Artikel:
Basmi rasuah dengan merasuah?

Basmi rasuah dengan merasuah?

IKLIM politik negara ketika ini sedang diserabuti isu hangat mengenai kemungkinan berlakunya lompat-melompat di kalangan ahli-ahli parti politik. Ketika ini pun masih lagi kuat kedengaran pemimpin-pemimpin parti pembangkang menyasarkan matlamat pembentukan kerajaan dalam masa terdekat dengan dakwaan kononnya akan berlaku 'penghijrahan' besar-besaran ahli-ahli parlimen kerajaan kepada pembangkang.

Apa yang lebih menggemparkan, apabila seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Belud mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan habuan yang sangat besar oleh sebuah parti pembangkang hingga dikatakan cukup untuknya "hidup senang-lenang sehingga tiga generasi".

LompatPersoalannya mengapakah perlunya timbul polemik lompat-melompat parti ini setelah rakyat sudahpun membuat keputusan mutlak dalam pilihan raya lalu? Apakah barisan kepemimpinan politik hari ini sudah hilang kewarasan hingga sanggup menafikan kepentingan dan hak rakyat yang sudah memilih mereka demi memuaskan gelodak nafsu? Atau apakah kerakusan untuk berkuasa telah mencairkan akal-budi seseorang hingga sanggup menghalalkan perbuatan merasuah yang dikutuk agama?

Apa yang pasti Islam menetapkan prinsip yang jelas bahawa matlamat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Semulia manapun niat yang disasarkan, sekudus manapun matlamat yang digariskan, hakikatnya tidak sekali-kali mengizinkan umat Islam bertindak sesuka hati. Niat yang baik mesti sentiasa diiringi dengan cara yang betul. Sebagaimana penegasan Allah dalam Al-Quran: Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik. (Fussilat: 34).

Demikian jugalah prinsip yang harus dipegang dalam keghairahan umat berpolitik untuk merebut kuasa. Dalam Islam kuasa hanyalah alat untuk memastikan kepentingan agama terus dipertahankan. Sebab itulah kuasa tidak wajar didaulatkan sehingga melampaui nilai dan prinsip agama.

Malangnya penyimpangan persepsi mengenai kuasa sering kali menjerumus umat kepada perilaku songsang hingga menjadikan kuasa sebagai matlamat dan bukan sekadar alat. Lantas ramai mulai hilang pedoman hingga sanggup mengetepikan prinsip dan etika keagamaan.

Semakin ramai ahli politik hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita. Natijahnya manusia hilang kewarasan dan pertimbangan rasional hingga yang lebih tertonjol adalah nilai-nilai kebinatangan dalam amalan berpolitik.

Sebab itulah berita-berita mutakhir mengenai cubaan merasuah pemimpin-pemimpin parti yang sudah dipilih rakyat merupakan suatu dakwaan serius dan tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi jika yang ingin merasuah itu adalah parti yang mendakwa memperjuangkan agenda pembasmian rasuah secara total dalam pentadbiran kerajaan.

HabuanMenawarkan wang habuan sebagai sogokan penghijrahan pemimpin-pemimpin parti dengan matlamat membentuk kerajaan secara mudah bukan sahaja membelakangi rakyat bahkan merupakan perbuatan rasuah terkutuk lagi menjijikkan di sisi agama. Perbuatan tersebut jika benar-benar berlaku hanya menzahirkan sifat hipokrasi parti politik yang bertopengkan prinsip dan nilai keadilan. Perlakuan seumpama ini juga secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan.

Kita seharusnya menyedari hakikat bahawa Islam tidak sekali-kali bertolak ansur dalam isu rasuah. Nabi s.a.w. secara tegas menyatakan: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka" (Riwayat At-Tirmizi). Dalam hadis yang lain, Rasulullah mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: "Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya" (Riwayat Ahmad).

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan rasuah yang amat keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini. Al-Quran menegaskan: Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya) (al-Baqarah: 188).

Di sini jelaslah bahawa Islam berpendirian tegas dalam aspek pembasmian rasuah. Apa yang pasti Islam tidak merestui budaya politik 'matlamat menghalalkan cara' sebagaimana Islam tidak mewajarkan pembasmian rasuah dengan cara merasuah. Gejala budaya politik yang dangkal dan tidak beradab seperti ini wajib dikekang.

Ini kerana budaya politik yang tidak bermaruah akan hanya menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini juga bakal menjalar kepada permasalahan yang lebih besar sehingga mampu meleburkan prinsip keagamaan, memecah perpaduan umat dan memporak-perandakan negara.

Justeru penulis menyarankan agar hentikanlah polemik dakwaan lompat-melompat parti yang tidak menguntungkan negara dan rakyat terbanyak. Hormatilah suara hati rakyat yang telah dimanifestasikan melalui keputusan pilihan raya lalu. Fokus pimpinan kini seharusnya ditumpukan kepada usaha membela nasib rakyat dan bukannya sibuk mencatur harta dan takhta.

Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin politik kita masih punya integriti dan kekuatan memelihara kemurnian politik sebagai wahana aspirasi umat dan seterusnya menghalang budaya politik dangkal yang boleh menghancurkan negara. Sesungguhnya kestabilan negara yang terbina merupakan warisan yang tidak ternilai untuk dipelihara dan dipertahankan. Kegagalan mempertahankannya lantaran sikap kebinatangan politik yang meresapi diri hanya akan menjadi kita manusia bobrok yang tidak punyai nilai dan harga diri.