Menilai jenis pemimpin

MEMINJAM kerangka analisis kepimpinan yang dirumuskan oleh Dr. Azizan Bahari, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia memberikan kita ilham bagi memilih jenis pemimpin yang bakal memimpin kita.

Dalam bukunya, Menjadi Pemimpin (2008), Dr. Azizan memberikan pengukuhan konsep pemimpin kepada empat jenis utama iaitu pemimpin karismatik, pemimpin transaksi, pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah memenangkan dirinya sendiri dan pemimpin transformasi.

Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.

Menjadi lebih keutamaan ialah pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya sebagai sesuatu yang bertentangan. Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Pemimpin transaksi tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin transaksi mengamalkan gaya kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.

Pemimpin ketiga ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri. Pemimpin ini akan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara yang difikirkan sesuai asal sahaja kedudukannya dapat dipertahankan. Sifat ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Nicollo Micheavelli dan bagi Dr. Azizan ia dikenali sebagai pemimpin ‘Halsca’ (halal segala cara). Fitnah bukan dilihat sebagai kaedah jijik, malah dianggap sebagai satu strategi politik.

Pemimpin keempat ialah pemimpin transformasi. Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Ia ikut membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk menempatkan dirinya sebagai populis.

Pemimpin transformasi adakalanya dilihat mempunyai gaya karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara peribadi. Pemimpin transformasi tidak berusaha membentuk kelompok penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa.

Seorang pemimpin transformasi sentiasa memberikan fokus selaras dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin transformasi tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan, sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.

Perspektif kepimpinan transformasi merupakan sifat kepimpinan yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.

Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep keadilan ialah meletakkan hak ditempat yang sepatutnya, maka dalam memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula satu rumusan yang boleh diterima secara umum.

Dalam konteks ini, pemimpin transformasi tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak tersebut tidak melanggar hak orang lain.

Dalam konteks kepimpinan Islam, menunaikan tanggungjawab, menjaga amanah dan menegakkan keadilan adalah beban yang disandarkan ke atas bahu seseorang pemimpin. Sebagai pemerintah (ulil amri), setiap pengikut pula diwajibkan mentaatinya selagi setiap tingkah laku dan kaedah pemerintahan tersebut tidak menjurus kepada kebongkakan, menolak keyakinan dan melanggar perintah Allah SWT serta mendusta Rasulullah (Surah al-Nisa' ayat 48).

Kekuasaan yang diperoleh seseorang pemimpin adalah atas keizinan-Nya. Seseorang itu tidak boleh menganggap kuasa yang ada padanya adalah hak mutlaknya, kerana sehebat mana manusia cuba mendapatkannya, melalui apa cara sekalipun, jika tanpa restu Allah SWT ia tidak akan memperolehnya. Sejarah manusia yang lupa mengenai kekuasaan Allah SWT banyak berlaku meskipun seseorang itu dilihat hebat – dari jenis pemimpin karismatik – tapi akhirnya kecundang dan jika sempat menjadi pemimpin, di akhir pemerintahannya diselubungi tragedi.

Kita mungkin boleh mengambil contoh Muammar Gadafi sewaktu permulaannya dilihat sebagai wira. Setelah lebih 40 tahun memimpin Libya, Gadafi menjadi musuh dan rakyatnya sedang berjuang untuk menyingkirkannya secara tidak terhormat. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Hosni Mubarak, terpaksa hidup dalam buangan dan menjadi umpatan.

Di dalam kitab Musnad (jilid 3 halaman 154), Imam Ahmad bin Hanbal memetik hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Berdasarkan prinsip tersebut, menjadi pemimpin bukanlah bermakna mendapatkan jawatan yang tertinggi. Kedudukan jawatan itu perlu disusuli dengan usaha memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ingatan itu perlu sentiasa menjadi gagasan yang wahid bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin sebagai mana maksud hadis: Tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah SWT haramkan ke atasnya syurga. (Riwayat Syaikhan).

Berdasarkan kerangka analisis kepimpinan jelaslah bahawa pemimpin transformasi amat diperlukan berbanding lain-lain jenis pemimpin. Rasulullah saw diakui dunia sebagai seorang pemimpin yang jujur. Bila berjanji kepada masyarakat yang dipimpinnya, ia tunaikan janji sesuai dengan tuntutan Allah SWT.

Rakyat Malaysia semakin matang menilai pemimpin. Rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pemimpin kerana rakyat Malaysia semakin sedar, berilmu dan dapat membaca tingkah laku seseorang pemimpin. Rakyat semakin bijak, tetapi dalam kecerdikan itu jangan tersalah pilih, terlalu banyak musang berbulu ayam yang hanya mencari peluang dengan berlakon dan bersandiwara. Hakikatnya, ayam sereban habis, reban bersepah dengan bulu-bulu ayam, musang hilang setelah kekenyangan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiyah Malaysia (Yadim)

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 21 April 2012