Dialog peradaban atasi konflik Islam-Barat

AJARAN Islam ditinjau secara teologi dan sejarah tidak dapat dipisahkan dari kewujudan agama lain. Umat Islam sejak masa Nabi Muhammad SAW dan masa Khalifah Ar-Rasyidin hingga sekarang memahami kenyataan adanya kemajmukan dan perbezaan dalam keyakinan terhadap agama masing-masing.

Dalam kontek sekarang pula,sebagaimana kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ketiga Dunia Islam dan Barat, bahawa konflik yang timbul antara dunia Islam dan negara barat (Kristian) bukan berpunca daripada kepercayaan agama yang berbeza tetapi kerana manipulasi terhadap agama oleh pihak yang berfikiran sempit atau sekular. Mereka menganjurkan 'kekerasan' atas nama agama. Kekerasan yang dianjurkan ini pada umumnya didorong oleh keyakinan keagamaan, bahawa tindakan mereka adalah sejajar dengan perintah Tuhan yang terdapat dalam teks-teks kitab suci mereka.

Kekerasan atas nama agama sememangnya bukan mudah untuk dibendung.Sejarah mencatat pembunuhan ke atas Anwar Sadat, Indra Ghandi, Yitzhak Rabin, Benazir Bhutto adalah antara contoh nyata bahawa kekerasan dilakukan atas nama agama dalam dunia Islam moden.

Tidak ada cara lain dalam usaha mengatasi kekerasan dan konflik Islam dan Barat melainkan harus dirapatkan melalui usaha dialog peradaban. Apatah lagi pada saat ini Islam mula dipandang dan digambarkan kembali sebagai musuh yang mengancam Barat. Persepsi buruk mengenai Islam di Barat sebenarnya sudah mula ditanamkan dalam kalangan warga Barat sejak mereka masih kanak-kanak disekolah-sekolah menengah lagi. Ia dilakukan dengan memberi gambaran yang salah dan stereotaip mengenai Islam dan kaum Muslimin. Ini diikuti pemberitaan dan gambaran buruk sebahagian besar media massa Barat mengenai Islam.

Melalui dialog, mereka juga mungkin dapat mempelajari sesuatu kebaikan yang terdapat antara kedua-dua belah pihak serta melenyapkan sebanyak mungkin keraguan yang timbul sebelumnya.

Dialog tersebut bertujuan cuba memahami beberapa persamaan yang terdapat pada kedua-dua agama kerana dengan cara itu hubungan antara kedua-dua belah pihak menjadi lebih akrab.

Timbulnya konflik peradaban pada abad ini disebabkan oleh kejahilan yang disertai dengan rasa kesangsian dan permusuhan terhadap satu sama lain yang telah menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan yang berkekalan dan berkembang maju. Contohnya ketegangan antara Islam-Kristian berakar umbi daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan pihak masing-masinglah yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang unggul. Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan menyukarkan kewujudan situasi yang saling memahami dan menghormati antara Islam dan Kristian. Kadang-kadang kesukaran semakin bertambah kerana didorong oleh kepentingan politik mahupun teologi.

Dialog Peradaban ini harus difokuskan kepada titik-titik persamaan antara kedua-dua agama. Perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari. Antara titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah penciptaan suatu kehidupan bermoral yang menjunjung tinggi nilai-nilai keagamaan dalam segala aspek kehidupan dan peradaban manusia.

Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan disertai ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing. Pentingnya dialog antara Islam dan Barat (Kristian), adalah untuk mencari titik temu antara kedua-dua agama wahyu ini, bukan saja menyangkut masalah akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban yang menjadi akar masalah daripada kedua-dua agama tersebut.

Di samping untuk mengetahui sejauh manakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama, terutamanya Islam dan Kristian. Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.

Masyarakat IslamApabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat membantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negatif dapat diperbetulkan.

Perbuatan negatif bukanlah hak eksklusif sebuah masyarakat atau hak orang Islam. Perilaku negatif merupakan perbuatan yang melampaui sempadan dan pegangan agama. Perbuatan negatif ini berlaku dimana-mana, oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama, secara lebih praktikal dan mendalam.

Al-Quran mengajar umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri di antara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukkan sikap persahabatan yang tulus.

Prinsip-prinsip toleransi daripada ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka dalam menghadapi pihak Kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.

Agama, sebagaimana difahami dalam ajaran Islam, secara dasar adalah tindakan yang menampakkan kecintaan kepada Allah SWT dan keinginan agar umat manusia menjadi baik.

Walau bagaimanapun permasalahan ini terletak kepada penafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim- Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub dalam al-Quran?

Kaum Muslimin dituntut untuk sentiasa merendahkan diri dan bersedia berdialog dengan kebenaran (al-Haqq) dan kesabaran (al-Sabr) dalam setiap langkah perjalanan hidupnya. Peranan sejarah peradaban Islam masa lalu merealisasikan ajaran-ajaran etika keagamaan dapat menjadi alat pendukung dialog dan amat berharga bagi proses pencarian nilai-nilai keagamaan yang lebih murni.

Al-Quran menganjurkan agar umat Islam saling memperingatkan dan saling menasihati dalam proses pencarian kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran telah lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesama umat Islam, mahupun terhadap penganut agama lain, baik dalam pergaulan, mahupun bermujahadah (dialog).

Masa depan hubungan Islam-Barat (Kristian) bergantung pada kemahuan penganut masing-masing untuk membaiki kecacatan pada masa lalu dan memandang ke hadapan. Kedua-dua komuniti itu hendaklah mempunyai kesungguhan untuk membangunkan sebuah komuniti yang memiliki kesedaran sebagai orang mukmin, yang bertekad membangunkan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lainnya.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 15 June 2008