Rawatan efektif epilepsi

DENGAN kemajuan terkini dalam bidang perubatan dan teknologi sekarang, epilepsi dan serangan sawan bukan lagi satu halangan untuk menjalani kehidupan yang aktif dan sempurna. Rawatan bagi epilepsi bukan sahaja bagi menyembuhkan semua serangan sawan, tetapi juga untuk menguruskan kehidupan keseluruhan pesakit.

Oleh itu, rawatan yang berkesan untuk epilepsi bermula dengan diagnosis yang betul tentang jenis serangan sawan yang dialami pesakit kerana setiap jenis penyakit ini memerlukan rawatan khusus dan berkesan.

Perkara pertama yang akan dilakukan oleh doktor ialah menyemak sejarah perubatan pesakit. Ini termasuk soalan mengenai sejarah serangan sawan dalam keluarga pesakit dan butiran lanjut mengenainya.

Seorang anggota keluarga atau mereka yang menyaksi serangan sawan mesti hadir untuk memberi maklumat tambahan, terutama jika pesakit tidak sedarkan diri.

Ini biasanya akan disusuli dengan pemeriksaan fizikal dan neurologi untuk mengenal pasti petanda fizikal berkaitan yang mungkin boleh menunjukkan secara khusus sindrom epilepsi yang dialami pesakit.

Doktor mungkin mencadangkan ujian lanjut dijalankan untuk memahami dengan lebih mendalam punca berlakunya serangan sawan dan mengesan sebarang keadaan yang tidak normal dalam otak. Ujian-ujian ini mungkin termasuk electroencephalogram (EEG) yang mengukur denyutan elektrik dalam otak, tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI), yang, dalam bahasa mudahnya, menyediakan imbasan imej otak.

Sebaik sahaja diagnosis selesai dilakukan, doktor akan mencadangkan beberapa pilihan rawatan. Hampir kesemua penyakit epilepsi dapat dirawat dengan menggunakan ubat anti-epileptik (juga dikenali sebagai anticonvulsants atau ubat anti-sawan). Rawatan moden yang biasa diberi untuk kebanyakan jenis penyakit epilepsi ialah ubat atau kombinasi ubat anti-sawan yang lazim digunakan.

Setiap pesakit memberi reaksi yang berbeza terhadap ubat anti-sawan seperti reaksi mereka terhadap makanan atau bahan-bahan lain yang masuk ke badan mereka. Oleh itu, doktor akan cuba menentukan ubat anti-sawan dan program yang betul untuk setiap pesakit dengan kesan sampingan yang minimum.

Sesetengah faktor akan diambil kira oleh doktor apabila memilih ubat anti-sawan termasuk jenis sawan, umur pesakit dan jantina, tahap IQ dan isu kesihatan, serta ubat-ubat lain yang mungkin diambil oleh pesakit.

Bagi rawatan berkesan, pesakit perlu memakan ubat seperti yang ditetapkan, dan sentiasa merujuk kepada doktor sebelum mengambil ubatubatan yang lain, ubat yang dibeli di kedai, atau rawatan herba. Terdapat bahan- bahan yang boleh mengganggu rawatan epilepsi dan mengurangkan keberkesanannya.Untuk hasil rawatan terbaik, pesakit epilepsi perlu terlebih dahulu menemui doktor yang terlatih dan berlesen.

Sebahagian besar pesakit epilepsi boleh bebas dari serangan sawan untuk tempoh yang lama dengan menjalani rawatan yang betul. Telah dibuktikan bahawa kira-kira 80 peratus pesakit epilepsi yang dirawat dengan ubat anti-sawan, bebas daripada serangan penyakit itu untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. Bagi pesakit dewasa pula, 50 hingga 60 peratus bebas dari serangan sawan selepas pertama kali mengambil ubat anti-sawan. Bagi mereka yang didiagnosis mengidap epilepsi ketika usia muda, 20 peratus mula mengambil ubat dan tidak lagi diserang sawan selepas berhenti mengambil ubat, walaupun apabila mencecah usia dewasa. Lagi lama tempoh mereka tidak mengalami serangan sawan, maka semakin besar peluang untuk mereka menjalani kehidupan yang bebas dari epilepsi dan lebih 50 peratus kanak- kanak berjaya bebas daripada serangan penyakit itu.

 

Berjaya

Pembedahan boleh membantu merawat punca-punca epilepsi lain, seperti serangan sawan itu disebabkan oleh ketumbuhan, tumor atau punca-punca lain. Jika punca-punca tersebut berjaya dirawat atau dibuang, pesakit tidak akan lagi mengalami sawan. Oleh itu, kira-kira lima peratus pesakit epilepsi boleh “diubati” melalui pembedahan.

Pembedahan juga boleh dilakukan untuk membuang tempat fokus serangan sawan (kawasan otak di mana serangan sawan berasal), tetapi ia hanya sesuai bagi sawan partial yang berasal dari satu kawasan khusus dalam otak. Pesakit yang berpotensi dibedah perlu menjalani penilaian terperinci oleh pakar neurologi sebelum pembedahan dan jika berpendapat pembedahan tidak sesuai dilakukan, maka pesakit akan dinasihatkan supaya tidak melakukannya dan menjalani rawatan pilihan yang lain.

Doktor akan mengambil pendekatan holistik dan berbincang bukan sahaja mengenai penyakit sawan yang dihidapi dan butiran perubatan, tetapi juga turut merangkumi keseluruhan ‘isu-isu mengenai kehidupan’ seperti pendidikan, aktiviti sukan, kehidupan sosial, pekerjaan, malah bercakap mengenai pemanduan, soal perkahwinan dan mengandung.

Keberkesanan pembedahan berbeza; ada pesakit bebas sepenuhnya daripada serangan sawan selepas pembedahan, manakala bagi yang lainnya, jumlah serangan sawan yang mereka alami berkurangan dengan banyaknya. Kebanyakan pesakit boleh berhenti mengambil ubat anti-sawan selepas menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, dalam mana-mana pembedahan, masih ada risikonya.

Rangsangan saraf vagus (vagus nerve stimulation atau VNS) adalah satu lagi pilihan rawatan untuk epilepsi. Alat yang dikenali sebagai perangsang saraf vagus ditanam di bawah kulit dada pesakit. Wayar dari alat tesebut diikat pada saraf vagus. Saraf vagus menyambung otak ke jantung, paru-paru dan saluran usus dan perut. Alat ini menjana denyutan elektrik dalam jarak masa tetap (interval), yang merangsang saraf vagus.

VNS boleh menjadi rawatan pilihan bagi mereka yang tidak berkesan mengambil ubat anti-sawan dan pesakit yang atas apa-apa sebab, dianggap tidak sesuai untuk menjalani pembedahan. Bagaimanapun, kaedah rawatan ini mungkin mahal, tambahan pula, bateri yang dipasang pada alat tersebut hanya tahan kira-kira selama lima tahun sahaja.

Satu lagi rawatan bagi epilepsi di kalangan kanak-kanak ialah diet ketogenik, yang kaya lemak dan rendah karbohiderat. Ia bertujuan untuk mengekalkan ‘tahap lapar’ (starvation mode) dalam badan bagi tempoh masa yang lama. Bila badan dalam keadaan berpuasa, ia menghasilkan ketones (bahan yang terhasil bila badan memecahkan lemak untuk menjana tenaga), yang menunjukkan badan sedang membakar lemak dan bukannya glukos untuk menjana tenaga.

Cara sebenar bagaimana diet ketogenik itu berfungsi tidak diketahui secara jelas. Ia perlu diperjelaskan di sini bahawa diet ketogenik bukanlah sesuatu diet yang mudah diamalkan, dan ia boleh menyebabkan kesan-kesan seperti tahap asid urik yang tinggi dan menyebabkan batu dalam buah pinggang.

- Prof. Dr Raymond Azman Ali adalah perunding kanan neurologi di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan juga Pengerusi Majlis Epilepsi, sebuah badan kepakaran khusus di bawah Persatuan Neurosains Malaysia.

Beliau akan bercakap dalam satu forum awam di Melaka anjuran Persatuan Epilepsi Malaysia pada 28 Jun, sempena Hari Epilepsi Antarabangsa. Forum ini dapat dijayakan dengan geran pendidikan UCB Pharma Asia Pacific Sdn. Bhd. Orang ramai dijemput hadir!

Untuk maklumat lanjut mengenai epilepsi, sila layari www.epilepsy.org.my atau www.livebeyondepilepsy.com

* PENJELASAN
Terdapat sedikit kesilapan pada artikel “Memahami penyakit epilepsi” yang diterbitkan pada Ahad lalu. Sila layari www.epilepsy.org.my untuk artikel yang telah dikemaskinikan. Kami memohon maaf atas kesilapan ini.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 15 June 2008