Bukan penyakit orang tua


Sakit sendi lutut


ARTRITIS sentiasa dikaitkan dengan mereka yang sudah berumur. Tetapi, ramai yang tidak sedar artritis boleh menyerang pada semua peringkat umur termasuk golongan muda dan kanak-kanak.

Tanda-tanda awal biasanya menunjukkan sendi jari yang kaku dan bengkok, kekejangan pada sendi kaki atau bengkak serta benjolan pada sendi tangan.

Namun, orang ramai sering mengabaikan simptom tersebut.

Ini kerana sakit sendi sering dikaitkan dengan proses penuaan.

Hakikatnya, tanggapan ini harus diperbetulkan.

Pakar Ortopedik dan Pembedahan Tulang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, artritis boleh berlaku pada segenap lapisan masyarakat seperti kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

“Artritis adalah satu terma perubatan yang merujuk kepada keradangan pada bahagian sendi. Sendi boleh menjadi merah, bengkak, kejang, panas, sangat sakit dan tidak boleh bergerak,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Klang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Dr. John, artritis merupakan satu kumpulan penyakit sendi yang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu osteoartritis, reumatoid artritis, septic artritis (jangkitan kuman) dan reactive artritis (sementara).

“Sakit sendi mungkin kekal atau berulang dengan terjadinya kelembutan pada sendi. Sakit tersebut boleh menyerang sendi siku, bahu, lutut dan tangan,” katanya.

Dr. John memberitahu, artritis pada lutut, kesakitan yang dialami pesakit seolah-olah tiada rasa sokongan dalam kaki. Manakala sesetengah kes berlaku apabila jangkauan pergerakan yang terhad terutamanya pada bahu dan lengan.

Keadaan ini menyebabkan pesakit sukar untuk menggerakkan sendi dan mengalami kehilangan kekuatan atau tenaga pada otot yang dijangkiti.

Justeru, pesakit perlu berjumpa doktor untuk diagnosis.

Bagi golongan muda, mereka sering diserang reactive artritis yang bersifat sementara dan akan sembuh.

Sementara itu, kanak-kanak yang menghidap juvenile reumatoid artritis memerlukan rawatan jangka masa panjang.

“Jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan kerosakan sendi dan kesakitan,” katanya.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 21 April 2012