Rapatkan jurang maklumat
BANYAK kejutan besar dan drastik berlaku pada sepanjang enam bulan pertama 2008. Parti pembangkang menguasai lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman pada 1988, krisis sekuriti makanan dan kenaikan harga beras, pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar dari UMNO, dan kini kenaikan harga bahan bakar yang mendadak.
Rakyat Malaysia yang seramai 27 juta orang terkejut. Semua tidak bersedia dengan peningkatan drastik harga bahan bakar itu. Masing-masing berebut ke stesen minyak untuk mendapat petrol dan diesel. Ini kerana mereka menyangka ia diumumkan pada Ogos dan menjangka kenaikan harga adalah sederhana.
Rakyat kini mengeluh tentang beban kewangan yang ditanggung. Kadar inflasi akan meningkat kepada lima peratus dalam bulan ini. Kuasa membeli telah berkurangan.
Masing-masing membuat penyesuaian perbelanjaan. Berjimat cermat bagi mengekal taraf hidup masing-masing. Pelbagai cadangan disyorkan kepada pengguna untuk mengawal perbelanjaan ke atas barang petrol, diesel dan gas dan penggunaan elektrik. Begitu juga nasihat yang diberi kepada pengguna apabila berlaku kenaikan harga beras.
Masa pengumuman oleh kerajaan yang menyentuh kebajikan rakyat adalah penting supaya kos penyesuaian rakyat tidak membebankan.
Isu kritikal seperti ini perlu dibincang di peringkat Parlimen. Ahli Parlimen boleh menyuara keresahan rakyat yang diwakilinya dan berdebat sebelum sebarang keputusan dibuat.
Pada masa yang sama kerajaan dapat mengkaji segala aspek kenaikan harga bahan bakar itu. Beban kewangan bukan hanya dilihat dari sudut monetari tetapi juga dari sudut jiwa kemiskinan itu terutamanya daripada perspektif keluarga yang miskin dan termiskin.
Masa pengumuman itu juga tidak sesuai kerana Julai adalah bulan kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
Dengan kenaikan harga petrol dan diesel, para waris yang berpendapatan rendah dan sederhana perlu menanggung kos perjalanan yang lebih tinggi. Ini tidak termasuk perbelanjaan lain yang berkaitan dengan kemasukan ke IPT dan perjalanan ke destinasi IPT terpilih.
Bahan bakar adalah input penting kepada setiap aktiviti ekonomi dari industri primer, sekunder, dan tertiari. Beban kenaikan harga bahan bakar boleh dipindahkan kepada pelaku pasaran yang lain kerana wujud perantara. Pengeluar kepada pemborong. Pemborong kepada peruncit. Peruncit kepada pengguna.
Pengguna yang akhir sekali menanggung segala beban kenaikan harga barang akhir itu, termasuk beban cukai yang dialihkan kepada pengguna. Kenaikan harga barang akhir yang bersifat tolakan kos sukar dibendung oleh kerajaan, apatah lagi oleh pengguna yang merupakan penerima harga.
Kini berlaku pusingan kedua kenaikan harga barang dalam semua sektor ekonomi. Di kalangan negeri, penduduk di Sabah yang mencatat kadar kemiskinan tertinggi akan merasai beban kewangan yang berat. Ini ditambah lagi dengan krisis bekalan beras di Sabah (termasuk Sarawak). Kadar kemiskinan di Sabah ialah 23 peratus pada tahun 2004 (data terkini).
Negeri yang mencatat kadar kemiskinan dua digit ialah Terengganu (15 peratus) dan Kelantan (11 peratus). Penduduk di negeri pantai timur ini juga akan merasai beban kenaikan harga barang. Negeri-negeri lain adalah kurang daripada lapan peratus.
Pusingan kedua kenaikan harga barang sudah pasti akan menghangat semula isu melompat parti oleh wakil rakyat Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi dengan manifesto Pakatan Rakyat yang akan menurunkan harga bahan bakar jika dapat memerintah.
Selain isu politik, permasalahan asas dalam harga bahan bakar adalah berkaitan dengan kecekapan agihan sumber dalam industri bahan bakar. Pelaku utama dalam industri itu Petronas, TNB dan IPP.
Selain itu, berlaku jurang maklumat antara kerajaan dan rakyat tentang industri tersebut. Ini sendiri disuarakan oleh kerajaan yang berharap rakyat mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung fenomena kenaikan harga minyak agar mereka benar-benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara.
Petronas juga merungut. Sejak tiga tahun lalu, kos cari gali minyaknya meningkat lebih 200 peratus dan menurut Presidennya ini tidak dipeduli oleh orang ramai kerana mereka lebih tertumpu kepada isu kenaikan harga minyak. Sekali lagi, rakyat (termasuk penulis) tidak mempunyai akses kepada maklumat seperti itu.
Maklumat di tapak web Petronas juga tidak menghebahkan kepada orang ramai tentang laporan aktivitinya yang terperinci yang membabitkan kos dan hasilnya walaupun Petronas adalah milik kerajaan sepenuhnya.
Sumbangan Petronas dalam pembangunan ekonomi negara tidak boleh dinafikan. Begitu juga sumbangannya kepada kebajikan rakyat. Malah Petronas adalah institusi penyelamat apabila berlaku krisis ekonomi negara.
Jurang maklumat antara kerajaan dan rakyat boleh dirapatkan untuk kepentingan bersama dengan mengikis sindrom sulit. Ini bertujuan untuk mengelak sebarang prejudis rakyat kepada kerajaan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kerajaan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada penstrukturan semula harga bahan api yang menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk kumpulan kecil yang berdemonstrasi.
Oleh itu, maklumat yang betul dan sahih daripada pihak kerajaan perlu disebarkan supaya rakyat yakin dengan kerajaan dalam pengurusan ekonomi negara.
Sifat rakyat Malaysia yang bertimbang rasa dan bertolak ansur tidak akan memberontak dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan apabila adanya maklumat yang terperinci, telus, betul dan sahih yang disediakan oleh kerajaan.
Kini empat langkah segera akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk meringankan beban pengguna.
Empat langkah itu melibatkan tindakan penjimatan kos oleh jabatan dan agensi kerajaan, memperluaskan jaringan jaminan sosial bagi rakyat dalam golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal serta orang kurang upaya, menambah senarai bahan kawalan untuk mengekalkan harga rendah dan meningkatkan jumlah pengangkutan awam seperti bas.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 14 June 2008