'micro- accounting'.
          Satu lagi langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk
     mengurangkan    perbelanjaan    awam    ialah     untuk
     mengswastakan beberapa kegiatan Kerajaan di bawah dasar
      pengswastaan.

Penutup

           Sungguh pun ekonomi negara pada masa ini tegap dan
     stabil,  langkah-langkah  untuk  mengukuhkan  kedudukan
     kewangan awam dan imbangan pembayaran perlu diteruskan.
     Kawalan  ketat  ke   atas   perbelanjaan   awam   perlu
     ditekankan.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008