Didik jiwa secara berhikmah




KANAK-KANAK itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi, Nasrani ataupun Yahudi.

Itulah nasihat yang sewajarnya diambil perhatian terutamanya kepada ibu bapa ataupun penjaga dalam membesarkan anak-anak. Apatah lagi, anak-anak adalah amanah Allah ke atas mereka.

Realitinya, mendidik anak-anak pada zaman sekarang jauh mencabar berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Tambahan pula dengan era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini. Tanpa pengawasan, dibimbangi anak-anak kita terpengaruh dengan budaya tidak sihat yang semakin mudah diperoleh.

Dalam soal penerapan pendidikan anak-anak, kaedah mendidik semakin berubah di mana tanggungjawab tersebut tidak lagi dipikul sepenuhnya oleh ibu bapa. Ini berlaku kerana masing-masing sudah keluar bekerja. Lantaran itu, peranan ini telah beralih kepada pembantu rumah, datuk nenek ataupun penjaga.

Menyedari pelbagai kekangan yang terpaksa dihadapi, banyak didapati di pasaran bahan tambahan dalam mendidik kanak-kanak. Turut mengambil peluang ini ialah Islamic Media Entertainment dengan kerjasama Mahar Puteh telah menampilkan sebuah video cakera padat (VCD) animasi yang berjudul, Dendangan Lagu Kanak-Kanak Islam-Siri 1.

Album yang berbentuk hiburan sambil mendidik ini adalah nyanyian kumpulan kanak-kanak yang menggelarkan diri mereka Mukhlis yang dianggotai lima kanak-kanak dalam versi kartun.

Memuatkan 20 trek di mana terdapat 10 trek lagu dalam dua versi iaitu; versi penuh dan versi karaoke. Lagu-lagunya yang terdapat di dalamnya merupakan lagu-lagu yang mudah melodi dan liriknya. Melodinya diambil daripada lagu-lagu rakyat dan hanya liriknya sahaja diubah supaya lebih bersifat mendidik jiwa dan minda kanak-kanak.

Antara lagu-lagunya ialah, Bismillah, Mari Bersenam, Jujur Amanah, Memberi Salam, Rukun Iman. Mari Bersolat, Rukun Islam, Rasulullah, Allah dan Ibu Ayah.

Album yang diedarkan IME dan Inteam Records Sdn. Bhd ini sudah berada di pasaran sejak Mei lalu dan dijual dengan RM16.90.

Sementara itu, turut berada di pasaran ialah album berjudul, Zikir dan Doa Selepas Solat yang disampaikan oleh Muhammad Hazamin Harun, salah seorang anggota kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam.

Hakikatnya, sebagai hambanya kita diwajibkan untuk mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Ini kerana solat adalah tiang agama dan adalah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat.

Lumrahnya, selesai mengerjakan solat kita akan menadah tangan memohon kepada Allah kerana perbuatan itulah yang dituntut. Itulah matlamat album yang menampilkan himpunan zikir dan doa ini yang sesuai menjadi amalan setiap kali selepas solat.

Dijual dengan harga RM19.90 (CD) dan RM13.90 (Kaset), album ini mengandungi 10 trek yang didahului dengan alunan zikir Alhamdulillah, Astaghfirullah, Lailahaillah dan seterusnya. Di samping itu, turut dimuatkan bacaan surah-surah pilihan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, surah-surah ringkas dan beberapa lagi. Album ini diakhiri dengan alunan azan yang cukup istimewa daripada Muhammad Hazamin.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 14 June 2008