Allah sentiasa menerima doa hambanya
Bahagian Kedua..
Menerusi hadith di
atas, baginda Nabi s.a.w. telah menerangkan kepada kita bahawa setiap
do`a yang tidak mempunyai sebab-sebab ditolak akan pasti diterima oleh
Allah menerusi tiga keadaan berikut;
Pertama: Dimakbulkan segara
di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap yang berdo`a.
Ramai di kalangan insan yang memperolehi kurniaan. Hasil kesungguhan
mereka berdo`a, Allah makbulkan buat mereka. Kadang-kala dengan begitu
pantas. Kadang-kalanya dilewat disebabkan hikmah yang Allah Maha
Mengetahui. Tiada yang mustahil untuk Allah menerima do`a seseorang
sekali dianggap mustahil oleh manusia. Lihatlah seorang wanita dari
Aljeria yang mengidap penyakit barah yang segala doktor yang dia pergi
mendapatkan rawatan mereka berputus asa. Akhirnya dengan aduan dan
rintihan yang sungguh-sungguh kepada Allah, dia sembuh tanpa sebarang
kesan barah yang mengkagumkan seleuruh pakar perubatan negaranya. Kata
wanita itu: “Saya telah mengadu kepada Dia yang tiada tempat pergi dan
lari dariNya, itulah Allah!!!. Demikian kiranya do`a dimakbulkan.
Kedua:
Tidak dilihat kemaqbulannya di dunia tetapi disimpan untuk balasan
kebaikan yang besar di akhirat di atas hikmah yang hanya dihendaki oleh
Allah. Kalau ini berlaku hendaklah kita fahami bahawa ianya adalah
pilihan terbaik daripada Allah untuk kita. Akhirat adalah kehidupan
yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang
sementara. Allah tidak memaqbulkan sesuatu do`a secara mutlak di dunia
kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam,baik atau
buruk di sebalik sesuatu perkara yang kita pohon. Akal kita kadang-kala
tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu. Umpamanya, seseorang yang
memohon kepada Allah agar diberikan kemewahan yang melimpah, namun
Allah tidak menunaikan hajatnya itu, lantas dia merasa diri tidak
bernasib baik. Padahal Allah tidak menunaikan hajatnya itu kerana
kasih-sayang Allah kepadanya. Allah mengetahui orang ini sekiranya dia
berada dalam kemewahan, dia akan lupa kepada Allah maka rugilah
kehidupan akhiratnya nanti. Allah ingin menyelamatkannya lalu ditangguh
do`a tersebut untuk hari akhirat. Ini adalah contoh ringkas bagi
memudahkan kefahaman pembaca. Oleh itu kepadaNya kita berserah. Bahkan
apabila kita berada di alam akhirat nanti, kita akan berasa betapa
beruntungnya segala do`a yang tidak dimaqbulkan itu ditangguh untuk
diberi ganjaran besar ketika kita dihisab di Mahsyar kelak lalu segala
do`a tersebut menjadi penyelamat kita dari keperitan neraka atau
pengangkat darjat keistimewaan kita di syurga. Di sana nanti satu
persatu do`a yang ditangguh itu ditunaikan dengan cara lebih baik dari
yang dijangka oleh seseorang hamba.
Ketiga: Do`a diganti dengan
keselamatan diri dari keburukan yang akan mengenainya. Hasilnya, betapa
banyak keburukan yang insan terselamat darinya tidak dengan kehebatan
atau kebijaksanaannya tetapi rahmat Allah yang barangkali datang hasil
dari do`a-do`a kita yang berbagai kepada Allah.
Di samping itu
semua, wajar diingatkan, perbuatan berdo`a itu adalah suatu ibadah.
Insan dianggap melakukan kebaktian dan ibadah ketika dia berdo`a kepada
tuhannya. Sama ada sesuatu do`a dimakbul atau tidak, pahala pasti ada
di sisi Allah S.W.T.
Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: "Do`a itu adalah ibadah"
(Riwayat
al-Tirmizi hadith ke-3372, Abu Daud hadith ke-1479, Ibnu Majah hadith
ke-3828. Kata al-Tirmizi: "Hadith ini hasan sahih Kata al-Syeikh Nasir
al-Din al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz: Hadith ini sanadnya sahih,
seperti apa yang nyatakan oleh al-Hakim dan al-Zahabi.( m.s. 247. Ctk.
Riyadh.)
Berdasarkan riwayat di atas kita dapat merasai betapa
luasnya rahmat Allah. Bukan sahaja insan senantiasa dibuka peluang
untuk meminta daripadaNya, bahkan setiap do`a yang dikemukakan
dijadikan ibadat iaitu diberi balasan pahala di sisiNya. Demikian Allah
Yang Maha Luas rahmatNya bertambah banyak pemohan kita kepadanya
bertambah pula kasihNya kepada kita.
Sabda Nabi s.a.w.,maksudnya:"Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah melebihi do`a"
(Riwayat al-Tirmizi hadith ke-3370, Ibnu Majah 3829. Kata al-Tirmizi hadith ini `hasan gharib)
Bahkan
di sana terdapat dalil-dalil yang begitu banyak yang menggambarkan
begitu besarnya kelebihan berdo`a. Ini kerana do`a adalah perlambangan
tunduk serta rasa hina diri dan berhajatnya insan kepada pertolongan
Allah yang Maha Berkuasa. Oleh itu berdo`alah kita kepadaNya dan jangan
berputus asa dari rahmatnya.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008