Muhammad Ariq cuba jaga hati keluarga
![]() |
|
MUHAMMAD ARIQ TAN ABDULLAH
|
“KAK Zuarida?” tegur seorang pemuda dari arah belakang.
“Ya,” balas penulis sambil memaling ke arah suara tersebut.
Kami berpandangan dan penulis agak terkejut kerana jangkaan awal penulis mengenai personaliti bernama Tan Hock Kuee atau nama Islamnya, Muhammad Ariq Tan Abdullah jauh meleset.
Apa tidaknya, dari raut wajah dan kulit sawo matangnya tidak ada langsung seperti seorang saudara baru malah lebih kepada wajah Melayu.
Pun begitu, setelah lama berbual, barulah diketahui anak muda kelahiran Klang, Selangor ini berdarah campuran Cina di sebelah bapa dan India di sebelah ibu.
Memulakan bicara yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini, kata Penolong Akauntan di Jabatan Kehakiman & Syariah Malaysia (JKSM), tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa suatu hari nanti beliau akan bergelar Muslim.
Namun semuanya berubah selepas mengenali seorang pelajar perempuan semasa di tingkatan empat.
Katanya, melihat kepada kesopanan, penampilannya yang menitikberatkan soal aurat Islam dan batasan dalam pergaulan menjadi faktor tarikannya kepada Islam.
“Bila semakin lama berkawan, saya banyak membuat perbandingan agama Islam dengan agama-agama lain dan dari situlah, mencelikkan hati dan mata saya dalam menilai setiap sesuatu itu.
“Malah selepas tamat sekolah dan menyambung pengajian di sebuah kolej swasta, saya mula bertanya kepada teman-teman serumah yang lain. Ini lebih memahamkan saya dan menambah minat serta keyakinan saya untuk terus mencari Islam,” akui Muhammad Ariq.
Menurutnya, penjelasan Islam yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat menjadi titik perubahan yang membawa kepada penghijrahan akidah beliau.
Lantaran itu selepas dua tahun membuat pemerhatian dan perbandingan, akhirnya secara sukarela, beliau mengucap dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam, Shah Alam pada 1 Mei 2005.
Sebaik bergelar Muslim, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini mengambil keputusan merahsiakan pengislaman diri demi menjaga hubungan silaturahim mereka sekeluarga.
“Pada masa itu, saya rasa adalah lebih selamat sama ada di pihak saya mahupun keluarga. Keluarga pasti tidak dapat menerima berita ini kerana mereka tidak jelas tentang agama Islam itu sendiri. Ditambah pula, apabila melihat contoh Islam menerusi bangsa bukannya dari sisi Islam yang sebenar.
“Cuma yang mengetahui tentang pengislaman saya adalah abang kerana dia nampak perubahan pada diri saya. Alhamdulillah, abang seorang yang berfikiran terbuka dan menerimanya, kerana memahami itulah pilihan saya,” katanya.
Bagaimanapun, selepas mengikuti kelas anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara berterusan, ia sedikit sebanyak memberi keberanian untuk memberitahu keluarga suatu hari kelak.
Isytiharkan pengIslaman
“Tiga tahun kemudian, barulah saya
isytiharkan pengislaman kepada keluarga. Rupa-rupanya keluarga sudah
mengetahui daripada sumber yang mereka boleh percayai dan dalam satu
pertemuan seluruh ahli keluarga, rahsia tersebut terbongkar,” katanya
yang sentiasa berusaha menjaga hati keluarga meskipun berbeza agama.
Kata Muhammad Ariq, beliau berusaha membetulkan pandangan serong segelintir orang bukan Islam bahawa apabila seseorang itu memeluk Islam secara automatik hubungan kekeluargaan terputus.
Baginya, itu adalah satu persepsi yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Hakikatnya, Islam amat menitikberatkan berkaitan menjaga silaturahim serta berbakti kepada ibu bapa. Malah al-Quran dan hadis banyak menyebut perkara ini.
Muhammad Ariq yang akan mengakhiri zaman bujangnya dengan gadis pilihan hati, Zahrah Mohamad Yusof pada tahun ini sedikit terkilan dengan pandangan segelintir individu yang mendakwa kononnya golongan mualaf ini memeluk Islam atas sebab-sebab tertentu atau ada kepentingan lain.
“Orang selalu melemparkan pertanyaan, adakah saya masuk Islam sebab mahu berkahwin. Hakikatnya, ikatan perkahwinan juga merupakan salah satu sebab berlakunya penyebaran Islam.
“Jadi, tidak perlulah hal ini diperbesar-besarkan. Yang penting, sokongan moral itu yang harus ditunjukkan bukannya cemuhan atau kesangsian yang harus dilemparkan. Dibimbangi tekanan demi tekanan yang diterima itu bakal mengeruhkan keadaan, apa lagi iman masih tipis,” katanya.
Pesanan Muhammad Ariq kepada golongan mualaf, jangan sekali-kali meminggirkan keluarga kandung. Sebaliknya, cubalah mencari jalan terbaik untuk mengambil hati mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Malah, pada masa sama, sentiasa penuhi diri dengan ilmu agama kerana dengan adanya ilmu, segala cabaran yang melanda mampu dihadapi secara tenang dan berhikmah.
“Paling penting, jangan tinggalkan solat kerana apabila hubungan kita dengan Allah terjaga, insya-Allah segalanya akan dipermudahkan,” katanya yang turut berterima kasih dengan keluarga tunang kerana sentiasa memberi tunjuk ajar.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 22 December 2008
