Euro 2008, bukan sekadar menonton

UNTUK tempoh lebih tiga minggu para peminat bola sepak akan dihiburkan oleh aksi hebat para pemain bolasepak negara-negara Eropah dalam siri Kejohanan Bolasepak Eropah (Euro 2008) yang berlangsung di Switzerland dan Austria. Ia kejohanan bolasepak yang kedua hebat selepas Piala Dunia.

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij itu dan sekurang-kurangnya dapat menghibur kita semua walaupun diasak dengan kenaikan harga minyak.Kebanyakan perlawanan yang berlangsung di Austria dan Switzerland, di Malaysia waktunya ialah pada tengah malam dan hendak masuk waktu Subuh.

Biar pun peminat bola sepak di negara ini terpaksa bersengkang mata, tetapi itu tidak menjadi masalah didorong oleh minat terhadap sukan bola sepak itu sendiri.Mereka juga sudah pasti tidak sabar untuk melihat aksi pemain idola masing-masing.

Memang begitulah kiranya apabila apa sahaja sukan dunia berlangsung di Eropah dan Amerika Syarikat kita akan menontonnya pada waktu yang agak janggal kerana perbezaan waktu beberapa jam. Kita patut berterima kasih kepada TV3, NTV7, RTM dan ASTRO yang sentiasa membuat siaran langsung acara sukan dunia bagi membolehkan menonton secara langsung.

Sebelum merdeka tidak ada langsung peluang seperti itu. Berita sesuatu acara sukan yang berlangsung di luar negara hanya dapat diketahui melalui surat khabar dan radio.

Dikatakan menonton siaran langsung di restoran atau bistro yang mempunyai paparan layar besar lebih meriah kerana terdapat ramai penonton. Semestinya acara sukan seperti Euro 2008, Piala Dunia dan sebagainya turut memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pengusaha restoran.Bagi orang muda tidak ada masalah jika tidur lewat semata-mata untuk menonton Euro 2008.

Diharapkan Euro 2008 tidak memberi kesan terhadap produktiviti para pekerja. Janganlah kerana Euro 2008, tahap kesihatan dan produktiviti pekerja terjejas.

Majikan perlu mengawasi tahap produktiviti kakitangannya secara dekat ketika Euro 2008 berlangsung.Bagi jurulatih, pemain, pengurus dan persatuan bola sepak di negara ini, jadikan Euro 2008 sebagai platform untuk memperbaiki mutu sukan bola sepak negara.

Seharusnya acara sukan berprestij seperti ini bukan hanya untuk ditonton, sebaliknya skil para pemain serta mutu permainan yang dipersembahkan mesti dijadikan panduan. Seperkara lagi, apa salahnya sementara menunggu perlawanan berlangsung, sebagai individu Muslim kita boleh melakukan sembahyang Tahajud, Qiamullail dan lain-lain sembahyang sunat bagi menambah nilai diri dan bukan sekadar untuk berhibur dengan menonton Euro 2008.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 14 June 2008