6. DASAR PANDANG KE TIMUR

Latarbelakang

Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Y.A.B.  Perdana Menteri Dato` Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan  Annual  Conference  of  MAJECA/JAMECA"  di Hilton Kuala Lumpur.    Dasar  ini  bermakna,  pihak  Kerajaan  akan membuat  pengkajian,  penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada  negara Jepun   dan   Korea  dengan  mengubahsuaikannya  dengan keadaan-keadaan di Malaysia.  Adalah tidak  tepat  jika Dasar  Pandang  Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan  teladan  yang boleh  dipelajari  dari negara-negara Barat.

Rasional

Seperti yang kita sedia maklum, negara Jepun dan Korea  adalah  merupakan dua buah  negara  yang  begitu pesat membangun, di beberapa bidang,mereka adalah lebih maju  dari  beberapa  negara  Barat sendiri.   Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada  Malaysia  dan  seterusnya   dipraktikkan   bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meninggikan prestasi  pengurusan  dan  pembangunan  sektor awam dan swasta.

Objektif

Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur  ini  ialah untuk  meninggikan  prestasi pengurusan dan pembangunan di negara  ini  serta  mewujudkan  golongan  masyarakat Malaysia  yang  mempunyai  yang positif untuk meninggikan kemajuan negara.

Perkara-perkara yang harus ditumpukan melalui dasar ini ialah 'kerajinan dan  disiplin  bekerja,  kesetiaan kepada  negara  dan  perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada  kumpulan  dan  tidak diri  sendiri,  tekanan daya pengeluaran (productivity) dan mutu yang tinggi (quality), peningkatan  kecekapan, pengurangan  perbezaan  dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am sistem pengurusan  yang  kejayaan jangka panjang dan tidak  semata-mata  peningkatan  dividen  atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek,  dan  lain-lain  lagi  yang  dipercayai   boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita'.*

Sebagai  sebuah negara yang sedang membangun, nilai-nilai dan etika kerja  di  atas  perlu  kerana  ianya  dapat  membantu  menjayakan  pembangunan yang dijalankan. Dasar Pandang Ke Timur ini tidak  bermakna  bahawa Malaysia   mengurangkan   hubungan  dagangannya  dengan rakan-rakan yang ada  sekarang. Sebaliknya  Kerajaan akan  terus  memperluaskan  lagi  perdagangannya dengan mengadakan   hubungan    dengan    rakan-rakan    bukan tradisional  di samping terus mengekalkan dan memajukan hubungan  perdagangan   yang   setia   selaras   dengan kepentingan negara.

Strategi Pelaksanaan

T.Y.T. Perdana Menteri Jepun, Encik Nakasone, semasa dalam kenyataan  akhbar  bersama  dengan  Y.A.B. Dato'  Seri Dr. Mahathir semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat  lawatan  ke  Jepun  pada  23hb.  hingga  29hb. Januari,  1983 dan kenyataan bersama Y.A.B.  Dato' Seri Dr. Mahathir dan T.Y.T. Presiden Republik Korea,  Encik Chun  Doo  Hwan  semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Korea Selatan dari 8hb. hingga  14hb.  Ogos, 1983  telah  menaruh  harapan  yang tinggi bahawa Dasar Pandang Ke Timur ini  akan  mewujudkan  kerjasama  yang lebih  rapat di antara Malaysia dengan kedua-dua negara itu terutamanya dalam  bidang  ekonomi,  perindustrian, latihan-latihan teknikal dan akademik, program kemajuan eksekutif, penyelidikan dan pengurusan. 

Selaras dengan dasar ini, Kerajaan telah menyusun strategi  dan  program  bagi  meningkatkan   kecekapan, kekesanan  dan   penghasilan  kerja yang lebih baik di kalangan pegawai dan kakitangan.   Pegawai-pegawai  dan pelajar  Malaysia  telah  dihantar  ke  Jepun dan Korea untuk  mempelajari  selok  belok  teknikal  dan   aspek pengurusan  di  kedua-dua  negara tersebut.   Di antara program yang telah dijalankan adalah seperti berikut:-

    a)  Perubahan Struktur
    b)  Perubahan Sikap
    c)  Latihan dan Kursus

a)  Perubahan Struktur

    i)  Kad Perakam Waktu Kerja (Punch Card)
    ii)  Penggunaan Tanda Nama (Name Tag)
    iii)  Penubuhan Pasukan Meningkat Mutu     Kerja (QCC)
    iv)  Konsep Pejabat Terbuka
    v)  Perkhidmatan Kaunter/Perkhidmatan Pembayaran Bil Setempat
    vi)   Fail Meja dan Manual  Prosedur  Kerja

b)  Perubahan Sikap

    i)  Perkhidmatan Cemerlang
    ii)  Konsep Bersih, Cekap dan Amanah (BCA)
    iii)  Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)

c)  Latihan dan Kursus
    Latihan  dan  kursus yang dijalankan di bawah Dasar Pandang  ke  Timur  ini  adalah  seperti  berikut:-
   
    i)  Latihan Perindustrian dan Teknikal
    Tujuan  program  ini  adalah  untuk  melatih pekerja   di bidang   teknikal  dalam  usaha meninggikan  kecekapan  dan   menerap  nilai kerja  yang  positif  dari  Jepun  dan Korea dalam  meninggikan  penghasilan kerja.

    ii)  Program Pengajian Akademik
    Tujuan  program  ini  adalah  untuk  memberi    peluang   kepada   pelajar-pelajar  Malaysia untuk menuntut ilmu sains  dan  teknikal  di Jepun dan Republik Korea.

    iii)  Program Pengajian Teknikal
    Program  ini  adalah   menyediakan  peluang latihan  teknikal  lanjutan  pada  pelajar-pelajar lepasan SPVM dan Politeknik.

    vi)  Program Kemajuan Eksekutif
    Objektif program ini adalah untuk  menyediakan  latihan   kepada    eksekutif-eksekutif dalam  mempelajari  kaedah   pengurusan  dan    pentadbiran kerajaan  dan  swasta  di  Jepun dan  Korea.   Mereka   akan  ditempatkan  di beberapa  firma dan agensi Kerajaan di Jepun dan  Korea.   Penekanan-penekanan   yang  diberikan  dalam program ini  ialah   latihan-latihan dalam bidang pengurusan  Sogoshosha, Perjawatan,  Q.C.C  dan pengurusan am.
   
    v)  Hubungan di antara Institusi-institusi
    Program  ini  bertujuan  untuk   menyalurkan permohonan  latihan  yang   diperlukan  oleh Malaysia kepada  institusi  pengajian tinggi di Jepun dan Korea.
   
    vi)  Skim Latihan Pembangunan Usahawan
        Program   yang    dikendalikan   oleh   Unit Penyelarasan   dan    Pelaksanaan,   Jabatan
Perdana   Menteri memberi peluang  dan  pendedahan, usahawan-usahawan bumiputra terhadap    idea    baru dan teknologi luar  pengetahuan-pengetahuan   ini untuk memajukan urusniaga mereka. Program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan  peluang 'business  contacts'   dengan rakan-rakan perniagaan di sana.

Penutup

Sebagai  kesimpulannya,  Dasar  Pandang  Ke  Timur merupakan  satu  usaha  baik  dan  positif  dari  pihak Kerajaan  Malaysia  untuk  meningkatkan  lagi  prestasi pengurusan dan pembangunan  di  negara  ini. Melalui kajian  yang  telah  dibuat oleh pihak INTAN, Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha  di atas  dan  seterusnya  Dasar  ini  dapat membantu usaha Kerajaan   untuk   meninggikan   prestasi   dan    daya pengeluaran  negara  ini.    Di samping itu ianya bolehmenjadi asas pengwujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.
________________________________________________

*   Dipetik  dari  Pekeliling  Jabatan  Perdana Menteri mengenai dasar dasar baru Kerajaan bertarikh pada 28hb. Jun, 1983.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008