Kek keju lembap







Resipi ini istimewa kerana ia adalah gandingan kek coklat lembap dengan keju. Jadi, anda dapat merasa sesuatu yang berbeza daripada kek biasa.

Namun begitu, kek seperti ini tidak tahan lama jika tidak diletakkan di dalam peti sejuk. Tidak seperti kebanyakan kek lembap lain yang perlu dibiar semalaman sebelum dimakan, anda boleh menikmati kek ini terus sebaik saja dimasak.

Bila membuat sebarang kek yang menggunakan krim keju, pastikan ia dibiar pada suhu bilik sehingga lembut. Kemudian pukul seketika supaya bertekstur halus. Setelah itu barulah dicampurkan dengan mentega dan diputar semula. Bila sudah sebati, masukkan gula. Pukul lagi sehingga kembang dan ringan.

Anda boleh pecahkan semua telur ke dalam mangkuk dan pukul sedikit. Kemudian barulah dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam campuran krim keju.




Sebaik-baiknya gunakan telur gred A untuk membuat sebarang jenis kek. Ia paling besar dan mampu membuat tekstur kek lebih ringan. Namun begitu, kek keju lembap ini agak berat dan bertekstur rapat seperti brownies. Inilah yang istimewa tentangnya.

Tidak seperti kebanyakan kek keju yang memerlukan kaedah membakar secara baine marie, kek ini boleh dibakar seperti kek biasa. Untuk membakar kek, pastikan ketuhar dipanaskan selama 10 minit hingga 15 minit.

Kemudian barulah diletakkan tin. Kedudukan rak hendaklah lebih kurang dua pertiga dari atas ketuhar. Ini adalah supaya kedudukan kek berada di tengah-tengah ketuhar.

Ramai yang masih keliru tentang penggunaan api di dalam ketuhar. Selalunya hanya gunakan api bawah saja untuk membakar sebarang jenis kek. Jikalau ketuhar mempunyai api atas dan bawah, anda mesti memasang kipasnya. Suhu juga hendaklah dikurangkan sebanyak 20 darjah selsius. Ini bermakna, anda perlu membakar pada suhu 155 hingga 160 darjah selsius sahaja.

Kaedah baine marie adalah membakar kek di dalam wap air panas atau stim. Anda perlu letakkan tin pembakar di dalam bekas berisi air mendidih. Paras air hendaklah kira-kira sepertiga atau separuh daripada ketinggian tin.

Jika tin pembakar empat segi atau jenis spring-form (boleh ditanggalkan bahagian bawahnya), bungkus dengan aluminium foil sehingga sama paras dengan bahagian tepi keliling tin tadi.




Ini adalah untuk menghalang air meresap ke dalam kek dan merosakkannya. Jika tin atau loyang pembakar jenis bulat yang tidak bersambung kelilingnya, anda boleh terus letakkan di dalam air tersebut.

Selain serbuk koko, anda boleh gunakan serbuk coklat bagi untuk menyedapkan lagi kek ini. Serbuk koko juga mempunyai jenis import atau dari luar negara yang lebih mahal tetapi lebih sedap. Pastikan ia benar-benar larut di dalam air panas. Kemudian barulah dicampurkan dengan susu.

Bagi rasa yang lebih lemak, boleh juga gunakan susu cair. Namun, oleh kerana krim keju sudah cukup lemak, lebih baik menggunakan susu segar serta susu UHT. Bagi menambahkan rasa coklat pada kek ini, anda boleh juga gunakan susu berperisa coklat. Jika suka boleh cuba susu perisa kopi bagi mendapatkan rasa mocha pada kek ini. Boleh juga gunakan coffee emulco bagi menggantikan vanila.

Esen vanila digunakan dalam kebanyakan kek untuk mengurangkan bau hanyir telur. Kaedah lain adalah membuang bahagian pada putih telur yang agak pekat. Dengan cara ini, kek tidak akan berbau telur.

Seperti kebanyakan kek yang mempunyai krim keju, ia akan mengecut sedikit selepas dikeluarkan daripada ketuhar. Biar kek sejuk di atas redai. Ini adalah kerana udara yang berlegar di bawah kek memudahkan ia sejuk. Jika kek dibiarkan di dalam tin, bahagian bawah dan kelilingnya akan keras dan berkerak.

Jika suka, boleh dihias dengan aising coklat yang lain. Ini adalah kerana kek ini tidak begitu manis. Jadi, aising atau hiasan yang manis sangat sesuai. Selain itu, gunakan krim putar dan hirisan buah strawberi atau ceri. Jika menggunakan krim putar, kek hendaklah disimpan di dalam bekas bertutup dan diletak di dalam peti sejuk.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008