Berzikir penenang jiwa insan
Dunia ada beberapa musim, musim panas, sejuk, gugur dan bunga. Di negara kita ada dua musim sahaja iaitu musim hujan dan panas. Itu tanda keagungan Allah.Mereka yang berfikir dan menggunakan akal sahaja dapat menangkap ‘buah tangan’ ciptaan Allah itu. Manusia pun ada musim. Ada ‘musim’ kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Ada musim senang, susah, derita, kaya, miskin, dimuliakan dan dihina.
Sebelum datang
musim itu perlu buat persiapan. Sekarang negara kita buat persiapan
musim banjir. Setiap negeri dikerah menyediakan tempat, dana dan
sukarelawan menghadapi sebarang kemungkinan. Hidup dengan episodnya
mesti dipersiapkan.
Alangkah indahnya hidup ini jika kita
mengetahui apa patut dilakukan terhadap perkara yang akan dilalui.Jika
tahu apa yang patut kita buat tentu kita akan tenang. Kita tak gelabah,
keluh kesah, mati akal, kaget dan ragu-ragu, maklumlah dah bersedia.
Tetapi kalau tak bersedia sering takut. Takut tak jadi, kehilangan,
kerugian dan seribu ketakutan. Jika dililit dengan ketakutan bila nak
tenang dan bahagia.
Sesungguhnya aset utama menghadapi musim
kehidupan ialah ketenangan batin. Sebab jika hati tenang, mudah kita
lalui aktiviti kehidupan sama ada duniawi ataupun ukhrawi.Cara nak
tenangkan hati diajar Allah dalam al-Quran dan terbukti sangat
berkesan. Tonik paling berkesan itu ialah berzikir.
Firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah, dengan mengingati Allah jiwa kamu akan tenang.”
Ingat Allah hati akan tenang dan tenteram. Jarang ingat Allah hati akan kering dan gersang serta tandus.
Iman
bertambah bila banyak ingati Allah. Apabila bertambah iman, hati makin
kuat, tidak takut dengan ancaman, tidak gentar dengan musibah dan
kekurangan, tidak cemburu dengan kekayaan orang lain, bekerja bukan
untuk diri tapi untuk majukan organisasi, tidak akan rasuah kerana tahu
pemberi bukannya manusia tapi Allah.
Berzikir bukan hanya
menyebut nama Allah tapi bersolat, baca al-Quran, melakukan makruf,
meninggalkan mungkar, berbakti dan berkhidmat, mematuhi dan menyantuni,
menerima ketentuan dengan reda malah berzikir yang ampuh harus diiringi
sabar dan syukur barulah mendapat ketenangan hakiki.
Menghadapi
cabaran hidup, zikir akan memberi kita dua perkara iaitu niat yang
betul dan ikhtiar yang padu dan tak jemu-jemu. Kesan ketenangan
berzikir ialah apabila kita berada pada musim kaya, kita banyak
bersedekah, musim dipuji kita warnai dengan syukur dan tak lupa diri,
musim dihina kita sabar dan bermuhasabah, musim menjadi pemimpin, kita
berlaku adil, musim menjadi pengikut, kita taat.Orang yang berzikir
akan sentiasa bersangka baik terhadap ketentuan Allah. Jika bersedia
dengan membesarkan Allah, jiwa akan besar. Apabila jiwa besar, dunia
dan segala musimnya menjadi damai dan harmonis.
Dipetik dari tazkirah -Ustaz Mohd Zawawi Yusoh-
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008