Aiskrim

PERNAHKAH anda terbayang untuk membuat sendiri aiskrim di rumah? Ia tidak sukar dan membuatnya juga tidak cerewet. Malah, anda akan dapati rasanya boleh dipelbagaikan dengan meletakkan pewarna dan perisa berbeza. Apa yang paling mustahak, anda akan dapati rasanya lebih sedap daripada kebanyakan aiskrim yang dibeli!

Tidak percaya? Cuba buat sendiri dan anda akan dapati ia benar. Anda tidak perlu menggunakan mesin pembuat aiskrim. Mesin jenis ini cuma berbaloi jika anda selalu membuat aiskrim. Dengan resipi yang ditunjukkan ini, anda hanya perlu ada pemutar elektrik sama ada jenis pegang (hand-whisk) atau bermangkuk (with stand) jika membuatnya banyak.

Perisa yang biasa tentulah vanila. Namun begitu, anda boleh campurkan hirisan kecil buah-buahan seperti laici atau strawberi, kekacang panggang seperti badam atau serbuk biskut seperti Oreo. Selain itu, boleh masukkan parutan coklat masakan atau coklat urai dan cip coklat. Jadi, kesimpulannya banyak bahan yang boleh dimasukkan untuk menyedapkan aiskrim yang dibuat di rumah.

Ada juga resipi aiskrim yang menggunakan telur. Oleh kerana telur tidak dimasak, aiskrim begini tidak sesuai untuk ibu-ibu mengandung, bayi atau orang-orang yang terlalu tua. Ini adalah kerana mereka mungkin mendapat keracunan salmonella. Ini disebabkan daya ketahanan mereka agak lemah. Bagaimanapun, resipi yang disertakan di sini sangat sesuai untuk sesiapa saja.

Perlu difahami terutama tentang peti sejuk atau peti ais. Ruang yang digunakan untuk membuat aiskrim adalah peti pembeku. Jika anda set pada suhu paling rendah, aiskrim akan lekas beku. Namun begitu, sekiranya banyak barangan yang disimpan di situ, anda mesti rendahkan suhu sehingga ke maksimum. Ini adalah kerana ruang dingin yang agak sempit tidak mencukupi.

Di antara lima bahan untuk membuat aiskrim, mungkin ramai yang masih tidak biasa dengan krim putar. Ia dikenali dengan whipping cream atau double cream. Manakala whipped cream pula adalah krim putar yang sudah diputar hingga kental atau keras.

Jangan terlebih putar atau pukul kerana ia mudah menjadi cair semula. Jika ini terjadi, anda tidak boleh menggunakannya lagi. Lakukan dengan pemutar elektrik pada tahap paling minimum. Jika hendak memukul dengan tangan, gunakan pemutar belon atau balloon whisk.

Setiap kali memutar krim, gunakan pemukul yang sudah dibilas dengan air panas dan dilap kering. Begitu juga dengan mangkuknya. Jika ada kesan gris atau lemak serta minyak (dari mentega atau marjerin), krim putar tidak akan menjadi kental. Sebaik-baiknya letak pemutar dan mangkuk di dalam peti sejuk supaya krim mudah kental.

Jangan keliru di antara krim putar tenusu dengan yang bukan tenusu (non-dairy topping). Meskipun ia dijual di dalam bekas yang hampir sama, krim bukan tenusu adalah untuk menghias kek. Non-dairy topping lebih putih dan mudah kental bila dipukul.

Sumber : Kosmo

 

Jadi, ia sangat sesuai digunakan sebagai aising. Anda perlu campurkan dengan gula aising secukup manis sebelum memukulnya. Namun begitu, ada juga yang dijual sudah sedia manis.

Coffeemate memberi rasa lemak dan harum pada aiskrim. Ia memang mudah larut dengan gula dan susu. Jika anda ingin mengurangkan lemak di dalam aiskrim, gantikan susu segar dengan susu rendah lemak atau susu skim.

Bekas menyimpan aiskrim sebaik-baiknya diperbuat daripada plastik. Ia mestilah mempunyai penutup yang kemas dan tidak mudah tanggal. Kalau boleh, jangan gunakan plastik pakai buang kerana ia mudah pecah setelah disimpan lama di dalam peti pembeku.

Jika membuat aiskrim dengan banyak, bolehlah campurkan pelbagai perisa dan pewarna berbeza. Tandakan pada bekas tempat menyimpan (peti pembeku) supaya lebih sistematik. Catatkan tarikh dibuat kerana ia selalunya tahan sehingga tiga bulan. Sebelum dimakan, biar pada suhu bilik selama lapan hingga 10 minit sebelum mencedukkannya ke dalam gelas.

Aiskrim buatan sendiri tidak seperti aiskrim yang dibeli di kedai. Oleh kerana aiskrim buatan sendiri tidak mempunyai bahan pengawet atau campuran kimia yang lain, ia mudah cair berbanding dengan aiskrim komersial.

Untuk memastikan aiskrim 'separuh beku' (langkah ke-4), perhatikan sekeliling aiskrim. Jika keras, bolehlah dituangkan ke dalam mangkuk. Jika terlebih masa dan aiskrim nampak terlalu beku, keluarkan dan biar pada suhu bilik.

Sebaik saja sebahagiannya menjadi cair, terus pukul hingga teksturnya halus dan kembang sedikit. Kemudian tuangkan semula ke dalam pinggan.

Anda boleh hidangkan aiskrim dengan ceri, kekacang cincang, sos coklat atau sos strawberi. Untuk aiskrim hijau, cuba tambah perisa pudina dan warna hijau manakala perisa keladi, pilih warna ungu. Jadi, terpulanglah pada kreativiti masing-masing.

Biar bagaimana anda menikmatinya, yang penting, rasanya amat lazat!

 


 

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008