Ambil kira pandangan rakyat sebelum umum keputusan

KEBIASAANNYA manusia yang dilanda krisis akan menjadi lebih kreatif dan inovatif untuk mengeluarkan diri mereka daripada krisis tersebut.

Namun ada juga segelintir manusia yang tidak bertindak sedemikian sebaliknya menyalahkan orang lain yang dikatakan menjadi pencetus krisis.

Sebab itu dalam menangani krisis tidak semua tindakan yang diambil bersifat positif, silap-silap hari bulan reaksi susulan yang berbentuk negatif lebih dominan.

Dalam menangani krisis harga minyak global yang tidak ada bayangan akan berlaku penyusutan misalnya, kerajaan Malaysia mengambil langkah menaikkan harga petrol dan diesel.

Itu adalah kaedah yang tiada siapa pun boleh menafikan pasti menimbulkan kemarahan rakyat.

Bagi kerajaan, itu adalah pilihan terbaik lantaran penanggungan subsidi keterlaluan yang selama ini membolehkan rakyat menikmati harga minyak pada paras rendah tidak lagi realistik.

Bagi rakyat pula pengumuman kenaikan harga bahan bakar itu pada kadar yang diputuskan minggu lepas sememangnya sukar diterima.

Semestinya begitu kerana kesannya dirasakan secara terus oleh rakyat, baru seminggu diumumkan kenaikan harga baik bagi makanan mahupun perkhidmatan dicanang di sana sini.

Justeru untuk mengimbangi kesan kenaikan harga petrol dan diesel pelbagai langkah telah diumumkan supaya rakyat tidak terlalu dibebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Antara kreativiti di pihak kerajaan ialah pembayaran rebat kenderaan melibatkan perbelanjaan RM5 bilion, begitu juga pelaksanaan empat langkah berjimat cermat termasuk memotong 10 peratus elaun para menteri.

Di kalangan rakyat pula disarankan supaya berjimat cermat dan mengubah gaya hidup untuk meminimumkan kesan kenaikan harga minyak.

Reaksi susulan di kalangan pengguna seperti yang diduga tidak banyak yang positif.

Pengumuman di luar waktu yang dijangkakan menyebabkan rakyat kurang bersedia apatah lagi kenaikan kali ini mencatatkan jumlah yang bukan sedikit.

Maka tercetuslah 'pemberontakan' baik yang bersifat dalaman mahupun yang dilakukan secara terang-terangan seperti demonstrasi yang berlangsung tengah hari semalam.

Sesungguhnya, apa sahaja tindakan atau pengumuman yang bersifat 'politik mengikat perut' tidak mudah ditangani kesannya kerana ia amat berkait rapat dengan perjalanan hidup seharian.

Bagi pekerja di sektor awam misalnya, peratusan yang mewakili kakitangan bawahan adalah jauh lebih tinggi berbanding pegawai tinggi, begitu juga pekerja di sektor swasta.

Namun kesan kenaikan harga minyak bukan untuk golongan berpendapatan tinggi semata-mata, malah dalam kebanyakan hal, golongan berpendapatan rendah paling terasa kesannya.

Sebab itu biarpun kerajaan tampil dengan idea membayar gaji kakitangan awam dua kali sebulan namun respons yang diterima tidak menggalakkan.

Sepatutnya keputusan seperti itu mesti mengambil kira pandangan kakitangan awam terutama yang gaji mereka kurang RM1,500 sebelum ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Sebab itu harapan rakyat sebelum Bajet 2009 dibentangkan pada akhir Ogos ini, kerajaan dapat mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan pelbagai pihak mengenai perancangan yang ingin dilaksanakan.

Tidak semestinya dengan mengadakan perbincangan kerajaan akan terikat dengan semua cadangan yang diajukan kepada mereka, sebaliknya konsep musyawarah seperti itu sekurang-kurangnya dapat mencambah minda ke arah sesuatu keputusan yang lebih baik.

Selain harapan supaya cadangan memberi pelepasan cukai pendapatan dapat ditunaikan seperti yang telah dibayangkan, seharusnya ada lagi senarai cadangan jangka pendek yang mampu membantu meringankan beban rakyat.

Tidak ada salahnya juga jika potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sehingga separuh. Tindakan yang bersifat sementara mungkin untuk tempoh setahun itu pasti dialu-alukan oleh orang ramai terutama kakitangan kerajaan yang kini menerima gaji dua kali sebulan.

Begitu juga dengan langkah mengurangkan kadar tol. Sepatutnya kerajaan berunding semula dengan pemegang konsesi lebuh raya agar kadar tol dikurangkan untuk satu tempoh yang dipersetujui.

Selain itu boleh juga difikirkan cadangan memanjangkan senarai barangan kawalan supaya kuasa veto para peniaga untuk menaikkan harga secara sesedap rasa dapat dihadkan.

Cadangan menurunkan sebanyak 50 peratus kadar caj perkhidmatan bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti yang dibayangkan oleh menteri yang berkenaan juga banyak manfaatnya.

Pengumuman seumpama itu sebenarnya yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Apa pun setiap perancangan memerlukan strategi dan dalam strategi mesti ada mekanisme - tanpa gabungan ketiga-tiga elemen itu sesuatu perancangan akan menjadi sia-sia.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 14 June 2008