Iblis Dengan Ahli Neraka
DALAM sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis itu dengan tali dari api.
Kemudian dikatakan kepada Iblis laknat:
“Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada
penghuni neraka.”
Setelah Iblis menerima arahan maka dia pun
naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para penghuni neraka.” Semua
orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang
mereka kepada ketua mereka iaitu Iblis.
Kata Iblis: “Wahai
orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT
telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua
itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua
kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa’ir.”
Berkata Iblis lagi: “Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan
meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di
dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya
mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya
adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku,
sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu
sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat.”
Berkata Iblis lagi: “Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah SWT sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?”
Akhirnya
Iblis berkata: “Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari
seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku.
Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku
katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari
keharibaan Tuhan seru sekalian Alam.”
Setelah mereka (ahli
neraka) mendengar kata-kata Iblis itu maka mereka melaknati Iblis itu.
Setelah itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api
dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya
bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.
Malaikat
Zabaniah berkata: “Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada
pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya.”
Janganlah kita menjadi orang yang bodoh apabila kita tahu bahawa Iblis
itu hanya menipu kita, Iblis itu adalah musuh ketat kita. Oleh itu
janganlah sekali-kali kita ikut menjadi ahli keluarganya, selagi kita
bernafas cepatlah kita kembali ke pangkal jalan kalau nafas sudah
berhenti maka segala-galanya tidak berguna lagi.
Mereka yang
takut kepada Allah SWT adalah orang yang akan mendapat kebahagiaan di
dunia dan di akhirat, oleh itu sembahlah hanya kepada Allah. Orang yang
takut kepada Allah SWT adalah mereka ini disebut orang yang amanah,
orang yang bersopan santun, orang yang menganggap semua orang Islam itu
sebagai saudaranya.
Mereka yang mencabar kekuasaan Allah SWT
dengan berketuakan Iblis dan Syaitan adalah mereka ini dikenali sebagai
kaki bohong, kaki pencuri, kaki judi, kaki arak, kaki dadah dan
sebagainya. bagi mereka ini setiap yang sama dengan mereka adalah ahli
atau kakitangan Iblis. Kerja mereka adalah menjatuhkan maruah mereka
sendiri dan menghancurkan Islam.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008